lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

PKP 3.0: Suasana Suram Di Hulu Terengganu
PKP 3.0: Suasana Suram Di Hulu Terengganu
HULU TERENGGANU, 23 Mei – Suasana sekitar Bandar Kuala Berang dan Pekan Ajil  di sini kelihatan sedikit suram susulan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bermula 12 Mei hingga 7 Jun 2021. Tinjauan Urus Setia Penerangan Darul Iman mendapati premis perniagaan beroperasi seperti biasa namun pengunjung bagi mendapatkan barangan keperluan kini agak sunyi berbanding sebelum ini.  Manakala di Sekatan Jalan Raya (SJR) Pekan Ajil menghala ke pusat bandar ketika tinjauan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, jumlah kenderaan yang dilihat di daerah ini berkurangan berikutan ramai penduduk memilih untuk mematuhi arahan dengan duduk di rumah masing-masing. Ia jauh berbeza dengan keadaan sebelum ini, yang mana daerah ini sentiasa sibuk dengan jumlah kenderaan yang banyak terutama pada hari bekerja. Peniaga pakaian, Nor Azila Elias, 34 berkata, jualannya agak merosot sebelum hari raya Aidilfitri lagi berbanding tahun lepas dan berikutan kekurangan pelanggan. "Sebelum ini, jualan agak baik namun mula berkurangan apabila PKP dilaksanakan kerana prosedur operasi standard (SOP) tidak membenarkan sebarang penganjuran majlis hari raya dan rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri.  "Kebanyakan pengunjung Bandar Kuala Berang pada musim tibanya perayaan adalah anak anak perantau yang pulang berhari raya untuk mendapatkan pelbagai barangan raya masing-masing," ujarnya. Dia berkata, kini pelanggan dari luar tidak dapat merentas daerah susulan PKP dilaksanakan di seluruh negara menyebabkan perniagaan di Kuala berang hanya bergantung kepada penduduk Hulu Terengganu sahaja. "Bayangkan, banyak pakaian tidak terjual apabila hanya tiga ke empat pelanggan sahaja yang datang dalam sehari sejak PKP dikuatkuasakan berbanding ramai pelanggan setiap hari sebelum ini," katanya. Bagi peniaga ayam, Abd Razak Omar, 45 pula berkata, peniaga barangan basah sepertinya turut menerima nasib sama sebelum hari raya lagi. "Jualan agak merosot dan tidak sebanyak dahulu namun nasib saya agak baik sedikit berbanding peniaga pakaian disebabkan barangan basah ini tidak hanya khusus untuk Aidilfitri sahaja," katanya. Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ustaz Maliaman Kassim berkata, dia turut mendapati suasana Pekan Ajil yang agak suram apabila masyarakat tidak keluar melakukan aktiviti seperti sebelum ini kerana pematuhan PKP yang dilaksanakan.  Jelas beliau, situasi yang berlaku kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) usaha tersebut tidak lain bertujuan untuk memastikan keselamatan rakyat di negara ini. "Kita semua kena faham bukan tujuan kerajaan untuk menyusahkan. Segala yang diputuskan oleh kerajaan ada hikmah di sebaliknya dan sudah tentu untuk kebaikan rakyat keseluruhannya. “Oleh itu apa yang perlu kita lakukan adalah mematuhi setiap arahan serta perlaksanaan PKP ini bagi membolehkan apa yang dirancang kerajaan berjaya dan semestinya untuk kepentingan semua,” katanya  
23 May 21
2528
'Patuh SOP, Balas Pengorbanan Frontliners' - Pesakit COVID-19
'Patuh SOP, Balas Pengorbanan Frontliners' - Pesakit COVID-19
KUALA TERENGGANU, 23 Mei – Rakyat di Malaysia dan Terengganu khususnya dirayu supaya serius dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan COVID-19 bagi membalas segala penat lelah petugas barisan hadapan. Pesakit COVID-19, Abdul Halim Zakaria, 33, berkata, trend peningkatan kes di Terengganu dalam beberapa hari ini memerlukan kesatuan antara rakyat, petugas kesihatan dan kerajaan. "Masyarakat perlu mengingati pengorbanan frontliners dan berusaha untuk mengekang wabak dengan mematuhi SOP yang ditetapkan. “Mereka ini tiada masa untuk diri sendiri, ada yang mula kerja pagi sehingga malam dan sentiasa bergerak ke hulu hilir dalam pakaian pelindung diri (PPE). “Besar pengorbanan mereka dari sudut kerja jiwa dan masa, mereka juga ada keluarga namun demi keselamatan negeri dan masyarakat, itu daripada sudut saya sebagai pesakit yang telah saksikan disebalik tabir,” katanya lagi.  “Kita siapa bagi mereka, kita tidak kenal sesama sendiri namun saya telah saksikan suatu pengorbanan besar daripada frontliners,” luah seorang pesakit COVID-19 menceritakan pahit getir para petugas barisan hadapan ketika ditemubual Urus Setia Penerangan Darul Iman. Menceritakan jasa besar petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Halim menyifatkan sikap profesional mereka sangat tinggi walaupun terpaksa berdepan pelbagai karenah pesakit. “Pesakit pula masing-masing ada karenahnya, kalau kita lihat dengan mata kepala kita, banyak jasa diberikan dalam memastikan kita mendapat layanan dan rawatan terbaik,” tambahnya. Menurut Halim, kebanyakkan pemandu ambulans mengambil pesakit positif COVID-19 dari daerah lain termasuk hingga ke Besut dan Dungun untuk ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC), Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Cawangan Chendering. “Bayangkan memandu sehingga dua jam dalam ketebalan pakaian pelindung diri (PPE), itu antara pelbagai sumbangan besar yang kita perlu tahu. "Jadi, hargailah pengorbanan mereka, sama-sama kita putuskan rantaian COVID-19," jelasnya.  
23 May 21
409
Terengganu Kutip RM4.7 Juta Untuk Rakyat Palestin
Terengganu Kutip RM4.7 Juta Untuk Rakyat Palestin
KUALA TERENGGANU, 22 Mei - Tabung Kemanusiaan Palestin yang digerakkan kerajaan negeri serta badan bukan kerajaan dan parti politik di Terengganu berjaya mengumpulkan RM4.7 juta dalam tempoh satu minggu. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, jumlah kutipan untuk #Aids4Palestine itu termasuk pemotongan sebulan gaji beliau dan barisan Exco. “Selain Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS menyumbang RM3,000 seorang, selebihnya syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) serta pertubuhan bukan kerajaan yang diuruskan sekretariat Majlis Muafakat NGO Terengganu, menjadikan jumlah sebanyak RM1 juta dikumpulkan. “Manakala saluran kedua melibatkan Urus setia PAS Relief Terengganu dan Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu yang berjumlah RM3.7 juta. “Semoga Allah SWT menerima sumbangan ini sebagai amal soleh yang menjadi jariah berpanjangan," ucapnya ketika Majlis Penyerahan Sumbangan Aid4Palestine peringkat tiga negeri, hari ini. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, kutipan diraih PAS Terengganu adalah melalui Kawasan, Pemuda, Muslimat dan Ameerah. “Daripada jumlah keseluruhan, PAS kawasan Marang memberi sumbangan paling banyak iaitu RM671,055 diikuti kawasan Kemaman (RM600,037) dan Kuala Terengganu (RM535,555). “Saya berterima kasih kepada semua yang menyumbang ke dalam Tabung #Aid4Palestine, ia jelas menunjukkan keprihatinan rakyat Terengganu dengan penderitaan saudara kita di Palestin,” katanya dalam satu kenyataan. Tambahnya, hasil derma bermula 15 Mei lalu telah diserahkan kepada Pesuruhjaya PAS Terengganu, Senator Datuk Husain Awang secara atas talian dalam Majlis Penyerahan Sumbangan Aid4Palestine peringkat negeri Terengganu, semalam.
22 May 21
778
15 Mukim Besut Dikenakan PKPD Bermula Esok
15 Mukim Besut Dikenakan PKPD Bermula Esok
KUALA TERENGGANU, 21 Mei – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dikuatkuasakan di 15 mukim dalam daerah Besut bermula esok, 22 Mei sehingga 4 Jun. Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan tersebut dibuat berdasarkan penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). “KKM mengesahkan sembilan daripada 17 kluster aktif di negeri Terengganu adalah melibatkan daerah Besut yang telah menyumbang kepada peningkatan kes COVID-19 di negeri ini dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi dalam komuniti. “15 mukim yang terlibat ialah Kampung Raja, Keluang, Lubuk Kawah, Bukit Kenak, Pelagat, Jabi, Tembila, Kerandang, Bukit Puteri, Pengkalan Nangka, Kuala Besut, Pasir Akar, Kubang Bemban, Tenang dan Hulu Besut,” katanya dalam satu kenyataan semalam. Sebelumnya, PKPD di Mukim Pelagat turut dilaksanakan di daerah sama sehingga 2 Jun akibat peningkatan kes, kadar positiviti tinggi serta kadar kebolehjangkitan yang amat tinggi di lokaliti tersebut. “Justeru, sebagai rakyat Malaysia, selain menghulurkan doa, ayuh kita sama-sama berganding bahu membantu memerangi wabak ini dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan,” rayu beliau. Menurut Jabatan Kesihatan negeri, tiga kematian direkodkan di Besut akibat COVID-19 dengan kes baharu di seluruh negeri hari ini kekal tiga angka sebanyak 233 menjadikan jumlah keseluruhan 1,350 kes.
21 May 21
522
Mayat Nelayan Hilang Ditemui
Mayat Nelayan Hilang Ditemui
KUALA TERENGGANU, 20 Mei - Satu mayat dipercayai salah seorang mangsa yang dilaporkan terlibat dengan kejadian hilang di laut pagi ini, ditemui terapung pada jarak lebih kurang 17 batu nautika dari Pulau Kapas. Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli memaklumkan, mangsa ditemui oleh nelayan tempatan yang terlihat objek terapung di laut semasa Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) pada jam lebih kurang jam 1.00 tengahari. "Mayat disyaki mangsa yang hilang dalam kes bot kelas A, Baharudin Abdullah, 47 tahun telah dibawa ke jeti Maritim Terengganu, Kuala Terengganu oleh bot maritim Pengawal 16. "Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat dan proses pengesahan oleh ahli keluarga dilakukan oleh pihak polis," jelasnya melalui satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini. Menurutnya, Maritim Malaysia masih meneruskan Operasi CARILAMAT melibatkan sebuah kapal peronda, sebuah bot peronda dan sebuah pesawat dalam penugasan mencari dan menyelamat di kedua-dua lokasi tersebut. Pencarian merangkumi kepada 211.54 batu radius dari kawasan mangsa dipercayai hilang turut melibatkan Jabatan Perikanan dan dibantu persatuan nelayan. Terdahulu, kehilangan sebuah bot nelayan tempatan kelas A bersama dua kru termasuk tekong yang dipercayai mengalami kerosakan selepas terputus hubungan sejak semalam, dilaporkan media, pagi tadi. Berikutan itu, operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) diaktifkan pada jam 9.40 pagi oleh Maritim Malaysia bagi mengesan kedudukan bot Jaafar Sulong, 66, dan kru dikenali sebagai Baharuddin, 30-an.      
20 May 21
894
Tiga Nelayan Dikhuatiri Hilang
Tiga Nelayan Dikhuatiri Hilang
KUALA TERENGGANU, 20 Mei – Tiga nelayan dikhuatiri hilang melibatkan dua kejadian berlainan meliputi kawasan perairan Kuala Terengganu. Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, Wan Mohd Sufian Wan Abdul Rahman, 34, disyaki hilang di laut selepas bot miliknya ditemukan nelayan tempatan di kedudukan 10.1 batu nautika dari muara Kuala Terengganu. Bot milik mangsa yang ditemui “Antara aset yang diatur gerak adalah Kapal Maritim (KM) GEMIA, Bot Maritim Pengawal 16 dan pesawat udara maritim AW139 bagi mengesan kedudukan bot dari lokasi yang dipercayai berlakunya insiden. “Operasi pencarian turut menerima bantuan aset daripada Jabatan Perikanan serta komuniti nelayan setempat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. Salah seorang nelayan tempatan yang juga rakan sekampung mangsa, Mazlan Mamat, 58, memberitahu bot Sufian dijumpai nelayan lain sekitar jam 9 pagi dengan enjin bot masih berfungsi. “Hanya peralatan mengail dan beg peribadinya yang dijumpai, Sopi (Sufian) ini seorang yang mahir dengan laut namun susah untuk tentukan bagaimana dia terjatuh kerana tiada saksi berada di perairan tersebut,” jelasnya. Dalam kejadian berbeza, sebuah bot nelayan tempatan kelas A bersama dua kru termasuk tekong yang dipercayai mengalami kerosakan selepas terputus hubungan sejak semalam. “Berikutan itu, operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) diaktifkan pada jam 9.40 pagi tadi bagi mengesan kedudukan bot Jaafar Sulong, 66, dan kru dikenali sebagai Baharuddin, 30-an. “Dikatakan sepatutnya pulang semalam dan cubaan ahli keluarga menghubungi kedua-dua mangsa juga gagal,” katanya lagi. Tambah Suffi, laporan meteorologi hari ini menunjukkan cuaca baik dengan tiada amaran angin kencang atau laut bergelora serta tiada amaran hujan berterusan atau rebut petir. Menurutnya, Maritim Malaysia meminta kerjasama masyarakat terutama komuniti maritim untuk melaporkan sebarang maklumat dan kejadian kecemasan yang berlaku di perairan negara ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Terengganu 09-6224357.
20 May 21
784
HSNZ Tak Benar Pelawat Masuk Wad
HSNZ Tak Benar Pelawat Masuk Wad
KUALA TERENGGANU, 19 Mei - Pengurusan Tertinggi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) hari ini memutuskan untuk tidak membenarkan pelawat masuk ke wad hospital berkenaan. HSNZ dalam satu kenyataan berkata, ia susulan penularan wabak COVID-19 yang semakin membimbangkan di negeri ini dengan kes mencecah tiga angka dalam beberapa hari berturut-turut. "Namun, kebenaran masuk hanya diberikan kepada penjaga yang telah mendapat kebenaran bertulis daripada wad. "Arahan ini terpakai kepada semua tanpa mengira siapa anda. "HSNZ memohon maaf di atas keputusan yang terpaksa diambil, namun ia demi menjaga kesihatan awam dan demi membendung penularan wabak COVID-19," jelas kenyataan itu Jelasnya, diharapkan agar arahan tersebut dapat dipatuhi oleh semua lapisan masyarakat. Pada masa kini, Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) kini menempatkan 13 kes COVID-19 dengan tujuh daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.
19 May 21
2833
PKPD Di Mukim Pelagat Bermula Khamis
PKPD Di Mukim Pelagat Bermula Khamis
KUALA TERENGGANU, 19 Mei – Kerajaan mengambil langkah drastik dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Mukim Pelagat, Besut bermula Khamis ini sehingga 2 Jun. Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia berikutan sebanyak 199 kes positif COVID-19 telah direkodkan sehingga kelmarin. “Kes tersebut direkodkan di semua lokaliti terbabit (13 Kampung) selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan 1,092 ujian saringan. "KKM juga melaporkan berlaku peningkatan kes yang amat ketara dengan kadar positiviti tinggi serta kadar kebolehjangkitan yang amat tinggi di lokaliti tersebut. Pelaksanaan PKPD ini bertujuan mengehadkan pergerakan penduduk dan memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 serta memudahkan KKM menjalankan ujian saringan secara besaran dalam kalangan penduduk di Mukim Pelagat, Besut," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Jelasnya, 13 kampung yang terbabit di mukim berkenaan ialah Kampung Alor Selinsing, Kampung Bukit Yong, Kampung Tok Motong, Kampung Lak Lok Dalam, Kampung Lak Lok, Kampung Padang Landak, Kampung Padang Luas, Kampung Padang Luas Hilir dan Kampung Padang Tapong. "Turut terbabit ialah Kampung Paroh, Kampung Kubang Siam, Kampung Seberang Jerteh, Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Seberang Jerteh dan RAKR Pelagat 1, 2 & 3," tambahnya.  
18 May 21
562
COVID-19 : Lepak, Cetus Jangkitan Baharu Di Terengganu
COVID-19 : Lepak, Cetus Jangkitan Baharu Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 18 Mei – Tindakan rakyat Terengganu yang tidak menghiraukan arahan pihak berkuasa dengan melakukan aktiviti lepak membawa padah apabila negeri itu terus mencatatkan kes positif COVID-19 sebanyak tiga angka hari ini. Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, jangkitan bertambah buruk dan berlaku dengan pantas selepas kebanyakkan aktiviti yang dilakukan disahkan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP). “Lepak bersama 18 orang kawan di sebuah rumah kosong di Setiu. Akhirnya 17 disahkan positif melibatkan kawan lepak dan ahli keluarga. Seramai 162 kontak rapat dikesan,” katanya menerusi laman Facebook rasmi, sebentar tadi. Menurut Nor Azimi, penganjuran majlis berbuka puasa melibatkan 20 individu turut menyumbang kepada peningkatan kes di Terengganu dan mencetuskan Kluster Bukit Pauh di Dungun. "Kluster itu merekodkan 78 orang positif dan 496 orang kontak rapat dikesan setakat ini. Situasi kedua melibatkan majlis jenis sama di sebuah surau di Marang dengan 26 orang positif serta 283 orang kontak rapat," jelasnya. Tegas Nor Azimi, beliau tidak menolak kemungkinan trend kes tiga digit akan terus berlaku esok akibat sikap rakyat sendiri. "Sebagai contoh kes terbaru, pergi mesyuarat di Kuala Lumpur. Tidak buat penilaian risiko, masuk kerja macam biasa. Akhirnya 36 disahkan positif dan ribuan kontak terpaksa disaring "Berpuluh-puluh kisah yang disahkan tiada pematuhan SOP boleh dikongsi untuk diambik iktibar. SOP semua 'ke laut'. Sebab apa 'ke laut'. Sebab mereka tak cakna, sambil lewa dan perlekehkan pematuhan SOP. Semuanya dianggap rekaan dan menyusahkan," katanya. Sehubungan dengan itu, beliau mahu semua pihak serius, tidak pandang rendah terhadap SOP seperti mengadakan perbincangan menyemak kertas peperiksaan hingga mengakibatkan tiga guru positif. “Semua pemimpin masyarakat daripada semua peringkat dan ketua jabatan perlu memastikan pematuhan SOP dalam kalangan rakyat, anggota dan organisasi masing-masing,” rayu beliau. Untuk rekod katanya, seramai 14 orang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) buat masa ini.
18 May 21
1770
Nafi Kuat Kuasa Had masa Keluar Rumah
Nafi Kuat Kuasa Had masa Keluar Rumah
KUALA TERENGGANU, 17 Mei – Polis Marang menafikan pihaknya telah mengeluarkan arahan perintah berkurung bermula jam 10 malam dan akan menangkap sesiapa yang melanggar arahan berkenaan. Ketuanya, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, pihaknya mengesan berita palsu berkenaan yang ditularkan melalui media sosial sejak Ahad lalu. "Kenyataan yang dikeluarkan itu adalah tidak benar.  "Justeru, orang ramai dinasihatkan bertenang dan tidak mudah mempercayai serta terpengaruh dengan berita yang disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya dalam satu kenyataan. Tambah beliau lagi, penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dengan niat membuat penyebaran berita dan kandungan palsu adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun. PDRM bagaimanapun meminta orang ramai patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan ketika ini bagi mengelakkan penularan wabak pandemik COVID-19 dalam komuniti. Pada Ahad, tular maklumat palsu mengatakan PDRM Marang akan melaksanakan pematuhan PKP dan menguatkuasakan had masa PKP bermula malam Ahad. Info tersebut turut mengatakan mana-mana individu atau kumpulan yang didapati berada di luar rumah atau premis kediaman melebihi jam 10 malam tanpa alasan munasabah akan dikenakan tindakan dan kompaun mengikut Akta 134. Berdasarkan maklumat tersebut, nilai kompaun yang akan dikenakan ialah sebanyak RM2,000 hingga RM5,000 bergantung kesalahan.  
17 May 21
1032