lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Kadar Kebolehjangkitan COVID-19 Di Terengganu Tertinggi Sejak 10 Hari
Kadar Kebolehjangkitan COVID-19 Di Terengganu Tertinggi Sejak 10 Hari
KUALA TERENGGANU, 29 Julai – Terengganu terus mencatatkan kadar kebolehjangkitan (R-naught) COVID-19 tertinggi dalam negara lebih 10 hari sejak 18 Julai lalu. Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, menerusi laman Facebooknya, berkata negeri Terengganu mendahului senarai dengan 1.33 diikuti Kelantan (1.26) serta Sabah dan Pulau Pinang (1.25). Katanya, R-naught COVID-19 di Malaysia turut merekodkan peningkatan pada Rabu, dengan kadar 1.16, berbanding 1.14 pada hari sebelumnya. “Sembilan lagi negeri lain mencatat kadar di antara 1.04 hingga 1.22 iaitu Sarawak, Melaka, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Perak, Johor dan Kedah. Nilai R-naught merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus iaitu berapa ramai individu yang boleh dijangkiti oleh satu kes positif. Sementara itu, dua lokaliti di Kemaman akan dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Sabtu ini sehingga 13 Ogos setelah diumumkan Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. "Ini melibatkan Kampung Padang Kubu, Mukim Tebak di daerah itu," katanya dalam satu kenyataan mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan PKPD hari ini.
29 Jul 21
572
Tokyo 2020 : Khairul Anuar Jadi 'Hawkeye', Kalahkan China
Tokyo 2020 : Khairul Anuar Jadi 'Hawkeye', Kalahkan China
TOKYO, 29 Julai - Jaguh memanah negara, Khairul Anuar Mohamad mengekalkan momentum kemenangan setelah menundukkan pesaing dari China, Wang Dapeng dengan keputusan 6-5 di temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020. Beliau berjaya mengulangi pusingan kalah mati pertama dengan tembakan ‘bulls-eye’ 10 manakala Dapeng hanya membidik 9, dengan keputusan keseluruhan (25-28, 28-28, 27-26, 29-26, 26-27). Kemenangan oleh anak jati Kemaman itu adalah sambungan daripada perlawanan di antara wakil Finland, Antti Vikstrom dalam dua percubaan dramatik setelah terikat pada kedudukan 5-5 dengan pusingan pertama dan kedua di Yumenoshima Final Field. "Alhamdulillah, saya memenangi kedua-dua perlawanan hari ini walaupun diakhiri dengan ‘shoot-offs'. Saya tidak menunjukkan prestasi yang baik kerana hilang fokus seketika. Untuk perlawanan pusingan ketiga saya, saya akan lebih tumpu. "Saya memang merasakan tekanannya, tetapi saya harus fokus 100 peratus untuk menangani tekanan atau keadaan angin dengan cermat. “Tuah mengikuti saya kerana berjaya mara ke pusingan seterusnya selepas busur lawan saya dari Finland patah,” katanya seperti mana dilaporkan News Straits Times. Pemain Malaysia berusia 29 tahun itu akan mara menentang pemain Korea Selatan, Kim Woo Jin pada 16 perlawanan terakhir pada hari Sabtu ini.
29 Jul 21
1040
Penduduk PKPD Di Teluk Menara Terima Bantuan Bakul Makanan
Penduduk PKPD Di Teluk Menara Terima Bantuan Bakul Makanan
Oleh : Ahmad Mawardi HULU TERENGGANU, 28 Julai - Seramai 515 Ketua Isi Rumah (KIR) dari dua zon hulu dan hilir di Teluk Menara yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) menerima bantuan bakul makanan daripada Pusat Khidmat Khidmat PKM ADUN Manir. Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir Ustaz Suqiman Tahar berkata, bantuan bakul makanan itu bagi meringankan beban penduduk yang terlibat PKPD. "Pelaksanaan PKPD di kampung berkenaan bermula semalam menyebabkan penduduk yang terlibat kuarantin tidak dapat keluar untuk bekerja. "Oleh itu sebagai tanda kecaknaan, hari ini, sebanyak 200 bakul makanan asas diagihkan melibatkan zon hulu dari kawasan berisiko kes dan selanjutnya esok akan diedarkan ke seluruh rumah di kampung berkenaan,"ujarnya. Suqiman yang juga Ketua Unit Bantuan Khas PKPD Teluk Menara berkata demikian ketika hadir pengagihan bantuan berkenaan petang tadi. Tambahnya lagi, sepanjang tempoh PKPD dilaksanakan, agihan secara berperingkat-peringkat akan dilaksanakan untuk memastikan penduduk terlibat sentiasa  mempunyai bekalan makanan mencukupi.
28 Jul 21
1035
Tambah PPV Di Dungun
Tambah PPV Di Dungun
DUNGUN, 28 Julai - Tokoh Belia Ma'al Hijrah 1442H Daerah Dungun, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli menyarankan agar Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di daerah ini ditambah agar  lebih ramai dapat menyertai Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK). Katanya, dengan hanya dua PPV yang ada ketika ini dilihat tidak mampu menampung  bilangan penduduk yang memerlukan suntikan vaksin dan yang menjadi kerisauan nama mereka belum terpapar di MySejahtera untuk menerimanya sedangkan pendaftaran telah dibuat berbulan - bulan yang lalu.  "Tambahan lagi, peningkatan positif COVID-19 yang amat membimbangkan di daerah ini di mana dengan dua mukim diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) iaitu di mukim Sura dan mukim Kuala Dungun dan setiap hari ada sahaja kluster baharu, "jelasnya.  Baru-baru ini 10 kampung dalam mukim Kuala Dungun telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 21 Julai sehingga 3 Ogos manakala PKPD di mukim Sura pula dilanjutkan sehingga 8 Ogos setelah ianya dilaksanakan pada 10 Julai hingga 23 Julai lalu.  Beliau berkata demikian ketika dihubungi selepas mengadakan kunjungan bersama anggota Jabatan Amal Malaysia (JAM) Dungun ke dua buah PPV iaitu di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) di sini.  Di dalam kunjungan tersebut beliau turut menyampaikan sumbangan kudapan, roti dan air mineral untuk 'frontliners' bertugas.  Menurut beliau, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu menerusi laman facebook rasminya melaporkan sehingga 28 Julai 2021, penerima vaksin dos pertama di Dungun hanya  seramai 27,663 orang sedangkan 92, 937 orang lagi masih belum menerimanya.  Dungun  juga, katanya merupakan daerah paling rendah  penerima suntikan vaksin dos pertama jika dibandingkan dengan daerah-daerah lain di Terengganu dan  sewajarnya permintaan ini diberi perhatian serius.  "Walau bagaimanapun kita berharap agar warga Dungun bersabar, insya-Allah akan tiba giliran untuk terima vaksin nanti," ujarnya lagi. 
28 Jul 21
1106
Sekali Ganda Dari Sasaran, 178 Pek Darah Terkumpul
Sekali Ganda Dari Sasaran, 178 Pek Darah Terkumpul
BESUT, 28 Julai - Kempen Derma Darah di Besut berjaya memperolehi 178 pek darah menjadikan suatu rekod baharu bagi kempen derma darah di Dewan Gong Nering, Jerteh. Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Jerteh, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad berkata, seramai 264 orang mendaftarkan diri sepanjang program berlangsung tetapi sebanyak 178 orang sahaja yang lulus berdasarkan saringan awal yang dilakukan. "Saya difahamkan misi kali ini berjaya melebihi target yang dibuat oleh pihak Tabung Darah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, yang sebelum ini merekodkan hanya di bawah 100 pek di dewan ini. "Saya merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada seluruh sekretariat yang menjayakan program kali ini, seperti Jabatan Amal Malaysia di bawah Dewan Pemuda PAS Kawasan Besut, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Gong Nering dan lain-lain," katanya. Ustaz Wan Azhar juga mengucapkan penghargaan kepada penderma dan mereka yang berhasrat untuk menderma namun tidak dapat menyumbang pada program tersebut. "Semoga sumbangan kita ini akan membantu pihak Tabung Darah yang berada dalam situasi yang agak kritikal," katanya ketika ditemui pemberita. Sementara itu, menurut Penolong Pegawai Penerangan, Tabung Darah HSNZ, Suriyati Md Ghani berkata, Kelantan dilaporkan kekurangan darah pada 25 Julai lalu dan Tabung Darah HSNZ telah memberi 50 pek darah sebagai bantuan segera buat mereka. "Harapan kami agar program seperti ini dapat dibuat secara berterusan bagi menampung bekalan darah hospital. Kerjasama yang baik ini memberi manfaat untuk semua, terima kasih," katanya. Program itu berlangsung selama dua hari pada 26 dan 27 Julai bermula jam 9 pagi sehingga 2 petang. Pendaftaran telah dibuat melalui maya dan secara terus di dewan tersebut. Sementara itu, salah seorang penderma, Musa Hakimi Mohd Hamdan, 23, berkata, dia baru sahaja tiga kali menderma sejak tahun 2017. "Saya berasa simpati terhadap mereka yang kurang bernasib baik terutama mereka yang kehilangan darah, jadi ini mendorong saya untuk menderma," jelasnya. Dalam perkembangan sama, penderma diingatkan untuk mendapatkan rehat yang cukup serta sihat tubuh badan dan bebas penyakit bagi menyertai program derma darah.
28 Jul 21
136
ADUN Buluh Gading Rai 96 Pelajar Cemerlang
ADUN Buluh Gading Rai 96 Pelajar Cemerlang
KUALA NERUS, 28 Julai - Seramai 96 orang pelajar berprestasi cemerlang dalam peperiksaan awam tahun 2020 di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Buluh Gading tetap disambut di kediaman masing-masing atas hasil prestasi terbaik. Ahli Dewan Undangan Negerinya (ADUN), Ridzuan Hashim berkata, antara yang dirai adalah seramai 13 orang pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang meraih keputusan semua A, membawa pulang cenderahati, sijil penghargaan dan saguhati wang tunai. “Selain itu, seorang pelajar berjaya memperoleh keputusan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 atau juga digelar '4 flat' dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan tiga orang pelajar mendapat keputusan ‘mumtaz’ dalam peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2020. “Kebiasaannya kita anjurkan majlis anugerah kecemerlangan untuk mereka di dewan, tetapi memandangkan Prosedur Operasi Standard (SOP) sekarang ini tidak membenarkan sebarang majlis diadakan, maka kita hantar anugerah kepada mereka. “Inilah yang kita harapkan, pembangunan modal insan yang berjaya akan melahirkan insan yang berkualiti dari pelbagai segi,” ujar beliau selepas selesai mengagihkan anugerah kecemerlangan, semalam. Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri mendoakan agar semua pelajar berjaya dengan cemerlang dalam apa jua aliran dan bidang yang diceburi nanti. “Sangat seronok mendengar mereka bercerita tentang tawaran melanjutkan pelajaran yang mereka perolehi ketika ini. “Seluruh ibubapa dan warga DUN Buluh Gading sangat berbangga dengan pencapaian cemerlang mereka semua,” katanya lagi.
27 Jul 21
312
Maritim Terengganu Tenggelamkan 108 Bot Nelayan Asing
Maritim Terengganu Tenggelamkan 108 Bot Nelayan Asing
KUALA TERENGGANU, 27 Julai - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Terengganu sehingga kini telah menenggelamkan sejumlah 108 bot dengan anggaran nilai RM162 juta, sebagai tukun di sepanjang perairan negeri. Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim, Laksamana Muda Maritim Datuk Saiful Lizan berkata, terbaharu pihaknya melupuskan empat bot nelayan Vietnam yang dilucut hak secara penenggelaman untuk dijadikan tukun tiruan berhampiran Pulau Redang. Katanya, bot-bot tersebut telah ditahan melalui OP KUDA LAUT yang dilaksanakan sepanjang tahun lepas oleh Kapal Maritim (KM) KM Tok Bali, KM Tegas dan KM Gemia yang melibatkan 53 kru termasuk tekong. “Kesemua bot tersebut adalah bot nelayan asing Vietnam yang ditahan serta dilucut hak oleh mahkamah sepanjang tahun 2020 atas kesalahan menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara. “Pelupusan empat bot ini sebagai tukun tiruan merupakan tindakan tegas Maritim Malaysia memerangi pencerobohan bot nelayan asing terutamanya dari Vietnam. “Jumlah denda mahkamah bagi keempat-empat bot ini membabitkan denda keseluruhan RM4.1 juta,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemubual selepas menyaksikan proses pelupusan itu yang turut dihadiri Pengarah Maritim Malaysia Terengganu, Kepten Muhammad Suffi Mohd Ramli, hari ini. Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, sebanyak 38 bot lagi bakal ditenggelamkan setelah mendapat pelucutan hak daripada mahkamah pada tahun ini. “Kaedah penenggelaman sebagai tukun merupakan satu inisiatif dalam memulihara dan menggalakkan biodiversiti marin serta simbolik kepada keseriusan Maritim Malaysia mengekang kemasukan nelayan asing ke perairan negara secara haram. “Program pelupusan bot ini turut mendapat kerjasama Jabatan Perikanan Malaysia, Taman Laut serta Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT),” katanya lagi. Sementara itu, Saiful Lizan turut menyeru kerjasama masyarakat terutama komuniti maritim untuk melaporkan sebarang maklumat perlakuan melanggar undang-undang dan kejadian kecemasan yang berlakon di perairan negara ke talian MERS 999.  
27 Jul 21
1232
ECERDC Tarik RM2.7 Bilion Pelaburan Ke Terengganu
ECERDC Tarik RM2.7 Bilion Pelaburan Ke Terengganu
KUALA TERENGGANU, 26 Julai - Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) yakin dalam mencapai sasaran pelaburan tahun 2021 untuk negeri Terengganu menjelang penghujung tahun ini. ECERDC dalam kenyataannya hari ini berkata, sehingga 30 Jun 2021 pihaknya telah berjaya RM2.7 bilion ke Terengganu. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Baidzawi Che, perkembangan itu dijangka akan mewujudkan sebanyak 3,040 pekerjaan dan 214 peluang keusahawanan baharu bagi rakyat di Terengganu. “Susulan kemasukan pelaburan yang memberangsangkan untuk tahun 2021 setakat ini, ECERDC akan meneruskan usaha untuk memastikan projek-projek dan inisiatif-inisiatif yang sedang berjalan. “Ini meliputi kerja-kerja infrastruktur dan program-program pembangunan modal insan dilaksanakan seperti yang dirancang untuk mempertingkatkan daya tarikan negeri ini sebagai sebuah destinasi pelaburan,” katanya. Beliau berkata demikian selepas mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan ECER (ICC) Terengganu yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mohkhtar. Pada mesyuarat tersebut, Ahmad Samsuri menggesa semua pihak untuk terus berusaha menarik pelaburan baharu ke Terengganu, terutamanya dalam pembangunan Kuala Terengganu City Centre (KTCC) dan Taman Biopolimer Kerteh. “Kerajaan Negeri juga komited untuk menyokong inisiatif agrofood@ECER yang sedang dirancang oleh ECERDC. “Terutamanya projek Lembah Tenusu Terengganu, serta projek-proiek Penanaman Kelapa, Makanan Ternakan dan Fertigasi, agar sektor pertanian dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri yang berterusan,” katanya lagi.
26 Jul 21
1232
58 Cemerlang SPM 2020 DUN Seberang Takir Dirai
58 Cemerlang SPM 2020 DUN Seberang Takir Dirai
KUALA NERUS, 26 Julai – Walaupun dalam suasana pandemik COVID-19, seramai 58 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir terus diraikan atas kejayaan hebat tersebut. Pegawai Penyelaras kawasan itu, Mohd Fadhil Wahab berkata, kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang menggantikan persekolahan fizikal tidak menjadi penghalang bagi mereka dalam meraih keputusan baik dan ia wajar dipuji dan disambut. Katanya, konsep hantar hadiah rumah ke rumah telah dilakukan mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa berikutan trend peningkatan kes positif dalam negeri. Sementara itu, Mohd Fadhil turut menceritakan kerjasama pelbagai pihak yang menjayakan sektor pendidikan negeri dalam mengharungi kekangan semasa. “Segala kecaman diterima kerajaan sebelum ini tentang isu kesukaran jaringan internet, peranti serta kekalutan guru dan pelajar mengadaptasikan kaedah PdPR sebelum ini berjaya diselesaikan dengan baik," jelasnya. Menemubual seorang pelajar cemerlang daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim Fikri, Wan Nazatul Wan Bakar, 17, berkongsi rahsianya iaitu amalan kerohanian yang istiqamah termasuk memperbanyakkan solat sunat juga antara faktor kejayaannya. “Hubungan dengan Allah itu amat penting sebelum kita melakukan urusan harian termasuk pembelajaran kita, Alhamdullilah dengan itu saya berjaya mendapat keputusan 6A dalam SPM," katanya yang juga diantara peserta Tuisyen Rakyat. Nazatul yang juga anak kepada penternak lembu memaklumkan bahawa dia berhasrat untuk meneruskan pembelajaran menerusi program pra-universiti.
26 Jul 21
242
Polis Trafik Korbankan Elaun Demi Pengayuh Beca
Polis Trafik Korbankan Elaun Demi Pengayuh Beca
KUALA TERENGGANU, 25 Julai - Polis Kontinjen Terengganu melalui Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu menggunakan elaun sendiri demi meringankan beban 20 pengayuh beca di sekitar bandar raya itu. Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata sumbangan disampaikan dalam bentuk barangan keperluan dapur itu merupakan hasil tabungan elaun COVID-19 pegawai dan anggota JPST. Katanya, para pengayuh beca merupakan antara golongan yang terkesan teruk oleh pandemik kerana aktiviti pelancongan yang menjadi sumber pendapatan mereka tidak dapat dijalankan pada musim ini. “Pihak JSPT yang tanpa jemu menjalankan rondaan lalu lintas di jalan raya sering melihat keberadaan golongan pengayuh beca yang rata-rata terdiri daripada warga emas. “Melihat situasi sedemikian, mereka sanggup mengorbankan elaun yang mereka terima untuk disumbangkan kepada warga pengayuh beca, ini merupakan satu sikap yang terpuji. “Saya berasa bangga dengan semangat dan sikap yang ada mereka dan semoga ia menjadi sumber inspirasi kepada orang ramai untuk turut mengambil bahagian dan cakna kepada kesusahan orang di sekeliling kita," tambahnya melalui Facebook rasmi Polis Terengganu, petang tadi.
25 Jul 21
313