lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Nahas UPSI: Abdul Hadi Rakam Takziah
Nahas UPSI: Abdul Hadi Rakam Takziah
MARANG, 9 Jun – Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang melahirkan rasa simpati mendalam terhadap insiden kemalangan yang mengorbankan 15 nyawa termasuk pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat, Tasik Banding, awal pagi tadi. Beliau menyampaikan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa yang terlibat dalam nahas menyayat hati itu. "Saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa tragedi kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat, Tasik Banding, Gerik yang meragut 15 nyawa termasuk pelajar-pelajar daripada UPSI, awal pagi tadi. "Tragedi ini amat menyentuh hati kita semua, apatah lagi melibatkan anak-anak muda yang sedang menuntut ilmu yang bakal menjadi pewaris masa depan umat dan negara,” katanya dalam kenyataan di media sosial rasmi beliau hari ini. Beliau turut menzahirkan doa agar semua yang terkorban dikurniakan rahmat dan ditempatkan dalam kalangan insan yang soleh. "Saya mendoakan agar semua yang terkorban diluaskan rahmat Allah SWT ke atas mereka. "Serta ditempatkan dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang soleh," tambahnya. Beliau juga mendoakan agar mangsa yang masih dirawat segera sembuh dan keluarga yang diuji diberi ketabahan dan kekuatan jiwa. "Kepada yang sedang dirawat, semoga diberikan kesembuhan yang segera, dan diberikan kekuatan buat ahli keluarga untuk menghadapi ujian ini dengan sabar dan redha," kata beliau. Beliau turut mengingatkan bahawa setiap nyawa ialah amanah dan kehilangan adalah peringatan agar manusia tidak lupa akan kelemahannya sebagai hamba Tuhan. "Sesungguhnya setiap nyawa itu amanah. "Dan setiap kehilangan adalah peringatan untuk kita kembali menginsafi kelemahan sebagai hamba," ujarnya.
09 Jun 25
63
Zuraida Bawa Amanah 472 Peserta, Jayakan Misi Korban di Kemboja
Zuraida Bawa Amanah 472 Peserta, Jayakan Misi Korban di Kemboja
KUALA TERENGGANU, 7 Jun – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor mengetuai delegasi misi kemanusiaan ke Kemboja bagi melaksanakan ibadah korban sempena Aidiladha, mewakili 472 peserta dari Terengganu yang menyertai program tahun ini. Misi anjuran bersama dua badan bukan kerajaan, NISA’ Terengganu dan JANITA, membawa semangat ukhuwah dan amanah rakyat Malaysia untuk disampaikan kepada masyarakat Islam di pedalaman Kemboja. Menurut Zuraida, proses penyembelihan haiwan korban dilaksanakan pada 8 dan 9 Jun, manakala program kebajikan khas untuk 200 keluarga asnaf di sempadan Vietnam pula dijadual berlangsung pada Hari Raya keempat.  “Program ini satu bentuk dakwah dan kasih sayang sesama umat Islam di rantau ini.  “Kita ingin sampaikan bahawa saudara kita di Kemboja tidak bersendirian,” katanya sebelum berlepas ke lokasi misi. Beliau memaklumkan bahawa gangguan capaian internet mungkin berlaku kerana lokasi pelaksanaan berada di kawasan pedalaman, menyebabkan kemas kini perjalanan misi akan dikongsikan sedikit lewat bergantung kepada kekuatan liputan. Meskipun berhadapan cabaran logistik dan komunikasi, Zuraida menegaskan bahawa semua usaha telah dirancang rapi untuk menjamin kelancaran misi yang dijangka berlangsung selama beberapa hari. “Kami membawa amanah rakyat Terengganu dan berharap seluruh perjalanan ini dikira sebagai ibadah dan diberkati Allah SWT,” katanya.  Zuraida turut merakamkan penghargaan kepada semua peserta korban atas kepercayaan yang diberikan dan memohon doa agar misi berjalan lancar serta semua delegasi pulang dengan selamat.
08 Jun 25
41
Jangan Cemar Aidiladha Dengan Sampah
Jangan Cemar Aidiladha Dengan Sampah
KUALA TERENGGANU, 8 Jun - Kerajaan negeri menyeru seluruh rakyat agar menjadikan sambutan Aidiladha tahun ini sebagai peluang untuk menzahirkan nilai sivik dan tanggungjawab bersama terhadap kebersihan seperti yang dituntut oleh agama Islam. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pengurusan sisa ibadah korban bukan sekadar satu isu teknikal, sebaliknya mencerminkan akhlak dan keprihatinan masyarakat terhadap kesihatan awam dan kesejahteraan komuniti. "Sisa seperti darah, organ dalaman, kulit dan tulang hendaklah dikumpul dan dilupuskan dengan cara yang betul.  "Ia tidak boleh dibuang ke dalam longkang, sungai atau kawasan awam secara terbuka.  "Tindakan ini mencemarkan alam sekitar, malah boleh mengundang risiko kesihatan dan keresahan dalam komuniti," katanya dalam satu kenyataan melalui laman sosial media rasminya sempena sambutan Aidiladha, hari ini. Menurutnya, walaupun pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri telah melaksanakan persiapan rapi, kejayaan pelaksanaan ini tetap bergantung kepada kerjasama rakyat. "PBT di seluruh Terengganu telah bersedia sepenuhnya melalui penyelarasan petugas kebersihan, pelaksanaan jadual kutipan sampah khas serta penyediaan logistik. "Namun demikian, keberkesanan usaha ini sangat bergantung kepada kerjasama masyarakat. "Sebagai rakyat yang prihatin, marilah kita bersama-sama memastikan kemuliaan ibadah korban ini tidak dicemari oleh kecuaian terhadap kebersihan. "Demi memelihara kesucian ibadah serta imej masyarakat yang menjayakannya," ujarnya. Beliau turut mengingatkan bahawa kebersihan tapak penyembelihan perlu diberi perhatian serius oleh penganjur ibadah korban, yang disarankan untuk menyedia dan melaksanakan perancangan pengurusan sisa yang sistematik. "Gunakan plastik kedap bau, sediakan lokasi pelupusan sementara serta pastikan pembersihan menyeluruh dilakukan selepas aktiviti korban selesai," tambah beliau. Dalam masa sama, kerajaan negeri turut menghargai dedikasi petugas kebersihan yang tetap bertugas sepanjang cuti umum bagi memastikan kelestarian persekitaran negeri terus terpelihara.
08 Jun 25
57
Raja Muda, MB Solat Aidiladha Bersama Rakyat
Raja Muda, MB Solat Aidiladha Bersama Rakyat
KUALA TERENGGANU, 7 Jun – Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail berkenan mencemar duli menunaikan solat sunat Aidiladha bersama-sama rakyat jelata di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang, pagi ini. Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar bersama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia serta beberapa pegawai kanan kerajaan. Solat sunat Aidiladha tersebut diimamkan oleh Mufti Terengganu, Dato’ Dr Mohamad Sabri Haron dan  turut menyampaikan khutbah khas bertemakan Aidiladha menyemarakkan semangat pengorbanan. Selesai solat, baginda berkenan menziarahi Makam Diraja yang terletak bersebelahan masjid, sebagai mengenang jasa dan sejarah keluarga diraja negeri ini. Turut kelihatan jemaah memenuhi ruang masjid sejak awal pagi untuk menyambut Aidiladha dalam suasana aman dan tertib.  
07 Jun 25
72
Ustaz Azhar Setuju Kerajaan Jadikan Hari Arafah Cuti Umum
Ustaz Azhar Setuju Kerajaan Jadikan Hari Arafah Cuti Umum
KUALA TERENGGANU, 6 Jun - Pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus sangat bersetuju dan menyokong tindakan kerajaan negeri menjadikan Hari Arafah sebagai cuti umum. Katanya, setiap kali Hari Arafah menjelang tiba, kebesaran dan keistimewaanya dapat dirasai serta dihayati dengan penuh makna.  "Usaha memberikan kefahaman kepada rakyat secara beransur-ansur itu lebih baik daripada banyak sekali gus jadi 'bolok wok habis, comel dah tu',"ujarnya. Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ilmu pada Forum Malam Lambaian Arafah bersama Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Kamaruzaman Abdullah, di Masjid Jamek Pengadang Baru, di sini, semalam. Program tersebut telah dirasmikan, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat. Dalam pada itu, Kamaruzaman berkata Terengganu telah mewartakan Hari Arafah sebagai cuti umum sejak tahun 2019 lagi. "Kerana hendak bagitau rakyat bertapa besarnya Hari Arafah ini, kita hendak rakyat ini bertakwa. "Kita berharap agar rakyat tolong kerajaan supaya sama-sama mewujudkan suasana takwa dengan menyambut baik setiap usaha dilakukan pemimpin negeri yang berterusan mengajak rakyat meraih ketakwaan agar 'Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera',"jelas beliau. Sementara itu, Satiful berkata hasrat kerajaan negeri bukan hanya sekadar mahu rakyat bercuti sebaliknya memanfaatkan hari terbabit dengan menjalani ibadat seperti berpuasa serta menghadiri majlis ilmu bagi menambahkan pengetahuan. "Itulah yang kita hasratkan bukan sekadar bercuti daripada kerja kita, tetapi mengambil manfaat bagi melaksanakan ibadat sebaik mungkin pada hari Arafah ini. "Bersempena dengan Hari Arafah ini bersama-sama kita mendoakan supaya saudara kita, sahabat-sahabat yang sedang berada di Tanah Suci, Mekah dikurniakan haji yang mabrur. "Kita di sini juga sama ada dalam kalangan yang pernah mengerjakan haji ataupun bakal menunaikan haji sentiasa berdoa agar Allah mengurniakan kesempatan untuk kita semua," katanya ketika merasmikan program.  
06 Jun 25
262
Terengganu Ajak Rakyat Hayati Kebesaran Hari Arafah
Terengganu Ajak Rakyat Hayati Kebesaran Hari Arafah
KUALA TERENGGANU, 6 Jun – Kerajaan negeri komited mengajak rakyat menghayati kebesaran Hari Arafah dengan terus menganjurkan Program Malam Lambaian Arafah yang diadakan setiap tahun menjelang hari yang penuh makna bagi umat Islam di seluruh dunia. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, Hari Arafah bukan sahaja penting bagi jemaah haji, malah ia merupakan hari istimewa bagi seluruh umat Islam untuk berdoa dengan penuh keyakinan serta merebut peluang meraih keampunan yang dijanjikan oleh Allah SWT. Menurutnya, dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah R.A, Rasulullah SAW bersabda: "Tidak ada satu hari pun yang lebih banyak hamba dibebaskan daripada api neraka melainkan pada Hari Arafah." “Begitulah agungnya Hari Arafah, menjadi lambang kasih sayang Allah SWT yang tidak bertepi. Rasulullah SAW juga bersabda bahawa sebaik-baik doa adalah doa yang dipanjatkan pada hari yang penuh keberkatan ini. “Allah SWT membuka pintu langit seluas-luasnya, memberi peluang kepada hamba-Nya untuk meluahkan segala isi hati, memohon kebaikan di dunia dan akhirat, serta merayu keampunan atas segala dosa yang lalu,” ujarnya. Dalam kesempatan itu, beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua jawatankuasa pelaksana program, khususnya pihak Masjid Jamek Pengadang Baru dan semua agensi kerajaan yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan program pada malam ini. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Malam Lambaian Arafah Peringkat Negeri Terengganu yang berlangsung di Masjid Jamek Pengadang Baru, di sini semalam. Majlis yang dibanjiri kehadiran rakyat Terengganu itu telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat. Dalam pada itu, Khalil berharap agar program yang diadakan semalam akan merealisasikan hasrat kerajaan negeri supaya kehidupan indahnya hidup bersyariat di kalangan rakyat Terengganu dapat dinikmati serta kian subur dan menebal. "Sekali gus kehidupan bersyariat ini akan menjadi normalisasi dalam kehidupan rakyat negeri Terengganu Darul Iman sehingga terbitnya daripada sanubari kita betapa indahnya hidup bersyariat. "Saya mengharapkan Program Perasmian Majlis Malam Lambaian Arafah Peringkat Negeri Terengganu pada tahun ini memberikan 1001 makna kepada kita semua sejajar dengan dasar kerajaan yang memasakkan agenda dakwah di tangga tertinggi membabitkan seluruh pelusuk bumi Darul Iman," ujar beliau.  
06 Jun 25
115
Ulu Kekabu Produk Pelancongan Baharu Berasaskan Komuniti
Ulu Kekabu Produk Pelancongan Baharu Berasaskan Komuniti
SETIU, 4 Jun – Kerajaan Terengganu berhasrat menjadikan Lata Ulu Kekabu sebagai produk pelancongan baharu berasaskan komuniti (CBT), dengan mengekalkan keaslian alam semula jadi dan memanfaatkan kekuatan ekopelancongan yang belum terusik. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, Ulu Kekabu memiliki ciri unik kerana masih belum tercemar, malah kekal dengan struktur semula jadi hutan dan batu-batu yang tidak pernah dialihkan. "Tempat ini masih tidak diusik, masih lagi tempat yang mempunyai pokok-pokok yang tidak ditebang dan batu-batu yang masih original," katanya ketika lawatan kerja ke lokasi tersebut semalam. Beliau berkata, pembangunan kawasan itu akan dilakukan secara berhati-hati bagi mengekalkan keseimbangan ekologi, dengan pihak berkuasa tempatan diminta memastikan tiada aktiviti penebangan dilakukan. "Saya sudah beritahu kepada YDP Setiu supaya jaga tempat ini, jaga sumber alam semulajadi dan jangan beri peluang kepada sesiapa sahaja untuk tebang pohon-pohon yang ada di sekitar ini," tegasnya. Sebagai langkah awal, kerajaan negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM20,000 untuk pembinaan tandas berasingan lelaki dan wanita sebagai kemudahan asas buat pengunjung. "Saya lihat tiada kemudahan tandas di sini, saya sudah bersetuju untuk meluluskan sebanyak RM20,000 untuk membuat asas tandas yang diasingkan antara lelaki dan wanita," katanya. Beliau turut menekankan aspek kebersihan dan keselamatan, termasuk penyediaan tali, laluan trek dan papan tanda sebagai keperluan penting untuk menjadikan kawasan itu mesra pelancong. "Tempat ini kita angkat sebagai Community Based Tourism, jawatankuasa yang menguruskan tempat ini akan menguruskan laluan dan penunjuk arah," jelas beliau. Razali turut menasihatkan agar pendaki yang tidak berpengalaman mendapatkan khidmat malim gunung tempatan yang berlesen serta tidak melakukan aktiviti bersendirian bagi mengelakkan risiko keselamatan. Untuk memasuki kawasan hutan simpan, pengunjung diwajibkan mendapatkan permit daripada Jabatan Perhutanan dengan bayaran RM10 seorang, selain menggunakan khidmat malim gunung yang berdaftar. "Sekarang sudah disediakan kemudahan bayaran secara atad talian dan wajib gunakan khidmat malim gunung untuk masuk ke kawasan hutan simpan," ujarnya. Beliau turut menegaskan bahawa sebarang aktiviti menebang pokok besar adalah dilarang, manakala pemotongan semak renek bagi tujuan perkhemahan masih dibenarkan dengan kawalan.
04 Jun 25
849
Ahli Akademik Setuju Terengganu Naikkan Papan Tanda Amaran LGBT
Ahli Akademik Setuju Terengganu Naikkan Papan Tanda Amaran LGBT
KUALA TERENGGANU, 4 Jun - Usaha kerajaan negeri menaikkan papan tanda amaran homoseksual disokong oleh Rektor Kolej Universiti TATI (UC TATI), Prof. Ir. Dr. Hairul Azhar Abdul Rashid bagi menimbulkan kesedaran serta rasa benci terhadap perbuatan terkutuk dan ditegah keras dalam ajaran Islam. Katanya, papan iklan seumpama itu yang memaparkan maklumat penerangan dan kesedaran awam terhadap perbuatan itu sangat baik. "Bahkan elok sekiranya diperluaskan ke seluruh pelusuk negeri dinaikkan di hadapan universiti awam sebagaimana dipasang  di hadapan Universiti Malaysia Terengganu (UMT). "Juga kita mengalu-alukan agar ia turut dinaikkan  di hadapan UC TATI sebagai usaha pencegahan," ujarnya ketika dihubungi, di sini, hari ini. Jelas beliau, usaha yang dilakukan kerajaan Terengganu ini bagi memperkasakan syariah merupakan satu usaha yang sangat baik bagi memastikan negeri ini terus maju, berkat dan sejahtera. "Khususnya untuk kebaikan sosial dan sudah tentu akan mengundang keredaan daripada Allah SWT. "Menunjukkan komitmen kerajaan negeri dalam pengukuhan peranan Islam selari dengan sistem perundangan negara," ujarnya. Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata kerajaan menaikkan papan tanda yang dipasang di laluan utama berhampiran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melarang perlakukan homoseksual adalah sebahagian daripada pendekatan dakwah berteraskan prinsip 'amar makruh nahi mungkar'.  
04 Jun 25
164
Keluarga Mat Nasir Penerima Bantuan MAIDAM, Bakal Dapat Rumah Baharu
Keluarga Mat Nasir Penerima Bantuan MAIDAM, Bakal Dapat Rumah Baharu
KUALA TERENGGANU, 3 Jun - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr. Mamad Puteh mengambil perhatian serius termasuk dengan membina rumah baharu bagi membela nasib Mat Nasir Islam, 48, serta isterinya, Mazilah Mansor. Mereka dikatakan tinggal di sebuah pondok usang bersama anak dan cucu, tiga daripada mereka masih bersekolah termasuk seorang anak yang dikategorikan Orang Kelainan Upaya (OKU). Dr. Mamad berkata, pada Khamis lalu pihaknya melalui pegawai khas dan kakitangan Pejabat DUN serta Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Hulu Terengganu telah menziarahi mereka dan mengambil maklum keadaan yang dialami oleh keluarga yang mengalami kesempitan hidup terbabit. "Meskipun serba terbatas, mereka tetap tabah meneruskan kehidupan dengan bergantung kepada bantuan bulanan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu (MAIDAM) yang sudah lama disalurkan. "Hari ini (kelmarin) saya bersama pihak Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Terengganu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan MAIDAM turut turun  sekali lagi bagi menilai keadaan semasa. "Pihak kami juga cuba untuk mengenal pasti bentuk bantuan tambahan yang boleh disalurkan demi kesejahteraan dan kelangsungan hidup keluarga ini," ujarnya menerusi satu hantaran di facebook rasminya, semalam. Terdahulu Mazilah memaklumkan masalah dialami mereka telah lama mendapat perhatian MAIDAM yang menyumbang zakat sebanyak RM3,000 setahun. Selain itu, dia memaklumkan juga turut menerima bantuan khas untuk anak OKU sebanyak RM1,800 daripada JKM. Dalam pada itu, Pegawai Khas ADUN, Arif Azlan memaklumkan Dr Mamad berusaha bagi memastikan sebuah rumah baru akan dapat didirikan untuk keluarga terbabit. "Pihak DUN telah bertemu dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Prihatin, cuma sekarang ini kalau menurut Mazilah tanah ini telah diusahakan sudah 20 tahun. "Apabila kita semak dengan Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Terengganu, tanah ini baru dipohon oleh keluarga ini pada April yang lalu, jadi kita tunggu kelulusan untuk mendirikan rumah yang lebih baik untuk didiami oleh keluarga ini," ujarnya.
03 Jun 25
1112
Kali Pertama Syarikat Terengganu Terima Kontrak Terbesar
Kali Pertama Syarikat Terengganu Terima Kontrak Terbesar
KEMAMAN, 1 Jun – Terengganu mencatat satu lagi sejarah baharu dalam sektor tenaga apabila menerima kontrak bernilai RM1.5 bilion daripada syarikat minyak dan gas negara, Petronas, kontrak terbesar pernah diterima anak syarikat negeri itu dalam industri petroleum setakat ini. Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, penerimaan kontrak tersebut menunjukkan keyakinan yang semakin kukuh terhadap keupayaan anak syarikat Kerajaan Negeri dalam industri berkenaan. “Sebelum ini kita pernah laksanakan kontrak besar bersama ExxonMobil bernilai RM500 juta pada tahun 2020 dan ia berjaya dilaksanakan dengan baik.  “Kini dengan Petronas, kita menerima kepercayaan dalam skala yang jauh lebih besar,” katanya. Beliau turut mendedahkan bahawa Kerajaan Negeri kini di landasan terbaik menubuhkan syarikat petroleum milik Terengganu sendiri. "Usaha ini digerakkan secara serius. Saya sendiri bersama Menteri Besar telah ke Abu Dhabi, Oman dan Brunei untuk membina jaringan kerjasama strategik dalam memastikan syarikat ini dapat direalisasikan.  “Insya-Allah, Terengganu bakal mempunyai syarikat petroleum sendiri tidak lama lagi,” katanya ketika berucap di Ceramah Perdana Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT) yang berlangsung di Padang Astaka, Chukai, baru-baru ini.  Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menegaskan kejayaan Perikatan Nasional (PN) mentadbir negeri-negeri di bawahnya dengan baik, khususnya dari segi pertumbuhan ekonomi dan pelaburan. “Ekonomi Terengganu antara yang mencatat pertumbuhan tertinggi. Malah, Kedah pula menerima kemasukan pelaburan tertinggi di Malaysia. “Contohnya, pelabuhan di Kemaman yang sebelum ini hanya mengurus sekitar tiga juta tan dagangan setahun, kini telah meningkat kepada tujuh hingga lapan juta tan, ini pencapaian era pemerintahan kita,” tambahnya.  
01 Jun 25
13769