Artikel "Semasa" Terkini
PKP : Kebenaran Pergerakan Boleh Dimohon Dengan Surat Jabatan Pertanian Berkaitan
KUALA TERENGGANU, 5 Jun - Penggiat pertanian dalam negeri kini boleh menggunakan surat pengesahan jabatan atau agensi dalam sektor tersebut untuk mendapatkan kebenaran pergerakan daripada pihak berkuasa semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) adalah antara kementerian yang dikecualikan daripada mengguna pakai Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0 daripada MITI.
"Ini bermakna warga pertanian boleh terus menggunakan surat pengesahan pergerakan dalam tempoh PKP 3.0 dan PKPD daripada MAFI yang telah dikeluarkan sebelum ini.
"Bagi yang belum memohon, permohonan boleh diajukan di Pejabat Pertanian, Veterinar, Perikanan,Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Peladang dan Pembangunan Pertanian Bersepadu Terengganu Utara (IADA Ketara) di daerah masing-masing mengikut sektor yang berkaitan," katanya menerusi laman Facebook rasminya, semalam.
Tambahnya, beliau turut menasihati golongan industri tersebut supaya sentiasa menjaga kesihatan diri serta mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Majlis Keselamatan Negeri (MKN) dalam usaha memutuskan rantaian COVID-19.
Sebelumnya, kgeerajaan negeri turut melancarkan bantuan khas input pertanian sebanyak RM300,000 kepada 500 pengusaha cili di seluruh Terengganu dalam menangani kesan ekonomi di musim pandemik ini.
05 Jun 21
1055
4 Tan Ikan Diagih Kepada Penduduk
KUALA TERENGGANU, 4 Jun - Sebanyak empat tan ikan cencaru diagih kepada penduduk di daerah ini khususnya golongan B40 dan yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, sumbangan kepada lebih 4,000 keluarga itu merupakan sebahagian daripada inisiatif pihaknya bagi mengurangkan beban rakyat.
“Setiap golongan sasar akan menerima satu kilogram ikan tersebut yang telah diagihkan melalui wakil Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), saya anggarkan 16,000 orang akan menerima manfaat itu.
“Untuk tempoh seminggu ini kita telah membelanjakan sekitar RM200,000 untuk daerah, sebelum ini kita turut agihkan barangan keperluan harian kira-kira 1,200 bakul makanan berisi beras, minyak masak, tepung dan lain-lain lagi kepada golongan memerlukan,” katanya selepas Program Bantuan Bekalan Basah di Flat Ladang, hari ini.
JPKK sedang membungkus ikan untuk diagihkan kepada penduduk.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Menurut Ahmad Amzad, sebelum ini pihaknya turut mengagihkan 10,000 keping roti canai kepada penduduk dan ia dapat membantu menjana ekonomi lebih 30 peniaga roti canai sekitar Kuala Terengganu.
Dalam perkembangan sama, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu berkata, selepas ini pihaknya juga akan mengagihkan bahan mentah seperti ayam kepada golongan memerlukan selain sumbangan 1,200 bakul makanan.
"Keutamaan sumbangan bakul makanan kali ini adalah mereka yang belum terima bantuan yang diuruskan oleh Jawatankuasa Pembangunan Komuniti Kampung (JPKK). Seiring dengan pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh dan PKPD, mereka akan hantar sumbangan terus ke rumah penerima,” katanya.
Tambah Ahmad Amzad lagi, Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Kuala Terengganu dengan kerjasama setiap DUN turut bersedia jika ada sebarang keciciran dalam agihan bantuan yang berlaku.
“Kita juga membuat persiapan jika ada yang tercicir, jika ada orang keputusan bekalan makanan di rumah tolong beritahu kepada wakil rakyat masing-masing, kita akan bantu,” katanya.
04 Jun 21
819
PKPD Besut Dilanjutkan Sehingga 18 Jun
KUALA TERENGGANU, 3 Jun - Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 15 mukim di Besut, Terengganu yang sepatutnya berakhir esok (4 Jun), dilanjutkan sehingga 18 Jun depan.
Mukim-mukim terlibat ialah Kampung Raja, Keluang, Lubuk Kawah, Bukit Kenak, Pelagat, Jabi, Tembila, Kerandang, Bukit Puteri, Pengkalan Nangka, Kuala Besut, Pasir Akar, Kubang Bemban, Tenang dan Hulu Besut.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat selepas penilaian risiko Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berikutan masih terdapat penularan kes berlaku di lokaliti itu.
"Sehingga kini, KKM telah melakukan 3,569 ujian saringan dan 281 daripadanya disahkan positif COVID-19.
"KKM mendapati masih berlaku penularan berterusan dalam kalangan penduduk serta terdapat juga kes baru direkodkan di lokaliti tersebut.
"Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD di 15 mukim dalam daerah Besut, Terengganu
bermula 5 Jun sehingga 18 Jun 2021," ujarnya dalam satu kenyataan.
03 Jun 21
1038
Naik Taraf Katil PKRC, Strategi Hadapi Peningkatan COVID-19
KUALA TERENGGANU, 2 Jun – Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengambil langkah proaktif dengan menaik taraf 71 katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) Kolej Jururawat sebagai katil tambahan wad COVID-19 untuk Hospital Sultanah Nur Zahirah.
Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, langkah itu dibuat selepas mengambil kira peningkatan kes COVID-19 bagi kategori 3.
Namun katanya, ia tidak bermaksud katil biasa COVID-19 di Terengganu sudah tenat sebaliknya ia merupakan strategi dan keperluan.
"Manakala untuk katil ICU pula, seiring dengan peningkatan pesakit yang memerlukan perawatan ICU maka 17 katil ICU tambahan telah disediakan menjadikan jumlah katil ICU untuk merawat kes COVID adalah 37 buah semuanya.
“Setakat semalam hanya 14 kes sedang dirawat di ICU yang mana darinya memerlukan bantuan pernafasan. Katil ICU untuk merawat kes bukan COVID-19 juga disediakan,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa HSNZ merupakan satu-satunya hospital dalam negeri ini yang menawarkan pelbagai perkhidmatan kepakaran di Terengganu.
“Oleh itu, hanya 236 katil atau 21 peratus daripada 1,107 katil di HSNZ yang boleh dikhaskan untuk merawat kes COVID-19.
“Justeru, HSNZ tidak boleh dijadikan hospital rawatan COVID-19 sepenuhnya kerana mereka turut merawat kes bukan virus pandemik termasuk dari daerah luar seperti Marang, Hulu Terengganu dan Setiu jika perlu dimasukkan ke wad," katanya lagi.
Jelasnya, dua hospital lain iaitu Hospital Setiu (76 katil) dan Hospital Hulu Terengganu (124 katil) turut dikhaskan untuk merawat kes virus itu sepenuhnya.
Dr Nor Azimi turut menasihati seluruh rakyat Terengganu agar kekalkan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk mengelakkan berlakunya masalah kekurangan katil.
“Namun sekiranya peningkatan kes positif berterusan, tidak mustahil kita juga mungkin akan mengalami masalah ketiadaan katil biasa atau katil ICU untuk merawat kes virus di Terengganu,” tegasnya.
02 Jun 21
699
Terengganu Salur RM300,000, Bantu Penanam Cili
KUALA TERENGGANU, 2 Jun – Kerajaan negeri melancarkan bantuan khas input pertanian sebanyak RM300,000 kepada 500 pengusaha cili di seluruh Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, langkah itu diambil selepas kelompok terbabit antara yang sangat terkesan akibat kejatuhan mendadak harga lada di pasaran.
"Tinjauan kami mendapati penanam lada antara yang terkesan akibat kejatuhan harga secara mendadak sehingga mencecah RM1.50 satu kilogram. Malah ada yang membiarkan saja buah lada rosak di kebun kerana tiada pasaran.
"Keadaan ini meletakkan petani bukan setakat tidak mendapat keuntungan, malah kehabisan modal untuk memulakan penanaman baru," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kata Dr Azman, berdepan dengan keadaaan yang sukar di musim pandemik COVID-19 ini, langkah segera perlu diambil sebagai ‘suntikan’ kepada pengusaha cili agar kembali bangkit dan bersemangat.
"Memahami rintihan para petani khususnya untuk kitaran modal bagi penanaman semula, inisiatof perlu dibuat bagi memastikan petani mampu bangkit semula dalam situasi sukar sekarang.’
"Jabatan Pertanian Negeri Terengganu telah diarahkan untuk menyediakan data bagi tujuan penyaluran bantuan segera," tambah beliau.
02 Jun 21
328
PKPD : Tiga Penghadang Laluan Tikus Dialih Individu Tidak Bertanggungjawab
KUALA TERENGGANU, 2 Jun – Penghadang batu yang menutup jalan alternatif memasuki daerah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kuala Terengganu telah dialih oleh individu yang tidak dikenali melibatkan tiga lokasi berbeza, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din berkata, kejadian disyaki berlaku pada waktu malam 30 Mei hasil rondaan polis di 10 laluan yang ditutup.
“Hasil siasatan mendapati tiga lorong tikus yang ditutup iaitu di susur keluar Kampung Jeram, laluan Kampung Tiruk (bersempadan Hulu Terengganu) dan Jalan Surau Haji Yaakob (bersempadan Marang) telah berlakunya perbuatan khianat mengalihkan penghadang yang diletakkan polis dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Terengganu.
“Mereka yang tidak bertanggungjawab ini dipercayai menggunakan motosikal bagi merentas daerah dan juga daripada penduduk setempat, kertas siasatan telah dibuka bagi mengesan individu terlibat,” katanya ketika ditemui media selepas melakukan tinjauan di susur keluar kampung jeram, pagi tadi.
Abdul Rahim menegaskan, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengenakan tindakan keras mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan boleh jatuhkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, hasil tinjauan polis di lokasi sama turut mengenakan kompaun dan saman kepada beberapa individu yang rentas daerah menggunakan lorong tikus (Jeram Tepoh ke Jeram Manir) serta kesalahan lain seperti menunggang motosikal tanpa topi keledar.
“Jika ada dikalangan mereka yang didapati bersalah merentas daerah tanpa kebenaran sah juga akan dikenakan kompaun sebanyak RM5000, diharapkan agar masyarakat boleh beri kerjasama dalam sama-sama memutuskan rantaian COVID-19,” tambah Abdul Rahim.
Untuk rekod, sebanyak sembilan sekatan jalan raya (SJR) di laluan utama di Kuala Terengganu dilaksanakan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuatkuasa sehingga 12 Jun bagi mengekang peningkatan virus dalam bandar raya itu.
02 Jun 21
5163
Terengganu Perhalusi Strategi Atasi Kegagalan Hadir Vaksinasi
KUALA TERENGGANU, 3 Jun - Kerajaan negeri sedang giat merangka strategi bagi mengatasi masalah ketidakhadiran penerima vaksin bagi fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dilancarkan April lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, langkah tersebut diambil setelah melihat lebih 10,000 individu dalam negeri gagal menghadiri sesi temu janji vaksinasi.
“Jumlah ini melibatkan warga emas dan golongan ‘co-morbid’ yang rata-rata memberi alasan seperti tidak ingat tarikh temu janji dan tiada kenderaan untuk pergi ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berdekatan.
“Menjangka akan berlakunya perkara ini, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) telah bersiap sedia dengan senarai pengganti lain, hasilnya tidak berlaku pembaziran dos vaksin setakat ini,” katanya dalam satu sidang media, kelmarin.
Mengulas lanjut berkenaan jalan penyelesaian itu, Dr Alias memaklumkan, Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri Terengganu (JKKNT) mencadangkan kaunter pemberian vaksin di masjid-masjid di semua daerah.
“Perbincangan sedang diadakan bersama JKNT dalam mengatasi keperluan tenaga kerja dan jurusuntik daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sekurang-kurangnya kita sasarkan satu masjid di satu kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Cadangan lain seperti daripada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) untuk mewujudkan pusat suntikan bergerak juga disuarakan, namun kita perlu selesaikan masalah kakitangan dan pemantau selepas sudah disuntik, perkara sebegini perlu diambil kira terlebih dahulu.
“Bagi kawasan DUN dan Parlimen, pusat khidmat masyarakat masing-masing ada menyediakan perkhidmatan kenderaan percuma untuk hantar ke PPV, hanya perlu hubungi sahaja," katanya.
Menurut statistik Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) sehingga 31 Mei, seramai 345,492 individu di negeri ini telah mendaftar sebagai penerima vaksin manakala daripada jumlah itu seramai 79,185 individu sudah disuntik.
01 Jun 21
260
Anak Terengganu Juara Badminton Terbuka Austria
KUALA TERENGGANU, 1 Jun – Anak kelahiran Terengganu, Wan Arif Wan Junaidi berjaya mengharumkan nama negeri dan negara di persada dunia selepas menjuarai acara beregu lelaki kejohanan Badminton Terbuka Austria, Ahad lalu.
Wan Arif yang bergandingan dengan atket Kelantan, Mohd Haikal Nazri berjaya membuat kejutan apabila pengalahkan pilihan kelima kejohanan dari Perancis, Lucas Corvee dan Ronan Labar secara ‘straight set’ 21-17, 21-15 pada aksi final.
Menurut Wan Arif yang berasal dari Kemaman berkata, kemenangan tersebut diraih hasil perbincangan dan penambahbaikan bersama pasangan regunya selepas kekalahan semasa perlawanan suku akhir di Slovenia.
“Kita akan cuba buktikan kebolehan kami dan menunjukkan prestasi terbaik di Austria dan Alhamdullilah hasilnya kami berjaya,” katanya yang juga daripada Akademi Badminton Malaysia menerusi panggilan video.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah menyifatkan kejayaan Wan Arif sebagai tanda potensi badminton sebagai sukan teras dikuasai Terengganu seperti basikal, hoki dan lain-lain lagi.
“Sebelumnya, pencapaian tertinggi negeri dalam sukan ini adalah semasa acara SUKMA 2018 Perak dengan atlet Terengganu meraih pingat gangsa.
“Kita juga berhasrat untuk kuasai bidang permainan ini dan sedang giat merangka pelan bagi memperkasakan penguasaan dan memasukinya dalam senarai sukan teras di negeri,” katanya menerusi panggilan video bersama Wan Arif, baru-baru ini.
Wan Sukairi turut mengucapkan tahniah ke atas pasangan beregu tersebut dalam menjadi kebanggaan untuk rakyat Malaysia khususnya rakyat Terengganu.
“Tahniah juga saya ucapkan juga buat ibubapa saudara Wan Arif, Majlis Sukan Negeri Terengganu, Akademi Badminton Malaysia dan para jurulatih yang telah berjaya melahirkan seorang atlet yang mempunyai pencapaian sebegini,” katanya lagi.
01 Jun 21
2471
Gerai Tepi Jalan Di Kuala Terengganu Dilarang Beroperasi
KUALA TERENGGANU, 31 Mei - Semua gerai dan aktiviti penjaja di tepi jalan termasuk penjaja beredar di 21 mukim dalam daerah ini dilarang beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang berkuatkuasa 30 Mei.
21 mukim terlibat adalah Manir, Bukit Besar, Pengadang Buluh, Belara, Paloh, Kubang Parit, Serada, Rengas, Chendering, Bandar, Chabang Tiga, Kepong, Gelugur Kedai, Kuala Ibai, Atas Tol, Tok Jamal, Losong, Batu Burok, Pekan Chabang Tiga, pulau-pulau dan Gelugor Raja.
Ketua Polis negeri, Datuk Roslee Chik berkata, larangan turut melibatkan kenderaan bersaji (food truck), medan selera, pusat penjaja, gerai makan tepi jalan atau kiosk kecuali gerai bahan mentah makanan dan hasil tani.
"Walau bagaimanapun restoran, kedai, gerai makan dibenarkan beroperasi antara 8 pagi hingga 8 malam dengan pembelian makanan secara bawa pulang (take away), pandu lalu (drive-thru) atau penghantaran (delivery) sahaja.
"Begitu juga dengan kedai runcit, kedai serbaneka, kedai barangan keperluan harian juga dibenarkan dengan tempoh operasi yang sama," ujarnya ketika bersiaran di Terengganu Fm, hari ini.
Katanya, sepanjang berada dalam tempoh PKPD, kesemua mukim ini juga tidak dibenarkan menjalankan operasi pasar harian, pasar tani, pasar malam dan bazar larut malam.
"Sementara, pasar awam dibenarkan beroperasi antara 6 pagi hingga 2 petang manakala pasar borong dibenarkan beroperasi bermula 1 pagi hingga 9 pagi sahaja," ujarnya.
31 May 21
17667
11,975 Individu Diperiksa Dalam Op 2 Jam
KUALA TERENGGANU, 31 Mei - Sepanjang lima hari pelaksanaan operasi had dua jam (Op Had 2J) seramai 11,975 individu di 1,257 premis perniagaan telah diperiksa di seluruh negara.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Rosol Wahid berkata, operasi berkenaan bagi memantau dan memastikan pematuhan had masa pelanggan.
Jelasnya, hasil pemeriksaan mendapati tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan masyarakat adalah baik dan tiada sebarang kompaun dikeluarkan sejak operasi itu dilancarkan pada 25 Mei lalu.
Bagaimanapun katanya, pelaksanaan Op Had 2J kini ditangguhkan selepas kerajaan mengumumkan 'total lockdown' (yang bermula esok) bagi mengelakkan situasi pembelian panik di kalangan orang awam.
“Kita sangat gembira dengan pematuhan orang ramai terhadap SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 berkaitan had masa dua jam di sesebuah premis seperti pusat beli-belah dan pasar raya.
“Ini menunjukkan masyarakat sebenarnya memahami dan mendengar kata mengenai usaha kerajaan melawan penularan COVID-19,” katanya kepada pemberita selepas meninjau bekalan barangan keperluan di sebuah pasar raya di sini, hari ini.
Sementara itu Rosol berkata, seramai 160 peruncit dan pemborong terpilih di negeri ini diberikan kebenaran menyimpan barang kawalan melebihi 20 peratus daripada had simpanan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan 'total lockdown'.
Sehubungan itu, katanya, orang ramai tidak perlu bimbang kerana bekalan barangan keperluan asas di semua sektor peruncitan di Terengganu dijamin mencukupi berdasarkan pemantauan.
“Premis perniagaan di peringkat pengilang, pemborong dan peruncit masih beroperasi seperti biasa, jadi bekalan barangan mencukupi dan orang ramai tidak perlu membuat pembelian panik,” katanya.
31 May 21
1049