Artikel "Semasa" Terkini
'Home Manager' Terima Permintaan Dari Luar Negara
KUALA TERENGGANU, 8 November – Pelaksanaan program 'Home Manager' berjaya mencuri tumpuan ramai apabila mendapat permintaan yang menggalakkan termasuk daripada luar negara.
Ketua Penolong Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK), Mohd Fauzy Abdul Ghani berkata, statistik penyertaan ahli program Kakitangan Pengurus Kediaman (Home Manager) mencatatkan jumlah penglibatan memberangsangkan iaitu seramai 222 orang setakat Oktober 2020.
Katanya, jumlah tersebut juga mengatasi bilangan pekerja asing (pembantu rumah) iaitu 35 orang manakala bilangan ‘Home Manager’ seramai 231 orang pada tahun 2019, sekali gus membantu golongan miskin, belia-beliawanis dan ibu tunggal dalam meningkatkan taraf hidup juga pendapatan keluarga.
“Permintaan untuk perkhidmatan ‘Home Manager’ melalui kiriman e-mel daripada peminta warga Malaysia yang menetap di luar negara.
“Kita menerima panggilan daripada Dubai dan Brunei untuk mendapatkan perkhidmatan pembantu rumah, sesuai kerana orang Malaysia yang bekerja di sana memerlukan kepakaran dan tenaga kerja yang memahami budaya sama.
“Walau bagaimanapun, pihak Yayasan masih tidak bersedia lagi dalam menunaikan permintaan tersebut kerana kita hanya memfokuskan di dalam Terengganu sahaja buat masa sekarang,” katanya ketika ditemubual selepas Program Bulan Dakwah 2020 di Dewan Kompleks Ibu Tunggal, Chendering, semalam.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor dan Penolong Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Negeri Terengganu, Nasrul Hadi Saidin.
Mengulas mengenai Program Bulan Dakwah 2020, Zuraida berkata, inisiatif tersebut wajar diteruskan dan diperkembangkan lagi menerusi pelbagai peringkat supaya masyarakat dapat didekatkan dengan ilmu agama khususnya kepada kaum wanita.
“Saya berterima kasih kepada pihak YADIM atas penganjuran ini dengan kerjasama kerajaan negeri yang melibatkan kakitangan ‘Home Manager’ pada hari ini.
“Ini penting kerana ilmu agama berperanan sebagai banteng kepada kaum hawa. Oleh itu, program seperti ini memberi ilmu kepada semua khususnya kepada supaya wanita Terengganu terus dimartabatkan,” ujarnya.
08 Nov 20
1175
Koperasi Pengusaha Getah Tingkat Pendapatan Pekebun Kecil
KUALA NERUS, 8 November - Kerajaan melalui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mahu agar usaha menambah pendapatan dan mengoptimumkan penggunaan tanah pekebun kecil getah diberi penekanan sepenuhnya.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, selaras dengan itu konsep Pembangunan Komuniti Pekebun Kecil Getah diperkenalkan melibatkan penyatuan pengurusan tanah pekebun kecil termasuk kawasan tanah terbiar.
“Matlamat utama ialah mewujudkan koperasi bagi membolehkan pekebun kecil menambah pendapatan melalui pengurusan teknologi huluan sehingga hiliran, memendekkan rantaian bekalan (supply chain), penjualan hasil getah dan tanaman sampingan melalui sistem perladangan kontrak (contract farming) dan elemen pembangunan kebun getah secara integrasi dengan ternakan dan tanaman secara berkelompok,” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Koperasi Pengusaha Getah Kuala Nerus Berhad di Duyong Marina& Resort, Pulau Duyong, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Lembaga Getah Malaysia (LGM), Dato’ Dr. Zairossani Mohd Nor.
Katanya, koperasi yang ditubuhkan berperanan sebagai pembeli dan penjual getah berlesen termasuk mengurus pengeluaran lateks yang berkekalan bagi keperluan industri.
“Produk nilai tambah juga dilaksanakan sebagai pendapatan tambahan kepada pekebun kecil.
“Berdasarkan kajian, kaedah ini mampu membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil sehingga 30 peratus berbanding kebergantungan terhadap hasil getah semata-mata,” ujarnya.
Justeru katanya, semua pihak termasuk LGM, koperasi dan peserta projek yang terdiri daripada pekebun kecil perlu memainkan peranan masing-masing.
“ Adalah diharapkan dengan pelancaran koperasi di Kuala Nerus ini, taraf hidup pekebun kecil getah dapat ditingkatkan ke tahap yang membanggakan,” ujarnya.
08 Nov 20
687
Sukan Motocross Bakal Gegarkan Bumi Jabi
SETIU, 8 November – Sukan lasak motocross bakal mengegarkan bumi Jabi selepas litar sukan terbabit yang bernilai RM10,000 siap dibina di Kuala Kubang di sini dalam beberapa masa lagi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata, penganjuran sukan itu turut mampu meningkatkan ekonomi penduduk sekitar.
"Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi ialah sebuah pekan kecil dengan kuasa beli penduduknya yang terhad. Kedai makan, restoran, kedai runcit, kedai sate dan lain-lain lagi dah banyak wujud di Jabi.
"Dengan jumlah pelanggan tempatan yang terhad, kita merancang pelbagai program supaya Jabi menjadi tumpuan pengunjung dari luar.
"Sebelum ini kita buat Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Terengganu, Himpunan Lembu Sado Pantai Timur, Karnival Dun Jabi dan beberapa program lagi. Dengan wujudnya program bersaiz mega sebegini, Pekan Jabi dilimpahi pengunjung.
"Kesan ekonomi sangat ketara. Kedai satay dan kedai makan penuh orang. Stesen minyak penuh kereta. Homestay dan hotel bajet tak cukup bilik dan macam-macam lagi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita setelah melakukan lawatan ke tapak litar motocross yang masih dalam penyelenggaran semalam.
Turut bersama Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kuala Kubang, Aziz Rashid.
Dalam masa yang sama, Dr Azman turut bercadang untuk menghidupkan kembali acara Tebu Mountain Challenge dan mensasarkan dijadikan ia suatu acara bertaraf antarabangsa.
08 Nov 20
530
Ibu Redha Walupun Ia Cukup Pahit Bagi Keluarga
Sekalipun pahit untuk ditelan, namun, tiada apa lagi yang mampu dilakukan selain daripada menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menentukan masa depan anaknya.
06 Nov 20
260
Ketengah Bantu 500 Keluarga Terjejas COVID-19
DUNGUN, 6 November - Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) melalui anak
syarikatnya Ketengah Holding Sdn. Bhd. (KHSB) memperuntukan RM338,700 bagi menyalurkan bantuan kepada 500 keluarga yang terjejas akibat wabak pandemik COVID-19.
Pengerusi Ketengah, Senator Datuk Razali Idris berkata penerima-penerima ini melibatkan Mukim Rasau, Dungun dan kampung tradisi dalam Wilayah Ketengah.
Jelas beliau, sebagai contoh, Mukim Rasau Dungun yang merupakan salah sebuah kawasan yang mempunyai kes positif COVID-19 bagi gelombang ketiga terpilih untuk bantuan kali ini.
"Melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini, setiap keluarga menerima bantuan berupa barang keperluan asas yang dihantar ke beberapa lokasi berhampiran.
"Ia bagi memudahkan proses pengagihan kepada keluarga yang terlibat melalui Pihak Berkuasa Tempatan dan pemimpin setempat bagi mengelak penerima keluar rumah.
"Bantuan tersebut sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarga yang terjejas punca pendapatannya selain membantu usaha kerajaan bagi memastikan masyarakat sentiasa tetap berada di rumah untuk memutuskan rantaian wabak COVID-19 ini demi keselamatan bersama," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu pada gelombang pertama penularan COVID-19 melanda negara, seramai 86 orang pengusaha sektor pelancongan telah dibantu Ketengah dengan peruntukan sebanyak RM152,700.
Manakala KHSB turut menyalurkan RM70,000 kepada Tabung Bantuan COVID-19 Terengganu bagi agihan secara menyeluruh di negeri Terengganu.
06 Nov 20
450
Kerajaan Negeri Bantu Keluarga Mangsa Bunuh, Siti Nur Surya
Kerajaan negeri sedia membantu dan membuat pemantauan secara berkala kepada keluarga Allahyarhamah Siti Nur Surya Ismail, 19, yang ditemui mati dibunuh dengan kesan tetakan di Kampung Lubuk Batu, Telemong, baru-baru ini.
05 Nov 20
562
Perhalusi Cadangan Pengeluaran Akaun 1 KWSP
KUALA TERENGGANU, 5 November - Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyarankan agar kerajaan mempertimbang cadangan pengeluaran wang Akaun 1 caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membantu rakyat khususnya mereka yang hilang pekerjaan.
Katanya, perkara itu perlu diperhalusi dan dibincang secara menyeluruh mengenai bentuk atau kaedah pengeluaran sekiranya dibenarkan malah perlu memastikan pengeluaran itu hanya untuk tujuan kecemasan.
“Mengenai pengeluaran Wang Akaun 1 caruman KWSP ini seperti diminta oleh agensi serta beberapa pihak yang viral di sosial media saya rasa kerajaan boleh membuat pertimbangan.
“Antara yang boleh dipertimbangkan adalah untuk kes-kes munasabah yang perlu dibuktikan oleh pencarum yang mahu membuat pengeluaran dan bukan setiap orang boleh berbuat demikian.
“Selain itu, jumlahnya juga tidak terlalu besar sekadar untuk menyelesaikan perkara-perkara kecemasan mereka sahaja,” ujarnya kepada pemberita.
Justeru katanya, kerajaan perlu mempertimbangkan sewajarnya cadangan pengeluaran caruman ini supaya dapat meringankan beban rakyat di masa pandemik COVID- 19 dan secara tidak langsung dapat menjamin kelangsungan hidup pencarum.
Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata kerajaan sukar membenarkan pengeluaran wang Akaun 1 caruman KWSP bagi digunakan rakyat yang berdepan wabak COVID-19.
Kata Muhyiddin, beliau menyedari ada cadangan yang dibuat bagi pengeluaran wang Akaun 1 KWSP dibuat berikutan rakyat terbeban dengan impak ekonomi akibat penularan berkenaan.
Jelas Muhyiddin, simpanan KWSP adalah untuk masa tua pencarum dan sekiranya kerajaan membenarkan pengeluaran dilakukan, ia akan memberi masalah lebih besar pada masa hadapan iaitu selepas pencen.
05 Nov 20
484
Tabung Haji Kini 'Online'
SETIU, 5 Oktober - Urusan Tabung Haji (TH) kini boleh dilakukan secara atas talian melalui aplikasi terbarunya THiJARI.
Pengurus TH Setiu, Wan Mohd Kamil Wan Abdul Ghani berkata, aplikasi terbaru itu akan membantu pengguna untuk membuat urusan seperti pindahan simpanan, ringkasan akaun, pendaftaran haji dan tawaran haji.
"Insya-Allah aplikasi ini membantu pelanggan Tabung Haji yang mana kita tidak lagi menggunakan sistem buku seperti yang diamalkan oleh perbankan lain," katanya ketika ditemui oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) semalam.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri, Zul Bhari A Rahman turut mendaftarkan aplikasi ini dalam satu majlis ringkas pagi tadi.
Majlis ringkas itu juga dihadiri oleh kakitangan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri dan turut mendaftar sama.
05 Nov 20
788
Permint Granite Sumbang RM1 Juta
KUALA TERENGGANU, 5 November - Permint Granite Sdn Bhd, anak syarikat Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) menyumbang RM1 juta kepada kerajaan negeri bagi membantu rakyat yang terjejas banjir.
Pengerusi Permint Granite Sdn. Bhd, Che Ghani Che Ambak berkata, pihaknya terpanggil untuk sama-sama membantu kerajaan negeri meringankan beban rakyat yang terkesan.
“Kita turut merasai kesusahan yang dialami mereka terutamanya golongan yang terlibat dengan banjir setiap tahun.
Ditambah lagi dengan suasana sekarang yang mana wabak COVID-19 masih berpanjangan, jadi kami rasa bertanggungjawab untuk bersama-sama mengurangkan keperitan mereka,” ujarnya kepada pemberita.
Katanya, sumbangan berkenaan merupakan antara tanggungjawab sosial korporat (SCR) yang dilaksanakan Permint Granite saban tahun.
05 Nov 20
1492
Tak Pasti Jangan Kongsi
SETIU, 5 November - Orang ramai diingatkan menyemak kesahihan sesuatu berita yang diterima sebelum menyebarkannya kepada masyarakat.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, penyebaran berita atau maklumat yang tidak tepat hanya akan menimbulkan huru-hara dalam kalangan masyarakat.
"Jangan mudah terpengaruh dan terperdaya dengan berita yang tidak benar.
"Semak dahulu maklumat yang kita terima melalui portal atau laman sesawang yang disahkan," ujarnya.
Shafizi berkata demikian kepada pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas mengagihkan Warta Darul Iman di sekitar Batu Rakit di sini kelmarin.
Katanya dalam konteks negeri Terengganu, kerajaan telah menyediakan portal TV Darul Iman dan TRDI News sebagai medium terbaharu penyampaian maklumat rasmi berkenaan kerajaan negeri kepada masyarakat.
“Oleh itu, kerajaan melalui UPDI giat turun padang dengan mengedarkan risalah bagi memastikan masyarakat setempat mendapat maklumat yang tepat.
“Seperti hari ini (kelmarin), kita mengedarkan risalah mengenai kejayaan kerajaan Terengganu kepada peniaga dan penduduk di Batu Rakit," tambah beliau.
04 Nov 20
309