lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Kebajikan, Pendidikan Agenda Utama Kerajaan
Kebajikan, Pendidikan Agenda Utama Kerajaan
KEMAMAN, 1 Jun – Kebajikan rakyat dan pendidikan generasi muda menjadi dua agenda paling utama dalam dasar pentadbiran negeri. Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata dasar yang memberi kesan terus kepada rakyat sentiasa menyentuh jiwanya, terutamanya dalam perkara yang mampu meringankan beban hidup rakyat. "Daripada keseluruhan dasar yang kita rancang, antara perkara terpenting ialah melibatkan inisiatif kebajikan kepada rakyat. "Untuk meringankan bebanan kepada rakyat, itu ada nilai sentimental kepada saya," katanya dalam Majlis Bicara Santai Pimpinan semasa program Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT 1.0) di Padang Astaka, Cukai, di sini, baru-baru ini. Menurut beliau, selain kebajikan, inisiatif Pendidikan menjadi perkara kedua untuk membina kehidupan berdikari dan bukan sekadar pemberian sementara. "Saya lihat, manusia ini kalau kita beri ikan, maka dia bolehlah makan ikan tersebut. "Tapi kalau kita beri joran kepada dia, maka dia boleh berdikari, kita ajar pula cara nak guna joran itu, akhirnya dia mampu untuk cari ikan sendiri," jelasnya. Ahmad Samsuri yakin, pendidikan ialah pelaburan jangka panjang yang akan mencorakkan masa depan rakyat dan negeri. "Inilah konsep pendidikan kepada rakyat, saya percaya kalau buat begitu, kita menyediakan kehidupan mereka di masa akan datang. "Mungkin 10 hingga 20 tahun akan datang, anak muda inilah yang akan meneruskan agenda kita di masa kita sudah tiada," ujarnya.
01 Jun 25
139
Aidiladha : 60,000 Kenderaan Sehari Dijangka Penuhi LPT2
Aidiladha : 60,000 Kenderaan Sehari Dijangka Penuhi LPT2
KUALA TERENGGANU, 1 Jun- Peningkatan trafik sehingga 60,000 kenderaan sehari dijangka berlaku di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) sempena cuti perayaan Aidiladha ini. Lebuhraya Pantai Timur 2 Sdn. Bhd. dalam satu kenyataan memaklumkan, peningkatan tersebut dijangka berlaku pada hari-hari puncak iaitu pada 5 Jun dan 6 Jun serta 8 Jun hingga 9 Jun. “Sehubungan itu, pengguna lebuh raya yang pulang ke kampung atau bercuti di Pantai Timur menggunakan Lebuhraya LPT2 dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal pada musim perayaan ini,” ujar kenyataan tersebut. Katanya, pengguna disaran rancang perjalanan musim perayaan dengan MyPLUS-TTA . “LPT2 Sdn. Bhd. telah bersiap sedia untuk menguruskan peningkatan trafik di lebuh raya bagi membantu pengguna menikmati perjalanan yang lebih lancar dan selesa sepanjang musim perayaan ini. “Untuk mengagihkan trafik dan mengelakkan kenderaan tertumpu di satu-satu lokasi di lebuh raya secara serentak, LPT2 menyediakan jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA menerusi aplikasi PLUS untuk membantu pengguna lebuh raya merancang perjalanan lebih awal. “Untuk mendapatkan jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA, pengguna lebuh raya boleh memuat turun dan mengakses aplikasi PLUS untuk memilih waktu perjalanan yang paling optimum bagi perjalanan di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) di antara 5 Jun hingga 10 Jun 2025 sempena perayaan Aidiladha yang akan datang,” ujarnya. Oleh itu katanya, LPT2 menyeru orang ramai supaya dapat merancang dan menyusun jadual perjalanan lebih awal berdasarkan cadangan MyPLUS-TTA bagi perjalanan pulang ke kampung halaman pada 5 Jun hingga 7 Jun, malah menyusun jadual perjalanan kembali semula ke Lembah Klang pada 8 Jun hingga 10 Jun selepas bercuti sempena Aidiladha. “Inisiatif ini adalah sebahagian usaha LPT2 untuk meningkatkan keselesaan para pengguna lebuh raya semasa musim-musim perayaan berdasarkan data dan pola perjalanan pada musim-musim perayaan yang lalu,” katanya. Sementara itu katanya, bagi mengelakkan gangguan terhadap pergerakan trafik di laluan utama lebuh raya, tiada penutupan lorong untuk kerja-kerja penyelenggaraan di Lebuhraya LPT2 bermula 5 Jun hingga 9 Jun 2025 kecuali melibatkan kerja-kerja kecemasan, pengalihan kemalangan dan pembaikan kritikal. “Bagi membantu melancarkan lagi pergerakan orang ramai sepanjang tempoh perayaan Aidiladha kali ini, LPT2 turut mengambil beberapa langkah lain yang merangkumi persediaan di plaza tol dan kawasan rehat dan rawat (R&R). “Antaranya menyediakan lebih 300 keseluruhan petugas dalam ekosistem LPT2 terutama di plaza-plaza tol dan pusat pemantauan trafik. Selain itu, LPT2 turut menyediakan lebih daripada 160 anggota RELA untuk membantu melancarkan pengurusan trafik di R&R, hentian sebelah dan plaza tol terpilih untuk keselesaan pengguna. “LPT2 juga memohon kerjasama orang ramai supaya dapat merancang perjalanan mereka dan menggunakan kemudahan tandas dan surau yang turut disediakan di plaza-plaza tol terdekat,” ujarnya. Pada masa yang sama katanya, pengguna lebuh raya boleh mendapatkan maklumat trafik terkini di LPT2 menerusi X@lpt2trafik, LPT2Line 1800-88-0220, papan tanda elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih atau menerusi saluran stesen-stesen radio utama negara. Orang ramai juga boleh menggunakan aplikasi navigasi Waze atau Google Maps untuk merancang laluan yang akan digunakan. “Orang ramai juga boleh menghubungi talian LPT2Line di 1800-88-0220 sekiranya ingin mendapatkan  bantuan apabila berlaku kecemasan,” ujarnya.
01 Jun 25
159
Hutang Negara Makin Naik
Hutang Negara Makin Naik
KEMAMAN, 31 Mei – Di sebalik pelbagai janji manis dan dakwaan membawa masuk pelaburan ratusan bilion ringgit dari luar negara, hutang negara kini mencecah RM1.3 trilion di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.  Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, angka RM1.3 trilion sangat membimbangkan menurut laporan ekonomi terkini. "Semasa era pemerintahan Perikatan Nasional (PN), kita menyelesaikan masalah besar negara ketika darurat. Ketika itu, rakyat tidak dapat keluar bekerja, majikan pula mahu memberhentikan pekerja. Maka kita sediakan peruntukan besar untuk pastikan pekerjaan rakyat dapat dikekalkan. "Memang belanjawan ketika itu tinggi, tetapi ia berasaskan keperluan rakyat dan pemulihan negara. Ekonomi negara berjaya dibuka semula dan ketika Datuk Seri Anwar mengambil alih, beliau mewarisi ekonomi yang sedang berada pada landasan terbaik," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Ceramah Perdana Himpunan Teguh Memimpin Terengganu, di Padang Astaka, Chukai, malam tadi. Namun katanya, dalam tempoh pentadbiran Anwar Ibrahim, kerajaan membelanjakan lebih besar daripada zaman pandemik COVID-19, tetapi hasilnya tidak seimbang dengan tekanan kos sara hidup yang ditanggung rakyat. “Diumumkan kononnya berjaya membawa pelaburan ratusan bilion ringgit, tapi rakyat semakin tertekan dengan pelbagai polisi baharu yang meningkatkan beban hidup. Harga barang keperluan naik, subsidi ditarik, dan pelbagai insentif rakyat dikurangkan. “Rakyat memilih kerajaan untuk menjamin kebajikan dan kesejahteraan, namun hari ini yang berlaku adalah sebaliknya. Janji tidak ditepati, rakyat pula terus menanggung masalah demi masalah. "Akta gaji minimum kononnya mahu membantu, tetapi nilai gaji tersebut tidak mampu menampung peningkatan kos sara hidup yang kian mendadak. "Inilah yang berlaku hari ini, rakyat bingung, bagaimana kononnya pelaburan masuk, ekonomi baik, tetapi kerajaan gagal mempertahankan skim kebajikan dan subsidi rakyat,” tegas beliau.
31 May 25
154
PM Mohon Imuniti : Sejarah Pelik Dalam Negara
PM Mohon Imuniti : Sejarah Pelik Dalam Negara
KEMAMAN, 31 Mei – Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon imuniti daripada Mahkamah Persekutuan dalam kes saman sivil yang difailkan oleh Muhammed Yusoff Rawther disifatkan sebagai sesuatu yang pelik dan belum pernah berlaku dalam sejarah kepimpinan negara. Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, tidak pernah ada rekod atau sebarang maklumat menunjukkan mana-mana Perdana Menteri dari yang pertama hingga yang kesembilan memohon kekebalan atau pengecualian daripada tindakan undang-undang sivil. "Malah, satu-satunya krisis imuniti yang pernah berlaku dalam negara ini hanyalah membabitkan institusi raja-raja semasa krisis perlembagaan dahulu. Namun begitu, undang-undang tetap memberi ruang untuk raja-raja dibawa ke muka pengadilan dalam situasi tertentu," katanya. Tambahnya lagi, permohonan Anwar untuk diberikan kekebalan oleh mahkamah seolah-olah mahu mewujudkan imuniti peribadi dalam berdepan saman sivil — suatu perkara yang amat menghairankan dan menimbulkan tanda tanya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Ceramah Perdana Himpunan Teguh Memimpin Terengganu di Padang Astaka, Chukai, semalam. Ahmad Amzad turut mengulas tentang sikap Anwar Ibrahim yang menurutnya gemar menyaman pihak-pihak yang mengkritik beliau, namun tidak pula berani menghadapi kes-kes yang difailkan terhadap dirinya. “Dalam kes saya misalnya, beliau menyaman saya hanya kerana perbualan biasa di kedai kopi Simbang Tokku, Chabang Tiga. Perbualan itu melibatkan lima atau enam orang sahaja, bukannya tokoh-tokoh besar pun. “Saya sahut cabaran dan kes itu hampir dibicarakan, namun di peringkat akhir beliau melalui peguamnya meminta supaya kes diselesaikan di luar mahkamah. Takut untuk masuk kandang saksi,” katanya. Menurut beliau, tindakan Anwar yang enggan membawa kes-kes ke mahkamah, termasuk kes saman oleh Yusoff Rawther, menimbulkan persoalan apakah yang cuba dielakkan oleh Perdana Menteri. “Bila seseorang masuk kandang saksi, banyak perkara lama boleh dibangkitkan semula. Mungkin itu yang ditakuti beliau,” ujar beliau. “Sebab itu, permohonan mendapatkan imuniti ini amat pelik dan wajar menimbulkan persoalan besar dalam kalangan rakyat. Apa sebenarnya yang berlaku? Kenapa sampai takut nak hadapi saman daripada seorang rakyat biasa?” tambah Ahmad Amzad.
31 May 25
89
Amzad Cadang Pendekatan Lebih Fleksibel, Bantuan eKasih Lebih Berkesan
Amzad Cadang Pendekatan Lebih Fleksibel, Bantuan eKasih Lebih Berkesan
KUALA TERENGGANU, 27 Mei - Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim mencadangkan supaya dasar penyaluran bantuan kewangan di bawah program eKasih disemak semula agar lebih fleksibel mengikut situasi semasa. Beliau berkata, pemberian bantuan yang seragam tanpa mengambil kira faktor lokasi dan keperluan sebenar penerima berisiko menjejaskan keberkesanan program tersebut dalam membantu golongan miskin dan miskin tegar. "Saya mencadangkan supaya dasar penyaluran bantuan kewangan eKasih harus disemak semula agar lebih bersifat adaptif dan mengambil kira realiti kos sara hidup.  "Tidak wajar pemberian bantuan diseragamkan tanpa mempertimbangkan perbezaan lokasi (bandar atau luar bandar) serta keperluan sebenar penerima. "RM100 mungkin mencukupi untuk mereka yang tinggal di kawasan luar bandar, tetapi ia tidak memadai bagi mereka di kawasan bandar seperti di Kuala Terengganu, di mana kos sara hidup jauh lebih tinggi. Beliau berkata demikian menerusi satu hantaran sosial media rasminya, sorotan daripada Mesyuarat Jawatankuasa 'Focus Group' Kesejahteraan Rakyat Daerah Kuala Terengganu yang telah berlangsung di Pejabat Daerah Kuala Terengganu, baru-baru ini. Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Kuala Terengganu itu turut membincangkan isu-isu berkaitan kemiskinan dalam kawasan Parlimen Kuala Terengganu yang meliputi DUN (Dewan Undangan Negeri) Bandar, Ladang, Wakaf Mempelam dan Batu Buruk.  Menurutnya, perbincangan mesyuarat menjurus kepada usaha bagi mempercepat penyelesaian kes-kes yang masih berada dalam kategori miskin tegar berdasarkan data eKasih. "Alhamdulillah, hasil usaha pelbagai pihak termasuk inisiatif  'unit mobile' daerah dan kerjasama di peringkat DUN dan JPKK, lebih 7,000 individu telah berjaya dikeluarkan daripada garis kemiskinan.  "Malah, kes miskin tegar di Parlimen Kuala Terengganu yang dahulu berjumlah enam kes kini tinggal hanya dua, kedua-duanya di DUN Wakaf Mempelam.  "Insya-Allah, kedua-dua kes ini dijangka dapat diselesaikan tidak lama lagi melalui intervensi MAIDAM (Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu) dan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat)," ujarnya. Dalam masa sama, Ahmad Amzad merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang memainkan peranan penting dalam menjayakan agenda kesejahteraan rakyat termasuk MAIDAM, JKM, Tabung Darul Iman dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU). Penambahbaikan terhadap program bantuan seperti eKasih adalah penting agar setiap sen yang disalurkan benar-benar memberikan impak kepada kehidupan rakyat, terutamanya dalam mendepani cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat.
27 May 25
97
Empat Individu Terima Anugerah Peserta Terbaik Program YDSM
Empat Individu Terima Anugerah Peserta Terbaik Program YDSM
KUALA TERENGGANU, 27 Mei - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli mengurniakan anugerah kepada lima individu di Majlis Santapan Malam sempena Ulang Tahun Keputeraan Sultan Terengganu ke-63. Baginda berkenan berangkat mengurniakan anugerah tersebut pada Majlis Santapan Malam sempena Sambutan Dua Dekad Yayasan Diraja Sultan Mizan Zainal Abidin (YDSM) di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam. Turut berangkat, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail serta paduka-paduka anakanda, Tengku Puteri Utama Raja, Tengku Sri Setia Mahkota Raja dan Tengku Puteri Daulath Raja. Hadir sama Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman serta Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri. Sebanyak empat kategori penganugerahan, iaitu Peserta Program Usahatani Terbaik, Peserta Program Seni Kraf Warisan Terbaik, Perserta Usahaniaga Terbaik dan Anugerah Khas Penyumbang, telah dikurniakan oleh Sultan Mizan, di sini, semalam. Peserta-peserta yang telah menerima penganugerahan tersebut adalah merupakan Pengerusi Fastpora, Wan Naimah Wan Mat Ali (Peserta Program Usahatani Terbaik); Pemilik Restoran R&R Gawi, Siti Zubaidah Ismail (Peserta Usahaniaga Terbaik); Pemilik Qieyza Collection, Ahmad Taqiuddin Mohammad (Peserta Program Seni Kraf Warisan Terbaik) serta Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi kategori Anugerah Khas Penyumbang. Turut hadir, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Diraja Sultan Mizan, Dato' Mohd Fadzli Yusof dalam melengkapkan majlis yang telah berlangsung di taman kegiatan luar didik hibur tempatan itu.  
27 May 25
750
Sultan Mizan Berangkat ke Santapan Malam Sempena Dua Dekad YDSM
Sultan Mizan Berangkat ke Santapan Malam Sempena Dua Dekad YDSM
KUALA TERENGGANU, 26 Mei - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat mencemar duli Majlis Santapan Malam Sambutan Dua Dekad Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) sempena Sambutan Ulang Tahun ke-63 Hari Keputeraan baginda. Keberangkatan baginda turut diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail dan paduka anakanda-anakanda, Tengku Puteri Utama Raja, Tengku Sri Setia Mahkota Raja dan Tengku Puteri Daulath Raja. Hadir sama Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman serta Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri. Turut hadir, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Diraja Sultan Mizan, Dato' Mohd Fadzli Yusof bagi melengkapkan majlis yang telah berlangsung di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam, semalam. Mohd Fadzli berkata, matlamat utama YDSM ditubuhkan oleh tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin untuk mempertingkat dan memperkasakan tahap sosioekonomi rakyat, khususnya di Terengganu. "Pelbagai program yang telah dijalankan dan kini terdapat empat inisiatif baru dimana dua daripadanya telah berjalan akhir tahun lalu dan dua lagi akan dilaksanakan pada tahun ini. "Yang telah dilancarkan ialah kursus penyelenggaraan kenderaan elektrik (EV) dengan kerjasama Terengganu Skill Development Center (TESDEC), Yayasan Terengganu (YT), Motordata Research Consortium Sdn Bhd," katanya. Selain itu, YDSM telah dipajakkan satu kawasan di Setiu dengan keluasan sebanyak 70 ekar bagi tujuan pembangunan Pusat Rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Wilayah Pantai Timur. "Pembangunan pusat rehabilitasi ini telah pun berjalan dan dijangka akan siap dalam masa dua tahun. Kita doakan dengan pembukaannya nanti, banyak manfaat ekonomi dapat diluahkan kepada masyarakat setempat. "Seterusnya, seni anyaman kercut yang baru sahaja dilaksanakan awal tahun ini dengan dana daripada Hisbiscus Petroleum Berhad. Program latih seni ini bertujuan supaya anyaman warisan yang unik ini dapat dipelihara dan dipulihara.  "Kursus anyaman kercut ini disertai oleh 16 orang pelajar dan graduan di UniSZA Besut, juga dengan kerjasama daripada lembaga Kemajuan Kraftangan Malaysia," jelasnya. Tambah beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Induk Majlis Santapan Malam Sempena Sambutan Dua Dekad YDSM itu,turut diadakan pelancaran program tajaan biasiswa penuh oleh kerajaan Arab Saudi, khusus buat anak-anak Terengganu dengan sebanyak 50 tajaan secara keseluruhan. Bagi memperingati peristiwa bersejarah sejak awal penubuhannya pada tahun 2005 yang kini telah mencapai usia dua dekad, tiga buah buku YDSM; 'Terengganu - Wajah-wajah Kehidupan', 'HRH Sultan Ismail Nasiruddin Shah - Life As A Pioneer Photographer King' serta 'Terengganu Islands and State Park' telah dilancarkan.   Majlis yang dihadiri lebih 300 orang tetamu daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan itu turut menyaksikan pelancaran 'Gold Bar' Edisi Khas Dua Dekad YDSM.
27 May 25
99
170 Kakitangan WDI Sertai Tanggathon, Zumba
170 Kakitangan WDI Sertai Tanggathon, Zumba
KUALA TERENGGANU, 26 Mei – Seramai 170 kakitangan Wisma Darul Iman (WDI) hari ini menyertai aktiviti tanggathon dan zumba anjuran Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Terengganu dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu. Daripada jumlah itu, 70 kakitangan lelaki mengambil bahagian dalam aktiviti Relay-Tanggathon Darul Iman dan 100 penjawat awam wanita pula menyertai aktiviti Zumba. Program yang diadakan serentak di laluan tangga hadapan dan Dewan Jamuan, Tingkat 18, WDI adalah bersempena Karnival Cakna Sihat Penjawat Awam Di Negeri Terengganu 2025. Bertemakan ‘Cakna Kesihatan, Tolak Ubat Tak Sah’, karnival tersebut berlangsung bermula hari ini sehingga 28 Mei ini dengan pelbagai aktiviti termasuk pemeriksaan kesihatan dan sebagainya.    
26 May 25
113
UC TATI Jalin Kerjasama Dengan Lapan Rakan Strategik
UC TATI Jalin Kerjasama Dengan Lapan Rakan Strategik
KEMAMAN, 26 Mei - University College TATI (UC TATI) telah memeterai lapan perjanjian bersama rakan strategik bersempena Majlis Pelancaran Biasiswa Terengganu Sejahtera di Dewan Cancelor UC TATI, di sini, semalam.  Perjanjian tersebut melibatkan dua Memorandum Perjanjian (MoA) bersama CyberSecurity Malaysia (CSM) dan Sekolah Tinggi Teknologi Warga Surakarta (STTW). Manakala enam Memorandum Persefahaman (MoU) pula melibatkan Bank Islam, Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), DreamEdge Sdn Bhd, Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), DH Borneo Training Services Sdn Bhd dan Hal FinTech Sdn Bhd. Rektor UC TATI, Prof Ir. Dr. Hairul Azhar Abdul Rashid berkata, kerjasama tersebut akan memberikan pelajar UC TATI akses luas kepada latihan industri, bimbingan profesional, penyelidikan dan pemindahan teknologi.  “Ia juga akan memperkukuh hubungan UC TATI dengan pihak industri dan memastikan kurikulum sentiasa relevan dengan keperluan pasaran kerja yang sentiasa berubah,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Biasiswa Terengganu Sejahtera yang disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di Dewan Canselor UC TATI di sini.  
26 May 25
141
Kelestarian Air: Terengganu Perkukuh Infrastruktur dan Penguatkuasaan
Kelestarian Air: Terengganu Perkukuh Infrastruktur dan Penguatkuasaan
DUNGUN, 25 Mei – Dalam menghadapi cabaran iklim dan tekanan terhadap sumber air, Kerajaan Negeri Terengganu komited melaksanakan dasar berimpak tinggi melalui pelaburan infrastruktur, pengurusan kawasan tadahan dan penguatkuasaan undang-undang bagi menjamin kelangsungan bekalan air bersih kepada rakyat. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Dato’ Hanafiah Mat berkata, Terengganu tidak hanya bergantung kepada retorik, sebaliknya telah menggerakkan pelbagai langkah konkrit dan menyeluruh. “Kerajaan Negeri sentiasa komited untuk memperkukuh pengurusan sumber air, termasuk pelaburan dalam infrastruktur bekalan air, pengurusan kawasan tadahan, pemuliharaan sungai serta peningkatan kecekapan sistem bekalan dan saliran," katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Karnival Hari Air Sedunia Peringkat Negeri Terengganu 2025 di Taman Tasik Sura, di sini hari ini. Turut hadir, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Terengganu, Ir. Ts. Gs. Osman Abdullah; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadli Rahmi Zulkifli dan ADUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman. Beliau turut memaklumkan bahawa semua inisiatif tersebut digerakkan secara strategik melalui Pelan Tindakan Kelestarian Alam Sekitar Terengganu, yang menekankan pendekatan lestari dan saintifik. "Pelan ini antara lainnya memberi penekanan kepada pengurusan air secara lestari, pemantauan kualiti air dan pemuliharaan kawasan sensitif alam sekitar," jelasnya. Menurutnya, pendekatan ini memerlukan kolaborasi antara agensi teknikal, institusi pendidikan dan masyarakat awam bagi memastikan semua usaha berjalan secara menyeluruh dan berkesan. Dalam aspek penguatkuasaan pula, katanya, kerajaan negeri tidak berkompromi terhadap pencemaran dan penyalahgunaan air, malah bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan bagi memperkemaskan tindakan di lapangan. "Kerajaan Negeri bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan bagi memperkemaskan penguatkuasaan terhadap pencemaran sungai dan penggunaan air secara haram," ujarnya. Beliau menyeru agar semua pihak memainkan peranan masing-masing dalam menjadikan pengurusan air satu agenda bersama yang merentas politik, sektor dan sempadan.  
25 May 25
200