Artikel "Semasa" Terkini
Terengganu Adakan Bacaan Yasin, Tahlil Buat Arwah Pelajar UPSI
KUALA TERENGGANU, 11 Jun – Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) mengarahkan semua masjid di seluruh negeri untuk mengadakan majlis bacaan Yasin dan tahlil bagi menghormati pemergian 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam kemalangan tragis di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik, Perak, Isnin lalu.
Ketua Penolong Pesuruhjaya (Pengurusan Masjid) JHEAT, Engku Omar Amiruddin Engku Ali memaklumkan, majlis bacaan Yasin dan tahlil akan dilaksanakan secara serentak selepas solat Maghrib pada Khamis (12 Jun) di seluruh masjid kariah Negeri Terengganu.
“Pihak JHEAT memohon kerjasama semua pengerusi jawatankuasa masjid untuk menghebahkan perkara ini kepada ahli kariah masing-masing dan memastikan pelaksanaannya berjalan lancar,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Sebanyak 15 nyawa pelajar telah terkorban dalam kemalangan ngeri yang berlaku berhampiran Tasik Banding, Perak, yang turut mencetuskan gelombang kesedihan di seluruh negara.
JHEAT turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang memberi kerjasama dan menyeru umat Islam di negeri ini untuk turut sama menzahirkan solidariti dalam bentuk doa dan keprihatinan.
12 Jun 25
330
Raja Muda Berkenan Menyantuni 15 Keluarga Mangsa Nahas UPSI
BESUT, 11 Jun - Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli berangkat menyantuni 15 keluarga arwah pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang telah terlibat kemalangan bas di Jalan Lebuh raya Timur Barat (JRTB) baru-baru ini.
Keberangkatan baginda tepat pada jam 8.30 pagi dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud ke daerah Besut dan Setiu turut diiringi oleh Yang Amat Mulia Tengku Puteri Utama Raja serta Tengku Puteri Daulath Raja.
Perjalanan ziarah penuh makna itu bermula di kediaman keluarga salah seorang mangsa di Kampung Rahmat, Setiu, sebelum diteruskan merentas waktu selama lima jam ke 14 lagi lokasi berbeza di daerah Besut. Setiap persinggahan sarat dengan emosi dan kasih yang tidak berbelah bahagi.
Kunjungan penuh empati itu adalah bertujuan bagi menzahirkan rasa dukacita baginda terhadap tragedi yang telah menimpa semua mangsa yang terkorban.
Dalam pada itu, kehadiran baginda bukan sekadar memberikan kata-kata semangat, tetapi turut disertai dengan doa dan tanda solidariti yang mendalam terhadap rakyat, khususnya buat keluarga mangsa yang sedang menempuh detik paling mencabar dalam kehidupan mereka.
Yang Di-Pertuan Muda Terengganu turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada keluarga mangsa sebagai tanda kasih dan sokongan, dengan harapan bantuan itu mampu meringankan beban yang ditanggung serta memberi sedikit kelegaan di tengah-tengah kesedihan yang melanda.
Bagi memberkati setiap kunjungan baginda, ziarah itu juga telah disertakan dengan doa yang diketuai oleh Pegawai Agama Istana 2, Mohd Faiz Azuan Mazuki, di sini, hari ini.
Menambah makna dalam kunjungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin turut hadir di dua lokasi terakhir kunjungan itu yang berada dalam kawasan naungannya sebagai tanda sokongan dan solidariti bersama keluarga mangsa yang sedang meniti saat-saat sukar.
Terdahulu, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah telah menzahirkan rasa dukacita dan ucapan takziah baginda berdua kepada seluruh keluarga mangsa.
Difahamkan, tragedi yang meruntun hati seluruh negara itu berlaku sewaktu para pelajar dalam perjalanan kembali ke kampus selepas menikmati cuti Aidiladha terakhir bersama keluarga tercinta.
11 Jun 25
3905
Dr Sam Dilantik Sebagai Yang Dipertua Majlis Pengakap Terengganu
KUALA TERENGGANU, 11 Jun – Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, hari ini secara rasmi dilantik sebagai Yang Dipertua Majlis Pengakap Negeri Terengganu setelah menerima sijil pelantikan dalam satu majlis khas yang diadakan di Dewan Jamuan, Tingkat 18, Wisma Darul Iman, di sini.
Turut menerima sijil pelantikan sebagai Naib-Naib Yang Dipertua Majlis Pengakap Negeri Terengganu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri, Hishamuddin Abdul Karim.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato’ Ab Rasid Jusoh turut dilantik sebagai Naib Yang Dipertua III.
Majlis pelantikan tersebut turut dihadiri oleh barisan pimpinan tertinggi Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Terengganu, termasuk para Naib Yang Dipertua dan Ahli-Ahli Majlis Pengakap Negeri yang turut menerima watikah pelantikan masing-masing.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berharap pelantikan itu dapat mencetuskan semangat baharu dalam institusi kepengakapan di negeri ini.
“Kita berharap selepas ini, Pengakap Negeri Terengganu, dengan uniform baharu yang turut diperkenalkan pada hari ini, akan menyuntik semangat baharu dalam kalangan anak-anak muda dan pelajar di peringkat sekolah,” ujarnya ketika ditemui media selepas majlis tersebut.
Sementara itu, Ketua Pengakap Negara, Mej. Jen. (B) Prof. Dato’ Dr. Mohd Zin Bidin, merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar Terengganu atas sokongan berterusan terhadap aktiviti pengakap, termasuk bantuan dari segi dana dan logistik dalam penganjuran program di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.
“Inisiatif ini membuktikan bahawa kerajaan negeri melihat pengakap sebagai satu pelaburan sosial yang tinggi nilainya, terutamanya dalam membentuk generasi pemimpin masa depan negara,” katanya.
11 Jun 25
4102
Sistem ‘Kotak Hitam' Bas Dan Lori Wajar Dimandatori
KUALA TERENGGANU, 11 Jun – Kerajaan disaran mempertimbang pelaksanaan sistem Vehicle Data Recorder (VDR) atau Event Data Recorder (EDR) bagi kenderaan darat seperti bas dan lori komersial sebagai langkah strategik memperkukuh aspek keselamatan pengangkutan negara.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dato' Ahmad Amzad Hashim berkata, teknologi yang berfungsi seperti ‘kotak hitam’ dalam pesawat itu sudah wujud dan digunakan di beberapa negara, termasuk Malaysia dalam skop terhad.
“Sama seperti pesawat, ' kotak hitam' dalam kenderaan adalah alat elektronik yang merekodkan pelbagai maklumat teknikal seperti kelajuan kenderaan, pembrekan mendadak, kesan perlanggaran, perubahan arah secara tiba-tiba, kedudukan GPS, jadual kerja dan waktu rehat pemandu serta data daripada kamera 'dashcam' jika disambungkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau yang juga Ketua Portfolio Sains, Teknologi dan Inovasi Perikatan Nasional (PN) menjelaskan bahawa beberapa agensi termasuk SPAD (kini APAD) dan JPJ sebelum ini pernah mencadangkan penggunaan sistem pemantauan seperti Driver Behavioural Monitoring System (DBMS) serta Fleet Telematics sebagai pendekatan pencegahan kemalangan dan pemantauan pemanduan.
Menurut beliau, RapidKL dan beberapa operator bas ekspres juga telah mula menggunakan sistem VDR atau telematik terbina, namun pelaksanaannya masih belum menyeluruh dan tidak diwajibkan kepada semua pengendali.
“Teknologi ini membawa pelbagai kelebihan termasuk memudahkan pihak berkuasa menjalankan siasatan kemalangan, membantu pengurusan syarikat menilai prestasi pemandu, mengelakkan kecuaian, serta memberikan potensi pengurangan premium insurans bagi syarikat yang menggunakannya,” ujarnya.
Walau bagaimanapun, beliau mengakui terdapat beberapa cabaran pelaksanaan, antaranya kos pemasangan sekitar RM1,000 hingga RM5,000 seunit, tiadanya penguatkuasaan mandatori secara menyeluruh, dan kebimbangan terhadap privasi pemandu yang perlu ditangani secara berhemah.
Dalam masa sama, Ahmad Amzad turut menyeru kerajaan agar menilai semula sistem penghadang jalan jenis besi yang digunakan secara meluas ketika ini kerana dilihat tidak sesuai dan berisiko tinggi kepada pengguna dalam kes kemalangan.
“Teknologi penghadang jalan yang lebih selamat dan mesra impak, sebagaimana yang diguna pakai di beberapa negara maju, wajar diperkenalkan segera,” katanya lagi.
Beliau mencadangkan agar kerajaan merangka satu pelan tindakan bersepadu, melibatkan kementerian dan agensi berkaitan, bagi memastikan sistem VDR/EDR dapat dilaksanakan secara menyeluruh sebagai usaha melindungi keselamatan pengguna jalan raya.
11 Jun 25
132
Terengganu Ajak Rakyat Hayati Kebesaran Hari Arafah
Kerajaan negeri komited mengajak rakyat menghayati kebesaran Hari Arafah dengan terus menganjurkan Program Malam Lambaian Arafah yang diadakan setiap tahun menjelang hari yang penuh makna bagi umat Islam di seluruh dunia.
11 Jun 25
65
Nahas Pelajar UPSI: Bantuan Segera RM2,000 Tanda Kasih
Empat keluarga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi meratap pemergian anak-anak tersayang dalam nahas bas Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang meragut 15 nyawa.
11 Jun 25
106
61,000 Peminat Harimau Malaya Turut Berduka
KUALA TERENGGANU, 11 Jun - Lebih 61,000 peminat Harimau Malaya yang hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) bagi menyaksikan perlawanan Malaysia menentang Vietnam sempena kelayakan Piala Asia AFC semalam turut berduka dengan kemalangan yang mengorbankan 15 anak Terengganu dan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
EXCO Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Hishamuddin Abdul Karim berkata, pihaknya merakamkan ucapan terima kasih buat semua penonton yang berada di SNBJ di atas sikap yang ditunjukkan semalam.
"Terima kasih buat semua 61,000 penonton yang berada dalam Stadium Nasional Bukit Jalil atas kebersamaan menghulurkan simpati.
"(Juga) merakamkan takziah dan mendoakan kesejahteraan buat semua mangsa korban kemalangan anak-anak Terengganu yang merupakan penuntut UPSI sebelum sepak mula.
"Sepi seketika SNBJ," ujarnya menerusi satu hantaran di media sosialnya, semalam.
Walau bagaimanapun, katanya perjuangan Harimau Malaya tetap perlu diteruskan.
Dalam pada itu beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri mengucapkan tahniah buat pasukan kebangsaan Harimau Malaya atas kemenangan bergaya 4-0 ke atas Vietnam.
11 Jun 25
232
Nahas Pelajar UPSI: Bantuan Segera RM2,000 Tanda Kasih
SETIU, 10 Jun – Empat keluarga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi meratap pemergian anak-anak tersayang dalam nahas bas Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang meragut 15 nyawa.
Dalam suasana duka itu, Kerajaan Terengganu tampil menghulurkan bantuan segera berjumlah RM2,000, masing-masing RM1,000 daripada kerajaan negeri dan RM1,000 lagi dari Pejabat ADUN Jabi, sebagai tanda kasih kepada keluarga mangsa.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, bantuan itu mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap penderitaan rakyat.
"Saya merakamkan ucapan takziah dengan rasa simpati yang mendalam kepada semua 15 mangsa yang terkorban dalam kemalangan bas UPSI.
"Khususnya empat orang mangsa daripada DUN Jabi,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi keluarga mangsa di sekitar Jabi, di sini hari ini.
Beliau turut menyifatkan pemberian itu bukan sekadar bantuan material, tetapi tanda kehadiran kerajaan di sisi rakyat dalam saat paling getir.
"Walaupun sumbangan ini tidak dapat mengubati kesedihan, tapi sebagai tanda kita bersama di waktu-waktu sukar sebegini,” ujar beliau.
Empat pelajar yang terkorban dikenal pasti sebagai Allahyarhamah Fatin Nasrien dari Kampung Kerandang, Allahyarhamah Nur Ainul Qistina dari Kampung Anak Ikan, Allahyarhamah Nur Dalila Farhana dari Kampung Banggol Tok Dor dan Allahyarhamah Nurly Sahirah dari Kampung Gong Pasir, kesemuanya mahasiswa UPSI yang sedang menuntut dalam pelbagai semester.
"Mereka adalah anak-anak permata Jabi yang diharapkan mampu menjadi pendidik anak bangsa, tapi Allah lebih menyayangi mereka.
"Saya ucapkan takziah yang sangat bersangatan," ucap nya penuh hiba.
Dalam masa sama, ADUN Jabi turut menzahirkan penghargaan kepada semua yang membantu menguruskan jenazah mangsa.
"Jazakumullahu khairan jaza kepada semua pihak yang membantu dari awal sehingga selamat disempurnakan di tanah perkuburan.
"Semua ini insya-Allah akan diganjari Allah dengan ganjaran yang melimpah," katanya.
10 Jun 25
442
Jalan Raya Gerik-Jeli Tahap Wajib Dibaiki
KUALA TERENGGANU, 10 Jun - Keadaan jalan di laluan Timur-Barat yang menghubungkan Gerik, Perak dan Jeli tahap wajib diperbaiki kerana ramai yang berpandangan ia sangat kritikal dan tidak selamat untuk dilalui sebarang kenderaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Dr Riduan Mohd Nor berkata, ketika beliau melalui laluan tersebut telah ada sekitar tujuh kemalangan berlaku ditambah pula faktor hujan serta kesesakan pengguna melalui jalan utama itu untuk pulang ke kampung halaman untuk menyambut Hari Raya Aidiladha.
"Tidak melampau jika dikatakan Jalan Raya Gerik-Jeli ini wajib dibaiki sebaik mungkin.
"Jimatkan duit negara dengan pemborosan seperti lawatan pemimpin ke luar negara. Puluhan juta itu boleh digunakan untuk membaiki jalan raya kita yang naif dari segi keselamatan,"ujarnya menerusi satu hantaran di facebooknya, di sini, hari ini.
Beliau yang kini dalam perjalanan menuju ke Hospital Gerik, Perak mengharapkan agar mangsa yang tercedera dalam tragedi nahas pelajar UPSI segera sembuh.
"Semoga yang cedera akan segera pulih dan meneruskan pengajian mereka, juga sokongan perlu diberikan kepada kaum keluarga yang sedang bersedih," katanya
Dalam pada itu, Bekas Juruterbang Polis DiRaja Malayisa (PDRM), Mohd Ezairol Rezan Zainol berkata, beliau terasa ngilu melihat penghadang jalan jenis zink yang dirempuh oleh bas tersebut.
"Penghadang jalan jenis zink ini dipersoalkan keselamatannya apabila beberapa insiden tragis melibatkan pengguna jalan raya berlaku disebabkan oleh benda ini.
"Ia ibarat pisau tajam di jalanan yang boleh meragut nyawa, mungkin dah tiba masanya pihak berkuasa mempertimbangkan reka bentuk yang lebih selamat demi melindungi nyawa pengguna jalan raya," ujarnya.
Katanya, beberapa cadangan boleh dipertimbangkan antaranya penggunaan penghadang jenis roller seperti di Korea atau pelapik plastik dipasang bagi mengurangkan risiko kecederaan.
10 Jun 25
415
Konvoi Membawa 13 Jenazah Pelajar UPSI Dijangka Tiba 2 Pagi
KUALA TERENGGANU, 9 Jun - Jenazah 13 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam nahas bas tragis di Lebuh Raya Timur–Barat (Gerik–Jeli) awal pagi tadi kini sedang dalam perjalanan ke Terengganu dan dijangka tiba sekitar jam dua pagi.
Kenderaan yang membawa jenazah dilaporkan bertolak dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh sekitar jam 9 malam tadi. selepas selesai proses pengecaman, pengurusan dan kafan jenazah.
Tragedi menyayat hati itu berlaku awal pagi tadi apabila bas yang membawa pelajar UPSI dipercayai hilang kawalan dan terbabas di laluan berbukit di kawasan Gerik–Jeli.
Bas yang membawa 42 pelajar UPSI dalam perjalanan dari Jertih ke Tanjong Malim itu dipercayai bertembung dengan sebuah kenderaan serba guna (MPV) yang berada di laluan sama dari arah Jeli ke Gerik.
Akibat perlanggaran itu, bas terbabas dan terbalik, manakala MPV terjunam ke dalam parit laluan bertentangan.
15 pelajar disahkan meninggal dunia, manakala beberapa lagi mangsa nahas termasuk empat penumpang MPV dalam kejadian yang sama dilaporkan tercedera.
09 Jun 25
129