lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Pengayuh Beca, Pemandu Bot Penambang Terima Elaun RM200 Sebulan
Pengayuh Beca, Pemandu Bot Penambang Terima Elaun RM200 Sebulan
KUALA TERENGGANU, 14 Jun – Pengayuh beca dan pemandu bot penambang di negeri ini akan menerima bantuan bulanan sebanyak RM200 bermula bulan depan. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, inisiatif kerajaan negeri itu berikutan kesan pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 terhadap golongan terbabit. Katanya, sumbangan tersebut akan memberi manfaat kepada 57 pengayuh beca dan 18 pemandu bot yang telah direkodkan. “Bantuan berjumlah RM15 ribu sebulan yang akan berjalan sehingga Disember nanti itu juga bertujuan untuk mengekalkan nostalgia dan nilai warisan pelancongan negeri yang dibawa oleh mereka. “Fokus sekarang adalah bagi mengenalpasti jumlah sebenar mereka yang beroperasi dalam sektor ini kerana sesetengah kalangan penggiat berumur lebih daripada 80 tahun, Insya-Allah kita akan perincikan kembali data senarai tersebut. "Saya turut menyarankan kepada mereka supaya berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat agar nasib mereka terbela sebaiknya," katanya ketika ditemubual di Jeti Bot Penambang, Pasar Payang, di sini, hari ini. Turut hadir, Pengarah Pelancongan negeri, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim dan Pengerusi Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu, Tun Baharom Tun Abdul Razak. Tambah Ariffin, beliau turut berterima kasih kepada Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab yang sentiasa berhubung dengan pihaknya bagi menyalurkan maklumat berkait nasib golongan itu. Pada masa yang sama, Ariffin turut menyampaikan bantuan RM2,000 dan barangan keperluan harian kepada 10 wakil penarik beca dan persatuan bot penamban. Untuk rekod, pada awal bulan ini, pengayuh beca dan pemandu bot penambang telah menerima elaun bulanan sebanyak RM300 seorang daripada Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah). Ketengah berkata, pembayaran elaun khas selama tiga bulan itu bertujuan meringankan bebanan mereka yang terkesan susulan pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP). "Golongan ini adalah ikon kepada sektor pelancongan di Terengganu dan khidmat mereka perlu dihargai. "Kebanyakan pengayuh beca roda tiga dan pemandu bot penambang berusia antara 70 tahun dan 85 tahun menghadapi kesukaran mencari rezeki berikutan ketiadaan pelanggan," jelasnya.
14 Jun 21
888
Peningkatan Insiden Laut Di Terengganu Membimbangkan
Peningkatan Insiden Laut Di Terengganu Membimbangkan
KUALA TERENGGANU, 14 Jun – Statistik operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) atau insiden laut terkini menunjukkan peningkatan membimbangkan setelah merekodkan tujuh kes dalam enam bulan pertama tahun ini. Pegawai SAR Maritim Negeri Terengganu, LT KDR (M) Mohd Arizan Hakimi Mohd Zin berkata, beliau tidak menolak kemungkinan akan berlaku peningkatan kadar insiden tersebut bagi enam bulan berbaki terutamanya pada musim monsun timur laut nanti. “Bagi tahun 2020, jumlah insiden perairan direkodkan adalah 14 insiden termasuk situasi seperti bantuan kecemasan, mangsa lemas atau hilang, kerosakan bot dan seumpamanya. “242 kejadian direkodkan pada tahun lepas dan 81 kes pada pada tahun ini sehingga 31 Mei bagi seluruh Malaysia melibatkan insiden kehilangan nyawa, harta benda, mangsa lemas atau tidak dijumpai dan sebagainya. “Namun begitu sejak penubuhan pada 2006 sehingga kini, statistik harta benda yang diselamatkan adalah agak besar sebanyak RM622 juta, menggambarkan usaha dilaksanakan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam usaha mengurangkan kadar penswastaan, kehilangan dan kerosakan harta benda,” katanya. Beliau berkata demikian selepas bersiaran langsung di TVDI bersempena Hari Kesedaran Keselamatan Maritim, baru-baru ini. Mengulas tentang berlakunya insiden melibatkan penggiat aktiviti laut, Arizan menjelaskan antara punca-punca utama adalah kurang kesedaran tentang pemakaian jaket keselamatan dan penggunaan peralatan sokongan kecemasan yang dapat membantu operasi CARILAMAT. “Oleh itu, pertama sekali kita sarankan kepada sesiapa yang menjalankan aktiviti perairan untuk sediakan jaket dan peralatan keselamatan di atas bot, kerana kita tidak pasti bila kejadian akan berlaku. “Kedua, kita galakkan penggunaan lampu isyarat kecemasan atau PLP, alat sebesar tapak tangan ini akan beri isyarat kepada pusat kawalan dan memudahkan kerja mencari jika berlaku kecemasan. Beliau turut menasihati kepada komuniti maritim agar merujuk laporan cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum turun ke laut dan tangguh jika keadaan tidak mengizinkan.
14 Jun 21
629
PKPD : 15 Jalan Ditutup Di Mukim Bukit Besar, Serada
PKPD : 15 Jalan Ditutup Di Mukim Bukit Besar, Serada
KUALA TERENGGANU, 13 Jun – Sebanyak 15 laluan ditutup berikutan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dilanjutkan di Mukim Bukit Besar dan Serada bermula hari ini sehingga 26 Jun. Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din melaporkan, pihaknya turut membuka lima Sekatan Jalan Raya (SJR) di dua mukim terbabit. Katanya, empat SJR di Mukim Bukit Besar dilaksanakan di Jalan Masuk Panji Alam dari Simpang Pengadang Akar, Jalan Keluar Panji Alam ke Simpang Pengadang Akar, Jalan Masuk Pasir Panjang dari Gong Kapas dan Jalan Keluar Pasir Panjang ke Gong Kapas. Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din “Di Mukim Serada, hanya satu SJR iaitu di Jalan Kepong, tujuan sekatan ini bagi mengelakkan berlaku pergerakan keluar dan masuk kenderaan serta orang ramai di kawasan PKPD berkenaan. “Pihak polis juga akan membuat rondaan dan pemantauan dari semasa ke semasa bagi mengenalpasti lorong-lorong yang masih digunakan orang ramai bagi tujuan keluar dan masuk,” katanya dalam satu kenyataan, semalam. Sementara itu, Abdul Rahim berkata, dua balai polis bergerak atau subtek Polis Diraja Malaysia (PDRM) dibuka di Hadapan Masjid Sultan Muhammad, Bukit Besar dan Dewan Sivik Serada. “Ia khusus bagi memudahkan penduduk di kawasan berkenaan untuk mendapatkan sebarang maklumat atau bantuan hal-hal kecemasan semasa kawalan pergerakan dilaksanakan,” jelasnya. Beliau turut menegaskan cubaan atau tindakan untuk mengalih, mengubah, melanggar atau merosakkan penghadang jalan (barricade) yang telah ditempatkan di kawasan pkpd boleh didakwa mengikut peruntukan undang-undang. “Bagi 19 mukim yang lain pula hendaklah mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Penuh (Pkp 3.0) dan mengurangkan pergerakan kecuali atas sebab dan urusan-urusan yang telah ditetapkan mengikut SOP,” katanya lagi. Sebarang pertanyaan boleh berhubung dengan Pusat Kawalan COVID-19 Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di talian 09-6322377.
13 Jun 21
6159
'Total Lockdown', PKPD Di Terengganu Tunjuk Hasil Positif
'Total Lockdown', PKPD Di Terengganu Tunjuk Hasil Positif
KUALA TERENGGANU, 10 Jun - Pelaksanaan 'total lockdown' fasa pertama bermula 1 Jun lalu dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa kawasan di negeri ini mula menunjukkan perkembangan yang positif. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, perkara itu terbukti selepas kes positif yang dicatatkan hari ini adalah 108. "Semalam 171, lebih 70 daripadanya adalah kes positif COVID-19 di kawasan industri Teluk Kalong yang melibatkan warga asing dan tidak ada risiko kepada rakyat negeri kita kerana mereka tidak keluar dari kawasan industri tersebut. "Jadi bila ditolak hanya 98 kes tempatan untuk semalam," ujarnya ketika bersiaran secara maya di TV Darul Iman, hari ini. Jelas beliau, kadar kebolehjangkitan turut menunjukkan penurunan iaitu tidak lebih dari 1. "Semalam 0.9 bermakna kadar jangkitan akan makin berkurangan dari hari ke hari yang akan membawa lekuk kepada mendatar," ujarnya. Dr Alias berkata, PDRM turut memaklumkan tahap kepatuhan rakyat Terengganu terhadap SOP 'total lockdown' dan PKPD sangat baik. "Contohnya, Besut semalam dan hari ini hanya catat empat kes baru dan ini suatu kejayaan, begitu juga di mukim Kuala Berang, penularan sudah boleh dikawal. "Di Kuala Terengganu hanya mukim Bukit Besar dan Serada kawasan PKPD yang masih tidak dapat dikawal dan lain-lain semakin baik," ujarnya. Mengulas lanjut beliau memberitahu, arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan sebenarnya untuk membawa kebaikan kepada rakyat. "Ini bukanlah kejayaan kerajaan tetapi rakyat yang bekerjasama sehingga membolehkan kes COVID-19 di negeri kita semakin menurun," ujarnya. Sementara itu katanya, kerajaan negeri juga sedang giat berusaha supaya lebih ramai rakyat Terengganu mendaftar vaksin.  "Kita sasarkan dapat capai 70 peratus daftar vaksin untuk meningkatkan imuniti kelompok. "Walaupun peratusan pertambahan yang mendaftar masih rendah tetapi kehadiran ke pusat penerimaan vaksin semakin meningkat ," ujarnya.
10 Jun 21
5082
328 Jurumandi Jenazah, Pembantu Terima Elaun RM100 Sebulan
328 Jurumandi Jenazah, Pembantu Terima Elaun RM100 Sebulan
KUALA TERENGGANU, 10 Jun – Kerajaan Negeri meneruskan pemberian insentif bulanan kepada Jurumandi Jenazah dan Pembantu Jurumandi Jenazah yang berdaftar di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) sebanyak RM100 sebulan dengan bayaran enam bulan pertama 2021 pada Julai ini. Ketua Penolong Pesuruhjaya (Dakwah) JHEAT, Zahari Sulong berkata, bayaran bagi enam bulan pertama 2021 akan dibuat pada Julai depan selepas mengalami sedikit kekangan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak awal 2021. Katanya, kerja kemaskini borang baharu sedang giat dilaksanakan dengan turut menyenaraikan penerima tahun sebelumnya. "Pembayaran yang bermula sejak tahun 2019 hingga kini memberi manfaat kepada seramai 328 orang golongan sasar yang berdaftar. “Semua ini ditambah lagi dengan peruntukan sebanyak RM720,000 setahun bagi pembayaran imbuhan pemandian jenazah dengan kadar RM100 kepada jurumandi dan RM50 kepada pembantunya, yang juga berjalan seperti biasa. "Kerajaan Negeri juga turut menyediakan bantuan khairat kematian sebanyak RM2,000 bagi Jurumandi Jenazah dan Pembantu Jurumandi Jenazah berdaftar yang berkhidmat melebihi lima tahun. Manakala RM1,000 kepada yang  berkhidmat kurang daripada lima tahun,” katanya ketika dihubungi Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), hari ini. Jelasnya, sumbangan insentif dan khairat kematian oleh kerajaan Terengganu itu adalah sebagai tanda pengiktirafan dan penghargaan atas khidmat bakti golongan itu dalam menunaikan tuntutan Fardu Kifayah kepada masyarakat Islam. Untuk rekod, peruntukan pemberian elaun bulanan tersebut telah diumumkan semasa perbentangan bajet negeri 2019 daripada teras ketiga iaitu kebajikan.
10 Jun 21
1172
Terengganu Negeri Kedua Paling Sejahtera - Skor IKK
Terengganu Negeri Kedua Paling Sejahtera - Skor IKK
KUALA TERENGGANU, 9 Jun – Terengganu menjadi negeri kedua tertinggi di Malaysia dari segi tahap kesejahteraan keluarga berdasarkan Skor Indeks Kesejahteraan Keluarga Malaysia (IKK) yang dikeluarkan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN). Pengarah Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negeri (LPPKN) Terengganu, Muhamad Noh Abdullah berkata, negeri ini mencatatkan skor 8.10 daripada 10 diikuti Negeri Sembilan (8.03) dan didahului Wilayah Persekutuan Putrajaya (8.37). “Penanda aras tersebut dibuat berdasarkan lapan domain seperti hubungan kekeluargaan, ekonomi keluarga, kesihatan dan lain-lain lagi dimana kita menyasarkan skor 8 di semua aspek tersebut. “Contohnya, domain keluarga, peranan agama dan amalan kerohanian memperoleh markah tertinggi dengan 8.75 diikuti dengan domain hubungan kekeluargaan (8.63).   Infografik Skor IKK mengikut lapan domain “Berdasarkan skor itu, kita boleh menganggap bahawa rakyat disini telah mencapai indeks keluarga yang baik serta pelaksanaan pelbagai inisiatif kerajaan negeri telah dizahirkan dalam tindakbalas positif itu,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI. Tambahnya, skor IKK Terengganu pada 2019 merupakan peningkatan daripada berbanding pada tahun terakhir pada 2016 (7.56) dan melepasi nilai kebangsaan iaitu 7.72. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat menyifatkan pencapaian penilaian tersebut adalah selaras dengan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030. “Kerajaan negeri akan terus komited dalam meneruskan dasar merangkumi Maju, Berkat dan Sejahtera serta bekerjasama dengan agensi berkaitan dalam perancangan program lebih tepat dan releven dengan keperluan kekeluargaan semasa,” katanya. Untuk rekod, IKK bertujuan untuk memantau kesejahteraan keluarga Malaysia serta menjadi panduan kepada para penggubal dasar membentuk strategi yang lebih efektif dan program yang tepat kepada sasarannya.
09 Jun 21
4015
PKP 3.0 : KETENGAH Peruntuk Hampir RM1 Juta Bantu Masyarakat Luar Bandar, Para Usahawan
PKP 3.0 : KETENGAH Peruntuk Hampir RM1 Juta Bantu Masyarakat Luar Bandar, Para Usahawan
KUALA TERENGGANU, 7 Jun- Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) memperuntukan RM917,443 bagi meringankan beban masyarakat luar bandar terutamanya para usahawan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0. Pengerusinya, Dato' Razali Idris berkata, insentif selama tiga bulan bermula bulan Mei hingga Julai 2021 melibatkan seramai 4443 orang penerima manfaat meliputi tiga program. "Pertama, program KETENGAH ambik Cakna Lockdown dimana bantuan bakul makanan diagihkan kepada seramai 3200 buah keluarga dengan implikasi kewangan sebanyak RM366,000. "Selain itu, kita turut mengenakan pengecualian penyewaan premis perniagaan KETENGAH dalam tempoh tiga bulan buat 1042 orang usahawan dengan perbelanjaan sebanyak RM397,263. "Ketiga, pihak kami juga akan membuat penangguhan bayaran sewa beli rumah kediaman KETENGAH melibatkan 201 buah keluarga dengan peruntukan sebanyak RM172,180," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. Tambahnya, insentif penangguhan tersebut turut disertakan dengan penjadualan semula moratorium atau bayaran balik serta pengecualian bayaran sewa premis perniagaan dan rumah kediaman. "Ini akan diberikan secara automatik dan serta merta tanpa perlu mengemukakan permohohan," katanya. Tambah Dato' Razali, tiga bantuan tersebut merupakan kesinambungan daripada insentif terdahulu yang telah dilaksanakan bermula PKP 1.0 yang lalu di mana melibatkan kos RM1.1 juta bagi tujuan yang sama. Sementara itu, beliau berkata, pihaknya juga mengambil langkah bagi menjayakan program vaksinasi nasional melalui Stay Safe-KETENGAH Region (S-Reg) bagi membantu meningkatkan kecekapan peratusan pendaftaran vaksinasi nasional dalam Wilayah KETENGAH. "Data kaji selidik penduduk diwujudkan bagi mendapat data tepat bagi dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan pihak berkuasa tempatan (PBT). "Kita turut bersedia berkerjasama menyediakan persiapan tempat di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kemaman, Dungun dan Hulu Terengganu serta kemudahan pengangkutan kepada penduduk," jelasnya.
07 Jun 21
1093
COVID-19 : Semakin Ramai Ingin Divaksinasi - Kajian
COVID-19 : Semakin Ramai Ingin Divaksinasi - Kajian
KUALA TERENGGANU, 6 Jun – Kajian terhadap sikap rakyat Malaysia mengenai kesedaran dan keyakinan mengenai usaha pemvaksinan COVID-19 menunjukkan keputusan memberangsangkan dengan 85 peratus rakyat menerimanya secara positif. Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, ia adalah suatu perkembangan positif terutamanya apabila dibandingkan dengan hasil dapatan sebelumnya pada akhir Februari iaitu hanya 67 peratus daripada responden memilih untuk disuntik. “Peningkatan penerimaan hasil selidik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berbanding sebelum bermula Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sehingga April merupakan petanda baik dalam mencapai sasaran 80 peratus rakyat divaksin pada hujung tahun ini. “Selain itu, peratusan golongan yang menolak vaksin sepenuhnya atas pelbagai sebab dan dakyah turut berkurang daripada 16 peratus (Februari) menurun sehingga lima peratus (April). “Keyakinan ini juga boleh disumbangkan oleh keadaan semasa dunia dengan 1.8 bilion dos vaksin yang telah disuntik di seluruh dunia dengan kadar kesan sampingan yang sangat rendah,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI, baru-baru ini. Mengulas lanjut mengenai masalah keraguan kalangan umat Islam dalam negeri, beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu mencadangkan supaya masjid dijadikan sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV). “Kita telah berbincang dengan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) serta Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) yang tawarkan sukarelawan dalam usaha memulakan projek perintis ini di Terengganu. “Diharapkan agar ia dapat menyelesaikan masalah berkaitan keberkesanan dalam salah faham berkaitan vaksin dalam komuniti islam yang sebilangannya masih teragak-agak untuk pergi ke pusat vaksinasi,” jelasnya lagi. Menurut statistik daripada Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) sehingga 5 Jun, Terengganu mencatatkan jumlah pemberian dos vaksin seramai 85,595 orang untuk dos pertama dan 50,053 untuk dos kedua.
06 Jun 21
165
Warga Emas Terima Baik Suntikan Vaksin
Warga Emas Terima Baik Suntikan Vaksin
HULU TERENGGANU, 6 Jun - "Pak cik rasa lega sebab sudah terima vaksin, orang tua (warga emas) yang lain kena datang ambil suntikan supaya tidak dijangkiti  COVID-19," kata Ismail Ibrahim, 79. Dia merupakan salah seorang warga emas yang menerima suntikan vaksin COVID-19 pada fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan peringkat negeri bermula April lalu, turut mengajak lebih ramai rakyat di negeri ini terutama warga emas untuk mendaftar sebagai penerima vaksin itu. Tambahnya lagi, selepas menerima suntikan dos pertama, dia berasa lega dan rasa lebih selamat daripada ancaman COVID-19 yang semakin mengganas di daerah itu. "Saya tahu suntikan ini bertujuan untuk melawan Covid-19, tetapi, rasa takut tetap ada. "Walaupun ada segelintir pihak kata tak elok dan ada pihak lain pula kata tidak ada masalah apa..lepas pak cik sendiri cucuk vaksin ini barulah pak cik rasa tindakan ini adalah tepat demi kebaikan semua," katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai menjalani suntikan tersebut. Sementara itu, seorang lagi penerima vaksin, Wan Hawa Wan Ismail, 77, berkata, dia tidak merasa sakit ketika disuntik mahu pun selepas segala urusan berkaitan selesai. “Saya bersyukur kerana sudah diberi peluang untuk menerima vaksin dan saya mengajak semua untuk mendaftar vaksinasi, kerana ini merupakan salah satu cara untuk kita bersama memerangi penularan COVID-19. “Selepas disuntik, saya tidak rasa apa-apa kesan atau gangguan kesihatan. Malah, rasa seronok pula kerana sudah divaksin. “Saya rasa program ini bagus dan takkan ragu-ragu untuk datang bagi menerima suntikan buat kali kedua nanti,” katanya. Bagi, Tengku Azman Shah Tengku Adnan, 55, yang turut menerima vaksin berkata, orang ramai terutamanya golongan warga emas tidak perlu takut dengan program vaksinasi ini, kerana ia bertujuan untuk memulihkan keadaan. Tambahnya, kehadiran ke PPV membuktikan dia telah menjalankan tanggungjawab sebagai seorang warganegara. Dalam perkembangan yang sama, Penyelaras Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Sivik Ajil, Dr. Izwan Syafiq Zakaria memaklumkan, seramai 100 individu disasarkan menerima vaksin di Dewan Sivik Ajil setiap hari bagi fasa kedua ini dan setakat ini 370 penerima telah menerima suntikan vaksin disini. “Jumlah itu bagaimanapun akan berganda kerana nanti akan sampai satu tahap di mana kita perlu menguruskan suntikan penerima dos pertama dan dos kedua. "Jadi, kita akan laksanakan program ini secara teratur,” katanya.   
06 Jun 21
397
Tempoh Bayaran Cukai Tanah Dilanjutkan
Tempoh Bayaran Cukai Tanah Dilanjutkan
KUALA TERENGGANU, 6 Jun - Tempoh bayaran cukai tanah tanpa denda bagi tahun semasa 2021 telah dilanjutkan sehingga 31 Ogos ini. Timbalan Pengarah Tanah dan Galian Terengganu (Pendaftaran), Wan Khalid Wan Jusoh berkata, pembayaran sebelum tarikh berkenaan boleh mengelakkan denda lewat bayar.  "Bayaran cukai tanah termasuk tunggakan dan denda bolehlah dibuat di semua kaunter bayaran di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri (PTG) Terengganu, Pejabat-Pejabat Tanah Daerah dan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Paya Bunga Square, Kuala Terengganu," ujarnya dalam satu kenyataan. Menurut beliau, waktu urusan bagi kaunter PTG dan kaunter hasil Pejabat Tanah Daerah adalah pada waktu dan hari bekerja iaitu dari Ahad sehingga Rabu (8 pagi hingga 4.30 petang) dan Khamis bermula 8 pagi hingga 3 petang. "Manakala, waktu operasi kaunter semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk Ahad sehingga Rabu (9 pagi hingga 3 petang) dan Khamis dari 9 pagi hingga 2.30 petang," ujarnya. Katanya, waktu urusan bagi kaunter PTG di UTC pula bermula 10 pagi sehingga 7 malam pada Ahad hingga Khamis dan dari 8 pagi hingga 5 petang pada Jumaat dan Sabtu. Wan Khalid berkata,  cukai tanah boleh dibayar dengan beberapa cara termasuk menggunakan kad debit atau kad kredit di semua kaunter hasil tanah. "Juga melalui perbankan online bagi pengguna perkhidmatan Maybank2U di http://www.maybank2u.com.my/, perbankan online bagi pengguna perkhidmatan jompay di 42 buah bank, perkhidmatan Tpay di https://tpay.terengganu.gov.my/. "Selain boleh dibayar melalui Electronic Fund Tranfer (EFT) kepada akaun Bank Islam Malaysia Berhad (Cawangan Kuala Terengganu) No. Akaun: 13017010034566 TETUAN AKAUNTAN NEGERI TERENGGANU. Katanya, setelah bayaran dibuat, pemohon perlu menghantar resit bayaran dan rujukan pembayaran dengan kadar segera melalui email kepada ptgtrg@terengganu.gov.my.
06 Jun 21
217