Artikel "Semasa" Terkini
Pesakit COVID-19 Dan Petugas Barisan Hadapan Terima Hidangan Nasi Ayam Sosek
KUALA TERENGGANU, 4 Februari- Seramai 160 pesakit COVID-19 berisiko rendah yang sedang menjalani proses rawatan dan petugas barisan hadapan kesihatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID (PKRC), Kolej Kejururawatan Kuala Terengganu menerima hidangan nasi ayam sosek.
Sumbangan juadah kepada pesakit dan petugas barisan hadapan kesihatan itu adalah program Tanggungjawab Sosial Koperat (CSR) Taman Tamadun Islam (TTI).
Pengerusi TTI, Ariffin Deraman berkata, pihaknya membelanjakan kira-kira RM2,500 untuk menyediakan hidangan istimewa itu.
“Hidangan nasi ayam sosek turut diberikan kepada petugas kesihatan yang bertugas di Klinik Kesihatan Hiliran dan Klinik Kesihatan Manir.
“Kita juga akan mengagihkan bantuan itu kepada pesakit COVID-19, yang sedang menjalani rawatan di PKRC Chendering dan di Institut Pendidikan Guru Dato Razali, Gong Badak serta Hospital Hulu Terengganu (HHT),” katanya ketika menyampaikan sumbangan itu kepada Pengarah PKRC Kolej Kejururawatan Kuala Terengganu, Dr Siti Salmy Mat Nor, di sini, hari ini.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Wanita negeri, Zuraidah Md Nor.
Sementara itu, Dr Siti Salmy berkata, seramai 117 pesakit COVID-19 berisiko rendah sedang menjalani proses rawatan dan kuarantin di PKRC Kolej Kejururawatan Kuala Terengganu.
“Kementerian Kesihatan (KKM) menyediakan sebanyak 262 katil untuk merawat pesakit COVID-19 berisiko rendah dan semua pesakit berada dalam keadaan stabil,” katanya.
Mengulas mengenai bekalan air mineral yang dikatakan tidak mampu menampung keperluan pesakit, Dr Siti Salmy menjelaskan, bekalan air mineral sudah disediakan kerajaan.
“Bekalan air mineral tidak mencukupi berlaku kerana pesakit menggunakannya untuk dijadikan minuman panas,” katanya.
04 Feb 21
363
Pembinaan 64 Menara Selasai Masalah Capaian Internet
KUALA LUMPUR, 4 Februari - Masalah capaian internet kurang memuaskan di beberapa kawasan luar bandar kini dalam penyelesaian selepas projek menaik taraf menara sedia ada dan pembangunan 64 menara baharu dilaksanakan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, jumlah menara di Terengganu yang sedia ada adalah 1,000 dan ia memerlukan penambahbaikan kerana menara tersebut hanya mampu menampung 2G dan 3G sahaja.
Kata Ariffin, masalah di Lata Payung yang tular di media sosial baru-baru ini juga hampir selesai.
"Sebenarnya di sana (Lata Payung) telah ada menara, tetapi sedang dinaik taraf kepada capaian 4G, sebab itu ia mengalami sedikit gangguan.
"Perancangan akan melalui syarikat milik kerajaan negeri, Terengganu Telecommunications Sdn Bhd (TCOMM) akan mengambil tindakan lanjut dan meninjau isu tersebut dengan kerjasama pihak telco secepat mungkin.
"MCMC turut giat berusaha dalam kerja menaik taraf dan sedang melakukan proses tersebut beberapa kawasan. Insya-Allah, dalam tempoh dua tahun ini MCMC sedang membangunkan 64 menara baru di seluruh negeri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Peranan sama turut dimainkan oleh Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir melalui projek bina baru menara telekomunikasi dan menaik taraf 57 pemancar di menara yang sedia ada di daerah Setiu.
Menurut Shaharizukirnain, permohonan tersebut telah diluluskan oleh pihak Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), baru-baru ini.
"Projek ini kini dalam proses tender dan pembinaan menara telekomunikasi ini akan meluaskan rangkaian 4G dalam kawasan Parlimen Setiu.
"Insya-Allah isu yang selama ini membelenggu rakyat dalam Setiu akan tidak lama lagi diselesaikan.
"Antara kawasan terlibat bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap antaranya Kampung Tayor Tengah Hutan Lipur Lata Payung, Kampung Bukit Layat, Kampung Jelapang, Kilang Sawit Chalok dan Bukit Lawang," jelasnya.
04 Feb 21
1313
Terengganu Perkenal Produk Pelancongan Baharu Bulan Hadapan
MARANG, 3 Februari - Pelbagai produk pelancongan baharu akan diperkenalkan bulan hadapan bagi menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke Terengganu.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Sulaiman Sulong berkata, langkah tersebut secara tidak langsung membantu pemain industri pelancongan di negeri ini yang terjejas dalam tempoh penularan pandemik COVID-19.
"Pelancongan menjadi keutamaan untuk kita bina balik ekonomi selepas berdepan dengan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang agak panjang.
"Jika diizinkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk buka lebih luas lagi ruang pelancongan maka kerajaan negeri bersedia menyediakan pakej-pakej menarik sama ada di pulau atau di Marang ini sendiri," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan penyerahan sumbangan telefon pintar kepada pelajar kurang berkemampuan di Perkarangan Pejabat Pendidikan Daerah Marang, semalam.
Turut hadir, Pegawai Daerah Marang, Tun Faisal Tun Abdul Razak.
Katanya, kerajaan negeri akan memperkenalkan beberapa tempat baru khususnya untuk pelancongan domestik termasuk di Marang dan sekiranya tiada sebarang halangan ia akan diumumkan bulan hadapan.
Menurut beliau lagi, biarpun banyak program pelancongan tahun lalu yang dirancang tersasar disebabkan pandemik COVID-19, pendekatan mengadakan program lain seperti perkampungan budaya sedikit sebanyak menambah kedatangan pelancong.
Tambahnya, diharapkan dengan adanya produk pelancongan baharu akan terus merancakkan sektor ekonomi di negeri ini sekali gus memberi pulangan kepada pemain industri pelancongan.
03 Feb 21
463
Kerajaan Negeri Tidak Abai Pesara Sukan
KUALA TERENGGANU, 3 Februari – Kerajaan negeri memberi komitmen untuk tidak mengabaikan keperluan bekas atlet selepas bersara atau tidak lagi aktif dalam karier mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, beliau memberi perhatian kepada keperluan tersebut seawal memegang jawatannya kerana umur atlet aktif kebanyakannya antara 15 hingga 35 tahun.
“Mereka masih muda jika bersara selepas itu, maka kita mengambil inisiatf tertentu untuk memberi kelegaan kepada atlet-atlet serta ibu bapa yang mungkin runsing untuk menjadikan sukan sebagai sumber pendapatan.
“Kita memperkenalkan kerjasama dengan pihak Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Kolej Universiti TATI (UC TATI) bagi mengalakkan dan memberi peluang mudah untuk atlet menyambung pelajaran.
“Kemasukan dan syarat kemasukan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) berkenaan lebih mudah sekiranya mereka melalui program ini,” katanya katanya ketika bersiaran langsung di TVDI, pagi semalam.
Tambahnya, usaha itu dilakukan agar mereka berminat untuk melanjutkan pelajaran dan sebagai persiapan mendapat sijil bersesuaian dengan kelayakan.
“Paling kurang pesara terlibat dapat meraih sijil atau diploma untuk menempatkan kerjaya meneruskan kehidupan mereka selepas gantung kasut,” katanya lagi.
Sementara itu, Sukairi turut menjelaskan usaha seterusnya dengan mewujudkan sebuah jawatankuasa dipengerusikan timbalannya, Hishamuddin Abdul Karim, dengan melibatkan kerjasama pelbagai agensi dan IPT.
“Pihak-pihak berkaitan dengan pekerjaan seperti T-JOB, Sumber Manusia, Pegawai Daerah, IPT, TEKUN, TESDEC dan sebagainya akan bekerjasama dan berbincang penyelesaian bagi atlet yang bersara atau tidak aktif.
“Jawatankuasa ini berperanan memudahkan cara mereka yang ingin menjurus kepada satu bidang pekerjaan, contohnya mereka berminat meniaga, jadi kita akan beri latihan sehingga mereka bergelar usahawan.
“Kita bukan sahaja memberi jalan tetapi juga mengusahakan keperluan mereka dalam apa jua bidang selepas tempoh beraksi selepas bergelar atlet, kita akan jaga kebajikan mereka,” jelasnya.
03 Feb 21
345
Tiga Inisiatif Khas COVID-19 Bantu Golongan Belia
KUALA TERENGGANU, 3 Februari – Kerajaan negeri memperkenalkan tiga inisiatif khas dalam membantu golongan belia dan beliawanis Terengganu yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, usaha tersebut termasuk tabung pemulihan Perniagaan Kecil Sederhana (PKS) berjumlah RM3.5 juta.
“Tabung ini berperanan membantu pemulihan peniaga termasuk usahawan belia yang terlibat dalam projek pembangunan kecil dan sederhana terkesan akibat pandemik, golongan tersebut adalah diantara sasaran kerajaan.
“Kedua, Bantuan Cakna Rakyat Terengganu dengan peruntukan sebanyak RM9.7 juta, memfokuskan golongan b40 disertai belia dibawah kategori tersebut dengan pengagihan ‘One-off’ sebanyak RM200 untuk satu isi rumah (keluarga).
“Inisiatif ketiga adalah pengecualian bayaran lesen perniagaan kecil dan penjaja disamping penerusan program penangguhan dan diskaun diberi oleh pihak Yayasan Terengganu (YT),” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI, pagi semalam.
Tambah beliau, peminjam tabung YT telah membuat keputusan bagi penangguhan dan diskaun pinjaman sejak tahun lepas, meringankan beban usahawan yang kebanyakan terdiri daripada golongan belia.
Mengulas lanjut berkenaan Pelan Literasi Kewangan, Wan Sukairi memaklumkan, inisiatif tersebut juga boleh dimanfaatkan oleh belia dan beliawanis untuk meluaskan lagi rangkuman pendidikan kewangan pada situasi mencabar tersebut.
“Selain itu, lapan program dibawah rangka latihan kemahiran dan peluang pekerjaan juga membuka pintu kepada golongan belia dan akan dilaksanakan segera jika keadaan mengizinkan.
“Program sebegini dibawah pengelolaan portfolio Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna, namun kerjasama sentiasa diadakan merentasi portfolio kerana ia melibatkan inisiatif buat warga belia juga,” tambahnya.
03 Feb 21
2175
‘Derita’ Tukang Gunting Rambut Dapat Pembelaan
SETIU, 2 Februari – ‘Derita’ yang dialami tukang gunting rambut susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang tidak membenarkan perniagaan itu dijalankan akhirnya terbela.
Seramai 15 tukang gunting rambut di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit menerima bantuan berbentuk sekampit beras dan barangan dapur.
Mereka menerima sumbangan tersebut daripada Pegawai Belia (DUN) Batu Rakit, Azuan Azmi dalam satu majlis ringkas yang diadakan di sekitar Batu Rakit baru-baru ini.
Pemilik Abu Barbershop, Engku Abu Hazwan Che Ku Yusuf yang mewakili semua penerima berkata, pihaknya sangat menghargai usaha Pusat Khidmat Masyarakat Dun Batu Rakit dan kerajaan negeri yang prihatin terhadap mereka.
"Alhamdulillah, dengan bantuan yang diberikan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang dihadapi oleh kami dalam menghadapi PKP yang dilaksanakan di negara kita pada ketika ini.
“Sudah tentu kehidupan kami banyak terjejas selepas kedai gunting rambut tidak dibenar beroperasi, ia menjejaskan pendapatan kami," ujarnya kepada UPDI.
Kata Abu Hazwan lagi, ramai antara mereka yang mengharapkan agar iniasiatif itu diteruskan di samping ia ditambah baik dari semasa ke semasa.
“Kami tidak minta banyak, cuma mengharapkan perhatian yang berterusan daripada kerajaan negeri pada masa akan datang untuk membela nasib kami,” jelasnya.
02 Feb 21
307
Kerajaan Kaji Tindakan Terbaik Selesaikan Rintihan Nelayan
KUALA TERENGGANU, 2 Februari - Kerajaan sedang mengkaji tindakan terbaik bagi menyelesaikan rintihan nelayan tidak berlesen yang menyulitkan mereka mencari rezeki.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi Dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, masalah timbul di sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana golongan tersebut gagal menunjukkan dokumen pengenalan nelayan ketika melalui sekatan jalan raya.
"Dalam perbincangan bersama Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat COVID-19 pagi tadi (semalam), saya telah membawakan suara para nelayan yang belum mempunyai lesen tetapi mereka adalah nelayan tulen dengan turun ke laut sebagai sumber rezeki utama.
"Kerja mereka dikategorikan sebagai perikanan rekreasi yang tak dibenarkan sepanjang PKP. Memang mereka tak ada dokumen pengenalan sebagai seorang nelayan walaupun sebenarnya mereka seorang nelayan sejati," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurut Dr Azman, definisi perikanan rekreasi perlu diperhalusi dalam konteks negeri Terengganu di masa akan datang.
"Isu kenapa mereka tak mempunyai lesen sedang ditangani sebaiknya yang insya-Allah telah menghampiri titik penyelesaian. Hanya PKP yang menghalang kita menyelesaikan proses akhir agihan lesen nelayan sampan.
"Alhamdulillah, respon daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) sangat positif untuk menyelesaikan isu ini segera sebaiknya," tambah beliau.
02 Feb 21
345
Sasar Bantu 100 Pelajar Miliki Telefon Pintar Mudahkan PdPR
MARANG, 2 Februari - Pejabat Daerah Marang dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Marang menyasarkan 100 pelajar kurang berkemampuan memiliki kemudahan peranti mudah alih atau telefon pintar sendiri agar sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) secara atas talian berjalan lancar.
Pegawai Daerah Marang, Tun Faisal Tun Abdul Razak berkata, selain itu menerusi Program Cakna Didik Marang Hebak itu juga, pihaknya akan mendapatkan sumbangan bagi 1,000 lagi pelajar bagi bantuan kewangan untuk pembelian tambah nilai internet.
“Program ini bertujuan membantu meringankan beban keluarga yang kurang berkemampuan, mempunyai bilangan anak yang ramai serta ibu bapa yang bekerja dan keperluan kepada telefon serta keperluan kos tambah nilai internet untuk pelajar mengikuti pembelajaran secara atas talian.
“Kita sasarkan dapat bantu 100 pelajar miliki telefon pintar menjelang akhir bulan ini dan 1,000 pelajar akan dapat manfaat bantuan kewangan secara tunai bagi pembelian data atau tambah nilai secara berperingkat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan 10 unit telefon pintar hasil sumbangan pelbagai pihak kepada Pejabat Pendidikan Daerah Marang untuk diagihkan kepada pelajar yang layak di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Sulaiman Sulong.
Katanya, program tersebut telah mendapat perhatian pelbagai pihak yang ingin turut sama membantu dengan dana permulaan yang diterima sebanyak RM5,000 untuk perolehan 10 unit telefon pintar dan simkad serta bantuan kewangan bagi pembelian tambah nilai internet.
“Sumbangan awal diterima melalui Syarikat Marang Coara Sdn Bhd dan beberapa penyumbang individu, dimana seorang penyumbang boleh membantu seorang pelajar dengan kadar RM250 satu peranti mudah alih dan RM20 untuk pembelian data.
“Justeru pihak kami sangat mengalu-alukan lebih ramai pihak untuk tampil menghulurkan sumbangan bagi membantu pelajar menghadapi cabaran PdPR di kala kita semua diuji dengan pandemik COVID-19,” ujarnya.
02 Feb 21
351
13 Pusat Penilaian COVID-19 Lancarkan Pengurusan Pesakit Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 2 Februari - Kewujudan 13 Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di Terengganu sejak 22 Januari lalu berjaya melancarkan proses penguruskan pesakit pandemik berkenaan yang menjalani rawatan di rumah.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, CAC berperanan untuk menilai pesakit COVID-19 kategori 1 dan 2 yang memenuhi kriteria untuk pengasingan di rumah (home isolation).
"Prosesnya melibatkan stratifikasi risiko, saringan fizikal dan penilaian kesesuaian rumah sebelum layak dipertimbangkan untuk perawatan dan pengasingan di rumah.
"Sehingga 31 Januari 2021, bilangan kes COVID-19 kategori 1 dan 2 di seluruh negeri Terengganu yang layak menjalani pemantauan di rumah melalui penilaian CAC adalah sebanyak 72 kes (jumlah kumulatif) dengan 50 kes masih aktif,” jelasnya seperti yang dipetik dalam laman facebook rasminya, semalam.
Terdahulu beliau melawat sebuah CAC di Klinik Kesihatan (KK) Chendering, Kuala Terengganu selepas lawatan kerja Pengerusi Bersama Jawatankuasa Teknikal Pengurusan COVID-19 ke Terengganu di Wisma Darul Iman.
Hadir sama, Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus.
Mengulas mengenai CAC di Chendering itu, Dr Noor Hisham berkata ia berada di bawah Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Terengganu.
"CAC KK Chendering memberi liputan untuk kawasan Kuala Terengganu Tengah dan Selatan. Manakala KK Manir memberi liputan untuk Kuala Terengganu Utara.
"Syabas dan tahniah kepada semua Jabatan Kesihatan Negeri yang telah berjaya memulakan operasi CAC dalam masa yang singkat.
"Semoga melalui pelaksanaan CAC ini, penilaian risiko dan koordinasi pengasingan dan perawatan pesakit COVID-19 dapat dilaksanakan dengan lebih lancar," katanya.
Infografik CAC di Terengganu
02 Feb 21
4751
PKM, Food Bank YaPEIM Bantu Golongan Terkesan PKP 2.0
KUALA NERUS, 1 Februari - Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) Terengganu memperuntukan RM4200 bagi menjayakan program Food Bank di Kampung Pak Tijah, Seberang Takir.
Pengurus YaPEIM Terengganu, Kartina Ahmad berkata misi itu bertujuan meringankan bebanan kepada kumpulan sasar di seluruh negara khususnya di Terengganu akibat Perintah Kawalan Pergerakan( PKP 2.0)termasuk petugas barisan hadapan menangani COVID-19.
Katanya, pihak YaPEIM telah memperuntukan bajet RM10.7 juta pada 2020 bagi merealisasikan Program Food Bank yang terdiri daripada tiga perkara iaitu 'Ready to Eat', 'Dry Food' dan Daging Segar
“Seramai 42 orang penerima yang dikenalpasti terjejas untuk program kali ini dengan nilai dianggarkan RM100 dalam bentuk barangan keperluan asas”, katanya ketika ditemui Urusetia Penerangan Darul Iman, hari ini.
Sementara itu, Pegawai Penyelaras DUN Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab berkata, beliau bersedia bekerjasama dengan mana-mana agensi dalam membantu masyarakat.
Tambahnya, tindakan susulan selepas ini akan dibuat oleh PKM bagi memastikan golongan yang terkesan sentiasa mendapat perhatian di masa akan datang.
Dalam masa yang sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pak Tijah, Zainal Lasim menghargai inisiatif pihak YaPEIM atas usaha yang telah dilakukan.
“Pada hari ini pihak JPKK telah menerima sumbangan berupa barangan makanan yang akan diagihkan kepada golongan yang terjejas dan terkesan akibat PKP kali ini," ujarnya.
Bagi salah seorang peniaga yang ditemui, Saudah Harun, berkata dia cukup teruja dan berterima kasih kepada YaPEIM dan JPKK Kg. Pak Tijah kerana menyenaraikannya sebagai salah seorang penerima memandangkan suaminya yang berniaga kecil-kecilan turut terkesan dengan keadaan terkini.
01 Feb 21
359