Artikel "Semasa" Terkini
Kuasai Teknologi Maklumat, Kunci Pemahaman Masyarakat
Oleh : Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU, 10 April - Kepentingan dalam menguasai bidang teknologi maklumat (ICT) semasa era digital kini adalah kritikal dalam memberi penerangan dan pemahaman mendalam kepada masyarakat.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, impaknya turut besar dalam mengukuhkan sesebuah kerajaan negeri ini.
"Kita berada pada zaman teknologi digital yang menuntut kakitangan kerajaan seperti pegawai media untuk melaporkan berita yang tepat dan jitu berkenaan perkembangan komuniti sekeliling dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka.
"Saya berharap kepada semua pegawai media berkebolehan dan berkemahiran tinggi tahu memilih teknik penyampaian terbaik,tahu menyampaikan informasi itu dan mendapat liputan yang seberapa luas serta menyeluruh," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap ketika merasmikan program Pemantapan Pegawai Khas dan Pemerkasaan Pegawai Media Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu di Paya Bunga Hotel, baru-baru ini.
Menurutnya, walaupun pegawai media merupakan ‘wira yang tidak didendang’ dan kerjayanya hanya disebalik tabir tetapi peranan mereka sangat penting.
Tambah Yahaya, kesannya cukup besar dalam meningkatkan kredibiliti dan reputasi seseorang Yang Berhormat (YB) melalui hasil mereka.
“Unit media perlu mainkan peranan penting sebagai platform untuk mempromosikan secara langsung aktiviti yang boleh mempengaruhi kesejahteraan rakyat.
“Mereka tidak hanya tertakluk seperti penyediaan grafik, gambar dan sebagainya untuk tujuan pengisian semata-mata tapi ianya lebih dari itu,” ujarnya.
Beliau menambah, kakitangan media dan pegawai khas (PA) sebenarnya berperanan untuk menjadikan pemimpin itu hebat daripada semasa ke semasa.
"Mereka ini hendaklah sentiasa bersedia untuk membantu Yang Berhormat (YB) agar segala persiapan berjalan lancar supaya YB tiada masalah bila berhadapan dengan rakyat," katanya lagi.
10 Apr 21
132
Terowong ECRL Di Terengganu Siap Enam Bulan Awal
DUNGUN, 10 April - Terowong Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Paka di sini mencapai kemajuan 98.5 peratus dan siap enam bulan lebih awal daripada jadual asal.
Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Tan Sri Mohd Zuki Ali memaklumkan, infrastruktur sejauh 1.1 kilometer itu adalah antara 59 terowong di laluan projek ECRL dalam Malaysia.
“Pencapaian ini merupakan hasil usaha selama 620,000 jam bekerja dengan perlaksanaan kaedah gerudi dan letup terowong menembusi batu sederhana luluhawa granit di bawah kontraktor utama ECRL China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL).
“Pelbagai cabaran dihadapi seperti penangguhan kerja-kerja pembinaan selama 9 bulan dan prosedur operasi standard (SOP) ketat semasa pandemik COVID-19 yang telah mengurangkan tenaga dan tempoh bekerja," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan upacara letupan terakhir di Terowong Paka yang terletak lebih kurang 42 meter dari penghujung portal terowong (portal selatan), petang semalam.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MRL. Dato' Sri Darwis Abdul Razak dan Pengarah Urusan CCC-ECRL Bai Yinzhan.
Menurut Ketua Setiausaha Negara itu, Terowong Paka dibina untuk mengelakkan penebangan terbuka dan memelihara hutan simpan.
"Terima kasih juga kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan dalam meluluskan dan memberi kerjasama menjayakan projek ini," jelasnya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh yang hadir sama berkata, kerajaan Terengganu berbangga dengan kejayaan menjayakan projek tersebut tanpa sebarang masalah keselamatan.
“Dengan ketinggian 11.8 meter dan kelebaran 12.9 meter, terowong ini adalah pertama yang siap di Malaysia dan seterusnya terowong kedua di Terengganu dijangka akan membuat penembusan pada pertengahan bulan Jun 2021.
“Ini setelah Terowong Dungun yang mempunyai 871 meter panjang kini mencapai tahap kemajuan lebih daripada 760 meter bagi kerja-kerja penggalian
“Kerajaan Negeri Terengganu memberi sokongan dan komitmen penuh terhadap ECRL dan CCC-ECRL dalam penyiapan projek ini,” jelasnya.
09 Apr 21
4304
Muaz, Nur Jannah Johan Qari, Qariah Terengganu
KUALA TERENGGANU, 9 April – Muhamad Muaz Mokhtar dan Nur Jannah Abd Rahman, muncul johan qari dan qariahn dalam Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu 2021 malam kelmarin.
Muaz yang juga seorang guru berkata, dia tidak menyangka dengan kemenangan tersebut dan menyifatkan ia sebagai penebus kekecewaannya yang hanya mendapat saguhati semasa pertandingan Tilawah tahun 2019.
“Antara faktor kejayaan adalah dorongan daripada ayah mertua saya, Abd Rahman Omar yang tidak kenal erti penat lelah dalam mengajar saya pagi, petang, siang dan malam,” katanya kepada pemberita.
Katanya, wang kemenangan itu akan dihadiahkan kepada ayahnya dan juga akan digunakan untuk memantapkan lagi ilmu al-Quran.
Bapa kepada seorang cahaya mata itu turut menyeru orang ramai supaya menghayati bulan Ramadan sebagai Syahrul Quran dengan memperbanyakkan bacaan dan tadarus kitab suci itu.
Sementara itu, Nur Jannah memaklumkan, kemenangan terbabit membuka peluang kepadanya untuk melakukan yang terbaik pada peringkat kebangsaan selepas hanya meraih tempat ketiga pada 2020.
“Sejak 2009, saya telah bertanding dalam tilawah peringkat negeri hasil daripada latihan konsisten dari segi taranum dan tajwid," jelasnya.
Menurut guru di Pusat Pengajian al-Quran Braille, Paka itu, kata-kata semangat yang sentiasa diberi oleh pelajar dan bapanya menjadi tonik kejayaan.
Kedua-dua mereka menerima hadiah wang tunai RM8,000 berserta piala iringan dan sijil.
Dalam majlis itu, Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyampaikan hadiah pada Majlis Perasmian Penutup Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam (TTI), Pulau Wan Man.
Turut berangkat, dua lagi anakanda pasangan Diraja iaitu Tengku Puteri Utama Raja Tengku Nadhirah Zahrah dan Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Fatimatuz Zahra’.
Hadir sama, Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Zahari Md Azahar.
Naib Johan kategori Qari dimenangi oleh Wan Amirul Shamnie Wan Rosli (Marang) dengan market 87.3 peratus manakala tempat ketiga dimenangi Mohamad Hafas Ali dengan skor 86.9 peratus.
Bagi kategori Qariah, naib johan diperoleh oleh Nur Afifah Zaki (Marang) dengan markah 82.4 peratus dan tempat ketiga diduduki Nasirah Ibrahim (Hulu Terengganu) dengan 81.9 peratus.
Kedua-dua juara qari dan qariah akan mewakili Terengganu bagi Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada 13 hingga 18 Jun ini.
09 Apr 21
1534
Kerjasama APMM-Vietnam Coast Guard Selesai Isu Pencerobohan Nelayan Asing
Isu pencerobohan nelayan asing khususnya dari negara Vietnam bakal berakhir dengan perjanjian persefahaman yang bakal dimeterai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bersama Vietnam Coast Guard.
08 Apr 21
203
Pincang Agama Beri Kesan Pada Negara
Aspek pembangunan modal insan menjadi perhatian kerajaan dengan diberi perhatian khusus dari sudut pendidikan agama, kerana kepincangan dari sudut berkenaan akan membawa kepada kehidupan masyarakat yang tidak berkualiti dan akan menjejaskan masa hadapan negara.
08 Apr 21
62
Belia Sambut Baik Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan
KUALA TERENGGANU, 8 April - Pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) menerima pelbagai respon daripada masyarakat termasuk golongan belia.
Rata-rata golongan itu menyambut baik dan bersedia menerima suntikan vaksin melalui PICK yang dilaksanakan kerajaan.
Pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Nornadia Zainudin, 22, menyifatkan tahap kesedaran golongan pelajar sepertinya untuk mendaftar sebagai penerima vaksin berada pada tahap yang bagus.
“Generasi muda lebih berfikiran terbuka berbanding golongan berusia, justeru kami merasakan perlu menerima suntikan vaksin tersebut kerana itu adalah langkah terbaik untuk melindungi diri daripada wabak COVID-19,” ujarnya ketika ditemui pemberita, baru-baru ini.
Bagi Mohd Idham Nasrin, 23, dari Marang pula berkata, langkah kerajaan negeri membuka kaunter pendaftaran di tempat tumpuan awam dapat menggalakkan lagi orang ramai mendaftarkan diri dalam PICK.
“Saya sangat bersetuju dengan inisiatif ini kerana selain dapat menyemarakkan kempen daftar vaksin ia sekali gus membantu kerajaan meningkatkan kadar pendaftaran vaksin COVID-19 di negeri ini yang masih rendah,” jelasnya.
Manakala, Mohd Syahmi Ghazali, 41, dari Kuala Ibai pula berpendapat, tiada alasan untuk seseorang itu tidak mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.
“Bagi menyedarkan masyarakat, apa yang dilakukan kerajaan negeri termasuk bergerak dari rumah ke rumah dan membuka kaunter pendaftaran PICK di tempat tumpuan awam merupakan langkah murni supaya rakyat Terengganu lebih ke hadapan untuk menerima suntikan vaksinasi ini.
“Malah sukarelawan bertugas juga sangat membantu mendaftar dan memberi kefahaman kepada pengunjung dan orang ramai mengenai kepentingan mengambil suntikan vaksin ini terutamanya kepada golongan tua,” katanya.
08 Apr 21
164
MB Terima Kunjungan Hormat Dato' Nancy
KUALA TERENGGANU, 8 April - Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menerima kunjungan hormat daripada Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya Malaysia, Dato' Nancy Shukri, hari ini.
Bersempena Lawatan Kerja Siri Jerayawara (Roadshow) Dasar Pelancongan Negara 2020-2030, Nancy meluangkan masa kira-kira setengah jam untuk beramah mesra bersama Ahmad Samsuri di kediaman rasminya di Seri Iman.
Turut sama dalam pertemuan tersebut, Setiausaha Politik Menteri Besar Terengganu, Muhyiddin Abd Rashid dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan Dan Teknologi Digital Negeri, Ariffin Deraman.
Lawatan ke Terengganu merupakan program pertama di negeri ini bermula dengan kunjungan hormat berkenaan.
Selepas pertemuan dengan kepimpinan tertinggi Kerajaan Negeri Terengganu, beliau mengadakan sidang media Siri Jerayawara (Roadshow) Dasar Pelancongan Negara 2020-2030 bertempat di Hotel Raia, Kuala Terengganu.
Kemudian, merasmikan Dataran Kampung Banggol Cempedak, Kuala Terengganu di Dataran Riverview kampung tersebut.
08 Apr 21
497
Setengah Juta Rokok Seludup Dirampas
KUALA TERENGGANU, 7 April - Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu berjaya mematahkan dua cubaan penyeludupan rokok dengan nilai rampasan berjumlah RM99,818.40 melibatkan jumlah cukai mencecah RM503,051.
Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Dato' Sri Abdul Latif Abdul Kadir melaporkan, serbuan pertama melibatkan kes sejumlah rokok putih pelbagai jenama yang belum dilulus kastam dibungkus dalam plastik hitam di pesisir pantai Lembah Bidong, Jalan Merang, Setiu, pada jam 1.00 pagi, 31 Mac.
“Anggaran jumlah rokok putih yang diperolehi adalah sebanyak 508,000 batang bersamaan dengan 2,540 karton yang dianggarkan bernilai RM66,040 dengan duti serta cukai terlibat dianggarkan sebanyak RM341,884," katanya.
Jelasnya, tiada penahanan dibuat kerana mereka yang disyaki terlibat berjaya meloloskan diri dalam cuaca gelap.
“Kes kedua pada 10.30 pagi hari sama, sepasukan anggota JKDM menemui sejumlah rokok putih dan kretek dengan anggaran jumlah sebanyak 239,120 batang dengan nilai dianggarkan sebanyak RM33,778.40 dan duti serta cukai terlibat dengan anggaran berjumlah RM161,167.00.
“Serbuan dibuat di sebuah rumah kedai beralamat di Kampung Pak Madah, Bukit Payung. Pasukan telah berjaya menahan dua Orang Yang DiSyaki (OYDS) yang merupakan warga tempatan seorang lelaki dan seorang wanita.
Tambahnya, OYDS dalam lingkungan umur 20-an hingga 40-an dipercayai pemilik premis tersebut dan telah dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasaan JKDM Terengganu untuk siasatan lanjut.
“Kedua-dua OYDS ini sedang disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
“Jika sabit kesalahan, mahkamah boleh mengenakan hukuman denda tidak kurang daripada sepuluh kali nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih daripada dua puluh kali ganda nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar, atau dipenjarakan tidak kurang daripada enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali," ujarnya.
Mengulas lanjut berkenaan kerjasama bersama orang awam, Abdul Latif menyeru masyarakat dalam membantu Kastam memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.
“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah ianya turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.
“JKDM juga menyeru masyarakat untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800 88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri,” katanya lagi.
Jelasnya, pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan.
07 Apr 21
1640
'Jangan Lari Dari al-Quran' - Nasihat Qariah OKU Penglihatan
KUALA TERENGGANU, 8 April - Walaupun menjalani kehidupan tanpa deria penglihatan, namun ia bukan suatu yang mustahil bagi Afzam Mustafa, 41, bagi mewakili daerahnya ke Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Terengganu Darul Iman pada tahun ini.
Qariah yang berasal dari Kertih berkata, kemahirannya dalam taranum diasah sejak di bangku sekolah di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Princess Elizabeth, Johor Bharu dan kini mengajar di Pusat Pengajian al-Quran Braille, Paka.
“Kini hampir 10 orang pelajar saya mengajar cara baca bentuk tulisan ini daripada tidak pandai kepada sekarang mampu untuk mengaji, reaksinya orang ramai kagum dan memberi semangat kepada kita.
“Dorongan daripada keluarga dan rakan-rakan yang mengenali memberi semangat kepada saya untuk mendalami teknik baca braille sehingga kini pertama kali dipilih untuk ke peringkat negeri.
“Sebelum ini sudah banyak menyertai pertandingan sebegini, malah turut mewakili Terengganu dalam majlis tilawah al-Quran 2019 anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat di Melaka dan diangkat sebagai naib johan," katanya ketika ditemubual pemberita, kelmarin.
Anak keempat daripada 8 orang adik beradik (3 Orang Kurang Upaya penglihatan) menyifatkan kekurangannya bukan penghalang kepada jiwanya untuk menguasai bacaan taranum dan tajwid melalui titik Braille.
“Jadi saya menyeru mereka yang celik terutamanya pada bulan Ramadan ini supaya tadarus dan perbanyakkan bacaan al-Quran.
“Bukan sahaja pada bulan puasa, maknanya jangan kita lari daripada kitab suci ini, kita perlu sentiasa bersama al-Quran dalam apa jua keadaan sekalipun,” katanya lagi.
Afzam adalah di antara 16 peserta dari seluruh daerah yang menyertai program tersebut selama tiga hari.
Setakat ini, Pusat al-Quran Braille Yayasan Islam Terengganu di Besut mempunyai 12 pelajar sementara di Paka 10 pelajar dengan masing-masing mempunyai seorang guru.
Untuk rekod, Kerajaan Terengganu turut merancang dalam menubuhkan dua lagi Pusat Pengajian al-Quran Braille di negeri ini membabitkan kos RM3 juta setiap satu.
07 Apr 21
801
Hampir 40 Peratus Pengunjung Karnival Kerjaya Dapat Kerja
Hampir 40 peratus daripada bilangan calon yang hadir ke temuduga Karnival Penjana Kerjaya Terengganu 2021 memperoleh pekerjaan.
07 Apr 21
161