Artikel "Semasa" Terkini
Malaysia Iktiraf Perjuangan Palestin Sejak 1957
KUALA TERENGGANU, 16 Mei – Malaysia telah berperanan lama dalam mengiktiraf dan menyokong perjuangan Palestin iaitu sejak awal penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957.
Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, Malaysia pernah memainkan peranan yang sangat berani semasa pimpinan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj.
“Beliau tegar menjemput Syeikh Mohammed Amin al-Hussaini, Mufti Palestin dan pemimpin gerakan Palestin yang diharamkan oleh negara-negara barat daripada mendapat visa untuk melawat seluruh dunia kerana tidak mendukung Berikat yang mempunyai Zionis dalamnya ketika Perang Dunia Kedua.
“Tindakan Syeikh Amin al-Hussaini yang tidak mendukung Berikat menyebabkan beliau sudah disekat pergerakannya.
“Namun, ketika Musabaqah al-Quran yang pertama pada tahun 1960, saya masih ingat lagi walaupun masih remaja, Almarhum Syeikh Amin al-Hussaini dijemput oleh Kerajaan Malaysia untuk datang ke Malaysia dan berucap dalam Musabaqah al-Quran yang pertama itu di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptamanya sempena Majlis Pelancaran Kempen #Aid4Palestine, malam semalam.
Sementara itu, beliau yang juga Presiden PAS tidak menolak kemungkinan besar berlakunya gencatan senjata di kawasan bergolak itu namun berpendapat ia bukan bertujuan untuk berdamai.
“Senario ini kemungkinan digerakkan oleh Amerika dan kuasa-kuasa besar dunia bagi mempengaruhi negara-negara Islam dan Arab supaya menerima gencatan senjata.
“Tujuannya bukan untuk berdamai, namun untuk menyelamatkan Israel yang ganas. Usaha itu sedang dijalankan sekarang.
“Kita doakan supaya Allah SWT memberikan kekuatan iman, ikhlas, dan istiqamah kepada saudara-saudara kita di Palestin yang sedang mengorbankan diri, jiwa raga, keluarga, anak-anak, harta, dan segala nikmat, termasuklah bekalan air yang terputus. Inilah pengorbanan,” katanya lagi.
16 May 21
257
"Demi Rakyat, Saya Sanggup Berkorban" - Hanafiah Mat
KEMAMAN, 16 Mei - "Saya menerima panggilan daripada seorang ibu mengatakan anaknya teringin makan satay pada pagi raya. Selepas solat sunat Aidilfitri, saya segera membungkus dan ke sana untuk menghantar hidangan itu bersama kuih dan duit raya untuk anak mereka.
"Ketika itu, ada dalam empat hingga enam rumah yang saya kunjungi untuk tujuan sama.
"Saya reda (dikenakan kompaun), sekurang-kurangnya saya boleh menjawab kepada Allah SWT (nanti), amanah yang orang letakkan ke atas saya sebagai wakil rakyat, saya sudah tunaikan permintaan mereka.
"Demi rakyat, saya rela berkorban, dikompaun," itu penjelasan daripada Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat ketika ditemui pemberita di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman.
Hanafiah dikenakan tindakan kompaun sebanyak RM2,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkaitan larangan aktiviti ziarah sempena Aidilfitri.
Hanafiah yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai terbabit hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman kira-kira 9 malam tadi. Kompaun yang dikenakan ke atasnya disampaikan sendiri oleh Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan.
16 May 21
799
1,627 Kompaun Dikeluarkan Sehingga Kini, Masih Ramai Keliru SOP
KUALA TERENGGANU, 15 Mei – Sejumlah 1,672 kompaun telah dikeluarkan daripada 8 April sehingga kini atas pelbagai kesalahan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, kes terbaharu melibatkan 43 individu yang bersiar-siar sekeliling tempat awam di dataran drawbridge Kuala Terengganu.
“Sebanyak 43 kesalahan adalah melibatkan individu tidak mematuhi SOP penjarakan fizikal di kawasan sepanjang Pantai Seberang Takir kemudian kawasan sekeliling Jambatan Angkat sehingga ke Pantai Batu Buruk.
“Jumlah keseluruhan kompaun adalah RM172,000 telah dikeluarkan kepada 43 individu ini mengikut Seksyen 17 (1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya.
Sementara itu, sepanjang tempoh Hari Raya pada jumaat dan hari ini, 47 individu dikompaun dengan tiga kesalahan tiada surat rentas negeri, rentas daerah dan dua kesalahan langgar SOP.
Menurutnya juga sepanjang Khamis dan Jumaat minggu ini, sembilan individu dikenakan kompaun atas kesalahan tidak memakai topeng pelitup muka, tidak mendaftar nama dan mengimbas suhu dengan empat kesalahan tiada surat rentas negeri.
Tambah Roslee, beliau turut menasihati masyarakat supaya mematuhi peraturan SOP semasa PKP pada musim Aidilfitri bagi mengelakkan penularan COVID-19.
“Masih ramai keliru mengenai aktiviti ziarah sepanjang musim perayaan, saya ingin tegaskan sekali lagi, walaupun rumah bersebelahan dengan jiran atau keluarga masih tidak boleh ziarah.
“Kita sudah PKP setahun lebih dan masih lagi segelintir yang tidak faham, terdapat garis panduan menentukan aktiviti apa dibenarkan dan dilarang sepanjang tempoh PKP.
“Kita terpaksa bertegas jika ada yang masih tidak mengambil cakna tentang peraturan SOP, diharapkan agar masyarakat terus mematuhinya demi menjaga kita semua,” jelasnya.
15 May 21
1451
Semua Dikompaun, Tiada 'Double Standard'
BESUT, 14 Mei - “Semua orang tanpa terkecuali tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) dan saya akan menjelaskan kompaun sebagaimana orang lain,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim.
Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi seperti yang dipetik dalam Utusan Malaysia memaklumkan, kompaun tersebut dibayar di Pejabat Kesihatan Besut, Ahad ini.
Beliau hari ini dikompaun RM2,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berhubung larangan aktiviti ziarah pada Aidilfitri.
Terdahulu, Azman dalam hantaran terbaharu di laman Facebook turut memaklumkan selesai memberikan keterangan berhubung isu berkenaan dan menerima kompaun atas kesalahan dilakukan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintenden Abdul Rozak Muhammad berkata, turut dikenakan kompaun RM2,000 ialah tetamu yang juga jirannya, Zakaria Mahmud.
“Kedua-dua mereka menerima kompaun berkenaan selepas hadir memberikan keterangan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Besut kira-kira pukul 12 tengah hari ini,” katanya.
Sejak semalam, tular dua gambar yang memaparkan Zakaria berkunjung ke kediaman Azman di Besut selepas selesai menunaikan solat sunat Aidilfitri.
Bagaimanapun, kedua-dua gambar yang dimuat naik Zakaria di laman Facebook miliknya itu didapati sudah dipadam.
14 May 21
422
Kempen #Aid4Palestine Target Bantuan RM1 Juta Untuk Palestin
KUALA TERENGGANU, 13 Mei - Kerajaan Malaysia menubuhkan sekretariat #Aid4Palestine bagi menyelaras bantuan kewangan untuk Palestin melalui kaedah ‘crowdfunding’ dan menyasarkan kutipan sebanyak RM1 juta.
Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, perkembangan terkini yang berlaku di Palestin dengan serangan berterusan oleh regim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin adalah suatu tindakan zalim dan wajib dikecam.
"Justeru itu, kami telah mengadakan perbincangan khas pada petang 30 Ramadhan, melibatkan beberapa tokoh masyarakat dan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO), untuk mengambil tindakan proaktif dan segera bagi membantu perjuangan Palestin.
"Kami dengan penubuhan 'Sekretariat #Aid4Palestine' yang akan dipengerusikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi dengan kerjasama lebih 40 buah NGO yang akan bersama menggerakkan misi ini.
"Sekretariat ini turut akan berfungsi sebagai koordinator jaringan NGO dan masyarakat sivil bagi menggerakkan kempen kesedaran rakyat Malaysia terhadap perjuangan Palestin," katanya dalam satu kenyataan akhbar, semalam.
Menurut beliau yang juga Presiden PAS, hasil kutipan fasa pertama berjumlah RM350 ribu akan disalurkan pada 10 Syawal.
"Hasil kutipan terkumpul melalui NGO PAS Relief, Yayasan Amal Malaysia, Muslim Care Malaysia Society dan Cakna Palestin Malaysia.
"Manakala kutipan fasa kedua minima RM650 ribu akan dibuka sehingga 30 Syawal.
"Mudah-mudahan segala usaha yang dilakukan ini menjadi ganjaran dan pahala yang besar di sisi Allah sebagai tanda keimanan dan kasih sayang umat Islam kepada Palestin.
"Intifadhah di bumi Palestin adalah lambang kesatuan dan kebangkitan umat Islam seluruhnya melangkaui batas sempadan negara dan perbezaan mazhab, demi membela keadilan dan hak rakyat Palestin," jelasnya lagi.
Tambah Abdul Hadi, infak dan sumbangan setiap umat Islam bagi membantu perjuangan rakyat Palestin perlu diteruskan, sebagai tanda pengorbanan dan kasih kepada Masjid al-Aqsa dan bumi Palestin yang dimuliakan oleh Allah.
13 May 21
891
Segera Daftar Vaksin COVID-19 - Titah Sultan Mizan
KUALA TERENGGANU, 13 Mei – Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru seluruh masyarakat negeri ini untuk mendaftarkan diri dalam program vaksinasi Covid-19.
Titah Baginda, pengambilan vaksin adalah mustahak kerana ia sebagai langkah keselamatan untuk keluarga dan masyarakat di negara ini supaya dilindungi daripada virus tersebut.
"Beta dan Sultanah mengharapkan semoga ia menjadi titik permulaan berakhirnya wabak penyakit ini dan kehidupan akan kembali seperti sedia kala," titah baginda dalam perutusan khas sempena sambutan Aidilfitri.
Baginda turut menyeru agar seluruh rakyat memberi kepercayaan penuh kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menangani penularan Covid-19 menerusi penggunaan vaksin yang menjadi satu daripada ikhtiar melalui kaedah sains perubatan.
Sultan Mizan juga mengingatkan semua rakyat Terengganu supaya bersama-sama menghargai pengorbanan dan perkhidmatan diberikan pelbagai pihak terutamanya petugas barisan hadapan.
“Mereka sedang bekerja keras membendung wabak Covid-19 sehinggalah kemeriahan Aidilfitri dapat disambut dengan suasana aman, tenteram dan harmoni.
"Beta dan Sultanah menzahirkan penghargaan dan mendoakan segala khidmat bakti mereka diterima dan diberkati oleh Allah di dunia dan di akhirat," titah baginda.
Dalam pada itu, Sultan Mizan berharap rakyat dapat meneruskan amalan menjalinkan hubungan silaturahim dengan memanfaatkan kemudahan media baharu dan elektronik untuk menghubungi kaum keluarga, sahabat dan jiran tetangga, bersempena Aidilfitri yang disambut dalam suasana norma baharu.
Baginda bertitah amalan salam-bersalaman dan ziarah-menziarahi ke rumah sanak saudara boleh diganti dengan bertemu di alam maya dari rumah masing-masing.
"Kerinduan pulang ke kampung halaman untuk bertemu ibu bapa serta ahli keluarga Insya-Allah akan terubat walaupun dapat bertemu dalam talian. Dengan cara ini dapatlah juga kita bertanya khabar dan bermaaf-maafan antara satu sama lain," titah baginda.
Sementara itu, Sultan Mizan turut menyeru umat Islam untuk terus merealisasikan dan mempraktikkan sifat sabar yang dipelajari sepanjang bulan Ramadan ini.
"Maka janganlah dengan ketibaan Syawal, segala pelajaran yang diterima sepanjang Ramadan dilupakan begitu sahaja. Inilah masa untuk umat Islam mempraktikkan pendidikan Ramadan hingga kembali Ramadan tahun hadapan, agar segala dosa kita dihapuskan Allah," titah baginda.
Sehingga semalam, Terengganu masih terendah berbanding negeri pantai timur lain dengan jumlah 280,900 pendaftaran, (Pahang: 398,027 pendaftaran) (Kelantan: 338,298 pendaftaran) berdasarkan laporan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).
13 May 21
282
Lebih 400 Pelita Terangi Malam Raya Keluarga Zamani
KUALA NERUS, 13 Mei – Budaya malam pelita raya bagi menghidupkan suasana Aidilfitri diteruskan dengan rekaan tersendiri oleh sebuah keluarga di Kampung Padang Air.
Menurut Mohammad Zamani Harun, 45, lebih 400 pelita digunakan dengan reka bentuk unik menerangi kawasan rumahnya.
“Kos minyak kira-kira RM80 sehari, ia digunakan kerana harganya lebih murah berbanding minyak tanah.
“Setakat ini kami membelanjakan lebih RM500 untuk minyak diesel, pelita besi dan menggunakan kayu buluh untuk dijadikan pelita.
“Dengan adik beradik yang tinggal berdekatan disini, jadi ia memeriahkan dan memudahkan aktiviti menghiaskan sekeliling kediaman,” katanya ketika ditemubual pemberita.
Tambahnya, penggunaan buluh sebagai pelita raya turut menjimatkan kos berbanding membeli pelita biasa namun cabarannya datang daripada mencari saiz yang sesuai.
Sementara itu, Zamani turut mencetuskan idea untuk membina replika kapal selam KRI Nanggala 402 yang karam di Indonesia baru-baru ini sebagai tanda mengingati pengorbanan mereka.
“Untuk memasang rekaan kapal selam itu pula memakan masa sehari, namun usaha itu berbaloi kerana ramai datang berkunjung untuk bergambar.
“Tahun lepas juga kita jadikan kereta using sebagai tarikan, ini adalah amalan tradisi keluarga yang diteruskan walaupun dalam norma baharu serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Walaupun hari raya disambut secara sederhana, aktiviti sebegini menaikkan semangat Aidilfitri dan eratkan hubungan kami sekeluarga," jelas Zamani.
13 May 21
752
Hotel Primula Bantu Penjaja Jalanan, Ikhlaskan Hati ‘Memberi’ Walau Sedikit
KUALA TERENGGANU, 12 Mei - Primula Beach Hotel terus komited menyantuni 25 penjaja jalanan di sekitar daerah ini menerusi program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka.
Pengurus Besarnya, Suaibah Harun berkata pihaknya terpanggil untuk tampil memberikan sumbangan seumpama makanan dan kuih raya agar penerima dapat menikmati kehidupan seperti orang lain.
"Jika kita daripada golongan yang kurang terjejas, masih ada makanan dan minuman diatas meja untuk disuap, masih ada menanti gaji tetap setiap bulan, inilah masalah untuk kita membantu golongan yang terkesan ini.
"Tidak salah untuk ikhlaskan hati ‘memberi’ kepada mereka walaupun sedikit. Semoga dengan cara ini dapat memberi kebahagiaan, harapan dan keazaman buat mereka untuk terus berniaga, mencari rezeki halal dan meneruskan kelangsungan hidup," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengagihkan sumbangan di hadapan Maybank Kuala Terengganu, hari ini.
Tambah Suaibah lagi, pihak hotel memperuntukan lebih RM3,000 ringgit bagi menyediakan makanan untuk berbuka puasa serta kuih raya untuk program CSR kali ini.
"Kami berharap program seperti ini dapat mendidik dan menjadi penggerak kepada orang ramai untuk menyalurkan sumbangan buat golongan di luar sana yang amat memerlukan bantuan," ujarnya.
12 May 21
213
Bazar Aidilfitri Ditutup 10 Malam Hari Ini
KUALA TERENGGANU, 11 Mei – Operasi bazar aidilfitri di Terengganu ditamatkan pada jam 10 malam tadi susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan bermula esok.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, keputusan itu diambil sebagai langkah yang lebih tegas dan ketat bagi mengekang penularan wabak COVID-19 dalam negeri.
“Bazar Aidilfitri sebelum ini sudah diputuskan untuk tutup sehari sebelum raya.
“Para peniaga bazaar Aidilfitri masih ada peluang untuk meneruskan perniagaan sehingga malam ini dan kita harap mereka dapat mematuhi arahan tersebut.
“Namun begitu, bagi bazar Ramadan, tarikh akhir operasi yang dibenarkan adalah sehingga jam 7 malam esok (Rabu),” katanya ketika dihubungi Urus setia Penerangan Darul Iman (UPDI), hari ini.
Jelasnya, penguatkuasaan tersebut adalah berdasarkan keputusan Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Terengganu sebelum ini.
“Peraturan ini melibatkan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) daerah kecuali Besut,” katanya lagi.
Beliau turut menasihati kepada para pengunjung supaya mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) di bazar dengan menjaga penjarakan sosial serta menghindari daripada aktiviti berkumpul beramai-ramai.
11 May 21
445
Genap Tiga Tahun, Sukar Tapi 'On Track'
KEMAMAN, 10 Mei - Sempena tiga tahun pentadbiran kerajaan Terengganu hari ini ia boleh disifatkan sebagai mencabar namun berada di landasan tepat apabila beberapa kejayaan telah dicapai.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, dalam tempoh tiga tahun pentadbiran pelbagai manifesto telah dilaksanakan.
“Dalam tempoh ini cabarannya memang banyak kerana kita mulakan kerajaan ini bukan daripada kosong contohnya masalah berkaitan projek atau bangunan terbengkalai, sistem yang perlu diperbaiki dan sebagainya yang sememangnya memakan masa.
“Selain itu, bagaimana kita hendak memurnikan keadaan yang ada dan akhirnya memberi manfaat kepada rakyat, sudah tentu tiga tahun tidak sama dengan 30 tahun, saya harap rakyat berilah mandat kepada kerajaan hari ini untuk melakukan sesuatu perubahan yang lebih besar,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai tiga tahun pentadbiran kerajaan negeri selepas mengadakan lawatan ke Madrasah Ad Dirasat Al Islamiah ,Bukit Kijang Kemasik dan Akademi Pendidikan Al Bahjah ,Kijal di sini semalam.
Katanya, antara manifesto yang telah dilaksanakan termasuk pengecualian cukai pintu, pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu dan lesen percuma untuk anak muda.
“Banyak lagi yang kita buat termasuk pemberian lot tanah rumah yang sedang berjalan kerana ianya perlu dilaksanakan secara berperingkat,” ujarnya.
Katanya, kerajaan telah menyalurkan bantuan rakyat yang begitu banyak tetapi di waktu yang sama terpaksa menanggung pembayaran projek yang disiapkan kerajaan sebelum ini yang berasaskan pembayaran secara berjadual untuk memastikan kesejahteraan rakyat.
“Justeru, diharap rakyat dapat beri kepercayaan kepada kami untuk melunaskan janji-janji manifesto sebelum ini,” ujarnya.
10 May 21
531