lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

73 Individu Derma Darah Hari Pertama
73 Individu Derma Darah Hari Pertama
SETIU, 29 Jun - Program derma darah peringkat daerah mencatatkan seramai 73 orang penderma pada hari pertama program itu berlangsung. Pegawai Perhubungan Awam, Tabung Darah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, Suhaimi Yusof berkata, seramai 89 orang mendaftar diri pada hari ini tetapi yang lulus serta dibenar untuk menderma darah adalah seramai 73 orang sahaja. "Kita berkampung selama dua hari di Setiu hari ini dan esok (Rabu) dan selepas ini kita akan ke Besut, "Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang bersama pada program kali ini dan selepas ini kita akan aturkan jadual lagi ke Setiu memandang Setiu ramai penderma tetap," katanya ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) semalam. Hadir sama meninjau perjalanan program Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri, Zul Bhari A Rahman. Program anjuran bersama Jabatan Amal Malaysia Kawasan Setiu dengan kerjasama Unit Transfusi Darah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) itu bermula 9 pagi hingga 3 petang di Dewan Perpustakaan Awam Daerah Setiu. Sementara itu, Mohd Hafizi Hashim, 33 salah seorang penderma ditemui berkata, dia yang sudah menderma sebanyak 22 kali mengakui sudah biasa dan tidak berasa takut. Penderma diingatkan untuk mendapatkan rehat yang cukup serta sihat tubuh badan dan bebas penyakit bagi menyertai program derma darah.
29 Jun 21
237
PEMULIH : Empat Manfaat Buat Usahawan Kecil
PEMULIH : Empat Manfaat Buat Usahawan Kecil
KUALA TERENGGANU, 29 Jun - Kerajaan telah membangunkan Program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil atau PUPUK sebagai inisiatif menyeluruh dan bersetuju memperuntukkan RM200 juta untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan RM100 juta untuk PKS. Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, empat langkah untuk meneruskan usahawan kecil iaitu meneruskan kempen Shop Malaysia Online dan Go-eCommerce Onboarding dengan sasaran lebih 300,000 peniaga mikro seperti peniaga bazar, pasar tani, pasar malam dan warung serta pengusaha kraf tangan untuk beralih ke perniagaan dalam talian dan menggunakan sistem e-tunai. "Kedua, menambah peruntukan sebanyak RM100 juta di bawah SME Digitalisation Grant bagi membolehkan usahawan PKS mendapat geran padanan sehingga RM5,000 untuk pembelian sistem atau langganan platform digital. "Ketiga, menggalakkan penyertaan PMKS menceburi platform e-dagang melalui program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil yang diterajui SKMM. "Sehubungan itu, kerjasama strategik antara penyedia platform digital, syarikat telekomunikasi serta Pusat Internet Komuniti akan diperkasakan untuk membantu usahawan luar bandar terlibat dalam ekonomi digital," katanya ketika mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), semalam. Tambah muhyiddin, usaha keempat iaitu memperkasa usahawan tani khususnya di luar bandar untuk menggunakan teknologi terkini di bawah Program Digitalisasi dan Transformasi Sektor Pertanian. "Program ini yang akan dilaksanakan melalui kerjasama MDEC dan Pertubuhan Peladang Kawasan akan mengenal pasti petani yang berpotensi untuk beralih ke platform teknologi baharu," katanya lagi. Sebelumnya, program Shop Malaysia Online yang diperkenalkan di bawah pakej PENJANA tahun lalu telah berjaya membantu lebih 200,000 usahawan tempatan meningkatkan jualan mereka melalui platform e-Dagang dengan nilai transaksi mencecah RM1.8 bilion.        
29 Jun 21
325
PEMULIH : 11 Juta Bakal Nikmati 'One-Off' COVID-19 Ogos Ini
PEMULIH : 11 Juta Bakal Nikmati 'One-Off' COVID-19 Ogos Ini
PUTRAJAYA, 29 Jun - Seramai 11 juta isi rumah, warga emas dan individu bujang bakal menikmati manfaat menerusi pemberian Bantuan Khas COVID-19 (BKC) yang akan disalurkan mulai Ogos ini. Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bagi isi rumah kategori miskin tegar akan menerima bantuan RM500 pada Ogos, dan RM500 lagi pada November, seterusnya RM300 pada Disember.  "Manakala individu bujang kategori miskin tegar akan menerima bantuan sebanyak RM200 pada Ogos dan RM300 pada November. "Bagi isi rumah kategori B40 akan menerima bantuan sebanyak RM500 pada Ogos dan RM300 pada Disember," ujarnya pada Pengumuman Khas Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih), semalam. Sementara itu katanya, bagi kategori bujang B40 akan menerima bantuan sebanyak RM200 pada Ogos. "Juga isi rumah kategori M40 turut menikmati bantuan sebanyak RM250 dan bujang kategori M40 menerima RM100 pada Ogos nanti," jelasnya. Menurut Muhyiddin, BKC terbabit melibatkan peruntukan sebanyak RM4.6 bilion.
29 Jun 21
244
PEMULIH : RM500 Untuk Pekerja Hilang Pendapatan
PEMULIH : RM500 Untuk Pekerja Hilang Pendapatan
PUTRAJAYA, 29 Jun - Bantuan RM500 akan disalurkan kepada pekerja yang kehilangan pendapatan pada Oktober depan. Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pemberian bantuan itu berdasarkan data daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau PERKESO pada tahun 2021. "Bantuan ini dijangka memanfaatkan sehingga sejuta ahli yang melibatkan implikasi kewangan RM500 juta," ujarnya. Beliau berkata demikian pada Pengumuman Khas Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih), semalam.
29 Jun 21
260
Nasib Pekerja PPSB Terkesan COVID-19 Terbela
Nasib Pekerja PPSB Terkesan COVID-19 Terbela
DUNGUN, 29 Jun - Permint Plywood Sdn Bhd akan terus membantu semua pekerjanya yang terkesan berikutan penutupan sementara operasi kilang itu disebabkan perlaksanaan PKP penuh 3.0. Ketua Pegawai PPSB, Ahmad Bazli Abidin, berkata pihak pengurusan akan berusaha sehabis baik melalui pelbagai mekanisme dalam membantu pekerja yang terjejas. “Sepanjang pandemik COVID-19 ini mereka tidak dapat bekerja seperti biasa menyebabkan pendapatan terjejas. "Justeru, sumbangan barangan yang dibuat menerusi program ini merupakan antara usaha memastikan setiap pekerja mempunyai makanan yang mencukupi. "Kita sudah serahkan bantuan bermula dengan fasa pertama. Insya Allah fasa ketiga sedang kita usahakan, ” katanya ketika ditemui pemberita semasa pengagihan barangan keperluan fasa kedua di Bandar Al Muktafi Billah Shah, semalam. Turut hadir Pengerusi Permint Plywood Sdn Bhd, Maliaman Kassim yang juga Adun Ajil dan Penyelaras Dun Bukit Besi, Ghazali Sulaiman. Seorang penerima, Aslinawiti Abdullah, 40, melahirkan rasa syukur kerana menerima sumbangan tersebut dan terharu dengan kunjungan pihak pengurusan PPSB. "Sumbangan ini sedikit sebanyak meringankan beban saya sekeluarga kerana saya sudah tidak dapat bekerja sejak penutupan operasi sementara kilang lebih sebulan lalu," katanya. Normadiah Mohd Noor, 23, yang tinggal bersama sebelas ahli keluarga pula, gembira dan terharu menerima sumbangan tersebut. “Terima kasih di atas keprihatinan semua dan sumbangan yang diberikan,” katanya. Sementara itu, Abd Rahman Ali, 67, yang berkhidmat sebagai tukang kebun di kilang tersebut berkata, sumbangan yang diterima memberikan kegembiraan kepadanya dan isteri untuk kali ini. "Saya bersyukur. Semoga lebih banyak organisasi atau orang perseorangan yang tampil membantu golongan terkesan seperti kami. “Terima kasih banyak dengan bantuan diberikan yang dapat meringankan bebanan kami sekeluarga,” ujarnya.  
29 Jun 21
224
Fuhh…Macam Rumah Kampung Betul
Fuhh…Macam Rumah Kampung Betul
KUALA TERENGGANU, 29 Jun – Sentuhan jari-jemari ajaib menerusi teknik tiga dimensi (3D) menjadikan lukisan Mohd Rozaimil Yatim seakan-akan wujud. Mohd Rozaimil, 36, kembali berkarya selepas dia mengabadikan potret pemimpin negara serta wira barisan hadapan yang berjuang melawan pandemik Covid-19 pada topi keledar.  Kini dia sekali lagi mencuri perhatian apabila tampil dengan karya 3D menggunakan teknik ‘air brush’ dan melakukan transformasi terhadap sebuah rumah simen menjadi rumah kayu berlatar belakang suasana kampung sekitar 1980-an. Hasil lakaran itu dapat dilihat pada struktur rumah kedai miliknya di Kampung Raja Barang, Chendering, di sini.  Karya tersebut menjadi tular selepas ia dimuat naik di media sosial Facebook, Khamis lalu sekaligus mengundang rasa kagum netizen dengan lukisan yang ‘hidup’. Berkongsi cerita di sebalik ‘pembikinan’ karya terbaharunya itu, dia mendapat idea untuk mengubah pemandangan pada bentuk asal kediaman itu sejak Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0. "Idea ini datang sejak PKP kali ini memandangkan saya tidak boleh melakukan kerja seperti biasa. Saya terfikir untuk mengisi waktu lapang dengan menghasilkan sebuah kediaman yang dapat mengimbau kembali nostalgia dan pemandangan lama.  “Pada mulanya saya hanya bercadang untuk melukis pada bahagian tertentu rumah, namun mendapat sokongan ramai supaya melengkapkan lukisan meliputi keluasan  9 meter lebar x 3 meter tinggi rumah berkenaan,”ujarnya ketika ditemui di rumahnya hari ini. Menurut Mohd Rozamil, dia mengambil masa seminggu untuk menyiapkan lukisan tersebut dengan kos RM100 dengan manfaatkan sepenuhnya barangan yang sedia ada kerana tidak banyak kedai boleh beroperasi ketika itu. "Warna asas lukisan ini ialah hitam, putih, coklat dan hijau bagi melakar tema-tema seperti tandas di luar rumah, kain batik, selipar jepun 'tat sing', bacaan meter elektrik lama, beranda rumah, haiwan peliharaan dan beberapa lagi elemen lain  yang dijangka mampu bertahan dalam tempoh lima tahun,”katanya yang menggunakan nama pena Zameer Pentbrush pada laman Facebooknya.  Menurut Mohd Rozamil, hasil karya itu adalah percubaan pertama bagi seni lukisan dinding yang sudah ditinggalkan sejak 10 tahun lalu kerana memberi fokus kepada seni dan rekabentuk serta lakaran halus bagi barangan seperti topi keledar, motosikal dan lain-lain. "Suasana rumah kampung begini sudah tentu menggamit kenangan bagi mereka yang memandangnya, terutama mereka yang membesar dalam suasana kampung suatu ketika dahulu," katanya. Antara cabaran yang dihadapi Mohd Rozamil ketika menyiapkan karya tersebut adalah cuaca yang tidak menentu ketika ini. "Acapkali juga sedang asyik melukis, tiba-tiba hujan turun menyebabkan cat rosak. "Terpaksa mengecat balik tapi walaupun penat tapi saya rasa gembira apabila melihat hasilnya dan ramai yang memuji bahawa lukisan ni nampak 'real',” ujar pelukis yang berpangkalan di Terengganu ini. Tambahnya lagi, setelah tular di Facebook, 'rumah kampung' ciptaannya itu sentiasa dikunjungi orang ramai yang ingin bergambar sambil mengimbau kenangan lama. Sebelum ini, hasil karya bapa kepada dua cahaya mata itu pernah tular selepas dia mengabadikan potret pemimpin negara serta wira barisan hadapan yang berjuang melawan pandemik Covid-19 pada topi keledar.  Antara wajah yang diabadikan pada lukisan  ialah potret Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah; Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam hasil karyanya. Lebih membanggakan apabila sentuhan 'magis' Mohd Rozamil mendapat perhatian Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang turut menempah lukisan pada helmet baginda untuk sukan berkuda.
29 Jun 21
2265
PEMULIH : Berita Baik Buat Pengusaha Kantin, Sukan, Taska Dan OKU
PEMULIH : Berita Baik Buat Pengusaha Kantin, Sukan, Taska Dan OKU
KUALA TERENGGANU, 28 Jun – Kerajaan persekutuan meneruskan bantuan kepada golongan khusus seperti pengusaha kantin sekolah, industri sukan dan Orang Kurang Upaya (OKU) dalam membela nasib semua dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN). Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Kerajaan bersetuju untuk menyalurkan RM1,000 kepada semua pengusaha kantin berdaftar setelah melihat situasi di sekolah yang masih ditutup dan menyebabkan hilang mata pencarian. “Sementara itu, Kerajaan sedar bahawa pengusaha industri sukan dan operator arena sukan seperti gym, bowling, futsal dan sebagainya turut terkesan dan mereka hanya boleh beroperasi semula seawal fasa ketiga PPN nanti. “Sehubungan itu, Kerajaan bersetuju untuk memberikan bantuan one-off sebanyak RM3000 kepada mereka,” katanya ketika pengumuman khas Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), di sini hari ini. Mengulas lanjut, Muhyiddin turut mengumumkan bantuan kewangan RM500 seorang selama tiga bulan kepada golongan OKU yang telah kehilangan pekerjaaan atau ketiadaan kerja, dan bukan penerima bantuan Elaun Pekerja Cacat sedia ada. “Untuk itu, RM30 juta diperuntukkan bagi memanfaatkan seramai 20 ribu orang OKU,” katanya lagi. Tambah Muhyiddin, Kerajaan telah menerima banyak permintaan supaya bantuan kewangan yang diberikan kepada pusat asuhan anak-anak dan tadika pada tahun lepas dapat diperkenalkan semula. “Sehubungan itu, Kerajaan akan memberikan Bantuan Khas Taska yang berjumlah RM3,000 kepada lebih 4,400 pengusaha taska seliaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta lebih 8 ribu pengusaha tadika swasta seliaan Kementerian Pendidikan. “Diharapkan dengan pemberian bantuan ini, ia dapatlah digunakan antaranya untuk keperluan sanitasi dan pembelian peralatan nyahkuman bagi memastikan kebersihan dan keselamatan anak-anak yang ditempatkan di pusat asuhan dan tadika,” jelasnya.
28 Jun 21
592
PEMULIH : Bayaran Tambahan BPR Sehingga RM500 Dibayar Mulai Esok
PEMULIH : Bayaran Tambahan BPR Sehingga RM500 Dibayar Mulai Esok
PUTRAJAYA, 28 Jun - Selaras dengan komitmen untuk meneruskan agenda prihatin rakyat, kerajaan bersetuju untuk memberi bayaran tambahan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) sehingga RM500 yang akan disalurkan secara berperingkat mulai esok (29 Jun). Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, selain itu BPR fasa ketiga dengan kadar bantuan antara RM100 hingga RM1,400 akan dibayar September nanti.  Menurut beliau, bayaran pada September juga akan melibatkan bayaran ke atas kes-kes lulus rayuan BPR. "Secara keseluruhan nilai BPR sehingga hujung tahun adalah RM4.9 bilion," ujarnya pada Pengumuman Khas Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih), hari ini. Katanya, sehingga hujung tahun ini, kerajaan akan menyalurkan bantuan tunai langsung kepada rakyat berjumlah RM10 bilion yang turut merangkumi BPR.
28 Jun 21
710
'Mamat' Akhirnya Terjerat
'Mamat' Akhirnya Terjerat
KUALA TERENGGANU, 28 Jun - Buaya jantan yang dikenali sebagai 'Mamat' berjaya ditangkap oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri hari ini. Pengarahnya, Dr Abdul Malek Mohd Yusuf, berkata kaedah tangkapan secara menjerat telah dilakukan pada jam 4.30 petang tadi setelah pemasangan tiga unit perangkap buaya kawasan lombong tinggal di Kampung Tepoh, Kuala Nerus sejak pertengahan bulan Mei tidak berjaya. "Reptilia berukuran 12' 8" telah berjaya ditangkap pada jam 5.45 petang menggunakan perangkap buaya dengan operasi tangkapan oleh 17 anggota dan operasi tamat pada jam 6.30 petang. "Buaya itu akan dibawa ke Paya Indah Wetland (PIW) bagi menjamin keselamatan orang awam dan dalam masa sama menjamin kelangsungan hidup reptilia terbabit," ujarnya. Terdahulu, seekor buaya tembaga digelar Mamat muncul semula di kawasan lombong tinggal di Kampung Tepoh, dan dikatakan semakin membesar. Sebelum ini, pada 2019 kisah Mamat menarik perhatian penduduk di sekitar kampung itu apabila ia muncul kembali setelah menghilangkan diri selama dua tahun di kawasan lombong tinggal berkenaan.
28 Jun 21
1137
Gelandangan : Realiti Hidup 'Penghuni' Kaki Lima
Gelandangan : Realiti Hidup 'Penghuni' Kaki Lima
KUALA TERENGGANU, 28 Jun – Kerajaan negeri sentiasa mengambil berat akan golongan gelandangan di sekitar bandar raya dengan prinsip tiada yang tertinggal dari sudut kebajikan. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sukan, Belia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pelbagai usaha telah dijalankan kerajaan negeri namun langkah jangka masa panjang perlu difikirkan dengan kerjasama pelbagai pihak. “Saya membaca satu komen di hantaran Facebook oleh seorang wanita dan saya amat berterima kasih atas keprihatinannya terhadap golongan gelandangan di Terengganu ini. “Sebelumnya, pihak kami bersama pelbagai agensi telah turun padang di Stesen Bas Kuala Terengganu pada tahun lepas untuk menyelami realiti kehidupan mereka. “Setelah dikesan identiti dan maklumat diri mereka, rata-ratanya mempunyai rumah, keluarga dan latar belakang kehidupan yang baik sebelum ini. Ada juga dikalangan mereka merupakan penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya menerusi kenyataan di Facebook rasminya. Tambahnya, faktor seperti gangguan emosi di luar kawalan, disisih keluarga, penyalahgunaan dadah, kemurungan, tidak mempunyai punca pendapatan serta tidak ada hala tuju mendorong mereka untuk keluar dari rumah dan tinggal di stesen bas mahupun kaki lima. “Sebagai mendokong prinsip kesaksamaan dan mengutamakan kebajikan buat semua rakyat tanpa mengira latar belakang, kerajaan negeri dengan kerjasama JKM telah menghantar golongan itu ke rumah masing-masing sebagai usaha untuk mengajak mereka kembali ke kehidupan seperti biasa. “Namun, usaha itu terbantut kerana selang beberapa hari ada di kalangan mereka datang kembali ke bandar Kuala Terengganu. “Sebilangan mereka tinggal untuk meneruskan kehidupan disana atas faktor bosan, tidak bebas untuk bergerak dan lebih selesa tinggal secara gelandangan," jelasnya lagi. Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam itu, selain daripada kerajaan negeri, semua lapisan masyarakat dan persatuan dalam negeri perlu bekerjasama dalam membantu golongan tersebut secara konsisten serta bagi jangka masa panjang.
28 Jun 21
322