Artikel "Semasa" Terkini
Pulau Redang Lengang, Pengusaha Resort Kekal Optimis
KUALA NERUS, 1 Ogos – Pulau Redang kini melalui fasa suram akibat ketiadaan pengunjung berikutan penularan wabak COVID-19.
Namun buat pengurus operasi resort Redang Bay, Lim You Jing, 37, beliau masih menaruh harapan dan mengambil pelbagai langkah drastik demi mengharungi kesan ekonomi tersebut.
Katanya yang meneraju bisnes keluarganya itu sejak 1989, sebelum dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan pada tahun ini, resortnya mampu menarik ramai pengunjung terutamanya dari dalam negara.
“Tapi sekarang, kita terpaksa tanggung kerugian sehingga RM800 setiap hari bagi menampung kos harian seperti makanan buat 25 orang pekerja dan minyak diesel untuk bot dan elektrik.
“Antara langkah drastik terpaksa diambil seperti pemotongan kos elektrik dengan penutupan penjana setiap hari pada jam 5 pagi sehingga 7.30 malam, menjual beberapa bot penumpang dan lain-lain lagi.
“Namun begitu, sehingga bulan ke-16 tidak beroperasi, tiada pengurangan saiz staf terpaksa dibuat dalam kalangan pekerja kontrak saya,” katanya ketika ditemubual pemberita di Redang Bay, semalam.
Sehubungan itu, You Jing dan seluruh stafnya mengambil suntikan vaksin COVID-19 dos pertama menerusi program Outreach Imunisasi COVID-19 (PICK) sebagai usaha menghidupkan kembali industri pelancongan mencapai status imuniti berkelompok dengan segera.
“Ini memberi sinar harapan kepada kami bagi mengerakkan kembali pulau ini yang sudah tersadai sekian lama.
“Melalui kerjasama dan perbincangan erat bersama persatuan resort Pulau Redang, kita bersedia menerima pelancong bila-bila masa sahaja bergantung kepada situasi dalam negara,” katanya lagi.
Untuk rekod, kira-kira 1,270 penduduk Pulau Redang telah selesai disuntik dan akan dijangka siap sepenuhnya dengan dos kedua pada 28 Ogos ini.
01 Aug 21
923
COVID-19: Terengganu Tambah Satu lagi PKRC
KUALA TERENGGANU, 1 Ogos - Satu lagi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) akan dibuka di negeri bermula esok susulan peningkatan mendadak kes positif yang berlaku semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Dr Alias Razak berkata setakat ini terdapat enam PKRC dengan kapasiti 2,967 katil dan pembukaan yang terbaharu itu menjadikan tujuh pusat rawatan di negeri tersebut.
Katanya, PKRC baharu itu beroperasi di Institut Pendidikan Guru Sultan Mizan di Besut dengan kapasiti 392 katil.
"Sekiranya keadaan masih tidak terkawal, kita bercadang untuk menambah lagi dua PKRC iaitu di Stadium Negeri, Kuala Terengganu (400 katil) dan Pusat Kokurikulum Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu di Hulu Terengganu (350 katil)," katanya ketika dihubungi.
Semalam, Terengganu merekodkan 883 kes jangkitan baharu COVID-19 iaitu kes tertinggi pernah dicatatkan sejak pandemik berlaku.
Daripada jumlah tersebut, 860 kes membabitkan penularan tempatan manakala kes import B (14 kes), kes import C (8 kes) dan kes orang kena tahan (satu kes) menerusi 15 kluster yang terlibat.
01 Aug 21
2079
Suri Rumah Tabah Jaga Anak Ketika Suami Hilang Di Laut
KUALA NERUS, 1 Ogos - Tragedi tanpa titik noktah adalah situasi yang dialami isteri kepada Wan Mohd Sufian Wan Abdul Rahman, 34, yang hilang di laut mendapat perhatian dan sumbangan kerajaan negeri.
Menemubual suri rumah tersebut, Noorfadillah binti Abdul Rashid, 31, berkata, peristiwa sedih ditimpa sejak bulan Mei sehingga hari kini masih tiada perkhabaran tentang kehilangan bapa kepada dua orang anak itu.
Lebih memilukan, Noorfadillah terpaksa menjaga kedua-dua anaknya bersendirian tanpa suami tersayang disisi hampir tiga bulan.
“Operasi mencari sudah dihentikan dan saya kini tinggal bersama bapa kandung saya di Kampung Telaga Daing, Seberang Takir,” luahnya ketika ditemubual pemberita, baru-baru ini.
Terdahulu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri melaporkan Wan Mohd disyaki hilang di laut selepas bot miliknya ditemukan nelayan tempatan di kedudukan 10.1 batu nautika dari muara Kuala Terengganu.
Melihat kesusahan dialami itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab dengan kerjasama Badan Bukan Kerajaan (NGO) Al-Hikmah semalam telah menziarahinya disamping lima buah keluarga yang terkesan dan memerlukan bantuan.
“Cuma keluarga Noorfadillah ini mendapat lebih perhatian disebabkan kehilangan ketua keluarga yang menyara mereka, pihak PAS kawasan ini turut menyampaikan sumbangan.
“Insya-Allah, kita dari pihak kerajaan akan sentiasa membuat susulan kerana dia merupakan suri rumah yang semestinya hendak menyara dua anaknya,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi NGO Al-Hikmah, Syed Ahmad Abdus Salam Syed Nazmi memberitahu kehadiran pihaknya adalah menyampaikan amanah hasil daripada sumbangan orang ramai.
“Bukan wang kami, wang orang ramai juga, terima kasih juga atas kerjasama Mohd Fadhil yang memberi maklumat mereka yang terkesan di kawasan beliau,” tambahnya.
01 Aug 21
296
Mat 'Aquaman' Antara 517 Penggiat Pelancongan Pulau Redang Divaksin
KUALA NERUS, 1 Ogos – Che Mohd Ridzwan Jaafar atau Mat yang dikatakan seiras dengan bintang filem Aquaman merupakan salah seorang daripada 517 penggiat pelancongan yang menerima vaksin COVID-19 di Pulau Redang, semalam.
Dia yang juga seorang pemandu juruselam berusia 32 tahun berkata, pengambilan vaksin adalah sebagai usaha pencegahan virus daripada terus menular di sekitar tempat kerjanya di Redang Pelangi dan untuk keselamatan pelanggannya.
“Semasa musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, kita tidak dapat beroperasi lebih tiga bulan, dalam masa itu kita duduk saja.
“Diharapkan dengan seluruh warga Pulau Redang disuntik agar ia dapat memberi peluang kepada kita untuk buka kembali.
“Terima kasih kepada kerajaan negeri dan seluruh petugas kesihatan yang terlibat dalam pemberian suntikan dan penyampaian maklumat berkenaan vaksin,” katanya ketika ditemubual pemberita selepas disuntik di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sekolah Kebangsaan Pulau Redang.
Sementara itu, seorang kapten kapal layar mewah dari Brazil, Watson Gomes Da Silva menyifatkan prosedur perolehan vaksin untuknya adalah mudah dengan perkhidmatan yang terbaik.
Jelasnya, dia bersama 12 orang kru kapal mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera seperti diarahkan kerajaan Malaysia dan proses suntikan sangat memuaskan.
Menurut Pengarah pelancongan negeri, Fadli Yusof Zakaria, program outreach itu akan selesai suntikan 100 peratus penduduk di pulau peranginan itu melibatkan 167 pekerja asing manakala baki adalah rakyat tempatan.
"Ini bagi memastikan lebih ramai penggiat industri dapat divaksin secara besar-besaran seterusnya menjadikan produk-produk pelancongan seperti pulau-pulau dan tasik di negeri Terengganu ini dapat mencapai status imuniti berkelompok dengan segera," ujarnya kepada pemberita.
01 Aug 21
570
Penggiat Di Lima Pusat Peranginan Selesai Vaksin Akhir Ogos
KUALA NERUS, 31 Julai - Kerajaan negeri menyasarkan keseluruhan penggiat pelancongan di empat pusat peranginan dan Tasik Kenyir selesai menerima suntikan dos kedua pada akhir Ogos sebagai persediaan menerima pelancong sebaik sektor pelancongan kembali dibuka.
Perkembangan tersebut dikongsi Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Fadli Yusof Zakaria, katanya antara pulau terlibat ialah seperti Pulau Redang akan selesai suntikan dos kedua pada akhir Ogos dibawah program Outreach Imunisasi COVID-19 (PICK).
Fadli Yusof Zakaria (kiri) bersama Ahmad Faris Abdul Razak (kanan).
“Menerusi program outreach ini juga, penduduk serta para penggiat industri yang terdiri daripada pengusaha, pekerja hotel dan resort serta pemandu bot menerima suntikan vaksin meyakinkan kepada pelancong untuk ke Terengganu menerusi gelembung pelancongan domestik.
“Melalui proses imuniti kelompok ini, gelembung tersebut akan menjadi lebih selamat, tahap pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) juga ketat dengan bukti tiada kes positif di sini,” katanya ketika ditemubual pemberita di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sekolah Kebangsaan Pulau Redang, pagi tadi.
Turut hadir, Pegawai Daerah Kuala Nerus, Ahmad Faris Abdul Razak.
Menjelas lanjut berkenaan tahap kesiapsiagaan industri tersebut, Fadli berkata, pihaknya mengarahkan seluruh penggiat pelancongan seperti pengusaha resort dan hotel untuk kekal bersedia menerima tetamu.
“Kita tidak boleh jangka bila boleh dibuka (sempadan), namun kami yakin dengan imuniti kelompok dalam masa dua bulan akan datang pelancongan yang terjejas teruk akan rancak kembali,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Tourism Terengganu turut menyantuni 110 petugas barisan hadapan di PPV Pulau Redang dengan menyumbang barangan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) sebagai tanda sokongan atas keringat menjayakan kerja vaksinasi di sini.
31 Jul 21
314
753 Penduduk Pulau Redang Terima Suntikan Vaksin
KUALA NERUS, 31 Julai – Seramai 753 orang penduduk Pulau Redang menerima suntikan vaksin COVID-19 dos pertama menerusi program Outreach Imunisasi COVID-19 (PICK).
Pegawai Daerah Kuala Nerus, Ahmad Faris Abdul Razak berkata, pejabat daerahnya yang berperanan sebagai urus setia Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) bagi daerah tersebut berkampung di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sekolah Kebangsaan Pulau Redang selama dua hari.
“Seramai lebih 700 orang pada hari ini akan disuntik dos pertama vaksin jenis Pfizer manakala selebihnya iaitu terdiri daripada penggiat pelancongan pada hari esok.
“Program PPV Outreach ini dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu melalui Pejabat Daerah Kuala Nerus, dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta 11 lagi agensi lain.
“Seramai 110 orang petugas termasuk daripada Polis, Rela, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan sebagainya juga memainkan peranan dalam menjayakan PPV selama dua hari ini,” katanya ketika ditemubual pemberita di sini, semalam.
Turut hadir, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail dan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu, Tun Ahmad Faisal Tun Abd Razak.
Sementara itu, Mohd Shafizi berkata, pihaknya akan terus bekerjasama dengan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi memastikan semua penduduk di sini divaksin.
“Antara usaha dijalankan Pusat Khidmat Masyarakat seperti turun ke Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi memastikan setiap orang mendaftar untuk divaksin.
“Di samping itu, kita juga menghantar nama-nama penerima kepada pihak Kesihatan Daerah,” jelasnya.
31 Jul 21
442
Kudung Kaki Tak Halang Warga Emas Dapatkan Vaksin
KUALA NERUS, 31 Julai – Kerisauan seorang pesakit kencing manis yang kudung kaki kanan mengenai kemungkinan tidak dapat hadir temu janji vaksin berakhir setelah dia berjaya mendapatan suntikan pencegah jangkitan COVID-19 itu di rumahnya semalam.
Mat Soh Mat San, 62, hilang sebelah kakinya setelah dipotong pada bulan Ramadan lalu akibat jangkitan di peha setelah mengalami kecederaan daripada kemalangan enam tahun lalu.
Katanya, dia yang tidak mampu lagi berjalan tanpa pertolongan sejak peristiwa pahit itu bersyukur kerana petugas vaksin datang ke rumahnya di Kampung Baru Pulau Redang.
“Saya telah mendapat vaksin dos pertama pada bulan Jun lalu di darat, kemudian saya mendapat panggilan untuk dos kedua selepas mendapat rawatan untuk kaki saya di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
“Mula-mulanya saya risau, tapi Alhamdulillah, petugas mari datang ke rumah saya untuk cucuk saya dengan vaksin, terima kasih kepada petugas kesihatan dan seluruh pihak yang sudi bantu saya,” katanya yang juga penghidap darah tinggi selepas ditemubual pemberita di sini, semalam.
Mat Soh merupakan antara 10 penerima vaksin yang disantuni petugas di rumah masing-masing daripada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) dengan kerjasama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Pejabat Daerah Kuala Nerus.
Dalam pada itu, seorang lagi penduduk yang mengalami sakit saraf sejak tiga tahun lalu, Muhammad Teh Hassan, 81, meluahkan rasa teruja apabila disuntik vaksin di kediamannya.
"Sekarang tidak boleh keluar dan perlu bertongkat jika ingin bergerak, terima kasih kepada petugas barisan hadapan sanggup datang ke rumah saya ini," katanya.
Sementara itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, pihaknya mendahulukan warga emas dan golongan tidak mampu bergerak sendiri dalam usaha pemvaksinan di sekitar kawasan itu.
“Antara usaha dijalankan Pusat Khidmat Masyarakat seperti turun ke Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi memastikan setiap orang mendaftar untuk divaksin.
“Di samping itu, kita juga menghantar nama-nama penerima kepada pihak Kesihatan Daerah,” jelasnya.
31 Jul 21
354
Polis Terengganu Bantu Komuniti Terjejas Di Pulau Redang
KUALA NERUS, 31 Julai – Polis Terengganu menggerakkan Operasi Bantu (Op Bantu) di Pulau Redang di sini bagi mengatasi kesukaran masyarakat untuk mendapatkan bekalan keperluan harian akibat keterbatasan pergerakan.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, operasi tersebut berjalan dengan penyaluran bantuan buat warga pulau terbabit melibatkan 40 buah rumah.
Sumber foto : Facebook Polis Terengganu
“Umum mengetahui, sumbangan ini adalah hasil kutipan elaun COVID-19 Pegawai Kanan dan Anggota Pangkat Rendah Polis Terengganu khusus bagi tujuan membantu mereka yang terkesan pandemik ini.
“Bantuan yang kami sampaikan ini adalah atas dasar semangat 'Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada', memandangkan ramai anggota masyarakat di pulau ini bergantung kepada sektor pelancongan, yang terjejas teruk akibat pandemik ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan, kelmarin.
Dalam pada itu, Datuk Rohaimi bersama rombongannya turut melawat Balai Polis Pulau Redang bagi menyampaikan barangan keperluan harian untuk kegunaan balai dan anggota.
“Bantuan sama turut disampaikan kepada tiga orang anggota RELA sebagai tanda menghargai jasa mereka sebagai sahabat barisan hadapan,” katanya lagi.
31 Jul 21
363
Projek KT Bypass Kini Dalam Proses Akhir
HULU TERENGGANU, 30 Julai - Projek Kuala Terengganu Bypass iaitu pembinaan jalan raya dari Kuala Ibai ke Durian Burung sejauh lebih kurang enam kilometer beserta dengan jambatan dan 'calvert' kini dalam proses untuk penyiapan akhir.
Pengerusi Jawatankuasa Insfrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau, Dr Mamad Puteh berkata, secara keseluruhannya projek itu telah dilaksanakan dalam 85 peratus dan dijangka siap pada Januari 2022.
"Kos membina jalan ini pada awalnya sebanyak RM160 juta, kemudian ditambah lagi RM60 juta dan menjadikan jumlah keseluruhan RM220 juta.
"Projek ini agak lambat disiapkan atas beberapa faktor seperti permasalahan dalam pengambilan tanah serta perubahan skop kerja yang berkaitan dengan tanah lembut dan beberapa perkara lain yang perlu dibuat," jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke tapak projek Kuala Terengganu Bypass, baru-baru ini.
Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kuala Berang, projek yang disiapkan kelak akan memudahkan orang ramai kerana ia dipanggil juga "jalan shortcut".
"Laluan orang ramai dari Pulau Rusa, Batu Enam tidak perlu lagi masuk kawasan Bandar Kuala Terengganu untuk ke Marang kerana boleh terus turun di Kuala Ibai.
"InsyaAllah, kita sama-sama doakan supaya projek ini dapat disiapkan dalam tempoh yang diberikan dengan baik agar kita semua dapat menggunakan lebuh raya tersebut," katanya.
30 Jul 21
1395
Ternak Lembu Tenusu Jana Pendapatan Lumayan
HULU TERENGGANU, 30 Julai- Usaha seorang lelaki menternak lembu tenusu berbaloi dengan pendapatan sebulan mencecah RM 3,000, apabila susu lembu segar yang dipasarkan mendapat sambutan penduduk sekitar yang mendapat pemintaan tinggi sehingga bekalan tidak mencukupi.
Rosli Mejah, 53, berkata, idea itu datang kerana dia melihat kebanyakan penternak di kampungnya tidak menternak lembu susu sebaliknya lebih kepada ternakan daging.
Dia yang menetap di Kampung Pengkalan Ajal kini mengusahakan lapan ekor lembu tenusu baka Jersey diimport dari Australia selain 30 lembu pedaging.
"Berbekal sedikit modal saya membeli lapan ekor lembu tenusu dengan dibantu sebahagiannya dari Jabatan Veterinar.
Katanya lagi, menternak lembu tenusu memerlukan perhatian lebih dan sistematik kerana haiwan itu tidak selesa jika hidup dalam kandang kotor.
“Kandang perlu dibersihkan setiap hari, begitu juga lembu tidak boleh kotor. Sebab itulah, saya membina lantai simen kukuh dan mudah dibersihkan, sistem longkang dan sistem buangan yang teratur.
"Sebab itulah, saya membina kandang lebih tinggi bagi membolehkan najis mudah dibersihkan,” katanya yang membelanjakan hampir RM30,000 sebagai modal permulaan.
Rosli berkata, proses memerah susu dibuat sekali sehari iaitu pada pagi kerana kegagalan memerah susu akan menyebabkan lembu akan sakit kerana ‘ambing’ susunya membengkak.
“Susu diperah dijual mentah terutama kepada pelanggan dari kampung kerana mampu bertahan tiga jam sebelum basi.
“Lembu tenusu perlu diberi makanan mencukupi termasuk dedak,rumput selain kacang soya untuk mengalakkan pengeluaran susu selain vitamin," tambah Rosli.
Katanya, ketika ini enam ekor lembu menghasilkan susu 25-30 kilogram sehari dengan secara purata setiap seekor mampu menghasilkan lima hingga sepuluh kilogram susu sehari.
“Susu yang diperah mampu bertahan kira-kira seminggu sekiranya disimpan di tempat sejuk, kalau sejuk beku, tempoh tahan adalah lebih lama.
“Kebiasaan untuk pelanggan yang jauh,susu berkenaan dimasuk ke dalam bekas dan disimpan dalam peti sejuk beku,” katanya.
Menurut Rosli, harga bagi sekilogram susu segar yang dijual adalah RM7.00
Ditanya mengenai harapan akan datang, Rosli berharap agar badan-badan kerajaan berkaitan dapat membantu beliau daripada segi modal membeli lembu.
“Kalau boleh memang sasar nak bela kira-kira 100 ekor lembu dan luaskan pasaran susu ini,” katanya.
Bagi sesiapa yang berminat untuk mendapatkan susu segar dari Rosli, boleh hubungi beliau di talian 011-10948913.
30 Jul 21
845