Artikel "Semasa" Terkini
113 Peserta RTB Bukit Besi Terima Borang 5A
DUNGUN, 2 November- Seramai 113 orang peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi telah menerima pemberian Borang 5A.
Seramai 51 orang daripada jumlah berkenaan merupakan mereka yang dikategorikan sebagai 'peserta tanah terkilan' bagi RTB Pinang Luit Mukim Jerangau, 54 orang merupakan RTB Chemuak Sejahtera bagi tapak perumahan serta 8 peserta bagi RTB Kampung Talong.
Seorang penerima, Zainal Abidin Mat Hassan berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana mengotakan janji.
"Sebagaimana yang telah dimaklumkan apabila kerajaan PAS membentuk kerajaan negeri antara manifesto yang dijanjikan ialah menyelesaikan semula tanah yang tidak sempat diberikan geran ketika era PAS memerintah pada 1999-2004.
"Alhamdulillah saya rasa legalah apabila ianya kembali dicaknai dan membolehkan saya untuk menerima Borang 5A dan perlu menjelaskan premium dengan kadar segera bagi mendapatkan geran kekal," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media pada Majlis Penyerahan Borang 5A bagi RTB Terkilan Pinang Luit, RTB Tapak Rumah Chemuak Sejahtera yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli di Dewan Sivik Jerangau, baru-baru ini.
Turut hadir, Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman.
Sementara itu, peserta RTB Chemuak Sejahtera, Nurul Hikmah Zameli berkata sangat gembira apabila layak mendapat borang berkenaan
"Selepas tahu layak dapat RTB ini memang sangat gembira kerana sebelum ini masih belum memiliki tanah jadinya selepas ini dapat duduk di kampung sendiri setelah berpindah kerja dimana sebelum ini kerja di Kuala Lumpur.
"Sebagai generasi kedua memang saya berhajat untuk memiliki kediaman sendiri, jadi sangat berterima kasih kepada kerajaan negeri, selepas ini saya akan bayarlah premium," ujarnya.
Dalam pada itu, Ghazali Sulaiman berharap agar setiap peserta yang telah menerima borang 5A berkenaan memanfatkan sebaik mungkin pemberian berkenaan.
"serta saya mengharapkan agar premium sebagaimana yang dinyatakan diselesaikan mengikut tempoh yang telah diberikan,"ujarnya.
01 Nov 20
656
Masyarakat Islam Perlu Kenang, hayati Sirah Perjuangan Nabi
HULU TERENGGANU, 30 Oktober – Masyarakat Islam perlu menghayati makna di sebalik sambutan Maulidur Rasul dan sirah perjuangan Nabi Muhammad SAW untuk dijadikan panduan dalam menghadapi pelbagai cabaran masa kini.
Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN)Ajil, Maliaman Kassim berkata renungan dan peringatan zahir sahaja tidak memadai jika tiada pengisian penting dan penghayatan untuk mentafsirkannya dalam bentuk akidah dan amalan.
"Majlis seumpama ini penting bagi memperingati kisah perjuangan dan pengorbanan baginda berdakwah dan memartabatkan Islam.
"Ini juga merupakan kaedah penyatuan ummah dan permuafakatan paling berkesan bagi menyatupadukan masyarakat Islam daripada pelbagai perbezaan pendapat dan ideologi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika memberi Tazkirah sempena sambutan Maulidur Rasul Dewan Masjid Kampung Menerong dekat sini, semalam yang disertai kira-kira 150 penduduk.
“Rabiul Awwal merupakan bulan yang sangat dimuliakan oleh orang Islam khususnya di seluruh pelosok dunia kerana pada tanggal ke-12 bulan tersebut merupakan hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W," ujarnya.
Tambahnya lagi, dalam menyingkap tabir sirah Rasulullah, terdapat banyak peristiwa bersejarah yang berlaku dalam bulan tersebut sebelum kelahiran Baginda, antaranya ialah kegagalan tentera bergajah dalam cubaan untuk menghancurkan Kaabah.
“Setiap tahun hari kelahiran Rasulullah SAW diraikan supaya setiap umat Islam dapat mengambil iktibar daripada setiap sesuatu yang dilakukan dan diamalkan baginda untuk dijadikan panduan dan pedoman.
"Rasulullah SAW merupakan contoh yang terbaik kepada setiap umat Islam dalam segala aspek kehidupan," katanya.
30 Oct 20
749
Pemilik Bangunan Disaran Jalankan Pemeriksaan Keselamatan Berkala
Pemilik bangunan disaran melakukan kerja-kerja penyelenggaraan struktur bangunan secara berkala mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi memastikan keselamatan penghuninya terjamin.
28 Oct 20
124
YPU Belanja RM500,500 Bina Kiosk Untuk Usahawan
BESUT, 28 Oktober - Kerajaan Negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu telah membelanjakan sebanyak RM500,500 bagi membina kiosk perniagaan untuk usahawan di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, sehingga September tahun ini, sebanyak 77 buah kiosk perniagaan telah dibina.
"Bagi Parlimen Besut sahaja, 18 unit telah dihantar ke lokasi terpilih seperti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut, DUN Kota Putera dan DUN Kuala Besut melibatkan peruntukan sebanyak RM117,000.
"Pelaksanaan program ini adalah selaras dengan hasrat kerajaan negeri agar gerai-gerai di Terengganu lebih bersih dan menarik sekaligus dapat menarik lebih ramai pelanggan dalam membantu meningkatkan hasil jualan pengusaha,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Surat Tawaran Sewa Program Gerai Maju di Besut, semalam.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Ahmad Farhan Abdul Wahab, Ketua Pegawai Operasi YPU, Zulkifli Yunus dan Pegawai Penyelaras DUN Kuala Besut, Azbi Salleh.
Tambah Nurkhuzaini, beberapa syarat telah ditetapkan untuk memohon Program Gerai Maju tersebut.
"Kesemua kadar sewaan bagi 77 buah kiosk ini hanya serendah RM150 untuk sebulan.
"Permohonan gerai ini adalah untuk rakyat Terengganu yang berumur 18 hingga 55 tahun serta mempunyai pendaftaran perniagaan sekurang-kurangnya enam bulan," katanya.
Nurkhuzaini juga berharap agar usahawan yang diberi peluang menyertai Program Gerai Maju dapat memberi tumpuan dan komitmen tinggi dalam menjalankan perniagaan sekaligus dapat meningkatkan pendapatan.
"Inilah masanya untuk kita membuktikan kepada kerajaan negeri bahawa pelaksanaan Program Gerai Maju ini merupakan salah satu program terbaik yang memberikan peluang kepada usahawan-usahawan untuk menjalankan perniagaan dan seterusnya dapat meningkatkan pendapatan.
"Dalam jangka masa panjang, program ini juga diharapkan menjadi contoh kepada peniaga-peniaga lain untuk menaiktaraf gerai-gerai mereka sepertimana kiosk ini yang lebih kemas dan mampu menarik lebih ramai pelanggan," katanya.
28 Oct 20
1379
‘Aryan Nak Pindah Rumah Baru’
KUALA TERENGGANU, 27 Oktober- “Sampai sekarang saya masih tidak dapat terima kerana Aryan pergi dalam keadaan sihat, tidak sangka secepat ini dia meninggalkan kami sekeluarga,” kata Nurul Amelia Ali, 34, ibu kepada Mohamad Aryan Defa Danish Mohd Azizul,6, yang maut setelah tergelincir dari tingkat 15 flat Ladang Gemilang 1 Ahad lalu.
Meskipun reda dengan pemergian anak tersayang, setiap detik terakhir bersamanya pasti akan dikenang sepanjang hayat.
“Selepas Aryan tiada saya sangat sedih dan asyik menangis, hanya baju dan gambar dia menjadi pengubat rindu, hari ini baru saya kuat sedikit dan boleh berdepan dengan orang ramai,” ujarnya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat di rumah datuk arwah di Jalan Kenanga Batu Burok, semalam.
Nurul Amelia.
Rombangan yang diketuai oleh Hanafiah itu turut menghulurkan sedikit sumbangan dan melahirkan rasa simpati terhadap kejadian yang berlaku selain memberikan kata-kata semangat kepada ibu bapa mangsa.
Berkongsi pilunya, Nurul Amelia berkata, pagi sebelum kejadian tidak banyak perubahan ketara ditunjukkan Aryan, cuma anak ketiga daripada empat beradik itu asyik bercakap hendak ke rumah baru.
“Ketika bermain dengan adiknya, Aryan bagi tahu nak pindah rumah baru, dia juga banyak duduk di atas sofa dan merenung tingkap cermin tempatnya terjatuh.
“Semasa kami sama-sama kemas rumah pagi tu, Aryan juga tiba-tiba bersalaman dengan saya, memang tidak sangka ia seolah-olah petanda Aryan akan meninggalkan kami,” katanya.
Terdahulu, dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, mangsa dikatakan terjatuh dari tingkap di ruang tamu ketika tinggal bersendirian di rumah.
Menurut ibunya, mangsa ditinggalkan seketika di rumah kerana tidur manakala dia bersama anak bongsu yang berusia empat tahun keluar membeli barang di kedai berdekatan.
Katanya, kejadian itu hanya disedari semasa dalam perjalanan pulang ke rumah selepas dihubungi suaminya, Mohd. Azizul Mohamad, 35, yang ketika itu bekerja luar daerah di Dungun.
28 Oct 20
4513
Henti 'Politicking', Patuhi Titah Agong
KUALA TERENGGANU, 28 Oktober – Ahli politik diseru supaya mentaati titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata, titah baginda bertepatan dengan keadaan semasa negara yang sedang berperang menentang wabak COVID-19.
Menurut Zuraida lagi, seruan ‘no politicking’ (meninggalkan permainan politik) wajar disahut oleh semua ahli politik tanpa mengira parti atau blok, sebaliknya bersatu sebagai satu bangsa dengan tujuan serta matlamat yang satu iaitu membebaskan negara daripada kemelut virus tersebut.
“Kita diseru untuk meninggalkan ‘politicking’ yang berlebihan, sebaliknya menumpukan segenap usaha bersama rakyat Malaysia untuk melawan wabak COVID-19.
“Ingatlah barisan hadapan yang sedang mengorbankan masa-masa senang mereka bersama keluarga demi untuk negara, serta rakyat yang terhimpit desakan ekonomi kerana pandemik ini.
“Semoga Allah mengurniakan bantuan dan petunjuk-Nya kepada kita,” ujarnya ketika ditemuramah oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), kelmarin.
Beliau yang juga merupakan Ketua Pengarah Ameerah Pusat mengingatkan bahawa aulawiyat (keutamaan) bagi Malaysia ialah memastikan negara pulih sepenuhnya, baik dari segi kesihatan mahupun ekonomi, maka perkara yang tidak berkaitan perlu diketepikan buat masa sekarang.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda bertitah, mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala ‘politicking’ (mainan politik) yang boleh mengganggu-gugat kestabilan pemerintahan negara termasuklah sebarang tindakan tidak bertanggungjawab, yang boleh mengganggu gugat kestabilan kerajaan yang sedia ada.
Pada masa yang sama, Al-Sultan Abdullah turut menegaskan bahawa Belanjawan Negara 2021 yang bakal dibentangkan, adalah amat penting kepada rakyat dalam menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.
Justeru, peruntukan kewangan amat diperlukan terutamanya oleh petugas barisan hadapan bagi melancarkan tugas dan tanggungjawab mereka.
27 Oct 20
296
e-AS Sekat Perkahwinan Sesama Keluarga Susuan
KUALA TERENGGANU, 28 Oktober – Aplikasi e-Anak Susuan (e-AS) mampu menjadi penghalang daripada berlakunya perkahwinan tanpa sengaja sesama keluarga susuan.
Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Kontemporari Islam Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kampus Gong Badak, Dr Siti Fatimah Salleh berkata, Projek e-AS merupakan satu aplikasi telefon pintar mudah alih, mesra pengguna hasil penyelidikan yang dijalankan oleh kumpulan penyelidik dari Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, UniSZA.
Penyelidikan tersebut melalui Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang bertajuk: Pembinaan Model Pengurusan Pensijilan Dan Dokumentasi Anak Susuan Patuh Syariah.
“e-AS bermatlamat untuk mendokumentasi maklumat anak susuan, ibu bapa susuan, saudara susuan dan adik beradik ibu bapa susuan serta jaluran usul dan furu’, ekoran amalan pengambilan anak susuan.
“Aplikasi ini mampu memberi perlindungan kepada bayi susuan atas faktor kelahiran pra matang dan sebagainya dalam aspek pemeliharaan nyawa dan jaluran mahram susuan yang berlaku serta hubungan sosial.
“Di samping boleh memberi pendedahan dan pendidikan awal kepada masyarakat tentang anak susuan, serta pendedahan tentang kepentingan dan keperluan dokumentasi anak susuan,” ujarnya ketika dihubungi pemberita.
Dr Siti Fatimah juga yakin bahawa e-AS dapat membantu menyelesaikan isu agama di peringkat Nasional dan Antarabangsa, isu komuniti muslim di seluruh dunia, isu perkahwinan sesama mahram, isu sosial yang melibatkan pergaulan, isu ibadat seperti wudhu’, aurat, mahram haji dan umrah, isu pengurusan dan pentadbiran, iaitu pelengkap dokumen permohonan haji dan umrah dan platform interaksi antara mahram susuan.
Menurut beliau lagi, e-AS akan diperkenalkan kepada Pejabat Agama Islam Negeri bagi tujuan pelaksanaan rasmi, secara menyeluruh di peringkat kebangsaan dan aplikasi ini adalah satu sistem yang mampu menyimpan maklumat yang didaftar oleh pengguna dan turut beroperasi untuk mencetak sijil anak susuan yang akan disahkan oleh pendaftar daerah di Pejabat Agama negeri.
“Melihat kepada kepelbagaian cara penyusuan dan penghasilan air susu ibu, serta faktor penyusuan, menuntut kepada pelaksanaan dokumentasi anak susuan secara rasmi dan terurus sama ada secara atas talian atau manual di peringkat negeri dan kebangsaan maka besar harapan kami bagi pihak penyelidik agar pihak kerajaan dapat membentuk satu akta atau kaedah dokumentasi anak susuan agar pelaksanaan secara menyeluruh dapat dilaksanakan.
“Serta memberi perhatian terhadap pengetahuan masyarakat tentang implikasi penyusuan bayi lain. Saya juga berharap, melalui pembinaan aplikasi ini, ianya mampu memelihara kemurnian jaluran keturunan disebabkan penyusuan selaras dengan tuntutan maqasid syariah bagi menyelesaikan isu komuniti muslim terhadap amalan pengambilan anak susuan sama ada dalam dan luar negara,” ulasnya.
Baru-baru ini, telah berlangsung satu perbincangan bersama antara penyelidik dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) yang diketuai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor bagi memperhalusi cara penyediaan kaedah, Standard Operation Prosedur (SOP) Dokumentasi Anak Susuan Negeri Terengganu.
27 Oct 20
246
Pelihara Sumber, Peraturan Perikanan Darat Dipinda
HULU TERENGGANU, 27 Oktober – Kerajaan negeri sedang meminda Peraturan Perikanan Darat Terengganu 1988 (Pindaan 1993) supaya sumber dan biodiversiti dapat dipelihara dengan lebih bersepadu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, penyusunan semula punca kuasa itu penting untuk mengawal dan menguruskan sumber perikanan darat.
"Akta yang sedia ada cuma sekadar melindungi perikanan marin di laut sahaja. Jadi kita perlu buat enakmen supaya ada punca kuasa untuk kita menguatkuasakan peraturan yang berkaitan dengan perikanan darat.
"Kaedah tangkapan menggunakan peralatan yang dilarang seperti tuba, pukat, bom dan sebagainya boleh merosakkan sumber dilarang sama sekali. Hanya memancing dibenarkan bagi mengekalkan kelestarian dan kelangsungan untuk satu tempoh yang panjang.
"Kita ingin menjadikan Tasik Kenyir ini sebagai daya tarikan aktiviti rekreasi seperti memancing kerana ia tidak merosakkan sumber. Saya meletakkan sasaran dikuatkuasakan pada tahun 2021, insya-Allah," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelepasan Sejuta Benih Ikan di Tasik Kenyir, hari ini.
Mengulas tentang majlis itu, Dr Azman memaklumkan, dalam siri keempat itu, sebanyak 400,000 benih udang galah, 20,000 ikan lampam, 35,000 ikan terbol dan 30,000 ikan baung dilepaskan dengan anggaran nilai pasaran berjumlah RM120,000.
"Jumlah keseluruhan benih ikan yang dilepaskan di seluruh negeri Terengganu bagi Program Pelepasan Sejuta Benih Ikan Ke Tasik Kenyir adalah sebanyak 940,260 ekor benih. Dengan anggaran nilai pasaran kira-kira RM270,000," jelasnya.
Tambahnya, kawasan tersebut juga telah digazetkan sebagai kawasan larangan tangkapan ikan.
"Di samping kerajaan berusaha menggiatkan program pelepasan benih ikan, udang ke perairan untuk meningkatkan populasi dan biodiversiti, masyarakat turut berperanan menjaga sumber ini.
"Purata dalam 60 peratus anak benih yang dilepaskan boleh membesar menjadi dewasa. Tujuan kita nak meningkatkan populasi perikanan di perairan negeri Terengganu sama ada tasik atau sungai," katanya.
27 Oct 20
1213
Pemilik Bangunan Disaran Jalankan Pemeriksaan Keselamatan Berkala
KUALA TERENGGANU, 27 Oktober - Pemilik bangunan disaran melakukan kerja-kerja penyelenggaraan struktur bangunan secara berkala mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi memastikan keselamatan penghuninya terjamin.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, langkah itu perlu bagi mengelak kejadian tidak diingini seperti yang menimpa Mohamad Aryan Defa Danish Mohd Azizul, 6, yang maut setelah tergelincir dari tingkat 15 flat Ladang Gemilang 1 Ahad lalu berulang lagi.
Beliau berkata, kerajaan melihat insiden berkenaan sebagai iktibar, selain memandang serius isu keselamatan penghuni flat dan kondominium di negeri ini.
"Kerajaan negeri mengucapkan takziah kepada keluarga ini atas kemalangan yang berlaku.
"Saya harap kerja-kerja 'maintenance' sesebuah bangunan kediaman khususnya dibuat dengan baik dari semasa ke semasa. Saya juga akan panjangkan perkara ini (keselamatan bangunan) dalam mesyuarat Exco esok untuk tindakan lanjut.
"Difahamkan ketika kejadian, besi pada tingkap cermin nako kediaman mangsa longgar yang menyebabkan budak itu boleh buka cermin dan hulur kepala.
"Kepada semua pemilik bangunan kondominium serta flat yang ada di seluruh negeri Terengganu ini diminta buat pemeriksaan bagi memastikan kediaman tersebut selamat," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarah keluarga arwah Mohamad Aryan di rumah datuknya di Jalan Kenanga Batu Burok, di sini hari ini.
Sementara itu, Hanafiah berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersedia memberikan khidmat kaunseling kepada keluarga mangsa.
"Sesi kaunseling sangat membantu terutama kepada ibu bapa mangsa yang pastinya sedih dan trauma berikutan kehilangan anak tersayang.
"Saya telah berbincang dengan kaunselor kita daripada JKM dalam masa tiga empat hari ini supaya datang berjumpa keluarga ini untuk memberi nasihat dan motivasi kepada mereka ketika menghadapi saat-saat sukar ini," ujarnya.
Katanya, diharapkan seluruh keluarga arwah tabah menghadapi ujian Allah ini.
27 Oct 20
1920
Konsep Bersepadu Pembangunan Tanah Lapang Akan Dirangka
SETIU, 27 Oktober – Satu konsep pembangunan bersepadu akan dirangka bagi memanfaatkan kawasan tanah lapang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi.
ADUN Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata, suasana di lokasi itu akan menjadi lebih tersusun apabila penstrukturan dan penempatan lengkap yang disertakan dengan binaan seperti rumah kedai, rumah kediaman dan taman rekreasi.
"Isu perumahan adalah satu isu yang besar, malah kerajaan negeri sangat memandang serius namun apabila kita tidak mampu untuk menyelesaikan semua benda dalam masa yang singkat, langkah perlu laju.
"Birokrasi pula perlu diminimakan seminima yang mungkin agar dapat memberi khidmat yang paling baik dan cepat kepada rakyat," katanya ketika merasmikan Majlis Penyerahan Rumah Projek Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS) di perkarangan Surau Gong Berangan di sini baru-baru ini.
Beliau turut memaklumkan, Projek Rumah Mampu Milik (RMM) di Tempinis sedang giat berjalan dan tanah seluas sekitar sembilan ekar disebelahnya akan turut dibangunkan bagi mengurangkan isu perumahan di DUN Jabi.
"Secara dasarnya kerajaan sudah bersetuju untuk dijadikan sebagai tapak rumah mampu milik. Kita sudah batalkan semua nama peserta terkilan Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) kerana tidak mahu tanah, mereka mahu rumah.
"Saya sudah bercakap dengan pemaju untuk membuat rumah empat tingkat sebab sebab nak suruh kalau kita sihat naik turun naik tangga dan utamanya ramai boleh mengambil manfaat," jelasnya.
Tambah beliau, sebanyak lima buah rumah PPTS masing-masing di Kampung Tempinis, Kampung Anak Ikan Dalam, Kampung Gong Pasir, Kampung Gong Dasar serta Kampung Gerong siap dibina mengikut masa ditetapkan.
"Ada dua lagi yang akan dibina di Renek yang terbakar dan yang baru terbakar bebrapa hari lepas di Seri Tanjung. Insya-Allah yang terlibat dalam bencana kita akan uruskan seberapa segera.
"Kita akan tengok sekiranya keperluan kita untuk baiki rumah sudah semakin kurang kita akan tambah dengan bilangan untuk bina baru, asrat kita sebenarnya nak buat lebih daripada bilangan tahun ini cuma dalam masa yang sama kita perlu kurangkan peruntukan untuk baiki rumah," ujarnya.
27 Oct 20
256