lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Abdul Hadi Dalam Keadaan Stabil
Abdul Hadi Dalam Keadaan Stabil
KUALA TERENGGANU, 16 Februari - Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang kini berada dalam keadaan stabil dan sedang berehat selepas dilapor mengalami sesak nafas malam tadi. Perkara tersebut disahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi yang juga anaknya melalui ciapan di laman facebook. “Saya baru bercakap dengan ayahanda Tuan Guru sebentar tadi. Keadaan beliau stabil dan perlukan rehat. Mungkin kepenatan kerana jadual yang padat. “Mohon doa daripada semua semoga beliau terus sihat untuk berkhidmat kepada ummah,” katanya. Terdahulu, Presiden PAS itu dimasukkan ke Hospital Putrajaya malam tadi selepas dilapor mengalami sesak nafas. Beliau kemudiannya dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk rawatan lanjut.
16 Feb 21
919
Gabungan NGO Terengganu Sumbang 2,000 Set PPE Buat 'Frontliners'
Gabungan NGO Terengganu Sumbang 2,000 Set PPE Buat 'Frontliners'
KUALA TERENGGANU, 12 Februari – Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT) dengan gabungan NGO lain mengambil inisiatif menghulurkan sumbangan berupa 2,000 set peralatan perlindungan diri (PPE) dan pelindung muka kepada barisan hadapan. Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, NGO memainkan peranan besar dalam membantu kerajaan menyelesaikan isu terkini seperti masalah kebajikan dan sosial. “Oleh itu, UBSNT menggerakkan usaha ini bersama IMAN CARE iaitu penyumbang utama serta Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA), HANEES, Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPK), TESDEC dan agensi lain yang terlibat. “UBSNT, melalui Unit NGO sentiasa terbuka menerima kerjasama daripada NGO-NGO di luar sana dalam membantu menyelesaikan dan menangani pelbagai keperluan sosial,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI, pagi tadi. Tambah Sukairi, Kerajaan Negeri melalui UBSNT turut merancang untuk program sumbangan 10,000 mushaf Al-Quran dan 50,000 pelitup muka ke Sabah dalam masa terdekat, dengan kerjasama Tentera Laut Diraja Malaysia serta agensi lain. Sementara itu, Pengarah UBSNT, Mohd Nasir Abd Razak memaklumkan, pihaknya turut berjaya menubuhkan tabung kecemasan COVID-19 hasil kerjasama pelbagai badan terlibat diselaraskan Majlis Muafakat NGO Terengganu (MMNT). “Melalui tabung tersebut, ia sedikit sebanyak akan lancarkan pergerakan NGO mengutip dana ketika menghadapi cabaran wabak semasa. “Manakala objektif sumbangan hari ini menyasarkan 2,000 set diselesaikan mulai hari ini sehingga akhir bulan Februari, dengan hantaran pertama pada minggu hadapan dan hantaran kedua selewatnya pada Mac. “YPK, TESDEC dan HANEES akan bertindak menyusun dan menyiapkan kelengkapan PPE yang dihasilkan sendiri oleh mereka,” katanya.
12 Feb 21
683
10 Tahun Hidup Bersumberkan Air Kotor
10 Tahun Hidup Bersumberkan Air Kotor
SETIU, 11 Februari – Sekitar 20 keluarga di pedalaman Kampung Kuala Kubang, Jabi di sini akhirnya dapat menikmati bekalan air bersih selepas projek menaiktaraf paip dengan kos RM30 ribu siap. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata, gangguan bekalan air serta sumber yang kotor ketika waktu hujan itu berlaku akibat proses penyelenggaran sebelum ini tidak dilakukan dengan baik. "Sudah berpuluh tahun saliran paip sepanjang lebih tiga kilometer dari kaki gunung ke rumah penduduk tak diselenggara dan sudah banyak yang rosak serta bocor. Kita keluarkan sedikit belanja bagi kerja-kerja penggantian paip dan beberapa peralatan lain, "Alhamdulillah, siap akhirnya projek penyambungan paip dari Air Terjun Lata Belatan untuk bekalan air kepada hampir 20 buah rumah di Kampung Kuala Kubang, "Pemasangan paip dari air terjun yang terletak di kaki Gunung Tebu ke kawasan penempatan sejauh 4.3 kilometer melibatkan kos lebih RM30 ribu yang dibiayai Pejabat ADUN Jabi," katanya. Beliau berkata demikian setelah melihat hasil projek tersebut di Kuala Kubang, Jabi, semalam. Turut hadir, Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Sudin Awang, Penyelia Institut Modal Insan Sejahtera (I-MiTS), Norisabri Ismail, Pengerusi JPKK Jabi, Rahim dan Penolong Hal Ehwal Masyarakat (I-MiTS), Zakaria Mahmud. Sementara itu, menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kuala Kubang, Aziz Rashid yang hadir sama dalam tinjauan tersebut berkata, bekalan air terputus terjadi pada setiap masa dan tidak menentu. "Boleh dikatakan dalam tempoh sebulan ia berlaku dalam lima hingga enam kali, kadang-kadang lebih. "Paling teruk, dua hingga tiga hari tiada air dalam seminggu kerana paip yang tersumbat, selain air kotor di musim hujan," jelasnya.
11 Feb 21
355
Hasrat Miliki Geran Tercapai Selepas 50 Tahun
Hasrat Miliki Geran Tercapai Selepas 50 Tahun
HULU TERENGGANU, 11 Februari - Rasa terharu dan bersyukur, hanya itu mampu diluahkan oleh Minah Sulaiman, 77, apabila geran tanah yang di tunggu sejak 50 tahun akhirnya dalam genggaman.   Namun katanya, rasa gembira itu diiringi hiba apabila mengenangkan arwah suaminya, Ismail Idris, yang meninggal dunia pada tahun 1996.   "Alhamdulillah, makcik rasa syukur sangat, tapi dalam gembira tu banyak yang sedih sebab sepatutnya pakcik (arwah) yang menerimanya, bukan makcik. Itu yang rasa sebak sebab dia yang bertungkus lumus, sepatutnya dia yang dapat tapi makcik yang terima hari ini. "Makcik nak ucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan negeri kerana apa yang ditunggu-tunggu sudah kesampaian," katanya ketika ditemui pemberita selepas penyampaian surat hakmilik kepada 92 orang penerima di Dewan orang ramai Kampung Baru Sungai Binjai,semalam.   Bagi seorang lagi peserta Rancangan Tanah Berkelompok(RTB), Rosnani Awang, 55, dia amat berterima kasih kepada kerajaan negeri Terengganu dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Ajil, Ustaz Maliaman Kassim kerana menunaikan impian mereka untuk memiliki geran tanah.  Menurutnya, penat lelah peserta Rancangan Tanah Berkelompok(RTB), sejak kampung itu diteroka akhirnya berbaloi dan menganggapnya sebagai satu hadiah yang paling bermakna dalam hidupnya.  "Kerajaan buat dah baik dah. Mereka jaga kita pun dengan baik. Terima kasih Kerajaan Negeri, terima kasih MB (Menteri Besar).  "Hari ini akan menjadi satu sejarah dalam hidup saya dan saya amat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri dan Menteri Terengganu kerana membantu menunaikan impian kami,"ujarnya lagi. Sementara itu Maliaman berkata, sehingga hari ini kerajaan negeri telah berjaya merealisasikan janji dan manifesto dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu sekali gus mengembalikan tanah-tanah terkilan selepas pemerintahan kerajaan tahun 2004. "Kita seboleh-bolehnya akan cuba memastikan yang sebarang isu berkaitan dengan hak milik hartanah diselesaikan dengan kadar  segera. semua urusan berkaitan dengan hak milik tanah ini adalah perkara yang memakan masa dan melibatkan prosedur yang sedikit rumit,"tambah beliau.  
11 Feb 21
498
Mualaf Terima Bantuan Rai Sambutan Tahun Baru Cina
Mualaf Terima Bantuan Rai Sambutan Tahun Baru Cina
KUALA TERENGGANU, 10 Februari - Golongan mualaf di negeri ini menerima bantuan awal untuk membuat persiapan menyambut Tahun Baru Cina (TBC) bersama keluarga Jumaat ini. Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), M Rozi Bidin menjelaskan, bantuan keseluruhan berjumlah RM59,000 kepada 173 orang saudara baru itu dimasukkan terus ke akaun penerima secara berperingkat mulai hari ini. "Bantuan itu sepatutnya dibayar akhir bulan ini, tetapi sebagai tanda keprihatinan dan kesusahan dihadapi berikutan pelaksanaan PKP, kita setuju untuk membuat pembayaran awal bagi meringankan bebanan mereka. "Walaupun golongan itu berlainan agama, tetapi mereka juga perlu membuat persediaan membeli barangan keperluan untuk meraikan TBC bersama keluarga," ujarnya. Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan kecemasan berjumlah RM3,000 kepada mangsa kebakaran, Mohd Johan Sidek, 49, di Kampung Merbau Patah, di sini, hari ini. Kediaman Mohd Johan yang juga pengusaha kedai makan di Pasar Borong Gong Pauh, terbakar kira-kira jam 3 petang, semalam. Bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan berlaku ke atas Mohd Johan dan 13 orang ahli keluarga termasuk dua bayi. M Rozi berkata, selain saudara baru, bantuan bulanan kepada golongan asnaf fakir membabitkan seramai 2,195 orang juga turut terbabit dengan pembayaran awal membabitkan keseluruhan perbelanjaan sebanyak RM761,500. Jelasnya, MAIDAM juga dalam proses untuk membuat pembayaran awal kepada golongan asnaf yang menerima bantuan dibawah kategori sara hidup. "Sejak awal Januari lalu, MAIDAM sudah meluluskan bantuan sara hidup kepada 1,399 Ketua Isi Rumah (KIR) membabitkan peruntukkan keseluruhan berjumlah RM2.7 juta," katanya.
10 Feb 21
353
Anak Pesakit Strok Bersyukur Terima Telefon Pintar
Anak Pesakit Strok Bersyukur Terima Telefon Pintar
MARANG, 10 Februari - Rasa sedih seorang pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan yang terpaksa menggunakan telefon uzur untuk mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), terubat apabila menerima sumbangan telefon pintar dan pembelian data (tambah nilai internet). Telefon pintar sumbangan pelbagai pihak menerusi program Cakna Didik Marang Hebak inisiatif Pejabat Daerah Marang dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Marang itu diserahkan kepada Nur Asyikin Ismail, 17, oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman di rumahnya di Kampung Wakaf Kedondong, disini, hari ini. Turut hadir, Pegawai Daerah Marang, Tun Faisal Tun Abdul Razak. Nur Asyikin, pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Payong berkata, dia amat terharu apabila menerima peranti berkenaan kerana dia sebelum ini terpaksa menggunakan telefon lama yang mempunyai pelbagai masalah serta selalu berdepan kesukaran untuk tambah nilai internet. “Alhamdulillah, syukur dengan bantuan ini, terima kasih kepada kerajaan negeri dan pelbagai pihak lain yang memberikan bantuan kepada pelajar seperti kami yang sangat memerlukan. “Sepanjang PdPR, saya menggunakan sedikit duit Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP) yang saya dapat untuk tambah nilai internet kerana tidak mahu susahkan keluarga memandangkan ayah tidak lagi mampu bekerja selepas diserang strok lapan tahun lalu, sementara emak pula hanya suri rumah. “Ketika ini, kami sekeluarga hanya bergantung kepada duit pencen ayah yang tidak sampai RM200 dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diterima ayah dan emak untuk meneruskan kelangsungan hidup,” ujar anak bongsu daripada enam beradik itu. Tidak mahu menjadikan kesusahan keluarga sebagai halangan untuk dia mencapai cita-citanya sebagai seorang guru, Nur Asyikin berazam untuk menjadikan ‘hadiah’ yang diterimanya itu sebagai sebagai pembakar semangat untuknya mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) nanti.
10 Feb 21
539
Dr Azman Seru Rakyat Terus Kuat Hadapi COVID-19
Dr Azman Seru Rakyat Terus Kuat Hadapi COVID-19
SETIU, 10 Februari – Dr Azman Ibrahim menyeru rakyat di negeri dan negara ini untuk terus cekal menjalani Kehidupan di era pandemik COVID-19. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri itu berkata ini kerana terdapat ramai individu yang berdepan dengan ujian tekanan hidup yang kadang kala diluar kawalan emosi normal manusia. Oleh yang demikian katanya, ia menjadi tanggungjawab semua pihak untuk saling membantu terutamanya pemimpin masyarakat. "Dalam apa jua situasi sekalipun, pemimpin perlu bergerak untuk menjaga rakyat dan rakyat juga perlu bergerak untuk mencari rezeki. "Tidak tepat kalau kata, rakyat duduk diam-diam biar pemimpin yang bergerak buat urusan. Kita tidak akan mampu untuk menghantar makanan ke setiap pintu rumah rakyat apabila sampai waktu makan. "Kita perlu realistik dan berpijak di bumi nyata. Walau setiap hari kita masuk kampung pikul barangan bantuan untuk rakyat, ia tak mencukupi. Bantuan hanya bersifat meringankan beban," jelasnya. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada penduduk Kampung Kuala Kubang, Jabi, semalam. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kuala Kubang, Aziz Rashid, Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Sudin Awang, Penyelia Institut Modal Insan Sejahtera (I-MiTS), Norisabri Ismail dan Penolong Hal Ehwal Masyarakat i-MiTS, Zakaria Mahmud. Bercakap tentang agihan bantuan tersebut, Dr Azman memaklumkan sumbangan adalah berbentuk makanan seperti beras, minyak, gula dan gandum bagi mereka yang terkesan akibat COVID-19. Menurut beliau, turun padang merupakan aktiviti yang tidak asing bagi dirinya. "Ini kerana, sebarang aduan, permasalahan yang dihadapi rakyat lebih ‘jelira’ dan lebih mengutamakan ‘first hand info’ tanpa ditokok tambah. "Jadilah kita sebagaimana orang di hadapan kita dan bercakaplah dengan bahasa mereka. Hati akan bertaut dan kita mudah berbicara. "Kurangkan jurang birokrasi nescaya kita akan dapat mendekatkan hati. Kita mari nak tanya masalah rakyat maka jangan sampai rakyat segan nak bercakap dengan kita," jelasnya.
10 Feb 21
239
'Task Force' Polis Tekad Tangkap Penagih Setiap Minggu
'Task Force' Polis Tekad Tangkap Penagih Setiap Minggu
KUALA TERENGGANU, 10 Februari – Polis Terengganu sedang mempergiatkan usaha memerangi najis dadah dengan penguatkuasaan ‘Task Force’ terdiri daripada 36 ketua polis balai (OCS) melalui tangkapan penagih setiap minggu. Ketua Polis Terengganu, Dato' Roslee Chik, berkata usaha tersebut ditubuhkan bagi mengawal statistik 70 peratus penglibatan golongan muda dalam jenayah dadah, pelapis kepimpinan negara suatu hari nanti. Katanya, setiap OCS diwajibkan buat tangkapan paling kurang satu atau dua orang penagih yang memiliki dadah walaupun dalam kuantiti kecil. “Selain itu, satu lagi pasukan petugas di seluruh daerah dalam negeri terdiri daripada 50 orang lebih yang membantu Jabatan Narkotik. “Hasilnya daripada tahun lepas sehingga sekarang, sebanyak 400 orang penagih hasil tangkapan telah dibuat dalam usaha memerangi statistik satu peratus (12,000 orang) rakyat Terengganu yang merupakan penagih. “Namun begitu, usaha pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sahaja tidak mampu memerangi sepenuhnya ancaman ini, oleh itu, setiap lapisan masyarakat bermula dari keluarga sehingga pentadbiran dan pemerintah perlu memainkan peranan dan bekerjasama membanteras gejala ini,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI, semalam. Mengulas tentang kategori penagih dalam negeri, beliau memaklumkan kategori pertama adalah kategori penagih tegar ‘hardcore’ terlibat dalam 5 hingga 20 tahun dan ‘digunakan’ tokan dadah sebagai penjual dadah kecilan. “Penagih baru ‘newcomer’ ini kita ingin selamat dan pisahkan daripada kategori tegar kerana kebanyakan golongan ‘hardcore’ mempunyai rangkaian dengan tokan besar. “Hukuman boleh dijatuhkan kepada kesalahan dadah kali ketiga, makhamah boleh ambil tindakan dibawah Seksyen 39C (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 penjara antara lima tahun hingga tujuh tahun serta tiga sebatan. “Hasilnya kita asingkan mereka daripada masyarakat dan elakkan penagih baru mula lebih mengikuti jejak langkah mereka,” katanya. Tambah beliau, strategi serampang dua mata tersebut mampu kurangkan kadar jenayah dalam negeri bersama dengan penurunan kes berkaitan dadah.
10 Feb 21
1232
Jijoe Rampas Gelaran Nombor 1 Dunia Pecut Individu
Jijoe Rampas Gelaran Nombor 1 Dunia Pecut Individu
KUALA TERENGGANU, 10 Februari - Jaguh basikal negara, Azizulhasni Awang mendapat tonik berharga menjelang temasya Olimpik Tokyo apabila berjaya merampas ranking pertama dunia dalam acara pecut individu. Berdasarkan ranking terkini yang dikeluarkan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) semalam, anak kelahiran Terengganu itu berjaya mengumpul 1,600 mata sekali gus berjaya menghuni ranking pertama. Menerusi ciapan di laman facebooknya tengahari tadi, 'The Pocket Rocketman' ternyata gembira dengan kedudukan ranking semasa tersebut. "Sudah tentu ia menjadi pembakar semangat buat saya yang dalam persiapan ke Sukan Olimpik Tokyo nanti. "Bagi saya, ia juga adalah berita gembira buat arena sukan negara kita juga, diharap agar sedikit sebanyak menjadi sumber inspirasi buat atlet-atlet muda di tanah air kita. "Di samping itu, saya juga berharap rakyat Malaysia akan terus mendoakan agar segala persiapan berjalan lancar dan saya berjaya memenangi pingat Emas di Sukan Olimpik Tokyo nanti Insya-Allah," kata pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio 2016. Pengumuman UCI itu juga turut menyaksikan Azizulhasni atau Jijoe menduduki tempat kedua dunia bagi acara keirin setelah meraih 1,740 mata di belakang Kevin Quintero dari Colombia yang mengumpul 1,790 mata. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah mewakili kerajaan negeri mengucapkan tahniah dan setinggi-setinggi penghargaan atas kejayaan berkenaan "Ranking tertinggi dalam dua kategori tersebut diharapkan akan memberi semangat lebih besar untuk memberi aksi terbaik di Tokyo. "Semoga kejayaan ini juga memberi semangat kepada atlet lain seperti atlet memanah negara, Khairul Anwar Mohamad dan atlet-atlet lain dalam mengharumi nama negeri dan negara. "Seluruh rakyat Terengganu dan Malaysia akan mendoakan kejayaaan buat mereka Insya-Allah," katanya ketika dihubungi. Sebelum ini, kerajaan negeri telah menyalurkan bantuan sokongan atlet sukan olimpik Tokyo sebanyak RM200,000 kepada Jijoe dan atlet memanah negara, Khairul Anwar Mohamad, sebagai usaha menjayakan persiapan atlet tersebut dalam temasya berkenaan..    
10 Feb 21
7335
PKP 2.0: Adun Ajil Sumbang Pek Makanan Tanda Hargai 'Frontliner'
PKP 2.0: Adun Ajil Sumbang Pek Makanan Tanda Hargai 'Frontliner'
HULU TERENGGANU, 10 Februari - Prihatin terhadap petugas kesihatan, dan menyedari besarnya pengorbanan dilakukan petugas barisan hadapan (frontliner) Covid-19, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil tampil menyalurkan pek makanan sebagai tanda penghargaan. Ustaz Maliaman Kassim berkata sumbangan sarapan pagi dan makan tengahari itu walaupun kecil, namun mampu menceriakan anggota kesihatan yang bertugas di Klinik Kesihatan Ajil. Katanya, penyaluran bantuan makanan  bertujuan menyuntik semangat anggota kesihatan untuk terus memberi perkhidmatan terbaik sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. “Para doktor, jururawat dan pasukan keselamatan serta petugas-petugas lain yang terlibat secara langsung untuk menangani masalah wabak Covid-19 ini. Mereka tidak ada masa untuk berehat kerana terpaksa memberi tumpuan yang serius. “Mereka bekerja keras semenjak isu Covid-19 ini melanda negara terutama di Terengganu,"katanya ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan sumbangan makan tengahari tersebut. Beliau juga berkata, orang ramai seharusnya bersyukur masih berpeluang meneruskan aktiviti harian dengan selesa di rumah bersama keluarga, sementara para petugas barisan hadapan berusaha keras serta mengorbankan keselamatan dan masa mereka demi mengekang penularan kes Covid-19. Tambahnya lagi, pihaknya sedaya upaya akan membantu semampu yang boleh selain cuba meluaskan lagi bantuan kepada pihak memerlukan selepas ini. “Bantuan disalurkan sebagai tanda mengenang dan menghargai perkhidmatan tanpa henti barisan hadapan dalam menangani penularan wabak COVID-19. “Kita akan cuba menghulurkan sumbangan kepada beberapa pihak lagi selepas ini dan ini adalah tanda terima kasih kami kepada anda yang banyak berkorban untuk rakyat Malaysia,” ujarnya. Sementara itu Dr Nur Hidayah Embong berkata pihaknya mengucapkan terima kasih kepada ADUN Ajil yang begitu prihatin dan sudi meluangkan masa menyumbangkan makanan hari ini. Tambahnya lagi, beliau berharap rakyat diluar sana, mempunyai tanggungjawab untuk memutuskan rangkaian jangkitan COVID-19 bersama sama.  “Dalam erti kata yang mudah, jangan menghadiri sebarang acara yang mempunyai hubungan rapat dengan seseorang atau lebih senang difahami, duduk sahaja di rumah diam-diam, jangan ke mana-mana apatah lagi keluar dari zon tempat tinggal anda sekarang ini. “Bukan lama pun, dua minggu sahaja untuk membolehkan rantaian virus ini dilumpuhkan. Hanya inilah langkah terbaik yang boleh dijalankan," jelasnya
10 Feb 21
224