Artikel "Semasa" Terkini
311 Mangsa Banjir DUN Ajil Terima Bantuan Banjir
HULU TERENGGANU, 27 Oktober - Seramai 311 mangsa banjir di Dewan Undangan Negeri(DUN) Ajil menerima sumbangan Bantuan Pasca Monsun Timur Laut Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bernilai RM155,500 semalam.
Adunnya, Maliaman berkata, beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan serta pelbagai pihak yang tampil memberi sumbangan kepada mangsa banjir setiap kali bencana itu melanda.
“Kami berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka menghadapi musibah banjir, terutama dari segi menggantikan keperluan rumah yang rosak akibat bencana alam ini.
"Kerajaan negeri sangat berterima kasih kepada semua yang sudi memberi sumbangan dalam pelbagai bentuk dan berharap jalinan erat ini akan terus berjalan lancar," katanya dalam satu majlis ringkas di Pejabat Daerah Dan Tanah Hulu Terengganu semalam.
Sementara itu, penerima, Zainon Awang Lah, 69, bersyukur dan berterima kasih kepada pihak kerajaan yang tampil menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir.
“Ini adalah sumbangan pertama yang saya terima untuk banjir kali ini. Ia sedikit sebanyak membantu saya sekeluarga untuk membeli barang dapur dan keperluan rumah.
“Lagipun, gelombang kedua banjir diramal berlaku, tidak lama lagi. Justeru, kami perlu bersiap sedia menghadapi musibah ini.
Bagi Anuar Sulaiman 47 pula, dia dia berterima kasih kepada semua pihak yang membantu dia sekeluarga serta mangsa banjir lain.
“Memang banyak harta benda musnah, namun kami reda kerana banjir sudah menjadi lumrah alam tetapi sedikit sebanyak bantuan yang diterima setakat ini meringankan bebabn kami,” katanya.
26 Oct 20
290
Bukan Biasa-Biasa, 10 '4X4' Berjaya Tawan Bukit Besar
KUALA TERENGGANU, 26 Oktober – Sukar untuk dibayangi apabila mendengar 10 buah kenderaan pacuan empat roda (4x4) berjaya meredah hujan, laluan trek hutan berbonggol dan berlumpur dalam menawan Bukit Besar.
Namun begitu, sekumpulan belia daripada Kelab Kole Ganu Crawler (KGC), berusia lingkungan 20-an hingga 30-an, menempuh cabaran bersama jentera RC Crawler (4x4) kawalan jauh dikuasai bateri dan berskala 1/10, 10 kali lebih kecil berbanding kenderaan sebenar.
Jangan terpedaya dengan saiz kecil kerana ‘Crawler’ tersebut mampu mendaki bukit dengan darjah kecerunan sehingga 70 darjah, memerlukan kemahiran pengendalian yang tinggi.
Wakil KGC, Hadi Syafiq, 33, berkata, aktiviti tersebut bukan sekadar hobi, malah ia gabungan cabaran mengendali jentera melalui selok-belok bukit belukar bersama riadah ‘hiking’, kepuasan hobi bersama nilai kesihatan.
“Contohnya seperti hari ini kita telah sampai ke puncak Bukit Besar (ketinggian 800 meter dari aras laut). Lokasi berbukit ini adalah diantara kawasan paling mencabar dari segi kecerunan bukit dan halangan semulajadi,” katanya ketika ditemubual pemberita baru-baru ini
Seiras dengan model berjenama seperti Range Rover, Land Rover dan Ford Bronco, Saiz kecil kenderaan kawalan jauh itu tidak bermakna harganya juga kecil. Meneliti bersama pemiliknya tentang harga gabungan 10 jentera tersebut, dianggarkan sehingga RM15,000.
Mengulas lanjut mengenai ‘kenderaannya’, Hadi berkata, model Ford Bronco skala 1/10 dibeli ‘second-hand’ dengan harga RM2,200 daripada harga pasaran asal iaitu RM2,600.
“Kami juga ubah suai dengan alat ganti lain seperti tayar, replica peralatan perkhemahan dan lain-lain lagi. Aktiviti jual dan beli aksesori lain juga bersama peminat lain dari semasa ke semasa ada," katanya lagi.
Menyentuh tentang kit permulaan bagi yang mahu berjinak,“Hobi ini juga ada kategori ekonomi seperti jenama RGT, harga dalam linkungan RM1,000 dan jika yang terpakai harganya kurang lagi daripada Shopee dan penjual di Kuala Lumpur.
“Harga berbaloi dengan kualiti kerana tahan lasak dan penyelenggaran tidak perlu kerap.
Hadi yang juga seorang peniaga ‘bundle’, turut menyatakan hasrat kelab dalam mengumpul ahli baharu.
“Kita suka apabila ada yang mahu sertai sekali hiking bersama jentera masing-masing. Kelab kami biasanya beraksi pada hari cuti waktu tengah hari lepas zuhur (1.30 petang) di Bukit Besar dan bermain santai di kawasan landai yang berbatu seperti di Batu Buruk dan Bukit Payung.
“Manakala mereka yang mahu lebih ‘hardcore’ dengan laluan berbatu di Bukit Tepu pada hari ahad atau selasa waktu petang lepas asar," ujarnya.
Ketahui lebih lanjut mengenai aksi lasak mereka dan lain-lain di Kumpulan Facebook, ‘Kole Ganu Crawler (KGC)’.
26 Oct 20
2193
Kerajaan Negeri Jaga Kebajikan Penuntut Terkesan COVID-19
SETIU, 26 Oktober- Kerajaan negeri menyediakan makanan percuma kepada penuntut yang berada di kelompok penginapan yang tidak pulang ke kampung halaman berikutan terkesan COVID-19 yang melibatkan mahasiswa Institut Pendidikan Guru (IPG) Batu Rakit, Setiu dan IPG Kampus Sultan Mizan, Besut.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, sebanyak 221 pek makanan diagihkan kepada dua institusi terbabit dimana 194 pek untuk IPG Batu Rakit dan selebihnya di IPG Besut.
"Semoga sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka para pelajar yang berjauhan dengan keluarga disebabkan terkandas dan tidak boleh pulang ke negeri asal akibat wabak COVID-19.
"Kebanyakkan dari mereka menetap di Sabah, zon-zon merah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)," ujarnya.
Dalam pada itu, Satiful menyeru kepada seluruh mahasiswa supaya mematuhi arahan dan terus kekal berada di dalam kampus untuk mengurangkan penularan wabak COVID-19.
"Para pelajar perlu mengurangkan ke tempat yang ramai orang, teruskan mengamalkan kaedah pencegahan wabak walau dimana anda berada.
"Sebaiknya gunakan ruang dan masa yang ada dengan mengulangkaji pelajaran," ujarnya.
25 Oct 20
467
Utamakan Usaha Tangani COVID-19, Daripada Isu Politik
DUNGUN, 25 Oktober - Wabak COVID-19 yang mencatatkan peningkatan kes ketika ini sepatutnya menjadi keutamaan yang perlu ditangani semua pihak berbanding isu lain termasuk politik.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Terengganu,, Wan Hapandi Wan Nik berkata, usaha menjaga kebajikan dan kesihatan rakyat serta ekonomi negara dalam waktu yang mencabar ini perlu diberikan tumpuan.
"Usah tamak berpolitik kerana akan merugikan rakyat. Bukan masa sekarang untuk tunjuk siapa kuat atau siapa paling banyak sokongan. Sekarang masa untuk kita bersatu padu melawan pandemik ini,” ujarnya kepada pemberita.
Wan Hapandi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura berkata, tindakan segelintir ahli politik yang tamak akan kuasa boleh mencetuskan ketidakstabilan ekonomi kepada negara.
Beliau menegaskan isu COVID-19 yang melanda seluruh dunia ketika ini lebih serius berbanding isu politik yang hanya menguntungkan sebelah pihak.
“Kita dapat lihat dimana rakyat sudah muak dengan permainan ahli politik yang gila kuasa ini. Rakyat sudah penat melayan mereka ditambah dengan peningkatan kes COVID-19 setiap hari," ujarnya.
Wan Hapandi turut berharap semua pemimpin politik agar bersatu hati melawan pandemik COVID-19.
25 Oct 20
450
Pembinaan RMM Kampung Tajin berjalan Lancar
HULU TERENGGANU, 25 Oktober - Rumah Mampu Milik (RMM) Kampung Tajin kini dalam proses pembinaan dan dilaporkan berjalan lancar, seperti mana yang dijadualkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh berkata sehingga hari ini, pembinaan RMM Kampung Tajin berjalan dengan baik dan akan siap tidak lama lagi.
"Sebanyak 250 buah unit RMM sedang dibina dan proses pembinaan berjalan dengan lancar setakat ini.
"InsyaAllah, saya jangkakan perumahan ini akan dapat disiapkan pada jun 2021," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke tapak RMM di hadapan Sekolah Menengah Sains Hulu Terengganu (SAHUT), Kampung Tajin, baru-baru ini.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Pegawai Penyelaras Parlimen Hulu Terengganu, Muhyiddin Abdul Rashid dan Penyelaras Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Kuala Berang, Mohamed Abdullah.
Menurut beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau Negeri berkata, pihaknya turut berhasrat untuk membina sebuah masjid bagi kemudahan penduduk di kawasan Limau Rendang ini.
"Ada beberapa ekar tanah di sini (Limau Rendang) yang kita akan buat pengambilan untuk bina masjid. Ini kerana, masjid yang baru ini boleh digunakan oleh masyarakat dan pelajar di sekolah yang terdekat di kawasan ini," katanya.
25 Oct 20
7706
Sukan Jadi Ejen Perpaduan Masyarakat
HULU TERENGGANU, 25 Oktober - Sukan bukan sahaja untuk dilihat dan nikmati, tetapi jauh lebih besar kerana sukan adalah ejen perpaduan yang akan menyatukan masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim berkata, sukan perlu dimartabatkan oleh semua pihak sekali gus merapatkan hubungan sesama kaum dan dapat menghapuskan tembok politik perkauman dan agama.
"Sukan bukan sahaja untuk kita lihat dan nikmati, tetapi jauh lebih besar kerana sukan adalah ejen perpaduan yang akan menyatukan kita dan rakyat perlu bangga dengan ini. Melalui program sukan ini juga, ia akan dapat menjadi platform kepada penduduk untuk berkumpul dan bersatu dalam menjayakan program yang dirancang.
“Sukan jelas menjadi wadah yang dapat mengintegrasikan masyarakat di daerah ini. Apabila bersukan atau beriadah, tiada siapa pun yang akan memikirkan mengenai politik atau warna kulit, sebaliknya mereka hanya memikirkan cara terbaik untuk bermain dalam satu kumpulan.
“Program sukan seperti karnival sukan perlu diteruskan kerana ini merupakan kunci utama untuk memenangi hati masyarakat. Sukan juga merupakan platform penting dalam menggalakkan penyertaan belia dalam kemasyarakatan dan yang lebih penting dapat mengeratkan lagi silaturahim di antara semua lapisan masyarakat,"katanya ketika merasmikan penutupan Explorace anjuran MBFM Felda mengkawang, di Dataran Felda Mengkawang semalam.
Tambah beliau lagi, generasi muda dan belia digesa supaya berusaha mengelak diri daripada terlibat dengan sebarang gejala tidak sihat kerana tiada sebarang kebaikan yang bakal mereka perolehi, tetapi apa yang nyata ialah mereka menghancurkan masa depan diri dan memusnahkan harapan bangsa dan negara.
“Penglibatan golongan belia dalam aktiviti bersukan dapat mengelakkan mereka terlibat dari sebarang gejala yang tidak sihat.Menerusi aktiviti sebegini juga kita dapat berkumpul dan beramah mesra antara satu sama lain.
“Perbezaan politik dan fahaman dapat dikurangkan apabila masyarakat sesuatu tempat itu menyertai aktiviti aktiviti begini dan sekaligus akan memberi kesan yang baik dalam memupuk kehidupan yang lebih baik dalam masyarakat,”ujar Maliaman.
24 Oct 20
1578
Mohon Lesen, Jangan Ceroboh Tanah
SETIU, 24 Oktober – Orang ramai dinasihatkan agar tidak menceroboh tanah kerajaan sesuka hati walaupun bertujuan untuk memajukannya.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, mereka yang berminat untuk mengusahakan tanah bagi tujuan perusahaan akuakultur seperti sangkar ikan boleh memohon Lesen Menduduki Sementara (LMS).
Katanya, di seluruh Terengganu terdapat banyak lokasi tanah, tasik, kolam dan sungai milik kerajaan negeri yang telah dimanfaatkan oleh rakyat untuk aktiviti tersebut.
"Ramai yang sudah diberikan LMS, mereka bukan sahaja tidak diganggu, malah dibantu lagi oleh kerajaan.
"Dalam proses nak meluluskan LMS ini, pandangan teknikal daripada beberapa jabatan terlibat seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Majlis Daerah, Jabatan Perikanan, Jabatan Taman Negeri, Jabatan Alam Sekitar, Plan Malaysia dan beberapa jabatan lain lagi akan dikaji.
‘’Sekiranya tiada apa-apa isu berbangkit, maka tiada masalah untuk permohonan LMS tersebut diluluskan kerana hasrat kerajaan adalah untuk memajukan industri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sekiranya ada isu berbangkit dengan lokasi tapak projek yang dimohon, maka perbincangan boleh dibuat untuk mencadangkan lokasi lain yang lebih sesuai.
"Hasrat kerajaan ialah untuk bantu rakyat dengan mengambil kira juga kepentingan pihak-pihak lain yang turut berkaitan.
"Tak boleh kita terus ceroboh begitu saja kerana negeri ini ada tuan yang jaga. Tuan yang jaga negeri ini menjaga amanah tanah, bumi dan air untuk rakyat keseluruhannya," tegasnya.
24 Oct 20
5842
Kesan Awal, Nyawa Anda Selamat
Foto : Angah Hanis
KUALA TERENGGANU, 24 Oktober – Kaum wanita perlu tahu bahawa kanser payudara yang dikesan pada tahap awal, mempunyai sinar harapan yang cerah untuk pulih.
Ketua Kluster Perubatan Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Isteri Bekas Wakil Rakyat Negeri Terengganu (KHAIRUNNISA’), Dr Farhaana Husainy Hasbullah berkata kanser payudara adalah kanser yang paling kerap berlaku dalam kalangan wanita.
Menurut beliau lagi, kanser nombor satu tertinggi ini menyumbang kepada 17.7 peratus daripada keseluruhan kanser di Malaysia dan 32.1 peratus daripada keseluruhan kanser yang dialami oleh wanita.
Namun katanya, 43 peratus daripada keseluruhan kanser payudara di Malaysia dikesan pada tahap lewat iaitu tahap tiga dan empat.
“Kanser payudara menjadi penyebab kematian keempat tertinggi dalam kalangan wanita. Pada tahun 2018, terdapat 7598 kes baharu kanser payudara di Malaysia dan 40 peratus dikesan pada tahap yang teruk iaitu tiga dan empat.
“Saya ingin tegaskan bahawa pengesanan awal kanser payudara dan dengan rawatan awal, peluang pulih (5 year survival rate) adalah lebih dari 90 peratus jika dikesan di tahap satu dan dua, malah menghampiri 100 peratus bagi tahap satu.
“Pengesanan awal ialah melalui ujian mammogram dan ini adalah cara yang paling efisien untuk mengesan kanser bagi wanita berumur lebih dari 40 tahun. Wanita juga digalakkan melakukan pemeriksaan sendiri payudara serta pemeriksaan payudara oleh kakitangan kesihatan terlatih,"ujarnya.
Dr Farhaana berkata demikian ketika dihubungi oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), baru-baru ini.
Beliau menambah, bahawa tanda paling kerap bagi kanser payudara ialah benjolan manakala tanda-tanda lain yang boleh dikesan ialah perubahan pada saiz atau bentuk payudara, lelehan dari puting payudara atau perubahan warna dan rupa kulit payudara.
Namun begitu, Dr Farhaana mengingatkan bahawa kadangkala tidak ada sebarang tanda sehinggalah kanser itu telah merebak.
Justeru itu katanya, mammogram adalah wajib dilakukan walaupun tiada simptom, khususnya bagi mereka yang berisiko tinggi.
“Sekiranya terdapat tanda-tanda seperti yang disebutkan, perlulah berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut, hal ini demikian kerana, lapan daripada 10 benjolan yang dikesan adalah bukan kanser.
“Setiap wanita perlu mengenali payudaranya dengan terperinci dan perlu melakukan pemeriksaan sendiri payudara setiap bulan untuk mengesan sebarang perubahan,” jelasnya.
24 Oct 20
622
MBKT Cantas Pokok Rhu Ancam Keselamatan
KUALA TERENGGANU, 22 Oktober – Pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) telah mengambil inisiatif memotong dahan-dahan pokok rhu di bahu Jalan Sultan Mahmud Kuala Ibai yang tinggi dan membahayakan orang awam.
Penolong Pegawai Pertanian, Jabatan Landskap MBKT, Hasrol Ferdaus Mahmod yang menyelia kerja tersebut memaklumkan, kerja-kerja berkenaan dilaksanakan selama tiga hari berakhir hari ini dan melibatkan seramai 40 orang petugas dari pelbagai jabatan di MBKT.
“Kami menerima aduan daripada orang ramai berkenaan pokok rhu ini dan beberapa hari lalu, kami telah mulakan kerja-kerja mencantas dahan pokok bagi memastikan ia tidak membahayakan pengguna jalan raya," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di sini.
Operasi tersebut dilaksanakan secara berperingkat berikutan terjadi banyak kejadian dahan patah dan pokok tumbang yang membabitkan pengguna laluan itu.
Baru-baru ini, sebuah kereta telah terlibat dalam kemalangan di Jalan Sultan Mahmud Kuala Ibai akibat dihempap sebatang pokok rhu yang tumbang ketika ribut melanda kawasan tersebut.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi turut memuat naik satu hantaran dalam laman Facebooknya merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak MBKT atas tindakan tersebut.
22 Oct 20
790
Besut Bakal Jadi Hab Ukiran Melayu Tradisional
BESUT, 20 Oktober - Kerajaan negeri bercadang untuk menjadikan Besut sebagai Hab Ukiran Melayu Tradisional di Terengganu dan juga Malaysia.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, pihaknya yakin perabot kayu berukir masih mempunyai peminat tersendiri, malah pasarannya ketika ini juga boleh setanding dengan perabot moden jika diketengahkan mengikut trend semasa.
"Ukir kayu adalah seni pertukangan tangan yang menjadi tradisi dalam masyarakat Melayu sejak turun-temurun lagi. Satu kerugian besar jika peninggalan ini tidak dijaga dan diwarisi golongan muda.
"Bukan semua kayu boleh digunakan untuk buat kraf hiasan kayu. Untuk produk dalaman, kayu yang sesuai digunakan untuk ukiran adalah jati, angsana dan juga cengal," katanya semasa lawatan ke Kampung Raja, Besut semalam untuk melihat kemahiran ukiran kayu anak Melayu di sekitar kawasan berkenaan.
Hadir sama Menteri Perusahaan,Perladangan & Komoditi, Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, Pegawai Daerah Besut, Rozali Salleh serta dua juruukir terkenal di Malaysia, Norhaiza Noordin dan Mohd Salizan Abd Rahman.
Menurut Kharuddin, kementeriannya juga mempunyai hasrat yang sama dengan kerajaan untuk menjadikan Besut sebagai hab ukiran.
"Tujuan hab itu berpotensi dijadikan bengkel besar bagi mereka yang terlibat dalam seni ukir untuk mereka dapatkan khidmat mesin dan sebagainya.
"Oleh itu Malaysia dapat kembangkan lagi seni ukiran tradisional ini untuk bersaing di peringkat antarabangsa dan dalam masa sama berusaha membawa nilai estetika serta nilai kesenian Melayu," tambah beliau.
21 Oct 20
701