Artikel "Semasa" Terkini
Di Sebalik Senyuman, Suraya Derita Kanser Tahap 4
Oleh : Khatijah Alias
HULU TERENGGANU, 1 Julai – Tiada siapa yang menyangka, di sebalik wajah ceria dan tenang Suraya Abdullah menyimpan pelbagai kisah duka kerana sedang menderita kanser payudara tahap 4.
Wanita yang tinggal Kampung Binjai Kertas, Kuala Berang itu berkata, penyakit itu tidak melemahkan semangatnya untuk hidup seperti biasa dan dia menganggap kanser tersebut sebgai ujian.
Suraya Abdullah atau Kak Aya, 46, berkata, dia mula mengidap penyakit barah payudara ini sejak tahun 2018 lalu.
"Masa itu tahun 2018, saya dapat tahu yang saya diserang kanser payudara dan dah berada pada tahap 2.
"Saya masih lagi bekerja seperti biasa sebagai guru di Madrasah Darul Iman (MDI), Marang, sehinggalah tahun lepas sakit saya semakin serius dan terpaksa menjalani pembedahan.
"Bermula itu saya tidak lagi dapat bekerja dan hanya duduk dirumah,” katanya ketika dihubungi pemberita semalam.
Kak Aya ketika menerima kunjungan Dr Mamad.
Disebabkan itu, bekas guru MDI itu memaklumkan, pendapatan keluarganya sekarang hanya bergantung kepada kerja suaminya dan bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta sumbangan daripada MDI.
“Suami bekerja sebagai guru di sekolah agama di Kampung Laut. Dulu, sumber pendapatan daripada kami berdua, tapi sekarang ini bergantung kepada suami sahajalah.
“Suami pun tidak berapa sihat juga kerana menghidap penyakit sendi Charkot di bahagian kaki akibat diabetes.
“Dia berjalan menggunakan tongkat bagi membantu pergerakan. Kadang-kadang pakai kasut khas bila perlu berjalan lama dan jauh,” tambahnya.
Kesukaran hidup Kak Aya mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh dan Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (I-MiTS) Dun Kuala Berang, Mohamed Abdullah.
Prihatin dengan nasib Kak Aya, Dr Mamad ditemani Mohamed turun menziarahi Kak Aya di kediamannya di sini.
“Hari ini (kelmarin) saya hadir untuk bertemu mata dengan Puan Suraya ini dan keluarganya untuk bertanya khabar sekali lagi dan menyampaikan sedikit sumbangan bagi meringankan beban yang dihadapinya.
“Tahun lepas, saya juga menziarahinya dan sentiasa mengambil tahu perkembangan dari semasa ke semasa dengan harapan semoga urusan Puan Suraya dipermudah dan diberi kesembuhan hendaknya,” ujar beliau.
01 Jul 21
730
Kluster Kubang Jela Sumbang 23 Kes Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 1 Julai - Situasi penularan COVID-19 di Terengganu kembali meningkat apabila merekodkan 50 kes baharu, hari ini.
Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) memaklumkan, daripada jumlah itu 43 adalah kes penularan tempatan selain turut melibatkan lima kes import B dan dua kes import C.
Jelas JKNT, Kluster Kubang Jela mempunyai kaitan rapat dengan peningkatan kes positif COVID-19 baharu itu.
"Daripada keseluruhan kes positif, 23 daripadanya datang daripada Kluster Kubang Jela," ujar JKNT dalam satu kenyataan rasmi di facebook.
Dalam pada itu, JKNT turut memberitahu terdapat satu kes kematian akibat COVID-19 dicatatkan hari ini.
01 Jul 21
2139
2,056 Guru SPM, STPM Di Terengganu Sudah Divaksin
KUALA TERENGGANU, 1 Julai - Seramai 2,056 guru yang mengajar pelajar Tingkatan Lima dan Enam di sekolah menengah di negeri ini telah menerima sekurang-kurangnya dos pertama vaksin setakat Jun.
Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Salim Ab Ghani berkata, jumlah itu melibatkan 57 peratus daripada jumlah keseluruhan iaitu 3,569 guru yang mengajar kelas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
“Daripada jumlah guru sudah divaksin itu, 1,589 orang adalah guru Tingkatan Lima manakala 467 orang lagi cikgu yang mengajar Tingkatan Enam,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir menerima sumbangan berjumlah RM341,000 daripada Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Senator Datuk Razali Idris untuk diagihkan kepada 341 pelajar cemerlang SPM 2020 negeri ini.
Dalam majlis tersebut, Ketengah telah menyumbangkan RM1,000 seorang bagi membantu pelajar cemerlang SPM melakukan persediaan menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi lebih-lebih lagi di saat pandemik Covid-19.
Tambah Salim, proses vaksinasi akan berterusan sebelum sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka bermula.
“Selain guru, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) juga sudah mengambil data pelajar Tingkatan Lima dan Enam negeri ini sebagai persediaan suntikan vaksin Covid-19. Ia melibatkan lebih 20,000 pelajar,” katanya.
01 Jul 21
311
Menara Telekomunikasi Baharu Selesai Masalah Capaian Internet Rakyat
Oleh : Mawaddah Mohd
HULU TERENGGANU, 1 Julai – Menara telekomunikasi baharu di Kawasan Kolej Tingkatan Enam Hulu Terengganu (HUTECS) telah siap dibina dan telah mendapat maklum balas positif daripada penduduk sekitar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh berkata ia merupakan penyelesaian terhadap rangkaian telekomunikasi yang perlahan di kawasan penduduk yang semakin padat.
"Rentetan daripada itu, usaha membina menara telekomunikasi telah dijalankan dengan bantuan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Hulu Terengganu,"ujarnya ketika ditemui di tapak menara telekomunikasi, semalam.
Turut hadir, Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Terengganu, Mohd Fairus Muhammad.
Sementara itu, rata-rata penghuni kawasan tersebut meluahkan rasa bersyukur atas inisiatif yang telah dijalankan oleh SKMM dalam menangani masalah tersebut.
Salah seorang penduduk yang ditemui, Nuri Haiza A Razak, 40, berkata, penggunaan internet bertambah lancar dengan adanya pencawang telekomukasi baharu di kawasan itu.
“Sebelum ini talian internet rumah saya tidak memuaskan, nak buka gambar pun ambil masa yang lama.
"Alhamdulillah dengan kerjasama daripada pihak SKMM, penduduk dapat menggunakan internet tanpa gangguan,” tambahnya.
01 Jul 21
660
Halo Delivery Sedia Khidmat Penghantaran Mudah Dan Pantas
HULU TERENGGANU, 1 Julai – Halo Delivery yang menawarkan perkhidmatan penghantaran yang lebih mudah dan pantas, kini boleh diakses oleh semua orang di daerah ini.
Menerusi Applikasi Halo Delivery, perkhidmatan penghantaran amat mudah kerana harga yang ditawarkan merangkumi segala yang diperlukan, termasuklah pengambilan, pengangkutan dan penghantaran.
Pengurusnya, Firdaus Adinan berkata, Halo Delivery adalah sebuah syarikat bumiputera yang memberikan perkhidmatan penghantaran dalam daerah Hulu Terengganu, berteraskan kualiti perkhidmatan yang sistematik dan cepat.
Katanya, servis penghantaran yang ada dalam aplikasi Halo Delivery merangkumi penghantaran makanan panas, produk sejuk beku, farmasi, penghantaran barang runcit, pengambilan barangan dan penghantaran barangan sekitar Hulu Terengganu.
"Bermula hari ini, kami telah melancarkan perkhidmatan ini ke tempat sasaran dalam daerah ini.
"Pada peringkat permulaan, servis penghantaran bermula pada jam 8.00 pagi sehingga jam 7.00 petang,"ujarnya.
Tambahnya lagi, selain membantu membuka peluang pekerjaan, dia juga mahu membantu para peniaga melariskan jualan mereka, khususnya peniaga yang terkesan dengan pandemik.
"Peluang pekerjaan sebegini sangat menguntungkan khususnya untuk golongan belia di Hulu Terengganu ini.
“Bermula pada beberapa hari yang lalu dalam Group Facebook Kuala Berang, saya telah menawarkan peluang pekerjaan kepada yang berminat untuk menjadi rider Halo Delivery, dan membuka peluang kepada peniaga makanan, runcit, farmasi dan sebagainya untuk bersama dengan Halo Delivery," katanya.
Menurut Firdaus, tanpa mengira jumlah penghantaran, peniaga akan menikmati kemudahan yang ada dan perkhidmatan penghantaran yang lancar.
"Masyarakat masa kini kebanyakkan menggunakan perkhidmatan penghantaran untuk memudahkan urusan mereka dengan membuat pelbagai citarasa pilihan dalam aplikasi sebegini.
“Permulaan ini, kekuatan rider bermotosikal seramai lima orang dan satu rider berkereta memulakan perkhidmatan penghantaran. insyaAllah kekuatan rider akan bertambah dari masa ke semasa,"jelasnya.
01 Jul 21
2960
COVID-19 : 60 Peratus Rakyat Terengganu Daftar Vaksin
KUALA TERENGGANU, 1 Julai - Terengganu mencatatkan jumlah pendaftaran vaksin memberangsangkan dengan 61 peratus populasi telah didaftar berdasarkan statistik perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Menurut maklumat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), sejumlah 494,627 pendaftaran telah diterima sehingga 29 Jun, baru-baru ini.
“Manakala jumlah vaksinasi dos pertama dalam negeri ini mencatatkan 12 peratus daripada jumlah populasi atau seramai 151,650 orang penerima dengan 21 lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negeri,” kata JKJAV menerusi laman web rasminya.
Sebelumnya, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak melaporkan individu lengkap dua dos dalam negeri masih di bawah 10 peratus (sehingga 28 Jun) seperti ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Jelasnya, oleh sebab itu Terengganu masih tidak dibenarkan beralih ke fasa dua kerana belum memenuhi kriteria tersebut.
Sementara itu, situasi terkini Covid-19 dalam negeri sehingga semalam terus merekodkan kes baharu positif di bawah tiga angka dengan yang terkini sebanyak 20 kes sahaja, dengan daerah Dungun menunjukkan jumlah baharu tertinggi (10 kes).
“Ia melibatkan 15 kes daripada penularan tempatan manakala 5 kes lagi dikategorikan sebagai import, tiada kluster baharu juga dilaporkan,” kata Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu di Facebook rasminya.
30 Jun 21
498
8 Jalan Ditutup Sepanjang PKPD Kampung Kubang Jela
KUALA TERENGGANU, 1 Julai - Lapan penutupan jalan dan satu sekatan jalan raya dikenakan berikutan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Kubang Jela, Mukim Manir bermula hari ini sehingga 14 Julai.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din melaporkan, satu-satunya SJR dilaksanakan terletak di Jalan Kelantan (Hadapan Klinik Kesihatan Manir).
“Sementara itu, antara lokasi jalan ditutup di Lorong 1 dan 2 ke Kampung Banggol Donas, Lampu Isyarat Kubang Jela ke Batu 6 dan Lampu Isyarat Batu 6 ke Kubang Jela.
“Laluan lain termasuk Jalan Sekolah ke Teluk Pasu, Lorong Tali Air ke Teluk Pasu, Sempadan Jalan ke Taman Teluk Pasu dan Lorong Sentosa (Bengkel Kenderaan Mazlin),” katanya dalam satu kenyataan akhbar semalam.
Sehubungan itu, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu akan menempatkan pusat kawalan di hadapan Klinik Kesihatan Lama Manir bagi memudahkan penduduk kawasan PKPD untuk mendapatkan kebenaran keluar atas sebab yang dibenarkan.
“Ini termasuk untuk mendapatkan bantuan hal-hal kecemasan semasa tempoh itu dilaksanakan.
“Pihak polis juga akan membuat rondaan dan pemantauan dari masa ke semasa bagi mengenal pasti lorong-lorong yang masih digunakan orang ramai bagi tujuan keluar dan masuk kawasan.
“Penduduk di sini juga dinasihatkan supaya mematuhi segala arahan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan sebarang cubaan atau tindakan untuk mengalih / mengubah / melanggar atau merosakkan penghadang jalan (barricade) boleh didakwa mengikut peruntukan undang-undang,” tegasnya.
Abdul Rahim turut menyarankan penduduk di kawasan Kampung Kubang Jambu, Manir agar menggunakan jalan alternatif lain iaitu Jalan Baloh dan Jalan Belakang Klinik Kesihatan Baru Manir.
“Sebarang pertanyaan atau aduan boleh berhubung dengan pusat kawalan COVID-19 Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala terengganu di talian 09-6322377," katanya.
30 Jun 21
3491
54 Pelajar Cemerlang SPM Di Jabi Terima Imbuhan
SETIU, 30 Jun – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim tidak terlepas untuk meraikan kejayaan 54 pelajar yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 meskipun dalam suasana Pelan Pemulihan Negara (PPN) fasa 1.
Menurut Dr Azman, individu yang mendapat keputusan 6A dan ke atas tetap diraikan walaupun berdepan dengan keadaan yang sangat mencabar di era pandemik Covid-19 ini.
"Walau apa pun situasi, kita tetap perlu kuat untuk mengembirakan orang lain. Sejak dua hari lepas, alhamdulillah hari ini telah selesai masuk kampung seluruh DUN untuk berjumpa dengan anak-anak SPM 2020 dan menyampaikan sedikit hadiah kepada mereka.
"Terdapat seorang pelajar cemerlang Terengganu dengan keputusan 12 A, pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Besut dari Kampung Tempinis, Jabi.
"Bersedialah untuk memulakan alam baru lepas SPM. Perjalanan masih sangat jauh lagi," katanya selepas mengagihkan sumbangan penghargaan kepada pelajar cemerlang SPM, di sini.
Bercakap mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih disambung di Terengganu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri berkata Kerajaan Negeri telah memberikan hujah-hujah kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar rakyat Terengganu boleh keluar dari fasa satu ke fasa dua.
"Rakyat Terengganu juga telah berusaha sebaiknya untuk patuh kepada ‘Standard Operating Procedure’ (SOP). Peningkatan kes baru di negeri kita antara yang terendah selepas Perlis.
"Program vaksinasi mendapat sambutan hangat sampai tak cukup vaksin. Paling penting kita nak rakyat boleh kerja cari makan semula. Tapi Majlis Keselamatan Negara (MKN) ada ukuran dan pertimbangan yang diguna pakai, antaranya kadar peratusan rakyat Terengganu yang telah menerima dua dos vaksin masih lagi belum mencapai tahap 10 peratus," jelasnya.
Tambahnya, rakyat hari ini sudah terlalu tertekan dengan situasi sekarang. Kerana itulah Kerajaan Negeri telah dan akan terus berusaha sebaiknya untuk keluar dari sekatan itu.
30 Jun 21
367
PEMULIH : RM20 Juta Peruntukan Bimbing OKU, Gelandangan Berniaga
PUTRAJAYA, 30 Jun - Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM20 juta untuk melaksanakan Program Jaringan Inisiatif Umum (JITU).
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia bertujuan menyediakan bantuan asas modal perniagaan dan membimbing OKU dan gelandangan dalam perniagaan.
"Sejumlah RM20 juta diperuntuk bagi tujuan ini dan dijangka dapat memberi manfaat kepada lebih 40,000 individu," katanya.
Beliau berkata demikian pada Pengumuman Khas Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih), semalam.
30 Jun 21
196
PEMULIH : Diskaun Bil Elektrik Untuk Rakyat, Sektor Ekonomi Terjejas
PUTRAJAYA, 30 Jun - Kerajaan bersetuju untuk memberikan diskaun bil elektrik antara lima hingga 40 peratus mengikut penggunaan kadar elektrik dengan had maksimum 900 kilowatt jam (kWh) sebulan bagi meringankan beban perbelanjaan bulanan rakyat.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, diskaun sebanyak 40 peratus akan diberikan kepada penggunaan elektrik bawah 200 kWh sebulan dan 15 peratus bagi penggunaan antara 201 hingga 300 kWh sebulan.
"Secara keseluruhan, rakyat akan mendapat diskaun berjumlah RM346 juta dan diskaun ini akan berkuat kuasa bagi tempoh tiga bulan mulai bil bulan Julai 2021," ujarnya pada Pengumuman Khas Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih), kelmarin.
Mengulas lanjut katanya, bagi sektor ekonomi yang terjejas khususnya pengendali hotel, taman-taman tema, pusat konvensyen, pusat beli-belah, pejabat syarikat pelancongan tempatan serta agensi pengembaraan dan pelancongan, turut dilanjutkan tiga bulan lagi diskaun bil elektrik sebanyak 10 peratus bagi bil bulan Oktober hingga Disember 2021.
"Dengan pemberian diskaun elektrik kepada pengguna domestik dan bukan domestik ini, kerajaan akan menanggung kos tambahan sebanyak RM1 bilion," jelas Muhyiddin.
30 Jun 21
315