lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Air Sungai Melimpah, Tiga Rumah Terjejas
Air Sungai Melimpah, Tiga Rumah Terjejas
  HULU TERENGGANU, 4 November - Tiga buah rumah di Kampung Pelandan di sini mula digenangi air selepas hujan lebat sejak pagi tadi. Hasil tinjauan mendapati, lokasi rumah-rumah berkenaan berada hampir dengan sungai dan kawasan itu merupakan laluan air jika ia melimpah. Menurut salah seorang penduduk yang terlibat, Hassan Jusoh, 66, berkata hujan berterusan hampir tiga jam pagi tadi menyebabkan rumahnya dinaiki air hampir 0.5 meter. Dia yang tinggal bersama isterinya, Saadiah Abdullah, 56, dan anak lelaki, Mohd Hanif Azizi, 30 menyifatkan ia perkara biasa sejak menetap di situ lebih dari 30 tahun. "Hujan tidak berhenti sejak semalam dan semakin lebat pagi tadi menyebabkan Sungai Kepar melimpah secara tiba-tiba. "Biasanya pak cik akan pindah jika air hampir satu meter bagi keselamatan kami sekeluarga,"ujarnya ketika ditemui pemberita di rumahnya, hari ini. Hassan berkata, dia pernah mempunyai impian untuk mencari penempatan lain tetapi tidak mampu kerana kekangan kewangan. Sementara itu, seorang lagi penduduk, Dariah Abdullah, 43 yang tinggal bersama empat orang anaknya menyifatkan suasana itu perlu dilaluinya sejak tinggal di rumah berkenaan. "Kawasan rumah kami merupakan kawasan terawal dinaiki air pada musim tengkujuh. "Dah lalui hampir 30 tahun tapi setiap kali air naik, memang ada rasa takut.Sebab itu, kami sekeluarga tetap akan pindah ke pusat pemindahan untuk keselamatan anak-anak," katanya yang menumpang di tanah bekas bapa mertuanya.
04 Nov 20
17880
Penternak, Nelayan Dan Petani Perlu Waspada
Penternak, Nelayan Dan Petani Perlu Waspada
KUALA TERENGGANU, 4 November – Penternak, nelayan dan petani di seluruh negeri ini dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dalam menguruskan sektor masing-masing. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, walaupun ketiga-ketiga sektor berkenaan berjalan sepanjang tahun tanpa musim namun langkah berjaga-jaga tetap perlu diambil.  "Contoh penternakan akuakultur seperti ikan kerapu yang sensitif dengan perubahan kadar kemasinan air. Penternak perlu pastikan terutamanya yang berada di laguna, kawasan kuala, muara yang biasanya berlaku penurunan kadar kemasinan air dengan mendadak apabila air dari hulu turun.  "Mereka perlu memastikan bahawa apa yang diternak itu dituai sebelum daripada tiba musim tengkujuh sebab bila kadar kemasinan air menurun, ikan yang sensitif akan mati. "Untuk padi, sekarang ini tengah rancak dituai. Apabila hujan turun, memang kerja-kerja menuai akan ditingkatkan lagi dengan sedaya upaya supaya boleh disiapkan dalam tempoh terdekat. Kita berharap tidak ada padi kita yang rosak disebabkan banjir," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Wisma Darul Iman, semalam.  Menurutnya lagi, isu kekurangan kilang padi tahun lalu telah pun diselesaikan dengan jaya. "Walaupun berlaku pecutan diperingkat tuaian, Terengganu sudah mampu menampung dan memproses sendiri. "Jadi sebanyak manapun padi dituai di Terengganu khususnya di kawasan jelapang padi Besut dan IADA Ketara, ia mampu ditampung untuk diproses oleh kilang-kilang kita," jelasnya.  Sementara itu, pihakya telah memohon kepada pihak kerajaan negeri supaya peruntukan tabung bencana pertanian negeri sebanyak RM5000,000 ditingkatkan pada tahun depan. "Sektor pertanian sangat terdedah dengan bencana sebab ia berada di lapangan terbuka samaada pertanian, penternakan dan akuakultur.  "Kita mohon supaya dipertingkatkan lagi dengan angka yang munasabah dan mengharapkan di ucapan bajet pada akhir November nanti Menteri Besar akan mengumumkan satu berita gembira>" tambah beliau.
04 Nov 20
2148
11 Rumah Terjejas Akibat Banjir
11 Rumah Terjejas Akibat Banjir
KUALA TERENGGANU, 4 November – Kira-kira 11 rumah terjejas dalam kejadian banjir di Kampung Binjai, Chendering malam semalam. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, sebelum ini kawasan tersebut sudah dikenalpasti sebagai lokasi berpontensi dinaiki air kerana ia berdekatan dengan bukit. Berikutan itu katanya, tindakan awal telah dilakukan bagi mengelakkan keadaan lebih bertambah teruk. “Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Buruk bersama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Binjai telah mengambil beberapa langkah seperti kerja pembersihan longkang sedia ada, mendalamkan kawasan yang cetek dan mengutarakan isu ini dalam perhatian peringkat atasan. “Buat masa sekarang juga kerja pembinaan longkang baharu sedang giat dijalankan bagi menyelesaikan masalah ini. “Air melimpah dari bukit Cerun Binjai tertumpu di sini (Kampung Binjai) kemudian mengalir ke muara Kuala Ibai. Tahun-tahun sebelum ini kira-kira 18 keluarga dipindahkan apabila datang musim banjir,” ujarnya ketika ditemubual pemberita selepas melawat keadaan di Kampung Binjai hari ini. Dalam perkembangan sama, Sekretariat Bencana Daerah Kuala Terengganu melaporkan anggaran mangsa terjejas adalah seramai 51 orang. "Namun, hanya satu keluarga telah dipindahkan di rumah penginapan ‘Homestay’ berdekatan," kata kenyataan itu.
04 Nov 20
872
Hadiah Untuk Nelayan, Tempat Baiki Bot Siap Dibina
Hadiah Untuk Nelayan, Tempat Baiki Bot Siap Dibina
MARANG, 4 November - Kesukaran membaiki bot dalam kalangan nelayan di daerah ini akhirnya berjaya diatasi selepas 'mini slipway' di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Marang siap dibina. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, ‘mini slipway’ yang boleh menarik bot seberat sekitar 30 tan ke darat itu dibina dengan kos kira-kira RM460,000 dan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri. Katanya, tempat membaiki bot berkenaan siap seperti yang dijadualkan sekali gus menyelesaikan masalah nelayan yang terpaksa menempuh perjalanan jauh sehingga ke daerah lain bagi tujuan itu. "Saya melihat 'mini slipway' (tempat membaiki bot) ini boleh memenuhi keperluan nelayan kerana kerosakan kecil seperti kerosakan kipas yang memerlukan pembaikan selama beberapa hari, boleh dilakukan di 'mini slipway' seperti ini. “Sebelum ini nelayan sekitar Marang terpaksa pergi ke Pulau Duyong, Kuala Terengganu apabila bot mereka mengalami kerosakan yang akhirnya membuang masa, tenaga meningkatkan kos dan sebagainya. “Maka tahun ini kerajaan negeri menghadiahkan dua keperluan yang sangat diperlukan nelayan Marang iaitu tempat membaiki bot ini dan bilik sejuk beku di jeti LKIM Marang dengan kapasiti simpanan kira-kira 10 tan ikan dan hasil laut dalam satu-satu masa,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak projek 'mini slipway' di Marang, semalam. Katanya, diharapkan nelayan di kawasan Marang dapat manfaatkan sebaik mungkin dua kemudahan yang disediakan kerajaan negeri ini sekaligus berupaya mempertingkatkan lagi pengeluaran sektor perikanan negeri.  
04 Nov 20
1446
Sasar Keluarkan Beras MyGAP April Depan
Sasar Keluarkan Beras MyGAP April Depan
MARANG, 4 November - Kerajaan negeri menyasarkan untuk mengeluarkan beras dengan jenama Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP) Terengganu menjelang April tahun depan. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, bagi merealisasikan hasrat tersebut jawatankuasa khas untuk beras MyGAP Terengganu telah memutuskan Konsortium Kilang Padi di Baruh Masin, Jabi akan dijadikan kilang untuk memproses beras MyGAP. Katanya, langkah tersebut akan menjamin kualiti beras yang tinggi selepas melalui audit pensijilan yang ketat. “Di Terengganu ada seluas 413 hektar kawasan padi yang telah mendapat pensijilan myGAP, cuma sebelum ini sangat rugi apabila daripada jumlah itu ada yang tidak diproses dengan betul walaupun kita ada petani yang ada pensijilan myGAP. “Kita tidak ada jenama beras dengan kualiti myGAP. Ini menyebabkan kita fikir perlu untuk mewujudkan satu rantaian yang lengkap daripada petak sawah, sehingga ke mesin padi, pengangkutan, kilang proses, pembungkusan dan pemasaran,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Kilang Padi Bukit Kor Sdn Bhd, Marang, semalam. Tambah beliau, rantaian tersebut perlu lengkap dan semuanya dalam perancangan pihak kerajaan negeri.  
04 Nov 20
909
2021, Tahun Bertuah Petani Terengganu
2021, Tahun Bertuah Petani Terengganu
KUALA TERENGGANU, 3 November – Tahun 2021 bakal menjadi tahun bertuah kepada seluruh warga tani di negeri Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, perkembangan itu selari dengan titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin semasa perasmian sidang Dewan Undangan Negeri lalu. "Kita mempunyai agenda yang besar menjelang tahun 2021. Selaras dengan itu, kita nampak ruang-ruang yang agak menceriakan untuk warga tani Terengganu dengan peruntukan bajet yang jauh lebih besar berbanding dengan tahun sebelumnya. "Kalau kita tengok berdasarkan pada laporan Jabatan Perangkaan Malaysia bagi tahun 2019, peningkatan ekonomi Terengganu berlaku pada kadar 3.3 peratus meningkat sedikit berbanding dengan 2.8 peratus pada tahun 2018 dan peningkatan ini daripada dua sektor iaitu pertanian dan perkhidmatan. "Ia terbukti pergerakan dan rangsangan ekonomi negeri ini dirangsang oleh sektor pertanian. Ini kerana hampir 70 peratus orang melayu beragama Islam di Terengganu berada dalam sektor ini sama ada sektor pertanian, penternakan, perikanan atau akuakultur," katanya kepada ketika ditemui media di Wisma Darul Iman hari ini. Mengulas lanjut, beliau menegaskan usaha untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri akan terus berjalan. "Jadi, kalau kita nak bantu rakyat dan mahu merangsangkan ekonomi supaya bergerak, kita perlulah tengok di mana majoriti rakyat kita berada. Tidak lain tidak bukan, sektor pertanian inilah yang perlu digerakkan. "Saya nampak ada ‘hint’ yang menggembirakan dan tunggulah ia di masa depan, insya-Allah,’’ ujarnya.
03 Nov 20
1918
Terengganu Mampu Proses Padi Sendiri
Terengganu Mampu Proses Padi Sendiri
MARANG, 3 November - “Keperluan kilang padi di Terengganu sudah mencukupi dan tidak perlu lagi dihantar ke Kedah untuk diproses,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim. Menurut beliau, setakat ini terdapat empat kilang padi yang beroperasi di Terengganu iaitu Kilang Padi Bukit Kor di Marang, Kilang Bernas di Bukit Kenak, Jerteh dan Kilang Mutiara Timur di Kerandang, Jabi selain Kilang Konsortium Lembaga Pertubuhan Peladang di Baruh Masin Jabi yang mula operasi April lalu. “Dengan kapasiti empat buah kilang padi yang ada di Terengganu sekarang ini, ia telah mencukupi untuk menampung keperluan pemprosesan pengeluaran padi bersih kita sekitar 60,000 metrik tan setahun. “Pengeluaran ini telah berjaya mencukupkan dalam sekitar 53 peratus daripada kadar kecukupan sara diri (SSL) untuk 1.2 juta penduduk di Terengganu,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika megadakan lawatan ke Kilang Padi Bukit Kor Sdn Bhd di Marang, hari ini. Katanya, sebelum ini padi-padi yang dikeluarkan daripada kawasan jelapang padi dan kawasan sawah di Terengganu terpaksa dihantar ke Kedah untuk diproses disebabkan masalah tidak cukup kilang. “Jadi apabila kilang Konsortium Lembaga Pertubuhan Peladang telah beroperasi di tambah kilang padi daripada Bukit Kor dicampur dengan kilang Bernas dan Mutiara Timur, alhamdulillah satu daripada keperluan utama dalam rantaian pengeluaran beras Negeri Terengganu kita berjaya cukupkan,” ujarnya.  
03 Nov 20
1219
UMNO, Bersatu Anggota Baharu JPKK Terengganu
UMNO, Bersatu Anggota Baharu JPKK Terengganu
Penjenamaan semula Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di seluruh negeri akan bermula pada 1 Januari 2021 dan dianggotai ahli UMNO serta Bersatu.
03 Nov 20
609
Terengganu Hasrat Jadi Model Kerajaan Digital Pintar
Terengganu Hasrat Jadi Model Kerajaan Digital Pintar
Kerajaan negeri berhasrat untuk menjadi kerajaan digital pintar yang praktikal dan mampan menjelang 2030 sebagai persediaan memasuki era Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0). Usaha mencapai hasrat tersebut dibuktikan dengan Terengganu selangkah ke hadapan menyediakan dan melancarkan Pelan Induk Kerajaan Digital Pintar Terengganu dan Pelan Strategik Taman Maya AI (AI-Artificial Intelligence) Terengganu.
02 Nov 20
382
DUAT Gigih Bentuk Wanita Terengganu Solehah
DUAT Gigih Bentuk Wanita Terengganu Solehah
Foto : Media DUAT KUALA TERENGGANU, 1 November – Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) komited untuk melahirkan golongan wanita negeri yang berakhlak solehah.  Pegawai Seranta Unit Majlis Daie DUAT, Ilhami Nadhrah Hamzah berkata, hal itu boleh dibuktikan melalui siri-siri penganjuran program yang menjadikan kaum wanita sebagai golongan sasar utamanya. “Program Bicara Minda Daie Wanita Terengganu yang dianjurkan di Dewan Imam Naafi' Masjid Al-Muktafi Billah Shah, baru-baru ini juga termasuk dalam agenda menjadikan wanita Terengganu berakhlak solehah. “Program ini merupakan program khusus untuk para wanita yang menampilkan moderator dan panel dalam kalangan asatizah wanita dalam Terengganu iaitu Sumaiyah Zakaria, Noorzila Mohamad serta Nor Aqma Zulaikha Roslan. “Walaupun program ini telah dilaksanakan dengan skala kecil demi mematuhi Standard Operation Procedure (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) namun, ia tetap mencapai matlamatnya."ujarnya. Ilhami berkata demikian ketika dihubungi oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), semalam. Menurut beliau lagi, antara tujuan utama penganjuran ialah untuk memberi ruang kepada para wanita di Terengganu menggilap ilmu dakwah semasa dan ilmu untuk menjadi wanita solehah. “Di samping itu, kita juga mahu membina keyakinan para wanita untuk menyebarluaskan ilmu kepada masyarakat terutamanya wanita. “Kita juga bercita-cita untuk menjadikan Negeri Terengganu sebagai negeri model yang subur dengan majlis ilmu khususnya buat wanita,” katanya. Ilhami turut melahirkan harapan agar para peserta  dapat mengamalkan ilmu yang telah dikongsikan dalam program tersebut dan sama-sama berusaha untuk menjadi wanita yang solehah.
01 Nov 20
749