lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Banjir Di Terengganu, 192 Mangsa Dipindahkan
Banjir Di Terengganu, 192 Mangsa Dipindahkan
KUALA TERENGGANU, 24 November - Seramai 192 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Terengganu apabila tiga daerah di negeri ini dilanda banjir berikutan hujan lebat malam tadi. Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, sehingga jam 8 pagi ini, empat PPS telah diaktifkan bagi menempatkan 57 keluarga dari daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Dungun. “Daerah Kuala Nerus merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 151 orang daripada 46 keluarga yang kini ditempatkan di dua PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Jembal dan Balai Raya Alor Damat. “Di daerah Kuala Terengganu pula, seramai 15 mangsa melibatkan lima keluarga telah dipindahkan ke SK Chendering, sementara seramai 22 mangsa daripada enam keluarga telah ditempatkan di PPS Dewan Sivik Seberang Pintasan, Dungun,” ujarnya. Menurut beliau, kesemua mangsa mula dipindahkan secara berperingkat sejak malam tadi susulan hujan lebat berterusan sejak semalam menyebabkan kediaman mereka dinaiki air. “Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) sentiasa bersiap siaga termasuk melakukan pemantauan dari semasa ke samasa terutamanya di kawasan berisiko,” ujarnya.  
24 Nov 20
922
Sidang DUN : PEUTER Jadi Pemudahcara
Sidang DUN : PEUTER Jadi Pemudahcara
KUALA TERENGGANU, 23 November - Urus Setia Pembangunan Usahawan Terengganu (PEUTER) bertekad untuk menjadi peneraju utama bagi memudahcara antara agensi berkaitan dengan para usahawan dalam usaha membangunkan usahawan negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, sejak ditubuhkan 23 April 2014, sebanyak 39 agensi keusahawanan pusat dan negeri telah menganggotai PEUTER. “PEUTER dibawah kelolaan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Negeri Terengganu berperanan untuk menyelaras dan mengumpul maklumat berkait aktiviti keusahawan yang dilaksanakan khusus di negeri ini terutamanya membabitkan pembiayaan, geran perniagaan, latihan dan promosi,” ujarnya.  Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Ridzuan Hashim (PAS-Buluh Gading) mengenai objektif penubuhan PEUTER dan pencapaian sejak ianya ditubuhkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Penggal Ketiga, Kali ke-14 (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini. Katanya, antara pencapaian PEUTER bagi tahun ini iaitu sehingga 31 Oktober lalu, seramai 12,304 usahawan Perusahaan Kecil Dan Sederhana (PKS) menikmati pembiayaan berjumlah RM130,783,494 yang diperuntukkan oleh agensi berkaitan di bawah PEUTER.  “Manakala, 713 PKS memperoleh geran berjumlah RM3,326,151 sementara untuk latihan pula sebanyak 123 program melibatkan 4,363 usahawan dan promosi 43 program dengan 6,697 usahawan,” ujarnya. Sementara itu katanya, dalam usaha membantu usahawan PKS yang terjejas ekoran COVID-19, Bantuan Pembiayaan COVID-19 berjumlah RM4.3 juta dikeluarkan kepada 327 usahawan. “YPU juga turut memberi insentif menerusi pengecualian sewa kepada lebih 100 penyewa premis yang dianggarkan bernilai lebih RM500,000 dalam tempoh April hingga Mei 2020,” ujarnya.  
23 Nov 20
580
Sidang DUN : RM57 Juta Atasi Hakisan Pantai Teluk Lipat
Sidang DUN : RM57 Juta Atasi Hakisan Pantai Teluk Lipat
KUALA TERENGGANU, 23 November - Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM57 juta bagi menyelesaikan masalah hakisan pantai yang berlaku di Pantai Teluk Lipat, Dungun sejak beberapa tahun lalu. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri Dr Mamad Puteh berkata, peruntukan itu antaranya melibatkan kerja-kerja penyuburan pantai serta pembaikian struktur awam seperti laluan pejalan kaki yang rosak akibat hakisan. “Projek ini dijangka siap akhir Ogos 2022 di mana kontraktor untuk menjalankan kerja-kerja tersebut telah pun dilantik,” ujarnya. Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Wan Hapandi Wan Nik (PAS-Sura) mengenai status terkini dan langkah yang diambil kerajaan negeri bagi mengatasi masalah hakisan di Pantai Teluk Lipat di Dungun, Pantai Rhu Rendang (Marang) dan kawasan pantai di sekitar Kuala Nerus pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Penggal Ketiga, Kali ke-14 (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini. Mamad Puteh. Sementara itu katanya, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM15 juta kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi mengatasi masalah hakisan di Pantai Rhu Rendang sebagai penyelesaian jangkamasa sederhana yang dijangka dilaksanakan awal tahun hadapan. “Cadangan projek yang melibatkan kerja- kerja penyuburan pantai sepanjang 2.5 kilometer ini sedang di peringkat penyediaan reka bentuk terperinci oleh JPS. Bagi Pantai Kuala Nerus pula, beliau berkata JPS Negeri Terengganu sedang melaksanakan projek kawalan hakisan pantai di kawasan Kampung Telipot, Kuala Nerus. “Projek yang menelan biaya sebanyak RM 6.147 juta ini melibatkan kerja-kerja penyuburan pantai sepanjang 500 meter dan dijangka siap pada Ogos 2021,” ujarnya.
23 Nov 20
1520
Sidang DUN : RM85,000 Naik Taraf Mahkamah Syariah
Sidang DUN : RM85,000 Naik Taraf Mahkamah Syariah
KUALA TERENGGANU, 23 November - Kerajaan negeri meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM85,000 bagi proses pembaikian seluruh Mahkamah Syariah daerah tahun ini. Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, peruntukan tambahan itu diluluskan selepas kerajaan negeri melalui Unit Perancangan Ekonomi Negeri Terengganu (UPEN) dan Perbendaharaan mengadakan satu siri lawatan ke seluruh Mahkamah Syariah di Terengganu. “Tujuannya meninjau secara terperinci keperluan infrastruktur dan juga cadangan pembangunan bagi Mahkamah Syariah secara menyeluruh,” ujarnya. Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Muhammad Khalil Abdul Hadi (PAS-Batu Burok) mengenai sejauh mana tindakan yang diambil oleh kerajaan negeri dalam membuat penambahbaikan Mahkamah Syariah dari segi pembangunan dan penstrukturan di seluruh Negeri Terengganu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Penggal Ketiga, Kali ke-14 (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini. Dari segi penstrukturan pula katanya, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Terengganu sedang menyediakan satu kertas cadangan bagi menaiktaraf tiga peringkat mahkamah melibatkan yang sedia ada iaitu Mahkamah Rendah Syariah Daerah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah dengan ditambah satu lagi tingkatan mahkamah yang lebih atas. “Tujuan penstrukturan dibuat untuk memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan hak dan pembelaan dengan lebih meluas,” ujarnya.
23 Nov 20
1468
Sidang DUN : Rantaian Ekonomi Projek Dipantau
Sidang DUN : Rantaian Ekonomi Projek Dipantau
KUALA TERENGGANU, 23 November - Kawalan dan pemantauan terhadap keseluruhan rantaian ekonomi bagi projek yang akan dilaksanakan kelak antara usaha dan penambahbaikan dilaksanakan oleh kerajaan negeri. Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar berkata, langkah itu bagi memanfaatkan sepenuhnya industri petroleum termasuk sektor hiliran bagi kepentingan rakyat dan negeri ini. Jelasnya, PETRONAS sedang menjalankan kajian kebolehlaksanaan untuk menambah nilai kepada sumber hidrokarbon negara dalam sektor hiliran dan petrokimia yang berpotensi tinggi di negeri ini melalui beberapa projek mengikut kesesuaian. “Bagi industri petroleum dan gas sedia ada, kerajaan negeri dengan kerjasama PETRONAS sentiasa berusaha memastikan rantaian ekonomi sehingga kepada produk akhir berasaskan petroleum dan gas dihasilkan di dalam negeri ini. “Produk-produk lain yang mengguna pakai bahan mentah daripada gas dan petroleum dan gas juga boleh berkembang  seperti yang dapat dilihat di Taman Biopolimer Kertih yang terletak bersebelahan dengan Kompleks Petrokimia Bersepadu Kertih (KIPC),” ujarnya. Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Hishamuddin Abdul Karim (PAS-Tepoh) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Penggal Ketiga, Kali ke-14 (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini. Katanya, bagi syarikat anak tempatan pula, kerajaan negeri memanfaatkan peranan Terengganu Petroleum Council (TPC) untuk membida tender-tender yang dikeluarkan oleh pihak PETRONAS. “TPC diwujudkan di bawah seliaan Terengganu Inc yang menjadi payung kepada syarikat-syarikat yang dimiliki oleh anak- anak negeri Terengganu dan saling bekerjasama untuk mendapatkan kerja-kerja kontrak yang ditawarkan. “Peranan TPC yang menjadi medium kerajaan negeri bagi memastikan kedaulatan Negeri Terengganu sebagai pengeluar minyak dan gas yang utama di Malaysia dapat dilindungi haknya dengan sewajarnya demi kepentingan rakyat dan negeri,” ujarnya. Dalam pada itu katanya, kerjasama secara 'smart partnership dengan PETRONAS secara berterusan dengan memperkasakan Jawatankuasa Kerja Bersama Kerajaan Negeri Terengganu dan PETRONAS atau Joint Working Committee (JWC) yang mempunyai objektif bagi pengukuhan hubungan dua hala dan penjajaran kepentingan di antara Kerajaan Negeri Terengganu dan PETRONAS melalui saluran kerjasama rasmi untuk merealisasikan lanjutan faedah bersama daripada pembangunan petroleum di negeri ini. “Kerajaan negeri sentiasa mengutamakan rakyat tempatan menerusi penetapan syarat sebanyak 70 peratus daripada pekerja dalam mana-mana perusahaan di kawasan perindustrian di negeri ini perlulah terdiri daripada rakyat negeri Terengganu. “Secara tidak langsung pelaksanaan projek berpotensi tinggi dalam sektor hiliran dan petrokimia ini akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dengan memberi keutamaan kepada rakyat Terengganu,” jelasnya. Katanya, peluang pekerjaan yang tersedia akan ditambah nilai dengan latihan bagi memastikan tenaga kerja ini berkemahiran tinggi dan memenuhi keperluan industri. “Dengan penambahbaikan berterusan secara komprehensif dan kerjasama secara 'smart partnership dengan PETRONAS, kerajaan negeri yakin usaha ini akan memberikan hasil yang positif serta manfaat jangka panjang kepada rakyat dan Terengganu terutamanya menerusi pertambahan peluang pekerjaan dan perniagaan,” ujarnya.  
23 Nov 20
364
Pindah Sementara Operasi JKM Dungun
Pindah Sementara Operasi JKM Dungun
DUNGUN, 21 November - Pejabat yang menempatkan kakitangan bahagian pentadbiran dan pegawai operasi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Dungun yang terlibat dalam kejadian kebakaran baru-baru ini akan dipindahkan ke lokasi sementara bagi membolehkan jabatan itu meneruskan operasi seperti biasa dalam masa terdekat. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri Terengganu, Hanafiah Mat berkata, buat masa ini, pihak JKM Dungun dalam proses mencari bangunan baharu untuk disewa. "Akibat kebakaran yang berlaku di bilik pengkalan data (server room) di salah sebuah bangunan kira-kira 4 pagi Rabu lalu, semua kerja-kerja di bahagian pentadbiran tergendala. "Kakitangan JKM Dungun akan bekerja lebih masa untuk menyelesaikan apa yang patut dan yang paling penting memastikan bayaran kebajikan dibayar mengikut seperti yang dijadualkan kepada penerima," ujarnya kepada pemberita selepas meninjau kerosakan yang berlaku akibat kebakaran di pejabat tersebut, baru-baru ini. Katanya, susulan kejadian itu, perkhidmatan kaunter JKM Dungun akan beroperasi di dalam bas yang ditempatkan di lokasi asal manakala Pusat Aktiviti Kanak-Kanak dan Pusat Aktiviti Warga Emas yang berada diluar Pejabat JKM Dungun masih beroperasi seperti biasa. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun, ADUN Sura, Wan Hapandi Wan Nik serta Pengarah JKM Terengganu, Zuhami Omar.  Hanafiah yang juga merangkap ADUN Chukai berkata, beliau akan bertemu dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia, Dato' Seri Rina Mohd Harun bagi memohon peruntukan membaiki kerosakkan tersebut disegerakan. "Kita akan menunggu keputusan Jabatan Kerja Raya (JKR) samada hanya membaiki bilik yang rosak sahaja ataupun membina bangunan baharu dengan peruntukan daripada pusat," ujarnya.
21 Nov 20
1948
Lebih 1,000 Kapit Beras Diagihkan Kepada Penduduk
Lebih 1,000 Kapit Beras Diagihkan Kepada Penduduk
KUALA NERUS, 20 November - Lebih 1000 kampit beras telah diagihkan kepada golongan terkandas akibat banjir dan Covid-19 sejak awal bulan Oktober yang lepas.  Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, beras itu dikumpulkan hasil sumbangan pelbagai pihak menerusi Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Kuala Nerus bagi menjaga kebajikan mereka yang berada dalam kesusahan. Katanya, program itu akan dilaksanakan setiap masa sehingga berakhirnya musim tengkujuh dan wabak Covid-19.  “Kita sentiasa mengambil berat terhadap golongan kurang bernasib baik dan hidup dalam kesusahan dengan memberi bantuan samaada dalam bentuk barang keperluan atau kewangan. “Saya mahu rezeki ini dikongsi bersama golongan miskin untuk membantu mengurangkan kos sara hidup,” katanya ketika dihubungi. Beliau yang diwakili Setiausaha Politiknya, Ustaz Mohd Kamal Nazmi Kamaruddin, mengagihkan beras dan keperluan dapur yang lain pada satu majlis di Surau Kampung Banggol Tok Esah, di sini, pagi tadi. Sementara itu, Ustaz Kamal Nazmi berkata, dianggarkan lebih daripada 2000 asnaf yang tinggal di empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Buluh Gading, Tepoh, Bukit Tunggal dan Seberang Takir. “Ini adalah salah satu usaha dari Dato' Dr Khairuddin yang julung kali  diadakan tahun ini bagi memberi sinar harapan kepada golongan asnaf supaya kehidupan mereka mendapat pembelaan. "Dari masa ke semasa pihak kami akan menambah bilangan beras dan yang terbaru kita akan usahakan juga agihan minyak kelapa sawit kepada golongan yang memerlukan,"ujarnya.
20 Nov 20
753
MAIDAM Peruntuk Dana Baiki Rumah Mangsa Banjir
MAIDAM Peruntuk Dana Baiki Rumah Mangsa Banjir
KUALA TERENGGANU, 18 November - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menyediakan peruntukan membaik pulih kerosakan kediaman mangsa banjir, terutama membabitkan golongan asnaf. Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, M. Rozi Bidin berkata, golongan asnaf yang mengalami masalah kerosakan rumah disebabkan ditenggelami air diminta mengemukakan permohonan. Katanya, bantuan akan diberikan bergantung kepada penilaian kerosakan kediaman dialami mangsa.  "MAIDAM ada menyediakan peruntukan dibawah kategori bencana kepada golongan asnaf yang menghadapi kerosakan kediaman disebabkan ditenggelami air, " katanya. M. Rozi berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pengagihan Silinder Komposit Gas Petroleum Cecair (LPG) di Kampung Beladau Kolam, di sini, hari ini.  Turut hadir, Pengurus Besar MAIDAM Property Sdn Bhd, Wan Farid Imran Wan A Latif dan Ketua Penolong Setiausaha (Pengurusan Zakat), Nazli Amiiri Ngah.  M Rozi berkata, bantuan membaik pulih kerosakan kediaman bukan sahaja terhad kepada golongan asnaf, sebaliknya semua mangsa banjir boleh mengemukakan permohonan melalui dalam talian.  Sementara itu, mengulas mengenai kutipan zakat, M Rozi mengakui berlaku kemerosotan sebanyak RM2 juta kutipan, terutama zakat perniagaan berikutan banyak pihak yang terkesan berikutan pandemik COVID-19.  "Sehingga semalam, hanya RM135 juta berjaya dikutip berbanding RM137 juta dalam tempoh sama tahun lalu," katanya.
18 Nov 20
960
Waspada Keselamatan Musim Banjir
Waspada Keselamatan Musim Banjir
SETIU, 18 November - Fenomena banjir di daerah ini sudah menjadi kebiasaan bagi sesetengah penduduk, namun faktor keselamatan tidak wajar dipandang mudah. Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri, Zul Bhari A Rahman berkata, penduduk perlu waspada dengan banjir yang bila-bila masa boleh berlaku pada musim ini dengan faktor penerimaan taburan hujan yang tinggi. "Kawasan yang rendah dan berisiko berlaku banjir perlu diberikan perhatian khusus mengenai keselamatan diri, keluarga dan harta benda," katanya. Beliau berkata demikian ketika meninjau situasi banjir di Kampung Padang, Mukim Hulu Setiu yang mengakibatkan laluan Bandar Permaisuri ke Kampung Seladang tidak dapat dilalui sejak malam tadi. Turut bersama Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Padang, Azizan Abdul Rahman. Zul Bhari turut menasihatkan orang ramai agar menjaga kesihatan lebih-lebih lagi dalam situasi COVID-19 yang masih belum reda.  
18 Nov 20
462
Tetap Berniaga Walaupun Kedai Dinaiki Air
Tetap Berniaga Walaupun Kedai Dinaiki Air
  HULU TERENGGANU, 18 November -Walaupun musim banjir menjadi satu musibah buat penduduk yang terlibat, namun ia tetap terselit kisah yang memberi inspirasi. Ketika paras air banjir mencecah 0.3 meter, ia tidak menjadi halangan Engku Hasmah Engku Kamaruzaman, 45, tetap berniaga di kedai runcitnya sekaligus menguruskan warung kopi di Kampung Nibong, Telemong. Kata ibu kepada sembilan anak ini, perniagaan perlu diteruskan kerana penduduk perlu mendapatkan keperluan di kedainya di samping untuk mencari rezeki buat mereka sekeluarga. "Setakat ini, saya masih meneruskan operasi kedua-duanya kerana keadaan masih selamat untuk berniaga. "Selagi keadaan selamat dan stok bahan mentah mencukupi, saya akan terus berniaga. Kebetulan pula, stok barang runcit sudah dibeli dari awal,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini. Katanya, kedai yang diusahakannya masih dibuka memandangkan paras air masih paras lutut dan akan menutup kedai sekiranya paras air meningkat sehingga membahayakan keselamatan. Engku Hasmah juga berkata, tiada masalah untuknya menyediakan makanan walaupun premisnya dibanjiri air kerana ruangan memasak berada pada tempat tinggi. "Lagipun saya hanya menyediakan air minuman kerana kuih-muih yang ada dihantar oleh penduduk kampung untuk dijual. “Apapun, saya tetap mementingkan aspek kebersihan. Lagipun, ia hanya ‘air lalu’ yang dibawa arus deras (banjir), bukannya air bertakung seperti di sesetengah kawasan. “Ini agak agak menyeronokkan juga, malah menawarkan pengalaman unik kerana dapat menikmati hidangan dalam persekitaran banjir. Ada yang tidak melepas peluang merakam gambar dan video kenangan,” katanya.    
18 Nov 20
1271