Artikel "Semasa" Terkini
‘Street Dakwah’ Ajak Masyarakat Hidupkan Solat Jemaah
HULU TERENGGANU,15 Mac - Dengan menjadikan persimpangan lampu isyarat laluan utama, Street Dakwah Dewan Pemuda Pas Hulu Terengganu (DPPHT) berjaya mengedar risalah kepada pengguna jalan raya dalam mempromosikan kempen Jom Solat Berjemaah dalam usaha merancakkan lagi program Bulan Penghayatan Ibadat Solat peringkat negeri Kerajaan Negeri Terengganu di Kuala Berang, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Ajil, Maliaman Kassim berkata, program kali ini yang dianjurkan dihadapan Majlis Daerah Hulu Terengganu., Kuala Berang secara santai dan terbuka mendapat sambutan luar biasa.
“Objektif untuk menyampaikan dakwah Islam dalam bentuk santai dan bersahaja tercapai apabila rata-rata pengguna jalan raya yang ditemui menyambut baik kaedah berkenaan bersesuaian dan ia perlu diketengahkan lagi.
“Lebih bermakna apabila kita juga berjaya mengedarkan risalah “ Jom Solat Berjemaah” dengan gabungan orang lama dan ramai golongan muda yang turut serta dalam program yang bermula jam 8.30 pagi sehingga 12.00 tengahari, semalam,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengedarkan risalah ‘Jom Solat Berjemaah’ di Dataran MDHT Kuala Berang di sini semalam.
Menurutnya, program sebegini sudah banyak dilakukan di luar negara dan mengapa kurang pendekatan berkenaan digunakan sebagai medium dakwah tempatan.
“Saya berharap Street Dakwah dapat memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa tanggungjawab berdakwah bukan hanya terletak dibahu pihak berkuasa terutama Kerajaan negeri semata-mata.
“Sebaliknya, setiap individu Muslim itu sendiri berperanan dan bertanggungjawab menyampaikan dakwah dengan pelbagai medium mengikut kemampuan masing-masing,” katanya.
Sementara itu, salah seorang jawatankuasa penganjur Street Dakwah, Ketua DPPHT, Mohd Harun Esa berkata, program ini adalah bertujuan untuk memberi peringatan betapa besar dan pentingnya penjagaan solat secara berjemaah.
"Walaupun kita masih lagi dilanda wabak COVID19, namun ianya bukanlah alasan untuk tidak melakukan solat berjemaah dengan mengambil kira SOP.
“Berhadapan dengan cuaca panas sejak awal lagi, ia tidak menghalang para peserta untuk terus mengedarkan risalah ‘Jom Solat Berjemaah ‘ di persimpangan lampu isyarat hadapan MDHT Kuala Berang .malah mereka tidak berganjak sehingga risalah habis diedarkan kepada pengguna jalan raya,” katanya.
15 Mar 21
1289
YADIM Peduli Pengusaha Bas dan Pekerja Pembersihan
KUALA NERUS, 16 Mac - Ekoran penutupan sekolah semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) baru-baru ini, pengusaha bas sekolah di Kuala Nerus yang dihimpit kesusahan dan kekurangan pendapatan telah mendapat perhatian sewajarnya.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, prihatin dengan nasib mereka yang terkesan akibat penularan Covid-19, satu program kebajikan diadakan dengan kerjasama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) bagi menyalurkan sumbangan kepada golongan tersebut.
Ali Ahmad, 59, salah seorang penerima bantuan terharu dengan keprihatinan pihak YADIM dan kerajaan terhadap pengusaha bas sekolah yang terjejas sejak pandemik itu melanda tahun lalu.
"Alhamdulillah saya bersyukur kepada Allah kerana menghadirkan seorang pemimpin yang berjiwa rakyat dan sentiasa mengambil cakna dengan kehidupan kami di sini.
"Bagi kami, ia satu suntikan semangat untuk terus berbakti kepada masyarakat dalam menghantar anak didik ke sekolah," katanya ketika dihubungi pemberita.
Sebanyak 25 set bekalan makanan keperluan harian dan sejumlah wang tunai telah diagihkan kepada golongan tersebut. Pada masa sama, 60 orang pekerja kontraktor pembersihan di daerah Kuala Nerus turut menerima sumbangan dalam satu majlis ringkas di Dewan Serbaguna Kampung Baru, Seberang Takir.
Hadir menyerahkan sumbangan, Setiausaha Politiknya, Ustaz Kamal Nazmi Kamaruddin, Pegawai Penyelaras DUN Seberang Takir, Mohd Fazil Wahab dan Pengarah Kanan Sektor Latihan dan Perkaderan, Kapten (B) Shamsuddin Moner dan Pengarah YADIM Terengganu, Ustaz Nasrul Saidin, .
15 Mar 21
203
Cuaca Panas : Paras Air Empangan Seluruh Negara Normal
KUALA TERENGGANU, 15 Mac - Paras air di semua empangan seluruh negara berada pada tahap normal walaupun Malaysia kini berdepan musim kemarau.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, paras air di semua empangan masih belum mencapai tahap membimbangkan dan masih mampu menampung keperluan harian rakyat.
Katanya, kerajaan sentiasa memantau situasi terkini sumber air negara dan mendapati paras di semua empangan masih lagi berapa pada paras yang selesa.
"Jabatan Meteorologi Malaysia melaporkan keadaan kepanasan negara lebih rendah berbanding tahun lepas dan kadar kelembapan agak tinggi namun kita memantau.
"Keadaan air di empangan kita masih di paras selesa dan isu gangguan bekalan air yang dibangkitkan di Baling, Kedah baru-baru ini juga sudah diselesaikan oleh kerajaan negeri," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Cabutan Kerja Undi Di Bawah Peruntukan Kementerian Alam Sekitar Dan Air Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2021 di Dewan Konvensyen, Wisma Darul Iman, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti Dan Teknologi Hijau negeri, Ir. Saiful Azmi Suhaili serta Pengarah Jabatan Pengairan Dan Saliran Terengganu, Mohd Sor Othman.
Untuk rekod, terdapat 104 empangan yang berfungsi menakung air di seluruh negara yang mana 63 daripadanya di bawah pengurusan KASA.
15 Mar 21
179
Drawbridge Menang Anugerah Ikon 2020
KUALA TERENGGANU, 15 Mac – Drawbridge mendapat pengiktirafan tertinggi di persada dunia setelah meraih Anugerah Kecemerlangan Pelancongan kategori Ikon Baharu Malaysia Terbaik tahun 2020 (Best Malaysian Ikon).
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, kejayaan tersebut adalah pengiktirafan atas usaha kerajaan negeri dan sektor pelancongan termasuk yang sebelum ini.
“Terima kasih kepada Malaysia Tourism Council yang menyampaikan anugerah ini, walaupun sepatutnya diterima di Berlin, Jerman, namun dengan kekangan COVID-19, majlis tersebut terpaksa dibatalkan," jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Anugerah World Excellence Tourism Awards di Puncak Gamelan, Primula Beach Hotel, di sini, malam semalam.
Turut hadir, Presiden (Majlis Pelancongan Malaysia) MTC, Uzaidi Udanis dan Pengarah Pelancongan Negeri Terengganu, Mohd Huzaril Nizam Ibrahim serta para penggiat industri perhotelan dalam negeri.
Kata Ariffin lagi, jumlah pengunjung ke jambatan itu sejak dibuka 1 Ogos 2019 dianggar sehingga ratusan ribu pengunjung.
“Dalam masa beberapa bulan seperti September dan Oktober tahun lalu, dalam 200 ribu lebih sebulan jumlah kehadiran melimpah ruah yang datang untuk bergambar di situ dan kawasan datarannya," jelasnya.
Jelas Ariffin, perancangan baharu untuk Drawbridge adalah pembukaan restoran di atas jambatan tersebut.
“Namun begitu, kita masih dalam proses pemutihan dan pemilihan pengusaha yang layak, ramai tawaran yang diterima tetapi kita masih menunggu keadaan supaya lebih stabil selepas pandemik ini surut kembali," katanya.
Sementara itu, Uzaidi Udanis memaklumkan bahawa negeri Terengganu sahaja telah mendapat pengiktirafan ikon bertaraf dunia sedemikian.
“Rakan-rakan eropah dan Amerika Syarikat memaklumkan mereka tidak sabar untuk menghantar pelancong kembali ke negeri ini.
“Walaupun di negeri lain seperti Pahang juga mempunyai mercu tanda seperti Menara Teruntum, namun impak jambatan angkat tersebut amat tinggi, boleh dibandingkan seperti London Bridge dan reputasinya kini seakan sama seperti Menara Berkembar PETRONAS,” tambahnya.
15 Mar 21
1863
Lebih RM1.5 Bilion Diperuntuk, Selesai Masalah Saliran Terengganu
KUALA TERENGGANU,14 Mac - Lebih RM1.5 bilion diperuntukkan kerajaan untuk projek pembangunan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Terengganu menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dan RMK-12.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, daripada peruntukan tersebut, dianggarkan RM861 juta untuk projek pemuliharaan muara sungai yang melibatkan muara Sungai Paka, Sungai Besut, Sungai Ibai, Sungai Merchang, Sungai Setiu dan Sungai Dungun.
“Manakala RM105 juta untuk tujuan pengawalan hakisan Pantai Kuala Nerus dan Pantai Marang.
“Bagi projek tebatan banjir sebanyak RM442 juta diperuntukkan yang melibatkan Sungai Kemaman, Bukit Payung, Kemasik, Guntung Luar, Gong Kiat dan Kuala Terengganu Utara,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Cabutan Kerja Undi Di Bawah Peruntukan Kementerian Alam Sekitar Dan Air Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2021 di Dewan Konvensyen, Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti Dan Teknologi Hijau negeri, Ir. Saiful Azmi Suhaili serta Pengarah Jabatan Pengairan Dan Saliran Terengganu, Mohd Sor Othman.
Sementara itu kata Tuan Ibrahim, projek ramalan dan amaran banjir fasa satu berjumlah RM 28 juta, melibatkan Lembangan Sungai Terengganu dan Lembangan Sungai Kelantan.
“Projek ramalan dan amaran banjir fasa dua sebanyak RM5.3 juta melibatkan seluruh Negeri Terengganu, pemuliharaan Sungai Cepuh berjumlah RM15 juta dan projek penyenggaraan kolam takungan banjir berjumlah RM4 juta,” ujarnya.
Katanya, diharapkan dengan kelulusan projek oleh kementerian yang melibatkan peruntukan agak besar ini dapat membantu mengurangkan risiko banjir dan meningkatkan pemuliharaan sungai di Negeri Terengganu.
14 Mar 21
1460
Kalimah Allah : PAS Syor Kerajaan Buat Rayuan
KUALA TERENGGANU, 14 Mac - “Kita sudah membuat keputusan di peringkat parti supaya kerajaan membuat rayuan terhadap keputusan tersebut dan kita juga hormati hak mahkamah dalam membuat keputusan.
"Apa yang penting pada kita adalah undang-undang tidak melihat soal sentimen, emosi dan kita tengok reaksi masyarakat Islam dalam isu ini sangat serius. Sebab itu, kita minta kerajaan buat rayuan supaya dapat semak kembali keputusan,” kata Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Beliau yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air berkata demikian bagi mengulas keputusan mahkamah yang membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam kalangan penganut Kristian.
Katanya, PAS memohon kerajaan membuat rayuan semakan semula keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan pendidikan agama itu.
Katanya, tindakan itu bukan bermaksud PAS tidak menghormati keputusan mahkamah sebaliknya ia hanya proses biasa selepas sesebuah keputusan mahkamah diputuskan.
Menurutnya, keputusan itu juga dibuat selepas mengambil kira sensitiviti masyarakat Islam negara ini.
"Harapan kita perkara ini tidak perlu dijadikan isu yang boleh menimbulkan polemik. Peraturan mahkamah kita hormati tapi prosedur yang ada kita gunakan sepenuhnya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Cabutan Kerja Undi Di Bawah Peruntukan Kementerian Alam Sekitar Dan Air Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2021 di Dewan Konvensyen, Wisma Darul Iman, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti Dan Teknologi Hijau negeri, Ir. Saiful Azmi Suhaili serta Pengarah Jabatan Pengairan Dan Saliran Terengganu, Mohd Sor Othman.
14 Mar 21
293
RM7.5 Juta Diluluskan Untuk Kerja Pemuliharaan Sungai Atasi Risiko Banjir
KUALA TERENGGANU, 14 Mac- Kerajaan telah meluluskan sebanyak RM7.5 juta untuk kerja-kerja pemuliharaan sungai bagi mengatasi risiko banjir untuk Negeri Terengganu tahun ini.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, daripada peruntukan tersebut, RM4.8 juta kerja akan dilaksanakan secara undian yang melibatkan 103 kerja di semua lapan daerah yang melibatkan kerja di bawah RM100,000 bagi kontraktor kelas G1 pada hari ini dan selebihnya akan dilaksanakan pada fasa kedua dalam masa terdekat.
“Hari ini saya telah merasmikan Majlis Cabutan Kerja Undi di bawah Peruntukan Kementerian Alam Sekitar Dan Air (KASA) bagi kerja-kerja pemulihan sungai untuk mengurangkan risiko bencana banjir di Negeri Terengganu.
“Pelaksanaan perolehan kerja secara undian ini adalah bagi mempercepatkan pelaksanaan kerja disamping membantu kontraktor bumiputera Kelas G1 dalam menjana semula ekonomi akibat daripada pandemik COVID-19,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Cabutan Kerja Undi Di Bawah Peruntukan Kementerian Alam Sekitar Dan Air Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2021 di Dewan Konvensyen, Wisma Darul Iman, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti Dan Teknologi Hijau negeri, Ir. Saiful Azmi Suhaili serta Pengarah Jabatan Pengairan Dan Saliran Terengganu, Mohd Sor Othman.
Menurut Tuan Ibrahim, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM50 juta untuk kerja-kerja pemulihan sungai bagi mengurangkan risiko bencana banjir di seluruh negara bagi tahun 2021 selaras dengan hasrat utama kerajaan untuk melihat sektor ekonomi domestik terus digerakkan.
“Saya percaya melalui kaedah pemilihan secara undian akan dapat memastikan bahawa proses pelantikan kontraktor dapat disempurnakan secara terbuka dan telus.
“KASA akan bertindak tegas dalam perkara ini bagi meminimumkan bilangan projek sakit, termasuk menamatkan kontrak atau membuat penyenaraian hitam terhadap kontraktor yang gagal memenuhi syarat yang telah dipersetujui,” ujarnya.
Katanya, tawaran kerja untuk fasa pertama melibatkan negeri Johor yang telah diadakan pada 8 Mac lalu, negeri Terengganu (hari ini), diikuti dengan Kelantan, Pahang, Melaka, Kedah dan Perlis.
“Manakala, fasa Kedua pula melibatkan Negeri Sembilan, Selangor, Perak, Labuan, Sabah dan Sarawak,” ujarnya.
Jelas beliau, pihaknya menjangkakan kerja-kerja pemuliharaan sungai dapat disiapkan dalam tempoh dua bulan selepas kontraktor berjaya mendapat projek terbabit menerusi proses undi yang dilakukan.
14 Mar 21
565
Pembangunan Projek ECRL Lepasi Sasaran
KUALA TERENGGANU, 14 Mac – Status terkini Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sehingga bulan Februari 2021 menunjukkan perkembangan membanggakan selepas peratusan kemajuan dalam negeri ini melepasi sasaran asal.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, keadaan pembangunan semasa projek tersebut adalah kehadapan dengan 3.82 peratus berbanding 1.46 peratus mengikut jadual asal.
“Ini bermakna kita memintas jadual dan merupakan satu petanda baik, jika kita boleh lihat terowong di Paka sudah berjalan dan begitu juga di Bukit Bauk, Dungun dengan pembinaan terowong dalam proses untuk disiapkan.
“Kerajaan negeri turut memulakan perancangan mengenalpasti tanah-tanah bersesuaian bagi pembangunan di sekitar stesen-stesen ECRL dalam lingkungan radius 5 kilometer.
“Pembangunan ini di bawah Economic Accelerated Project (EAP) dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam mewujudkan hab kargo, pembangunan kawasan perindustrian dan juga pembinaan secara Townsed Oriendted Development (TOD),” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI baru-baru ini.
Tambah Dr Mamad, pelaksanaan projek di sekeliling laluan kereta api akan berpotensi meligatkan ekonomi negeri khususnya mengukuhkan pelaburan sedia ada serta mengurangkan kos ‘doing business’ dalam negeri.
Berdasarkan laporan sebelumnya, Terengganu akan mempunyai enam buah stesen iaitu Kampung Raja, Kuala Terengganu, Pengkalan Berangan, Dungun, Kemasik dan Chukai yang merangkumi empat stesen penumpang dan dua stesen gabungan penumpang dan kargo.
Projek berkenaan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2026 merangkumi laluan sepanjang 640 km dengan perubahan jajaran sebanyak 417 km atau 65.2 peratus daripada jajaran asal.
14 Mar 21
2818
Cawangan Pejabat LHDN Terengganu Ditutup, Jalani Proses Sanitasi
KUALA TERENGGANU, 13 Mac - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada hari ini telah memaklumkan beberapa cawangan dan pejabat LHDN di sekitar Terengganu akan ditutup buat sementara mulai esok hingga 16 Mac bagi memberi laluan kepada kerja sanitasi.
LHDN dalam satu kenyataan, menyatakan antara cawangan terlibat dalam proses tersebut adalah Pejabat Pengarah Negeri Terengganu dan Kelantan di Kuala Terengganu, Cawangan Siasatan Kuala Terengganu, Pusat Khidmat Hasil (PKH) Kemaman dan PKH Dungun.
Menurut kenyataan tersebut lagi, cawangan alternatif lain bagi mereka yang ingin berurusan boleh menuju ke PKH Hulu Terengganu dan PKH Besut.
Agensi tersebut turut menyarankan kepada para pelanggan yang hadir ke kaunter perkhidmatan LHDN agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penyebaran COVID-19.
Untuk maklumat lebih lanjut, senarai pejabat dan cawangan LHDN yang ditutup sementara boleh dicapai melalui pautan di http://phl.hasil.gov.my/pdf/pdfam/Notis_Penutupan_Cawangan_LHDNM_Covid_19_1.pdf
Bagi pertanyaan lanjut, talian Hasil Care Line di nombor 03-8911 1000 atau 603-8911 1100 (luar negara; HASiL Live Chat; dan melalui borang maklum balas di portal rasmi LHDN
13 Mar 21
2122
SRIDI Berjaya Lahir Murid ‘Genius’
KUALA TERENGGANU, 11 Mac - Rata-rata ibu bapa pelajar Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) sangat berpuas hati dengan institusi pendidikan baharu kerajaan negeri itu selepas anak-anak mereka mampu menguasai ilmu agama dan bertutur dalam bahasa arab dengan baik.
Bermula pada tahun 2019, SRIDI yang kini mencecah usia tiga tahun mampu membentuk generasi yang cemerlang dalam ilmu dunia dan akhirat.
Bapa kepada pelajar SRIDI, Muhamad Rizal Abu Seman, 34, memaklumkan institusi Pendidikan awal itu berjaya mengeluarkan potensi dan minat anaknya, Adni Safiyyah Muhamad Rizal, 9, untuk mempelajari agama dan bahasa Arab di SRIDI Buluh Gading.
“Silibus yang diajar kebiasaannya hanya didapati pada peringkat sekolah menengah, tetapi SRIDI telah menyediakan acuan dalam pendidikan rendah dengan subjek seperti Feqah, Sirah, Tauhid dan lain-lain lagi.
“Oleh itu, siapa yang menduduki kelas di SRIDI sudah ada asas kukuh dalam subjek agama Islam tanpa ketinggalan dalam akademik, serta keupayaan menulis dan membaca bahasa Arab dan tulisan Jawi.
“Dari segi kecekapan, anak saya juga menunjukkan peningkatan, contohnya subjek Feqah yang dipelajari ada perkataan dalam bahasa Arab yang kita tidak tahu, tapi dia sudah boleh kenal,” katanya yang juga seorang guru kepada UPDI baru-baru ini.
Sementara itu, menurut seorang lagi penjaga, Rozaimah Awang, 36, yang juga ibu kepada seorang, Nur Fatin Salihah Muhamad Hanif, 9, peningkatan kemahiran menulis jawi dan mengaji Al-Quran anaknya selepas belajar di SRIDI sangat membanggakan.
“Anak sulong kami daripada empat orang beradik ini mula di bangku SRIDI sejak darjah satu, pada mulanya dia kurang sedikit bab menulis arab dan jawi.
“Tetapi sekarang dia sudah ada asas dalam subjek Diniyyah tersebut, tambah lagi dengan silibus Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) jadi pendidikan itu seimbang,” katanya.
Tambah suri rumah kepada empat orang anak itu lagi, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang disediakan pihak sekolah semasa musim pandemik ini juga mencukupi.
“Bahan belajar melalui aplikasi Google Meet, Telegram dan Whatsapp memberikan peluang kepada anak saya untuk belajar dengan baik, silibus juga tidak membebankan,” jelasnya.
Dalam pada itu, bapa Nur Fatin, Muhamad Hanif Yahaya, 37, turut menyambut baik usaha kerajaan negeri dalam menyediakan platform pendidikan agama bagi peringkat sekolah rendah.
“Dulu, hanya ada pilihan sekolah swasta sahaja yang menyediakan pendidikan agama bersama KSSR, namun kini mujur kerana SRIDI mengisi keperluan itu,” jelasnya.
Untuk rekod, SRIDI dan Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI) merupakan manifesto kerajaan negeri bagi membangunkan modal insan seiring kehendak dunia dan akhirat.
11 Mar 21
4769