Artikel "Semasa" Terkini
Dasar Perhutanan Malaysia Garis Hala Tuju
KUALA TERENGGANU, 21 Mac - Dasar Perhutanan Malaysia (DPM) menggariskan hala tuju jelas termasuk strategi dan pelan tindakan pragmatik dalam mendepani cabaran baharu sektor perhutanan di peringkat domestik serta antarabangsa.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, DPM telah diluluskan oleh Mesyuarat Majlis Tanah Negara ke-78 pada 29 Januari lalu.
“DPM merupakan dasar inklusif mengambil kira kepentingan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak ke arah mencapai pembangunan mampan serta pengurusan hutan secara bertanggungjawab dan berkekalan.
“Penerimaan satu dasar perhutanan di peringkat persekutuan secara amnya telah melakarkan sejarah dalam bidang pengurusan perhutanan di negara ini yang kini menjangkau usia 120 tahun,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Ahmad Samsuri telah mengikuti Majlis Pelancaran Dasar Perhutanan Malaysia bersempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Tahun 2021 dan Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Tahun 2021 Peringkat Negeri Terengganu secara virtual melalui aplikasi Zoom di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini.
Majlis Pelancaran Dasar Perhutanan Malaysia telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong, Selangor.
21 Mar 21
261
Terengganu Sedia Bantu Promosi Pelancongan Perlis
KANGAR, 21 Mac – Terengganu sedia membantu Perlis dalam memajukan industri pelancongan negeri terbabit melalui pelbagai pendekatan termasuk penggunaan teknologi digital.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, pihaknya akan meneruskan kerjasama dari semasa ke semasa dan akan war-warkan keunikan Perlis.
“Terutamanya melalui media sosial, masyarakat lebih cepat mendapat maklumat dan kenali perkembangan baharu di situ, bentuk pemasaran ini lebih efektif berbanding dengan kaedah konvensional lain,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan kunjung hormat ke delegasi pelancongan Perlis di Taman Eko-Rimba Bukit Ayer di sini, pagi semalam.
Turut hadir,, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Azman Mohd Yusof dan Pengarah Pelancongan negeri, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim.
Sementara itu. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Perlis, Asmaiza Ahmad berkata, pihaknya mengalu-alukan kunjungan dan sokongan padu kerajaan negeri Terengganu dalam mengiklankan pelbagai tarikan pelancongan yang ada di negerinya.
“Di Perlis, fokus adalah alam semula jadi dan eko-tourism, kita sedia maklum bahawa Terengganu terkenal dengan kepelbagaian tempat menarik di sana juga.
“Melalui kerjasama pemasaran kedua-dua negeri, secara tidak sengaja kita dapat mempromosikan antara dua negeri,” katanya.
Tambah Asmaiza, beliau turut menjemput kedatangan pelancong daripada Terengganu dan menasihati untuk menginap sekurang-kurangnya satu malam bagi pengalaman pelancongan terbaik.
“Antara lokasi eko-pelancongan yang boleh dikunjungi seperti Rimba Herba Perlis, Taman Eko-Rimba Bukit Ayer, Taman Rekreasi Tasik Melati, Gua Kelam dan banyak lagi. Jarak diantara tempat ini juga tidak begitu jauh,” katanya lagi.
Untuk rekod, pelancongan Terengganu miliki lebih 300 ribu pengikut di media sosial seperti ‘page’ media sosial di Instagram dan Facebook antaranya seperti ‘Page’ Facebook ‘Amazing Terengganu’ dengan ‘like’ mencecah 200 ribu.
21 Mar 21
511
Ganding Bahu Tarik Pelancong Antara Negeri
ALOR SETAR, 21 Mac – Penggiat pelancongan daripada Terengganu serta Kedah dapat menarik nafas lega kerana dapat berganding bahu dalam membantu sektor masing-masing melalui program Bisnes dengan Bisnes (B2B).
Timbalan Pengerusi Cawangan Kedah/Perlis Persatuan Ejen-ejen Pelancongan Dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Rohanee Ismail berkata, 30 ejen telah berjaya dikumpul untuk hadir ke program tersebut bagi menjalinkan hubungan memantapkan kemasukan pelancongan domestik.
“Dengan adanya program ini, kita boleh bersua muka dengan penggiat hotel Terengganu, antara kerjasama yang boleh diadakan adalah pihak kami boleh menyediakan pengangkutan dan agen pelancongan daripada Kedah ke Terengganu.
“Sitausi ini adalah ‘win-win’, Insya-Allah kita akan rangkakan pelan dan pakej bagi merealisasikan tujuan tersebut, bermula dengan pertukaran maklumat pada hari ini,” katanya Ketika ditemubual pemberita di Hotel Grand Alora, petang kelmarin.
Kenyataan positif tersebut turut dikongsi Penolong Pengurus, Pengurusan Acara Dan Promosi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Muhammad Fakhri khazali, katanya inisiatif tersebut menaikkan nama kawasan wilayah Ketengah dan memasarkan nama di Kedah.
“Sekarang ini produk kami belum dikenali di sini, Ketengah bersama Kementerian Pembangunan Luar Bandar telah menganjurkan Tahun Melawat Kenyir 2021 dengan 30 acara.
“Matlamatnya agar sambutan dengan lebih 15 agensi ke meja kami dapat memperkenalkan Tasik Kenyir di negeri ini,” jelasnya.
Ketua Jualan Duyong Marina and Resort Terengganu, Farhana Adila Mohamad Yunus, juga menerima sambutan positif daripada lebih 10 agen pelancongan.
“Platform program ini lebih membantu kerana kita dapat menjalankan perbincangan dengan ‘face to face’ bagi rundingan lebih produktif bagi pelbagai pihak terlibat,” ujarnya.
Siri pertama daripada lapan keseluruhan itu amat menggalakkan kepada sektor ekonomi negeri kerana sambutan lebih 30 pemain pelancongan Kedah, ulas Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Terengganu, Suaibah Harun.
“Hasilnya, impak tinggi terutamanya sokongan kuat daripada Tourism Terengganu menampakkan hasil tinggi dalam merancakkan kembali industri yang penting bagi negeri Terengganu,” katanya.
20 Mar 21
545
Terengganu Gerak Awal Ligatkan Pelancongan Domestik
ALOR SETAR, 22 Mac - Kerajaan Negeri Terengganu melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) telah mengerakkan usaha Program Jelajah Beautiful Terengganu “Pakat Maghi Teganu” untuk mempromosikan sektor pelancongan domestik negeri berkenaan.
Pengarah Pelancongan negeri, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim berkata, pihaknya dengan kerjasama Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Terengganu menjadikan Kedah sebagai negeri pertama dalam siri tersebut bagi kolaborasi Bisnes Dengan Bisnes (B2B).
“Sambutan hangat melibatkan 40 pemain industri terdiri daripada agensi pelancongan Terengganu kita bawa ke sini untuk membincangkan pakej-pakej sesuai bersama penggiat sektor di sini.
“Dengan harapan supaya pelancong dari negeri Kedah dapat datang ke Terengganu dan sebaliknya, dan peluang ini akan digunakan sebaiknya.
“Ia juga dilihat sebagai salah satu usaha untuk memulih dan merancakkan kembali industri pelancongan terutamanya dalam tempoh pasca Covid-19 selaras dengan inisiatif kerajaan yang membenarkan gelembung perjalanan domestik pelancongan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Jelajah Beautiful Terengganu “Pakat Maghi Teganu” di Hotel Grand Alora, petang kelmarin.
Tambahnya, peningkatan ketara dari segi kedatangan pelancong dari negeri Kedah dan negeri-negeri di sebelah utara adalah matlamat bagi pihaknya.
“Objektif utama adalah mewar-warkan tentang kelebihan dan keunikan negeri. Kita harapkan agensi terlibat dapat hasilkan pakej-pakej menarik untuk rakyat Kedah dan buat seluruh zon utara Malaysia.
“Peluang mengadakan lawatan pembelajaran produk-produk tarikan pelancongan yang terdapat di negeri Kedah ini sekali gus dapat dijadikan rujukan bagi menambah baik produk-produk tarikan yang ada di Terengganu,” ujarnya.
Siri Jelajah Beautiful Terengganu “Pakat Maghi Teganu” melibatkan penyertaan penggiat-penggiat industri pelancongan negeri yang terdiri daripada lapan pengusaha hotel, tiga agensi pelancongan, dua agensi kerajaan negeri serta pengusaha produk nasi dagang Terengganu.
Untuk maklumat lanjut, perkembangan aktiviti-aktiviti menarik pelancongan negeri Terengganu boleh didapati menerusi laman sosial rasmi media sosial seperti Facebook, Youtube, Instagram, Wechat, Weibo dan Telegram dengan nama BEAUTIFUL TERENGGANU MALAYSIA dan di twitter @trgtourism.
19 Mar 21
534
Kerjasama Kedah, Terengganu Tarik Pelancong Antarabangsa
ALOR SETAR, 20 Mac – Kerjasama antara sektor pelancongan Terengganu dan Kedah bukan sahaja bakal merancakkan pertukaran pelancongan domestik antara dua negeri tetapi ia turut membuka pintu kepada kemasukan pengunjung antarabangsa di masa depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Seni, Budaya, Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan & Koperasi Kedah, Mohd Firdaus Ahmad menyifatkan kerjasama antara negerinya adalah dinantikan kerana langkah itu memberi laluan kepada perkongsian pendapatan.
“Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengajar kita bahawa pelancongan domestik dan persaudaraan antara negeri amat penting, ini adalah situasi menang-menang.
“Ia juga mendorong kita supaya mengeratkan ukhwah kerana talian tersebut akan beri satu persefahaman dan kolaborasi pelancongan bersama negeri Terengganu dalam bentuk sistem barter.
“Contohnya, mereka daripada Terengganu tidak tahu apa menarik tentang Kedah dan sebaliknya bagi Kedah, melalui usaha promosi dan pertukaran, pengunjung daripada Terengganu akan berminat untuk melawat Kedah dan mereka daripada sini berminat untuk ke negeri tersebut," katanya selepas kunjung hormat pelancongan Terengganu di Star Sky & Lounge, Menara Alor Setar, pagi semalam.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman, Pengarah Pelancongan negeri, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim dan Pengurus Kedah Tourism, Nor Azlan Fitri Abd Razak, Pengurus Besar Menara Alor Setar, Mohamad Zamri Abdul Razak.
Tambah Firdaus, sebagai tindak balas terhadap jasa baik kerajaan negeri, pihaknya turut merancang untuk menghantar delegasi ke Terengganu.
“Kedah adalah pintu masuk bagi pelawat antarabangsa dan tempatan seperti di Lapangan Terbang Antarabangsa Alor Setar, dengan ada papan tanda di kawasan itu mungkin kita boleh bertukar dan promosikan keunikan negeri Terengganu,” katanya.
Sementara itu, Ariffin Deraman berkata, perbincangan dibuat adalah permulaan dan akan diikuti dengan perancangan lebih lanjut untuk dilaksanakan selepas tamat PKP serta dibenarkan rentas negeri.
“Pada masa kini, penggiat pelancongan dua negeri akan berkumpul dan bertukar pendapat dalam bentuk Bisnes dengan Bisnes (B2B) dengan harapan agar memajukan sektor mereka bersama,” jelasnya.
19 Mar 21
999
‘Kad Sejahtera’ Inisiatif Demi Kebajikan Dan Kesejahteraan Rakyat
HULU TERENGGANU,17 Mac - Kerajaan negeri sentiasa komited dalam memastikan kesihatan rakyatnya terus terpelihara dan menjadi masyarakat produktif yang membangunkan negara.
Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Ajil, Maliaman Kassim berkata,sehubungan dengan itu, Terengganu telah memperkenalkan Kad Sejahtera, satu inisiatif yang dilaksanakan kerajaan negeri untuk membantu golongan kurang berkemampuan mendapat rawatan di klinik swasta terpilih.
“Disebabkan itu, golongan sasar itu bakal menerima bantuan perubatan bernilai RM500 setahun.Menyedari kepentingan kesihatan, dasar kesihatan tetap menjadi keutamakan dalam semua rancangan pembangunan negeri. Jika dibandingkan dengan dasar-dasar lain, kesihatan adalah bidang yang tetap menjadi keutamaan kerajaan.
“Contoh di DUN Ajil, seramai 501 orang yang layak dapat Kad Sejahtera di sini hari ini, membuktikan komitmen kerajaan dalam soal kesihatan rakyat terus diutamakan,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika Program penyerahan Kad Sejahtera kepada seramai 501 orang penerima di DUN Ajil hari ini.
Tambahnya, usaha tersebut bertujuan membantu meringankan beban golongan berkenaan khususnya bagi menerima rawatan asas serta pelbagai manfaat perlindungan kesihatan.
"Sebab itu, kerajaan menyediakan peruntukan besar, seperti mana yang dijanjikan dalam manifesto PRU14 yang lalu. Kerajaan negeri di bawah pimpinan Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar akan terus melakukan pelbagai penambahbaikan, dan juga lonjakan dari segi kualiti perkhidmatan,"katanya.
17 Mar 21
919
Jelajah Setiap Daerah, Perkenal Taman Negeri
SETIU, 16 Mac - Jelajah Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu ke semua lapan daerah menerusi Program Kembara Kenali Taman Negeri Terengganu bertujuan mendedahkan masyarakat kepada khazanah dalam negeri ini.
Pengarahnya, Tengku Mohd Arifin Tengku A. Rahman berkata, konvoi motosikal yang disertai oleh 40 penunggang itu juga secara tidak langsung membantu kerajaan negeri dalam mempromosikan eko pelancongan negeri.
Katanya, dua taman negeri di Terengganu iaitu Tanah Bencah Setiu (Setiu Wetlands) dan Taman Negeri Kenyir mempunyai keunikan tersendiri.
“Fokus kami (Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu) adalah untuk melindungi alam semula jadi terutamanya di Setiu Wetlands dan Tasik Kenyir kerana banyak memberi manfaat kepada generasi kini dan masa akan datang.
“Diharapkan agar program Kenali Taman Negeri ini dapat memberi sedikit sebanyak maklumat mengenai kewujudan Taman Negeri Terengganu kepada orang ramai menerusi edaran risalah dan penerangan tentang taman negeri tersebut,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Pelancaran ‘Signage’ Route 3684 Setiu Wetlands sempena program kembara tersebut yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Setiu Wetlands, hari ini.
Menurut beliau, penganjuran program selama dua hari yang bermula semalam itu turut mendapat kerjasama Jabatan Pelancongan Negeri dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu yang bersama-sama dalam kerja penerangan melalui edaran risalah masing-masing kepada komuniti.
Katanya, memandangkan dunia masih lagi berdepan dengan pandemik COVID-19, kembara tersebut diadakan dalam suasana sederhana berpandukan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
16 Mar 21
710
Kajian Mendalam, Strategi Tangani Hakisan Pantai
KUALA TERENGGANU, 16 Mac - Kerajaan negeri sentiasa peka serta menjalankan kajian dan pendataan konsisten dalam menyelesaikan isu hakisan pantai bagi jangka masa pendek dan panjang.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, pihaknya menyarankan agensi-agensi yang berkenaan dalam mengurangkan masalah hakisan supaya melakukan kajian terperinci dalam bidang hidrolik dan pemulihan pantai atau ‘beach nourishment’.
“Berkaitan projek pemulihan hakisan, pantai kita agak panjang dengan jarak 244KM dari Besut sampai Kemaman, dengan waktu kemuncak ombak pada musim tengkujuh iaitu bulan November, Disember dan Januari.
“Kerajaan negeri dan persekutuan telah membina beberapa struktur seperti pemecah ombak (break water), t-groin dan pulau pesisir pantai (near shore island).
“Struktur sedemikian sememangnya berjaya dalam mengekang kerosakan pantai, namun kajian terperinci perlu dilaksanakan terlebih dahulu oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi menentukan kaedah terbaik di setiap kawasan terkesan termasuk di muara sungai,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI, baru-baru ini.
Mengulas lanjut mengenai usaha terkini, Dr Mamad memaklumkan, tiga pantai adalah dalam fokus membaikpulih.
“Untuk Pantai Teluk Lipat, projek pembinaan diusahakan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) mengalami kekangan pada tahun 2014 dengan empat unit ‘headland’ dibina.
“Namun begitu, melalui ECER telah diluluskan kira-kira RM65 juta untuk menyiapkan penuh lapan ‘headland’ mengikut perancangan asal dan sekarang giat dalam proses pembinaan.
“Bagi Pantai Rusila iaitu di Pelabuhan Chendering sehingga Marang (6KM), pihak kementerian telah meluluskan RM15 juta untuk kerja awalan pemulihan pantai yang akan ditender pada tahun ini, bagi jangka masa panjang, Datuk Tuan Ibrahim mencadangkan peruntukan RM150 juta bagi pelan atasi kerosakan secara bersepadu,” katanya lagi.
Katanya lagi, kajian terperinci masih dijalankan untuk Pantai Kuala Nerus melibatkan peruntukan RM90 juta yang masih belum ditender.
“Di Mengabang Telipot, dengan kos RM6.2 juta sedang dalam proses pembinaan dan dijangka akan siap akhir bulan Ogos tahun ini,” jelasnya.
16 Mar 21
1464
Sahut Cabaran Pelancongan Budaya 4.0, Eksport Keunikan Luar Sempadan
KUALA TERENGGANU, 16 Mac - Negeri Terengganu wajar meletakkan sasaran dalam mengeksport kekayaan budaya ke luar negeri dan negara dalam menghadapi norma Pelancongan Budaya 4.0 atau Cultural Tourism 4.0.
Galakan tersebut disuarakan Presiden Majlis Pelancongan Malaysia (MTC), Uzaidi Udanis, yang melihat kepelbagaian budaya seperti penceritaan sejarah, makanan dan seni kraftangan sebagai potensi produk eksport ke luar sempadan negara.
“Terengganu boleh menjadi negeri contoh dalam mengerakkan usaha ini, apa kata kita eksport produk pelancongan ini seperti yang dilakukan negara Korea Selatan.
“Contohnya, negara tersebut berjaya memperkenalkan dan memperkukuhkan budaya mereka seperti restoran makanan Korea, rancangan K-Drama dan sebagainya dalam negara kita, mengapa mereka berjaya?
“Ini kerana inisiatif dalam Cultural Tourism 4.0, Nasi Dagang sudah sampai ke London, namun usaha ini perlu dipertingkatkan lagi supaya mereka di luar sana kenali dan boleh rasai keunikan negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Anugerah World Excellence Tourism Awards di Puncak Gamelan, Primula Beach Hotel di sini kelmarin.
Sementara itu, beliau turut kagum dalam usaha Terengganu mengeluarkan pelbagai inovasi produk dan aktiviti pelancongan secara konsisten untuk menggalakkan lebih pelancongan domestik.
“Walaupun berhadapan pandemik COVID-19, tapi di sini sentiasa ada pengisian tarikan pelancongan, diharapkan momentum ini diteruskan dengan produk inovasi seperti ‘virtual tourism’ seperti Facebook Live untuk pancing lagi pelancong luar,” tambahnya.
Mengulas lebih lanjut mengenai usaha kerajaan negeri menjaga kebajikan penggiat dan pekerja pelancongan, Uzaidi menyifatkan langkah tersebut adalah sangat berkesan dalam membantu golongan sasar itu.
“Ini sedikit sebanyak dapat bantu penggiat pelancongan seperti pemandu bot, ejen pelancongan, para pengusaha dalam negeri dan sebagainya yang terkesan akibat kemelesetan pelancongan.
16 Mar 21
545
Terokai, Kenali Taman Negeri Terengganu
KEMAMAN, 15 Mac – Rakyat tempatan digalakkan menerokai khazanah alam semula jadi serta kepelbagaian flora dan fauna yang terdapat di Taman Negeri Terengganu.
Pengarah Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu, Tengku Mohd Arifin Tengku A. Rahman berkata, dua taman negeri iaitu Tanah Bencah Setiu (Setiu Wetlands) dan Taman Negeri Kenyir mempunyai keunikan tersendiri.
“Contohnya seperti Setiu Wetlands yang mempunyai sembilan ekosistem semula jadi dengan keluasan 1596 hektar, semua ini boleh dilihat dan dihayati di Boardwalk Setiu.
“Di Kenyir pula dengan keluasan 30,000 hektar adalah kaya dengan hidupan liar, ikan dan flora berbagai jenis, sesuai untuk aktiviti lasak dan hiking.
“Tujuan pihak kami melalui program ini adalah mendedahkan masyarakat kepada khazanah dalam negeri kita melalui edaran risalah dan penerangan tentang Taman Negeri tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Program kembara Kenali Taman Negeri Terengganu, di Mesra Mall Kemasik, tengah hari tadi.
Terdahulu, program pelepasan kembara tersebut disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato' Mohd Zahari Md. Azahar di Wisma Darul Iman, pagi tadi.
Turut hadir, Pengarah Pelancongan negeri, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia.
Mengulas lanjut mengenai program kembara tersebut, Tengku Mohd Ariffin memaklumkan, konvoi motosikal dengan 40 penunggang terlibat dalam usaha mempromosikan eko pelancongan negeri.
“Bersama saya juga terdiri daripada Jabatan Pelancongan Negeri dan KPDNHEP turut sertai dalam kerja penerangan melalui edaran risalah masing-masing kepada komuniti di Pasar Marang, Pasar Dungun, Mesra Mall dan seterusnya di Bandar Kemaman.
“Sambutan daripada daerah setakat ini positif, seterusnya kita akan menjelajah ke Hulu Terengganu, Setiu dan Besut dalam usaha mempromosikan Taman Negeri Terengganu dalam usaha memperkasakan kesedaran masyarakat terhadap tempat tersebut,” jelasnya.
Kembara tersebut diadakan dalam suasana sederhana berpandukan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Untuk maklumat lebih lanjut berkenaan Taman Negeri Terengganu boleh didapati di laman web www.mptn.terengganu.gov.my berkenaan waktu operasi dan harga kemasukan.
15 Mar 21
3445