lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Penggiat Media: Pertahan Kerajaan Melalui Penerangan
Penggiat Media: Pertahan Kerajaan Melalui Penerangan
Oleh : Rohayati Ripin KUALA TERENGGANU, 27 April- Seluruh penggiat dan aktivis media di dalam negeri diseru memperkukuhkan kerajaan Islam di Terengganu melalui pencerahan efektif, tepat dan sahih. Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, masyarakat perlu diyakini akan kerajaan sekarang melalui pemberitaan dan penyampaian inisiatif dan hasil yang telah dibuat untuk rakyat. “Kita sebagai orang yang berperanan dalam media mesti meyakinkan rakyat menerima kerajaan sekarang ini sebagai sebuah pemerintahan yang lebih baik daripada sebelum ini agar dikekalkan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan datang. “Saya yakin kita sebagai penggiat media sama ada pengiat media kerajaan, NGO atau mana-mana pertubuhan yang menyokong pemerintahan ini mesti memainkan peranan secara di luar kotak dan luar biasa,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Kelab Aktivis Media Inspirasi (KAMI) di Permai Hotel, Kuala Terengganu, baru-baru ini. Menurutnya, peperangan sengit akan berlaku sama ada dalam media umum sosial sekiranya berlaku pilihan raya dalam keadaan norma baharu akibat COVID-19. “Sejauh mana peranan kita sebagai pengamal dan penggerak media telah dapat menyakinkan rakyat bermula dengan anggota perkhidmatan awam yang ada di sekeliling kita. “Dan secara umumnya boleh menerima kita (PAS) sebagai sebuah kerajaan  yang lebih baik daripada pelbagai pihak yang bercita-bercita menjadi kerajaan termasuk pemerintah sebelum daripada ini,” jelasnya. Tambah Dato’ Yahaya, Kelab Aktivis Media Inspirasi (KAMI) merupakan 'training ground' (latihan lapangan) tempat untuk melatih pengamal media supaya mereka mempunyai kemahiran, pengalaman yang akhirnya menjadi sebahagian orang 'penting' dalam kerajaan. “Kita tidak boleh dilihat kerajaan yang ada ini milik Menteri Besar, Exco, tidak boleh. Mereka melaksanakan tanggungjawab mereka tapi kita sebagai orang yang berperanan dalam media mesti mengukuhkan kerajaan dalam apa bentuk sekalipun. “Pada saya, mereka telah melaksanakan tugas dengan baik tetapi untuk menjadi sebuah kerajaan yang ideal. “Bagaimana seorang pemimpin apabila berada dalam suasana mencabar ini, buat kerja mesti berlipat kali ganda. Tidak boleh biasa, kerajaan yang ada ini adalah kerajaan bersama,” tegasnya. Justeru itu, beliau menambah pemerintahan yang ada ini mesti dilihat kerajaan yang kuat, yang sangat memberikan kebaikan pada rakyat. “Kerajaan yang balik pada Islam, kerajaan yang berkomitmen tinggi dalam menguruskan kepentingan pada rakyat,” tambahnya. Hadir sama pada majlis itu, Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Ustaz Mohd Soud Said, Pengerusi KAMI, Naraza Muda dan Presiden Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT), Khairul Azlam Mohamad. Barisan penggiat media KAMI  
27 Apr 21
151
Projek Terbengkalai, Kerajaan Jumpa Pemaju Rabu Ini
Projek Terbengkalai, Kerajaan Jumpa Pemaju Rabu Ini
MARANG, 25 April – Kerajaan negeri komited untuk menyelesaikan projek perumahan bermasalah di Kampung Gong Cempedak di sini melalui beberapa kaedah termasuk dengan mengadakan pertemuan bersama pemaju swasta terlibat, Grand East Coast Construction Sdn. Bhd pada rabu ini. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, tindakan lanjut itu diambil selepas projek seluas 48.671 ekar itu masih tertangguh meskipun aduan kepada pihak berwajib telah dibuat. Katanya, pembinaan yang dilupuskan kepada pihak swasta pada tahun 2006 adalah 100 peratus di bawah pengurusan sendiri dan tidak melalui Setiausaha Kerajaan (SUK) Perumahan Negeri serta campur tangan kerajaan negeri. “Mengikut prosedur ditetapkan, antara penyelesaian awal pada Jun 2020 adalah melalui penghantaran aduan kepada Bahagian Pemantauan Perumahan Swasta, Jabatan Perumahan Negara (JPN) di bawah Kementerian Perumahan Kerajaan dan Tempatan (KPKT). “Walau bagaimanapun sehingga kini kerajaan negeri  masih menunggu jawapan, oleh itu, satu lagi inisiatif proaktif disusun iaitu dengan perbincangan bersama pihak pemaju dan Pejabat Tanah Marang pada minggu ini bagi menyelesaikan isu tersebut. “Sebenarnya projek ini sudah terbengkalai sejak 2013, namun tiada tindakan diambil oleh kerajaan persekutuan, meskipun pada tahun 2018 Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan adalah Senator Dato' Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah sendiri, sepatutnya pada waktu itu beliau boleh menyelesaikan isu ini dan membantu pembeli, namun itu tidak berlaku sehingga menyebabkan pembeli terus sengsara,” katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini. Sementara itu, Ketua Penolong SUK (Perumahan), Nor Sophia Azura Mohd Husin berkata, pihaknya telah bekerjasama dengan Pejabat Daerah Dan Tanah Marang untuk menghantar aduan kelewatan projek ke peringkat pusat. “Kerajaan negeri bertindak sebagai pemudah cara kerana langkah selanjutnya akan diambil oleh JPN,” katanya. Dalam pada itu, Pegawai Khas Menteri Besar DUN Rhu Rendang, Wahad Osman memaklumkan, pihaknya telah mengambil langkah sejak 2019 melalui perbincangan bersama Pegawai Bahagian SUK Perumahan mengenai aduan berkenaan. “Hasil siasatan, pengisian projek tersebut bukan di bawah Pengkalan Data SUK Perumahan Negeri, tetapi pembelian terus pembeli dengan pemaju. “Projek bermula tahun 2006 dengan tanah kerajaan (MMKN) bersetuju menyerahkan kepada pemaju (di bawah konsep penswastaan) telah diserah secara pajakan selama 99 tahun membabitkan 497 buah rumah dan dipecahkan kepada lima zon. “Zon 1 (53 unit) dan 2 (112 unit) telah siap manakala zon 3 melibatkan 120 buah unit yang sepatutnya siap pada tahun 2018 masih dalam pembinaan dan hanya mencecah 70 peratus sahaja,” jelasnya. Tambahnya, zon 4 (104 unit) dan 5 (108 unit) masih belum mendapat pengesahan status tanah oleh Pejabat Tanah Marang.
25 Apr 21
1222
Penguatkuasaan Serius Ke Atas Pemborong
Penguatkuasaan Serius Ke Atas Pemborong
KUALA TERENGGANU, 25 April - Kerajaan negeri menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu supaya tidak hanya memastikan peruncit atau peniaga sahaja mematuhi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, sebaliknya pemantauan dan penguatkuasaan lebih serius juga harus dilakukan ke atas pemborong. Beliau berkata, berdasarkan tinjauan dibuat pihaknya mendapati kebanyakan peruncit masih mematuhi harga maksimum yang ditetapkan kerajaan walaupun terpaksa menerima margin keuntungan yang sangat kecil kerana tidak boleh menaikkan harga runcit sesuka hati. “Cuma ada beberapa isu yang diberitahu oleh peniaga antaranya pemborong kurang mematuhi harga yang dicadangkan pihak kerajaan. “Saya mengharapkan pihak penguatkuasa semak semula keadaan yang berlaku di pasar-pasar borong yang telah dikenalpasti kerana kita tidak mahu peruncit tertekan dengan kawalan harga ini,” ujarnya kepada pemberita selepas meninjau jualan barangan basah di Pasar Besar Kedai Payang, hari ini. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed dan Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia. Mohd Nurkhuzaini berkata, pihaknya mengharapkan KPDNHEP Terengganu akan mengambil tindakan segera terhadap aduan peniaga berkaitan isu pemborong ini dan dapat diselesaikan dalam masa terdekat. “Bila sembang dengan peniaga tadi, kita dapati mereka terpaksa menerima keuntungan yang sedikit kerana patuh akan saranan kerajaan ekoran berlaku kegagalan pematuhan di peringkat pemborong. “Sebagai contoh, harga maksimum ayam standard yang ditetapkan kerajaan untuk pemborong ialah RM7.10 tapi ditolak kepada peniaga sehingga RM7.50 ada yang dapat RM7.80 sedangkan harga saranan runcit RM7.90,” ujarnya. Katanya, bagi memastikan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021 dipatuhi dan peniaga tidak ditindas, perkara ini perlu diselesaikan di peringkat pemborong terlebih dahulu.  
25 Apr 21
238
Bergejala Tetapi Masih Merentas Negeri
Bergejala Tetapi Masih Merentas Negeri
KUALA TERENGGANU, 24 April - Aktiviti rentas negeri melibatkan mereka yang bergejala tanpa kuarantin kendiri adalah pencetus utama berlaku penularan COVID-19 di dalam negeri. Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr. Nor Azimi Yunus berkata, isu rentas negeri adalah sesuatu yang sensitif untuk diperkatakan kerana antara faktor penyebaran COVID-19 adalah merentas sempadan tanpa rasa tanggungjawab. "Yang jadi isu, seseorang yang bergejala balik rentas negeri tetapi tetap masuk kerja, masih ambil masa dua hari untuk pergi klinik (melakukan 'swab test') menyebabkan semua rakan sekerja disaring dan dikuarantin. "Contoh lain, yang bergejala masih lagi bersama dalam majlis berbuka puasa bersama 25 ahli keluarga, akhirnya semua terlibat terpaksa disaring dan dikuarantin, keluarga di sana sudah ada positif dan di sini belum tahu lagi. Kita berharap sangat tiada kluster baru akibat ini. "Kita perlu ingat tiga atau empat hari sebelum dan selepas seseorang itu bergejala, kadar jangkitan sangat tinggi," katanya di laman facebook rasminya, hari ini. Tambahnya, beliau menasihati agar semua masyarakat tidak mengambil mudah dengan situasi COVID-19 yang kini semakin membimbangkan. Sementara itu, beliau turut menyarankan supaya mengekalkan adab sopan berbudi bahasa serta empati kepada warga petugas kesihatan barisan hadapan. "Mereka bekerja tanpa rehat cukup sejak setahun yang lalu. Bulan puasa ini ke hulu hilir buat saringan, kesan kontak rapat, angkut pesakit ke hospital. "Orang tanpa segan silu maki, kutuk dan kecam. Kita sudah jauh terpesong daripada budaya adab sopan berbudi bahasa. Petugas kesihatan yang terkena tempias sedangkan mereka hanya menjalankan tugas," jelasnya. Beliau juga mengibaratkan cabaran pandemik sebagai berdepan dengan api dan bara yang perlu dipadam. "Jika api sahaja dipadam dan bara dibiarkan, bara ini lah nanti akan membakar semula," nasihatnya. Sehingga hari ini, Terengganu merekodkan 50 kes positif baharu dengan jumlah kes keseluruhan dikesan berjumlah 4,002 kes, peningkatan mendadak daripada 11 kes pada semalam.
24 Apr 21
653
Kadar Kebolehjangkitan COVID-19 Terengganu Mula Reda
Kadar Kebolehjangkitan COVID-19 Terengganu Mula Reda
KUALA TERENGGANU, 21 April - Kadar kebolehjangkitan (Rt) COVID-19 di Terengganu kini mengalami penurunan kepada 1.15 setelah direkodkan menjadi negeri dengan kadar nilai tertinggi di Malaysia, baru-baru ini. Menurut statistik yang dikeluarkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Terengganu masih antara negeri dengan kadar Rt melebihi 1 diikuti Selangor and Sabah (1.10), Johor and Kedah (1.09), Melaka (1.06), and Pahang (1.0). “Kelantan kini mempunyai angka Rt dengan 1.43 melepasi Rt negara iaitu 1.19. “Nilai tersebut merupakan jangkaan mengikut kes harian pada Selasa,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini. Berdasarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Terengganu turut merekodkan penurunan kepada satu kes sahaja jumlah kes baharu COVID-19 seperti perlis (1 kes) diikuti dengan Labuan (2 kes) manakala jumlah kumulatif kes sebanyak 2,340 kes dalam negara, pada hari ini. Untuk pengetahuan, nilai Rt merujuk kepada tahap penularan virus, iaitu berapa jumlah individu yang mampu dijangkiti oleh satu kes positif. Contohnya, semakin rendah nilai tersebut, kemungkinan jangkitan bagi kes positif adalah berkurang.
21 Apr 21
1157
Modul Itqan Insani Bangunkan 10 Segmen Masyarakat
Modul Itqan Insani Bangunkan 10 Segmen Masyarakat
KUALA TERENGGANU, 21 April – Modul Itqan Insani menyasarkan pembangunan insan secara holistik kepada 10 segmen masyarakat selaras dengan dasar Islam yang dibawa kerajaan negeri. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, ia merupakan komitmen kerajaan dalam membangunkan aspek fizikal, intelektual dan spiritual melalui penghayatan modul yang digerakkan oleh Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (IMiTS). “Segmen yang terlibat bermula daripada pegawai dan penjawat agama negeri sehinggalah ke peringkat tenaga buruh. “Ia juga akan melibatkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Guru KAFA di bawah kerajaan negeri, pimpinan ulamak dan pendakwah bebas, mahasiswa, remaja (belia dan beliawanis), peniaga dan usahawan serta golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT)," katanya. Beliau berkata demikian semasa mempromosikan Modul Itqan Insani, di perkarangan Wisma Darul Iman hari ini. Mohd Nor turut mengajak seluruh masyarakat menyertai majlis pelancaran modul tersebut pada 28 April ini secara maya. “Insya-Allah, perasmian akan dibuat oleh Menteri Besar Terengganu Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang dapat ditonton secara rasmi di laman Facebook Urus setia Penerangan Darul Iman (UPDI), TV Darul Iman atau ‘Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS),” katanya lagi. Untuk rekod, sebanyak RM3.75 juta diperuntukkan untuk pelaksanaan modal tersebut bersama Program Dasar Integriti Darul Iman (DIDI) sebahagian daripada teras pertama iaitu meneguhkan pelaksanaan agenda islam dan pembangunan modal insan. Sementara itu, Mohd Nor turut mengajak warga islam dalam mengikuti program Ramadan Di Hati bersama Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) yang berlangsung sepanjang bulan tersebut. “Antara pengisian adalah program Sahur Rohani (5.30 pagi) dan Ihya Ramadan (10.00 pagi) yang diadakan secara langsung di Facebook DUAT dari Ahad hingga Khamis, manakala setiap hari akan diisi dengan rancangan seperti 'Time for Quran' (1.30 petang) dan 'Time for Hadis' (5.00 petang),” jelasnya. Untuk maklumat lebih lanjut boleh melayari halaman page di Facebook @DUATterengganu.   
21 Apr 21
733
Warta Darul Iman Bil 1 2021
Warta Darul Iman Bil 1 2021
21 Apr 21
714
'Dah Tak Perlu Kongsi Telefon Ibu Untuk Belajar'
'Dah Tak Perlu Kongsi Telefon Ibu Untuk Belajar'
KUALA NERUS, 21 April – “Alhamdullilah, dengan tablet ini saya tidak perlu lagi berkongsi telefon ibu untuk belajar ‘online’,” luah seorang pelajar tingkatan empat, Nurin Atikah Ayuni Mohd Sufian setelah menerima sumbangan peranti pintar di bawah Inisiatif Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT). Adik Nurin yang juga seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Dato' Haji Abbas berkata, dia akan memanfaatkan sebaik mungkin gajet tersebut dalam membantu pembelajaran atas talian. Menurut ibunya, Yusniza Maria Yasin, 41, situasi ekonomi keluarganya yang disara suami bekerja sendiri serta pendapatan tidak menentu memaksa empat orang anaknya berkongsi telefon bagi memperoleh bahan pendidikan digital. “Sekarang ini susah sedikit kerana telefon saya terpaksa dikongsi antara anak-anak semasa pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR). “Tapi pemberian ini, saya sebagai ibu berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Terengganu dalam usaha ini,” katanya ketika ditemubual pemberita.  Pengagihan sumbangan itu disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Dr. Alias Razak, semasa Majlis Penyerahan Sumbangan Tablet Kepada Murid Sekolah Di Bawah Inisiatif BERKAT 2021, semalam. Turut hadir, Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (Terengganu Inc.), Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun. Dr. Alias memaklumkan, seramai 50 pelajar sekolah rendah dan menengah daripada kumpulan B40 kawasan Bukit Tunggal menerima peranti digital merangkumi pakej data BeOne untuk memudahkan pembelajaran dalam talian mereka. “Harapan kerajaan negeri supaya ia dapat merapatkan jurang digital dan memberi peluang kepada para pelajar, membantu dalam hasil akademik mereka sambil terus mengikuti perkembangan teknologi,” jelasnya.
21 Apr 21
587
Kerajaan Perkemas Strategi Galak Rakyat Daftar Vaksin
Kerajaan Perkemas Strategi Galak Rakyat Daftar Vaksin
KUALA TERENGGANU, 20 April – Kerajaan negeri terus memperhebat tiga strategi utama dalam meningkatkan kesedaran rakyat untuk mendaftar sebagai penerima vaksin sempena Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK). Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak, langkah itu diambil selepas  jumlah pendaftaran PICK dalam kalangan rakyat Terengganu berada di tahap yang masih rendah. Katanya, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) memaklumkan seramai 250,399 rakyat Terengganu atau 29.7 peratus sahaja telah berdaftar dalam MySejahtera berbanding dengan 36.1 peratus untuk seluruh Malaysia. “Empat daerah telah menunjukkan pencapaian melebihi 30 peratus iaitu Kemaman tertinggi dengan 44,473 orang (33.6 peratus) diikuti dengan Kuala Terengganu seramai 59,713 orang (32.5 peratus). “Marang seramai 26,017 orang (32.0 peratus) dan Kuala Nerus dengan 33,161 orang (30.8 peratus), daerah yang tidak disebut masing-masing mencatatkan kurang daripada 30 peratus,” katanya semasa berucap dalam Majlis Pelancaran PICK Fasa dua Peringkat Negeri Terengganu di Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT), Chendering semalam. Mengulas lanjut Dr Alias menjelaskan, antara insiaitif yang diperkasakan ialah program bersemuka atau kempen rumah ke rumah oleh Pejabat Daerah masing-masing melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK). “Kita pergi ke rumah untuk terangkan kepentingan vaksinasi dan kemudian terus daftar melalui secara langsung melalui pengisian borang atau aplikasi MySejahtera. “Selain itu, kaunter bergerak juga diadakan di kawasan tumpuan seperti pasar raya, bazar Ramadan dan pasar harian untuk memudahkan mereka yang belum berdaftar melalui pegawai bertugas. “Manakala di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen, kita buka pendaftaran statik di 40 buah Pusat Khidmat Masyarakat seluruh negeri di mana mereka boleh datang bila-bila masa untuk daftar,” katanya lagi. Tambah beliau, imunisasi kelompok mampu diwujudkan pada penghujung tahun ini jika lebih ramai yang berdaftar di dalam MySejahtera.
20 Apr 21
482
Orang Ramai Dipelawa Sertai Skim Hafaz Al-Quran Terengganu
Orang Ramai Dipelawa Sertai Skim Hafaz Al-Quran Terengganu
KUALA TERENGGANU, 20 April - Kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) akan mengadakan Skim Hafaz Al-Quran Dewasa Terbuka Negeri Terengganu bagi penggal pertama tahun 2021. Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Mat Azmi Arshad berkata, pihaknya mempelawa sesiapa yang berminat dan memenuhi syarat ditetapkan untuk menyertai program ini. “Antara syaratnya adalah beragama lslam serta merupakan rakyat negeri Terengganu yang bermastautin di negeri ini. “Tahap minima hafaz adalah tidak kurang dari 7 juzu' pertama mengikut susunan mashaf dan berumur tidak kurang dari 18 tahun dan tidak melebihi 29 tahun bagi mereka yang memohon tahap di bawah 30 juzu'.  “Manakala seseorang yang berumur 30 tahun dan ke atas hendaklah memasuki tahap 30 juzu',” ujarnya dalam satu kenyataan. Tambah beliau, mana-mana pelajar dan lulusan Maahad Tahfiz atau Pusat Pengajian Tahfiz Al-Quran atau yang seumpama dengannya yang ingin menyertai ujian ini hendaklah memasuki ujian tahap 30 juzu'. “Peserta juga perlu bersedia dan sanggup memberi sumbangan sukarela di negeri Terengganu sahaja iaitu di tempat-tempat yang diarahkan atau dipersetujui oleh jabatan sekurang-kurangnya dua kali seminggu.  “Penyertaan masyarakat/kanak-kanak (pelajar-pelajar tuan/puan) dalam sumbangan tersebut hendaklah melebihi 15 orang di mana sumbangan bermaksud kesediaan untuk mengadakan pengajaran kelas al-Quran, kelas fardu ain, mengajar Bahasa Arab, mengajar ilmu Tafsir Al-Quran,Tajwid, Fiqh dan lain-lain,” ujarnya. Menurut beliau, setiap permohonan hendaklah dibuat melalui borang JHEAT/D 2021 yang boleh didapati dari Pejabat Agama Daerah masing-masing atau boleh dimuat turun melalui laman web http://jheatweb.terengganu.gov.my dan bagi hafiz/pemohon 30 juzu' hendaklah mengisi Borang Maklumat Sumbangan Sukarela Berkembar. Katanya, borang permohonan yang lengkap hendaklah dihantar ke Pejabat Agama Daerah masing-masing untuk pengesahan dan sokongan sebelum atau pada 3 Mei depan.  
20 Apr 21
1486