lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Air Naik Mendadak, Tidak Sempat Buat Apa-Apa
Air Naik Mendadak, Tidak Sempat Buat Apa-Apa
KUALA TERENGGANU, 3 Disember – “Kali ni perabut pun sudah bergerak sendiri, mak cik berasa takut tengok walaupun air naik kali kedua dah sebab sebelum ni tidak macam ni,"rintih salah seorang mangsa banjir kilat, Wan Kelthom Abu Bakar. Warga emas berusia 70 tahun itu merupakan antara 16 mangsa yang telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Chendering oleh anggota Bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Terengganu (sehingga jam 12.00 tengah malam).  Kelthom atau lebih mesra disapa Che’ Da berkata, dia menyedari paras air meningkat lebih mendadak berbanding waktu banjir semasa 23 November lalu, di mana dia turut dipindahkan sebelum ini. “Air dulu melimpah masuk ke dalam dapur sahaja, tetapi sekitar waktu petang hari ini paras air menembusi lantai kayu rumah dan merosakkan perabot seperti almari dan katil malah mak cik tak sempat nak selamatkan apa-apa pun. “Kali ini kiranya saya dua kali dah pindah pada tahun ini. Kebanyakan perabut dah tak ada tempat lebih tinggi untuk diangkat kerana air sudah naik lebih tinggi berbanding bulan lepas," katanya ketika ditemubual Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI). Anak Che’ Da, Tuan Zariah Tuan Yusof, 41, juga diantara mangsa yang telah ditempatkan di PPS bersama ibunya, berkata, kebiasaan ibunya yang berpindah sebab keadaan rumah yang rendah, namun kali ini rumahnya yang tinggi turut dimasuki air. “Rumah saya tidak seteruk ibu saya jadi kerosakan tidak terkesan mana,”ujarnya lagi. Ketua Sektor D Jawatankuasa Bencana Daerah Kuala Terengganu, Ahmad Fahmi Mohd Zahari berkata, hujan lebat berlaku sekitar jam 4.00 petang memberi tanda untuk bersiap siaga mengerakkan jentera. “Kawasan berpotensi telah dikenalpasti dan hasilnya PPS SK Chendering dibuka pada jam 8.30 malam yang menempatkan enam keluarga. Paras air kali ini mencecah hampir paras dada (1.5 meter) berbanding pada bulan November iaitu 1.3 meter. “Penduduk Kampung Simpang Empat dan Kampung Ketapang turut dijangka akan dipindahkan mengikut keadaan dan situasi semasa. “Mangsa di PPS turut menjalankan saringan oleh anggota Kementerian Kesihatan (KKM) yang bertugas di sini,”katanya.
02 Dec 20
2494
Penantian 38 Tahun Akhirnya Bernoktah
Penantian 38 Tahun Akhirnya Bernoktah
HULU TERENGGANU, 2  Disember - Selepas hampir 38 tahun menanti untuk mendapatkan jalan berturap, penduduk Kampung Jerlan kini mampu tersenyum selepas impian mereka akhirnya tertunai. Pembinaan jalan baharu menghubungkan sebahagian kampung terbabit yang tertunda kini direalisasikan apabila jalan menghubungkan Kampung Jerlan dengan jalan utama telah siap diturap lebih satu kilometer.  Juwariah Che Lah, 62, berkata, dia bersyukur ke hadrat Ilahi dan berterima kasih kepada kerajaan Terengganu khususnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ustaz Maliaman Kassim. "Hampir 38 tahun menanti, hari ini baru jadi kenyataan, dulu ada 15 keluarga di sini tetapi semua berpindah keluar akibat jalan yang teruk dan kini hanya tinggal saya dan jiran sahaja. "Sebelum ini jalan menghubungkan ke rumah saya amat menyedihkan apabila terpaksa melalui jalan becak dan keadaan itu menyebabkan penduduk di kampung ini berdepan kesukaran perhubungan yang membolehkan penduduk membawa keluar hasil kebun dengan mudah. “Paling penting anak-anak penduduk sekarang ni mudah untuk pergi dan balik dari sekolah. Sedangkan sebelum ini mereka terpaksa melalui jalan yang berdebu ketika kemarau dan becak ketika hujan.Jadi, saya amat berterima kasih kepada Ustaz kerana menunaikan impian penduduk kampung yang mahu jalan selesa,” katanya ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman(UPDI). Sementara itu Ustaz Maliaman berkata, keperitan penduduk yang terpaksa melalui jalan becak dan berdebu sejak puluhan tahun lalu kini dapat ditunaikan.   “Masih banyak kemudahan asas di DUN Ajil ini yang perlu kita tunaikan, mana yang perlu disegerakan, kita ikhtiar supaya dapat ditunaikan dalam masa terdekat.Tidak semua isu kita dapat selesaikan dalam masa tempoh baru dua tahun memegang tampuk pemerintahan. “Saya sangat bersyukur kepada ALLAH mempermudahkan urusan ini. Alhamdulillah, sekarang proses penurapan jalan sedang berjalan, kita sujud syukur kepada ALLAH,” katanya.  
02 Dec 20
1225
Waspada 'Scammer' Abad Moden
Waspada 'Scammer' Abad Moden
KUALA TERENGGANU, 2 Disember – Orang ramai dinasihatkan supaya tidak sewenang-wenangnya berkongsi atau mendedahkan maklumat akaun bank kepada mana-mana pihak tidak dikenali. Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, Deputi Superintendan Hamdan Zali berkata, ini kerana risiko terperangkap dalam sindiket penipuan amat tinggi terutamanya ketika menghadapi cabaran ekonomi COVID-19. Katanya, dalam isu tersebut masyarakat jangan terlalu mudah memberi dan panik apabila dihubungi pihak tidak dikenali bertopengkan nama pihak berkuasa meminta nombor akaun atau kata laluan bank peribadi. “Jika berlaku situasi sedemikian, nombor dan akaun bank yang disyaki tersebut boleh disemak melalui laman pautan ‘Semak Mule’ di ccid.rmp.gov.my/semakmule/ untuk akaun bank dan nombor telefon yang digunakan sindiket penipuan. “Langkah ini penting sebelum membuat apa-apa transaksi atau dihubungi pihak yang mencurigakan kerana laman web tersebut menunjukkan laporan yang telah dibuat terhadap akaun atau nombor tersebut. “Terdapat empat bentuk penipuan komersial paling kerap berlaku di Kontinjen Terengganu iaitu pinjaman tidak wujud (PTW), Penipuan E-dagang, ‘Macau Scam’ dan ‘Love Scam, kes-kes lain ada tapi bilangan kecil berbanding empat kes tersebut,” katanya ketika bersiaran di TV Darul Iman, pagi semalam. Mengulas mengenai modus operandi seperti Macau Scam dan pinjaman tidak wujud, beliau berkata, keldai akaun mengerakkan sindiket tersebut. “Contohnya, iklan PTW tetapi bertopengkan premis pinjaman berlesen di sosial media menyediakan pinjaman segera tanpa kira jika disenarai hitam oleh institusi kewangan. “Si mangsa contohnya peniaga kecil atau orang ingin meniaga terutamanya ketika musim pandemik, pergi ke bank peraturan ketat bila lihat banting iklan tersebut senang diperdaya kerana jalan yang senang. “Walaubagaimanapun, suspek tidak akan beri wang dan meminta dahulu wang deposit dan duti setem secara berperingkat, si mangsa akan terperangkap dengan bayaran RM14,000 walaupun pinjaman hanya RM10,000. “Begitu juga ‘Macau Scam’ dimana mangsa ditelifon suspek menyamar jadi pihak berkuasa memaklumkan kes seperti langgar kereta dan meminta mangsa memasukkan wang ke dalam akaun keldai. Perkara sebegini boleh diatasi tanpa panik dan merujuk kepada ‘Semak Mule’,” katanya lagi.
02 Dec 20
1070
12 Tahun Hidup Tanpa Elektrik, Air
12 Tahun Hidup Tanpa Elektrik, Air
SETIU, 1 Disember - Fatimah Ismail, 54, terpaksa mendiami rumah usang bersama dua lagi anaknya tanpa bekalan elektrik dan air sejak 12 tahun lalu akibat kesempitan hidup. Lebih menyedihkan apabila rumah berusia 25 tahun di Kampung Pandu, Wakaf Chagak itu sering mengalami kebocoran atap dan berkeadaan sangat kotor. Fatimah berkata, selepas bercerai dengan suaminya pada 2010, kehidupan dia bersama dua lagi anaknya semakin tidak terurus. "Muhamad Shahmil Yahaya, 18, baru mendapat kerja melalui bapa saudaranya dengan menjadi nelayan di Tanjung Dawai, Kedah, manakala Muhamad Farid Yahaya, 21, pula baru hilang kerja semasa Perintah Kawalan Pergerakan baru-baru ini dan menyebabkan pendapatan kami tidak menentu. "Pendapatan Shahmil dan saya hanya kerja pembantu di Kedai Roti Canai tidak seberapa namun cukup untuk kami makan minum, kini kami hanya bergantung harap kepada anak bongsu saya Shahmil. "Tiga orang tinggal di rumah buruk dan sempit ini. Kami hanya mampu menagih simpati daripada beberapa individu prihatin yang ada memberi sumbangan makanan," katanya ketika ditemui di kampung Pantai Batu Rakit baru-baru ini. Sementara itu, Shahmil turut berkongsi keperitan hidup mereka membesar dengan serba daif serta terpinggir daripada masyarakat. "Ketika bersekolah saya membuat ulang kaji dan kerja sekolah hanya bercahayakan pelita. Sejak lahir saya dibesarkan di dalam 'kegelapan' dengan kehidupan yang daif di rumah ini tetapi saya bersabar kerana inilah syurga saya. "Saya tidak akan meninggalkan ibu saya yang kini sering jatuh sakit dan tua. Saya akan jaga mereka sehingga akhir hayat saya. Menyedari penderitaan mereka sekeluarga, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, kesukaran keluarga terbabit telah diselesaikan segera. “Syukur Alhamdulillah mereka tiga beranak telah berpindah ke rumah sewa di Pantai Batu Rakit, saya dan team akan bayar sewa rumah setiap bulan dan kami membeli tilam, rak baju, rak pinggang, tong gas, barangan harian dapur dan sedikit sumbangan duit,” katanya kepada Urusetia Penerangan Darul Iman baru-baru ini. Orang ramai yang ingin membantu boleh menziarah rumah mereka di Pantai Batu Rakit, Kuala Nerus atau menghubungi saudara Fadol di talian 019-9569913 (bahagian pengurusan bayaran sewa rumah) atau boleh salurkan sumbangan melalui Kelab Sahabat Cakna (1301-0006296-71-2) Bank Muamalat.
01 Dec 20
938
Kerajaan Tanggung RM200,000 Kecualikan Bayaran Lesen
Kerajaan Tanggung RM200,000 Kecualikan Bayaran Lesen
KUALA TERENGGANU, 30 November - Kerajaan negeri akan menanggung kos sebanyak RM200,000 selepas bersetuju mengecualikan bayaran lesen perniagaan untuk peniaga kecil dan penjaja selama setahun bermula Januari depan. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, pengecualian itu telah diumumkan Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar semasa membentangkan Belanjawan 2021 minggu lalu. “Insentif ini akan memberi manfaat kepada peniaga kecil yang memiliki lesen perniagaan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri ini. “Kita memahami tekanan yang dihadapi oleh golongan terbabit lebih-lebih dalam tempoh COVID-19, justeru dengan tiadanya kutipan lesen peniaga kecil dan penjaja bagi tahun 2021, diharapkan sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban yang dihadapi oleh para peniaga dan penjaja sekali gus merancakkan lagi ekonomi Negeri Terengganu,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas bersiaran secara langsung di TV Darul Iman, hari ini. Dr Alias. Mengulas mengenai rungutan peniaga yang meminta kerajaan mengecualikan bayaran sewa premis perniagaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini, beliau berkata perkara berkenaan akan dikaji lebih terperinci. “Apabila kita buat sesuatu pengecualian itu, pertimbangan sewajarnya perlu dibuat kerana membabitkan kos yang akan ditanggung oleh kerajaan melalui agensi-agensi berkaitan,” ujarnya. Sebelum ini katanya, kerajaan negeri telah kehilangan hasil kira-kira RM5 juta ketika mengecualian bayaran sewa premis perniagaan dan moratorium dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).  
30 Nov 20
1401
511 Sukarelawan JKM Aktif Di Terengganu
511 Sukarelawan JKM Aktif Di Terengganu
MARANG, 29 November - Terengganu merekodkan seramai 511 sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang aktif di negeri ini ketika ini. Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, sukarelawan dalam pelbagai bidang amat diperlukan untuk berkhidmat kepada masyarakat. “Ramai sukarelawan diperlukan untuk bersama-sama memastikan kebajikan rakyat terjaga dimana setiap daerah seluruh negara disasarkan dapat mencapai 100 orang sukarelawan baru. “Kita juga amat mengalu-alukan golongan profesional termasuk doktor, kaunselor dan sebagainya untuk tampil bersama dalam kerja-kerja sukarela ini kerana kepakaran mereka amat diperlukan," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Mula Kerja (Kick Off) Kembara Prihatin Negara Peringkat Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Terengganu di Pusat Khidmat Setempat (OKU) Sungai Kerak, disini hari ini. Justeru katanya, untuk menampung khidmat sukarelawan dengan keluasan daerah yang ada di Terengganu ini, pihaknya mengalu-alukan lebih ramai pembabitan masyarakat terhadap kerja sukarelawan. Sempena program tersebut, Siti Zailah turut menyantuni warga emas di Rumah Sejahtera Taman Bahagia Bukit Payong dan mengadakan ziarah kebajikan dengan menyampaikan barangan keperluan kepada penerima terpilih. 
29 Nov 20
476
Kembara Prihatin Negara Sasar Santuni Sejuta Individu
Kembara Prihatin Negara Sasar Santuni Sejuta Individu
MARANG, 29 November - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyasarkan sejuta individu mendapat manfaat daripada Program Kembara Prihatin Negara dalam usaha menyantuni rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19.  Timbalan Menterinya, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, bagi mencapai hasrat itu pihaknya akan menjelajah ke 108 daerah di seluruh negara dan mengharapkan lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripada aktiviti dijalankan sepanjang satu tahun pelaksanaan. “Terengganu adalah negeri yang ke-11 kita laksanakan program ini di mana program kembara bertumpu di kawasan-kawasan tumpuan awam seperti pasar tani, pasar pagi, kompleks niaga, pusat komuniti setempat dan lain-lain. “Kita turut menyantuni kumpulan sasar yang berada di kawasan pedalaman menerusi kereta dan van bergerak dengan membuka kaunter untuk memudahkan rakyat mendapatkan perkhidmatan yang berada di bawah kementerian,” ujarnya. Siti Zailah menyantuni warga emas. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Mula Kerja (Kick Off) Kembara Prihatin Negara Peringkat Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Terengganu di Pusat Khidmat Setempat (OKU) Sungai Kerak, di sini hari ini. Siti Zailah turut menyeru NGO dan syarikat korporat untuk bersama dengan pihaknya bagi bersama-sama membantu golongan yang memerlukan. “Selain daripada program yang sedia ada, program Kembara Prihatin ini memudahkan lagi untuk kita beri perkhidmatan kepada rakyat dan kita mengharapkan masyarakat di luar sana ambil peluang ini. “Apabila kita turun ke daerah-daerah bagi mereka yang berada jauh di pedalaman, inilah ruang untuk mereka bertanya, ambil borang bantuan dan sebagainya kerana semua disediakan malah pegawai kita sentiasa bersedia untuk membantu,” ujarnya. Sementara itu beliau berkata, KPWKM turut mengadakan Ziarah Prihatin terhadap klien-klien yang berada dibawah Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk mendekati dan melihat sendiri keadaan masyarakat.
29 Nov 20
750
Sidang DUN: Kadar Pengangguran Terengganu Masih Rendah
Sidang DUN: Kadar Pengangguran Terengganu Masih Rendah
KUALA TERENGGANU, 25 November- Kadar pengangguran di Terengganu masih rendah jika dibandingkan dengan kadar penganguran Malaysia. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, pada tahun 2018 kadar pengangguran di Terengganu adalah 4.8 peratus. "Kemudian pada tahun 2019 terus menurun kepada 3.5 peratus dan suku pertama tahun ini 3.3 peratus, lebih rendah daripada kadar pengangguran Malaysia iaitu 3.5 peratus. "Bagaimanapun akibat  berdepan penularan wabak COVID-19 pada Suku Kedua 2020, kadar pengangguran Terengganu meningkat kepada 3.8 peratus, tetapi masih lebih rendah daripada kadar pengangguran Malaysia iaitu 5.1peratus," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soal lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Hilmi Harun di Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Keempat Belas (Bajet), di Wisma Darul Iman, hari ini. Katanya, ia adalah petanda Terengganu sedang menuju ke satu arah yang betul dan kerajaan akan terus menggembleng tenaga berkolaborasi dengan pelbagai pemegang taruh dalam sektor pekerjaan. "Ini bagi memastikan rakyat Terengganu dapat menikmati pembangunan dalam bentuk peluang pekerjaan yang baik," jelasnya. Sementara itu katanya, kerajaan negeri melalui Pusat Pembangunan Sumber Manusia Negeri Terengganu (T-HRDC) telah mengadakan kolaborasi erat bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Negeri Terengganu bagi membantu rakyat yang kehilangan pekerjaan ekoran COVID-19. "T-HRDC juga membantu majikan mendapatkan pelbagai insentif  Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bagi membolehkan mereka mengambil pekerja baru disamping mengelak mereka daripada membuang pekerja sedia ada. “Selain membantu institusi latihan mendapatkan penempatan kerja dan dana latihan melalui kerjasama dengan majikan dan persatuan industri,” ujarnya. Menurut beliau, setakat ini kerajaan negeri melalui T-HRDC telah menjalinkan kolaborasi dengan lebih 20 agensi antaranya PERKESO, Jabatan Tenaga Kerja, Jobs Msia, Jabatan Statistik Malaysia, UC TATI, TESDEC,  KKYT, Universiti Malaysia Terengganu, Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu Timber Industry Training Centre (TTITC) serta Terengganu O&G Council ( TOGC). Katanya, sebanyak 500 peluang pekerjaan juga telah dikenal pasti melalui program penempatan pekerjaan yang dijalankan. "Di mana T-HRDC telah menemui sendiri majikan-majikan yang memerlukan pekerja dan berunding agar mengambil anak-anak Terengganu sebagai pekerja," tambah beliau.  
25 Nov 20
380
Sidang DUN : Cipta Program, Tarik Remaja Imarah Masjid
Sidang DUN : Cipta Program, Tarik Remaja Imarah Masjid
KUALA TERENGGANU, 25 November - Golongan pendakwah dan agensi berkaitan perlu mengadakan program yang mampu menarik anak muda untuk mengimarahkan masjid dan surau. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, pengurus dakwah seperti ahli jawatankuasa serta pegawai masjid perlu memiliki pemikiran kreatif dan semangat yang kuat dalam mendekati golongan muda. “Peranan pejabat agama dan agensi berkaitan juga penting untuk menaikkan semangat dan minat jawatankuasa serta pegawai masjid bagi mengadakan dan menyusun program yang mampu menarik anak muda ke masjid. “Kita juga menggalakkan agensi yang ada hubungan dengan belia dan beliawanis seperti NGO Belia, Urusetia Belia dan Sukan, Urusetia Wanita dan Beliawanis mengadakan program di masjid untuk mendekatkan anak muda dengan masjid. “Pendekatan kesedaran yang ditonjolkan semua pihak sedikit sebanyak membantu kerajaan dalam memastikan insitusi masjid dan surau diimarahkan terutama sekali daripada golongan muda,” ujarnya. Beliau berkata demikian menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Ke-14, hari ini. Katanya, setiap muslim mesti memiliki rasa tanggungjawab untuk melaksanakan dakwah di mana-mana sahaja sama ada berada dalam mana-mana agensi yang berkaitan dakwah ataupun luar bidang dakwah.  
25 Nov 20
180
Sidang DUN : Etika Pemakaian Patuh Syariah Perlu Diperkasa – Zuraida
Sidang DUN : Etika Pemakaian Patuh Syariah Perlu Diperkasa – Zuraida
KUALA TERENGGANU, 24 November – Kerajaan negeri digesa supaya memperkasakan etika pemakaian patuh syariah dalam kalangan penduduk di negeri ini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata, satu program  perlu dirangka selari dengan peruntukkan RM 3.75 juta untuk Dasar Integriti Darul Iman (DIDI) dan Modul Itqan Itsani, iaitu dengan pemerkasaan etika pakaian patuh syariah. Menurut Zuraida lagi, hal itu penting kerana tuntutan menutup aurat dengan sempurna sama ada kepada kaum lelaki atau wanita merupakan kewajipan bagi setiap muslim seperti yang disebut dengan jelas dalam surah An Nur ayat 31 dan surah Al Ahzab ayat 59.  “Lebih manis lagi sekiranya lambang ataupun syiar Islam ini bermula dengan  kakitangan Wisma Darul Iman yang menjadi pusat pentadbiran utama kerajaan negeri Terengganu. “Termasuklah sektor perhotelan, pelancongan, perniagaan dan sukan dengan menambah baik peraturan berpakaian yang selari dengan syariat. “Hal ini penting untuk mempamerkan imej Islam di negeri Terengganu. Selari dengan usaha ini, pengaruh budaya luar yang negatif kepada penduduk setempat terutamanya di kawasan tumpuan pelancong dapat dibendung,” ujarnya. Zuraida berkata demikian semasa membahas Belanjawan 2021 Negeri Terengganu di Dewan Undangan Negeri Terengganu, pagi tadi. Beliau juga berpendapat bahawa sudah tiba masanya untuk mengislahkan Terengganu dengan lebih serius dengan pemerintahan negeri maju, berkat dan sejahtera. “Dalam Belanjawan 2021, Teras yang pertama adalah untuk meneguhkan pelaksanaan agenda Islam. Jelas bahawa kerajaan terus komited dalam menjadikan Terengganu sebagai ikon pentadbiran Islam dan terus menarik perhatian negeri lain sebagai model terbaik dalam menerajui sebuah kerajaan. “Justeru, saya memohon supaya diadakan satu kempen menyeluruh dan berterusan berkaitan pemakaian yang patuh syariah dalam kalangan kakitangan awam dan swasta di seluruh negeri Terengganu,” tambahnya.
24 Nov 20
903