lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Terengganu Bantu Pasar Produk Usahawan Secara Percuma
Terengganu Bantu Pasar Produk Usahawan Secara Percuma
KUALA TERENGGANU, 8 Disember - Kerajaan negeri telah membantu memasarkan produk 100 usahawan yang terpilih secara percuma melalui program Digital Marketing Bootcamp. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, pihaknya sentiasa menyokong usaha usahawan Terengganu untuk meningkatkan pasaran mereka. "Tujuan program ini dianjurkan bagi merealisasikan kursus jualan dan pemasaran secara atas talian yang bertujuan memberi kefahaman secara “hands on” berkaitan pemasaran secara atas talian bagi meningkatkan jualan usahawan di Negeri Terengganu. "Pemilihan peserta kursus ini adalah berdasarkan beberapa kriteria seperti jualan RM10 ribu hingga RM50 ribu sebulan, usahawan mempunyai laman facebook yang aktif dan kriteria utama sudah pasti usahawan tersebut merupakan usahawan negeri Terengganu," ujarnya ketika dialog di Duyung Marina & Resort.  katanya, kelas pemasaran yang dijalankan pada hari pertama program merupakan kelas praktikal di mana peserta progam belajar dan terus siapkan 20 iklan dengan bajet yang minimum. Kelas marketing disampaikan oleh guru facebook ads yang telah dicadangkan oleh ramai usahawan,  Abdul Aziz Mustapha Kamal (Aziz MK) dari GymFBads. "Hari kedua program pula di sambung dengan kelas closing sale oleh Dharma syamim fikri Dharma Mulya (Sir Dharma). Peserta diketengahkan dengan teknik closing yang telah terbukti dan juga diberi SOP closing yang betul dan infektif," ujarnya. 
07 Dec 20
497
Penggodam FB Exco Terengganu Kantoi
Penggodam FB Exco Terengganu Kantoi
KUALA TERENGGANU, 6 Disember - 'Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua', itulah perumpamaan sesuai bagi menggambarkan situasi penggodam laman sosial seorang Exco Terengganu yang berjaya dikenalpasti semalam. Individu tersebut dipercayai telah menceroboh salah satu ‘facebook (FB) page' milik Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim pada 29 November lalu. Setelah itu, dia bertindak membuang semua pentadbir asal laman tersebut termasuk Dr Azman. Malah bukan itu sahaja kata Dr Azman, instagram (IG) peribadinya turut digodam untuk tujuan yang tidak diketahui. "Beberapa akaun ‘scammer’ ini dapat dikesan apabila mereka menawarkan jualan akaun IG secara atas talian. "Dari 29 November sehingga 5 Disember. Kami hanya boleh melihat saja apa yang berlaku di akaun-akaun media sosial terbabit tanpa boleh mengubah dan menyiar apa-apa. Pelbagai usaha serta aduan telah dibuat kepada FB termasuklah melalui surat rasmi. Tapi masih buntu dan tiada penyelesaian," katanya ketika dihubungi media. Mengulas lanjut, kata Dr Azman, selepas terkantoi penggodam berkenaan mengakui bahawa dialah juga salah seorang yang terlibat meggodam akaun FB miliknya. "Perangkap dipasang untuk beli balik IG. Bukan mahal pun, RM180 sahaja. Penggodam yang menggunakan FB akaun palsu memberikan nombor akaun sebuah bank tempatan untuk proses pembayaran, nama orang melayu tempatan saja bukan penggodam luar negara. "Akhirnya IG dapat diselamatkan kembali tanpa satu sen pun bayaran. Berlakulah insiden lucu dan pelik, kumpulan kami yang berhempas pulas mendapatkan hak kami dituduh menipu apabila bayaran kepada penggodam tak dibuat dalam transaksi jual beli IG tersebut," katanya Tambah beliau, maklumat nombor akaun bank milik penggodam adalah bukti kuat untuk membuat laporan polis. "Dah ada laporan polis, saya serius untuk teruskan dengan tindakan melalui saluran undang-undang. Akhirnya pencuri mengalah dan pulangkan balik page kami pagi ini," jelasnya.
06 Dec 20
4966
Belia Santuni Asnaf
Belia Santuni Asnaf
KUALA TERENGGANU, 5 Disember – Walaupun terbatas kepada skala kecil dalam suasana COVID-19, warga belia tetap meneruskan inisiatif memberi bantuan dari rumah ke rumah kepada golongan yang memerlukan. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, bersesuaian dengan Hari Kesukarelawanan Belia Malaysia Peringkat Negeri Terengganu 2020, pelbagai latar belakang anak muda terlibat menjayakan aktiviti itu. “Alhamdullilah, hasil usaha sama agensi seperti sukarelawan Rakan Muda Kuala Terengganu dan Pasukan Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam ini telah menyantuni 30 orang asnaf di 30 buah rumah. “Lokasi tumpuan kita bermula di Kampung Gong Pauh kemudian ke Kampung Kuala Bekah dan diakhiri di Kampung Sungai Rengas selepas Solat Jumaat,” katanya kepada pemberita selepas program Hari Kesukarelawanan Belia peringkat Kuala Terengganu, pagi semalam. Turut hadir, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Mohd Izwandy Ismail dan Pengerusi Majlis Belia Daerah Kuala Terengganu, Anas Hazizul. Wan Sukairi yang juga ADUN Wakaf Mempelam menyatakan rasa terima kasih kepada sukarelawan yang terlibat dalam memberi kesedaran dan mengalakkan aktiviti kesukarelawanan dan kemanusiaan di dalam negeri. Sementara itu, menurut Izwandy, program tersebut merupakan usaha daripada Kementerian Belia dan Sukan  serta kerajaan negeri bagi menggalakkan dan melahirkan sukarelawan di kalangan belia bersama komuniti. “Sebagai mana sedia maklum, 5 Disember ialah Hari Kesukarelawanan Belia Malaysia dan di peringkat negeri kita telah merangka usaha ini bersama Exco dan agensi-agensi pelaksana lain Urusetia Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Majlis Belia Terengganu dan sukarelawan di dalam Kelab Rakan Muda Kuala Terengganu. “Program menyantuni melibatkan 25 sukarelawan belia ini adalah usaha peringkat akar umbi dalam menanam semangat sukarelawan yang jitu di kalangan anak muda supaya semangat ini dapat kita kekalkan dalam usaha berbakti dari semasa ke semasa,” katanya. Seorang penerima, Saudah Ngah,60, yang juga nenek kepada 15 cucu menyifatkan usaha belia ini sesuatu yang amat baik terutamanya mendidik orang muda berbakti kepada masyarakat setempat.
05 Dec 20
444
30 Kucing Diselamatkan Petugas Banjir
30 Kucing Diselamatkan Petugas Banjir
Oleh: Pok Abbas KUALA TERENGGANU, 4 Disember- Dalam kekalutan membantu mangsa banjir di Jalan Terkukur di sini, petugas banjir daripada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang sempat menyelamatkan 30 ekor kucing terbiar. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar berkata, kesemua kucing yang terperangkap di dalam air itu telah dipindahkan ke tempat yang selamat.  "Termasuk juga ikan-ikan hiasan milik penduduk turut diselamatkan dan ditempatkan sementara di pusat pemindahan di Balai Raya Jalan Tekukur," katanya. Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah Dan Kesejahteraan Pentadbiran Negeri Terengganu itu berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Pusat Khidmat Banjir DUN Ladang di Balai Raya Jalan Tekukur, semalam. Dalam lawatan itu, Tengku Hassan turut menyampaikan sumbangan daripada pihak Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) kepada mangsa banjir di pusat berkenaan. Katanya, pusat berkenaan yang beroperasi 24 jam itu dibuka untuk membantu mangsa-mangsa banjir dan dikendalikan oleh  MPKK di DUN tersebut.  "Mangsa banjir yang memerlukan bantuan makanan boleh mendapatkannya di pusat ini," ujarnya.
04 Dec 20
347
Waspada Air Pasang Besar
Waspada Air Pasang Besar
DUNGUN, 4 Disember -Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harus mengingatkan penduduk yang tinggal di kawasan rendah agar sentiasa berwaspada apabila hujan berterusan kerana ketika ini berlakunya fenomena air pasang besar. Katanya, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) telah mengeluarkan amaran akan berlaku air pasang besar bermula 1 Disember hingga 8 Disember ini. "Hari ini baru 4 Disember, bila hujan tambah lagi air pasang, air sungai akan masuk ke parit dan boleh menyebabkan banjir. "Justeru penduduk di Kampung Kubang Putat, Temiang, Baru Tiong dan Rantau Abang terutamanya diharap sentiasa bersedia untuk berpindah sekiranya diminta berbuat demikian. "Macam berlaku satu kes  di Batu Tiong semalam, mangsa tersekat tidak boleh keluar, terpaksa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Batu Tiong meminta bantuan Angkatan Pertahanan Awam untuk ambil dengan bot," ujarnya.  Alias berkata demikian selepas meninjau kawasan yang dinaiki air dan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di beberapa tempat di DUN Rantau Abang, hari ini. Beliau turut berharap agar ibu bapa tidak membiar anak-anak keluar bermain air dan sentiasa mengawasi mereka untuk mengelak perkara tidak diingini berlaku. Sementara itu, Bilik Gerakan Banjir DUN Rantau Abang dalam satu kenyataan memberitahu, sebanyak tujuh PPS telah dibuka iaitu PPS Dewan Sivik Seberang Pintasan, Sekolah Kebangsaan Pulau Serai, Sekolah Kebangsaan Balai Besar, Balai Raya Kampung Rantau Abang, Balai Raya Kampung Batu Tiong, Sekolah Kebangsaan Tok Kah dan Sekolah Kebangsaan Kuala Abang dengan seramai 197 orang mangsa banjir sehingga pagi tadi.
04 Dec 20
302
'Kali Pertama Berdepan Banjir Besar'
'Kali Pertama Berdepan Banjir Besar'
KUALA TERENGGANU, 4 Disember – Banjir yang berlaku tahun ini jauh lebih besar berbanding tahun-tahun sebelumnya kerana kawasan yang jarang dinaiki air turut terjejas. Salah seorang mangsa banjir, Hasnah Che Embong, 56 yang tinggal bersama anaknya menyifatkan kenaikan paras air di Kampung Batu Enam Chendering tahun ini sangat luar biasa. "Ini kali pertama mak cik dipindahkan dari rumah, sepanjang 56 tahun hidup tidak pernah lagi, banjir bulan lepas juga tidak berpindah. "Demi keselamatan nyawa, terpaksa tinggal barang-barang, habis rosak peti sejuk, kabinet, mesej basuh dan banyak lagi. "Kereta dan motosikal pun tak selamat kerana air naik tinggi bermula sekitar waktu maghrib. Kemudian lepas isyak penyelamat datang mari ambik mak cik," katanya kepada pemberita UPDI di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Chendering semalam. Menurutnya lagi, walaupun sedih memikirkan barangan di rumah, dia dan anaknya tetap bersyukur kerana dibantu banyak pihak. "Alhamdullilah, tempat PPS ini cukup lengkap semua keperluan dan anggota Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pihak lain amat membantu rakyat yang tengah susah sekarang ini," tambahnya.
04 Dec 20
641
Ini Bukan Masanya...
Ini Bukan Masanya...
KUALA TERENGGANU, 4 Disember- Orang awam diingatkan supaya tidak berkumpul di kawasan-kawasan berisiko sepanjang musim banjir ini. Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman menyatakan, tindakan tersebut dikhuatiri membahayakan diri dan keluarga mereka. "Dengan cuaca hujan renyai hari ini, ada diantara orang awam dan komuniti keluar ke bandar serta ke kawasan pinggir pantai untuk menyaksikan keadaan ombak dan sebagainya. "Kita nasihatkan supaya jauhkan daripada berada di kawasan berisiko sebab kita tahu agensi-agensi penyelamat dalam proses bertungkus lumus memindahkan mangsa-mangsa banjir di seluruh negeri Terengganu, ini bukan masanya," katanya. Beliau berkata demikian ketika tinjauan keadaan semasa sungai Terengganu di Pesisir Payang bersama Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), malam ini. Jelasnya, masyarakat terutamanya di Pantai Seberang Takir dan pinggir sungai ditegah mengabaikan aspek keselamatan mereka. "Itu agak berbahaya, jadi jangan sewenang-wenangnya bersiar-siar dan pergi melihat," katanya. Che Adam turut memaklumkan jangkaan semasa daripada agensi keselamatan berkaitan situasi banjir. "Kita jangkakan akan ada komposisi hujan yang agak lebat di kawasan pedalaman kerana di kawasan pantai keadaan telah reda. "Di kawasan hulu Terengganu, ada kebarangkalian kita bakal membuka lagi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) melihat kepada rujukan berkaitan paras sungai di sana," katanya.    
03 Dec 20
669
Rumah Dinaiki Air, Syukriah Tetap Semangat Belajar
Rumah Dinaiki Air, Syukriah Tetap Semangat Belajar
MARANG, 3 Disember - Dugaan dan cabaran kali pertama berhadapan dengan musibah banjir tidak pernah melunturkan semangat seorang pelajar untuk mengikuti kelas secara atas talian di Pusat Pemindahan Sementara (PPS). Nur Syukriah Roning, 22, antara mangsa banjir yang berada di PPS Sekolah Kebangsaan Rusila yang sedang menduduki peperiksaan  pertengahan semester tiga, Universiti Teknikal Malaysia Melaka Pelajar kejuruteraan Pembuatan tahun tiga itu berkata dia tetap melaksanakan tugasnya untuk belajar walaupun terpaksa meneruskan pembelajaran tanpa kelengkapan utama seperti buku-buku rujukan dan komputer. Menurutnya yang bercita-cita untuk menjadi seorang Jurutera, fokusnya untuk belajar  tidak hilang malah cuba tetap cekal meneruskan sesi kuliah bersama pensyarah dan rakan sekelas lain. "Saya terpaksa gunakan telefon bimbit  untuk membuat ulangkaji, memang sukar kerana liputan agak terhad kat PPS tapi tetap teruskan untuk peperiksaan subjek ketiga iaitu Bahasa Melayu pada Selasa hadapan. "Walaupun dalam keadaan kelam kabut, saya terus cekalkan hati serta kuat semangat kerana perlu menghadapi peperiksaan dan bencana ini memberi saya semangat supaya berusaha gigih untuk mencapai keputusan yang cemerlang," ujarnya ketika ditemui pemberita di sini, hari  ini. Anak bungsu dari tujuh beradik itu sempat menceritakan saat rumahnya dinaiki air secara mendadak menyebabkan hanya mampu mencapai apa yang perlu. "Saya cuma sempat ambil dua pasang baju sahaja sebab kami diarah untuk berpindah segera apabila hujan makin lebat dan paras air naik dengan cepat. "Segalanya berlaku dengan pantas, dan untuk kembali ke rumah, saya perlu mengharungi air separas pinggang jika ingin mengambil barang-barang keperluan," tambahnya.
03 Dec 20
814
Patuhi Arahan Berpindah
Patuhi Arahan Berpindah
KUALA TERENGGANU, 3 Disember - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok, Muhammad Khalil Abdul Hadi menasihatkan penduduk di kawasan yang terjejas banjir agar segera berpindah ke pusat pemindahan apabila diarah berbuat demikian oleh pihak berkuasa. Katanya, penduduk tidak perlu menunggu sehingga keadaan bertambah teruk sebelum bersedia untuk berpindah ke pusat pemindahan. “Pastikan peralatan elektrik diletakkan di tempat yang selamat dan matikan suis elektrik sebelum meninggalkan rumah,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Chendering, hari ini. Turut hadir, ADUN Wakaf Mempelam Wan Sukairi Wan Abdullah dan Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Soud Said.   Menurut beliau, setakat pukul 10 pagi tadi jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS SK Chendering adalah seramai 86 orang melibatkan 26 buah keluarga. Dalam pada itu, beliau turut meminta orang ramai terutama mangsa banjir supaya mengelak daripada bermain air di kawasan banjir kerana ia boleh memudaratkan dari aspek keselamatan dan kesihatan. Terdahulu, Muhammad Khalil serta kakitangan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Burok telah meninjau dan membantu penduduk terjejas banjir di beberapa kawasan seperti Kondo Cerong Binjai, Kuala Ibai, Kampung Nibong dan Kampung Kubang Ikan serta beberapa kawasan lain. “Proses pemindahan mangsa banjir ke SK Chendering malam tadi berjalan lancar dan kita turut mendapat kerjasama dan bantuan daripada pihak bomba, Angkatan Pertahanan Awam serta sukarelawan Pemuda PAS dan Jabatan Amal,” ujarnya.    
03 Dec 20
689
Bantuan RM500 Untuk Mangsa Banjir
Bantuan RM500 Untuk Mangsa Banjir
KUALA TERENGGANU, 3 Disember - Kerajaan negeri meluluskan peruntukan lebih RM516 ribu yang akan diagihkan kepada semua keluarga mangsa banjir sepanjang bulan November.  Pengerusi Jawatankuasa kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, setiap keluarga akan menerima bantuan RM500 di samping tambahan RM500 diberikan khusus kepada mangsa banjir lumpur di daerah paling terkesan iaitu Kemaman. "Ini menjadikan mangsa banjir yang agak teruk (di Kemaman) menerima RM1,000 bagi meringankan sedikit bebanan kerosakan rumah yang dialami.  "Sebahagian besar rumah yang terlibat dinaiki air menyebabkan semua barangan keperluan harian dan makanan musnah. "Oleh itu, kerajaan bersetuju memberi bantuan khas RM500 kepada mereka yang mengalami kerosakan harta benda," katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.  Mengulas lanjut mengenai sumbangan tersebut, Hanafiah berkata, bantuan akan diselesaikan dalam bulan ini.  "Kerajaan juga sedang mengkaji keperluan bagi penternak dan pekebun yang kehilangan hasil akibat bencana ini," tambahnya.  
03 Dec 20
2915