lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Jenayah Rasuah Dalam Negeri Masih Terkawal
Jenayah Rasuah Dalam Negeri Masih Terkawal
KUALA TERENGGANU, 9 Mac - Berdasarkan statistik dari 2018 sehingga awal tahun ini, jenayah rasuah dalam negeri ini masih terkawal. Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu, Ruslan Che Amad melaporkan, hanya tiga tangkapan dibuat dari Januari sehingga 8 Mac 2021 Katanya, manakala jumlah maklumat tentang aktiviti rasuah yang diterima pihaknya adalah sebanyak 23 aduan, namun aduan tersebut masih belum disahkan lagi. "Manakala trend tangkapan dari tahun 2018 sebanyak 44 tangkapan menurun kepada 25 tangkapan pada tahun 2019 dan kemudian 55 tangkapan dibuat sepanjang tahun lepas. "Tangkapan ini kita tidak boleh ambil kira kerana ia masih dalam proses siasatan, jika ditangkap tidak bermakna pelaku itu bersalah, sehingga mahkamah mendapati dia itu didapati bersalah. "Begitu juga dengan aduan yang diterima suruhanjaya iaitu sebanyak 304 maklumat pada tahun 2018, menurun kepada 213 pada tahun 2019, manakala 211 maklumat diterima pada tahun lepas dan dari awal tahun ini sehingga kini hanya 23 maklumat diterima," katanya kepada pemberita di pejabatnya, pagi semalam. Turut hadir, Yang Dipertua DUN Terengganu, Dato' Yahaya Ali, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong, ADUN Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim, ADUN Rantau Abang, Alias Harun dan ADUN Ajil, Maliaman Kassim. Tambah Ruslan, sumber maklumat tersebut diterima daripada aduan awam, panggilan telefon, pengadu yang datang ke pejabatnya dan lain-lain lagi di mana ia perlu melalui proses pengesahan bagi tujuan membuktikan kesahihan dan kualiti maklumat tersebut. "Siasatan tidak akan dibuat sewenang-wenangnya, info diterima perlu ada asas dan kita tidak mahu maklumat yang dihantar ada unsur-unsur dengki, khianat dan sebagainya," katanya lagi. Mengulas lanjut mengenai jenis kes rasuah dalam negeri, hanya tiga kes utama iaitu melibatkan penjawat awam atau kakitangan awam menerima rasuah (Seksyen 13 A), orang awam memberi atau terima rasuah (Seksyen 17 B) dan kesalahan tuntutan palsu. "Walaupun agak sukar untuk dihapuskan sepenuhnya, namun kita akan pastikan unsur-unsur sebegini dikurangkan dalam negeri. "SPRM akan sedaya upaya bantu kerajaan negeri seperti mana hasrat Menteri Besar dalam mewujudkan Terengganu bebas daripada rasuah dengan mengekalkan integriti tinggi dalam kalangan pegawai kerajaan," jelasnya.
08 Mar 21
413
Akademi Robotik Pertama Di Terengganu, Lahir Generasi Al-Jazari
Akademi Robotik Pertama Di Terengganu, Lahir Generasi Al-Jazari
Kewujudan Akademi Robotik TD1303 X Jazari Robot (JAZRO) pertama di Terengganu mampu menjadi platform pembelajaran teknologi Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) berteraskan nilai kemahiran teknologi dan pembentukan sahsiah.  
08 Mar 21
332
Optimis Capai 20,000 Penerima Kad Sejahtera Fasa 2 April Ini
Optimis Capai 20,000 Penerima Kad Sejahtera Fasa 2 April Ini
KUALA TERENGGANU, 8 Mac - Kerajaan negeri optimis sasaran 20,000 penerima Kad Sejahtera bagi fasa kedua berjaya dicapai April ini. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, setakat ini seramai 18,181 penerima baharu telah dikenalpasti. Katanya, pemilihan pada kali ini diuruskan oleh Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) sebagai agensi pelaksana program. "Hari ini, kita telah menandatangani perjanjian pengurusan Kad Sejahtera antara pihak TSIS yang mewakili kerajaan negeri dengan pihak Selcare Management Sdn. Bhd yang diberi kepercayaan untuk menguruskan program Kad Sejahtera. "Melalui perjanjian ini, program Kad Sejahtera Terengganu bakal beroperasi pada skala penuh dengan jangkaan 20,000 penerima faedah daripada pelbagai latar belakang di negeri ini, dengan limitasi tertakluk kepada pendapatan isi rumah," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Kad Sejahtera TSIS dan Selcare Management Sdn. Bhd di Ibu Pejabat TSIS, hari ini. Pada majlis tersebut, TSIS diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Wan Mat Sulaiman manakala Selcare Management Sdn. Bhd diwakili Pengerusi dan Pengarahnya, Noor Hisham Mohd Ghouht. Menurut Alias, inisiatif yang diperkenalkan kerajaan negeri itu bagi membantu golongan kurang berkemampuan mendapat rawatan di klinik swasta terpilih. "Mereka yang layak akan menerima bantuan perubatan bernilai RM500 setahun menerusi Kad Sejahtera membabitkan peruntukan RM10 juta setahun. "Sehingga kini, kira-kira 60 klinik menawarkan perkhidmatan Kad Sejahtera ini dan kita sangat mengalu-alukan lebih banyak lagi yang akan turut bersama-sama kerajaan membantu meringankan beban golongan yang memerlukan dalam mendapatkan rawatan kesihatan terbaik," ujarnya. Katanya, pelaksanaan kad sejahtera fasa pertama bermula pada Julai 2019 hingga Julai 2020 telah memberi manfaat kepada 12,126 penerima di seluruh negeri Terengganu.  
08 Mar 21
765
RM13 Juta Projek Penempatan Semula Nelayan Di Tiga Daerah
RM13 Juta Projek Penempatan Semula Nelayan Di Tiga Daerah
KUALA TERENGGANU, 7 Mac - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menyediakan peruntukan sebanyak RM13 juta tahun ini untuk Projek Penempatan Semula Nelayan (PSN) yang melibatkan tiga daerah di Terengganu. Timbalan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan I, Dato’ Seri Ahmad Hamzah berkata, peruntukan yang disalurkan menerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) itu bagi melaksanakan projek di Pulau Sekepeng, Kemaman, Seberang Penarik, Setiu dan Benting Lintang, Besut. "Setiap kawasan ini masing-masing membabitkan sebanyak 50 buah rumah dengan peruntukan pembinaan rumah RM3,500,000 dan RM2,500,000 kos infrastruktur," katanya pada sidang akhbar selepas Program Misi Bantuan Pasca Banjir MAFI Prihatin 2021 di Pelabuhan Perikanan LKIM Chendering di sini, semalam. Sementara itu, mengulas mengenai program berkenaan Ahmad berkata, misi MAFI Prihatin yang dilancarkan di Wisma Tani, Putrajaya pada 21 Januari lalu melibatkan penghantaran bantuan keperluan makanan, barangan peralatan elektrik dan kelengkapan asas ke negeri yang terjejas banjir iaitu Pahang, Kelantan, Sabah, Johor dan Terengganu. "Terengganu merupakan negeri kelima Misi MAFI Prihatin Banjir 2021 dengan menyasarkan nelayan, petani dan penternak yang terjejas banjir. Antara bantuan yang akan disampaikan ialah keperluan makanan, barangan peralatan elektrik dan kelengkapan asas. "Seramai 500 penerima dalam kalangan peladang, penternak dan nelayan di pelbagai kawasan dikenal pasti untuk menerima bantuan MAFI Prihatin iaitu dari Kemaman, Kijal, Kemasik, Dungun, Hulu Terengganu, Setiu dan Besut. "Program yang merupakan salah satu tanggungjawab sosial dan keprihatinan MAFI dan LKIM kepada golongan sasar turut menghulurkan sumbangan keperluan makanan seperti ikan segar beku (Q' Fish) kepada penerima yang diagihkan oleh LKIM," katanya. Beliau turut menasihatkan kepada para nelayan agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan langkah keselamatan semasa menjalankan tugas atau menangkap ikan di laut seperti sentiasa memakai jaket keselamatan dan menghubungi pihak berkuasa jika melihat jenayah di laut. "Contoh jenayah kebiasaan berlaku di laut hari ini pencerobohan nelayan asing dan penyeludupan barangan terlarang dan pendatang asing tanpa izin (PATI). "Saya juga berharap warga kerja MAFI terutama semasa bertugas di lapangan dan masyarakat nelayan untuk terus mengamalkan norma baharu seperti memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan sosial dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)," katanya. Sementara itu, Ahmad berkata, sehingga kini sebanyak 135 buah pasar nelayan dibuka di negara ini dan sembilan daripada jumlah tersebut beroperasi negeri ini. "Daripada jumlah pasar nelayan yang beroperasi ini melibatkan seramai 550 peserta keseluruhannya telah berjaya merekodkan jumlah jualan sebanyak RM45 juta sehingga November tahun lalu. "Dengan pencapaian memberangsangkan ini, kami mensasarkan jualan pada tahun ini sehingga RM55 juta," katanya.
07 Mar 21
659
Gajah Betina Seberat 2.5 Tan Berjaya Ditangkap Di Durian Bador
Gajah Betina Seberat 2.5 Tan Berjaya Ditangkap Di Durian Bador
HULU TERENGGANU, 7 Mac – Seekor gajah betina  yang dipercayai menceroboh Taman Pertanian Negeri Sekayu (TPNS) dan merosakkan kebun penduduk di Kampung Durian Bador dekat Kuala Berang, akhirnya berjaya ditangkap pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Khamis lepas. Pengarah Perhilitan Terengganu Dr Abdul Malek Mohd Yusof berkata haiwan liar seberat 2.5 tan itu ditangkap kira-kira pukul 10 pagi  sewaktu berkeliaran di Kampung Durian Bador yang terletak kira-kira 2.3 kilometer dari TPNS. Katanya, proses penangkapan gajah betina itu melalui kaedah tembakan ubat pelali dalam operasi yang dijalankan enam kakitangan Unit Tangkapan Gajah, Terengganu. “Perhilitan Terengganu telah membuat pemantauan sejak Selasa (2 Mac), selepas menerima aduan daripada penduduk kampung sekitar mengenai sekumpulan gajah yang sering berkeliaran di kampung mereka dan merosakkan tanaman penduduk. "Hasil risikan mendapati terdapat sembilan ekor gajah dalam kumpulan ini dan Perhilitan Terengganu akan terus memantau pergerakan gajah lain yang masih berkeliaran. "Kumpulan gajah ini dipercayai keluar dari hutan berhampiran dan menceroboh masuk ke perkampungan penduduk untuk mencari makanan," katanya menerusi satu kenyataan di sini semalam. Beliau berkata berita kejayaan menangkapan haiwan itu, melegakan penduduk di sekitar Kampung Sekayu, Kuala Menjing, Durian Bador Kemat, Padang Setar dan Taman Pertanian Negeri Sekayu, kerana tanaman mereka sering dimusnahkan, sebelum ini. Tambahnya lagi, gajah tersebut akan dilepaskan ke habitat asalnya di Taman Negara Terengganu, Hulu Terengganu pada masa terdekat dengan bantuan kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah di Lanchang, Pahang. “Lokasi pemindahan serta pelepasan semula gajah liar terbabit ialah di Taman Negara, Tanjung Mentong di Hulu Terengganu," kata Abdul Malek. Media sebelum ini melaporkan lebih 117 pokok palma yang terdapat di TPNS telah musnah dirosakkan sekumpulan gajah sejak tahun lalu dan  merosakkan tanaman sehingga penduduk kampung terpaksa menanggung kerugian ratusan ribu ringgit.  
07 Mar 21
1071
Tiada Urusan Vaksin COVID-19 Swasta Buat Masa Ini
Tiada Urusan Vaksin COVID-19 Swasta Buat Masa Ini
KUALA TERENGGANU, 6 Mac - Kerajaan Malaysia masih menjadi pengendali utama proses vaksinasi melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) manakala perancangan serta dasar pemvaksinan melibatkan sektor swasta masih belum ditentukan. Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, proses pembelian vaksin adalah di bawah Kerajaan Malaysia kerana ia melibatkan bekalan terhad. “Jadi boleh dikatakan semua pengeluar vaksin berurusan dengan kerajaan, oleh itu, kami nasihatkan jangan percaya terhadap sebarang pihak yang menyediakan perkhidmatan perubatan demikian. “Vaksin yang diperoleh kerajaan adalah diyakini dan melalui proses kawalan dan pengawasan ketat oleh Agensi Pengawalseliaan Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA). “Kebelakangan ini, ada tular iklan jualan vaksin di platform e-dagang Shopee, jadi masyarakat dinasihatkan supaya berhati-hati dan ikuti saranan kerajaan,” katanya selepas merasmikan Akademi Robotik TD 1303 x Jazro di TD1303, pagi semalam. Mengulas lanjut mengenai usul agar pihak swasta dibenarkan membeli dan menawarkan suntikan vaksin Covid-19, beliau berkata, keputusan belum dikeluarkan kementerian. “Namun Ia bukan mustahil, tetapi jika mengikut kerangka PICK, ia mungkin berkemungkinan dapat menimbulkan isu ketidakselarasan,” tambahnya. Menurut Ahmad Amzad yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu, lebih dua juta rakyat Malaysia telah mendaftar untuk menerima vaksin COVID-19, manakala sehingga 5 Mac, kira-kira 112,000 petugas barisan hadapan telah disuntik.
06 Mar 21
187
Sinovac Bukan Vaksin Murahan
Sinovac Bukan Vaksin Murahan
KUALA TERENGGANU, 6 Mac – Tanggapan segelintir pihak mengenai Sinovac sebagai vaksin murahan adalah tidak benar kerana proses kelulusan di bawah kawal selia Agensi Pengawalseliaan Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA) sangat ketat. Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, vaksin yang dibeli secara pukal dari China itu adalah lebih mahal dan dipercayai di peringkat dunia kerana penghasilannya menggunakan teknologi ternama. “Proses pembotolan dijalankan oleh Pharmaniaga Berhad, namun lambat sedikit dari segi kelulusan, kerana ia tidak bergantung kepada kelulusan 200 liter vaksin secara pukal. “Vaksin tersebut perlu diproses dan dibotolkan dengan betul seperti ditetapkan piawaian,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Perasmian Akademi Robotik TD1303 X JAZRO di TD1303, Jalan Sultan Zainal Abidin, Kampung Ladang Tok Pelam, pagi tadi. Mengulas isu vaksin Pfizer-BioNTech yang menjadi rebutan warga kasta tinggi, Ahmad Amzad memaklumkan, semua vaksin mempunyai keberkesanan yang sama. “Bagi meningkatkan keyakinan masyarakat awam, saya telah mendaftar untuk divaksin melalui aplikasi MySejahtera dan sedang menunggu giliran. “Bila sampai giliran saya, vaksin selain Pfizer yang diluluskan NPRA akan disuntik, jika ia Sinovac maka itulah vaksin saya, semoga ini menimbulkan keyakinan terhada vaksin yang diluluskan kerajaan,” jelasnya. Menjawab dakwaan sesetengah penerima vaksin meninggal setelah disuntik, beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu menegaskan NPRA iaitu badan kawal selia ubat-ubatan di Malaysia dirujuk sebagai agensi yang paling ketat dalam kerja kelulusan vaksin. “Berkaitan insiden kematian, apabila diteliti tiada kaitan langsung disebabkan vaksin, jika berlaku sedemikian maka laporan penerima vaksin akan dirujuk untuk mengkaji punca kematian. “279 juta dos vaksin telah disuntik sehingga kini di 107 negara, sehari purata enam juta orang disuntik, kesan sampingan iaitu anaphylaxis pada kadar sangat minimum iaitu sekitar 0.0003 hingga 0.0004 peratus. “Di United Kingdom, alahan kacang lebih tinggi berbanding kesan vaksin pada 0.025 peratus atau 1/200 orang dewasa boleh alami kesan sampingan daripada makanan tersebut,” tambahnya.
06 Mar 21
609
Akademi Robotik Pertama Di Terengganu, Lahir Generasi Al-Jazari
Akademi Robotik Pertama Di Terengganu, Lahir Generasi Al-Jazari
KUALA TERENGGANU, 6 Mac - Kewujudan Akademi Robotik TD1303 X Jazari Robot (JAZRO) pertama dalam negeri mampu menjadi platform pembelajaran teknologi Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) berteraskan nilai kemahiran teknologi dan pembentukan sahsiah. Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, selaras dengan agenda kementeriannya, pelbagai peringkat daripada kanak-kanak sehingga golongan belia boleh memanfaatkan fasiliti dalam meningkatkan penguasaan teknologi. “Kita tidak lagi boleh bergantung semata-mata penggunaan tenaga buruh upah, melalui pendidikan robotik produktiviti yang efisien dapat diwujudkan dalam pelbagai sektor. “Ini dapat dilihat hasil pandemik COVID-19, menyebabkan Malaysia mempercepatkan penguasaan dan penggunaan teknologi sebegini dalam pelbagai sektor. “Contohnya seperti Robot FARMO yang diperkenalkan dalam sektor pertanian digunakan untuk kerja penyemburan racun, baja dan memetik buah-buahan,” katanya ketika ditemubual pemberita. Beliau berkata demikian selepas melancarkan Majlis Perasmian Akademi Robotik TD1303 X JAZRO di TD1303, Jalan Sultan Zainal Abidin, Kampung Ladang Tok Pelam, pagi semalam. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri yang juga Pengerusi TD1303, Ariffin Deraman, Ketua Pengurus JAZRO Robotic Academy, Ir Dzulfarqeish Zainuddin. Ketua Pengurusnya, Ir Dzulfarqeish memaklumkan, penyertaan program tersebut telah melibatkan antara 40 hingga 50 pelajar sebulan disertai pelajar berusia seawal lima tahun sehingga 17 tahun. “JAZRO Robotic Academy komited untuk berkongsi kemahiran yang relevan dengan IR 4.0, seterusnya membolehkan warga muda di Terengganu tidak ketinggalan dalam arus transformasi digital global. “Modul disediakan bukan sahaja menekankan kemahiran teknologi semata-mata, malahan menyelitkan elemen pembentukan sahsiah melalui modul al-Jazari berteraskan nilai-nilai murni Islam,” jelasnya.  
06 Mar 21
917
Suami Tembak Isteri : Keluarga Harap Pembunuh Dihukum Setimpal
Suami Tembak Isteri : Keluarga Harap Pembunuh Dihukum Setimpal
HULU TERENGGANU, 6 Mac - "Sekiranya dia (suspek) benar-benar didapati bersalah, kami harap hukuman setimpal dikenakan terhadapnya," luah adik perempuan mangsa yang ditembak suami sehingga mati sebelum ditanam dalam sebuah tong air di sebuah ladang serai, di Bandar Penawar, Johor Bahru. Katanya, ahli keluarganya memberi kepercayaan sepenuhnya kepada pihak polis untuk melakukan siasatan. "Kami akan cuba 'mengunci' mulut daripada memberi sebarang kenyataan yang dirisaukan akan menganggu siasatan polis nanti selain ingin menjaga perasaan kedua orang tua kami yang hari ini (Sabtu) baharu dilihat ada sedikit kekuatan selepas dikhabarkan berita menimpa arwah. "Bukan bermaksud tidak mahu memberi kerjasama kepada sesiapa terutama pihak media, cuma situasi sekarang masih tidak membenarkan untuk kami mengeluarkan sebarang kenyataan. "Kami tahu tragedi menimpa arwah hari ini sudah menjadi tular di media sosial, jadi disebabkan itu kami hendak menjaga hati kedua orang tua kerana risaukan mungkin ada terbaca komen-komen negatif daripada netizen, semangat mereka akan jatuh kembali," katanya sebagaimana dilapor Sinar Harian. Dia berkata, kali terakhir anak kedua daripada 11 beradik itu balik ke rumah di Kampung Telaga, Kuala Berang, di sini sekitar Ogos tahun lepas, tetapi mereka memang sentiasa berhubung dengan membuat panggilan video. "Malah pada malam terakhir arwah dilaporkan hilang, dia masih sempat membuat panggilan video kepada kami dalam keadaan yang gembira selain dia masih sempat membuat memuat naik video mengajar anak-anaknya mengaji di dalam status Facebook (FB) miliknya. "Walaupun arwah jarang balik ke kampung tetapi kami kerap berhubung dengan membuat panggilan video bersama dua anak saudara masing-masing berusia 4 dan 2 tahun," katanya dalam nada sebak. Sementara itu, ayah mangsa, Alias Salleh, 62, berkata, menantunya adalah lelaki yang baik dan tidak pernah membuat sebarang masalah sebelum ini. "Dia (suspek) adalah seorang suami dan menantu yang baik dan tidak ada buat apa-apa masalah sebelum ini. Kami tak sangka yang perkara sebegini akan berlaku. "Kami sekeluarga sedih dengan perkara ini tapi redha dengan apa yang berlaku,” katanya ketika dikunjungi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh hari ini. Misteri kehilangan seorang wanita yang didakwa melarikan diri dari rumah akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemukan dalam sebuah tong air yang tertanam di sebuah ladang serai, di Bandar Penawar, Johor Bahru. Lebih mengejutkan, suaminya yang berusia 43 tahun, menjadi suspek utama yang dipercayai menembak isterinya berusia 38 tahun, ketika wanita berkenaan sedang tidur di kediaman mereka di Taman Saujana, Kota Tinggi, Johor Bahru. Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kes berkenaan dipercayai bermotifkan cemburu selain polis turut menemui surat tuntutan fasakh di kediaman berkenaan. Kes bermula apabila jiran mereka membuat laporan berkaitan kehilangan ibu dua anak berkenaan, pada Isnin lalu dan membawa penahanan suami wanita itu serta seorang lagi lelaki berusia 32 tahun yang juga rakan baiknya, pada keesokkan harinya, bagi membantu siasatan.
05 Mar 21
1672
Aspek Kebersihan Harus Berada Di Tahap Terbaik
Aspek Kebersihan Harus Berada Di Tahap Terbaik
Oleh : Rohayati Ripin KUALA TERENGGANU, 4 Mac - Aspek kebersihan di setiap tempat pelancongan harus dipertingkatkan pada tahap terbaik agar imej pelancongan negeri dipandang positif oleh para pengunjung. Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Yahaya Ali berkata, nilai kebersihan adalah salah satu tarikan dan menjadi satu usaha supaya negeri ini terus menjadi destinasi pilihan pelancong untuk datang ke Terengganu. "Tarikan pelancongan bukan semata-mata kerana keindahan semula jadi seperti Pulau Kapas serta perkhidmatan memuaskan yang diberikan oleh pihak pemain sektor ini. "Namun ia juga melibatkan aspek kelestarian dan kebersihan yang menjadikan negeri kita sebagai pilihan utama pelancong," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas program 'Gotong Royong Bersih Pulau Kapas, semalam. Turut hadir ialah Yang DiPertua Majlis Daerah Marang, Fadli Yusof Zakaria dan Timbalan Pengerusi Persatuan Isteri Wakil Rakyat Dan Bekas Wakil Rakyat Negeri Terengganu (Khairunnisa), To' Puan Hajah Zarani Othman. Menurutnya, beliau seronok dapat terlibat sama dengan program tersebut, yang dianjurkan oleh Majlis Daerah Marang dengan kerjasama beberapa jabatan dan agensi yang lain termasuk Pejabat Daerah Marang, Jabatan Pelancongan dan Permint.  "Saya (juga) menekankan Daerah Marang perlu merancang dan memperkasakan sektor pelancongan ke tahap yang boleh dibanggakan dengan memanfaatkan segala potensi dan sumber yang ada," ujar Dato' Yahaya. Mengulas lanjut berkenaan usaha terkini di daerah Marang, beliau memaklumkan kerajaan pusat juga akan melaksanakan projek menaik taraf jambatan merentasi Sungai Marang, Terengganu. 'Pembinaan jambatan baharu di Sungai Marang yang telah dimasukkan dalam bajet 2021 Kerajaan Persekutuan," katanya.
04 Mar 21
258