Artikel "Semasa" Terkini
Usahawan Perlu Cakna Masalah Dalam Masyarakat
Oleh : Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU, 7 April- Golongan usahawan yang berkemampuan dari segi kewangan hendaklah mengambil cakna masalah yang dihadapi dalam masyarakat di sekelilingnya.
Yang Dipertua Dewan Undangan negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, ia adalah tanggungjawab tidak langsung yang perlu dipikul bersama seperti mana menjalankan program tanggungjawab sosial (CSR).
“Golongan usahawan yang berada, yang diberikan rezeki lebih mereka ambil cakna yang mana golongan seumpama ini memberi kesan yang sangat baik kepada masyarakat,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program ‘Reunion SMTIZ, Dungun di Paya Bunga Hotel, baru-baru ini.
Mengulas lanjut berkenaan program tersebut, Dato' Yahaya memaklumkan, pertemuan sahabat Sekolah Menengah Tengku Intan Zaharah (SMTIZ), Dungun batch 77/78 itu dapat membina kembali ukhuwah yang terputus sekian lama dan dapat menjalinkan hubungan dengan pelbagai kepentingan.
“Kalau kita sebagai sebuah Alumni NGO, kita juga mempunyai kepentingan kepada kerajaan negeri.
“Oleh kerana itu barangkali ada di kalangan kawan-kawan kita dalam bidang kemahiran masing-masing, boleh mengambil inisiatif untuk berbincang dengan mana-mana pihak, samaada Menteri Besar, Exco dan pelbagai jabatan kerajaan untuk mengambil manfaat daripada kemahiran dan pengalaman yang ada pada kawan-kawan kita,” ujarnya.
Dato Yahaya menambah, tanggungjawab sebenar bukan sekadar kepada diri sendiri, keluarga tetapi kita punyai kewajipan sosial pada masyaarakat.
“Sebab kekuatan yang ada pada masyarakat ini adalah penting untuk kita bina.
"Yang pertama kekuatan dari segi ukhuwah, kedua, nak melahirkan pemimpin yang adil samada pemimpin dari segi politik, pentadbiran, pemimpin keluarga supaya kekuatan yang ada pada kepimpinan itu boleh memberikan manfaat yang besar dalam kepimpinan kita.
“Yang ketiga dalam kehidupan kita perlu berdamping bukan sahaja kita nak berdamping dengan orang berilmu dan pelbagai profesion sahaja tetapi harus dengan ulamak pewaris nabi sebagai pembimbing dalam kehidupan dengan peringatan daripada Al Quran dan Hadis,” tambah Dato Yahaya.
07 Apr 21
277
KASA Tekad Selamatkan Pantai Berpasir Di Terengganu
Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) serta kerajaan negeri Terengganu tekad mahu memelihara keindahan pantai berpasir di negeri ini melalui beberapa strategi termasuk melaksana kajian mendalam.
07 Apr 21
43
Zoo Mini Tok Dir Terima Peruntukan RM10 Ribu
KUALA TERENGGANU, 7 April - Kerajaan negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM10 ribu bagi pembangunan Zoo Mini Kampung Tok Dir yang kini mula dikunjungi orang ramai.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, langkah itu diambil untuk menggalakkan penduduk memajukan produk pelancongan komuniti (CBT) sekali gus menjadi sumber ekonomi penduduk sekitar.
"Saya bangga dengan usaha Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Tok Dir dan orang kampung dalam merancakkan lagi tempat ini sejak diviralkan baru-baru ini.
“Walaupun tak sama seperti Zoo Negara atau Zoo Kemaman, namun keunikan suasana kampung sekeliling cukup untuk menarik perhatian pelawat bukan sahaja dari Terengganu, malah di seluruh negara.
“Ini adalah contoh baik dalam CBT, di mana komuniti sendiri membina tarikan tersebut, antaranya di kawasan saya di Alor Limbat seperti Pengkalan Warisan dan Dataran Banggol Chempedak,” ucapnya dalam Majlis Perasmian Zoo tersebut di Perkarangan Zoo Kampung Tok Dir, Bukit Payong baru-baru ini.
Turut hadir, Pengarah Pelancongan negeri, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim, Pengerusi Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu, Tun Baharom Tun Abdul Razak, Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Ariffin Abdullah dan Pengerusi JPKK Kampung Tok Dir, Muda Abdullah.
Tambah Ariffin, lokasi strategik zoo tersebut yang terletak di kawasan baruh sawah padi mampu menjadi produk viral seperti dikenali di serata Malaysia seperti Warung Roti Canai Pok Ripin di Padang Maras, Batu Rakit.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah yang hadir sama berkata, pihaknya menghulurkan sokongan dalam bentuk pembinaan jalan tar bagi memudahkan kemasukan pengunjung ke zoo tersebut.
“Hasil komuniti dalam mewujudkan tempat ini memberi kebaikan sebagai pusat rekreasi penduduk sekitar, mudah-mudahan dapat memberi kebaikan dan sumber pendapatan kepada warga Bukit Payong,” jelasnya.
Dalam pada itu, pemilik zoo berkenaan, Mohd Hilmie Muda, 30, berbesar hati menerima bantuan daripada kerajaan negeri dan dia bertekad membangunkan lagi kawasan tanah milik ayahnya itu.
“Insya-Allah kita akan naik taraf dan beli binatang spesies lain seperti Rusa Bintik dan burung-burung yang ramai masih tidak kenali,” katanya.
07 Apr 21
3198
Genap Enam Dekad Bangunkan Ummah Rabbani
KUALA TERENGGANU, 7 April - Genap 64 tahun Majlis Tilawah Al-Quran diadakan di peringkat negeri dan ia selari dengan hasrat kerajaan Terengganu dalam meletakkan prinsip Islam selari dengan pembangunan semasa.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dengan majlis norma baharu bertemakan ‘Ummah Rabbani, Negara Harmoni’, kerajaan menekankan prinsip agama dan penghayatan taqwa.
“Ini adalah penting dalam pembangunan modal insan dan fizikal negeri demi kecapi keharmonian dan rahmat Allah.
“Usaha ini direalisasikan oleh kerajaan negeri melalui pendidikan dengan penubuhan Pusat Tafaqquh Fi Din Tok Syeikh Duyung, Pusat Bahasa Arab Al-Azhar As-Syarif Darul Iman dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu Darul Iman Tahun 1442H/2021M di Pusat Konvensyen, Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man semalam.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Zahari Md Azahar, Pegawai Kewangan Negeri, Samiun Salleh, Ahli-ahli Majlis Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli-Ahli Parlimen.
Hadir Sama, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mat Azmi Arshad dan Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Ariffin Abdullah.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah Dan Penerangan, Mohd Nor Hamzah memaklumkan, penyertaan masyarakat di peringkat daerah amat menggalakkan dengan penyertaan 159 orang terdiri daripada 109 Qari dan 50 Qariah.
“Sejak 64 tahun lalu, Menteri Besar Terengganu pada masa itu, Mohd Daud Abdul Samad menyahut hasrat Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj untuk mengadakan majlis seumpama itu.
"Kesinambungan daripada itu, buat julung kali majlis sebegini diadakan pada 14 Mac 1960 di Istana Maziah," jelas beliau.
Katanya, sejak dari itu sehingga kini, Terengganu menjadi salah sebuah negeri yang mencatat sejarah penting dalam Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan.
“Johan kali ini akan mewakili Terengganu di peringkat negeri yang dicadangkan berlangsung pada 13 sehingga 18 Jun di Ibu Negara,” katanya yang juga merangkap Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Majlis Tilawah Dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri.
Program berkenaan berlangsung selama tiga hari ini melibatkan 16 peserta dari seluruh daerah.
07 Apr 21
212
5,478 Kedai Makan Di Terengganu Diserbu
KUALA TERENGGANU, 7 April - Sebanyak 5,478 kedai di seluruh negeri Terengganu dijalankan pemeriksaan melalui satu Operasi bersepadu “Ops Kedai Makan Tumpuan” Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT).
Pengarahnya, Dr Nor Azimi Yunus memaklumkan, berikutan Ops tersebut, sejumlah enam tindakan kompaun dengan nilai RM26,000 dikenakan dengan pemeriksaan dijalankan bermula 13 Mac sehingga semalam.
“Tujuan Ops ini adalah bagi memastikan semua masyarakat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh PKPP ini.
“Dari enam tawaran kompaun yang dikeluarkan, lima kompaun telah dijelaskan dengan nilai kutipan sebanyak RM4,015," katanya.
Mengulas lanjut berkenaan Ordinan Darurat (Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021, beliau memaklumkan, arahan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan itu berperanan dalam menangani penularan wabak COVID-19.
"Perintah ini berkuatkuasa daripada 11 Mac 2021 yang merangkumi pindaan lima peruntukan sedia ada dan penambahan lima peruntukan baharu.
“Salah satu pindaan berkaitan pengkompaunan kesalahan. Kadar kompaun asal adalah tidak melebihi RM1,000 dipinda kepada tidak melebihi RM10,000 bagi individu dan RM50,000 bagi pertubuhan perbadanan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Tambahnya, semua lapan pejabat kesihatan daerah di negeri Terengganu telah menjalankan operasi oleh Pasukan Task Force Pematuhan SOP PKPP.
“Operasi adalah serentak dan melibatkan seramai 52 orang anggota penguatkuasa.
“Sepatutnya setiap rakyat mengambil pendekatan kawalan kendiri bagi memastikan jangkitan COVID-19 tidak menular akibat ketidakpatuhan kepada SOP. Penguatkuasaan adalah jalan terakhir.
“Namun pihak jabatan perlu bertindak tegas jika didapati perlangaran SOP berlaku dengan terang," jelasnya.
Sementara itu, pihaknya turut melaporkan sebanyak 14 kesalahan di bawah Akta PPKHT 2004 (merokok di kedai makan) juga dikesan dengan nilai kompaun sebanyak RM3,500.
06 Apr 21
3656
Kerajaan Negeri, Perkeso Bantu Pemburu Kerja
KUALA TERENGGANU, 5 April – Kerajaan Terengganu akan meneruskan kerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat dalam negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro & Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, cadangan tersebut tercetus hasil sambutan memberangsangkan daripada masyarakat setelah 936 orang berjaya mendapat temuduga kedua dalam Karnival Penjana kelmarin.
“Insya-Allah dengan Perkeso, kerajaan negeri akan cuba bantu mereka yang sudah sebelah kaki untuk dapat kerja, kalau dapat lagi separuh (peserta) mungkin akan tolong 1,500 orang mendapat pekerjaan.
“Perkeso boleh cadangkan untuk panggil majikan bagi pemusatan kerja temuduga, alternatifnya kita boleh diteruskan padanan kerja secara bentuk maya, ia boleh ditingkatkan kerana data pencari kerja sudah ada.
“Pihak kami melalui Pusat Pembangunan Sumber Manusia Negeri Terengganu (THRDC) akan bersedia untuk menyokong usaha sebegini jika dapat direalisasikan,” jelasnya semasa sidang media Karnival Penjana Kerjaya Negeri Terengganu di Dewan Konvensyen di Duyong Marina & Resort, petang semalam.
Perkara sedemikian turut disuarakan Ketua Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) PERKESO, Dato’ Mohd Sahar Darusman yang menceritakan pelbagai inisiatif karnival kerja dijalankan pihaknya dalam bentuk fizikal dan maya.
“Jika hasrat ini diteruskan di Terengganu, pihak kami boleh aturkan sokongan kewangan dan tenaga dengan setiap program temuduga kerja pada setiap suku tahun,” jelasnya.
Mengulas lanjut berkenaan usaha Perkeso berkenaan temuduga secara maya, ia melibatkan dalam lingkungan 40 majikan dengan satu pegawai Perkeso mendidik beberapa calon untuk ditemuduga.
“Setiap hari, sebarang kekosongan akan dipromosikan dalam portal Perkeso, manakala setiap minggu pihak kami adakan temuduga kecil bersama majikan dan pekerja (mengikut jadual dan kekosongan),” ulasnya.
Untuk maklumat lebih lanjut, boleh layari https://www.myfuturejobs.gov.my/ atau laman web perkeso di https://www.perkeso.gov.my.
06 Apr 21
1422
Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Malaysia Lebar Sayap Ke Terengganu
KUALA TERENGGANU, 5 April - Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Malaysia (WOAG Malaysia) di Petaling Jaya, Selangor yang didaftarkan secara rasminya dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) pada 2012 kini melebarkan sayapnya keTerengganu.
Setiausahanya, Dr Asyraf Isyraqi Jamil berkata, tujuan utama penubuhan rabitah berkenaan adalah untuk menyampaikan wadah al-Azhar kepada ribuan lepasan al-Azhar di seluruh dunia serta menjalinkan hubungan yang lebih erat sesama ahli.
“Sebagai sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO), kami menganjurkan aktiviti-aktiviti yang boleh memberi faedah kepada ahli selain membawa mesej wasatiyah yang jauh dari pemikiran ekstrem,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika berucap di Majlis Taklimat Dan Dialog Penubuhan Rabitah Antarabangsa Alumni Al Azhar Maktab Terengganu di Pusat Bahasa Arab Terengganu, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu, Lothman Awang dan Pengerusi Perhubungan Rabitah Antarabangsa Alumni Al Azhar Maktab Terengganu, Abdullah Suhaimi.
Sementara itu, Abdullah yang menerima watikah pelantikan sebagai Pengerusi Perhubungan Rabitah Antarabangsa Alumni Al Azhar Maktab Terengganu pada majlis berkenaan menyifatkan, pembukaan rabitah di Pusat Bahasa Arab Terengganu itu merupakan suatu kebanggaan kepada Negeri Terengganu.
“Ini menunjukkan kesungguhan kerajaan negeri dalam memperkasa Bahasa Arab di bumi Darul Iman ini.
“Dengan adanya rabitah cawangan Negeri Terengganu ini, saya harap dapat memberi sumbangan, menyebarluaskan lagi program-program seperti meningkatkan kemahiran pelajar berbahasa arab dan sebagainya.
“Saya juga mengharapkan kerjasama daripada semua pihak dalam usaha memperkasa bahasa Arab ini,” ujarnya.
05 Apr 21
905
Hampir 40 Peratus Pengunjung Karnival Kerjaya Dapat Kerja
KUALA TERENGGANU, 5 April - Hampir 40 peratus daripada bilangan calon yang hadir ke temuduga Karnival Penjana Kerjaya Terengganu 2021 mendapat kerja setakat semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, selama dua hari program itu berjalan padanan pekerjaan berjaya adalah sebanyak 839 orang .
Katanya, peratusan tersebut adalah indikator utama kejayaan program daripada bilangan pendaftaran pengunjung mencecah hampir 3,000 pengunjung.
“Bilangan temuduga dijalankan berjumlah 3,665 iaitu seorang calon lebih satu temuduga, manakala jumlah yang berjaya untuk temuduga kedua adalah 936 orang atau 42.6 peratus.
“Kejayaan penempatan pekerjaan yang berlaku akan memberi 'spill over economics effect' atau limpahan ekonomi yang sangat baik kepada negeri dan negara," katanya
Tambahnya lagi, kesan limpahan ekonomi yang bakal wujud bermula bulan hadapan adalah sebanyak RM750,000 iaitu RM1,500 didarabkan dengan 500 orang.
Beliau berkata demikian semasa sidang media Karnival Penjana Kerjaya Negeri Terengganu di Dewan Konvensyen di Duyong Marina & Resort, petang semalam.
Turut hadir, Ketua Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Dato’ Mohd Sahar Darusman Pengarah Perkeso Negeri Terengganu, Farihah Che Husin.
Sementara itu, Nurkhuzaini turut mencadangkan agar ada lanjutan program kepada peserta yang berjaya ke temuduga kedua.
"Ini boleh dilakukan melalui kerjasama dengan PERKESO untuk latih dan sediakan mereka langkah seterusnya.
“Bagi mereka yang tidak dapat, jangan berputus asa, mungkin PERKESO akan adakan program sebegini di negeri terdekat serta usaha secara maya melalui pertubuhan tersebut juga boleh dilakukan.
Seorang pemburu kerja, Suhaimi Ghani, 36 yang juga seorang penghantar barang di Manir menyifatkan usaha pihak penganjur amat membantunya dalam mencari pekerjaan baharu dalam bentuk ‘one-stop center’.
“Saya telah bertemu dengan tiga majikan, walaupun tiada jawapan lagi namun rezeki peluang cerah, orang macam saya tak perlu lagi pergi jauh-jauh mencari kerja kerana pelbagai jenis majikan ada di sini,” katanya selepas ditemu bual di meja SAA Engineering dan Marine Sdn Bhd.
Nurkhuzaini beramah mesra bersama Suhaimi di salah satu booth
05 Apr 21
795
Wanita Bekerja Sendiri Diseru Rebut Dana RM10 Juta
KUALA TERENGGANU, 5 April – Golongan wanita kategori orang bekerja sendiri (OBS) daripada pelbagai sektor diseru agar merebut faedah di bawah Skim Pekerjaan Sendiri (SPS) Prihatin Wanita (SPW).
Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu, Farihah Che Husin berkata, dengan skim itu, bermula 1 April kerajaan akan membayar 70 peratus daripada pelan caruman berjumlah RM232.80, iaitu sebanyak RM163.
“Sementara para usahawan serta wanita bekerja sendiri hanya perlu membayar RM69.80 iaitu 30 peratus daripada caruman setahun Pelan 2 skim tersebut.
“Ini peluang baik untuk wanita OBS kerana dengan hanya peratusan itu akan mendapat faedah perlindungan setahun
“Contohnya seperti usahawan wanita meniaga atas talian, sekiranya berlaku kemalangan atau tidak mampu bekerja dalam tempoh sakit mereka berhak mendapat faedah, sama seperti kematian boleh mendapat pencen dan sebagainya," katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media Karnival Penjana Kerjaya Negeri Terengganu di Dewan Konvensyen di Duyong Marina & Resort, Petang kelmarin.
Tambahnya, permohonan untuk program SPW tersebut boleh dibuat mulai 1 April hingga 31 Disember 2021.
Mengulas tentang Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Perkeso, Farihah memaklumkan, pihaknya menerima pendaftaran 109 OBS di karnival tersebut dan masih mengalukan mereka yang belum mendaftar.
“Sehingga Mac 2021, kira-kira 4,400 OBS telah mendaftar dan kita masih mewar-warkan usaha ini supaya mereka ini mempunyai perlindungan sekiranya terjadi sebarang kejadian tidak diingini semasa mereka bekerja,” jelasnya.
Untuk rekod, pihaknya menganggarkan terdapat kira-kira 25,000 individu yang bekerja sendiri di negeri itu.
Untuk maklumat lebih lanjut boleh layari laman web perkeso di https://www.perkeso.gov.my/ atau ke kaunter fizikal di Wisma Perkeso, Kuala Terengganu.
05 Apr 21
9937
89 Bot 'Berlayar' Bersihkan Sungai Nerus
KUALA NERUS, 4 April – Sebanyak 89 bot nelayan bergotong-royong menyelusuri lembangan Sungai Nerus semalam bagi memelihara sumber alam tersebut.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ekspedisi meliputi tiga daerah itu disertai 224 peserta dan dicetuskan oleh para nelayan darat setempat.
“Ini bertujuan sebagai usaha dalam pembersihan sungai daripada sisa sampah, jala-jala dan sebagainya.
“Penglibatan mereka adalah besar untuk negara kerana idea ini datang dari mereka (nelayan), oleh itu ia wajar dijadikan inspirasi kepada kita semua,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas upacara pelepasan Ekspedisi Sungai Nerus 2021 Negeri Terengganu Darul Iman di Jeti Kampung Tanjung Sabtu, pagi tadi.
Turut hadir, Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, Ketua Setiausaha, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Terengganu, Mohd Sor Othman.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim memaklumkan sungai sepanjang 76 kilometer meliputi Daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Setiu adalah nadi sumber hidupan yang wajib dipelihara.
“Sebanyak 20 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) termasuk JPKK Tanjung Sabtu mengambil bahagian dalam kecaknaan ini melibatkan empat kawasan DUN demi mengembalikan kegemilangan Sungai Nerus.
“Usaha usaha yang sewajarnya digembleng terutamanya melibatkan masyarakat di sepanjang sungai ini bersama-sama memelihara khazanah alam yang tidak ternilai.
“Masyarakat sekitar tebing sungai juga seharusnya memupuk kesedaran menjaga,” jelasnya.
04 Apr 21
469