lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Outreach Masyarakat Luar Bandar Beri Impak Positif
Outreach Masyarakat Luar Bandar Beri Impak Positif
HULU TERENGGANU, 3 Julai - Program Outreach Vaksinasi COVID-19 yang dilaksanakan oleh Kerajaan Terengganu memberi impak positif dengan peningkatan jumlah penduduk luar bandar yang bersetuju untuk divaksin. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim berkata, kehadiran masyarakat pedalaman yang bersetuju untuk divaksin menunjukkan tahap kesedaran terhadap suntikan vaksin Covid-19 semakin meningkat dengan kehadiran 100 peratus. "Kerajaan adakan program Outreach Vaksinasi COVID-19 bagi memberikan kemudahan kepada orang ramai khususnya mereka yang tinggal diluar bandar menerima vaksin.  “Saya yakin apabila program pemberian vaksin kepada rakyat dapat dilaksanakan sepenuhnya kehidupan kita akan kembali normal dan pelbagai sektor yang terjejas akibat penularan Pandemik Covid-19 akan kembali pulih” katanya ketika ditemui selepas menghadiri program outreach Vaksinasi Covid -19 di SMK Landas. Sementara itu, beberapa penerima vaksin COVID-19 turut melahirkan rasa gembira dan lega setelah menerima suntikan bagi mewujudkan imunisasi kelompok sekali gus dapat menghentikan pandemik itu. Bagi Mariana Mohamad, 45,  dia rasa gembira selepas menerima suntikan vaksin COVID-19 dan mengakui banyak manfaat diperoleh apabila menerima vaksinasi tersebut. “Suntikan ini adalah untuk kebaikan semua masyarakat setempat dan terutama ahli keluarga kerana kita dapat lindungi mereka. "Kalau kita tidak menerima suntikan, kita tidak tahu sama kita dijangkiti atau pun tidak tetapi jika kita telah divaksinasi, antibodi kita menjadi kuat dan tubuh kita dapat bertahan meskipun dijangkiti," ujarnya. Sementara itu, Mohd Sabri Jusoh, 68, menyatakan penghargaan kepada pihak kerajaan yang berusaha memastikan masyarakat luar bandar turut menerima suntikan vaksin COVID-19. “Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan kerana bersusah payah memberi vaksin kepada penduduk seperti kami di kawasan kampung, jadi kita tidak perlu keluar hanya tunggu sahaja di kampung, pihak KKM datang untuk memberi suntikan vaksin,” katanya. Seorang lagi penerima, Siti Mariam Zakaria, 52, memberitahu program tersebut ternyata memudahkan masyaraka luar bandar untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19. “Oleh itu, saya nak ucapkan terima kasih kepada pihak KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) kerana menjadikan proses suntikan juga sangat cepat dan lancar terutamanya untuk warga emas seperti kami. “Program ini diadakan dekat dengan rumah jadi kami tidak perlu pergi jauh dan tidak menunggu lama untuk dapatkan suntikan vaksin,” tambahnya.  
03 Jul 21
296
Penduduk Hulu Terengganu Kini Nikmati Jaringan Telekomunikasi 4G
Penduduk Hulu Terengganu Kini Nikmati Jaringan Telekomunikasi 4G
KUALA TERENGGANU, 3 Julai -Penduduk di Hulu Terengganu kini boleh menikmati jaringan telekomunikasi lebih baik selepas tiga menara komunikasi baharu mula beroperasi pada 31 Mei lalu dengan liputan 4G. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) berkata, tiga lokasi menara itu dibina di Kolej Hutecs, Kampung Kepah dan Kampung Machang. "Pembinaan tiga menara yang dilaksanakan di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) itu turut memberi manfaat kepada lebih 3,000 penduduk di sekitar kawasan menara seperti Kampung Butut, perumahan Tok Hujib, perumahan Seri Bajar, Kampung Tengkawang dan Kampung Matang," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Mengulas lanjut, MCMC berkata pembinaan menara-menara komunikasi baharu itu juga membantu meningkatkan taraf hidup penduduk setempat selain mempersiapkan penduduk berhadapan dengan era digital yang kian mencabar. "Pada masa yang sama, dengan adanya liputan 4G di kawasan-kawasan yang dimaksudkan, ia juga membantu para guru dan pelajar sekolah untuk melaksanakan serta mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dengan lancar dan berkesan," ujarnya.
03 Jul 21
425
'Bidikan' Anak Terengganu Menang Pertandingan Fotografi Antarabangsa
'Bidikan' Anak Terengganu Menang Pertandingan Fotografi Antarabangsa
KUALA NERUS, 2 Julai - Sekadar mencuba nasib dengan mempertaruhkan sekeping foto bertajuk 'Hijab Girl', seorang jurugambar sambilan dari Terengganu memenangi tempat pertama bagi kategori potrait dalam pertandingan fotografi, The VII Jalón Ángel International Photography anjuran San Jorge University di Sepanyol.  Wan Mohd Fadzli Wan Samsudin, 39, dari Kampung Gong Datok, berkata beliau sendiri tidak menjangkakan kemenangan tersebut kerana persaingan sengit dalam pertandingan peringkat antarabangsa. Bidikan 'emas' beliau telah berjaya menewaskan 2,300 peserta dari 94 negara lain termasuklah Sepanyol, Rusia, Iran, Perancis, India, Bangladesh, Argentina, Mexico, Colombia, Itali dan lain-lain. "Foto yang dihantar memaparkan sekumpulan gadis berhijab dari Maahad Darul Quran Rusila yang dirakam pada awal 2019 rupanya berjaya menambat hati juri.  "Gambar ini dipilih kerana ia memiliki identiti kita sebagai orang Islam dan saya ingin mengetengahkannya," katanya. Wan Mohd Fadzli yang merupakan pereka grafik di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) berkata, gambar itu juga mempunyai nilai tersendiri apabila terpaksa menunggu setengah jam untuk dapatkan waktu yang tepat untuk merakam gambar tersebut secara spontan.  Sementara itu, berdasarkan komen juri, foto milik Wan Mohd Fadzli menjadi pilihan juri kerana memiliki komposisi, kontra hitam dan putih serta menampilkan suasana yang disifatkan sebagai baharu dan masih asing dalam kalangan masyarakat di sana. Keputusan tersebut melayakkannya menerima hadiah wang tunai €1000 (RM4,921), trofi (arca edisi terhad oleh artis Jesús García) dan sijil yang diumumkan Rabu lalu.  Pengajar sambilan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi subjek kokurikulum fotografi itu juga pernah memenangi tempat pertama dalam FaveKad Malaysia Patriotism Photography Contest (2018), Top 10 Finalist of Photo-Creator of the Year 2016 di Kuala Lumpur Photography Festival (KLPF) serta Top 50 di dalam IAMM International Photography Competition pada 2017.   
02 Jul 21
3126
Keluarga Mangsa Panahan Petir Dapat Pembelaan
Keluarga Mangsa Panahan Petir Dapat Pembelaan
Oleh : Anis Zakaria HULU TERENGGANU, 2 Julai - Nasib sebuah keluarga di Kampung Kuala Por, Kuala Berang di sini yang trauma akibat tragedi panahan petir baru-baru ini mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh. Dalam kejadian pada 28 Jun itu, tujuh beranak terbabit sedang berada di dalam rumah dan panahan itu menyebabkan berlaku renjatan elektrik di rumah mereka. Lebih parah, kata Dr Mamad, tiga anak Zamil Zakaria, 42, isteri serta anak saudaranya mengalami cedera ringan dan trauma sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital untuk rawatan susulan. Katanya lagi, pendawaian elektrik baharu juga terpaksa dilakukan setelah ia rosak sepenuhnya akibat peristiwa itu dan ia menelan kos ratusan ringgit. "Barangan elektrik seperti peti sejuk, kipas angin dan penapis air turut rosak. "Saya difahamkan, isterinya, Suhasniza Sahaimi, 39, Nur Anis Nabihah Mohd Zamil, 17 , Adam Rifqi Mohd Zamil, 10, Muhammad Zafran Rayqal Mohd Zamil, 7 dan anak saudaranya, Nur Salwana Najihah Abdullah, 16, ada di dalam rumah ketika kilat berlaku. "Empat yang bersekolah sedang tekun mengulang kaji pelajaran di meja masing-masing menggunakan beberapa telefon pintar, renjatan elektrik yang berlaku menjejaskan mereka. “Mereka berlima dihantar ke Hospital Hulu Terengganu selepas kejadian renjatan itu, alhamdulillah kesemua mereka sudah boleh pulang ke rumah mereka dan tiada kemalangan serius dilaporkan," katanya. Sehubungan dengan itu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri hadir ke rumah keluarga itu dan menyampaikan bantuan bagi meringankan beban serta membaiki kerosakan yang berlaku. “Saya harap semoga ujian yang menimpa keluarga ini akan memberi lebih kekuatan kepada mereka dalam meneruskan kehidupan ini,” ujarnya. Dalam pada itu, Mohd Zamil menyatakan rasa terharu apabila seorang wakil rakyat yang sibuk dengan pelbagai tugasan sudi untuk ke rumahnya untuk menghulurkan bantuan. "Sewaktu kejadian, isteri saya sedang memasak di dapur untuk hidangan makan malam keluarga, sementara tiga anak saya dan seorang sepupu mereka sedang menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR). “Kejadian kilat menyambar berlaku dalam sekelip mata sahaja menyebabkan isteri saya tiba-tiba jatuh terduduk dan mengalami kekejangan badan. “Pada mulanya, saya risau anak bongsu, Muhammad Zafran Rayqal Mohd Zammil mengalami pening dan muntah-muntah akibat terkena renjatan kilat berkenaan,” tambahnya.  
02 Jul 21
454
Pindahkan 'Pak Belang' Untuk Selamatkan Lembu
Pindahkan 'Pak Belang' Untuk Selamatkan Lembu
SETIU, 2 Julai – Kerajaan Negeri meletakkan tiga fokus utama dalam langkah menangani isu serangan harimau ke atas lembu ternakan di Ladang Sawit Felda Kerteh 4 Dungun. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, antara sasarannya adalah menjaga keselamatan peneroka dan binatang ternakan daripada serangan. “Ketiga, spesis harimau terancam juga kita ingin jaga, melalui tiga jalan ini, konflik akan diuruskan dengan lebih cermat,” katanya ketika ditemubual di Jeti Pengkalan Bubu, Kampung Fikri, pagi tadi. Katanya, sejak tahun 2019 sehingga kejadian serangan terakhir pada 16 hari lepas, kira-kira 240 ekor lembu milik peneroka telah menjadi korban. “Kawasan panas itu terletak di pinggir hutan serta terdapat kira-kira 1000 ekor lembu yang diternak secara integrasi dalam ladang ternyata menarik kunjungan Pak Belang untuk bertandang. “Dari bulan Mei 2021 lagi, Unit Khas Jabatan Perhilitan telah berkampung dalam ladang Felda Kerteh 4 untuk pemantauan 24 jam serta pemasangan kamera infra-red dan perangkap. “Pergerakan peneroka di ladang telah dihadkan sehingga jam 6 petang sahaja. Penternak dinasihatkan supaya memperbaiki kaedah penternakan dengan memasukkan lembu ke dalam kandang sebelum senja. Jelasnya lagi, operasi khas Jabatan Perhilitan turut diadakan bagi menangkap dan memindahkan harimau ke lokasi selamat demi keselamatan warga Felda, ternakan dan harimau itu sendiri. Tambah Dr Azman, Kerajaan Negeri akan membantu warga penternak terkesan melalui tabung bencana pertanian. “Dua hari lepas, pertemuan bersama agensi peneroka Felda dan pengurusan telah diadakan, pihak kami telah maklumkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi pengurusan saluran tabung bencana secepat mungkin,” jelasnya lagi.
02 Jul 21
860
Tidak Patuh SOP, Cerita 'Tuler' Dalam Kisah Kluster
Tidak Patuh SOP, Cerita 'Tuler' Dalam Kisah Kluster
KUALA TERENGGANU, 2 Julai - "Segelintir yang tak tidak patuh SOP, sebuah kampung terpalit sama yang mana cerita tuler (sama) tapi masih diulang tayang," ujar Pengarah Kesihatan negeri, Dr Nor Azimi Yunus. Katanya, kenaikan kes di Terengganu hari ini juga berpunca daripada ketidakpatuhan SOP di kalangan masyarakat walaupun telah diberi peringatan. Menurut beliau, Terengganu kembali mencatatkan 50 kes berbanding semalam dan ia naik sekali ganda. "Kenaikan kali ini disumbangkan oleh Kluster Kubang Jela dan cara jangkitan adalah sama seperti kisah kisah Kluster sebelum ini. "Kes indeks menjangkiti ahli keluarga sendiri, enam keluarga lain serta menjangkiti enam jemaah surau dan jiran Selepas itu, kawan anak lepak dan bermalam kat rumah terjangkit sama. "Kemudian menjangkiti lima rakan main sepak takraw termasuk dua rakan main basikal pun terkena juga. Bila masa mereka main masa musim PKP ni?," katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya semalam. Nor Azimi berkata seramai 45 kes positif telah dikesan dari Kluster ini yang telah dikenakan PKPD bermula 1 hb Julai. "Saringan bersasar (ACD) telah dilaksanakan di Kg Kubang Jela di mana seramai 988 penduduk telah disaring.  "Hanya 88 disahkan negatif. Selebihnya (900 orang) masih menunggu keputusan," tambah beliau lagi. Sementara itu katanya, di Dungun dan Kemaman pula, semua kes positif merupakan kontak rapat Kluster di LKIM Kuantan yang melibatkan peraih ikan dan lain-lain.
02 Jul 21
1997
Terengganu Luluskan RM100 Ribu, Jeti Baharu Buat Nelayan
Terengganu Luluskan RM100 Ribu, Jeti Baharu Buat Nelayan
SETIU, 2 Julai - Cakna terhadap keluhan warga nelayan di Kampung Fikri, Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan RM100,000 bagi pembinaan jeti baharu bagi menampung jumlah bot-bot di sini. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, jeti sedia ada di pengkalan nelayan kampung tersebut adalah terhad buat penggiat lautan tempatan. “Hasil perbincangan dengan warga laut tempatan, kita telah memohon peruntukan daripada pihak kewangan negeri dan ia telah diluluskan untuk dilaksanakan pihak Pejabat Daerah Setiu. “Insya-Allah, permintaan lain kita terima dan cuba untuk laksanakan satu demi satu, peringkat demi peringkat,” katanya. Beliau berkata demikian semasa kerja CSR Nelayan Pembersihan Muka Kuala Setiu di Jeti Pengkalan Bubu, Kampung Fikri, pagi tadi. Turut hadir, Pegawai Daerah dan Pentadbir Tanah Setiu, Rosli Latif. Menurut Dr Azman, proses seterusnya akan dilangsungkan segera mungkin dan akan memberi manfaat buat komuniti nelayan Kampung Fikri, Kampung Mangkuk dan Kampung Beting Lintang dan juga dari Daerah Besut. Terdahulu, inisiatif pemasangan lampu limpah juga dijalankan bagi mencerahkan laluan di kawasan jeti, kini telah siap dibina hasil penerimaan aduan warga setempat.
02 Jul 21
608
CSR Nelayan Bersihkan Laluan Kuala Setiu
CSR Nelayan Bersihkan Laluan Kuala Setiu
SETIU, 2 Julai – Usaha sama Kerajaan Negeri bersama nelayan komuniti Kampung Fikri dapat menyelesaikan masalah laluan air di Kuala Setiu yang dipenuhi beberapa batang pokok rhu yang tumbang. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, muka kuala yang menjadi laluan nelayan daripada daerah Besut dan Setiu dicemari dengan pokok dihanyutkan arus deras. Dr Azman Ibrahim bersama Pegawai Daerah Setiu, Rosli Latif membantu kerja gotong-royong “Ada rintihan orang kelaut menceritakan bot-bot mereka bengkok akibat terlanggar dahan di sini. “Hakisan tanah dan pohon tumbang menyebabkan laluan pelayaran keluar masuk nelayan melalui kuala terhalang dan merbahaya kepada bot nelayan “Oleh itu, kita ambil tindakan segera meluluskan peruntukan kerja gotong-royong yang turut dibantu komuniti setempat diikuti Majlis Daerah Setiu, Polis dan Pejabat Daerah Setiu,” jelasnya. Beliau berkata demikian semasa kerja CSR Nelayan Pembersihan Muka Kuala Setiu di Jeti Pengkalan Bubu, Kampung Fikri, pagi tadi. Turut hadir, Pegawai Daerah Dan Pentadbir Tanah Setiu, Rosli Latif. Katanya, usaha tersebut dijangka selesai melalui usaha pembersihan dalam masa dua hingga tiga hari. Beliau turut berterima kasih kepada komuniti nelayan Kampung Fikri, Kampung Mangkuk dan Kampung Beting Lintang yang turut serta dalam kolaborasi tersebut.
02 Jul 21
354
292 Asnaf Terima Sumbangan Bekalan Makanan
292 Asnaf Terima Sumbangan Bekalan Makanan
Oleh : Amiruddin Zamri DUNGUN, 2 Julai- Seramai 292 asnaf di Hulu Dungun menerima sumbangan bekalan makanan daripada 23 penyumbang seluruh negara. Pengawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, sumbangan berupa barangan keperluan harian itu disumbangkan oleh syarikat, badan korporat kepada Bank Makanan sebelum diagihkan kepada keluarga kurang berkemampuan yang terkesan dengan pandemik COVID-19 di sekitar Hulu Dungun. "Tidak dilupakan juga kepada para 'frontliner' KKM yang bertungkus lumus dalam memastikan gerak kerja mengekang penularan wabak COVID-19 berjalan dengan lancar. "Kami juga ada bagi kepada PDRM, Rela  sebagai tanda menghargai usaha mereka," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pengagihan barangan tersebut kepada keluarga terkesan di Dewan Orang Ramai Pasir Raja, semalam. Sementara itu katanya, semua Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JPKK) di peringkat DUN Bukit Besi dikehendaki mengenalpasti mereka yang memerlukan bantuan melalui pelbagai medium. "Salah satu usaha yang dilakukan adalah dengan menyebarkan nombor telefon masing-masing melalui aplikasi WhatsApp supaya mudah untuk dihubungi penduduk terkesan. "Dengan cara ini mereka dapat berhubung terus dengan Pengerusi JPKK agar mudahkan bantuan sepatutnya disalur," ujarnya.
02 Jul 21
190
Masalah Internet Di Kampung Kuala Por Bakal Berakhir
Masalah Internet Di Kampung Kuala Por Bakal Berakhir
Oleh : Anis Marzuki HULU TERENGGANU, 1 Julai – Masalah capaian internet yang kritikal di Kampung Kuala Por kini menemui jalan penyelesaian apabila kerja-kerja menaiktaraf menara telekomunikasi daripada rangkaian 3G kepada 4G bakal dijalankan. Susulan aduan daripada penduduk setempat, Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Terengganu, Mohd Fairus Muhamad telah melawat kawasan terbabit baru-baru untuk melihat tindakan yang perlu dilakukan. Menurut Mohd Fairus, segala masalah menghantui penduduk sejak sekian lama itu bakal berakhir apabila proses tender untuk projek itu sedang berjalan. “Untuk makluman, Suruhanjaya Komunikasi di bawah inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) dalam peringkat untuk menaiktaraf menara telekomunikasi tersebut. “Menjelang hujung tahun ini, keseluruhan penduduk di Kampung Kuala Por dan kawasan sekitarnya akan menikmati perkhidmatan 4G,” ujarnya ketika ditemubual oleh pegawai media Dun Kuala Berang kelmarin. Turut hadir ke lapangan, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau merangkap Ahli Dewan Undangan Dun (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh.  Tambahnya, situasi norma baharu yang melibatkan proses pengajaran dan pembelajaran, mesyuarat dan bekerja dari rumah memerlukan capaian internet berkelajuan tinggi dengan rangkaian minima 4G. “Setelah projek ini disiapkan, masalah capaian internet tersebut akan dapat diatasi dan kualiti liputan akan bertambah lebih baik, kita harap pengguna di seluruh kawasan ini akan menggunakan perkhidmatan internet dengan baik,” katanya. Dr Mamad berkata, di bawah program Jendela fasa 1, sebanyak 65 menara baru dalam perancangan untuk dibina di seluruh negeri Terengganu di mana ia sedang dalam peringkat tender. “Selain itu, di bawah projek yang sama, 9 menara baru dan sebanyak 409 lokasi naik taraf daripada liputan 3G kepada 4G sedang dalam pelaksanaan di seluruh negeri Terengganu. “Kita sedang berbincang untuk menambah ‘fiber optic’ di kawasan Hulu Terengganu supaya kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang ramai mempunyai unifi di kawasan rumah masing-masing,” jelas beliau.
01 Jul 21
625