Artikel "Semasa" Terkini
Ekonomi Malaysia Kembali Pulih
KUALA TERENGGANU, 1 Mac – Kedudukan ekonomi Malaysia bergerak ke arah positif pada tahun ini selari dengan aktiviti perdagangan dunia yang semakin pulih sejak menghadapi pandemik COVID-19.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia pada tahun 2021 diunjur kembali pulih pada kadar 5.5 peratus.
"Badan-badan antarabangsa seperti Tabung Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia pada bulan Januari 2021 mengunjurkan ekonomi negara kita akan berkembang pada kadar 7.0 peratus dan 6.7 peratus.
“Prestasi memberangsangkan melihat pasaran bon mencatatkan aliran masuk sebanyak RM23.1 bilion sehingga Ogos 2020 dan pelaburan asing bersih meningkat kepada RM6.1 bilion pada suku keempat 2020 berbanding RM22 bilion dicatatkan pada suku kedua 2020.
“Antara faktor keyakinan pelabur luar ini kerana usaha giat kerajaan untuk mengadakan libat urus dengan pelabur sedia ada bagi memahami kehendak industri dalam tempoh pelaksanaan kawalan pergerakan (PKP),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin yang disiarkan secara langsung hari ini, di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, barisan kepimpinan kerajaan negeri serta ketua-ketua jabatan kerajaan dan swasta.
Sebelum ini Ahmad Samsuri menyifatkan kepimpinan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Perdana Menteri Malaysia berada di landasan baik dalam mengurangkan ketidaktentuan politik dan meningkatkan kedudukan ekonomi meskipun dalam pandemik COVID-19.
"Tahniah diucapkan kepada Perdana Menteri dan barisan kepimpinan negara yang bertungkus-lumus dengan pelbagai agenda demi kesejahteraan rakyat dan sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan walaupun negara berdepan dengan pelbagai cabaran terutamanya pandemik COVID-19 ketika ini.
"Kerajaan negeri menyambut baik perkara yang disampaikan terutamanya agenda pemerkasaan bumiputera, usaha untuk membasmi kemiskinan dan pembangunan negara," katanya menerusi ciapan di halaman Facebooknya.
01 Mar 21
161
PN Berjaya Keluarkan Rakyat Daripada Suasana Tak Harmoni
Selama hampir setahun memegang tampuk pemerintahan negara, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) berjaya mengeluarkan Malaysia daripada suasana tidak harmoni sejak awal 2018.
01 Mar 21
83
Pura Tanjung Sabtu Bangkit Kembali Sebagai Produk Pelancongan Komuniti
KUALA NERUS, 1 Mac - Kerajaan negeri sedang dalam kerja membangun kembali potensi Pura Tanjung Sabtu dan lain-lain lokasi pelancongan di Buluh Gading sebagai tarikan pelancongan berasaskan komuniti (CBT) yang mampu menjana ekonomi bagi penduduk setempat.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, kerajaan negeri bersama sokongan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali telah mengambil inisiatif melalui peruntukan pembangunan infrastruktur dan kebersihan serta sedang giat melestarikan lokasi seperti di Pura Tanjung Sabtu.
"Alhamdullilah, pihak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Tanjung Sabtu turut bekerjasama dalam bergotong-royong di sini yang juga kelihatan seperti rumah tradisional antik dan pernah tular di media sosial.
"Konsep CBT ini mesti melalui usaha bersama JPKK, kerana mereka juga pemegang taruh dalam sektor pelancongan dalam komuniti mereka sendiri.
“Dengan harapan supaya masyarakat di sini terlibat sekali dan mendapat manfaat daripada peningkatan pelancongan,” katanya kepada pemberita selepas lawatan ke lokasi CBT di Buluh Gading, baru-baru ini.
Tambahnya, kerajaan negeri sentiasa mencari potensi baharu bagi menambahkan lagi lokasi menarik sebagai lubuk pelancongan, dan kertas kerja telah dimaklumkan dan akan dibincang di peringkat negeri dari semasa ke semasa.
Turut hadir, ADUN Buluh Gading, Ridzuan Hashim dan Setiausaha Politik Menteri Perusahaan Perladangan & Komoditi, Mohd Kamal Nazmi Kamaruddin.
Sementara itu, Ariffin turut menceritakan lokasi lain seperti tokong Sampohkong Keramat Cheng Ho yang merupakan tempat persinggahan Laksamana Cheng Ho dan Kampung Tanjung Bunut.
“Seperti difahamkan Laksamana Cheng Ho merupakan seorang tokoh pelaut tersohor yang dipercayai juga seorang muslim pada abad ke-15, lokasi ini dengan nilai sejarah tersebut mampu menjadi tarikan kepada pelancong terutamanya warga Cina.
“Produk pelancongn lain seperti ‘river trail’ atau bot menyusuri dua sungai iaitu ke Kuala Berang ke Kuala Terengganu dan Sungai Nerus juga akan diperkembangkan supaya ia menyusuri lokasi-lokasi sedemikian dalam satu pakej,” tambahnya.
Menurut ADUN kawasan tersebut, Ridzuan Hashim, beliau memaklumkan antara kerjasama terlibat bersama tiga JPKK iaitu JPKK Tanjung Sabtu, JPKK Tanjung Bunut dan JPKK Teluk Pasu.
“Secara tidak langsung, masyarakat setempat juga boleh meraih peluang ekonomi ini dalam menjana pendapatan di dengan komuniti sendiri,” katanya.
01 Mar 21
4527
Dakwaan Jatuhkan Presiden PAS Tidak Masuk Akal
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menjelaskan bahawa dakwaan menjatuhkan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang adalah tidak masuk akal
28 Feb 21
148
Warga Emas Hilang Dijumpai Selamat
HULU TERENGGANU, 27 Februari - Operasi mencari seorang wanita warga emas yang hilang di Kampung Gaung Hangus, Tok Dor, Ajil di sini menemui titik noktah apabila warga emas tersebut ditemui selamat malam tadi.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Berang, mangsa dikenali sebagai Lijah Embong, 81, ditemui dalam lingkungan jarak 1 kilometer dari kediamannya, sekitar 10.30 malam.
"Mangsa didapati sihat dan hanya mampu duduk dibawah pokok kelapa sawit.
"Pihak bomba menghantar mangsa ke Hospital Hulu Terengganu untuk menerima rawatan," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, anak mangsa, Mohd Aziz, 49, berkata, dia bersama penduduk kampung meneruskan pencarian ibunya malam tadi selepas isyak terdengar suara memanggil “nak balik’.
"Sejurus terdengar suara tersebut saya memanggil emak berulang kali dan terus meluru ke tempat tersebut.
“ Allhamdullilah, saya bersyukur mak ditemui dalam keadaan sihat hanya kepenatan dan kelaparan disebabkan beberapa hari hilang,"katanya.
Kehilangan Lijah Embong, 81, yang tinggal bersendirian itu disedari anaknya yang datang menjenguk dan disedari hilang oleh keluarganya Rabu lalu.
Mangsa dikatakan mempunyai tabiat gemar berjalan-jalan di sekitar kampung, namun, lazimnya balik ke rumah menjelang petang.
Operasi mencari dan menyelamat warga emas itu, Lijah Embong, 81, bermula sejurus menerima laporan kehilangannya pada Khamis lalu.
Khidmat anjing pengesan Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan khidmat anjing pengesan Unit K9 Polis juga digunakan untuk mengesan mangsa hilang dari Kampung Gaung Hangus di sini dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari ketiga semalam.
Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Ajil, Maliaman Kassim berkata, beliau mengucapkan berterima kasih kepada semua Agensi Awam dan masyarakat yang bertungkus lumus beberapa hari ini mencari mangsa yang hilang sehingga ditemui malam ini.
Ia menandakan semangat berganding bahu masyarakat dalam menghadapi situasi sukar seperti ini yang tidak kenal erti penat lelah untuk membantu sehingga mangsa ditemui dengan keadaan selamat," katanya.
28 Feb 21
890
Pencarian Warga Emas Hilang Masih Diteruskan
HULU TERENGGANU, 27 Februari - Operasi mencari seorang wanita warga emas yang hilang di Kampung Gaung Hangus, Tok Dor, Ajil di sini masih diteruskan pada hari ke tiga selepas disedari hilang oleh keluarganya Rabu lalu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Berang, Hanaffi Mohd berkata, operasi mencari dan menyelamat warga emas itu, Lijah Embong, 81, bermula pada sejurus menerima laporan kehilangannya pada keesokannya.
Menurutnya, seramai 68 anggota membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Jabatan Amal Hulu Terengganu terlibat dalam operasi tersebut.
Pada masa sama, katanya, seramai 80 penduduk kampung turut membantu mencari warga emas itu yang juga mengalami masalah ingatan.
“Operasi mencari dan menyelamat pada hari ini melibatkan kawasan seluas 10 kilometer dari rumah wanita terbabit.
“Setakat ini, kita tidak menemui sebarang petunjuk ditemui sejak operasi itu dilancarkan,” katanya ketika ditemui di Kampung Gaung Hangus di sini hari ini.
Sementara itu, menantu mangsa, Muhamad Rashid, 42, berkata, ahli keluarganya masih berharap agar mertuanya ditemui dalam keadaan selamat walaupun hilang kira-kira empat hari lalu.
Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim berkata, beliau memohon kepada semua supaya dapat sama-sama berdoa dan solat hajat agar makcik Lijah dapat ditemui dengan keadaan selamat.
Maliaman turut meluangkan masa meninjau operasi pencarian pada hari ini.
27 Feb 21
563
PN Berjaya Keluarkan Rakyat Daripada Suasana Tak Harmoni
KUALA TERENGGANU, 27 Februari – Selama hampir setahun memegang tampuk pemerintahan negara, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) berjaya mengeluarkan Malaysia daripada suasana tidak harmoni sejak awal 2018.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan kepimpinan kerajaan PN yang diketuai Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menjalankan tugas yang terbaik.
“Walaupun berdepan dengan kedudukan yang sukar terutamanya menghadapi ketidaktentuan politik dan keadaan ekonomi yang merudum, banyak perkara telah dibatalkan dan sebagainya, kita masih berjaya mengawal dengan baik.
“Dalam masa sama kita juga berdepan dengan kekangan pandemik COVID-19, namun kerajaan PN telah melakukan yang terbaik bagi mengeluarkan Malaysia daripada suasana yang tak begitu harmoni pada tahun sebelum ini semasa awal 2018,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran Program Vaksinasi COVID-19 Peringkat Negeri Terengganu Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, petang semalam.
Mengulas berkenaan dakwaan UMNO yang ingin ‘merampas' semula Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU 15), beliau berkata perbincangan masih berjalan di peringkat pusat.
“Ada formulanya, selagi belum berakhir perundingan kita akan pertimbangkan apa juga kemungkinan, tentulah mana-mana parti ingin mempertahankan hak masing-masing.
“Kita akan melihat kerusi-kerusi lain dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH) dan menentukan siapa yang sesuai bertanding atas faktor boleh menang kerana kita ingin mencapai kemenangan yang maksimum dalam PRU-15,” tambahnya.
27 Feb 21
442
UC TATI Jalin Kerjasama Dengan Ar Rayyan Optometrist Sdn. Bhd
KUALA TERENGGANU, 26 Februari- Kolej Universiti TATI (UC TATI) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Ar Rayyan Optometrist Sdn. Bhd. bagi mewujudkan pentas kolaborasi kebajikan untuk meringankan beban pelajar dan kakitangan institusi berkenaaan.
Rektor UC TATI, Prof Dr Anuar Ahmad berkata, menerusi kerjasama yang ditandatangani dalam satu majlis di Bangunan Canselori, UC TATI di Kemaman, Ar Rayyan Optometrist Sdn. Bhd. bakal berperanan menjadi pembekal cermin mata kepada para pelajar dan kakitangan UC TATI.
Katanya, sumbangan menerusi kad baucer eksklusif itu bernilai RM524,000.
"Melalui kad tersebut, pemegang kad baucer eksklusif berhak menerima diskaun sehingga 40 peratus untuk pembelian bingkai dan cermin di semua cawangan Ar Rayyan Optometrist.
"Bagi pelajar golongan B40 pula, Ar Rayyan Optometrist akan memberi sumbangan cermin mata secara percuma," ujarnya.
Katanya, penularan COVID-19 memberikan impak negatif kepada kehidupan dan keperluan semua lapisan masyarakat.
"Diharapkan sumbangan ini dapat membantu pelajar meneruskan pembelajaran dengan jelas dan yakin, demi mengejar cita-cita dan seterusnya mengubah nasib keluarga," tambah beliau.
Dalam pada itu Anuar berkata, dengan penarafan 5 bintang yang diberikan oleh Kementerian Pengajian Tinggi, UC TATI juga ingin meningkatkan kerjasama dari segi akademik, industri dan juga kebajikan.
26 Feb 21
959
Pemvaksinan Fasa Satu Terengganu Selesai Selewatnya Bulan Mei
KUALA TERENGGANU, 26 Februari – Proses pemvaksinan fasa satu di Terengganu iaitu kepada keseluruhan petugas barisan hadapan yang bermula 2 Mac ini dijangka selesai selewat-lewatnya pada Mei.
Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, ia akan melibatkan lebih 15,000 orang ‘frontliners’ di seluruh negeri berpandukan senarai nama petugas.
“Penerima tersebut terdiri daripada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sendiri dan juga petugas barisan hadapan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan lain-lain lagi.
“Untuk makluman, bilangan dos vaksin diterima adalah sebanyak 16,380 dos yang disimpan di tiga lokasi Pusat Simpanan Vaksin (PSV) sejurus sampai ke Terengganu sebelum diagihkan kepada kira-kira 20 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh daerah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran Program Vaksinasi COVID-19 Peringkat Negeri Terengganu Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, petang semalam.
Tambah Nor Azimi yang juga antara penerima vaksin pertama, pusat pemberian vaksin akan melibatkan enam hospital dan 14 buah klinik kesihatan di seluruh negeri.
“Fasa pertama ini mungkin akan tamat pada bulan April atau Mei bergantung kepada setakat mana kita boleh selesaikan senarai penerima vaksin.
“Kita juga berbeza dengan negeri luar dan jumlah ‘frontliner berlainan dari negeri ke negeri,” katanya lagi.
26 Feb 21
598
'Semut Gigit Lagi Sakit' - Reaksi MB Disuntik Vaksin
KUALA TERENGGANU, 26 Februari - Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar hari ini menjadi individu pertama di negeri ini yang berjaya disuntik vaksin COVID-19 keluaran Pfizer-BioNTech.
Dr Samsuri berkata, proses pemvaksinan berjalan dengan lancar tanpa sebarang kesukaran.
"Semut gigit lagi sakit, jarum pun tidak ada apa-apa kesukaran, tidak ada rasa pening-pening semasa melalui rawatan tersebut.
"Oleh itu, saya seru semua rakyat supaya tidak perlu takut dan teruja menanti saat giliran masing-masing," katanya ketika ditemubual pemberita.
Dr Samsuri menerima suntikan pada jam 4.05 petang oleh jurusuntik, Sujanah Muhimin yang juga merupakan Ketua Jururawat Kesihatan HSNZ.
Suntikan itu sebagai tanda simbolik kepada pelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dengan fasa pertama melibatkan petugas barisan hadapan.
Selain Menteri Besar, turut menerima suntikan vaksin ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak dan Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus.
Suntikan ke atas individu-individu berkenaan dibuat sempena pelancaran Program Vaksinasi Covid-19 Peringkat Negeri Terengganu di Pusat Rawatan Ibu Dan Bayi (PRIBA), Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, sebentar tadi.
Majlis diakhiri dengan menandatangani perasmian program tersebut di peringkat negeri kemudian kesemua penerima dipantau 30 minit selepas disuntik sebelum pelepasan diberikan.
26 Feb 21
683