lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

70 Peratus Air Tawar Dunia Dalam Bahaya
70 Peratus Air Tawar Dunia Dalam Bahaya
DUNGUN, 25 Mei – Ketika dunia bergelut dengan krisis perubahan iklim, Negeri Terengganu tampil menyahut cabaran global untuk melindungi glasier, simpanan semula jadi yang menyimpan 70 peratus air tawar dunia, demi memastikan kelangsungan hidup generasi akan datang. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Dato’ Hanafiah Mat berkata, pencairan glasier akibat pemanasan global memberi kesan langsung kepada kitaran air dunia dan bakal mengancam bekalan air bersih secara keseluruhan. "Glasier merupakan bongkah ais semula jadi hasil pemampatan salji yang menyimpan kira-kira 70 peratus air tawar dunia. "Kesan perubahan iklim menyebabkan kadar pencairan glasier semakin meningkat, dan ini memberi impak besar kepada kitaran hidrologi serta bekalan air global," katanya ketika merasmikan penutupan Karnival Hari Air Sedunia Peringkat Negeri Terengganu 2025 di Taman Tasik Sura, di sini hari ini. Turut hadir, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Terengganu, Ir. Ts. Gs. Osman Abdullah; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadli Rahmi Zulkifli dan ADUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman. Beliau menyifatkan tema sambutan tahun ini, 'Glacier Preservation', sebagai amat signifikan dan perlu dilihat bukan sekadar simbolik, sebaliknya satu seruan mendesak untuk seluruh dunia bertindak. "Tema ini amat relevan kepada usaha kita untuk mengekalkan kelestarian sumber air dan memperkukuhkan daya tahan ekosistem terhadap perubahan iklim," ujarnya dengan penuh harapan. Dalam pada itu, beliau mengingatkan rakyat agar tidak leka dengan memberi contoh pengalaman getir yang hampir melumpuhkan sistem bekalan air bandar Cape Town, Afrika Selatan pada tahun 2018. "Lihat sahaja kepada pengalaman Cape Town yang hampir berhadapan dengan 'Hari Sifar' apabila bandar tersebut hampir kehabisan air akibat kemarau dan pengurusan sumber air yang lemah. "Namun, hasil tindakan pantas kerajaan serta penyertaan aktif rakyat, mereka berjaya mengelakkan krisis tersebut melalui sistem penggunaan semula air, pembaikan infrastruktur dan kempen penjimatan," katanya. Beliau menegaskan bahawa pengajaran itu seharusnya menjadi pemangkin untuk Terengganu kekal proaktif dan tidak menunggu sehingga krisis berlaku.  
25 May 25
149
Peruntukan RM90 Juta Kawal Hakisan Pantai Batu Rakit
Peruntukan RM90 Juta Kawal Hakisan Pantai Batu Rakit
Foto : Ghazali Kori SETIU, 25 Mei - Kerajaan menerusi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) memperuntukkan RM90 juta bagi projek Pengawalan Hakisan Pantai di kawasan Pantai Mengabang Telipot hingga ke Pantai Batu Rakit. Ketua Setiausaha PETRA, Datuk Mad Zaidi Mohd Karli berkata, projek telah mula dilaksanakan pada Julai 2023 dan status kemajuan fizikal projek terkini adalah 24.5 peratus dan dijangka siap pada Januari 2027. Ujarnya, projek-projek yang dijalankan meliputi kerja-kerja 'beach nourishment' sepanjang dua kilometer (KM) dan pembinaan 16 'breakwater' bagi memulihara semula kawasan pantai itu. "Saya difahamkan tadi (semalam) ada pemecah ombak yang berjaya siap hingga 92 peratus tetapi ada juga yang masih lagi di peringkat pelaksanaan yang kemajuannya mencapai 10 peratus, 20 peratus kerana sudah tentu setiap pelaksanaan itu mengambil masa sedikit. "Alhamdulillah, diberi jaminan oleh kontraktor bahawa beliau akan cuba menyiapkan sebaik mungkin kalau boleh sebelum musim tengkujuh pada tahun ini bagi beberapa komponen dalam jangka masa pendek untuk lapan pemecah ombak yang telah dirancang," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau Projek Pengawalan Hakisan Pantai di sini, semalam. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangan Luar Bandar Terengganu, Dato' Hanafiah Mat dan Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir. Dalam pada itu, Mad Zaidi berkata, jumlah keseluruhan untuk pelbagai projek air di Terengganu membabitkan peruntukan RM287.8 juta di bawah Rolling Plan Ke-5 (RP5) tahun 2025 Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12). Katanya, ia melibatkan 27 projek yang turut merangkumi 22 projek berkaitan sumber air, tebatan banjir, tiga projek bekalan air dan dua projek berkaitan pembentungan.  
25 May 25
430
LAMANITA Marang Cipta Peluang Baharu Wanita Dalam Bidang Pertanian
LAMANITA Marang Cipta Peluang Baharu Wanita Dalam Bidang Pertanian
Oleh : Daing Siti Norbaity Abd Latif MARANG, 22 Mei – Program LAMANITA peringkat daerah Marang membuka lembaran baharu dalam keusahawanan wanita apabila ibu tunggal dan suri rumah di daerah ini mula diterapkan dengan kemahiran pertanian secara praktikal di halaman rumah sendiri. Pengerusi KHAIRUNNISA’ Terengganu, To’ Puan Seri Tuan Faizah Tuan Abd Rahman berkata, LAMANITA yang membawa maksud ‘Laman Wanita’, memberi fokus kepada konsep pertanian skala kecil di sekitar kediaman sebagai sumber makanan dan pendapatan isi rumah secara lestari. Beliau menyifatkan usaha tersebut selari dengan aspirasi wanita berdikari dan produktif. “Program LAMANITA ini bukan sahaja medan mencipta peluang baharu, malah langkah untuk memperkasa wanita agar tidak hanya bergantung kepada pendapatan orang lain, sebaliknya mampu jana rezeki dari laman sendiri. “Pertanian kini adalah industri moden. Dengan ilmu dan teknologi yang betul, wanita mampu mengubah halaman rumah menjadi ladang yang menjana pendapatan,” katanya ketika berucap merasmikan Program LAMANITA Daerah Marang di Masjid Paya Resak, Bukit Payong di sini, semalam. Justeru, beliau menyeru agar peserta tidak takut gagal, sebaliknya menjadikan setiap langkah sebagai ruang belajar yang akhirnya akan membuahkan hasil. “Wanita berjaya ialah mereka yang tidak pernah berhenti mencuba. Rebut peluang ini dengan semangat dan keyakinan,” ujarnya. Sementara itu, Pegawai Pertanian Daerah Marang, Nik Muhamad Haizul Nik Sufian berkata, Jabatan Pertanian sentiasa bersedia untuk menjadi penasihat teknikal dan rakan strategik kepada peserta program. “Kami alu-alukan jika peserta nak panggil kami turun tengok sendiri masalah di lapangan. Setiap tahun, kami anjurkan pelbagai kursus seperti baja organik yang boleh dijalankan secara ‘hands-on’ bersama komuniti,” jelasnya. Tegas beliau, pertanian memerlukan pengalaman sebenar di lapangan untuk memahami cabaran serta kenikmatan hasil tuaian sendiri. “Sayur yang ditanam sendiri bukan sahaja lebih sihat kerana bebas sisa racun, tapi beri kepuasan kepada keluarga yang menikmatinya,”katanya. Dalam pada itu, Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu (USWa), Tuan Roslina Tuan Sulaiman berkata, program LAMANITA adalah salah satu inisiatif Kerajaan Negeri melalui PITAS2030 bagi meningkatkan kesejahteraan wanita. “Program ini menyasarkan wanita luar bandar, khususnya suri rumah dan ibu tunggal yang ingin meningkatkan pendapatan melalui pertanian bandar dan agro-produk,” katanya.
22 May 25
107
Sultan Mizan Titah Jenama Semula Tabung Khairat Zainal Abidin
Sultan Mizan Titah Jenama Semula Tabung Khairat Zainal Abidin
KUALA TERENGGANU, 22 Mei - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menitahkan agar Tabung Khairat Zainal Abidin dijenamakan semula sebagai langkah memperkukuh sumber kewangan institusi pendidikan Islam di bawah naungan baginda. "Beta akan memberikan perhatian khusus agar kemudahan infrastruktur asas dan teknologi terkini di madrasah ini sesuai dengan legasi keprihatinan Sultan Zainal Abidin ke-3 kepada ilmu dan pendidikan. "Beta ingin mencadangkan agar khairat Zainal Abidin dijenamakan semula menggabungkan instrumen wakaf, endowmen dan sedekah bagi memastikan institusi-institusi agama dibawah kerajaan beta terus berkembang maju," titah baginda. Baginda turut menekankan kepentingan kesinambungan permuafakatan antara pihak istana, pentadbir dan rakyat dalam memastikan pembangunan institusi pendidikan agama terus berkembang dan selari dengan keperluan zaman. "Pada tahun 1933, Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah berkenan merasmikan bangunan baharu madrasah ini di Kampung Ladang. Sejajar dengan perkembangan sistem pendidikan pada tahun 1958,  madrasah ini dipecahkan kepada dua iaitu sekolah menengah agama Sultan Zainal Abidin Ladang bagi peringkat menengah rendah dan sekolah menengah agama atas Sultan Zainal Abidin bagi peringkat thanawi yang berpindah ke Batu Buruk. "Meneruskan kesinambungan ini pada tahun 1980, lahirlah sebuah lagi institusi pendidikan Islam untuk peringkat diploma berpayungkan nama Sultan Zainal Abidin ke-3 iaitu, KUSZA (Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin).  "Diploma pengajian Islam menjadi mata rantai yang meneruskan tradisi madrasah Sultan Zainal Abidin Al-Arabiah, sekaligus menjadi umbi dan teras kepada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). "Semua institusi pendidikan dibawah nama Sultan Zainal Abidin ke-3 ini harus bekerjasama erat. Mereka ibarat akar, pohon dan ranting yang tumbuh daripada benih yang sama, berkembang bersama di daerah Kuala Terengganu.  Sultan Mizan bertitah demikian ketika merasmikan pelancaran buku 'Permata Darul Iman' 100 Tahun Sekolah Menengah Agama Arab Sultan Zainal Abidin (SMAASZA) sempena sambutan ulang tahun keputeraan ke-63 baginda, semalam. Turut berkenan berangkat ke majlis itu ialah Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan, serta paduka-paduka anakanda lain. Tabung Khairat Zainal Abidin yang ditubuhkan sejak tahun 1932 hasil muafakat antara istana, kerajaan dan rakyat, telah menjadi asas penting dalam membiayai perkembangan institusi pendidikan Islam di Terengganu termasuk Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin, KUSZA, serta UniSZA.
22 May 25
136
Sultan Mizan Rasmi Buku 'Permata Darul Iman'
Sultan Mizan Rasmi Buku 'Permata Darul Iman'
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli merasmikan pelancaran buku 'Permata Darul Iman' 100 Tahun Sekolah Menengah Agama Arab Sultan Zainal Abidin (SMAASZA) sempena sambutan ulang tahun keputeraan ke-63 baginda, hari ini.
21 May 25
57
Lebih 100 Sukarelawan Sertai Gotong-Royong Bersih Pantai Tok Kita
Lebih 100 Sukarelawan Sertai Gotong-Royong Bersih Pantai Tok Kita
KUALA TERENGGANU, 20 Mei - Seramai lebih 100 orang peserta terlibat dalam Program Gotong-Royong Bersih Pantai Tok Kita anjuran EPIC Berhad dengan kerjasama Pertubuhan Cakna Kebajikan Kuala Terengganu (KT Care), beberapa hari yang lalu. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah menghargai usaha EPIC dan KT Care atas kejayaan menganjurkan program yang berjaya mengumpulkan lebih 100 peserta dan mengutip sejumlah besar sampah yang mencemari kawasan pantai. Menurutnya, pantai merupakan salah satu aset pelancongan utama negeri Terengganu dan perlu sentiasa dijaga kebersihannya melalui penyertaan aktif masyarakat. "Alam ini amanah kita. Bersama kita lestarikan keindahannya. Teruskan usaha menjaga keindahan dan kecantikan pantai kita. "Setiap daripada kita memainkan peranan penting sama ada besar atau kecil dalam memastikan pantai kekal bersih, indah dan selamat untuk dinikmati oleh generasi sekarang dan akan datang. "Kalau orang Terengganu nak 'healing', mereka akan ke pantai. Maka, tanggungjawab untuk memastikan pantai kekal bersih adalah milik bersama. Usaha seperti ini perlu diteruskan tanpa perlu tunggu kempen besar-besaran," kata beliau melalui hantaran di laman media sosial rasminya. Program yang bermula seawal jam 8.00 pagi itu menyaksikan kehadiran pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, institusi pendidikan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat.  Antara yang turut serta ialah wakil Pejabat Parlimen Kuala Terengganu, Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam, DUN Bandar, DUN Ladang, DUN Batu Buruk, Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (I-MITS), serta pelajar-pelajar cilik daripada PASTI dan Tadika Syaz. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah Dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Mohamed@Hashim, dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor. Dalam pada itu, satu sesi penyerahan sumbangan kepada KT Care turut diadakan yang disampaikan oleh Pengurus Besar Undang-Undang dan Kesetiausahaan EPIC Berhad, Fairuz Idris kepada Dato' Wan Sukairi. EPIC berkata, Penganjuran ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) EPIC Berhad, yang menekankan kepentingan penjagaan alam sekitar dan memperkukuh hubungan bersama komuniti tempatan.
21 May 25
111
Terengganu, CelcomDigi Jalin Kerjasama Perkasa Sukan Kuda Lasak
Terengganu, CelcomDigi Jalin Kerjasama Perkasa Sukan Kuda Lasak
SETIU, 20 Mei – Kerajaan negeri Terengganu dan CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) menjalin kerjasama strategik bagi memperkasa sukan kuda lasak dan ekuestrian melalui platform Arena CelcomDigi serta memacu usaha pendigitalan negeri. Kerjasama tersebut diumumkan sempena Majlis Perasmian Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP) dan Clubhouse yang telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, bersempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan baginda yang ke-63. Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi berkata, kerjasama bernilai RM3 juta itu bukan sahaja melibatkan penajaan pasukan dan acara, malah turut merangkumi usaha menaik taraf infrastruktur digital dan kemudahan sukan di TIEP. “Kami amat komited dalam usaha pembangunan dan pendigitalan negeri, selaras dengan peranan kami sebagai penyedia perkhidmatan telekomunikasi utama di Terengganu. “Melalui kerjasama ini, kami menyokong pembangunan sukan kuda lasak dan ekuestrian yang berpotensi menjadi pemangkin kepada sektor pelancongan dan ekonomi negeri. “Kami amat berbangga dengan pasukan tempatan bertaraf dunia yang bertanding di pentas antarabangsa dalam sukan ini,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini. Beliau turut yakin bahawa pelaburan melalui usaha berterusan ini akan membawa impak positif kepada pembangunan negeri secara menyeluruh, khususnya dalam meningkatkan sosioekonomi masyarakat serta merancakkan ekonomi pelancongan. “Arena CelcomDigi merupakan satu inisiatif yang menyokong perkembangan pelbagai jenis sukan di Malaysia, dan platform ini juga mampu meningkatkan kesedaran terhadap sukan kuda lasak dan ekuestrian serta menggalakkan penyertaan lebih ramai, terutamanya dalam kalangan anak muda,” ujarnya. Tambah beliau, sejak penggabungan Celcom dan Digi tiga tahun lalu, lebih RM300 juta telah dilaburkan di Terengganu yang merangkumi pembinaan dan naik taraf infrastruktur digital serta penambahbaikan akses kesalinghubungan untuk komuniti dan perusahaan tempatan. “Dengan kehadiran fizikal yang meluas melalui 400 cawangan runcit serta bilangan pengguna melebihi dua pertiga penduduk tempatan, kerjasama strategik ini membuka peluang kepada CelcomDigi untuk menyumbang ke arah pemerkasaan masyarakat Terengganu secara mampan dan mengukuhkan ekonomi tempatan,” katanya.
21 May 25
151
Sultan Mizan Rasmi Buku 'Permata Darul Iman'
Sultan Mizan Rasmi Buku 'Permata Darul Iman'
KUALA TERENGGANU, 20 Mei - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli merasmikan pelancaran buku 'Permata Darul Iman' 100 Tahun Sekolah Menengah Agama Arab Sultan Zainal Abidin (SMAASZA) sempena sambutan ulang tahun keputeraan ke-63 baginda, hari ini. Berlangsung di sekolah berkenaan, keberangkatan tiba baginda diiringi Sultanah Nur Zahirah, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin dan paduka-paduka anakanda,  Yang Amat Mulia (YAM) Tengku Puteri Utama Raja, YAM Tengku Sri Setia Mahkota Raja serta YAM Tengku Puteri Daulath Raja. Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Nara Setia bersama Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri. Turut hadir, Yang Di-Pertua Persatuan Alumni Pelajar-pelajar SMAASZA, Tan Sri Dato' Dr. Mohd Yusoff Md Nor. Mengenang perjalanan penubuhan SMAASZA oleh al-marhum Sultan Zainal Abidin ke-3, baginda bertitah agar kedaulatan negeri Terengganu sebagai negeri 'islamiyyah' (islamik) terus berkembang sebagai negeri yang yang dihormati. "100 tahun perjalanan ini menuntut kita untuk bermuhasabah dan merangkakan wawasan yang lebih cemerlang demi masa hadapan. Pendidikan agama dan bahasa Arab adalah tunjang jati diri rakyat ini dari generasi ke generasi . "Beta amat terharu mengenang keperibadian dan jasa besar moyang beta, al-marhum Sultan Zainal Abidin ke-3. Baginda bukan sekadar pemerintah tetapi juga pelita ilmu yang menyinari negeri ini dengan kebijaksaan, keadilan dan keprihatinan terhadap rakyat jelata. "Menjadi legasi tauladan yang menyatukan kepimpinan ulama dan umarah sepanjang zaman, beta amat mencemburui tangkai kebajikan yang mengiringi tradisi ilmu alam melayu Islam nusantara di negeri beta ini. "Moga ia terus berkembang demi kesejahteraan dan kedaulatan negeri Terengganu Darul Iman," titah baginda sebelum menyempurnakan gimik perasmian buku 'Permata Darul Iman', pagi tadi. Sultan Mizan berkenan meluangkan masa selama satu jam bersama rakyat jelata yang hadir dan meninjau pameran sejarah penubuhan sekolah itu di Dewan Fikri SMAASZA. Majlis yang berlangsung di perkarangan SMAASZA sebentar tadi juga dimeriahkan dengan kehadiran daripada kalangan penjawat awam serta warga SMAASZA termasuk alumni lepasan sekolah agama tersebut. Buku 'Permata Darul Iman' merupakan sebuah penerbitan istimewa yang merakamkan sejarah penubuhan, pencapaian dan peranan besar SMAASZA dalam pembangunan pendidikan agama dan sosial khususnya di negeri Terengganu.  Penulisan memperincikan salasilah institusi pengajian tahap menengah rendah dan atas tersebut merupakan hasil kajian, dokumentasi dan penghargaan kepada sumbangan institusi itu sepanjang satu abad yang lalu.  
20 May 25
723
TIEP Sedia Sambut Kejohanan Sukan Kuda Bertaraf Global
TIEP Sedia Sambut Kejohanan Sukan Kuda Bertaraf Global
SETIU, 20 Mei - Terengganu International Endurance Park (TIEP) yang berkeluasan 47 hektar merupakan mercu tanda kebanggaan rakyat negeri ini dalam sukan kuda lasak. Kini, TIEP lebih bersedia untuk melahirkan lebih ramai atlet bertaraf antarabangsa serta menjadi tuan rumah kepada lebih banyak kejohanan sukan tersebut di peringkat global. Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, TIEP telah berkembang menjadi sebuah pusat berkuda bertaraf antarabangsa yang turut menawarkan kemudahan lengkap untuk penganjuran acara seperti ‘show jumping’ dan ‘dressage’. "Dua arena utama iaitu 'warm-up' dan 'competition' dilengkapi sistem penjurian moden dan mengikut piawaian antarabangsa. "Clubhouse yang dirasmikan pada hari ini pula, bakal melengkapkan lagi kemudahan bertaraf antarabangsa di TIEP serta meningkatkan keselesaan para pelumba, pengiring dan pengunjung dari dalam dan luar negara," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan persembahan ucapan sempena Majlis Perasmian TIEP dan Club House Serta Penyampaian Hadiah Karnival Bidong Flora Fest (BFF) 2025, semalam.  Majlis penyampaian hadiah yang berlangsung di TIEP itu disempurnakan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang telah berkenan mencemar duli. Mengulas lebih lanjut, Dr. Ahmad Samsuri berkata sehingga kini TIEP telah berjaya menjadi tuan rumah bagi 84 kejohanan di peringkat antarabangsa dan 30 kejohanan peringkat kebangsaan sejak 2004. "Ia menjadi antara lokasi sukan berkuda paling aktif dan berprestij di rantau ini dan antara kejayaan paling membanggakan ialah penganjuran FEI World Endurance Championship 2008, selain menjadi lokasi acara kuda lasak sempena sukan SEA 2017. "TIEP menyaksikan pencapaian membanggakan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku merangkul pingat emas dalam cara individu 80km dan acara berpasukan,"ujarnya. Tambah beliau, TIEP juga secara konsisten menganjurkan pelbagai acara tahunan berprestij pelbagai acara tahunan seperti Sultan Mizan Cup, Piala Yang Dipertuan Muda Terengganu, Piala YAB Menteri Besar Terengganu. Terdahulu, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin telah berkenan mencemar duli merasmikan TIEP dan Clubhouse serta turut berkenan menyampaikan hadiah Karnival Bidong Flora Fest. Turut berangkat, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu; Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abdin. Turut mengiringi, paduka anakanda Yang Amat Mulia Tengku Puteri Utama Raja, YAM Tengku Sri Setia Mahkota Raja serta YAM Tengku Puteri Daulath Raja.  
20 May 25
169
Dari Rumah Asnaf ke Sektor Minyak dan Gas
Dari Rumah Asnaf ke Sektor Minyak dan Gas
KUALA NERUS, 20 Mei – Tatkala sebahagian anak muda masih tercari-cari arah hidup, seramai 47 anak asnaf berjaya menamatkan latihan teknikal dan industri dalam Program Oil and Gas Wakalah TVET (OGWTP) di Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP), sekali gus membuka jalan keluar dari belenggu kemiskinan menuju masa depan yang lebih terjamin. Program selama enam bulan itu bukan sahaja membekalkan mereka dengan kemahiran dalam bidang mekanikal serta elektrikal dan instrumentasi, malah menyediakan pensijilan industri bernilai tinggi yang laku keras dalam sektor minyak dan gas, satu peluang yang sebelum ini hanya menjadi angan-angan bagi mereka yang datang dari rumah-rumah serba sederhana. Mohammad Nasrul Nafie Mohd Nasran, salah seorang graduan program, meluahkan rasa syukur kerana diberi peluang menyertai program latihan yang disifatkannya sebagai luar biasa.  "Sepanjang enam bulan ini, kami menempuh pengalaman yang tak pernah kami bayangkan, dan amat bermakna," katanya penuh terharu. Bagi Iman Hakim Mohd Firuz, 24, dari Kampung Pelandan, Kuala Berang, keputusan menyertai OGWTP adalah satu anjakan besar dalam hidupnya.  "Saya mula berminat dalam bidang ini semasa kerja dulu. "Bila tahu sijil INSTEP sangat bernilai, saya terus mohon," katanya, sambil berkongsi bahawa minatnya disemai oleh pengalaman kerja serta sokongan ayahnya. Kisah Amer Mustaqim Kamaruddin, 22, dari Kampung Raja, Besut, pula mencerminkan kecekalan seorang anak buruh yang menjadikan minat terhadap kerja tangan sebagai motivasi untuk keluar dari kepompong kemiskinan.  "Saya minat baiki motor sejak sekolah.  "OGWTP ini bagi saya peluang belajar betul-betul," ujarnya. Program OGWTP adalah hasil kolaborasi INSTEP bersama Yayasan Pendidikan MAIDAM, Dana Asy-Syakirin, THRDC dan lebih 20 rakan industri, dibiayai sepenuhnya melalui dana zakat wakalah berjumlah RM2 juta.  
20 May 25
340