Artikel "Semasa" Terkini
Jabatan Perikanan Terengganu Rekod 29 Kes
KUALA TERENGGANU, 28 Jun - Sebanyak 29 kes pelbagai kesalahan telah dikesan oleh Jabatan Perikanan Negeri Terengganu yang dilakukan nelayan termasuk dua nelayan warga asing dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Pengarahnya, Ruzaidi Mamat berkata, antara kesalahan dikesan ialah menggunakan peralatan menangkap ikan tidak dibenarkan, menceroboh Taman Laut, melanggar syarat lesen dan warga asing yang menangkap ikan di perairan negara tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.
"Sebanyak empat kompaun dan dua notis telah dikeluarkan keseluruhan bernilai RM5,900 dan kesemuanya telah dibayar oleh pesalah mengikut Akta Perikanan 1985. Selain itu, dua vesel asing juga telah dilucuthak oleh mahkamah dan 12 peralatan juga telah dirampas.
"Ingin kami tegaskan bahawa jabatan tidak pernah leka dan sentiasa menjalankan operasi walaupun ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan agar tiada mana-mana pihak melanggar peraturan berkaitan perikanan," katanya.
Sejak 1 Januari lepas, jabatan juga telah merampas sebanyak tiga pukat pari, sembilan bubu ikan dan dua bot yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM1 juta melalui operasi yang dijalankan anggota penguat kuasa di seluruh perairan negeri.
Ruzaidi berkata, kesemua 29 kes yang dikesan itu tidak termasuk operasi yang diadakan dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sepanjang tempoh tersebut.
Terbaharu, beliau berkata, tiga warga Rohingya telah ditahan anggota penguat kuasa Cawangan Taman Laut, Pengurusan dan Perlindungan Sumber (CTLPPS) Negeri Terengganu kerana menceroboh kawasan Taman Laut Pulau Tenggol di Dungun, pada Jumaat lepas.
"Hasil operasi itu, jabatan telah menyita dua pukat pari dan sebuah sampan manakala hasil ikan yang ditangkap telah dilelong mengikut seksyen 48 Akta Perikanan 1985.
"Ketiga-tiga warga Rohingya itu telah direman dan sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM20,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.
28 Jun 21
737
Kekurangan Tidak Halang Gadis OKU Jadi 'Runner'
KUALA TERENGGANU, 27 Jun - Berstatus orang kurang upaya (OKU) bukan alasan Nur Safra Abd Halim, 30, untuk mencari rezeki sebagai gadis penghantar barangan.
Dia yang juga bekas atlet para olahraga Terengganu menggunakan laman sosial Di Facebook dan WhatsApp sebagai iklan perkhidmatan selain kaedah 'mulut ke mulut' yang dipromosikan oleh pelanggan yang berpuas hati dengan khidmatnya.
Antara barangan yang sering dipesan pelanggan ialah bahan mentah seperti ikan dan ayam serta keperluan dapur seperti susu, rempah masakan dan tepung.
"Syukur alhamdulillah, usaha penat lelah saya, walaupun agak terbatas pergerakan namun berjaya memperolehi hampir RM500 sebulan hasil bekerja sebagai penghantar barangan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac tahun lepas.
"Dulu saya kerja sebagai jurujual kereta Proton tapi pendapatan terjejas teruk setelah PKP. Jadi, saya ambil keputusan bekerja sebagai penghantar barangan...walaupun RM500 itu tidak banyak, namun ia cukup untuk menampung belanja hidup saya seorang, yang penting saya tidak membebankan keluarga kerana mereka pun hadapi masalah kewangan akibat situasi getir ekonomi ketika ini.
"Kerana pernah merasai pengalaman kesusahan tidak mempunyai pendapatan sewaktu PKP, saya tidak menetapkan sebarang kadar caj bayaran kepada pelanggan.Ikut kemampuan mereka untuk bayar upah dan saya terima," ujarnya yang kaki kanannya menjadi tempang sejak 2010 akibat kemalangan jalanraya.
Tambah Nur Safra, beliau cukup rasa bertuah kerana sejak berkecimpung dalam bidang itu, mempunyai pelanggan yang tidak 'berkira' dalam memberi upah dan sering membayar lebih daripada jumlah sepatutnya terutama pelanggan dari luar Terengganu yang membelikan barangan untuk ibu bapa mereka di kampung.
"Dalam pada itu, saya sentiasa menitikberatkan prosedur operasi standard (SOP) setiap kali menghantar barang pada saat wabak pandemik masih lagi tinggi.
"Saya pernah tersesat, pelanggan gagal dihubungi, terpaksa pergi ke beberapa lokasi berlainan untuk membeli barangan dikehendaki pelanggan, hujan lebat dan cuaca sangat panas ketika ini namun itu semua tidak pernah mematahkan semangat untuk meneruskan kerjaya ini,"ujarnya lagi.
Pemenang pingat emas acara lempar cakera dan rejam lembing pada temasya Sukan Para Malaysia (Para Sukma) 2018 itu berkata, tidak ramai yang menyedari kecacatannya kerana telah memasang 'tumit' untuk kasut kaki sebelah kanan supaya langkahnya lebih sempurna dan kecacatannya tidak kelihatan jelas.
"Saya tidak mahu orang merasa simpati dengan kekurangan yang ada dan lebih suka mereka gembira dengan perkhidmatan yang saya lakukan," jelasnya.
27 Jun 21
237
Program 'Outreach' Sasar Warga Luar Bandar Bukit Besi
Oleh: Amiruddin Zamri
DUNGUN, 28 Jun - 'Outreach' Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Bukit Besi membekalkan 500 vaksin kepada warga Bukit Besi terutamanya melibatkan Ahli Jawatankuasa Masjid, KETENGAH dan para guru.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, setiap warga kawasannya itu perlu memikul tanggungjawab bersama dalam menjayakan program kebangsaan tersebut demi keselamatan komuniti setempat.
"Sambutan yang diterima dari peringkat luar bandar Hulu Dungun khususnya warga Bukit Besi amat menggalakkan.
"Seramai 75 sukarelawan terdiri daripada warga masyarakat disini ditugaskan bagi melancarkan pergerakan PPV outreach yang julung kalinya diadakan di Dewan Sekolah Menengah Bukit Besi," katanya ketika ditemubual pemberita, semalam.
Sementara itu, beliau juga berterima kasih kepada para petugas Pejabat Daerah Dungun, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis, Rela, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan sukarelawan yang menjayakan program tersebut.
"Tidak lupa juga kepada pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Besol, JPKK Perumahan dan JPKK Kampung Bukit Besi yang turut sama membantu bagi melancarkan lagi program pemvaksinan di sini.
"Harapan saya agar penduduk di seluruh negeri dapat mengambil peluang atas inisiatif yang diberikan oleh kerajaan bagi memastikan imuniti berkelompok dapat dilaksanakan di kawasan luar bandar amnya di DUN Bukit Besi," jelasnya.
27 Jun 21
245
27 Penghuni Baitul Cakna Disantuni PKM Parlimen
HULU TERENGGANU, 26 Jun – Seramai 27 penghuni Baitul Cakna Lelaki Kampung Pelandan terima bantuan bekalan makanan asasi daripada Pusat Khidmat Masyarakat Penyelaras Parlimen Hulu Terengganu.
Penyelarasnya, Muhyidin Abdul Rashid berkata, agihan sumbangan tersebut merupakan tanda kebersamaan dengan penghuni perkampungan hijrah tersebut dalam mengharungi ujian pandemik COVID-19.
Katanya, agihan berupa keperluan asasi seperti beras, susu, tepung, minyak dan sebagainya itu sudah pasti akan membantu meringankan beban penghuni tersebut yang rata-ratanya tidak mempunyai sumber pendapatan yang tetap.
"Sumbangan ini di hulurkan dalam tempoh PKP 3.0 ini kerana mereka tidak dapat mengusahakan aktiviti ekonomi sebagaimana sebelumnya.
“Usaha ziarah dan menyantuni golongan seperti ini perlu digalakkan agar dapat menyemaikan nilai kasih sayang dan kemanusiaan," ujarnya.
Turut hadir, Pegawai Penyelaras DUN Telemong, Mohd Safari Abu dan Pengerusi JPKK Pelandan, Mohd Said Jusoh.
Beliau berkata, golongan lain seperti rakyat miskin, anak-anak yatim serta mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19 perlu diberi perhatian yang lebih baik dan menyeluruh.
“Tambahan pula, sekarang ramai yang kehilangan punca pendapatan akibat Covid-19, jadi semua program kebajikan perlu diberi nilai tambah.
“Saya berharap, dalam tempoh yang sukar ini, sama-sama kita (masyarakat, NGO dan Sebagainya) gembirakan hati mereka dengan apa jua bantuan agar dapat membantu meringankan beban dalam menjalani kehidupan seharian mereka," tambahnya lagi.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Komuniti Cakna Terengganu, Amran Mohd Yazid berkata, Baitul Cakna Lelaki bernaung dibawah Badan Bukan Kerajaan NGO Pertubuhan Komuniti Cakna Terengganu yang merupakan antara sebuah pusat pemulihan penagih dadah dan pusat rawatan HIV.
“Perkampungan hijrah di Kampung Pelandan dikhaskan kepada golongan lelaki dan di Kampung Baru, Ajil juga merupakan salah satu penempatan ini.
“Di sini mereka berdikari menguruskan diri, bertani dan melakukan pelbagai kemahiran demi meneruskan kesinambungan hidup.
“Sumbangan ini amat dihargai dan terima kasih kepada mana-mana pihak penyumbang yang ingin berbakti terhadap komuniti ini,” ujar Amran
26 Jun 21
1628
PKPD Mukim Bukit Besar, Serada Tamat Esok
KUALA TERENGGANU, 25 Jun - Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Mukim Bukit Besar dan Mukim Serada, Kuala Terengganu pada 26 Jun 2021 jam 11.59 malam.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan itu dibuat setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Sepanjang tempoh itu, KKM telah melakukan 3,374 ujian saringan dan 31 daripadanya disahkan positif COVID-19.
"KKM juga mengesahkan berlaku penurunan kes dan kluster adalah terkawal manakala semua kes positif telah menerima rawatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Untuk rekod, pelaksanaan PKPD diadakan untuk menyekat pergerakan dan penularan jangkitan COVID-19 dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti tersebut susulan berlaku peningkatan kes yang ketara.
25 Jun 21
474
'Pak Belalai' Ancam Kawasan Pertanian Ditangkap
SETIU, 25 Jun - Seekor gajah liar jantan dianggarkan berumur antara 12 hingga 14 tahun yang mengancam kawasan pertanian di Mukim Hulu Setiu berjaya ditangkap anggota Jabatan Perhilitan Negeri Terengganu kelmarin.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, usaha Jabatan Perhilitan Negeri Terengganu khususnya pasukan operasi yang telah bertungkus lumus sejak seminggu lepas menjayakan tugas yang mencabar terbabit.
"Esok Sabtu 26 Jun operasi pemindahan akan dilakukan ke lokasi yang belum dimaklumkan,
"Gajah denak akan berperanan untuk mengiringi gajah yang baru ditangkap bagi proses pemindahan," katanya ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Kampung Seladang, Hulu Setiu.
Hadir sama, Pegawai Daerah Setiu, Rosli Latif dan Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Terengganu, Zulkepli Amin Yusof.
Ujar Dr Azman, Kerajaan Negeri komited menjaga kepentingan survival hidupan liar dan ia perlu diuruskan dengan bijak.
Gajah denak 'Suria' dan 'Kala' yang tiba dari Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka, Hulu Terengganu malam tadi akan digunakan bagi proses pemindahan tersebut.
Gajah berkenaan yang hampir dua bulan berkeliaran di kawasan pertanian Kampung Bayas dan Kampung Seladang didakwa terlepas daripada kawanan gajah lain dan menyebabkan ia bersendirian.
25 Jun 21
284
Teori Konspirasi, Apa Kata UAI?
KUALA TERENGGANU, 25 Jun - Seluruh masyarakat dinasihatkan agar tidak mudah percaya dan menyebarkan maklumat tidak sahih seperti teori konspirasi yang sengaja ditularkan di media sosial pada masa kini.
Saranan tersebut disuarakan pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus yang menjelaskan orang ramai perlu memahami konsep bagi informasi tersebut.
“Pertama adalah teori, bermaksud cerita atau bagaimana kisah tersebut didapatkan, ia bukan praktikal.
“Kedua adalah konspirasi, bermaksud pakatan atau tindakan hasil daripada sebuah pakatan yang besar, bertujuan tidak baik dengan kesan skala besar seperti plot berbentuk rahsia,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI bersempena Munajat Rakyat 3.0 hari ini.
Menurut beliau, tindakan pertama adalah orang ramai boleh mendengar, tapi siasatan lanjut perlu dilakukan bagi mengesahkan jika ia ada dalil yang kuat.
"Jika kita ingin sembahyang atau sembelih korban, kita juga perlu ada ayat yang menyebutnya.
“Jadi pentingnya kita bertindak melalui siasat terlebih dahulu sesuatu maklumat diperloleh, kemungkinan perkara yang dikatakan itu sebenar berlaku atau cakap kosong semata-mata," jelasnya.
Ustaz Azhar menceritakan, Nabi Muhammad SAW berkata ‘jangan buang semua dan jangan ambil semua' bagi menekankan bahawa informasi mengikuti syarak boleh diambil manakala yang melanggarnya perlu dibuang.
“Kalau kita nak kongsi atau ‘share’ di Facebook, sebar perkara baik, kalau ia berunsur haram, maksiat atau aib hindarilah kerana kita akan mendapat dosa sama.
“Oleh itu, tanyalah ibu bapa, ustaz, para ilmuwan atau pegawai atasan berkenaan maklumat yang didapati, terutamanya dalam zaman masalah internet ini,” katanya lagi.
25 Jun 21
869
PKPD Kampung Tajin Ditamatkan Esok
HULU TERENGGANU, 24 Jun- Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Tajin, Kuala Berang ditamatkan mengikut jadual, esok.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan itu dibuat selepas penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurutnya, KKM telah melakukan 940 ujian saringan dan 52 daripadanya disahkan positif COVID-19.
"KKM telah mengesahkan berlaku penurunan kes di lokaliti berkenaan dan kluster adalah terkawal manakala semua kes positif sudah menerima rawatan,"katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Ismail mengumumkan pelaksanaan PKPD di Kampung Tajin, Kuala Berang bermula 12 hingga 25 Jun bagi mengekang penularan jangkitan Covid-19.
PKPD tersebut membabitkan seramai 1,403 orang penduduk dan 270 kediaman merangkumi kawasan seluas 10 kilometer persegi dan terletak kira-kira 8 kilometer dari Pekan Kuala Berang.
24 Jun 21
709
PKM Manir Sediakan Pengangkutan Bawa Warga Emas Ke PPV
HULU TERENGGANU, 24 Jun - Prihatin dengan nasib warga emas yang mempunyai kekangan untuk hadir ke temujanji vaksinasi, Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir mengambil inisiatif menawarkan khidmat pengangkutan percuma ke Pusat Perkhidmatan Vaksinasi (PPV).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Ustaz Hilmi Dato' Harun berkata, perkhidmatan aktiviti kebajikan itu dimulakan sejak tiga minggu lalu sebaik sahaja kempen jom vaksin di perluaskan diseluruh negara dan juga apabila sejumlah besar rakyat tidak hadir untuk temujanji vaksinasi kerana masalah pengangkutan.
Katanya, dia menyedari majoriti warga emas khususnya di kawasan pedalaman tidak mempunyai kenderaan selain anak-anak yang berada jauh di luar kewasan menyebabkan mereka terlepas menghadiri janji temu vaksinasi.
"Pada awalnya, idea ini hanya untuk membantu golongan warga emas dan OKU untuk warga DUN sahaja, sebelum diperluaskan ke semua yang mempunyai masalah pengangkutan.
"Khidmat percuma ini juga termasuk menjemput bekas pesakit covid-19 yang selesai menjalani rawatan di mana-mana pusat kuarantin yang mempunyai masalah kenderaan.
“Petugas PKM akan dihubungi penerima vaksin sehari atau dua hari sebelum janji temu, untuk tempahan perlukan kenderaan,"katanya ketika dihubungi pihak media Urusetia Penerangan Darul Iman UPDI.
Menurutnya lagi, sudah hampir 50 orang warga DUN telah menggunakan khidmat PKM yang menyediakan dua kenderaan iaitu sebuah MPV dan sebuah van, bagi memudahkan penerima yang menghadapi masalah pengangkutan.
24 Jun 21
502
POPT Bantu Kumpulkan OKU Pekak Terima Suntikan Berkumpulan
KUALA TERENGGANU, 24 Jun - Persatuan Orang Pekak Terengganu (POPT) mengambil inisiatif menjadi pemudahcara untuk mengumpulkan orang kelainan upaya (OKU) pekak bagi mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 secara berkumpulan.
Presiden POPT, Tengku Arman Harris Tengku Ismail berkata, menyedari golongan ini sukar untuk mendapatkan suntikan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) disebabkan beberapa kekangan, langkah tersebut membantu memudahkan pihak Kementerian Kesihatan memberikan suntikan kepada OKU pekak dan bisu seperti orang lain.
"Antara masalah yang dihadapi adalah dari segi komunikasi, jadi apabila pergi secara berkumpulan lebih mudah kerana juru bahasa isyarat turut ikut serta.
"Ini berbeza apabila mereka pergi secara bersendirian kerana akan timbul masalah komunikasi dan sebagainya.
"Mala, kita juga membantu mendaftarkan mereka melalui aplikasi Mysejahtera," ujarnya kepada pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman selepas selesai menerima suntikan vaksin jenis Sinovac bagi mencegah wabak COVID-19.
Beliau dan 30 ahli POPT berjaya melengkapkan suntikan dos kedua di PPV, Pusat Sains Dan Kreativiti, hari ini.
Menyusul selepas ini katanya, seramai 35 OKU pekak dan bisu akan menerima suntikan pada 1 Julai ini.
Jelasnya, menjadi tanggungjawab beliau untuk memastikan OKU yang berdaftar dengan POPT khususnya mendapat suntikan vaksin.
"Setakat ini, seramai 658 orang berdaftar dengan kita, dan saya akan terus berusaha memastikan ahli yang layak menerima suntikan akan berbuat demikian demi keselamatan mereka," ujarnya.
24 Jun 21
504