lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

APM Terus Pantau Keadaan Banjir, Paras Air Sungai
APM Terus Pantau Keadaan Banjir, Paras Air Sungai
KUALA TERENGGANU,18 November – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri terus memantau perkembangan banjir dan kenaikan paras air sungai di Terengganu. Pengarah APM negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman memaklumkan, pihaknya telah meninjau kenaikan air pasang di hiliran sungai, Kuala Terengganu semalam dan hasil pemantauan mendapati kenaikan paras air tersebut ialah fasa awal musim tengkujuh seperti dimaklumkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada petang semalam. “MetMalaysia telah menjangkakan notis amaran cuaca buruk (amaran jingga), hasil pemantauan APMM di sekitar Terengganu mendapati waktu kemuncak air pasang dengan peningkatan 2.4 meter pada jam 11 malam ini. “Namun begitu, alhamdullilah hujan lebat telah berhenti pada lewat petang sehingga malam ini dan tiada pemindahan yang berlaku di kawasan berdekatan. Kesiapsiagaan pasukan APMM di seluruh negeri sedang giat dengan pemantauan berterusan. “Pihak kami turut bekerjasama dan memaklumkan semua daerah dan sekretariat pengurusan bencana setiap daerah untuk bersiap sedia jika ada hujan lebat kerana kebarangkalian boleh berlaku pemindahan pada bila-bila masa,” katanya. Beliau berkata demikian selepas kerja pemantauan air pasang di Jeti Losong Ferry dan di Pulau Warisan, malam semalam. Mengulas berkenaan kawasan berisiko untuk dinaiki air, beliau berkata, Hulu Terengganu, Hulu Besut, Setiu, Kemaman dan Dungun adalah diantara kawasan yang diberi tumpuan atas faktor seperti komposisi air di hulu tidak dapat mengalir keluar laut.  “Terutama di kawasan berhampiran sungai seperti di Losong, Pulau Sekati, Pulau Rusa dan Manir.  “Pihak berkuasa menasihati penduduk terutama di kawasan berisiko seperti di tepi sungai untuk bertindak awal atas sebab potensi kenaikan air dan memindahkan kenderaan mereka ke kawasan selamat,” ulasnya.
18 Nov 20
378
Pindah Segera Jika Banjir
Pindah Segera Jika Banjir
DUNGUN, 18 November-  Arahan segera berpindah telah dikeluarkan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bukit Besi Cawangan Besol kepada penduduk kampung itu sekiranya banjir berlaku. Pengerusinya, Nasharuddin Salleh berkata, arahan berkenaan dikeluarkan agar semua penduduk berada dalam keadaan siap sedia dan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga. "Sehingga 4 pagi semalam alhamdulillah keadaan masih terkawal dan saya mengarahkan penduduk jika hujan lebat berterusan sehingga mengakibatkan paras sungai meningkat segera berpindah ke Pusat Pemidahan Sementara (PPS) di Surau Kampung Besol Lama. "Sekitanya berlaku banjir dikawasan ini ianya akan menjejaskan lapan buah rumah," ujarnya melalui satu kenyataan melalui 'Whatsapp' Khidmat Malaysia DUN Bukit Besi, hari ini. Walau bagaimanapun katanya, pagi ini air sungai sudah mulai surut dan dan kembali seperti sediakala. Sementara itu, Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, Bilik Gerakan Banjir melalui Khidmat Malaysia DUN Bukit Besi telah diaktifkan serta merta. "Kita akan sentiasa berhubung dengan pihak MPKK yang biasa terlibat dengan banjir agar sentiasa membuat laporan dari semasa ke semasa setiap empat jam sekali bagi melaporkan keadaan penduduk dan aras sungai jika hujan berterusan membabitkan Sungai Pasir Raja, Jerangau dan Kuala Jengai. "Kita mendoakan agar tidak berlaku banjir yang teruk, serta hujan yang mengundang bencana serta perkara yang tidak diingini kerana menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan dijangka hujan lebat berterusan tambahan pula telah tiba musim tengkujuh" ujarnya. Tindakan awal untuk berpindah katanya amat penting bagi menjamin keselamatan terutama kepada golongan warga emas, pesakit kronik, ibu bersalin dan sebagainya. "Diharapkan agar tidak ada penduduk yang ingkar dan enggan berpindah sekiranya arahan dikeluarkan, dikhuatiri akan mengundang pelbagai perkara yang tidak baik serta menyukarkan kerja -kerja menyelamat, menyampaikan bantuan dan sebagainya. "Di samping kita telah dimaklumkan mengenai tatacara Prosedur Operasi Standard ( SOP) yang telah ditetapkan dalam suasana norma baru pada tahun ini didalam keadaan menghadapi pandemik COVID-19," ujarnya.
18 Nov 20
403
Musim Tengkujuh : Penoreh Getah Perlu Bantuan
Musim Tengkujuh : Penoreh Getah Perlu Bantuan
SETIU, 18 November – Musim tengkujuh yang melanda beberapa negeri di Pantai Timur memberi impak kepada penoreh getah dan nelayan yang tidak dapat bekerja seperti biasa. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, perkara itu perlu ditangani dengan baik kerana ia boleh menjejaskan kehidupan golongan tersebut terutamanya melibatkan bekalan asas. "Alhamdulillah, sebahagian stok makanan ruji persiapan musim banjir sudah tiba. Beras dari sawah padi Terengganu dan dikilangkan di Terengganu. Walau susah macam mana sekalipun, wajib kita kena pastikan setiap rumah di Jabi ada beras, "Tengkujuh adalah musim sukar untuk penoreh terutama penyandang jawatan 'noreh getah orang'. Dari tangga ke tangga kita kunjungi dalam program ziarah cakna penoreh sekitar Kampung Tok Dor, Kampung Bahagia, Kampung Padang Lengkuas, Kampung Tasik Nibong, Kampung Bukit Jeruk, Kampung Kerandang, Kampung Pondok Paku, Kampung Gong Dasar dan Kampung Matlain Badrin. "Alhamdulillah, sempat 60 buah rumah sahaja hari ni. Insya-Allah akan disusuli lagi di beberapa lokaliti lain yang masih berbaki," katanya selepas menyerahkan sumbangan kepada penoreh getah di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi, baru-baru ini. Mengulas tentang banjir, beliau yang juga ADUN Jabi memaklumkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan keperluan untuk mangsa banjir yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS). "Di Jabi yang berpindah ke PPS tak berapa ramai. Majoritinya tak berpindah tetapi mereka adalah mangsa musim banjir terutamanya penoreh getah. Inilah yang perlu kita selesaikan dan disantuni. Tentunya bantuan ini tak akan sampai ke setiap rumah di Jabi sebagaimana agihan masa Perintah Kawalan pergerakan (PKP) dulu. ‘’Biarlah berat sama dipikul, susah sama dirasa dan kepayahan sama diringankan. Ternyata beban yang perlu dipikul atas dunia terlalu ringan berbanding beratnya bebanan amanah yang perlu kita jawab di hadapan Allah. ‘’Kami bukan yang terbaik. Tetapi kami berusaha untuk sentiasa hadir ketika rakyat dalam kesukaran," tambah beliau.
18 Nov 20
431
MAIDAM Salur RM3.6 Juta Kepada Asnaf Terkesan COVID-19
MAIDAM Salur RM3.6 Juta Kepada Asnaf Terkesan COVID-19
KUALA TERENGGANU, 16 November - Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menyalurkan bantuan kecemasan berjumlah RM3.6 juta bagi membantu golongan asnaf yang terkesan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), dikuatkuasakan kerajaan bermula Isnin lalu sehingga 6 Disember depan.  Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, M. Rozi Bidin berkata, melalui bantuan segera itu, seramai 638 Ketua Isi Rumah (KIR) akan menerima wang tunai sekali bayaran berjumlah RM300. Menurut beliau, bantuan wang tunai secara sekali bayaran itu disalurkan melalui peruntukan sumber am kepada golongan asnaf dengan menepati syarat ditetapkan iaitu penerima bantuan bulanan dan bantuan persekolahan yang mempunyai tanggungan anak bersekolah lebih daripada tiga orang berusia lima tahun hingga 17 tahun.  "Tiada syarat ketat atau borang permohonan bantuan perlu disahkan kerana senarai penerima dikenal pasti melalui saringan berdasarkan rekod yang terdapat dalam sistem zakat dan bayaran. "MAIDAM akui golongan asnaf amat terkesan dalam menghadapi situasi penularan pandemik COVID-19, susulan PKPB dikuatkuasakan kerajaan," katanya ketika mewakili Yang Dipertua MAIDAM, Dato' Osman Muda pada program menyantuni pengayuh beca di Pasar Besar Kedai Payang, di sini, hari ini.  Pada majlis itu, seramai 13 orang pengayuh beca yang aktif menerima bantuan wang tunai sebanyak RM200 dan barangan keperluan dapur bernilai RM100 seorang.  M.Rozi menambah, bantuan lain disalurkan kepada 20,000 golongan asnaf adalah silinder komposit gas petroleum cecair (LPG), yang setiap satunya berkapasiti 14 kilogram bernilai RM155 setiap unit.  "Bantuan itu disalurkan bagi meringankan beban golongan asnaf untuk mendapatkan keperluan gas memasak susulan pemantuhan PKPB.  "Bagi membantu kerajaan mengalakkan masyarakat tidak keluar rumah bagi mengelakkan berlakunya penularan pandemik COVID-19, silinder komposit itu akan dihantar terus ke rumah penerima secara berperingkat, " katanya. Sementara itu M.Rozi berkata, golongan terkesan termasuk usahawan susulan penularan COVID-19 sehingga menyebabkan kerajaan menguatkuasakan PKPB boleh mengemukakan permohonan bantuan melalui borang dalam talian. 
16 Nov 20
2265
Kesedaran dan Kerjasama Penduduk, Atasi Masalah Banjir
Kesedaran dan Kerjasama Penduduk, Atasi Masalah Banjir
HULU TERENGGANU, 16 November - "Kesedaran dan kerjasama penduduk tempatan untuk bersama-sama menyelenggara sistem saliran adalah penting dalam usaha mengatasi masalah banjir," demikian kata Timbalan Pengerusi Pertanian, Industeri Makanan, Peladangan Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Ustaz Hilmi Dato’ Harun. Tambahnya, longkang berhampiran rumah, pastikannya bersih dan tidak tersumbat kerana sampah yang dibuang sewenang-wenangnya ke dalam longkang akan dibawa air saliran utama. “Memang tidak dinafikan, kegagalan sistem saliran air sedia ada untuk menampung pengaliran air menjadi antara faktor utama banjir kerap melanda terutama kawasan penempatan lama atau tanah rendah," ujar beliau. Ustaz Hilmi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir berkata demikian kepada media selepas melawat gotong-royong pemasangan ‘culvert’ saliran air banjir di kampung Pulau Manis anjuran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), semalam. “Hampir setiap MPKK diberi peruntukan baik pulih atau bina baharu saliran air hasil peruntukan daripada pelbagai agensi seperti Majlis Badaraya Kuala Terengganu (MBKT), Pejabat Daerah dan Pusat Khidmat Masyarakat PKM ADUN Manir” “Justeru, sangat perlu mengukuhkan mekanisme menggabungkan antara agensi dan pentadbiran secara menyeluruh, selain mempertingkat kesedaran masyarakat dalam usaha mengekang banjir,"ujarnya.
15 Nov 20
688
JENDELA Bakal Selesaikan Isu Internet Setiu
JENDELA Bakal Selesaikan Isu Internet Setiu
SETIU, 13 November - Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang telah diperkenalkan oleh pihak Kerajaan pada bulan Ogos lalu bakal menyelesaikan masalah rangkaian internet di Setiu. Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir, berkata penduduk di luar bandar khususnya di Parlimen Setiu akan menikmati rangkaian 4G sama seperti di kawasan bandar. "Jalur lebar di sesetengah kawasan Setiu masih lagi menggunakan rangkaian 2G dan 3G sedangkan pembangunan infrastruktur komunikasi ini merupakan keperluan yang amat penting. "Inisiatif ini membolehkan penduduk luar bandar mendapatkan perkhidmatan 4G sebagai platform penambahbaikan komunikasi digital serta liputan perkhidmatan jalur lebar yang menyeluruh dan berkualiti tinggi," ujar beliau dalam satu kenyataan media hari ini. Beliau juga berterima kasih kepada pihak Kerajaan atas jawapan yang lengkap berkenaan masalah rangkaian internet di Setiu serta usaha-usaha yang akan dilaksanakan. "Jawapan menteri melalui jawapan lisan berkenaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) memberi berita gembira untuk rakyat Setiu. "Melalui inisiatif JENDELA, bagi Kawasan Parlimen Setiu, sebanyak 1,322 premis akan dinaik taraf capaian kepada gentian optik. Selain itu, 13 menara kamunikasi baru bakal dibina serta 57 pemancar komunikasi di menara sedia ada turut dinaik taraf," tambah beliau lagi. JENDELA merupakan inisiatif Kerajaan dalam meningkatkan kesalinghubungan serta kualiti pengalaman perkhidmatan komunikasi di seluruh negara. Fasa pertama inisiatif ini akan dimulakan dengan mengembangkan rangkaian 4G di Malaysia dari 91.8 peratus ke 96.9 peratus, terutamanya di kawasan yang mempunyai penempatan yang padat.
13 Nov 20
429
JPKK, Status Quo Parti Kerajaan Dikekalkan
JPKK, Status Quo Parti Kerajaan Dikekalkan
BESUT, 12 November – Status quo parti kerajaan dikekalkan dalam Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang mula berjalan tahun hadapan. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, penyusunan terbaharu dengan lima kuota tambahan turut diadakan bagi meraikan rakan-rakan daripada Perikatan Nasional (PN). "Telah diputuskan supaya ‘rumah’ yang ada sekarang ini tidak dirobohkan tetapi dalam masa yang sama kita meraikan rakan-rakan daripada parti PN," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Taklimat JPKK kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Daerah Besut di Kota Putera Square baru-baru ini. Jelasnya, beberapa negeri lain juga bakal membuat langkah sama bagi meneruskan kemenangan yang ada sehingga pilihan raya umum (PRU) ke-15 dijalankan. "Dikekalkan itu bukan bermakna mengekalkan individu tetapi dikekalkan komposisi. Kita menjemput rakan PN untuk mengisi kuota tambahan ini dengan memberikan tiga kepada UMNO dan dua untuk Bersatu di Terengganu," ujarnya. Sementara itu menurutnya, kerajaan Persekutuan telah menetapkan syarat, sesebuah parti yang boleh menyertai JPKK di suatu lokasi mestilah parti yang mempunyai cawangan di lokaliti terbabit. "Kalau tiada cawangan maka tidak termasuklah dalam kategori yang perlu dijemput dan diundang untuk sama-sama menyertai JPKK. "Tetapi di negeri Terengganu kita berlapang dada dan tidaklah 'stick' sangat mesti ada cawangan. Cukuplah sekadar ada orang dan mereka bersedia untuk berkhidmat. Dipersilakan sebab lima kuota tambahan memang kita peruntukkan kepada rakan kita," tambah beliau. Untuk rekod, penjenamaan semula Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di seluruh negeri akan bermula pada 1 Januari 2021.
12 Nov 20
1868
Speaker Naik Angin, Ahli Parlimen DAP Dihalau
Speaker Naik Angin, Ahli Parlimen DAP Dihalau
KUALA LUMPUR, 12 November - Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, dihalau dari Dewan Parlimen selepas menyatakan Yang Di Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Harun 'bodoh' dalam membuat keputusan. Ahli Parlimen Parti Tindakan Demokratik (DAP) itu juga berkeras dengan kenyataan beliau walaupun telah diminta untuk ditarik balik. "Kenapa saya perlu tarik balik apabila 'Speaker' telah membuat satu 'ruling' yang bodoh?," ujar beliau dalam Dewan Rakyat hari ini. Beliau juga bertindak menghalau Yang Dipertua Dewan Rakyat apabila keputusan halau keluar dewan dijatuhkan kepadanya. "Speaker yang patut keluar!," laung beliau. Lim telah bangkit bagi mempertahankan kenyataan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng yang juga merupakan Setiausaha Agung parti yang beliau anggotai. Ahli Parlimen DAP itu juga digantung dari memasuki Dewan Parlimen selama lima hari akibat tindakan kurang ajar tersebut.  
12 Nov 20
781
Waspada Hadapi Musim Banjir - Maliaman
Waspada Hadapi Musim Banjir - Maliaman
HULU TERENGGANU, 11 November - Penduduk di sekitar Hulu Terengganu diingatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga terhadap keselamatan keluarga mereka ketika perubahan angin monson yang boleh mengakibatkan banjir di kawasan yang berisiko. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim berkata,pPenduduk yang tinggal di kawasan rendah diminta bersiap sedia untuk menghadapi banjir ekoran hujan lebat ketika ini. “Kebiasaannya pada setiap hujung tahun merupakan musim tengkujuh di Pantai Timur. Melihat kepada keadaan cuaca dan hujan yang sentiasa turun dalam seminggu ini, saya berpesan kepada seluruh rakyat di daerah ini khususnya agar bersedia dan berwaspada bagi menghadapi kemungkinan banjir yang akan melanda terutamanya mereka yang terlibat dengan kawasan berisiko banjir. “Oleh itu, masyarakat khususnya di kawasan berisiko banjir dan kawasan rendah terutama di kawasan berhampiran sungai disarankan supaya lebih berjaga-jaga serta berpindah awal di pusat pemindahan yang disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). “Kita nasihatkan semua penduduk di kawasan berisiko banjir dan kawasan rendah terutama di kawasan berhampiran sungai supaya lebih berjaga-jaga.Pastikan anak-anak kecil tidak bermain air, mandi di sungai terutama pada musim hujan ini," katanya. Beliau berkata demikian kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika meninjau hakisan tanah di Kampung Machang, pagi ini. Tambahnya, jika air mulai melimpah dari sungai dan membanjiri kawasan kampung, maka ibu bapa perlu lebih peka, jaga keselamatan anak-anak dan jangan sesekali membiarkan mereka bermain dengan air banjir, sungai, parit besar dan sebagainya yang berisiko.  “Pihak keselamatan akan sentiasa memantau keadaan paras air sungai dan sentiasa menyalurkan maklumat terkini mengenai perkembangan semasa banjir di negeri ini. “Saya berharap, seluruh rakyat tidak mengambil mudah terhadap setiap arahan dan panduan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dari semasa ke semasa terutamanya melibatkan arahan untuk berpindah. Apabila arahan berpindah dikeluarkan, hendaklah semua pihak mengambil langkah segera untuk berpindah dan berpindah awal di pusat pemindahan yang disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” jelasnya.    
11 Nov 20
369
Usahawan Disaran Agresif Rebut Peluang Dana RM4.6 Bilion
Usahawan Disaran Agresif Rebut Peluang Dana RM4.6 Bilion
KUALA TERENGGANU, 11 November - Golongan usahawan dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS), khususnya bumiputera disaran lebih agresif merebut peluang yang disediakan kerajaan menerusi peruntukan RM4.6 bilion untuk merancakkan lagi pembangunan PKS. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, pengumuman kerajaan pada Belanjawan 2021 Jumaat lalu dilihat berupaya membantu meringankan beban yang dialami usahawan yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19. Justeru, beliau menyeru semua golongan usahawan merebut dan memanfaatkan peluang peruntukan tersebut supaya sektor PKS dapat terus berkembang pada masa depan.Katanya, keprihatinan kerajaan dalam membantu golongan itu menerusi peruntukan yang disediakan dalam Belanjawan 2021 perlu dimanfaatkan sebaik mungkin. “Usahawan di negeri ini khususnya perlu merebut peluang kerana banyak peruntukan yang disediakan kerajaan untuk bantu usahawan, malah boleh dikatanya Bajet 2021 sangat memberi tumpuan kepada usahawan yang terkesan akibat COVID-19. “Terima kasih banyak kepada pihak kerajaan kerana bidang keusahawanan ini dijadikan antara bidang utama yang diberi penekanan dalam pembentangan bajet kali ini dan kita sangat bertuah kerana kerajaan memberi sokongan yang tidak berbelah bagi untuk bidang keusahawanan,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Pejabat Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), hari ini. Katanya, difahamkan daripada jumlah tersebut sebanyak RM510 juta diperuntukkan bagi tujuan pembiayaan kepada PKS dan PKS mikro Bumiputera melalui TEKUN dan PUNB. “Sebanyak RM800 juta melalui program peningkatan keupayaan oleh Bank Pembangunan Malaysia dan SME Bank. “Sementara RM2 bilion diperuntukkan bagi membantu pembiayaan PKS Bumiputera melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan dan RM1.3 bilion lagi untuk pelbagai program peningkatan kapasiti termasuk pembangunan profesional, Dana Kemakmuran Bumiputera serta program atau projek khusus untuk Bumiputera,” ujarnya.  
11 Nov 20
4630