Artikel "Semasa" Terkini
THRDC Terima 3,500 Surat Tunjuk Minat, Peluang Buat 'Pemburu' Kerja
KUALA TERENGGANU, 5 Mac - Pusat Pembangunan Sumber Manusia Negeri Terengganu (THRDC) merekodkan kira-kira 3,500 surat tunjuk minat (LOI) sekali gus memberi berita gembira kepada mereka yang sedang menganggur atau mencari kerja.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman memaklumkan, surat daripada majikan pelbagai sektor tersebut menawarkan 3,000 lebih kekosongan pekerjaan.
“Proses itu akan dilaksanakan dalam memastikan rakyat yang tiada pekerjaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau baru tamat pengajian, kita akan isi kekosongan yang ada.
“Melalui THRDC, kita akan menjadi jambatan antara majikan bagi memenuhi keperluan tenaga dan institusi-institusi latihan yang membekalkan seperti mana yang diperlukan.
“LOI menyatakan apa kepakaran yang dikehendaki, oleh itu kerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan menyediakan elaun bagi melatih mereka yang berminat bagi mengisi keperluan tersebut,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI.
Tambahnya, THRDC sentiasa berhubung rapat dengan pelbagai majikan dan institusi latihan tentang maklumat kekosongan dalam bidang-bidang berkaitan bagi menjayakan konsep penyediaan tenaga kerja sesuai atau ‘Place and Train’.
“Di peringkat negeri, bagi mereka yang berminat untuk pendaftaran atas talian program ‘Place and Train’ boleh melawat laman web https://bit.ly/belia_kerja.
“Sementara itu, pencari kerja juga boleh berdaftar dengan https://www.myfuturejobs.gov.my/ , ini platform perkeso dimana Terengganu bergerak sekali dalam mencari jodoh pekerjaan bagi mereka yang ingin menceburi apa-apa bidang,” katanya lagi.
04 Mar 21
782
'Sediakan Payung Sebelum Hujan' - Isu Caruman Perkeso
KUALA TERENGGANU, 6 Mac - Kesedaran mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja (Perkeso) dalam kalangan individu terutamanya usahawan dalam negeri masih perlu diwar-warkan supaya golongan tersebut tidak terlepas bantuan dan manfaat.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, apabila Kerajaan Persekutuan menurunkan bantuan melalui Perkeso seperti Program Subsidi Upah (PSU), hanya 30 peratus usahawan Terengganu yang layak menerimanya.
“Ini berlaku kerana kebanyakan mereka tidak pernah berdaftar dengan pertubuhan tersebut, situasi ini merugikan kerana walaupun besar peruntukan insentif, tetapi tidak digembleng dengan sebaiknya.
“Oleh itu, melalui kolaborasi bersama Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), sesiapa yang menjadi ahli Sahabat Usahawan Terengganu (SUT), ini menjadi lesen kepada mereka untuk layak dapat permohonan dengan Perkeso.
“Sehingga kini, senarai berdaftar hanya mencatatkan 6,000 usahawan sahaja, tetapi Perkeso bersetuju untuk jadikan kita sebagai rakan strategik, keahlian SUT kini mencecah lebih 9,800 usahawan,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI, baru-baru ini.
Tambah Nurkhuzaini, beliau juga menggalakkan individu bekerja untuk mendaftar terus melalui Perkeso.
“Kepentingan dalam mencarum adalah supaya mempunyai perlindungan sekiranya terjadi sebarang kejadian tidak diingini semasa mereka bekerja.
“Contohnya, jika ditimpa kemalangan jalan raya, jika didaftar pencarum akan mendapat bantuan kelas pertama, jika masuk wad ada elaun Perkeso. Jika ada kecacatan akibat kemalangan akan mendapat imbuhan, jika ada kematian, keluarga si mati akan dapat manfaat.
“Rakyat perlu faham dan manfaatkan sebaik mungkin bak kata pepatah ‘sediakan payung sebelum hujan’. Kos bagi mendaftar juga minimum serendah lingkungan RM100 hingga RM200 sahaja,” jelasnya.
04 Mar 21
344
Hampir 10,000 Jawatan Kosong Sempena Karnival Penjana Pekerjaan 2021
KUALA TERENGGANU, 3 Mac - Karnival Penjana Pekerjaan Negeri Terengganu 2021 yang dijadualkan pada bulan April ini bakal membuka hampir 10,000 peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, karnival tersebut akan diusahakan pada pertengahan April dengan cadangan tempatnya di Pusat Sains dan Kreativiti (PSKT), Chendering.
“Peluang ini sangat menarik kerana ia mendapat sambutan baik daripada pelbagai majikan melalui peruntukan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk menggunakan saluran ini.
“Insya-Allah, kerajaan negeri bersama Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC) akan menjadi perantara antara majikan dan rakyat yang terkesan dengan kemelesetan ekonomi akibat COVID-19 serta yang ingin mencari peluang pekerjaan.
“Setakat ini kita mendapat majikan-majikan berdaftar sama ada secara fizikal atau 'online' dengan menyediakan 9,900 lebih peluang pekerjaan yang menanti,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI, pagi semalam.
Sementara itu, beliau turut meramalkan sambutan akan mencecah hingga 50,000 orang yang akan memeriahkan karnival peringkat negeri tersebut.
“Dengan norma baharu disebabkan pandemik, cadangan lokasi iaitu PSKT adalah strategik dan selesa buat para pengunjung," jelasnya.
Sebelumnya, Khuzaini menyifatkan karnival itu adalah yang terbesar pernah dianjurkan dalam tempoh COVID-19 dengan penglibatan lebih 80 majikan daripada pelbagai bidang.
Untuk rekod, Penjana Pekerjaan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bertujuan untuk merangsang permintaan pekerjaan di kalangan majikan dan meningkatkan peluang pekerjaan serta kebolehpekerjaan di kalangan pencari pekerja tempatan.
03 Mar 21
4043
'YouTuber, Jurutera Dan Terengganuan di Jepun' - Kisah Ridzwan
KUALA TERENGGANU, 3 Mac - Walaupun terpisah dengan jarak lebih 5,000 kilometer (km) daripada keluarga di Kuala Terengganu, ia bukan alasan bagi Muhammad Ridzwan Normahazan, 25, untuk berjaya dan bekerjaya sebagai jurutera dan 'YouTuber' di negara Matahari Terbit.
Ridzwan atau lebih mesra disapa Ridzwan-san di Jepun berkata, dia mula menjejakkan kaki di Jepun pada tahun 2016 bagi melanjutkan pelajaran di Universiti Meiji, Tokyo dalam bidang kejuruteraan mekanikal selama dua tahun selepas menghabiskan dua tahun pengajian di Malaysia.
“Kini saya telah menetap dan nak masuk tahun ketiga bekerja sebagai jurutera reka bentuk mekanikal, melukis cipta ‘design’ robot pembungkus di sebuah syarikat bernama Syntegon Technology, rumah saya di Wilayah Saitama kira-kira 30 km dari ibu negara," katanya ketika ditemu bual pemberita, baru-baru ini.
Ridzwan yang juga anak kedua daripada tiga adik beradik, mengulas, antara cabaran dalam menyesuaikan diri dengan budaya negara lain adalah dari segi makanan dan bahasa.
“Walau bagaimanapun, nasihat dan bantuan daripada senior warga Malaysia berpengalaman di sini telah mengajar saya dan alhamdullilah setelah hampir lima tahun menetap di tempat orang, perbezaan budaya tidak menjanggalkan lagi," katanya lagi.
Ridzwan (di tengah hadapan) bersama warga Malaysia di Jepun.
Berkongsi mengenai karier sampingan sebagai YouTuber, beliau berkata, hobinya itu bermula sejak di bangku sekolah menengah sekitar 2011 dengan nama akaun 'ridzBORED', menghasilkan video alih suara inspirasi daripada YouTuber Malaysia seperti Faradyable.
Kini, jumlah 'subscribers' mencecah 46 ribu yang mengikuti salurannya berkaitan dengan kehidupannya dan isu-isu berkaitan budaya Jepun dan Terengganu.
“Antara video yang pernah viral seperti video berjudul 'Bila Orang Terengganu Cakap KL' dengan jumlah view mencecah 800 ribu serta 'Do Japanese Like Malaysia?' dengan jumlah penonton melebihi 400 ribu.
“Kebanyakan video dibikin sendiri yang ideanya datang daripada keinginan berkongsi pengalaman dan budaya di Jepun, mengisi ruang kekosongan Youtuber Malaysia di luar negara seperti 'Matluthfi90' (Australia)," jelasnya.
Beliau yang juga fasih berbahasa Jepun, turut menceritakan bisnes baharunya ‘Kirim Barang Jepun’, di mana perkhidmatan tempahan barangan dari Jepun diusahakan melalui platform Instagram.
“Memandangkan saya pulang ke Malaysia, tempahan dibuka untuk beli dan bawa pulang barangan seperti jam G-Shock, baju anime dan sebagainya sebagai pendapatan tambahan.
“Sekarang masih belajar lagi selok belok perniagaan dan juga merancang untuk mengirim barangan Malaysia ke Jepun juga,” tambahnya.
Ikutilah Ridzwan di saluran YouTube ‘ridzBORED’ manakala maklumat lebih lanjut berkenaan perkhidmatan kirim barang dari Jepun di profil Instagram ‘@kirimbarangjepun’.
02 Mar 21
2236
JPKK Lebih Efektif Dan Efisien Bagi Pembangunan Kampung
HULU TERENGGANU, 2 Mac-Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Manir disarankan menjadi institusi yang lebih efektif dan efisien dalam pembangunan kampung.
Timbalan Pengerusi Pertanian, Industri Makanan, Komuditi dan Pembangunan Luar Bandar Ustaz Hilmi Dato’ Harun berkata, peranan JPKK amat penting bagi membantu dalam pelaksanaan dasar-dasar kerajaan dan menjadi agen penghubung antara rakyat dan kerajaan sehingga ke akar umbi.
“Sebab itu antara fungsi utama JPKK adalah membuat perancangan dan pelaksanaan program di kampung disamping menggerakkan penglibatan komuniti setempat," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Penyerahan Watikah Pelantikan JPKK bagi Dewan Undangan Negeri DUN Manir di Bilik Seminar Pusat Khidmat Masyarakat Kubang Lembek, hari ini.
Turut hadir dalam majlis tersebut Penghulu Mukim Tanah Lot Manir, Khairul Syahril Othman dan Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera( I-MiTS )Manir, Zulkifli Abdullah.
Hilmi yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, turut menyarankan JPKK agar bertindak sebagai ejen transformasi luar bandar yang bertindak membantu kerajaan mengenal pasti keperluan masyarakat di kampung masing-masing.
“Jawatankuasa JPKK juga boleh menjadi orang tengah dalam memberi penerangan yang jelas kepada rakyat tentang dasar dan polisi yang dilaksana kerajaan," tambahnya.
02 Mar 21
1023
Jambatan Baharu Kampung Kuala Por Bakal Dibina
Oleh : Hanif Hamdan dan Mohd Adli
HULU TERENGGANU, 2 Mac - Jambatan baharu dengan peruntukan RM7 juta yang menghubungkan Kampung Kuala Por dan Kampung Pasir Nering bakal dibina dalam masa dua bulan lagi bagi menggantikan jalan yang runtuh akibat mendapan pada akhir tahun lepas.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh berkata kerja-kerja awal pembinaan jambatan boleh dilakukan sebaik sahaja 'soil investigation' selesai.
"Jambatan yang bakal dibina ini sejauh 40 meter dan selebar 11 meter. Ketinggiannya dari aras air 7 meter pada masa air pasang dan kita anggar harganya dalam RM7 juta.
"Jentera untuk melakukan 'Soil Investigation' sudah sampai hari ini dan kerja-kerja telah dimulakan yang mana proses ini mengambil masa dua hingga tiga hari," ujarnya ketika mengadakan lawatan ke tapak jambatan di Kampung Kuala Por pada pagi tadi.
Tambahnya, apabila selesai proses tersebut, ia akan diberikan kepada 'consultant' untuk membina jambatan baharu dalam masa sekitar satu bulan setengah.
Menurut beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bahagian Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri berkata, beberapa alternatif untuk penyelesaian sementara bagi memudahkan pengguna jalan raya tersebut telah difikirkan namun beberapa faktor tertentu perlu diambil kira bagi menjaga keselamatan bersama.
''Kita ada jalan raya daripada Kuala Berang ke Kampung Dusun melalui jambatan di Kuala Pueh, tetapi jarak perjalanan lebih panjang daripada biasa.
"Satu lagi kita ada jalan yang tidak didaftarkan ataupun tidak digazet melalui tanah-tanah kebun milik orang kampung tetapi agak bahaya kepada pengguna kerana sempit, berselekoh dan ada kawasan yang apabila hujan berlaku takungan air serta licin," katanya sebagai menjawab kekeliruan yang ditimbulkan ADUN Kijal, Ahmad Said.
Untuk rekod, pada Disember tahun lalu, Dr Mamad telah melakukan tinjauan ke kawasan terbabit dan mengarahkan agar tindakan segera diambil.
Pelantikan konsultant untuk kerja pembinaan telah dibuat pada 2 Februari baru-baru ini.
02 Mar 21
1729
Suntikan Vaksin Untuk ‘Frontliners’ Bermula
KUALA TERENGGANU, 2 Mac – Program suntikan vaksin Covid-19 kepada melibatkan seramai 281 petugas barisan hadapan telah diadakan hari ini di Klinik Kesihatan Chendering.
Pakar Perunding Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Chendering, Dr Norhana Yazid memaklumkan, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) telah memilih tarikh yang bersesuaian dengan hari bekerja dan bilangan anggota yang akan disuntik iaitu pada 2, 3, 7, 8, 9 dan 10 Mac.
“Di Kuala Terengganu terdapat dua buah pusat yang menjalankan suntikan vaksin iaitu Klinik Kesihatan Chendering dan Klinik Kesihatan Manir.
“Frontliner di Klinik Kesihatan Chendering hanya petugas dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan petugas kesihatan manakala di selebihnya seperti anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di Klinik Kesihatan Manir,” katanya.
Menurutnya lagi, suntikan kedua akan diberikan selepas 21 hari daripada tarikh menerima suntikan.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi hadir ke Klinik Kesihatan Chendering bagi memantau proses suntikan vaksin yang dijalankan.
“Saya dimaklumkan bahawa persiapan untuk memulakan suntikan vaksin ini telah dibuat selama dua minggu.
“Alhamdulillah, saya lihat hari ini proses suntikan vaksin ini disusun dengan baik dan teratur termasuklah Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dijalankan sangat memuaskan,” katanya.
02 Mar 21
871
Kursus Tampal Cantum Jana Ekonomi Wanita
KUALA TERENGGANU, 2 Mac – Penganjur Program Kursus Jahitan Intensif mensasarkan 20 orang wanita yang terlatih dalam bidang jahitan tampal cantum dari setiap daerah di Terengganu bagi menjana ekonomi kendiri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata program yang diberi nama Program Kursus Jahitan Intensif Penghasilan Produk Dari Perca Kain / Pakaian Terpakai Melalui Jahitan Tampal Cantum (Patchwork / Quilting) itu merupakan salah satu daripada siri-siri Projek Jom Cipta Kerjaya (JCK) anjurannya.
Zuraida berucap ketika majlis perasmian.
Menurut beliau lagi, objektif utama penganjuran ialah untuk memberi kemahiran jahitan sulam tampal pelbagai jenis produk kepada wanita di samping bagi menambah pendapatan sampingan dengan memasarkan produk secara atas talian.
“Untuk program ini, kami sasarkan 20 usahawan jahitan tampal cantum di setiap daerah. Kami sudah selesai berkursus di Daerah Kuala Nerus, sekarang sedang berlangsung di Daerah Marang dan insya-Allah selepas ini, akan ke kawasan-kawasan lain pula.
“Pada masa yang sama, kami ingin beri pendedahan kepada wanita bahawa penghasilan produk tampal cantum ini boleh dilakukan dengan kos minima dan dengan hanya menggunakan mesin jahit ringan," ujarnya.
Zuraida berkata demikian ketika merasmikan kursus tersebut di Bengkel Jahitan Komuniti KAFA Masjid Titian Baru Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Dalam majlis yang sama, turut berlangsung gimik perasmian Pusat Komuniti Wanita Sejahtera Marang yang disempurnakan oleh ADUN Wanita dan penyerahan mesin jahit kepada penerima oleh Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Negeri Terengganu.
Hadir bersama-sama, Pengerusi Majlis Permuafakatan Wanita Negeri Terengganu (MAWADDAH), To’ Puan Zarani Othman, Isteri Ahli Parlimen Marang, To’ Puan Seri Zainab Awang Ngah dan Isteri ADUN Bukit Payung, Zainun Abdul Wahab.
Sebahagian peserta program.
02 Mar 21
213
Pemilik Tanah Terbiar Disaran Tanam Durian
Penduduk luar bandar yang memiliki tanah terbiar di Terengganu ini digalakkan untuk mengusahakan tanaman durian, terutama Musang King.
01 Mar 21
135
Bantuan Banjir Terengganu Mula Disalurkan Kepada Mangsa Terlibat
Bantuan banjir bagi 12,000 mangsa bencana di negeri Terengganu dilancarkan oleh kerajaan negeri, bermula semalam, 27 Februari.
01 Mar 21
96