Artikel "Semasa" Terkini
Ambil Iktibar Peristiwa Isra' dan Mikraj, Sempurnakan Ibadat Solat
KUALA TERENGGANU, 11 Mac – Umat Islam dalam negeri ini diseru supaya menjadikan peristiwa Isra’ dan Mikraj sebagai satu tanda kebesaran serta kehebatan kuasa Allah.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, melalui ucapannya berkata, peristiwa tersebut menceritakan pertemuan antara Rasullulah SAW dengan Allah SWT yang telah memberikan perintah kefarduan solat lima waktu.
“Begitu besarnya kefarduan solat ini maka ia adalah satu tanggungjawab kerajaan negeri untuk mengambil inisiatif membesar-besarkan perihal solat di Terengganu.
“Di Terengganu sejak tahun 2019, kita telah menggerakkan agenda solat ini selama sebulan melalui program Bulan Penghayatan Ibadah Solat, supaya kesedaran solat ditingkatkan dalam kalangan masyarakat," kata Ahmad Samsuri.
Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Perasmian Israk Mikraj Peringkat Negeri di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, pagi tadi.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah, Barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Mufti Terengganu, Dato’ Dr Haji Zulkifly Muda serta Pengarah Yayasan Islam Terengganu, Rozali Salleh.
Beliau turut menyifatkan peristiwa perjalanan Rasullulah SAW dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa sebagai perkara tidak tercapai dengan ilmu manusia pada waktu itu.
“Di sinilah kita wajib bertambah yakin bahawa betapa kerdil dan ceteknya ilmu manusia, tetapi manusia tetap menjadi angkuh dengan meninggalkan ajaran Islam," tambahnya.
Sementara itu, Mohd Nor Hamzah berkata, kedudukan ibadah solat adalah amat tinggi di sisi agama Islam kerana ia adalah penghubung umat dengan Allah SWT.
“Salah satu inisiatif yang boleh dikatakan rutin tahunan mengelanya bulan Rejab adalah melaksanakan Bulan Penghayatan Solat.
“Jelaslah bahawa, pendekatan Kerajaan Negeri Terengganu yang ditunjukkan ini adalah bagi melahirkan masyarakat yang bersifat Khairu Ummah menjadikan Negeri Terengganu sebagai sebuah negeri 'baldatun thayyibatun wa rabbun ghafur',” jelasnya.
11 Mar 21
478
Ambil Kira Perancangan Masa Panjang Dan Pertambahan Penduduk
Oleh : Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU, 10 Mac - Semua projek pembinaan loji baharu dalam negeri hendaklah mengambil kira perancangan untuk masa panjang serta seimbang dengan pertambahan penduduk
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Yahaya Ali berkata, ia sangat penting bagi memastikan keperluan asas tersebut dapat dipenuhi bagi keselesaan rakyat jelata.
Katanya, berdasarkan maklumat beberapa daerah antaranya Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang menghadapi kekurangan bekalan air.
"Jadi masalah bekalan air ini masalah besar. kalau tiada elektrik tak apa lagi dan apa yang berlaku sekarang ini adalah diluar jangkaan.
"Masalah ini melibatkan dari segi pembangunan projek yang dijangka siap lebih awal tapi tak siap, jadi masalah itu berbangkitlah," jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Loji SATU Kepong Serada, pada semalam.
Turut hadir bersama delegasi itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abd Karim, ADUN Batu Buruk, Khalil Abdul Hadi, ADUN Wanita, Zuraida Mohd Nor dan Timbalan Pengerusi Khairunnisa’, To’ Puan Hajah Zarani Othman.
Menurutnya, beliau mengharapkan agar isu besar sedemikian tidak berpanjangan dan perlu diselesaikan dengan secepat yang mungkin demi keselesaan dan kelangsungan hidup masyarakat sekeliling.
"Isu ini akan diselesaikan melalui projek pemulihan dan naik taraf loji air samaada loji air SATU Kepong dan beberapa tempat lagi dalam masa yang terdekat ini. Insya Allah bekalan air dijangka tidak akan terganggu lagi, ujarnya.
Justeru itu, beliau menasihati para pengguna air di negeri ini agar bersabar mengharungi masalah tersebut dan proses penambahbaikan sudah sampai kepada tahap dipulihkan sepenuhnya.
"Ada faktor yang merupakan kemampuan kita yang mampu menyelesaikan isu boleh dijangka, manakala ada faktor diluar kawalan yang merupakan bencana diluar pada jangkaan," jelasnya.
Tambah Dato' Yahaya, beliau juga berharap masalah yang berlaku di Terengganu tidak akan terjadi seperti krisis ketiadaan air di negeri Selangor.
11 Mar 21
223
Kerajaan Komited Sokong Penuh Pelan NACP
Oleh : Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU, 10 Mac – Kerajaan negeri sentiasa komited memberi kerjasama dan komitmen menyokong penuh Pelan Antirasuah Nasional (NACP), yang diperkenalkan oleh kerajaan peringkat Nasional.
Yang Dipertua Dewan Undangan (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, ia merupakan sebuah pelan strategi yang penting dalam melaksanakan dasar anti-rasuah di Malaysia.
“Kerajaan negeri akan memberikan kerjasama yang sepenuhnya atas apa-apa kegiatan oleh SPRM supaya negeri kita.
"InsyaAllah walaupun tak bebas rasuah, tapi dapat mengurangkan kadar rasuah pada tahap yang boleh dibanggakan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media bersama Pengarah SPRM Terengganu, Tuan Ruslan Amad, selepas lawatan kerja di Kompleks SPRM Terengganu Bandar Baru Bukit Besar, baru-baru ini.
Turut hadir bersama delegasi itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abd Karim, ADUN Ajil, Maliaman Kassim, ADUN Pengkalan Bengkalan, Sulaiman Sulong, ADUN Rantau Abang, Alias Harun, ADUN Wanita, Zuraida Mohd Nor dan Timbalan Pengerusi Khairunnisa’, To’ Puan Hajah Zarani Othman.
Katanya, beliau turut menekankan berkenaan soal untuk mengurangkan kadar penglibatan rasuah adalah tanggungjawab semua pihak bukan hanya SPRM sahaja.
“Secara keseluruhan saya dapat simpulkan dalam dialog banyak isu yang ditularkan dalam media sosial dan juga dalam apa-apa ruang termasuk kedai kopi seumpamanya mendapat penjelasan baik daripada pihak SPRM.
“Dalam lawatan ini kami ingin merakamkan penghargaan terima kasih kepada pihak SPRM kerana dapat beri taklimat dan dialog.,” ujar beliau.
Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Ruslan Che Amad berkata, pihak SPRM menasihati agar pelbagai pihak tidak kira pangkat supaya mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.
“Kita mempunyai peraturan yang sedia ada yang mana peraturan kita kena ikuti, berhubung cadangan kod etika ini kita perlu wujudkan di Terengganu khusus untuk ADUN.
“Sebab saya lihat ini satu tindakan atau perkara yang boleh kita tekankan daripada terlibat dalam perkara tidak sihat,” kata Ruslan.
Selain daripada itu, tambahnya, kod etika ini dapat memberi garis panduan kepada pihak EXCO atau ADUN dalam melaksanakan tugas mereka untuk menjalankan amanah yang dipikul.
“Saya dengar tadi banyak masalah dan keraguan yang timbul. InsyaAllah perkara ini kita dapat atasi kalau ada satu garis panduan yang khusus kepada mereka,” jelas beliau lagi.
10 Mar 21
592
Pusat Bahasa Arab Pertama Terengganu Mula Operasi
KUALA TERENGGANU, 10 Mac - Pusat Bahasa Arab Pertama milik kerajaan Terengganu yang bernilai sekitar RM1.5 juta mula beroperasi dua minggu lalu.
Pengarah Pusat Bahasa Arab Al-Azhar As-Syarif Darul Iman, Mohd Zaini Mohd Nor berkata, institusi di bawah kelolaan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) itu amat penting dalam meningkatkan kemahiran pelajar berbahasa arab.
“Ini akan menjadi tempat berhimpun anak-anak Terengganu untuk dididik, diasuh sebelum mereka melanjutkan pelajaran ke tanah arab atau dalam negeri serta menyelesaikan trend penurunan drastik dalam penguasaan bahasa itu.
“Antara pengisian adalah program intensif Bahasa Arab kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
“Di samping itu, kursus bahasa arab untuk memahami al-Quran juga dibuka untuk orang awam dengan kelas pertama pada 22 Mac ini, dengan jumlah peserta berdaftar sehingga ini seramai 80 orang bermula daripada 20 hingga 60 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Bangunan Pusat Bahasa Arab Terengganu di Pusat Bahasa Arab Terengganu, Ladang Tok Pelam, Jalan Sultan Zainal Abidin, di sini petang semalam.
Turut hadir, Jurutera Daerah, Ir. Anuar Ngah dan Pegawai Khas Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Abdullah Suhaimi.
Tambah Mohd Zaini, kerjasama antara Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Cawangan Malaysia (WAAGM) turut diadakan dalam memastikan kelangsungan pusat tersebut.
“Dengan tenaga pengajar, empat orang dari Malaysia dan tiga orang dari Mesir, pusat ini beroperasi dan menempatkan pelajar lepasan STAM dari negeri sekitar pantai timur.
“Kos peruntukan tahunan kerajaan negeri Terengganu telah meluluskan sebanyak RM1.18 juta dengan prasarana kira-kira 5 kelas, satu kelas mampu memuatkan 30 pelajar, manakala bilik untuk seminar dan makmal bahasa turut ada dalam memastikan suasana pembelajaran kondusif," tambahnya.
Sebelum ini, Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar serta rombongan kerajaan negeri bertemu Duta Besar Mesir, Salah Mohi Eldin Elwassimydi di kedutaan negara itu di Kuala Lumpur bagi membincangkan Pusat Bahasa Arab (Markaz Lughah).
10 Mar 21
6174
Melancong Antara Negeri PKPP Dibenar Bersyarat
KUALA LUMPUR, 9 Mac – Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju membenarkan aktiviti pelancongan antara negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di bawah program Gelembung Pelancongan Bersasaran, mulai esok.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, aktiviti tersebut tertakluk dengan beberapa prosedur operasi standard (SOP) yang ketat seperti perlu melalui agensi pelancongan berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
“la juga perlu menggunakan kenderaan pelancongan yang berdaftar dengan MOTAC seperti bas pelancongan manakala dengan kenderaan persendirian masih tidak dibenarkan.
“Pergerakan kenderaan dengan agensi pelancongan itu juga perlu mendapat kebenaran daripada pihak polis.
“Kenderaan pelancongan juga dilarang singgah ke negeri di bawah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), bagi pergerakan yang perlu melintas negeri tersebut," katanya dalam sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), petang tadi.
Tambah Ismail Sabri, kelulusan MOTAC juga mesti diperoleh sektor penginapan dan premis pelancongan serta tiada pergerakan percutian dari negeri PKPB ke negeri PKPB yang lain.
Sehingga kini, tujuh negeri iaitu Melaka, Pahang, Terengganu, Sabah, Putrajaya, Labuan dan Perlis berada di bawah PKPP bermula 2 Mac sehingga 15 Mac ini.
Sementara itu, beliau berkata, mesyuarat teknikal Majlis Keselamatan Negeri (MKN) semalam turut bersetuju untuk menukar status Pulau Langkawi daripada PKPB kepada PKPP bermula esok.
“Langkah ini setelah hasil cadangan kerajaan negeri Kedah memandangkan daerah pulau ini sudah jadi zon hijau dengan dua kes terakhir direkodkan pada 20 Februari lalu.
“Kelonggaran ini berdasarkan model gelembung pelancongan, tetapi Kedah masih lagi berstatus PKPB seperti tujuh negeri lain dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” jelasnya.
Maklumat lanjut mengenai segala SOP yang terperinci boleh dirujuk menerusi laman sesawang rasmi pihak kementerian berkenaan dan MKN.
09 Mar 21
686
Kod Etika Wakil Rakyat Bakal Diperkenalkan Di Terengganu
Oleh : Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU, 9 Mac - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu bercadang untuk memperkenalkan Kod Etika dan Tatakelakuan yang berpotensi dilaksanakan di peringkat Parlimen kepada Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Yahaya Ali berkata, cadangan Kod Etika dan Tatakelakuan ADUN Terengganu itu akan dibincangkan dengan Menteri Besar Terengganu.
“Ada satu Kod Etika (Tatakelakuan) yang dicadangkan oleh SPRM, yang telah pun dilaksanakan di peringkat nasional khususnya kepada Ahli-ahli Parlimen Malaysia.
“Jadi saya berhasrat untuk berbincang (Kod Etika) ini dengan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, supaya kod etika ini bukan sahaja ada di peringkat Ahli-ahli Parlimen tetapi boleh dilaksanakan di peringkat negeri supaya kita ada satu garis panduan menguruskan integriti dan kepentingan orang ramai,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan pemberita pada sidang media bersama Pengarah SPRM Terengganu, Ruslan Che Amad, selepas lawatan kerja di Kompleks SPRM Terengganu Bandar Baru Bukit Besar, di sini, semalam.
Turut hadir bersama delegasi itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abd Karim, ADUN Ajil, Maliaman Kassim, ADUN Pengkalan Bengkalan, Sulaiman Sulong, ADUN Rantau Abang, Alias Harun, ADUN Wanita, Zuraida Mohd Nor dan Timbalan Pengerusi Khairunnisa’, To’ Puan Hajah Zarani Othman.
Menurutnya, beliau turut mencadangkan kepada pihak SPRM berkenaan soal pendidikan yang harus diberikan kepada masyarakat di negeri ini.
“Saya menekankan tadi (apa) yang penting diberikan perhatian soal pendidikan kepada masyarakat.
“Saya dapat maklumat, SPRM dah turun ke bawah tapi (ia) boleh diperkasakan lagi supaya isu-isu penting di peringkat bawah (seperti) Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dapat penjelasan kerana mereka terlibat langsung dengan orang ramai,” jelasnya.
Justeru itu, Dato’ Yahaya berharap dengan pendidikan seumpama ini dapat menjauhkan dan dapat diperkasakan berkait dengan isu-isu rasuah.
Antara Pegawai SPRM yang hadir, Timbalan Pengarah Pencegahan SPRM Terengganu, Sofian Haroon dan Timbalan Pengarah Operasi SPRM Terengganu, Zainal Ayop.
09 Mar 21
557
'Terima Kasih' - Peniaga Kecil
SETIU, 8 Mac - Tiada ungkapan yang mampu diucapkan seorang peniaga kecil melainkan ucapan terima kasih kepada Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu selepas menerima Bantuan Perniagaan Peniaga Kecil Terengganu semalam.
Nazlizawati Abdullah, 39 atau lebih mesra panggilan Kak Za yang hampir tiga tahun terlibat dalam bisnes pembuatan kek dan roti menerima sebuah pengadun dan ketuhar di Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri.
"Saya banyak terima tempahan melalui orang kampung, kawan-kawan dan saudara mara."
"Antara jenis-jenis roti yang saya buat roti maxico, roti keju, roti sarang lebah, roti krim, roti sambal ayam, donut dan kuih tempahan," katanya ketika ditemui wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) di sini.
Turut bersama Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Permaisuri, Zul Bhari A Rahman yang menyaksikan majlis penyerahan oleh YPU kepada penerima.
Nazlizawati berkata, dia juga merupakan pemegang Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap satu serta dua dalam bidang latihan bakeri dan pastri di bawah program Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).
"Suami antara tulang belakang yang banyak menyokong kerja-kerja saya selama ini di samping latihan yang berterusan," jelasnya lagi.
09 Mar 21
393
Ziarah KP Harakah, Dr Khairudin Sampaikan Bantuan
SEREMBAN, 9 Mac - Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Dato’ Dr Mohd Khairudin Aman Razali telah menyampaikan sumbangan kepada Ketua Pengarang Harakah, Wan Nordin Wan Yaacob bagi meringankan beban perbelanjaan perubatan Ketua Editor Harakah itu dan isterinya.
Sumbangan disampaikan melalui Setiausaha Politiknya, Mohd Kamal Nazmi Kamaruddin yang datang menziarahi Wan Nordin di kediamannya di Bandar Sri Sendayan di sini semalam.
Turut sama dalam ziarah itu, Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Rafie Mustapha, Ketua Penerangan PAS Negeri Sembilan, Badzli Bakar, Setiausaha Dewan Ulama PAS Selangor, Ustaz Muhammad Najhan Abdul Halim, mantan Ketua Pengarah Jabatan Amal Malaysia, Mohd Nazree Haris dan isteri.
Dalam ziarah tersebut, Ustaz Mohd Kamal Nazmi yang mewakili Dr Khairudin turut bertanyakan perkembangan rawatan membabitkan Wan Nordin dan isterinya.
Sejak November lalu, Wan Nordin berdepan masalah sakit tulang belakang, saraf dan darah tinggi yang serius.
Selepas rawatan kiropratik pada awal Disember lalu, beliau masih lagi berdepan masalah yang sama, namun telah mampu berjalan tidak seperti sebelum ini.
Sementara isterinya, Ustazah Suraini Ab Hamid pula menghadapi masalah pendengaran di mana telinga sebelah kanannya tidak berfungsi, selain telinga kiri hanya mampu mendengar sekitar 30 peratus.
Pun begitu dengan bantuan pelbagai pihak, pada minggu lepas alat bantu pendengaran telah ditempah untuk beliau.
09 Mar 21
212
Anak Terengganu Teruja 'Menghadap' Permaisuri Agong
KUALA LUMPUR, 9 Mac - Hasil kraftangan diorama rumah kedai yang ‘dibina’ oleh seorang anak jati Besut berjaya mengharumkan nama negeri apabila menjadi naib juara Anugerah Penggiat Kraftangan Malaysia, baru-baru ini.
Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli dalam program atas talian tersebut anjuran Persatuan Seni Jahitan Kreatif Malaysia (PSJKM) melalui platform The Tunku Azizah Handmade Market (TTAHM), pada 3 Mac.
Naib johan, Mohd Ihsan Mohd Saidi, 34, berkata, walaupun majlis dijalankan dalam alam maya, namun reaksi gembiranya jelas apabila dapat mempersembahkan ‘rumah kedai’ kepada Raja Permaisuri Agong.
“Bukan senang nak menghadap Baginda, saya sebagai satu daripada dua orang wakil negeri amat berbesar hati dalam membawa nama dan kreativiti Terengganu.
“Alhamdullilah, saya dinobatkan tempat kedua hasil undian juri dan jumlah ‘like’ di Facebook dan berjaya membawa pulang kontrak tiga tahun memasarkan prduk dalam platform TTAHM serta sebuah tablet,” katanya ketika dihubungi pemberita.
Tambahnya, beliau turut berterima kasih kepada Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu yang membuka ruang dalam kemenangan tersebut.
“Harapan saya kepada pihak Kerajaan Negeri Terengganu supaya membantu penggiat kraftangan dari segi tempat meniaga atau memasar hasil, bantuan-bantuan membeli bahan buatan serta latihan.
“Lebih-lebih lagi untuk orang muda supaya menjadi lebih kreatif serta menaikkan nama negeri dalam industri ini,” tambahnya.
Sementara itu, daripada 100 lebih peserta yang mengambil bahagian, tempat pertama dimenangi oleh Siti Nor Hanir Zanar Misro dari Negeri Sembilan dengan produk beg ‘Yara Puch Frame’ manakala tempat ketiga diperolehi oleh Sweelane Mundun daripada Sarawak.
Dalam titah ucapannya, Raja Permaisuri Agong selaku penaung PSJKM (penganjur) menzahirkan sokongan penuh Baginda sempena pembukaan 100 kedai dalam platform TTAHM.
“Sejak perasmian platform ini pada tahun lepas, kini mempunyai dalam 100 kedai, saya berbangga majoriti antaranya kumpulan berpendapatan 40 peratus ke bawah (B40), suri rumah, ibu tunggal, warga emas serta orang kurang upaya (OKU).
“Platform ini bukan sahaja menawarkan ruang kepada penggiat kraftangan dalam memasarkan produk tanpa had sehingga tahap antarabangsa, malah mereka dididik tentang selok belok perniagaan atas talian di mana ia adalah penting dalam situasi kekangan COVID-19,” titah Tunku Azizah pada pelancaran majlis itu.
08 Mar 21
4682
Sekolah Pondok Terima Latihan Kemahiran
BESUT, 9 Mac – Selepas Pondok Ibtida’i Ajil, Hulu Terengganu dipilih menyertai program latihan kemahiran untuk peringkat permulaan, Pondok Raudhatul Muhammadi dan Pondok Pasir Akar di Jerteh, Besut juga mengikuti program sama bagi memperkasa kebolehan para pelajar di institusi terbabit.
Timbalan Pengerusi Pelaksanaan Syariah, Pendidikan & Pengajian Tinggi Terengganu, Maliaman Kassim berkata, program itu dilaksanakan dengan pembiayaan kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu.
Menurutnya, bagi pelajar dari Pondok Raudhatul Muhammadi, dipilih menyertai program pertanian Lada Solok secara Fertigasi manakala pelajar Pondok Pasir Akar pula mengikuti program latihan kemahiran pendawaian elektrik.
“Inisiatif seumpama itu bakal diperluaskan di kesemua institusi pondok di seluruh negeri secara berperingkat bagi membolehkan setiap pelajar dilengkapi dengan latihan kemahiran sebelum mereka menamatkan pengajian sebagai persediaan menghadapi alam pekerjaan.
"Pondok juga harus menguasai ilmu-ilmu yang pelbagai. Ilmu agama adalah menjadi tumpuan namun ilmu-ilmu bersifat keduniaan juga wajar dipentingkan. Gabungan ilmu sememangnya dituntut oleh agama. Kita dituntut untuk cemerlang di dunia dan cemerlang juga di akhirat. Ilmu Kemahiran dan segala maklumat yang ada padanya wajar dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat lawatan kerja bagi Pemantauan Program Kemahiran Pondok di Pondok Raudhatul Muhammadi dan Pondok Pasir Akar di sini, semalam.
Maliaman berkata,kerajaan negeri telah merangka beberapa usaha untuk memartabatkan institusi pondok pada tempat sewajarnya bagi memperkasakan pelajar berkenaan dalam bidang kemahiran, sekaligus membantu mereka berdikari selepas menamatkan pengajian.
"Pihak kerajaan akan sedaya upaya berusaha membantu institusi ini dalam pelbagai aspek yang difikirkan sesuai,"ujarnya lagi.
Tambah beliau, institusi pondok juga perlu menambah baik prasanana dan kemudahan pengajian, supaya suatu masa nanti sekolah pondok akan mempunyai keupayaan prasarana yang baik dan mampu menjadi contoh kepada institusi pendidikan yang lain.
08 Mar 21
940