lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Wanita Terengganu Tidak Ketinggalan Bantu Pesakit COVID-19
Wanita Terengganu Tidak Ketinggalan Bantu Pesakit COVID-19
KUALA TERENGGANU, 10 Februari – Kaum wanita di negeri ini tidak ketinggalan untuk turut serta membantu meringankan beban dan memberi semangat kepada pesakit COVID-19 yang masih dirawat. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata, menerusi program terbaru pihaknya telah memberi sumbangan wang tunai dan set makanan petang buat 160 pesakit di  Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) UiTM Chendering. “Difahamkan bahawa ramai lagi mereka yang positif ditempatkan di sini dengan kadar kemasukan pesakit baru pada setiap hari. “Oleh itu, saya bersama Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Wanita Nur Insani (Nisa’) Negeri Terengganu, Wan Nur Sakinah Din dan Pertubuhan Hawa Harmoni Sejahtera Terengganu (HANEES) bekerjasama dalam meringankan beban sedikit sebanyak dapat menaikkan semangat mereka yang terkesan. “Terima kasih diucapkan kepada semua agensi penguatkuasa yang terlibat dalam pengoperasian PKRC ini,” katanya kepada pemberita selepas kerja pengagihan bantuan di pusat itu kelmarin. Terdahulu Zuraida memaklumkan program tersebut turut memberi tumpuan kepada petugas barisan hadapan. "Mereka ini juga kita tidak lupakan, sudah pasti pengorbanan 'frontliner' merawat dan menjaga pesakit sangat kita hargai," katanya. Sementara itu, penyelaras PKRC tersebut, Dr Wan Norizan Wan Abdullah memaklumkan, PKRC yang mula beroperasi pada 21 Januari itu telah menempatkan kira-kira 600 pesakit. “Jumlah sembuh juga ramai dan pusat ini kini menempatkan sekitar 160 orang pesakit lagi dengan 13 petugas kesihatan satu shif. "PKRC ini digunakan untuk pesakit COVID-19 tahap satu dan dua yang tidak sesuai menjalani pengasingan di rumah setelah disaring oleh Pusat Penilaian COVID-19 (CAC).
10 Feb 21
509
'Cakna Didik Marang Hebak' Siri Dua Bantu 20 Pelajar Miliki Telefon Pintar
'Cakna Didik Marang Hebak' Siri Dua Bantu 20 Pelajar Miliki Telefon Pintar
MARANG, 9 Februari - Pemberian bantuan telefon pintar untuk melancarkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) melalui program Cakna Didik Marang Hebak diteruskan lagi untuk fasa kedua dengan melibatkan 20 pelajar kurang berkemampuan dalam kalangan keluarga B40 di daerah ini. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, inisiatif Pejabat Daerah Marang dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Marang itu menyasarkan 100 pelajar kurang berkemampuan menerima kemudahan tersebut sebelum akhir bulan ini. "Program ini telah dilaksanakan secara berperingkat dengan permulaan agihan sebanyak 10 unit telefon pintar dan 100 tambah nilai internet kepada pelajar kurang berkemampuan di Marang bagi fasa pertama. “Hari ini, program diteruskan lagi dengan agihan 20 unit telefon pintar untuk diserahkan kepada pelajar yang telah dikenalpasti oleh Pejabat Pendidikan Daerah Marang terdiri daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Telanai, SMK Seri Payong, SMK Tengku Lela Segara serta SMK Seberang Marang,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Penyerahan Telefon Pintar oleh Pejabat Daerah Marang kepada Pejabat Pendidikan Daerah Marang untuk diagihkan kepada pelajar yang layak di Pejabat PINTAR, DUN Alur Limbat, hari ini. Turut hadir, Pegawai Daerah Marang, Tun Faisal Tun Abdul Razak. Katanya, Program Cakna Didik Marang Hebak yang digerakkan menerusi hasil sumbangan pelbagai pihak termasuk Pejabat Parlimen Marang, syarikat swasta serta individu itu akan diteruskan untuk fasa ketiga pada 16 Februari ini dengan agihan sebanyak 20 unit telefon pintar kepada pelajar memerlukan di setiap DUN di daerah Marang ini. “Diharapkan ini bukan yang terakhir dan kita mengalu-alukan syarikat korporat serta orang perseorangan tampil menyumbang untuk meneruskan program yang sangat baik ini,” ujarnya. Sementara itu, Ariffin berkata, kerajaan negeri memandang serius isu dan kesukaran yang dihadapi pelajar yang tidak berkemampuan untuk menjalani pdPR ketika ini. “Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar telah mengumumkan Bantuan Ekonomi Rakyat 2021 (BERKAT) yang merangkumi bantuan 1,600 tablet kepada pelajar miskin serta tambah nilai internet RM100 kepada semua pelajar daripada keluarga yang berpendapatan kurang RM2,500. “Bantuan seumpama ini akan membantu lebih ramai pelajar yang tidak berkemampuan khususnya untuk menjalani PdPR serta dapat meringankan beban ibu bapa untu kmemastikan anak-anak mereka dapat belajar dengan sempurna dalam norma baharu ini,” ujarnya.  
09 Feb 21
1235
'Tiada Lagi Amaran, Terus Kompaun' - Polis Terengganu
'Tiada Lagi Amaran, Terus Kompaun' - Polis Terengganu
KUALA TERENGGANU, 9 Februari – Kompaun terus akan diberikan kepada mana-mana pihak atau individu yang didapati melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0. Ketua Polis Terengganu, Dato' Roslee Chik berkata, tempoh nasihat atau amaran telah berakhir pada tahun lalu. “Pada PKP 2.0 yang berkuatkuasa sejak Januari lalu, sejumlah 373 kompaun dikeluarkan, satu kompaun adalah RM1,000, PKP ini benda lama tapi masih ada yang berdegil dan pandang ringan terhadap SOP yang dikuatkuasakan. “Oleh itu, saya mengingatkan seluruh masyarakat supaya lebih berhati-hati kerana kita tidak akan lagi beri amaran terakhir. “Jika didapati melanggar peraturan, maka kompaun akan terus dikenakan. Arahan telah dikeluarkan kepada penguatkuasa bawahan untuk bertindak sekiranya berlaku demikian kerana peningkatan kes di Terengganu amat membimbangkan,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI, pagi semalam. Beliau juga berpendapat, tempoh nasihat dan amaran telah berakhir tahun lepas dan masyarakat perlu memandang serius dalam mematuhi SOP sebagai senjata paling berkesan. “Sebagai contoh, kita lihat tempat tumpuan awam dimana SOP yang dipatuh adalah topeng pelitup muka, tetapi aspek penjarakan fizikal tidak diamalkan. “Kita bersentuhan juga akan menyebabkan kemungkinan jangkitan, perkara ini perlu difahami masyarakat, bukan pakai ‘face mask’ sahaja, tapi kerapkan basuh dan cuci tangan serta amalkan penjarakan sosial. “Jangan angkuh ingat mereka kebal, perlu diingatkan agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penguatkuasa lain terpaksa berperang dengan musuh halimunan ini,” tambah beliau.
09 Feb 21
14620
Pasar Malam Dibenarkan Beroperasi
Pasar Malam Dibenarkan Beroperasi
KUALA TERENGGANU, 9 Februari - Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bersetuju memberi kebenaran kepada peniaga yang telah mendapat kelulusan tapak pasar malam daripada pihak majlis untuk beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Shahidan Embok berkata, kebenaran operasi di pasar malam Kuala Terengganu dan Kuala Nerus itu bagaimanapun perlu mematuhi syarat yang ditetapkan MBKT. Katanya, waktu operasi yang dibenarkan adalah dari pukul 4 petang hingga 10 malam sahaja. "Aktiviti jualan yang dibenarkan adalah makanan dan minuman, bahan makanan segar dan bahan mentah. "Hanya penjaja yang dilesenkan oleh MBKT dan mematuhi keluasan tapak dan lokasi ditetapkan sahaja dibenarkan untuk berniaga," ujarnya menerusi notis pemberitahuan yang dikeluarkan pihak MBKT. Katanya, laluan keluar dan masuk yang berasingan dan laluan satu hala sahaja dengan jarak antara gerai peniaga antara 1.5 meter sehingga 2.0 meter perlu diwujudkan. "Hendaklah mengawal atau menghadkan bilangan pengunjung dan pembeli dalam satu tempoh masa bagi memastikan jarak fizikal satu meter antara pengunjung. "Semua jenis jualan hanya dibenarkan dijual secara bungkus sahaja dan kanak-kanak (12 tahun ke bawah) dan warga emas (60 tahun ke atas) tidak dibenarkan masuk ke kawasan tapak pasar malam," ujarnya. Disamping itu katanya, pelanggan dan peniaga wajib memakai pelitup muka dengan betul sepanjang masa. "Termasuk perlu mengadakan kawalan anggota RELA di laluan keluar dan masuk sepanjang tempoh operasi dan mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN). "Alat penyukat suhu, hand sanitizer, buku rekod kehadiran pelanggan dan kod imbasan aplikasi Mysejahtera juga perlu disediakan," ujarnya. Shahidan berkata, kegagalan mematuhi syarat yang diatas boleh dikenakan denda RM1,000 (Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan penganjuran pasar malam boleh dibatalkan. - Gambar Fail.
08 Feb 21
819
JPKK Agih 260 Bungkusan Ikan Kepada Penduduk
JPKK Agih 260 Bungkusan Ikan Kepada Penduduk
BESUT, 7 Februari - Cakna akan derita rakyat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Air Tawar mengagihkan 260 bungkusan ikan selayang. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, ramai yang terjejas pendapatan dan tidak kurang juga yang kehilangan mata pencarian terutamanya mereka yang bekerja sendiri seperti pengusaha restoran, tukang gunting rambut dan peniaga pasar malam. "Semalam kita menghantar ikan menggunakan motosikal berbekalkan 'storage bag' supaya perjalanan lebih lancar masuk ke pelusuk kampung. “Kita juga berharap agar agihan yang tidak seberapa ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan kegusaran ketua-ketua keluarga dalam menyediakan lauk untuk dihidangkan kepada isi rumah yang menanti,” tambah beliau yang turut turun padang membantu para petugas menghantar sumbangan ikan selayang. Sementara itu, Pengerusi JPKK Air Tawar, Nik Mazli Mat Yusoff memberitahu, bagi tujuan itu pihaknya mengumpul dana sendiri untuk disumbangan kepada penduduk Air Tawar. "Terima kasih kepada Tengku Harun selaku Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Besut yang turut sama bertungkus lumus membantu menjayakan program agihan sumbangan ini," jelasnya.
07 Feb 21
487
EPIC Berhad Cakna, Bantu 120 Nelayan Ditimpa Musim Tengkujuh Dan PKP
EPIC Berhad Cakna, Bantu 120 Nelayan Ditimpa Musim Tengkujuh Dan PKP
KEMAMAN, 7 Februari – Seramai 120 orang golongan nelayan dibantu oleh Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Berhad melalui anjuran “Program EPIC Cakna dan Prihatin Edisi Khas Nelayan 2021”, baru-baru ini. Ketua Pegawai Strategik Kumpulan EPIC, Noor Tuah Jaafar memaklumkan, bantuan dalam bentuk wang tunai RM100 dan barangan keperluan asas bernilai sama telah difokuskan kepada golongan nelayan yang terjejas disebabkan oleh musim tengkujuh dan pandemiK COVID-19 yang semakin meningkat. "Program ini adalah salah satu inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (Corporate Social Responsibility) EPIC untuk membantu rakyat Negeri Terengganu yang dikategorikan sebagai golongan miskin. "Pada hari ini, pelaksanaan program telah berjaya dijalankan dengan lancar dengan kerjasama Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik dan Sabasun HyperRuncit Sdn. Bhd. "Sumbangan telah disampaikan secara pandu lalu bagi mematuhi kawalan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang disarankan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya dalam satu kenyataan. Turut hadir, ADUN Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili. Menurut Noor Tuah, EPIC sentiasa bersedia untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan dan memerlukan. "Diharapkan bantuan yang disampaikan ini sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban hidup mereka," jelasnya. Untuk pengetahuan, EPIC Berhad merupakan sebuah anak syarikat Kerajaan Negeri Terengganu yang menjalankan perkhidmatan sokongan utama kepada industri minyak dan gas, pelabuhan, tenaga serta perkhidmatan sampingan yang lain.
07 Feb 21
325
Kerajaan Negeri Alukan NGO Jalankan Kebajikan
Kerajaan Negeri Alukan NGO Jalankan Kebajikan
SETIU, 7 Februari – Kerajaan Negeri Terengganu amat terbuka malah mengalu-alukan semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin terlibat dalam aktiviti kebajikan dan dakwah. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, berlumba-lumba melakukan kebaikan sama ada oleh individu, NGO dan kerajaan amat digalakkan dalam Islam. "Bidang ini terlalu luas dan golongan sasar kita sangat ramai.  Sekalung penghargaan dan terima kasih kepada semua aktivis-aktivis NGO yang aktif membantu rakyat. Jasa dan sumbangan dihargai. "Walaupun begitu, tanggungjawab sebagai pemimpin kerajaan tidaklah serupa dengan tanggungjawab NGO kerana di samping menyantuni rakyat di lapangan, kerajaan juga perlu fokus kepada usaha untuk merangka dasar yang baik. "Selain itu, kerajaan perlu menumpukan kerja-kerja urus tadbir negeri, memastikan semua jentera kerajaan berjalan dengan baik dan seterusnya perlaksanaan dasar-dasar kerajaan sampai kepada rakyat," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Mala katanya lagi, kerajaan juga perlu melaksanakan agenda dan program yang mungkin tidak dilihat oleh rakyat pada hari ini tetapi hasilnya memanfaatkan mereka dalam tempoh jangka masa lebih panjang, "Kalau ada sesuatu masalah atau isu yang timbul, kita turun untuk selesaikan. Pendekatan ini sangat penting tapi sebagai kerajaan terutamanya kita harus memikir jauh lebih jauh daripada itu, "Begitu juga penyaluran wang kerajaan ada tatacara kewangan yang perlu dipatuhi. Ia tak semudah a, b, c sebagaimana kita nak salurkan dana daripada NGO," jelasnya lagi. Menurut Dr Azman, sebelum menjadi anggota kerajaan beliau juga pernah menjadi aktivis NGO. "Bukan setakat dalam negara bahkan aktiviti kebajikan kita sampai ke Mindanao, Palestin, Sudan, Indonesia, India dan perbatasan Jordan-Syria. Lantaran kerana latar belakang ini membolehkan kita merasai pengalaman dan cabaran berbeza dengan matlamat yang sama iaitu nak menyumbang bakti kepada sesama hamba Allah," tambahnya.
07 Feb 21
147
Ambil Ujian RBPT Sebelum Pindahkan Ternakan
Ambil Ujian RBPT Sebelum Pindahkan Ternakan
SETIU, 7 Februari - Pemilik haiwan disaran melakukan pengambilan sampel darah ternakan untuk ujian ‘Rose Bengal Plate Test (RBPT) sebelum memindahkan ternakan masing-masing. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pemindahan ternakan dalam Terengganu termaktub dengan perundangan Warta Kerajaan Negeri Terengganu T.r.P.U 10 dan T.r.P.U 4 iaitu Perintah Kawalan Penyakit Kuku Dan Mulut dan Hawar Berdarah (HS) yang  berkuatkuasa sejak tahun 2006. "Perintah ini dibuat di bawah Seksyen 36 Akta Binatang 1953. Sebelum sesuatu peraturan dikuatkuasakan, ruang perbincangan telah dan akan terus dibuka seluasnya untuk mewujudkan situasi menang-menang. Peranan kerajaan ialah untuk menjaga kepentingan semua pihak.’ "Selain daripada untuk menjamin daging ternakan yang disembelih selamat dimakan oleh manusia, ternakan yang akan dipindahkan juga perlu dipastikan sihat agar tidak berlaku pembawaan wabak penyakit seperti FMD, Brucellosis dan Hawar Berdarah ke kawasan lain ekoran pemindahan yang berlaku," katanya dalam satu kenyataan. Menurut Dr Azman, beliau menerima banyak sungutan dan bantahan daripada penternak serta pemborong haiwan ternakan berkaitan cadangan untuk menguatkuasakan pengambilan sampel darah ternakan. Katanya, kerajaan negeri telah dipersalahkan kerana kononnya telah mewujudkan 'budaya' baru yang menyusahkan penternak sedangkan peraturan tersebut telah ada sebelum ini. "Peraturan ini sebenarnya sudah lama wujud. Dalam konteks Terengganu, pengambilan sampel darah bagi ujian RBPT tidak dipraktikkan dalam kes pemindahan antara daerah dalam negeri tapi telah dikuatkuasakan untuk pemindahan ternakan antara negeri. Negeri-negeri lain sudah lama menguatkuasakan ujian RBPT bagi pemindahan ternakan antara daerah. "‘Brucellosis’ adalah penyakit zoonosis iaitu penyakit haiwan yang boleh menjangkiti manusia. Kerana itu adalah sangat mustahak untuk memastikan bahawa haiwan ternakan yang dipelihara dan disembelih bebas dari Brucellosis melalui pengambilan sampel darah untuk ujian RBPT,’’ Jelasnya lagi. Sementara itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar sedang mengkaji daripada pelbagai aspek untuk menguatkuasakan ‘Standard Operating Procedur’ (SOP) bagi ujian RBPT terbabit. "Kajian dijalankan dengan mengambil kira semua kepentingan samada penternak dan rakyat sebagai pengguna. Setakat ini ia belum dikuatkuasakan lagi, "Untuk info, ujian sampel darah RBPT ini adalah percuma, boleh dibuat di lapangan dengan keputusan serta merta," katanya
07 Feb 21
229
Agihan 600 Kilo Daging Golongan Terjejas DUN Air Putih
Agihan 600 Kilo Daging Golongan Terjejas DUN Air Putih
KEMAMAN, 5 Februari - Umum mengetahui ramai pihak yang terkesan berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 baru-baru ini. Ramai yang terjejas pendapatannya dan tidak kurang juga yang kehilangan mata pencarian terutamanya mereka yang bekerja sendiri seperti pengusaha restoran, peniaga pasar malam dan lain-lain. Cakna akan situasi itu, pihak Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih mengambil inisiatif mengagihkan sebanyak 600 kilogram daging kepada mereka yang terjejas pendapatan di sekitar kawasan tersebut semalam. Dianggarkan sebanyak 500 bekas daging berjaya diagihkan kepada penduduk setempat petang semalam yang mana setiap keluarga menerima 1 kilogram daging.  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Ab Razak Ibrahim ketika ditemui berkata, agihan itu melibatkan hampir 500 buah keluarga di sekitar DUN Air Putih. "Di mana majoriti penerimanya adalah daripada kalangan mereka yang terjejas pendapatan akibat pandemik COVID-19. “Kita juga berharap agar agihan yang tidak seberapa ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan kegusaran ketua-ketua keluarga dalam menyediakan lauk untuk dihidangkan kepada isi rumah yang menanti,” tambah beliau yang turut turun padang membantu para petugas membungkus daging untuk diagihkan. "Jutaan terima kasih diucapkan kepada pihak syarikat Dr. Daging yang sudi menaja daging-daging bagi tujuan agihan kali ini. "Tidak dilupakan, ucapan terima kasih kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Pemuda, Muslimat dan Ameerah yang turut sama bertungkus lumus membantu menjayakan program agihan sumbangan ini. "Semoga kita semua terus berusaha mengekang penularan wabak COVID-19 ini," ujarnya.
05 Feb 21
208
Lima Pemilik Premis Perniagaan Dikompaun RM1,000
Lima Pemilik Premis Perniagaan Dikompaun RM1,000
KUALA TERENGGANU, 4 Februari- Lima pemilik premis melibatkan tiga kedai menjual telefon, karpet (1) dan pemborong (1) dikenakan tindakan kompaun RM1,000 seorang oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu selepas didapati gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, tiga kompaun dikeluarkan di daerah Kemaman manakala dua lagi di Kuala Terengganu. Katanya, kesemua pemilik perniagaan tersebut dikompaun kerana melanggar PKP iaitu di bawah Peraturan 15 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan) 2021.  "Kesalahan yang dilakukan adalah gagal menyediakan peralatan untuk merekod butiran diri, gagal menyediakan peralatan suhu dan gagal mengawal laluan masuk  pelanggan tanpa merekodkan maklumat secara manual atau melalui aplikasi MySejahtera. "KPDNHEP yang telah diberi kuasa di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) terhadap pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) PKP, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 8 Mei 2020," ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini. Katanya, pengusaha perniagaan dan orang ramai diharap agar sentiasa mematuhi SOP bagi membendung penularan wabak COVID-19  "Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mengambil mudah dan melanggar SOP yang ditetapkan. "Pihak KPDNHEP mengalu-alukan kerjasama daripada para pengguna untuk menyalurkan sebarang maklumat salah laku atau aduan melalui saluran yang disediakan bagi memastikan para peniaga sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan," ujarnya.
04 Feb 21
863