lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

500 Penduduk Jabi Selesai Disuntik Sinovac
500 Penduduk Jabi Selesai Disuntik Sinovac
SETIU, 4 Julai - Seramai 500 orang penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi menerima suntikan vaksinasi Sinovac bagi ikhtiar menangani virus Covid-19. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata walaupun kuota yang disediakan agak terhad namun ia diagihkan di setiap  Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK). "Alhamdulillah, program berjalan dengan sempurna dan baik. Permintaan rakyat kita melebihi bekalan. Kita cuma diperuntukkan sebanyak 500 dos Sinovac sahaja untuk program hari ini. "Saya agih agar setiap 37 kampung dalam DUN Jabi dapat bahagian masing-masing walaupun tak banyak. Tentunya ramai lagi yang hampa kerana jumlah 500 dos sebenarnya sangat terhad. Pengundi DUN Jabi sahaja kira-kira 20 ribu orang," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Program Suntikan Vaksin di Sekolah Kebangsaan Jabi, Jabi, semalam. Sementara itu kata Dr Azman, sesi perbincangan  bersama Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu akan diadakan untuk mendapatkan lagi peruntukan sejumlah dos bagi mengadakan lagi program seperti itu. "Dapat saja bekalan vaksin, kita jalan terus. Tak perlu lagi kempen jom vaksin sebab rakyat kita memang nak vaksin. Isunya bekalan vaksin sahaja. "Penghargaan kami atas kerjasama yang terpuji dari Pejabat Kesihatan Daerah Besut, Pejabat Pendidikan Daerah Besut, Pejabat Daerah Besut, Guru Besar dan warga Sekolah Kebangsaan Jabi, Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Jabi, Unit Amal Jabi dan Ameerah Dun Jabi. "Tidak lupa juga kepada Angkatan Pertahanan Awam, Penghulu Mukim, JPKK, para sukarelawan serta semua yang terlibat," jelasnya.
04 Jul 21
389
Pengkaji Oxford Namakan Bunga Unik Sempena Ibu Jurufoto Terengganu
Pengkaji Oxford Namakan Bunga Unik Sempena Ibu Jurufoto Terengganu
KUALA TERENGGANU, 4 Julai – Para pengkaji daripada universiti tersohor, Oxford Botanic Gardens telah menamakan bunga ‘fairy lantern’ atau lentera peri sempena nama ibu pelancong yang juga jurufoto daripada Terengganu. Spesimen terbaru itu buat kali pertama ditemukan pada tahun 2019 di Gunung Sarut, Hutan Lindung Hulu Nerus oleh seorang jurugambar bebas, Suzairi Zakaria, 45, atau lebih dikenali dengan nama pena, Dome Nikong. Hasil penemuan itu, ahli botani dari Oxford Botanic Gardens dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah menamakan tanaman mistik itu mengikut ibu Dome, Siti Meriam, sebagai penghormatan terhadap sokongan ibunya terhadap usaha pemuliharaan alam sekitar anak lelakinya. “Hampir bersaiz duit syiling 20 sen, ‘Thismia sitimeriamiae’ adalah tanaman berbunga tumbuh di hutan terpencil di seluruh Asia, Australia, Amerika Selatan dan Amerika Syarikat (AS). Sumber Foto : Facebook Dome Nikong “Tidak seperti tumbuhan biasa, tanglung peri tidak mempunyai daun atau klorofil untuk proses fotosintesis namun tanaman parasit itu bergantung pada hubungan simbiotik dengan kulat dan akar tumbuhan lain untuk hidup. “Para saintis memutuskan tumbuhan itu diklasifikasikan sebagai spesies yang terancam,” sepertimana dilaporkan The Rakyat Post. Terdahulu Dome, 44, yang berasal dari Kampung Sungai Tong, Setiu, juga pernah mendapat pengiktirafan melalui penamaan saintifik bagi spesies orkid liar baharu, ‘Chysis Domei Archila’. Ahli botani (orkidologi) dari Guatemala, Fredy Leonel Archila Morales berkata, penghargaan itu dibuat sempena jurufoto itu atas sumbangannya terhadap dunia botani. Untuk pengetahuan, Dome telah dikreditkan dalam lebih daripada 20 penerbitan antaranya buku dihasilnya berjudul Wild Terengganu, memaparkan maklumat berkaitan tumbuhan serta hidupan seperti bunga liar, buah liar serta serangga dalam negeri ini.
04 Jul 21
2188
PKPD : 350 Pek Barangan Dapur Buat Penduduk Kubang Jela
PKPD : 350 Pek Barangan Dapur Buat Penduduk Kubang Jela
KUALA NERUS, 4 Julai - Sebanyak 350 pek barangan keperluan dapur buat masyarakat terkesan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kampung Kubang Jela telah bermula pengagihan semalam. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim memaklumkan, barangan tersebut dihantar dan dikumpulkan di Masjid Kampung Kubang Jela sebelum diagihkan oleh petugas dari Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) setempat kepada semua penduduk yang terlibat. “Untuk kawasan PKPD, kita hanya mampu menyalurkan di kawasan yang dibenarkan pihak berkuasa tempatan (PBT), selebihnya diuruskan oleh warga komunitit sendiri untuk proses pengagihan,” ujar beliau ketika diminta mengulas tentang proses pengagihan sumbangan itu. Beliau juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Kuala Nerus khususnya Menteri Perusahaan Perladangan & Komoditi, YB Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali diatas barangan keperluan harian yang telah disalurkan. “Kepada semua penduduk Kampung Kubang Jela, saya mohon bersabarlah di atas ujian ini, jagalah garis panduan yang ditetapkan dan patuh arahan PBT. "Sekiranya terdapat masalah berbangkit sepanjang tempoh PKPD ini termasuk terputus bekalan keperluan harian, para penduduk boleh menghubungi Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Buluh Gading ditalian 0169867007 dan 0139303308,” pesan beliau lagi.
04 Jul 21
417
Kerjasama Semua Pihak Jayakan PPV Masjid
Kerjasama Semua Pihak Jayakan PPV Masjid
KUALA TERENGGANU, 4 Julai – Kerjasama antara pelbagai pihak sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Limbat memberi peranan dalam menjayakan inisiatif Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Masjid ketiga di Kampung Banggol Karah. ADUN kawasan itu, Ariffin Deraman berkata, antara bentuk kolaborasi adalah bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), pegawai dan Ahli Jawatankuasa Masjid dalam memenuhi kuota 300 orang untuk disuntik. “Melalui pengerusi JPKK, kita keluar dan cari warga komuniti disini dan membantu proses pendaftaran. “Dari segi pengangkutan, Pusat Khidmat Masyarakat Alor Limbat dan wakil rakyat kampung masing-masing juga bersedia dengan van bagi menolong mereka yang ada temu janji suntikan tapi tiada kenderaan. “Kita turut menyumbang sebanyak 400 beg cenderahati buat penerima dan petugas barisan hadapan sebagai tanda penghargaan menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK),” katanya ketika ditemubual pemberita. Beliau berkata demikian selepas tinjauan PPV Masjid di Sekolah Menengah Komuniti Imtiaz Kuala Terengganu, di sini, semalam. Turut hadir, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Ahmad Amzad Hashim dan Pengerusi Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) Terengganu, Dr. Muhammad Zuraizi Jaafar. Tambahnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, beliau mengharapkan agar seluruh masyarakat dalam negeri dan negara untuk memenuhi syarat pemvaksinan dos kedua sebanyak 10 peratus. “Manakala penduduk Alor Limbat yang berumur 18 tahun keatas, sebahagian mereka merupakan petani dan peniaga yang banyak bertemu dengan masyarakat, saya nasihatkan supaya ambil suntikan vaksin untuk keselamatan dan kesihatan semua,” jelasnya.
04 Jul 21
174
Vaksin : Malaysia Negara Ketiga Di Asean Selesai Dos Pertama
Vaksin : Malaysia Negara Ketiga Di Asean Selesai Dos Pertama
KUALA TERENGGANU, 3 Julai – Malaysia menduduki ranking ketiga antara negara di rantau Asia Tenggara yang selesai pengambilan vaksin dos pertama COVID-19, kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Ahmad Amzad Hashim. Menurutnya, kadar peratusan dos pertama di dalam negara merekodkan kemajuan sebanyak 18.6 peratus daripada populasi keseluruhan sejak pelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) pada 24 Februari lalu. “Kita hanya dibelakang Kemboja (pertama) dan Singapura (kedua) kerana ia mengambil kira faktor saiz populasi dan tempoh dan kadar pembelian vaksin. “Negara ini turut mendahului Indonesia (11.3 peratus), Vietnam (3.7 peratus), Thailand (10.2) peratus dan juga New Zealand (14.3 peratus),” katanya semasa sidang media selepas tinjauan PPV Masjid di SMK Imtiaz Kuala Terengganu di Kampung Banggol Karah, pagi tadi. Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu turut menyifatkan keadaan adalah selesa dari segi bekalan vaksin terutamanya apabila menerima 12 juta dos dalam bulan Julai ini. “Sasaran bulan ini adalah sebanyak hampir 400 ribu suntikan selari dengan jangkaan penerimaan vaksin termasuk sumbangan dua juta dos vaksin Pfizer dan AstraZeneca daripada kerajaan Jepun dan Amerika Syarikat (AS). “Ekoran peningkatan bekalan ini, kitab oleh memendekkan tempoh menunggu suntikan pertama dan kedua mengikut tempoh ditetapkan pengeluarnya. “Misalnya seperti Astra Zeneca, sebelum ini ditetapkan 12 minggu, sekarang kitab oleh cepatkan sehingga waktu menunggu sembilan minggu sahaja,” katanya lagi. Jelasnya, matlamat seterusnya adalah mencapai 80 peratus komuniti kelompok bagi populasi 18 tahun ke atas pada akhir Oktober ini manakala keseluruhan populasi sebelum hujung tahun ini.
03 Jul 21
475
Yayasan Petronas Sumbang Gajet, Data Kepada 735 Anak Terengganu
Yayasan Petronas Sumbang Gajet, Data Kepada 735 Anak Terengganu
KEMAMAN, 3 Julai – Seramai 735 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) dalam negeri ini telah menerima sumbangan kemudahan pembelajaran berbentuk peranti dan data internet menerusi program CERDIK anjuran Yayasan PETRONAS. Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, Che Ahmad Tarmizi Abd Rahman berkata, bantuan itu turut meliputi  penyelenggaraan peralatan serta jaminan dan sokongan teknikal selama tiga tahun bagi setiap pelajar. “Kerjasama dan penyaluran gajet tersebut diadakan bersama Pejabat-Pejabat Pendidikan Daerah Kemaman, Besut, Kuala Nerus, Dungun dan Marang. “PETRONAS sentiasa komited menyokong usaha kerajaan untuk terus menyediakan pendidikan yang berkualiti, terutama sekali semasa menghadapi cabaran pandemik COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini. Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, 37 peratus pelajar di negara ini tidak mempunyai kelengkapan yang sesuai untuk mengikuti pembelajaran dalam talian. “Sumbangan peranti dan perkhidmatan internet ini diharap dapat membantu mengatasi jurang digital di kalangan pelajar-pelajar yang mengikuti sesi Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR). “Usaha ini adalah sebahagian daripada sumbangan RM30 juta oleh Yayasan PETRONAS melalui program CERDIK yang melibatkan 12,000 pelajar di seluruh Malaysia," katanya. Sementara itu, menurut penerima, inisiatif itu sangat membantu dia dan pelajar yang lain untuk belajar. “Alhamdulillah, saya bersyukur dan berterima kasih kerana dengan paparan skrin lebih besar dan jelas ini memudahkan saya belajar dan menyelesaikan kerja kursus. "Guna ‘handphone’ memang susah sikit bila sedang belajar,” luah Nasrin Syasya Mazlan Abdul Khabir, 15, apabila ditanya mengenai pengalaman beliau mengikuti kelas PdPR.
03 Jul 21
502
Mudahkan Prosedur Bantuan Mereka Yang Terkesan
Mudahkan Prosedur Bantuan Mereka Yang Terkesan
HULU TERENGGANU, 3 Julai - "Kita terbuka untuk dihubungi 24 jam sehari pada bila-bila masa malah bagi yang terkesan, sila maklum dan insya-Allah bantuan akan sampai," ujar Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato' Rosol Wahid. Beliau berkata, peruntukan RM300 ribu yang disalurkan kepada setiap Ahli Parlimen oleh Perdana Menteri akan digunakan sebaik mungkin untuk membantu rakyat tanpa sebarang syarat. Justeru itu katanya, talian telefon semua pegawainya diaktifkan 24 jam bagi memudahkan penduduk mendapatkan bantuan bakul makanan. Katanya lagi, bagi membantu kelancaran bantuan pihaknya juga dibantu oleh pemimpin masyarakat seperti JPKK, imam masjid, bilal dan sebagainya yang menjadi mata serta telinga untuk rakyat yang kini berdepan cabaran luar jangka akibat pandemik COVID-19. "Kita sentiasa terbuka dan kita berada di mana-mana dan mempermudahkan semua cara yang penting rakyat mendapat apa yang mereka perlukan dalam masa sakit ini. "Apa pun parti politik mereka,  sekiranya mereka layak dapat bantuan maka mereka harus diberikan bantuan tanpa mengira pendapatan isi rumah sama ada B40, M40 atau T20," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan dan ziarah pesakit OKU dan penyampaian sumbangan kerusi roda serta sumbangan bakul makanan d Kampung Merbau Pulas, Mukim Tanggol, Ajil, hari ini. Rosol yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) turut berkata, pihaknya juga tidak menetapkan sebarang prosedur yang boleh menyebabkan rakyat sukar untuk mendapatkan bantuan tersebut. Di samping itu katanya, penghantaran bekalan makanan keperluan asas bernilai RM1,000 sudah dihantar ke 92 masjid di daerah Hulu Terengganu bagi Gerobok Prihatin yang telah dilancarkan baru-baru. "Kaedah pelaksanaan (agihan/penyampaian) program Gerobok Prihatin adalah tertakluk  kepada tatacara pengurusan dan pentadbiran masjid-masjid  berkenaan. "Syukur Alhamdulillah, ia mendapat sambutan yang baik dengan kerjasama semua pihak," ujarnya.                        
03 Jul 21
188
Atlet Para Terengganu Gembira Terima Vaksin
Atlet Para Terengganu Gembira Terima Vaksin
KUALA TERENGGANU, 3 Julai - Seramai 85 atlet para Terengganu menerima dos pertama vaksin, bermula Khamis lalu dalam persiapan ke temasya Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) yang telah dianjakkan pada 2022 nanti. Pegawai Pembangunan Sukan Orang Kurang Upaya (OKU), Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Fikri Mahmud memaklumkan, kerjasama antara pihak JBSN Terengganu bersama kerajaan negeri melalui Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) membantu mempercepatkan kadar penerimaan vaksin bagi Fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang kini menyasarkan masyarakat golongan kurang upaya(OKU).  "Terima kasih kepada kerajaan negeri Terengganu khususnya kerana telah memberi kerjasama yang begitu baik dengan memberi peluang atlet-atlet para negeri Terengganu menerima vaksinasi pada kadar segera. "Hari ini, mereka semua ini nampak begitu gembira setelah divaksin. Saya begitu terharu kerana apabila atlet-atlet kita telah di vaksin, keyakinan diri mereka untuk menjalani latihan bagi menghadapi Para SUKMA di Johor nanti semakin tinggi," katanya ketika ditemui di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Terengganu Trade Centre (TTC), baru-baru ini. Jelasnya, rata-rata para atlet yang berkelainan upaya khususnya mempunyai masalah komunikasi dalam pendaftaran program vaksin dan usaha ini memebolehkan mereka juga tidak terkecuali meneruskan kehidupan bersama komuniti setempat sewaktu pandemik COVID-19 yang masih belum bernoktah. Atlet memanah wheelchair, Nurhaslina Suria Mohamed, 38, selesai mendapatkan dos pertama vaksin. "Setakat ini, semua atlet para memang tidak mengadakan latihan berpusat, cuma masing-masing membuat latihan ringan di rumah berpandukan kepada jurulatih masing-masing. "Kita masih lagi menunggu keputusan dari Majlis Sukan Negara (MSN) sama ada Para SUKMA di Johor itu akan diteruskan atau tidak. Sekiranya ada tarikh ditetapkan, insya-Allah kita akan mulakan latihan kepada atlet," katanya. Tambahnya, sesi latihan pasca pandemik tidak menjadi masalah berikutan kebanyakan acara yang adatidak melibatkan sentuhan langsung dan lebih kepada individu seperti memanah, bocia dan sebagainya. "Jadi saya rasa tiada masalah dari segi untuk kita laksanakan latihan," katanya. Atlet boling padang para Terengganu, Fadhlullah Mazdan, 28 mendapatkan suntikan dos pertama di PPV TTC.    
03 Jul 21
486
Terengganu Perintis PPV Rumah Ibadat
Terengganu Perintis PPV Rumah Ibadat
KUALA TERENGGANU, 3 Julai – Terengganu menjadi negeri perintis dalam penguatkuasaan garis panduan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) rumah ibadat yang akan dilaksanakan di seluruh negara tidak lama lagi. Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, setelah mendapat perhatian seluruh Malaysia dan sokongan Perdana Menteri, projek perintis di Masjid At-Taqwa Durian Burung telah menjadi rujukan buat Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF). “Garis panduan PPV itu telah dibentangkan Akademi Sains Malaysia dan diluluskan CITF Pusat, sehingga kini kita masih ada masa untuk penambahbaikan. “Namun begitu, sambutan oleh masyarakat terumanya umat Islam amat positif dan banyak permintaan untuk membuat PPV di seluruh negara. “Hasrat kita ia dapat dikembangkan ke negeri lain menggunakan model daripada pelaksanaan di Kuala Terengganu, dengan modul ini ia bertindak sebagai rujukan supaya tiada lagi isu pengarahan dan kekeliruan tatakerja,” katanya. Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas tinjauan PPV Masjid di SMK Imtiaz Kuala Terengganu di Kampung Banggol Karah, pagi tadi. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat, Ariffin Deraman dan pengerusi Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) Terengganu, Dr. Muhammad Zuraizi Jaafar. Jelasnya yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu, sasaran PPV Masjid ketiga dalam negeri di Sekolah Menengah Imtiaz adalah seramai 300 orang pada hari ini. “Hasil perbentangan CITF Terengganu baru-baru ini, PPV masjid menyasarkan 16 ribu dos, mengikut penghantaran dos vaksin baharu yang banyak sekitar 440 ribu dos vaksin pada bulan Julai ini," jelasnya.
03 Jul 21
408
Terengganu Beralih Ke Fasa 2 PPN Isnin Ini
Terengganu Beralih Ke Fasa 2 PPN Isnin Ini
KUALA TERENGGANU, 3 Julai - Terengganu adalah antara lima negeri yang berjaya mencapai ketiga-tiga nilai ambang sekali gus akan beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 5 Julai ini. Pengumuman positif itu dibuat oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menyenaraikan Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Perlis antara negeri yang terlibat dalam fasa seterusnya. Beliau mengumumkan perkara itu pada sidang media bersama pada sidang akhbar khas bersama Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz hari ini. Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, pergerakan rentas daerah dan negeri masih tidak dibenarkan kecuali pergerakan guru sekolah dan pelajar yang mengikuti kelas-kelas peperiksaan dalam fasa kedua. “Pergerakan rentas negeri dan daerah oleh pasangan jarak jauh untuk fasa dua kita benarkan kepada mereka tetapi hanya dalam kes kecemasan dan keperluan asas,” katanya. Tiga indikator perlu dipatuhi bagi membolehkan peralihan kepada Fasa Dua PPN iaitu purata kes harian COVID-19 menurun di bawah 4,000 kes, kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) pada paras sederhana dan kadar vaksinasi bagi populasi yang telah menerima dua dos lengkap mencapai 10 peratus.
03 Jul 21
1070