Artikel "Semasa" Terkini
Naik Taraf Penggunaan Teknologi Digital - Dato’ Yahaya
Oleh : Rohayati Ripin
KUALA NERUS, 30 April - Penggunaan teknologi digital di universiti perlu diperkasakan lagi bagi mempercepatkan pembangunan ekonomi.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, perkhidmatan jalur lebar perlu lebih agresif dalam merealisasikan penggunaan teknologi digital sejajar untuk meningkatkan lagi produktiviti negara
Katanya, Terengganu telah melancarkan Pelan Induk Kerajaan Digital Pintar Terengganu, salah satu pemboleh daya Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS2030) sebagai persediaan memasuki era Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).
"Di peringkat negeri kita (kerajaan) telah melancarkan Taman Maya (AI). Cuma cabaran kita sekarang ini bagaimana dari segi infranya,” soal beliau ketika bersiaran langsung bersama radio di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Gong Badak, baru-baru ini.
Menurutnya, taman maya itu bertindak sebagai satu asas dan infrastruktur dalam mempelbagaikan sektor-sektor yang terlibat melalui kemajuan pembangunan dan kajian.
Yahaya berpendapat, walaupun negara dilanda pandemik COVID-19 tetapi penguasaan dari segi digitalisasi tidak dapat dipisahkan.
"Kalau kita cakap soal pendidikan di peringkat pusat pengajian tinggi (IPT) kadang-kadang ada cabaran yang dihadapi.
"Umpamanya, sesetengah tempat kurang akses internet yang baik, keluarga miskin tidak mampu ada gajet yang sepatutnya,” jelas beliau.
Justeru itu, katanya perkara itu hendaklah ditangani dengan segera kerana penggunaan teknologi digital sangat penting pada zaman sekarang.
“Kalau kita ambil dari satu sudut berkait bisnes dulu menggunakan teknologi maklumat termasuk 'marketing online' itu berlaku, tetapi tidak sehebat sekarang.
"Begitu juga perkara yang perlu dilihat dan diberi fokus bagaimana boleh meneroka benda-benda baharu, bagaimana kebaikan moden ini boleh membantu mengembangkan bidang ekonomi, sosial dan lain-lain,” ujarnya.
Selain itu, katanya soal pendidikan juga berkait dengan soal bisnes dan sosial bersifat lebih global.
"Sebab itu peranan universiti ini bukan sahaja kita nak melahirkan golongan yang berbangga dengan segulung ijazah.
"Apa yang lebih penting ialah mahasiswa berkenan mesti ada sumbangan kepada masyarakat, dengan kajian dan inovasi termasuk dengan benda baharu,” tegasnya.
Yahaya menjelaskan, sebagai pulangan kepada masyarakat dalam bentuk penemuan kajian perkara yang boleh membantu menyelesaikan isu semasa sebagaimana dalam suasana cabaran pandemik.
30 Apr 21
258
KETENGAH Peruntuk RM900 Ribu Bantu 4,500 Penerima
HULU TERENGGANU, 29 April - Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) memperuntukan RM900,000 melibatkan 4,500 penerima menerusi Tabung Amanah Masyarakat KETENGAH sempena Ramadan kali ini.
Pengerusinya, Dato' Razali Idris berkata tabung yang diwujudkan sejak 2006 yang lalu bertujuan untuk memberi sumbangan dan bantuan kepada golongan memerlukan termasuk golongan orang kurang upaya (OKU).
"Kita harap sumbangan ini dapat meringankan beban dan memenuhi keperluan semua penerima serta membelanjakannya untuk diri dan keluarga.
"Majlis sumbangan ini akan diteruskan ke semua wilayah KETENGAH iaitu Dungun dan Kemaman yang dijangka berakhir pada 10 Mei ini, " ujarnya.
Beliau berkata demikian sempena program KETENGAH Amik Cakne di Majlis Penyampaian Tabung Amanah Masyarakat KETENGAH sempena Ramadan 1442H/2021M di Dewan Kampung Landas, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengurus Besar KETENGAH, Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Ajil, Maliaman Kassim.
Dalam majlis tersebut, seramai 426 orang daripada 11 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) menerima sumbangan sebanyak RM200 dengan jumlah peruntukan RM85,200
29 Apr 21
645
Bangunkan Negeri Atas Prinsip Islam
Oleh : Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU, 29 April – Kemajuan dalam sesebuah negeri wajar berpandukan prinsip agama Islam yang jelas supaya segala aspek seperti pengurusan pemerintahan dijalankan dengan sempurna.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, kepentingannya dalam memajukan negeri di pelbagai sektor sesuai dengan tema 'Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera'.
“Perlu diingatkan bahawa kemajuan dibina itu mesti ada prinsip nyata supaya apabila kita uruskan pemerintahan dengan baik, isu pembaziran, penyelewengan dan perkara yang bercanggah dengan syariat dapat dielakkan.
“Apa yang kita harapkan adalah nilai keberkatan dapat diwujudkan daripada prinsip dan tema tersebut,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam siaran langsung bersama Radio Universiti Malaysia Terengganu (UMT), baru-baru ini.
Kata Yahaya, teras agama hendaklah diamalkan oleh segala lapisan masyarakat termasuk pemerintah agar mendapat keredhaan Allah SWT.
“Sebab itu dalam soal pembangunan sesebuah negara ada ulama-ulama menyebutkan beberapa perkara mesti ada kalau kita nak masyarakat sejahtera.
“Yang pertama mesti ada pemimpin yang adil, bertanggunjawab, berusaha melaksanakan tugas sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ini dengan melaksanakan apa yang diperintahkan.
“Yang kedua mesti ada ulama yang sentiasa memberi peringatan kepada masyarakat supaya rakyat sentiasa berpegang teguh kepada ajaran Islam,” ujar beliau.
Beliau menambah, kesejahteraan akan wujud apabila ada kesedaran dalam kalangan ‘orang yang berada’, memanfaatkan harta dimiliki untuk tanggungjawab sosial serta membantu golongan kurang berkemampuan.
29 Apr 21
142
Kepakaran Anak Negeri Potensi Majukan Ekonomi
Oleh : Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU, 29 April – Kerajaan Terengganu mengharapkan agar khidmat tenaga pakar anak Terengganu di luar negeri dalam membantu negeri untuk memacu sektor ekonomi berdaya saing.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, kemajuan yang mahu dibangunkan mestilah mempunyai prinsip untuk menambahbaikkan prestasi negara dalam bidang kepakaran masing-masing.
“Kita di Terengganu tidak boleh bergantung hasil minyak semata-mata. Nak pelbagaikan ekonomi itulah fungsi tenaga pakar yang pengalaman untuk berkhidmat di sini.
"Mereka meneroka samada bidang-bidang dan kepakaran baharu, masih banyak lagi potensi bakat yang telah diasah di luar negara umpamanya untuk di bawa balik ke negeri ini.
“Kerajaan melihat golongan ini perlu diberikan peluang untuk pergi ke peringkat lebih jauh, tinggal lagi sekarang ini bagaimana kita boleh manfaatkan tenaga mereka,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam siaran langsung bersama Radio Universiti Malaysia Terengganu (UMT), baru-baru ini.
Katanya, pihak kerajaan mengambil sikap terbuka dan mengalu-alukan para mahasiswa yang sudah berjaya dan berkhidmat di negara luar supaya pertimbangkan untuk berkhidmat di negeri Darul Iman.
“Kita tidak boleh memanfaatkan jika mereka sendiri tidak tekad bersedia untuk berkhidmat, orang ibaratkan seperti 'telur dengan ayam', siapa nak mulakan dulu,” ujarnya.
Dato' Yahaya mengesyorkan, golongan tersebut boleh terlibat langsung samada dalam sektor bidang kerajaan ataun pelbagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Terengganu.
“Kalau pihak yang berkenaan merasakan mereka ingin menyumbang kepada pihak kerajaan, kerajaan mengambil sikap mengalu-alukan kehadiran mereka serta penempatan mereka boleh dibincangkan," tambah beliau.
29 Apr 21
122
Anak Yatim Terengganu Dapat Duit Raya
KUALA TERENGGANU, 29 April - Seramai 226 anak yatim daripada pertubuhan berdaftar seluruh Terengganu menerima bantuan duit raya daripada kerajaan negeri semalam. .
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, pihaknya prihatin terhadap golongan sasar tersebut dan bersetuju untuk membantu dengan menyalurkan sumbangan itu kepada mereka.
“Tambah lagi, lapan pertubuhan sukarelawan anak yatim berdaftar juga menerima bantuan berjumlah RM40,000 sebagai imbuhan dan pencetus semangat ikhlas daripada Kerajaan Negeri Terengganu.
“Antara penerimanya seperti Rumah Tunas Harapan Darul Hilmi, Seberang Takir, Asrama Perkaya Marang, Pertubuhan Asrama Anak-Anak Saudara Kito Yatim, Fakir dan Miskin PERKIM Negeri Terengganu.
“Bagi pertubuhan yang belum berdaftar ramai lagi yang saya yakin bulan ini masing-masing berkejar untuk memberi sumbangan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap semasa Majlis Penyampaian Sumbangan Sempena Perayaan Aidilfitri, di Wisma Darul Iman.
Menurut Pengetua Asrama Kebajikan Anak Anak Yatim/Fakir Darul Akhyar Mukim Batu Rakit, Ahmad Irshad Mustaqim Zamri yang hadir sama berkata, beliau berterima kasih kepda kerajaan negeri dan akan memanfaatkan bantuan itu untuk pengurusan asrama.
“Kami di Darul Akhyar mempunyai 125 orang pelajar (40 anak yatim) dari Tingkatan Satu sampai Lima, jumlah tersebut akan digunakan bagi kebajikan pelajar dan penambahbaikan peralatan sekolah,” katanya ketika ditemubual pemberita.
Pertubuhan lain yang menerima sumbangan ialah Tahfiz Perkaya Dungun, Pusat Jagaan Berkediaman Baitul Cakna, Hulu Terengganu, Pusat Jagaan Rumah Kebajikan Anak-Anak Yatim Al-Hijrah, Kemaman dan Asrama Darul Falah Marang.
29 Apr 21
1109
Ucapan Perasmian Sempena Sambutan Hari Bumi 2021
Tema Hari Bumi Sedunia tahun ini ialah 'Restore Our Earth" atau "Pulihkan Bumi Kita"
Ucapan oleh YB Dr. Haji Alias Razak, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar
28 Apr 21
498
Raih Pahala Dengan Wakaf Al-Quran Bersama YIT
KUALA TERENGGANU, 28 April - Yayasan Islam Terengganu (YIT) membuka ruang kepada orang ramai yang ingin menyumbang bagi program wakaf al-Quran sekali gus meraih ganjaraan bernilai.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata sumbangan itu akan membantu kepada mereka yang daif dan meluaskan lagi medium kebajikan serta kemanusiaan untuk membantu mereka yang memerlukan al-Quran.
Katanya, dengan wang tersebut, ia akan digunakan untuk mencetak al-Quran untuk disumbangkan ke pusat-pusat pengajian al-Quran, masjid, surau dan pihak yang memerlukan.
"Oleh itu, saya menyeru kepada orang ramai untuk sama-sama membuat pelaburan yang modalnya serendah RM5 yang mampu dilakukan oleh semua golongan masyarakat tetapi ganjarannya cukup besar.
"Bayangkan pahala mengalir masuk daripada setiap ayat yang dibaca oleh penerima wakaf al-Quran secara berterusan," ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pengurusan Wakaf Al-Quran Yayasan Islam Terengganu sempena Sambutan Hari Nuzul Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu tahun 2021 di Dewan Tingkat 4, Menara YIT, hari ini.
Turut hadir, Pengarah YIT, Rozali Salleh.
Tambahnya lagi, wakaf al-Quran ini bermula dengan harga RM5 iaitu 1/4 bahagian daripada senaskah al-Quran yang bernilai RM20 bergantung kepada kemampuan pewakaf.
Mohd Nor berkata pihaknya juga akan merancakkan aktiviti wakaf al-Quran secara berterusan bagi menggalakkan umat Islam untuk beramal jariah tanpa mengira bulan.
Tambah beliau, pihaknya turut akan memperluaskan program wakaf al-Quran ke luar negara bagi mereka yang memerlukan seperti di Syria dan Yaman jika mendapat permintaan.
Orang ramai yang berminat untuk salurkan sumbangan boleh melayari laman Web Rasmi Yayasan Islam Terengganu https://yit.gov.my atau facebook yayasanislamterengganu_official atau https:yit.onpay.my.
28 Apr 21
404
Selepas Berunding, Pemaju Janji Sambung Projek Terbengkalai
KUALA TERENGGANU, 28 April – Selepas dipanggil berbincang bersama kerajaan negeri hari ini, pemaju perumahan Kampung Gong Cempedak, Grand East Coast Construction Sdn. Bhd berjanji untuk menyambung semula projek terbengkalai itu sebaik sahaja selesai Aidilfitri nanti.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, komitmen pemaju swasta terbabit memberi sinar harapan kepada 120 pembeli.
“Insya-Allah mereka berjanji untuk memulakan kembali projek ini selepas perayaan Aidilfitri tahun ini setelah isu kewangannya diselesaikan.
“Kerajaan negeri memberi persetujuan untuk membantu semaksimum mungkin bersama Pejabat Tanah dan Daerah Marang melalui beberapa cadangan yang telah dikemukakan kepada pihak mereka.
“Pemaju ini akan usaha untuk mendapat pembiayaan melalui beberapa kaedah dengan bantuan kerajaan negeri bagi menyiapkan lagi 30 peratus proses pembinaan lagi,” katanya ketika ditemubual pemberita, hari ini.
Katanya, projek tersebut dianggar memerlukan dana sekitar RM5 juta lagi bagi menyiapkan fasa ketiga yang terdiri daripada 120 unit rumah teres berukuran sekitar 830 kaki satu unit.
Mengulas lanjut faktor perumahan tersebut tidak menepati tarikh siap pada 2019, Dr Alias memaklumkan, pemaju memaklumkan mereka mengalami keuntungan kurang memberangsangkan hasil penyiapan fasa satu dan dua.
“Pemaju sudah komited kembali dalam menunaikan janji rumah yang selesa dengan harga murah, kita akan pastikan mereka dapat menyelesaikan masalah ini,” katanya lagi.
Untuk rekod, tahun terdahulu pihak kerajaan melalui Setiausaha Kerajaan (SUK) Perumahan Negeri telah menghantar aduan kepada Bahagian Pemantauan Perumahan Swasta, Jabatan Perumahan Negara (JPN) di bawah Kementerian Perumahan Kerajaan dan Tempatan (KPKT) untuk tindakan lanjut kerana ia melibatkan 100 peratus tanggungjawab pemaju swasta.
Tegas Dr Alias, pembinaan yang dilupuskan kepada pihak swasta pada tahun 2006 adalah 100 peratus di bawah pengurusan sendiri dan tidak melalui Setiausaha Kerajaan (SUK) Perumahan Negeri serta campur tangan kerajaan negeri.
Jelasnya, projek ini kemudiannya terbengkalai sejak 2013, namun tiada tindakan diambil oleh kerajaan persekutuan sejak dari itu sehingga 2019.
“Mengikut prosedur ditetapkan, antara penyelesaian awal kita (kerajaan negeri) pada Jun 2020 adalah melalui penghantaran aduan kepada Bahagian Pemantauan Perumahan Swasta, Jabatan Perumahan Negara (JPN) di bawah Kementerian Perumahan Kerajaan dan Tempatan (KPKT).
“Walau bagaimanapun sehingga kini kerajaan negeri masih menunggu jawapan, oleh itu, satu lagi inisiatif proaktif disusun iaitu dengan perbincangan bersama pihak pemaju dan Pejabat Tanah Marang pada minggu ini (hari ini) bagi menyelesaikan isu tersebut," jelasnya.
28 Apr 21
953
770,000 Penduduk Terengganu Sudah Dibanci
KUALA TERENGGANU, 28 April - Seramai 770,000 atau 61 peratus daripada 1.26 juta penduduk di negeri ini selesai dibanci meliputi 220,000 tempat kediaman setakat tempoh sehingga semalam.
Ketua Perangkaan Malaysia, Dato' Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, Banci Malaysia 2020 mendapat kerjasama yang baik daripada seluruh penduduk negeri Terengganu.
Bagaimanapun katanya, bagi respon mengikut etnik pula, kaum Cina dan India mencatatkan peratus respon yang agak rendah iaitu masing-masing 27 dan 20 peratus.
“Respon penduduk yang melebihi 70 peratus melibatkan daerah Setiu (98.59 peratus), Besut (78.65 peratus), Marang (78.1 peratus), Hulu Terengganu (71.82 peratus) dan Kuala Nerus (71.1 peratus).
“Manakala Kuala Terengganu (67.08 peratus), Kemaman (55.56 peratus) dan Dungun (54.61 peratus) mencatatkan kadar respon di bawah 70 peratus,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa program turun padang operasi Banci Malaysia 2020 di Seberang Takir, hari ini.
Katanya, dengan kekuatan 300 pembanci beliau yakin, kesemua daerah di Terengganu disasarkan akan selesai sepenuhnya kerja-kerja pembancian di lapangan pada pertengahan Jun ini.
“Hari ini kita adakan program turun padang di Terengganu bertujuan memantau operasi Banci Malaysia 2020 secara bersemuka di lapangan dan membuat publisiti terhadap pelaksanaan banci secara bersemuka dan operasi pembancian.
“Program sebegini secara tidak langsung dapat menyebarluaskan maklumat mengenai program Banci Malaysia 2020 secara bersemuka yang sedang dijalankan di seluruh negara sehingga 30 Jun 2021.
“Diharap program publisiti seperti ini akan membantu hebahan di kalangan kaum Cina dan India selain Melayu untuk memberi respon kepada pihak kami samada menerusi kaedah bersemuka ataupun secara atas talian,” ujarnya.
Katanya, Banci Malaysia 2020 amat penting bagi kerajaan medapatkan data untuk merancang pembangunan termasuk pendidikan, kesihatan, capaian internet serta kemudahan awam seperti jalan raya, rekreasi, bekalan air dan elektrik.
“Data yang dikumpul menjadi sumber utama dalam pembentukan dasar oleh kerajaan dalam merangka program serta inisiatif yang lebih bersasar untuk rakyat,” jelasnya.
Menurut beliau, diperingkat negara, jumlah penduduk yang telah dibanci sehingga semalam adalah seramai 17.02 juta orang atau 52.1 peratus berbanding 32.7 juta anggaran penduduk tahun 2020.
28 Apr 21
1718
COVID-19 : Terengganu Catat 61 Kes Baharu
KUALA TERENGGANU, 28 April - Jumlah kes harian COVID-19 di Terengganu kembali meningkat apabila sebanyak 61 kes baharu direkodkan semalam.
Pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes di Terengganu melonjak kepada 4,097 orang dengan 182 kes aktif.
Mengikut laporan Jabatan Kesihatan Negeri, daripada 61 kes itu sebanyak 49 di Besut, Kuala Nerus (8 kes) dan Dungun (4 kes).
Manakala, sebanyak 10 kluster aktif didaftarkan di negeri ini iaitu Taman Rakyat, Gong Dermin, D' Lahar, Kampung Tanjung, Ara Murni, Jalan Kota Kubang Labu, Ladang Bukit, Chendering Height, Wakaf Chagak dan Kampung Belaoh.
27 Apr 21
472