lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

PKPD : Polis Laksana Sembilan Sekatan Jalan Raya Di Kuala Terengganu
PKPD : Polis Laksana Sembilan Sekatan Jalan Raya Di Kuala Terengganu
KUALA TERENGGANU, 30 Mei - Sebanyak sembilan sekatan jalan raya (SJR) di laluan utama di daerah dilaksanakan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuatkuasa hari ini sehingga 12 Jun. Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din melaporkan, pihaknya juga melaksanakan 10 sekatan di beberapa laluan alternatif melibatkan sempadan daerah Kuala Nerus, Marang dan Hulu Terengganu yang menghubungkan Kuala Terengganu. “Dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR), sekatan penghadang plastik dan batu dikenakan di laluan tersebut," katanya kepada pemberita selepas memantau SJR di Jambatan Sultan Mahmud, hari ini. Beliau turut memberi amaran keras kepada sesiapa yang bertindak mengalih atau mengubah penghalang yang diletakkan di jalan-jalan berkenaan. “Pihak PDRM tidak teragak-agak untuk mengenakan tindakan tegas jika penduduk di sekitar SJR berbuat kesalahan sedemikian," katanya lagi. Abdul Rahim turut mengingatkan masyarakat khususnya di kawasan PKPD di 21 mukim Kuala Terengganu supaya duduk di rumah dan hanya keluar atas urusan perlu mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan. “Sekiranya ingin membeli barangan keperluan, hanya seorang wakil isi rumah sahaja dibenarkan keluar membeli kemudian terus pulang ke rumah,” jelasnya.  
30 May 21
2708
'Jangan Buat Pembelian Panik' - Exco Terengganu
'Jangan Buat Pembelian Panik' - Exco Terengganu
KUALA TERENGGANU, 29 Mei – Susulan pengumuman Perdana Menteri berkenaan pelaksanaan ‘total lockdown’ di seluruh negara, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat pembelian panik kerana bekalan barang keperluan dijamin mencukupi. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak memaklumkan, barangan harian masih boleh dibeli di kedai runcit terpilih dan pasar raya semasa 'lockdown' dengan prosedur operasi standard (SOP) tertentu. "Sehubungan dengan penularan gambar orang ramai berpusu-pusu membeli barangan di beberapa pasar raya besar di sekitar Kuala Terengganu, saya nasihat elaklah pembelian panik kerana kuantiti barang keperluan harian tetap boleh dibeli dan mencukupi. “Jika berlaku, ia akan menimbulkan keadaan yang sesak dan kerisauan terhadap kemungkinan penyebaran wabak COVID-19 adalah tinggi, terutamanya pada masa kini. “Oleh itu, kurangkan bersesak-sesak dan patuhi (SOP) kerana situasi stok barangan masih terkawal,” jelasnya ketika dihubungi pemberita, hari ini. Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Ahmad Amzad Hashim turut menyuarakan peringatan sama. "Ini adalah bahaya kepada diri sendiri, orang ramai bila terlalu ramai berada berdekatan antara satu sama lain dengan kemungkinan penularan virus boleh berlaku. "Saya mohon supaya rancang dengan baik keperluan kita. Pilih kedai yang tak terlalu sesak serta hindar daripada membeli pada kuantiti berlebihan," katanya menerusi laman rasminya di Facebook, hari ini. Hari ini tular gambar orang ramai bersesak-sesak di beberapa pasar raya di negeri ini.
29 May 21
700
Lockdown Terengganu, Kerajaan Negeri Salur Bantuan Segera RM420,000
Lockdown Terengganu, Kerajaan Negeri Salur Bantuan Segera RM420,000
KUALA TERENGGANU, 29 Mei - Berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan 'total lockdown', kerajaan negeri akan memperuntukkan bantuan bersasar di Mukim Kuala Berang dan Kuala Terengganu. Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sebanyak RM420,000 akan disalur bagi meringankan beban mereka yang terjejas susulan penguatkuasaan PKPD. "Sebelum ini, Kerajaan Negeri juga telah menyediakan bantuan bersasar buat 15 mukim di daerah Besut yang turut dikenakan PKPD sebanyak RM400,000," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. Sementara itu, Ahmad Samsuri turut menyeru seluruh masyarakat Terengganu untuk kekal bertenang dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) selepas pengumuman pelaksanaan 'total lockdown' yang akan bermula pada 1 hingga 14 Jun. Beliau menasihati rakyat supaya berganding bahu dan bersatu dalam memutuskan rantaian COVID-19. "Usah kita menuding jari sehingga mencetuskan suasana yang tidak harmoni, teruskan bermunajat kepada Allah dan berdoa agar ujian ini segera berakhir dan kehidupan kita kembali normal seperti biasa," jelasnya. Untuk rekod, keputusan 'lockdown' diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam selepas mengambil kira situasi terkini penularan COVID-19 di Malaysia dengan jumlah kes harian telah melebihi 8,000 kes dan kes aktif melebihi 70,000 kes dalam negara.
29 May 21
4030
Bantuan PKP, PKPD Diagih Secara Telus
Bantuan PKP, PKPD Diagih Secara Telus
BESUT, 28 Mei – Kerajaan Terengganu memberi jaminan bahawa agihan bantuan kepada rakyat yang berdepan dengan situasi terdesak akibat wabak COVID-19 terutama di daerah Besut, dibuat secara telus. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, di Dewan Undangan Negeri (DUN) beliau, setiap tugasan yang diberikan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) akan dipantau perlaksanaannya. Malah jelasnya, laporan mesti dihantar ke Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk direkodkan. "Mohon jangan ada pihak terlalu mudah buat tohmahan tanpa bukti bahawa agihan tidak telus, ‘Tok Ngulu’ makan sendiri, ‘Tok Ngulu’ bagi anak beranak dan sebagainya. "Kalau ada bukti, saya terbuka untuk terima dan buat tindakan pembetulan. Setiap kelemahan mesti diperbaiki," katanya. Beliau berkata demikian selepas mengagihkan bekalan barangan bantuan sempena PKPD Besut di setiap rumah Pengerusi JPKK Dun Jabi, semalam. Ujar Dr Azman, bilangan keluarga yang dikuarantin di Jabi semakin meningkat, sehubungan dengan itu pihaknya akan menyelesaikan dulu agihan bekalan untuk mereka yang tidak dapat keluar rumah kerana dihadkan pergerakan. "Untuk meminimakan pergerakan, ‘Tok Ngulu’ hanya perlu tunggu di rumah. Saya akan menghantar barang untuk diagihkan kepada penerima yang telah disenaraikan. "Ingatan kepada 'Tok Ngulu' jangan ada seorang pun anak buah kita yang memerlukan pertolongan tercicir daripada menerima bantuan. Kena perhatikan sebaiknya dalam kampung masing-masing. Slogan PKPD kita, biar sama lapar sama kenyang," katanya. Tambahnya, bantuan sebanyak RM400,000 yang diluluskan Kerajaan Negeri untuk Besut baru-baru ini sedang dan akan diberikan kepada mereka yang memerlukan. "PKPD mungkin berlanjutan melihat kepada situasi kes sekarang. Kita perlu rancang program bantuan sebaiknya agar memberi manfaat dengan tepat kepada sasaran dalam tempoh PKPD berkuatkuasa. "Dalam masa yang sama, Pejabat ADUN Jabi  menggunakan sumber-sumber tambahan lain agar keperluan rakyat mampu dipenuhi dalam situasi mendesak sekarang," tambah beliau. Tegasnya, setiap sen yang dibelanjakan adalah direkodkan dengan laporan lengkap perlu dihantar kepada pentadbiran negeri.
28 May 21
508
COVID-19 : Penggunaan Katil Hospital Terengganu Hampiri Maksimum
COVID-19 : Penggunaan Katil Hospital Terengganu Hampiri Maksimum
KUALA TERENGGANU, 28 Mei – Terengganu dilaporkan antara beberapa negeri dengan kadar penggunaan katil hospital kerajaan bagi rawatan COVID-19 yang telah mencapai penggunaan maksimum. Menurut laporan Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), sehingga hari ini peratusan penggunaan katil semasa berbanding kapasiti sebenar di empat Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) dalam negeri kini mencecah 76 peratus. Jelasnya, PKRC Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM), Kuala Terengganu mempunyai kapasiti 162 katil dengan 88 daripadanya dipenuhi, diikuti Kem Wawasan di besut dengan 132 buah katil dipenuhi daripada jumlahnya iaitu 200 buah katil. “Universiti Teknologi Mara (UiTM) Chendering 999 buah katil diisi pesakit daripada 1,128 katil dan PKRC Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sultan Mizan, dengan 150 katil dipenuhi daripada jumlah 305 katil,” katanya menerusi laman rasmi twitter NADMA. Kerisauan tersebut turut dibangkitkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba yang menyenaraikan Terengganu bersama negeri lain seperti Johor, Kelantan, dan Sarawak yang katilnya mencapai had maksimum  “Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan kaedah ‘repurpose’ serta mempertingkat kerjasama dengan hospital swasta dan pusat pengajar hospital universiti bagi memastikan jumlah katil untuk rawatan kes COVID-19 mencukupi,” katanya seperti dilaporkan Bernama, semalam. Terbaharu, PKRC kelima telah dibuka semalam di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kuala Nerus yang menempatkan sebanyak 484 katil bagi menampung peningkatan pesakit virus. Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Nor Azimi Yunus berkata, melihat trend peningkatan kes dalam negeri berkemungkinan memberi petanda katil PKRC sedia ada masih tidak mencukupi. “Oleh itu, saya pohon semua rakyat Terengganu kekalkan kepatuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) supaya kita bukan menjadi salah seorang penghuni katil di PKRC itu,” katanya menerusi laman Facebook miliknya.  
28 May 21
1294
Cahaya 'Bulan Berdarah' Terangi Bandar Pesisir Pantai
Cahaya 'Bulan Berdarah' Terangi Bandar Pesisir Pantai
KUALA TERENGGANU, 26 Mei – Fenomena gerhana bulan penuh atau ‘bulan berdarah’ kelihatan di sekitar bandar persisir pantai Kuala Terengganu bermula pada 4.47 petang tadi dan berakhir malam ini. Menurut laman rasmi Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), fenomena itu mempunyai nama unik berdasarkan bulan kelihatan berwarna kemerahan selama kira-kira 14 minit pada fasa gerhana penuh. Katanya, fenomena gerhana itu akan berlaku selepas beberapa jam bulan berada pada kedudukan yang paling hampir dengan Bumi (perigee) dengan jarak 357,309 km. “Sekitar jam 7.19 malam kemuncak gerhana maksimum boleh dilihat di Semenanjung ketika bulan sedang terbit dan rendah di ufuk timur,” jelasnya. Tinjauan Urus Setia Penerangan Darul Iman di kawasan Drawbridge mendapati peristiwa astrologi yang terakhir berlaku pada tahun 2018 itu kelihatan terang walaupun dikaburi dengan cuaca mendung. Fenomena Bulan Berdarah di langit Drawbridge Kuala Terengganu Berdasarkan kenyataan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu (JHEAT), masyarakat diseru melakukan solat sunat gerhana bulan antara pukul 7.13 malam sehingga 8.52 malam bagi memenuhi tuntutan sunat muakkadah. Selain solat sunat, antara sunnah ketika fenomena gerhana termasuk beristighfar memohon keampunan Allah, takbir, tasbih, tahmid, sedekah dan memperbanyakkan amalan sunat.  
26 May 21
899
90 Positif Akibat Rentas Negeri, Daerah Sambut Aidilfitri
90 Positif Akibat Rentas Negeri, Daerah Sambut Aidilfitri
KUALA TERENGGANU, 25 Mei – Kegembiraan dapat merentas negeri dan daerah dengan pelbagai alasan untuk menyambut Aildilfitri bertukar hiba buat 90 individu apabila mereka disahkan positif COVID-19, setakat semalam. Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Nor Azimi Yunus berkata, antara kisah yang berjaya dibongkar ialah apabila ramai ahli keluarga positif di satu lokaliti dan dikaitkan dengan pulang dari zon merah secara ‘senyap-senyap’. “Seramai 30 orang telah merentas negeri dan daerah atas pelbagai sebab melibatkan daerah Kuala Terengganu, Hulu Terengganu dan Kemaman menyebabkan sejumlah 90 orang disahkan dijangkiti virus. "Pihak berkuasa larang ziarah hari raya. Kita buat juga secara diam-diam dengan alasan anak-beranak sahaja. Kalau betul patuh  prosedur operasi standard (SOP) jangkitan mesti kecil, kita dan anak-anak sahaja, bukan semua dijangkiti termasuk datuk, nenek, mak saudara, bapa saudara, cucu dan sepupu," katanya menerusi laman facebook rasminya. Menurutnya, situasi peningkatan kes positif COVID-19 di Terengganu sehingga tiga angka masih tidak menunjukkan jalan keluar berikutan sikap masyarakat yang tidak serius. Dr Nor Azimi menjelaskan, trend kenaikan kes hasil daripada anjuran majlis berbuka puasa dan jemaah tadarus dapat dielakkan jika SOP dipatuhi. “Pelanggaran demi pelanggaran berlaku. Hasilnya kita nampak kes naik dan kematian juga berkali ganda. Walaupun pahit, kita perlu akui hakikat kita turut sama penyumbang kepada kenaikan kes meningkat ini,” luahnya. "Kita larang buat majlis berbuka, tadarus dan gotong-royong tetapi kita buat juga, siiap sembelih kerbau lagi, buat di kamung sebab orang tak nampak, akhirnya terbongkar apabila ramai jemaah masjid, tadarus positif," katanya. Tegasnya lagi, aktiviti perkumpulan di kawasan sesak seperti pusat membeli belah dan kedai makan turut menjadi penyumbang virus berleluasa. "Terbaru, sebuah pasar raya baru saja ditutup 14 hari kerana 17 pekerjanya disahkan positif. Mereka bertebaran di beberapa daerah, pastinya beribu-ribu orang masuk ke pasar raya itu sebelum hari raya baru-baru ni. "Kita pakaikan gelang suruh duduk rumah, bukan merayau-rayau memberi risiko kepada orang lain. Orang suruh patuhi SOP kita langgar, segala-galanya tak kena," tegasnya. Jesteru, beliau menegaskan kepentingan pematuhan SOP kepada semua lapisan masyarakat demi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 dengan cepat. “Kali ini pengamalan SOP mesti ketat dan bukan 'suku-suku, separuh', ini kerana peranan tersebut kita yang tentukan,” nasihatnya. "Ada yang bagus dengan menjalani penilaian risiko dan kuarantin kendiri. Ini sekali gus dapat membataskan penularan, virus hanya menjangkiti keluarga sahaja," tambah beliau.
25 May 21
4215
Solat Jumaat Di Kawasan PKPD Besut Diganti Solat Zohor
Solat Jumaat Di Kawasan PKPD Besut Diganti Solat Zohor
KUALA TERENGGANU, 24 Mei- Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menitahkan solat Jumaat di kawasan Perintah kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi daerah Besut diganti dengan solat Zuhur bagi mencegah penularan COVID-19. Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Dato’ Osman Muda berkata, baginda amat mengambil berat dan menzahirkan menzahirkan kebimbangan akan peningkatan kes positif jangkitan harian COVID-19 di daerah Besut. Katanya, keputusan tersebut selaras dengan arahan Kerajaan Persekutuan yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 15 mukim dalam Daerah Besut bermula 22 Mei sehingga 4 Jun 2021. “Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu bersetuju selepas mengambil kira pandangan Sahibus Samahah Dato' Mufti Negeri Terengganu dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, perlaksanaan aktiviti ibadat di masjid dan surau di 15 mukim dalam daerah Besut yang dikenakan PKPD dengan tidak membenarkan aktiviti solat Jumaat di masjid untuk tempoh tersebut dan digantikan dengan solat Zohor. “Sementara solat berjemaah di masjid dan surau adalah dibenarkan dengan bilangan jemaah maksimum seramai lima orang sahaja melibatkan pegawai dan ahli jawatankuasa masjid atau surau. “Ahli qaryah hendaklah menggantikan solat Jumaat dengan menunaikan solat Zohor dan menunaikan solat- solat fardhu yang lain di rumah masing-masing,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini. Sementara itu Osman berkata, laungan azan di masjid dan surau adalah dibenarkan sebagai memakluman kepada ahli qaryah berkaitan masuk waktu solat tetapi  aktiviti-aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan lain tidak dibenarkan. Menurutnya lagi, solat jenazah di masjid dan surau juga tidak dibenarkan. “Pengurusan dan solat jenazah hendaklah dilaksanakan di rumah atau premis persendirian dengan hanya melibatkan kehadiran pegawai atau jawatankuasa masjid dan ahli keluarga terdekat tidak melebihi dua puluh orang sahaja. “Pengurusan pengebumian jenazah di Tanah Perkuburan pula dilaksanakan dengan kehadiran tidak melebihi dua puluh orang terdiri daripada pegawai atau jawatankuasa masjid, petugas dan ahli keluarga si mati sahaja,” jelasnya. Katanya, mana-mana masjid atau surau yang dikenakan arahan penutupan di bawah Seksyen 18 (1)(d) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) tidak dibenarkan melaksanakan apa-apa aktiviti sepanjang tempoh penutupan. “Jawatankuasa masjid dan surau dikehendaki mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Kesihatan dan Keselamatan dan garis panduan serta arahan yang dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu dari masa ke semasa,” ujarnya. Osman berkata, Sultan Mizan menyeru rakyat jelata khususnya di kawasan yang terlibat dengan PKPD mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dan sama-sama memainkan peranan bersama barisan hadapan dalam menangani wabak ini dari terus merebak dan seterusnya ianya dapat dikawal sepenuhnya.  
24 May 21
840
JPKK Dun Jabi Bantu Golongan Terjejas PKPD
JPKK Dun Jabi Bantu Golongan Terjejas PKPD
BESUT, 24 Mei – Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi bersiap sedia membantu golongan yang terjejas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata, PKPD selama dua minggu di kawasan terbabit menyebabkan ada golongan yang terputus bekalan makanan. "Beras MyGAP Ganu akan disalurkan untuk warga Jabi yang kehabisan bekalan dalam tempoh dua minggu PKPD. "Ada orang kita yang berkemampuan dan boleh manfaatkan kelonggaran ‘Standard Operating Procedures’ (SOP) PKPD untuk keluar beli barangan keperluan harian. "Tetapi ada orang kita yang walaupun diberi kelonggaran keluar cari bekalan, mereka tak dapat bekerja dan tiada duit, mereka inilah yang kita nak bantu dan wajib dibantu. Bukan beras saja, ada lagi barangan harian lain diberi," katanya. Beliau berkata demikian selepas mengagihkan bekalan bantuan makanan kepada semua JPKK DUN Jabi, hari ini. Dr Azman turut menegaskan kepada semua Pengerusi JPKK agar meningkatkan lagi tahap kecaknaan terhadap keadaan rakyat di bawah dalam menghadapi hari-hari sukar ini. "Kepada yang memerlukan, jangan segan dan malu untuk beritahu kepada 'Tok Ngulu' kita di kampung masing-masing. Beritahu terus kepada saya pun tak mengapa. "Untuk keluarga yang sedang dikuarantin memang ada dalam senarai kita dan sudah dibantu. Jiran-jiran pun tolong prihatin tentang sesama kita  Biar kita bersatu hati sama lapar dan sama kenyang dalam keadaan susah ketika ini" katanya lagi.
24 May 21
3671
Rakyat Besut Dirayu Duduk Di Rumah
Rakyat Besut Dirayu Duduk Di Rumah
BESUT, 24 Mei - Seluruh rakyat Besut dirayu agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk kekal berada di rumah jika tiada keperluan keluar sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, usaha itu amat penting bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 yang semakin mengganas. "Saya jarang keluarkan rayuan atau kenyataan minta kita semua duduk di rumah, namun terpaksa dirayu ramai orang kita sendiri tak duduk diam di rumah. "Sekali ini sahaja nak minta tolong jangan keluar rumah jika tiada keperluan. Biarlah tak nak duduk di rumah pun asalkan jangan keluar rumah. "Kes COVID-9 di Besut belum menampakkan trend penurunan. Kerajaan dah bagi beberapa ruang kelonggaran dalam SOP PKPD demi kelangsungan kehidupan rakyat. Manfaatkan sebaiknya dan jangan salah guna," katanya dalam satu kenyataan melalui laman sosial rasminya hari ini. Sementara itu menurut Dr Azman, dalam menghadapi situasi yang sukar sekarang ini, pihaknya juga adalah bertanggungjawab berada di barisan hadapan bagi menyelesaikan pelbagai isu rakyat. "Sebab itu kami diberikan kebenaran pergerakan untuk rentas daerah dan negeri dalam keadaan rakyat dinasihatkan supaya duduk di rumah. Ia bukan keistimewaan, tapi merupakan pelaksanaan tanggungjawab. "Tanggungjawab kami tidak sempurna dilaksanakan secara atas talian (online). Tambah-tambah lagi apabila sektor yang dijaga adalah Senarai Perkhidmatan Perlu yang melibatkan rakyat umum terbanyak yang tidak berapa ambil tahu apa itu ‘online’. "Janganlah anggap keistimewaan apabila kami boleh ke kebun, ladang, sawah, jeti nelayan dan sebagainya kerana kami juga sebagai manusia kalau boleh tentulah kami pilih untuk duduk bersama keluarga, anak dan isteri," jelasnya lagi.
24 May 21
322