Artikel "Semasa" Terkini
Bubur lambuk Permint Plywood Imarahkan Ramadan
DUNGUN, 20 April - Sebanyak 500 bekas bubur lambuk disediakan kakitangan Anak syarikat Golden Pharos Bhd (GPB), Permint Plywood Sdn Bhd (PPSB) kepada orang ramai sempena sambutan Ramadan tahun ini.
Ketua Pegawai PPSB, Ahmad Bazli Razali berkata, ia merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang diadakan buat julung kali di bulan Ramadan sejak pembukaan semula PPSB tiga tahun lalu bagi memupuk semangat kerjasama antara kakitangan sertai sifat bersedekah.
Katanya, program tersebut melibatkan 86 kakitangan serta Ahli Lembaga Pengarah PPSB.
"Pengagihan bubur lambuk dan kurma diadakan di dua lokasi iaitu Bazar Ramadan AMBS dan di Petronas AMBS bermula 3 petang selain agihan dari rumah ke rumah.
"Aktiviti memasak bubur lambuk dilakukan secara bergotong-royong dimana turut diselitkan pengisian keagamaan melibatkan semua kakitangan lelaki.
"Manakala kakitangan wanita seawal pukul 9 pagi memulakan tugas masing-masing dari proses penyediaan bahan mentah sehinggalah pembungkusan," ujarnya ketika ditemui selepas pembahagian bubur lambuk kepada orang ramai di Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Kampung Pasir Raja dan Bandar Bukit Besi kelmarin
Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah PPSB, Maliaman Kassim, hadir sama mengacau bubur tersebut untuk diagihkan
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim berkata, program gotong-royong oleh kakitangan Permint Plywood itu menyediakan sebanyak 500 bubur lambuk adalah salah satu amalan bersedekah.
“Ramadan tidak dapat dipisahkan dengan amalan bersedekah. Mudah-mudahan kita mendoakan Ramadan ini menjadi Ramadan yang terbaik dalam catatan amal kehidupan kita dan dapat kita optimumkan ruang dan peluang untuk memperbanyakkan amal dalam kekangan perintah kawalan pergerakan ini,” katanya.
Jelasnya, program julung kali itu sememangnya mencapai matlamat dengan tujuan mengeratkan hubungan bersama masyarakat setempat dan amalan bersedekah.
"Program ini juga bertujuan mengeratkan lagi hubungan bersama masyarakat setempat selain mengimarahkan bulan Ramadan,” katanya.
20 Apr 21
366
Kongsi Rezeki, Hotel Primula Agih 800 Bungkus Bubur Lambuk
KUALA TERENGGANU, 19 April - Primula Beach Hotel salah sebuah hotel milik kerajaan negeri di sini, meneruskan tradisi memasak dan mengedarkan 800 bungkus bubur lambuk sempena bulan Ramadan sebagai tanggungjawab sosial korporatnya (CSR).
Pengurus Besarnya, Suaibah Harun berkata ia juga merupakan program tahunan hotel itu sejak 2017.
"Pengagihan bubur lambuk kali ini bertujuan menghulurkan sedikit sumbangan kepada mereka yang memerlukan dalam suasana wabak pandemik COVID-19 masih melanda negara.
"Walaupun penduduk tempatan bukan pelanggan utama yang menginap di sini, tetapi kita tetap menghargai mereka dan ia bukan alasan untuk kita tidak membuat kebaikan tambahan lagi pada bulan Ramadan,” katanya ketika ditemui selepas pembahagian bubur lambuk di Tempat Letak Kereta Zon F, Primula Beach Hotel, hari ini.
Suaibah juga berkata, sebanyak 30 kilogram (kg) beras digunakan untuk menghasilkan bubur lambuk menggunakan gabungan rempah ratus istimewa.
"Kerja memasak bubur ini bermula pada pukul 9 pagi dan selesai sekitar pukul 3 petang oleh 20 kakitangan hotel sebelum diagihkan," ujarnya.
Tambah beliau lagi, pihak pengurusan dan kakitangan hotel juga amat terharu dengan sambutan orang ramai yang datang untuk mengambil bubur lambuk yang diedarkan pada kali ini.
19 Apr 21
1108
Selepas Berpuluh Tahun, Kampung Jerong Ada Internet
MARANG, 19 April – Selepas berpuluh tahun hidup dalam keadaan signal telefon yang lemah dan tanpa capaian internet, ‘derita’ penduduk di sekitar Kampung Jerong, Pengkalan Berangan di sini bakal berakhir.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong berkata, kerja-kerja teknikal menarik kabel ‘fibre optic’ sedang berjalan sejak beberapa hari yang lalu.
Katanya, bagi permulaan, projek yang bermula dari Kampung Bukit Parit dan berakhir di klinik Desa Jerong Seberang itu meliputi laluan melebihi 3 kilometer.
“Selepas ini akan ada beberapa lagi proses lain seperti pemasangan ‘box’ dan sistem, kita jangka akan ambil masa sekitar satu hingga dua bulan untuk sempurna.
“Insya-Allah kemudahan internet berkelajuan tinggi Unifi bermula daripada 30Mbps sehingga 800Mbps akan dibekalkan kepada penduduk untuk melakukan aktiviti harian,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini.
Sulaiman Sulong.
Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, masalah berkaitan signal telefon dan capaian internet menjadi fokus utamanya di kawasan itu sebaik sahaja dipilih menjadi wakil rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.
“Terlalu banyak aduan yang dibuat penduduk di sini kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), saya sendiri turut beberapa kali membuat aduan.
“Alhamdulillah setelah beberapa perbincangan dibuat bersama pihak terlibat, Telekom Malaysia (TM) sudah memulakan kerja ini untuk kemudahan masyarakat setempat,” ujarnya.
Menurut beliau, sebelum ini rakyat di sini sangat sukar untuk melakukan kerja-kerja harian seperti belajar, mengisi borang bantuan dan urusan peribadi serta keluarga.
“Sehinggakan ada antara mereka terpaksa keluar ke pekan Wakaf Tapai untuk mencari 'line' bagi memberitahu saudara terdekat tentang kematian atau bekalan elektrik di kampung terputus, inilah contoh kesusahan yang mereka tanggung.
“Jadi semoga dengan penyediaan talian Unifi ini ia akan memudahkan urusan komuniti, khususnya para pelajar dan mereka yang terlibat dalam perniagaan ‘online’.
“Insya-Allah ini adalah permulaan, kita akan luaskan lagi projek ini ke kampung lain di DUN ini yang turut mengalami masalah sama,” tambah beliau.
19 Apr 21
5781
Ingkar SOP : Tutup Bazar Ramadan Pilihan Terakhir
KUALA TERENGGANU, 19 April - Kerajaan negeri menyifatkan tindakan menutup bazar Ramadan akibat kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sebagai langkah terakhir demi mengekang penyebaran wabak COVID-19.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, sebelum penutupan bazar tersebut semua aspek termasuk kebajikan peniaga dan pengunjung akan dinilai pihak berkuasa.
Sebelum ini katanya, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengatakan prestasi pematuhan penjarakan fizikal di beberapa bazar dalam negeri ini kurang memuaskan.
“Namun begitu, kita tidak mahu tutup bazar, kerana peniaga sudah bayar tapak sewa termasuk kos persiapan manakala orang ramai mahu membeli.
“Tetapi kebimbangan penyebaran COVID-19 masih dirisaukan kerana kita tidak tahu mereka yang merupakan pembawa wabak mampu merebak ke satu kampung.
“Pertimbangan perlu dilakukan antara faktor kesihatan serta ekonomi dan pihak kami juga tidak mahu saman kerana masyarakat ingin mencari rezeki, tetapi kalau degil Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terpaksa bertindak sebagai pilihan terakhir,” katanya kepada pemberita bagi mengulas isu penutupan Bazar Ramadan Tok Adis di Kuala Ibai.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Fasa dua Peringkat Negeri Terengganu di Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT), Chendering hari ini.
Sementara itu, mengulas lanjut mengenai keraguan sebilangan masyarakat terhadap vaksin, Dr Alias menyarankan supaya masyarakat tidak perlu bimbang dan anggap ia sebagai ikhtiar.
“Ini sama seperti pakai topi keledar, risiko kemalangan ada tetapi kecederaan akan berkurang, sama seperti pemvaksinan di mana kesan teruk dielakkan dan tidak mudah jangkitkan orang sekeliling.
“Namun begitu, sebilangan orang kita bersifat ‘tunggu dan lihat’, kerana pandangan negatif masih berlegar.
“Justeru, bendunglah perasaan takut atau terpengaruh dengan maklumat media sosial yang belum disahihkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” tambahnya.
19 Apr 21
759
Sasar 258,000 Penerima Vaksin Fasa Dua
KUALA TERENGGANU, 19 April – Terengganu menyasarkan seramai 258,000 penerima vaksin bagi fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) peringkat negeri yang bermula hari ini sehingga Ogos 2021.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, fasa itu akan memberi keutamaan kepada golongan warga emas, golongan yang mempunyai penyakit atau co-morbid dan Orang Kelainan Upaya (OKU).
“Program imunisasi menyeluruh ini adalah bertujuan untuk memastikan imuniti kelompok dapat dibentuk di dalam komuniti bagi memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19.
“Ringkasnya, imunisasi amat penting untuk kita melindungi bukan sahaja diri sendiri, tetapi juga individu yang tersayang dan sesiapa sahaja yang berada di sekeliling kita termasuklah ahli keluarga, rakan sekerja, jiran sekeliling dan seluruh komuniti,” jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran PICK Fasa dua Peringkat Negeri Terengganu di Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT), Kampung Laut, Chendering, sebentar tadi.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Zahari Md Azahar, Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus serta Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Ariffin Abdullah.
Tambah Ahmad Samsuri, fasa tiga akan bermula pada bulan Mei 2021 dan dijangkakan akan berakhir pada hujung tahun 2021 yang melibatkan golongan dewasa yang berumur 18 tahun dan ke atas.
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak memaklumkan, peringkat permulaan fasa kedua melibatkan tiga buah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) iaitu Pusat Sains dan Kreativiti Kuala Terengganu (PSKT), Dewan Dato' Seri Amar Diraja, Kemaman dan Dewan Serbaguna Sungai Tarom, Setiu.
"Manakala untuk bulan Mei dan seterusnya bilangan PPV Awam akan ditambah berdasarkan keperluan dan keadaan semasa," ujarnya.
Dalam pada itu, seorang pesara kerajaan, Khalid Salleh, 61, menjadi diantara individu pertama dalam kira-kira 150 lebih warga sasar yang disuntik vaksin sempena pelancaran fasa dua peringkat negeri.
Dia menerima suntikan kira-kira jam 10 pagi tadi oleh jurusuntik Noraini Mohd Mokhtar, seorang Ketua Jururawat Kesihatan.
Khalid yang berasal daripada Kampung Manir berkata, dakwaan akan wujud kesan sakit keterlaluan selepas divaksin adalah tidak benar.
Khalid Salleh setelah selesai disuntik vaksin
“Kita ada rasa juga, macam digigit semut sahaja. Oleh itu, saya ambil peluang mengajak seluruh warga emas dan orang ramai supaya tidak takut, daftar dan tampil untuk divaksin segera.
“Mana-mana pihak yang sebarkan perkara tidak sahih berkaitannya, kita elakkan, Insya-Allah dengan ikhtibar ini kita serahkan kepada Allah SWT,” jelasnya ketika ditemubual pemberita.
19 Apr 21
478
Tiada Kes COVID-19 Di Terengganu Semalam, Tapi...
KUALA TERENGGANU, 18 April - Terengganu merekodkan kosong kes COVID-19 pada semalam, namun penduduk diseru agar terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi meneruskan trend penurunan tersebut.
Menurut statistik yang dikeluarkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, negeri itu kekal dengan jumlah kumulatif kes sebanyak 3,879 kes.
Katanya, Terengganu turut kekal mencatatkan kadar kebolehjangkitan, Rt tertinggi di Malaysia dengan 1.49 berbanding 1.30 sebelumnya.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Nor Azimi Yunus menyarankan supaya semua lapisan masyarakat terus bersatu bagi melawan COVID-19.
"Hargai penat lelah mereka (petugas barisan hadapan) dengan cara kekalkan kepatuhan SOP.
"Ke bazar ramadan tu berhati hati, patuhi peraturan setiap masa. Tangguh dulu berbuka puasa ramai ramai demi kesihatan kita bersama," nasihatnya.
18 Apr 21
3821
175 Peniaga Bazar Ramadan Disantuni ADUN Manir
HULU TERENGGANU, 15 April - Keceriaan jelas terpancar pada raut wajah 175 peniaga Bazar Ramadan Pasar Manir di sini, apabila menerima kunjungan dan sumbangan kurma dan takwim Ramadan daripada Pusat Khidmat Masyarakat DUN Manir, semalam.
Selain itu, program yang turut mendapat kerjasama daripada Penganjur Bazar, Kelab Kebajikan Sahabat Sejahtera Manir juga mengedarkan apron kepada semua peniaga di pasar ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Ustaz Hilmi Dato’ Harun berkata, agihan tersebut bertujuan merapatkan lagi silaturahim antara masyarakat.
"Selain melakukan agihan sumbangan, kita juga turut mengambil peluang untuk beramah mesra dengan peniaga-peniaga di sini yang majoriti daripadanya adalah penduduk di kawasan DUN Manir.
"Rata-rata peniaga ditemui menyambut baik program dilaksanakan ini kerana dengan cara ini dilihat mampu menjadi medan mengeratkan hubungan silaturahim antara pemimpin dengan masyarakat," katanya ketika ditemui pemberita.
Hilmi juga berkata, program sebegini merupakan salah satu acara tahunan yang dianjurkan dan akan diteruskan pada masa akan datang.
15 Apr 21
804
Anak Terengganu ‘Diburu’ Agensi Pelancongan Jepun
KUALA TERENGGANU, 14 April - Seorang anak tempatan, Muhammad Ridzwan Normahazan, 25, atau lebih dikenali sebagai ‘RidzBORED’ di YouTube pernah ditawar untuk mempromosikan tempat menarik di Jepun oleh pelbagai agensi pelancongan negara matahari terbit itu.
Beliau yang berasal dari Kuala Terengganu berkata, antara tawaran diterima adalah daripada ‘Tobu Railway’ bagi mempromosikan bandar Nikko kepada pengikut di Malaysia.
Ridzwan mempromosikan bandar Nikko bersama penggiat digital antarabangsa
“Agensi lain turut menawar saya mewar-warkan lokasi lain seperti Kobe, Osaka dan sebagainya pada bulan Disember hingga Januari tahun ini, tetapi terpaksa menolak kerana bercuti pulang di Terengganu,” katanya.
Mengulas lanjut permulaan kariernya sebagai YouTuber dengan ‘subscriber’ berjumlah lebih 40 ribu, Ridzwan berkata, Ibu bapa dan rakan-rakannya memberi sokongan berterusan terhadap hobinya Ibu bapanya pernah semangat berkongsi videonya ketika baru bermula.
Dia yang pernah bekerja sebagai jurutera reka bentuk mekanikal di Wilayah Saitama, menambah, sambutan kenalan jepun seperti Kaiji Kadir, juga positif dan gembira jika ditawarkan masuk di dalam video YouTubenya.
“Buat masa sekarang, kandungan video saya lebih kepada memperkenalkan budaya Jepun kepada penonton Malaysia, perancangan seterusnya supaya turut mempromosikan tempat dan budaya di negara kepada orang Jepun juga,” katanya ketika dihubungi pemberita.
Apabila ditanya kenapa tidak menjadikan platform YouTube sebagai karier sepenuh masa, beliau menjawab, ia hanya menjurus kepada hobi dan kerja sampingan.
“Sejak kebelakangan ini, video juga tidak sempat dibuat kerana beban kerja utama dan urusan lain, cabarannya adalah mencari masa untuk merakam dan menyunting video.
“Dengan percubaan rakaman berpuluh kali, masa untuk menghasilkan satu video boleh mengambil dua hingga tiga hari, biasanya pada waktu petang selepas bekerja saya cari masa tersebut," jelasnya.
Namun begitu, Ridzwan menyuarakan perasaan puas hati apabila membaca reaksi positif penonton dalam ruangan komen dipenuhi pandangan positif terutamanya daripada peminat budaya dan animasi Jepun.
“Ada juga mereka yang bertanya dan ingin tahu lebih lanjut tentang bahasa Jepun dan kehidupan di situ, ada yang lebih suka saya berbahasa Jepun kerana ingin mendengarnya.
“Kepuasan jadi penggiat digital juga datang daripada kebolehan mengekspresi diri sendiri, dia memberi platform berkongsi idea dan fikiran bersama orang yang sependapat dengan kita.
“Contohnya, bila berkongsi nilai ‘Omoiyari’ iaitu bertimbang rasa dan memudahkan kerja orang lain, walaupun kita bukan orang Jepun tetapi ia boleh dipraktikkan dengan cara membersihkan tempat makan dan pinggan semasa makan di restoran.
“Apabila ada peminat ambil nasihat dan amalkan dalam hidup mereka dan bercerita dalam komen, perkongsian tersebut memberi motivasi dalam meneruskan minat saya ini,” katanya lagi.
Ikutilah Ridzwan di saluran YouTube ‘ridzBORED’ manakala maklumat lebih lanjut berkenaan perkhidmatan kirim barang dari Jepun di profil Instagram ‘@kirimbarangjepun’.
14 Apr 21
6208
Terengganu Inc Agih 3,000 Bubur Lambuk Percuma
KUALA TERENGGANU, 14 April – Kumpulan Terengganu Inc meneruskan inisiatif tanggungjawab sosial (CSR) di bulan Ramadan dengan mengagihkan 3,000 bekas bubur lambuk di Masjid Negeri, Kuala Terengganu semalam.
Presiden dan Pengarah Eksekutifnya, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, agihan bubur lambuk menjadi salah satu aktiviti penghubung antara pihaknya bersama penduduk setempat sekaligus menjalinkan ikatan silaturahim secara terus bersama masyarakat.
“Terengganu Inc dan anak-anak syarikat Kumpulan meneruskan CSR Ramadhan bagi agihan bubur pada tahun ini dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
“Kami berharap, usaha ini dapat membantu mereka yang tiada juadah untuk berbuka atau bagi mereka yang tiada kesempatan untuk menyediakan juadah berbuka puasa menikmati keenakan bubur lambuk Terengganu," katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Turut hadir Yang Dipertua Maidam, Dato’ Hj Osman Muda dan Pengerusi Lembaga Pengurusan Masjid Abidin, YM Dato’ Dr Syed Mohammad Salleh bin Syed Yusof Al Zawawi dan Pengurusan Terengganu Inc.
Tambah Burhanuddin, usaha itu diharap mampu mengekalkan tradisi pengagihan bubur lambuk di sekitar kawasan masjid, sekali gus dapat mengekalkan jalinan kerjasama antara kumpulan Terengganu Inc sendiri.
Menurut beliau, program pengagihan makanan tradisi bulan Ramadan itu merupakan aktiviti tahunan Terengganu Inc dan anak-anak syarikat kumpulan bersama komuniti masjid dan sekitarnya.
"Agihan bubur lambuk bermula pada jam 2 petang sehingga selesai mulai 13 April sehingga 15 April 2021 bertempat di Masjid Negeri, Kuala Terengganu. Sebanyak 1,000 bekas diperuntukkan untuk agihan pada setiap hari.
"Bubur lambuk merupakan makanan tradisi Terengganu yang biasanya disediakan pada bulan Ramadan untuk juadah berbuka puasa. Antara bahan asas yang digunakan termasuk beras, pucuk midin, pucuk paku, ikan, ubi keledek, lada hitam dan rempah ratus," jelasnya lagi.
13 Apr 21
1548
Manfaatkan Peluang Bulan Ramadan - Titah Sultan Mizan
KUALA TERENGGANU, 13 April - Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru masyarakat Islam agar memperbanyakkan amal dan mengoptimumkan peluang dalam bulan Ramadan walaupun dalam kekangan perintah pergerakan.
Baginda bertitah, kesempatan untuk menghayati bulan Ramadan adalah kurniaan besar kepada seluruh umat dengan 1,000 rahmat dan keberkatan.
"Ramadan adalah bulan yang penuh dengan sejarah kemenangan bagi perjuangan umat Islam, di dalamnya tercatat sejarah hebat perjuangan Islam bermula dengan kemenangan di medan peperangan Badar sehingga kepada pembukaan Kota Mekah yang dipimpin oleh Nabi Muhammad SAW.
“Kemenangan umat Islam terhasil daripada jati diri yang teguh berpegang kuat dengan agama allah dan perpaduan yang sangat kukuh.
“Oleh itu, beta menyeru marilah kita sama sama memperkukuhkan perpaduan dan kesatuan umat Islam agar segala cabaran dan dugaan yang kita hadapi akan dapat diatasi dengan jayanya titah baginda dalam perutusan menyambut ketibaan Ramadan,” titah Baginda dalam perutusan menyambut ketibaan Ramadan Al-Mubarak Tahun 1442 Hijrah kelmarin.
Sultan Mizan turut menyarankan supaya perpaduan dan kesatuan dibentuk melalui niat yang betul, serta mendidik diri merasai kesusahan saudara yang memerlukan.
“Ambil kesempatan bulan ini untuk membina ikatan silaturahim melalui medium solat berjemaah di masjid dan surau, sama ada solat fardhu, solat sunat tarawikh dan lain-lain lagi.
“Sebagai tanda keprihatinan terhadap golongan ini, mari kita terjemahkan melalui ibadah berzakat, menerusi Malis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).
“Bayar zakat menerusi amil-amil zakat yang telah dilantik oleh MAIDAM, mudah-mudahan zakat yang kita keluarkan dapat disalurkan sebaik mungkin kepada golongan asnaf yang berhak menerimanya,” titah Baginda.
13 Apr 21
490