lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

KPDNHEP Mohon Pertimbang Kebenaran Operasi Kedai Alat Tulis
KPDNHEP Mohon Pertimbang Kebenaran Operasi Kedai Alat Tulis
HULU TERENGGANU, 20 Jun - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mahu mengemukakan permohonan supaya premis alat tulis  dibenarkan beroperasi  sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0). Timbalan Menterinya, Dato Rosol Wahid berkata, permohonan itu akan dikemukakan kepada Menteri Kanan (Keselamatan), Dato Seri Ismail Sabri Yaakob atau Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk dibincangkan dalam mesyuarat yang terdekat. Katanya, beliau difahamkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga telah mengemukakan permohonan sama kepada MKN kelmarin. "Kedai alat tulis serta barangan persekolahan termasuk fotostat wajar dibenarkan beroperasi semasa sekolah ditutup dan kelas berjalan di rumah. "Ini merupakan antara permintaan ibu bapa bagi memudahkan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR)," katanya. Rosol berkata demikian kepada pemberita selepas melawat dan menyampaikan sumbangan makanan kepada petugas Sekatan Jalanraya (SJR) di Kampung Tajin, hari ini. Justeru itu katanya, beliau berkeyakinan permohonan pembukaan semula kedai alat tulis dan fotostat tersebut akan diputuskan MKN pada masa terdekat.
20 Jun 21
1075
Elaun Atlet Diteruskan Walaupun SUKMA 2021 Ditunda
Elaun Atlet Diteruskan Walaupun SUKMA 2021 Ditunda
KUALA TERENGGANU, 19 Jun – Elaun atlet Sukan Malaysia (SUKMA) 2020 tetap dibayar seperti biasa meskipun acara dwi-tahunan yang sepatutnya berlangsung pada 2021 itu dibatalkan. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sukan, Belia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, langkah itu diambil bagi menjaga kebajikan kepada altet sukan negeri ini. Katanya, elaun bulanan berfasa kepada para atlet SUKMA diteruskan dengan perubahan minima akibat pertukaran tarikh baharu acara itu ke tahun hadapan. “Fasa pertama melibatkan pembayaran elaun kepada penggiat sukan sebanyak RM130 sebulan, jumlah bagi fasa kedua juga sama manakala bagi seterusnya kita akan bayar sebanyak RM390 sebulan. “Sehingga sekarang kita masih meneruskan bayaran elaun seperti biasa kepada warga sukan, jurulatih dan selebihnya yang terlibat. Namun kini kita kembali kepada fasa pertama dan akan mulakan fasa ketiga jika menghampiri tarikh pertandingan. “Selain itu, Skim Penggiat Sukan sebanyak RM650 sebulan kepada atlet Terengganu berusia 18 tahun ke atas turut diwujudkan,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI, baru-baru ini. Tambah Wan Sukairi, Kerajaan Negeri melalui Badan Pengurus Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) juga telah meluluskan Skim Khas Sukma 2022. “Seperti sedia maklum, had umur atlet bagi SUKMA adalah tidak lebih daripada 21 tahun kebawah, namun begitu dengan berlaku tundaan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersetuju untuk melonggarkan syarat tersebut. “Peserta boleh berdaftar dalam acara yang akan diadakan di Johor Darul Takzim itu walaupun berumur dengan maksimum sehingga 23 tahun dan layak menerima skim tersebut. “Jumlah elaun tersebut bergantung kepada pencapaian dan syarat ditetapkan, contohnya jumlah diberikan adalah RM650, namun jika dinilai, mereka layak menerima RM1,000,” katanya lagi. Jelasnya, insentif kebajikan khas tersebut berperanan sebagai penyunting semangat dan persediaan dalam menghadapi acara sukan tahunan kebangsaan tersebut.
19 Jun 21
541
COVID-19 Di Terengganu Catat Dua Angka 8 Hari Berturut-turut
COVID-19 Di Terengganu Catat Dua Angka 8 Hari Berturut-turut
KUALA TERENGGANU, 18 Jun - Perkembangan kes COVID-19 di negeri ini terus menunjukkan trend penurunan yang memberangsangkan selepas mencatat kes harian bawah 100 lapan hari berturut-turut. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, bermula 11 Jun lalu, kes baharu yang dicatatkan hanya 66. "Menurun kepada 42 kes pada 12 Jun, seterusnya 13 Jun 46 kes, 14 Jun (86 Kes), 15 Jun (43 Kes), 16 Jun (56 kes), 17 Jun (77 kes) dan 18 Jun (32 kes), " katanya ketika bersiaran secara maya di TV Darul Iman, hari ini. Katanya, faktor penurunan kes di negeri ini salah satunya disebabkan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di kalangan orang ramai. "Tahniah kepada rakyat Terengganu yang patuh SOP seterusnya membolehkan kes menurun. "Harap orang ramai teruskan pematuhan ini supaya kes terus berkurangan dan membolehkan kita membendung penularan COVID-19 di negeri Terengganu," ujarnya.
18 Jun 21
1657
Munajat Rakyat Harungi Musibah COVID-19
Munajat Rakyat Harungi Musibah COVID-19
KUALA TERENGGANU, 18 Jun – Pelaksanaan program Munajat Rakyat Terengganu oleh Kerajaan Negeri adalah sebagai salah satu usaha meningkatkan semangat rakyat dalam mengharungi musibah pandemik COVID-19. Pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus menyifatkan, antara dua syarat untuk Allah SWT mengampunkan dosa umat-Nya ketika menghadapi malapetaka adalah dengan mengamalkan sifat redha dan berusaha untuk bermunajat. “Allah SWT ingin mengajar kita dengan musibah, ini kerana apabila manusia melaluinya, kita akan kembali untuk beribadat kepada-Nya. “Antara hikmah berlakunya sesuatu kejadian yang tidak baik, pertama Nabi Muhammad SAW berkata tuhan memberikan kita susah begini, dengan sebab itu dosa kita sebesar gunung Allah ampunkan,” katanya ketika bersiaran langsung sempena Kuliah Dhuha Munajat Rakyat, pagi tadi. Dalam bual bicara yang dipengerusikan oleh Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Kamaruzzaman Abdullah itu, Ustaz Azhar turut berkata, musibah bermakna perkara atau kejadian tidak baik menimpa ke atas manusia. “Persoalannya jika penularan virus ini musibah atau tidak, jawapannya semua yang tidak baik tidak disukai manusia dipanggil musibah, apatah lagi keadaan semasa dengan kes kematian yang meningkat,” katanya lagi. Sementara itu, Pendakwah Selebriti, Ustaz Syed Mohd Norhisyam berkata, dalam menghadapi masalah seperti kesihatan, kewangan dan sebagainya, Islam mengajar umatnya untuk berikhtiar. “Khususnya apabila dilanda wabak, antara ikhtiar yang boleh diambil seperti mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP), mengambil vaksin, pemakanan sihat dan lain-lain lagi. “Hanya istimewa untuk orang Islam sahaja, munajat sebenarnya juga adalah bentuk yang paling utama sekali, kerana Allah SWT adalah maha berkuasa untuk mencipta dan menghapuskannya (virus), alhamdullilah Munajat rakyat yang diadakan ini juga adalah di antaranya,” jelasnya.  
18 Jun 21
390
Petugas 'Stay Safe' Ajak Orang Kampung Ambil Vaksin
Petugas 'Stay Safe' Ajak Orang Kampung Ambil Vaksin
KUALA TERENGGANU, 18 Jun - Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) telah membentuk Pasukan Petugas Stay Safe-KETENGAH Region (S-Reg) bagi menggerakkan Program Vaksinasi Penduduk Wilayah di daerah Dungun, Hulu Terengganu dan Kemaman. Pengerusi KETENGAH, Senator Dato' Razali Idris berkata, S-Reg di bawah Program KETENGAH Ambik Cakne digerakkan dengan kekuatan lebih 200 orang sukarelawan. Jelasnya, pasukan itu akan mengemaskini data dan laporan status pendaftaran vaksin penduduk di wilayah berkenaan.  "Sukarelawan ini akan turun ke kampung-kampung bagi membantu proses pendaftaran khususnya penduduk yang menghadapi kekangan untuk mendaftar secara maya.  "S-Reg juga akan bertindak menyelaras pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dalam wilayah dengan membantu melaksanakan persiapan tempat dan menyediakan kemudahan pengangkutan kepada penduduk yang memerlukan ke  lokasi PPV," ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini. Beliau memaklumkan, gerak kerja pasukan petugas S-Reg ini telah pun dilaksanakan sejak awal Jun dengan pelbagai kempen kesedaran secara digital, fizikal dan 'Info On Wheels' ke pedalaman kampung bagi penyaluran maklumat yang tepat berkaitan persepsi masyarakat terhadap program vaksinasi nasional.  "KETENGAH juga turun padang bersama Pejabat Kesihatan Daerah dengan dibantu oleh 91 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bergerak dari rumah ke rumah bagi memudahkan penduduk mendaftar vaksin dan mempercepat proses suntikan diperolehi.  Tambahnya, insentif juga disediakan dalam bentuk geran pembangunan kepada kampung-kampung yang berjaya mencapai peratusan vaksinasi penduduk sehingga 80 peratus menjelang akhir Ogos 2021.  "Peruntukan sejumlah RM200 juga disalurkan kepada setiap pengurusan JPKK bagi membantu urusan pentadbiran diperingkat kampung.  "Usaha ini merupakan inisiatif KETENGAH setelah menyediakan beberapa insentif sokongan lain dalam rangka membantu meringankan beban masyarakat luar bandar terutamanya para usahawan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 secara terus selama tiga bulan bermula Mei hingga Julai 2021 melibatkan 4,443 orang penerima manfaat dengan implikasi kewangan sebanyak RM917,443.65," ujarnya. Katanya lagi, penyediaan Bantuan Bakul Makanan juga dilaksanakan kepada 3,200 buah keluarga dengan implikasi kewangan sebanyak RM366,000.  "Insentif ini merupakan sambungan kepada insentif terdahulu yang telah dilaksanakan bermula PKP 1.0 melibatkan kos berjumlah RM1.1juta bagi tujuan yang sama," jelas beliau.
18 Jun 21
280
Outreach PICK : 811 Penduduk Terima Suntikan
Outreach PICK : 811 Penduduk Terima Suntikan
SETIU, 16 Jun - Seramai 811 penduduk menerima suntikan vaksin dos pertama dalam penganjuran Outreach Vaksinasi di bawah Program Imuninasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di daerah ini. Sekolah Kebangsaan Merang, Setiu yang dijadikan pusat PICK dibuka seawal 8.00 pagi itu mula menerima kehadiran orang ramai. Pegawai Daerah Setiu, Rosli Latif berkata, pendaftaran merekodkan seramai 888 penduduk. "Namun, yang dibenarkan untuk disuntik adalah seramai 811 sahaja dan selebihnya tidak dibenarkan disebabkan beberapa faktor kesihatan. "Terima kasih kepada semua yang terlibat pada hari ini Pejabat Daerah Setiu, Majlis Daerah Setiu, Pejabat Kesihatan Daerah Setiu, JKR Setiu, APM Daerah Setiu, Penghulu Mukim, Jabatan Amal dan semua Pengerusi JPKK yang terlibat". Beliau berkata demikian ketika ditemui sejurus berakhir program PICK hari ini. Dalam pada itu, PICK turut menerima kunjungan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dan memeriahkan program dengan edaran 'goodies bag' kepada orang ramai. PICK kali kedua ini diadakan selepas kali pertama di Sekolah Kebangsaan Bukit Munduk, Langkap awal Jun lalu.
16 Jun 21
275
'Food Pas' Pusing Kampung Bantu Rakyat Susah
'Food Pas' Pusing Kampung Bantu Rakyat Susah
SETIU, 16 Jun - Memahami dan merasai kesusahan rakyat di sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit mengambil inisiatif menubuhkan 'Food Pas'. Mohd Shafizi Ismail berkata, dengan tema ‘Berkebajikan Sepanjang Hayat’ bantuan makanan itu mula disalurkan kepada golongan sasar sejak kelmarin. "Operasi kami mudah iaitu hanya meronda ke setiap kampung dalam DUN ini, kemudian mengagihkan barangan keperluan harian kepada semua penduduk yang terjejas. “Beras, tepung, gula, susu dan lain-lain kami agihkan kepada rakyat yang memerlukan tanpa mengira fahaman politik, sesiapa yang merasa memerlukan boleh segera berhubung dengan Jawatankusa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK). “Langkah proaktif ini penting bagi memastikan barangan sampai dengan cepat dan kena pada sasaran, ia juga bagi kelangsungan hubungan dua hala antara pihak kerajaan dan masyarakat, ini juga platform kepada orang ramai berkongsi rezeki,” katanya kepada UPDI. Mengulas lanjut, Mohd Shafizi memaklumkan inisiatif murni itu mendapat kerjasama daripada badan bukan kerajaan (NGO) Batu Rakit Care. “Idea mewujudkan ‘Food Pas’ ini hadir selepas banyak sokongan yang diberikan daripada pihak tertentu terutamanya JPKK DUN Batu Rakit. “Sekalung penghargaan dan terima kasih tidak terhingga kami ucapkan kepada Pengerusi JPKK Kampung Wakaf Chagak, Che Rahim Che Harun,” jelas Shafizi. Tambah Mohd Shafizi, demi memastikan kebajikan rakyat terjamin, inisiatif itu akan dikekalkan dan ditambah baik. “Saya juga secara khusus akan mewujudkan ‘Food Pas’ ini di semua JPKK dalam DUN Batu Rakit agar kita dapat terus membantu mereka-mereka yang memerlukan tanpa mengira agama, bangsa dan warna kulit,” ujarnya.
16 Jun 21
905
OKU Pun Tak Takut Disuntik Vaksin
OKU Pun Tak Takut Disuntik Vaksin
HULU TERENGGANU, 16 Jun – Kekurangan fizikal bukan penghalang buat dua Orang Kurang Upaya (OKU) di Kuala Berang untuk mengambil suntikan vaksin sempena Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK). Sabariah Mohd, 36, yang mempunyai kekurangan fizikal mengakui teruja mendapat suntikan dos pertama, semalam. “Walaupun dengan keadaan kaki sebelah yang pendek, ia tidak menyusahkan saya untuk datang ke sini dengan kenderaan sendiri dari Bukit Tok Bat. “Bagi saya, vaksin sangat penting bagi kita semua untuk menguatkan sistem imunisasi badan, tambah lagi ia akan memudahkan urusan bagi saya yang suka melancong,” katanya yang juga seorang guru al-Quran bagi warga emas. Sementara itu, bagi OKU pendengaran dan penghidap penyakit co-morbid, Megat Putra Megat Mansur, 61, menjelaskan, usahanya untuk datang ke PPV sebagai ikhtiar melawan virus COVID-19. Dia yang hadir berkerusi roda dengan bantuan sukarelawan MyVac menyifatkan kesanggupannya mengambil suntik vaksin adalah demi menjaga keselamatan diri dan keluarganya serta mengurangkan jangkitan wabak itu. “Pada lima tahun lalu, saya ditimpa musibah semasa bekerja sebagai pemandu lori, sekarang pergerakan saya terbatas namun saya tetap bersungguh untuk datang ke sini. “Tiga minggu lepas sudah terima dos pertama dan hari ini dos kedua, saya tidak dapat datang jika tiada sokongan padu yang diberikan kakitangan daerah yang datang ambil saya daripada Kampung Tok Randuk, Ajil,” katanya. Menurut Penyelaras PPV Kuala Berang, Zuraidah Embong, golongan OKU dan mereka yang tiada kenderaan akan dibantu untuk ke pusat tersebut melalui perkhidmatan pengangkutan percuma hasil inisiatif Pejabat Daerah Hulu Terengganu. “Dengan kerjasama pelbagai agensi daerah ini seperti Pejabat Agama, Majlis Daerah Hulu Terengganu dan Jabatan Kerja Raya (JKR), golongan seperti Megat akan dibantu untuk ke PPV di sini. “Bilik Gerakan Imunisasi COVID-19 daerah akan menelefon bakal penerima sehari sebelum temu janji dan bertanyakan jika tiada kenderaan. “Purata sehari dalam tiga orang penerima vaksin akan datang diambil oleh kenderaan agensi berkaitan,” jelasnya.
16 Jun 21
353
Cadang Utamakan Vaksin Kepada Pemain Industri Pelancongan
Cadang Utamakan Vaksin Kepada Pemain Industri Pelancongan
HULU TERENGGANU, 15 Jun – Kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri (Tourism Terengganu) sedang dalam usaha bagi memberi keutamaan vaksin COVID-19 kepada para penggiat industri tersebut. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, perbincangan sedang berjalan dengan agensi pelancongan bagi menyusun maklumat tentang angka sebenar pemain pelancongan yang akan didahulukan. Katanya, jika pemberian vaksin dilaksanakan dan aktiviti pelancongan dibenarkan, orang ramai akan berasa selamat apabila melancong. “Semalam kita sudah ada pertemuan dengan 76 orang pengayuh beca dan pemandu bot penambang di Kuala Terengganu dan Seberang Takir untuk proses seterusnya. “Cadangan saya mungkin akan dimasukkan dalam fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK). “Antara golongan yang dicadangkan seperti pengayuh beca tiga tayar, pemandu ‘houseboat’ Tasik Kenyir, pemandu teksi, pengusaha pulau dan lain-lain lagi,” katanya ketika ditemubual pemberita, pagi tadi. Beliau berkata demikian selepas menyantuni petugas barisan hadapan dan penerima vaksin di Pusat Penerimaan Vaksin (PPV) Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu, Kuala Berang. Hadir sama, Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Ahmad Azizi Zulkifli, Pengarah Pelancongan negeri, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim dan penyelaras PPV Kuala Berang, Zuraidah Embong Dalam program tersebut, Ariffin bersama Tourism Terengganu, Persatuan Hotel Terengganu (MAH) dan Pejabat Daerah Hulu Terengganu turut menyantuni dam memberi penghargaan di sini kepada 297 penerima vaksin dan 45 orang ‘frontliners’. “Siri jelajah ketiga ini sedang dilaksanakan di seluruh negeri dengan Dungun sebagai destinasi seterusnya. “Sumbangan makanan disediakan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) dan minuman MyCoklat adalah sebagai tanda sokongan kepada petugas di sini dan sokongan terhadap PICK," jelasnya.  
15 Jun 21
544
Pengayuh Beca Gembira Kerajaan Bagi RM200 Sebulan
Pengayuh Beca Gembira Kerajaan Bagi RM200 Sebulan
KUALA TERENGGANU, 14 Jun – Rata-rata pengayuh beca di negeri ini gembira dengan keputusan kerajaan negeri yang akan menyalurkan bantuan bulanan bernilai RM200 bermula Julai. Asmat Muhammad, 73, berkata sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dia tidak lagi berkayuh membawa pelanggan seperti dahulu. “Kami hanya duduk berehat sahaja, ini membuatkan kami hilang mata pencarian,” luahnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) semalam. Asmat atau mesra disapa Mat berkata, kariernya sebagai pembawa pelancong di kawasan Pasar Payang bermula sejak 1974. "Bermula dari situ kami mendapat rezeki yang agak baik untuk menyara keluarga, namun sejak COVID-19 melanada, kami mengalami penyusutan kewangan kerana ketiadaan pelancong tempatan apabila sempadan daerah dan negeri ditutup. “Sekarang ini kita termenung sahaja, sebelum ini (PKP) kebiasaannya sehari ada boleh sehingga RM40 dengan pelanggan sehingga 10 orang, kebanyakkan daripada hotel yang ingin pergi ke Pasar Payang. “Sekarang punca rezeki saya selama empat dekad ini memang terjejas, boleh kira hampir tiada pelanggan langsung,” katanya. Mengulas mengenai bantuan bulanan yang diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman, semalam, Asmat mengakui dia sangat bersyukur. “Alhamdullilah, dengan bantuan oleh Exco pada hari ini (semalam) dan sebelumnya ada juga, ia dapat meringankan beban membeli barangan dapur untuk empat orang anak bersama isteri di Flat Bukit Kecil, Kuala Terengganu. “Saya berharap supaya virus ini terhapus, dan jalan (sempadan) dapat dibuka kembali seperti biasa,” katanya lagi. Terdahulu, Kerajaan negeri telah menyalurkan bantuan sebanyak RM27,200 kepada dua golongan tersebut sebahagian daripada Program Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (Berkat) PKP 2.0 (Sektor Pelancongan), awal tahun ini.
15 Jun 21
327