lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

PKPD Kampung Teluk Menara, 1,240 Penduduk Jalani Saringan
PKPD Kampung Teluk Menara, 1,240 Penduduk Jalani Saringan
KUALA TERENGGANU, 25 Julai - Kampung Teluk Menara, Manir dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 27 Julai sehingga 9 Ogos.  Menurut Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu dibuat oleh Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). "Setelah mengambil kira penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19, kerajaan bersetuju untuk mengenakan PKPD di lokaliti-lokaliti terbabit," jelasnya dalam satu kenyataan media pada Ahad. Sementara itu berdasarkan infografik di laman Facebook Jabatan Kesihatan Negeri, sebanyak 44 kes positif Covid-19 direkodkan dalam Kluster Teluk Menara dengan empat kes baharu, hari ini.  Kluster komuniti itu didaftarkan sejak Jumaat lalu difahamkan gara-gara merentas daerah.  Dalam pada masa yang sama, seramai 1,240 penduduk Kampung Teluk Menara di Manir di sini diarahkan menjalani saringan bersasar Covid-19 selama dua hari, bermula hari ini.  Setiausaha Masjid Kampung Teluk Menara, Roslan Mat berkata, beliau bersyukur kerana penduduk kampung memberi kerjasama baik dengan tampil secara  sukarela tanpa dikerah pihak berkuasa seperti yang berlaku di beberapa penempatan lain sebelum ini. "Pada hari ini, 600 orang telah selesai ujian saringan itu pada hari pertama manakala baki akan disambung esok,"katanya.  
25 Jul 21
1728
Kerajaan Negeri Peruntuk RM1 juta Perkayakan Sumber Laut
Kerajaan Negeri Peruntuk RM1 juta Perkayakan Sumber Laut
MARANG, 24 Julai – Kerajaan negeri memperuntukkan RM1 juta bagi pembinaan 45 tukun tiruan rekreasi yang akan memperkayakan sumber marin. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pembinaan tukun tersebut juga bertujuan untuk mengawal tangkapan hidupan laut secara rekreasi. “Insya-Allah kita letak sasaran sebelum bulan Oktober 2021 untuk selesaikan program melabuhkan tukun ini di perairan Terengganu  “Ia akan melibatkan beberapa daerah bermula dari Kemaman sehingga Besut, khususnya kepada zon tangkapan nelayan pantai 5 batu nautika daripada pesisiran pantai,” katanya. Beliau berkata demikian selepas kerja melabuh tukun tiruan konservasi di perairan Pulau Kapas, pagi tadi. Tambahnya lagi, usaha lain seperti program unjang komuniti bersama nelayan setempat dan melabuhkan bot-bot nelayan asing yang dirampas sebagai inisiatif menambahkan sumber perikanan. “Kita juga telah bekerjasama dengan pihak PETRONAS dan Jabatan Perikanan, komponen pelantar yang telah dinyahtauliahkan (Rig-To-Reef) telah dijadikan tukun dan dilabuhkan pada tahun 2017 berdekatan Pulau Kapas, Marang, Terengganu,” katanya. Untuk rekod, laporan diterbitkan pada 2020 mendapati terdapat antara 129 sehingga 6,047 kilogram biomass ikan direkodkan pada satu tapak tukun tiruan dengan nilai sumber tertinggi berjumlah RM 84,759.60 (Muhammad Amirullah Al Amin Ayob et. Al, 2020. Jabatan Perikanan Malaysia).
24 Jul 21
262
12 Tukun Tiruan Konservasi Pulihara Ekosistem Marin
12 Tukun Tiruan Konservasi Pulihara Ekosistem Marin
MARANG, 24 Julai – Sebanyak 12 tukun tiruan konservasi telah dilabuhkan di kawasan perairan taman laut Pulau Kapas bertujuan untuk pemuliharaan khazanah laut sekali gus memberi manfaat jangka masa panjang kepada nelayan. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, tukun di bawah peruntukan kerajaan persekutuan sebanyak RM300,000 itu akan menjadi tempat pembiakan kepada pelbagai spesis ikan. “Ramai penggiat laut bertanya justifikasi labuhkan di kawasan yang tidak boleh memancing, jawapannya tukun bertindak sebagai rumah kepada hidupan lautan yang kemudian akan keluar ke laut untuk jadi rezeki tangkapan akan datang. “Spesifikasi 12 tukun tiruan ini adalah berat sekitar 17 tan dibuat daripada bahan konkrit gred 35 akan bertahan di dasar laut sekitar 50 tahun. “Ia turut berfungsi sebagai zon penampan untuk pukat tunda menghalang kepada pencerobohan di kawasan ini,” katanya ketika ditemubual pemberita selepas kerja melabuh tukun konservasi di perairan Pulau Kapas, pagi tadi. Turut hadir, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Terengganu, Tun Ahmad Faisal Tun Abd Razak, Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Ruzaidi Mamat dan Pengarah Pertanian Negeri Terengganu, Zulkipli Amin Mat Jusoh. Tambah Dr Azman, jangkaan hasil tukun tiruan tersebut akan mengambil masa dalam beberapa bulan untuk ditumbuhi hidupan laut dan spesis marin. “Sejak tahun 2006 lagi, banyak tukun konservasi telah membuahkan hasil dan pelbagai kejayaan yang boleh didokumentasikan termasuk hasil spesis ikan gred A yang bertandang dan menjadikannya sebagai tempat perlindungan,” jelasnya lagi.
24 Jul 21
412
391 Kes, Angka COVID-19 Terengganu Semakin Membimbangkan
391 Kes, Angka COVID-19 Terengganu Semakin Membimbangkan
KUALA TERENGGANU, 22 Julai – Kes positif harian COVID-19 di Terengganu semakin membimbangkan selepas mencatatkan 391 kes baharu hari ini dan 171 semalam. Menurut laporan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, daerah Dungun mencatatkan jumlah kes tertinggi dengan 203 kes diikuti Marang (99 kes) dan Kemaman (56 kes). Ini menjadikan jumlah kumulatif kes sehingga kini sebanyak 13,548 kes. “Data saringan kluster sehingga semalam turut merekodkan 32 kes baharu melibatkan 11 kluster di dalam negeri, kluster terbaharu dicatatkan sehingga 12 tengah hari tadi adalah Kluster Padang Pulut. “Manakala jumlah kematian harian adalah 3 orang dengan kes yang sedang dirawat adalah seramai 1,201 orang,” katanya menerusi Facebook rasminya, petang tadi. Tambah kenyataan itu lagi, kategori kes positif tertinggi adalah melibatkan kategori satu menunjukkan 336 kes diikuti kategori 2 (48 kes) dan kategori tiga (7 kes). Susulan itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tiga lokaliti di Mukim Sura, Dungun, yang dijadualkan tamat esok akan dilanjutkan. “Ini membabitkan lokaliti Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Gong Pasir, Kampung Gong Pasir dan Taman Maidam dilanjutkan bermula 24 Julai sehingga 6 Ogos depan," jelasnya. Dalam pada itu, dua lokaliti di Mukim Bandi, daerah Kemaman dan 10 lokaliti dalam Mukim Kuala Dungun juga sedang menjalani PKPD yang berkuatkuasa semalam sehingga 3 Ogos.
22 Jul 21
1983
300 Pemain Industri Pelancongan Tasik Kenyir Terima Vaksin
300 Pemain Industri Pelancongan Tasik Kenyir Terima Vaksin
HULU TERENGGANU, 22 Julai - Seramai 300 individu yang terlibat dalam industri pelancongan di Tasik Kenyir, di sini, termasuk 200 penduduk sekitar mula menerima suntikan vaksin Covid-19, hari ini. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata pemberian vaksin kepada kumpulan itu dilihat dapat membantu memulih dan merancakkan semula sektor pelancongan yang terjejas teruk. "Langkah itu juga membantu meningkatkan keyakinan pelancong untuk bercuti dan mendapatkan perkhidmatan ditawarkan pemain-pemain industri pelancongan di Tasik Kenyir. "Tasik Kenyir merupakan salah satu produk pelancongan yang sangat popular di Terengganu, dan sekiranya berjaya mencapai status imuniti kelompok, maka ia dapat merancakkan kembali sektor pelancongan yang terjejas teruk akibat penularan wabak COVID-19," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita di Program Outreach Vaksinasi Sektor Pelancongan di Tasik Kenyir, hari ini. Turut hadir, Ahli Parlimen Hulu Terengganu merangkap Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Rosol Wahid dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Dato' Razali Idris. Sementara itu, Razali berkata pihaknya sentiasa bersedia dalam mempromosikan kembali pelancongan di Tasik Kenyir agar kembali rancak dengan kehadiran pelancong pada bila-bila masa sahaja.  
22 Jul 21
404
Anak Perantau Terima Sumbangan Daging Korban
Anak Perantau Terima Sumbangan Daging Korban
HULU TERENGGANU, 22 Julai - Seramai 70 anak perantau Dewan Undangan Negeri(DUN) Ajil di sekitar Lembah Kelang menerima sumbangan berupa daging korban dari wakil rakyatnya sempena sambutan Hari Raya Aidiladha di sini semalam. Sekretariat program,Mohd Fauzi Ismail, 38, berkata sumbangan lembu dari ADUN Ajil, Ustaz Maliaman Kassim telah diuruskan oleh syarikat Al Ahzar Care. "Daging korban yang melibatkan seekor lembu ini diagihkan kepada anak perantau di sekitar Lembah Kelang. "Aktiviti ini pertama kali dilakukan tahun ini menggambarkan keprihatinan dan tanda ingatan untuk anak perantau yang tidak dapat pulang menyambut hari raya korban bersama keluarga di kampung yang mana kita harapkan ia terus kekal dan jalinan erat antara pemimpin dan rakyat di sini,” katanya kepada pemberita ketika dihubungi. Seorang penerima agihan daging korban berkenaan, Pegawai Waran Satu, Aida Azma Md Nor, 38, yang berasal dari Felda Jerangau Barat merasa terharu kerana pertama kali menerima daging korban dari seorang ADUN. "Jutaan terima kasih diucapkan kepada YB dan team kerana atas kiriman daging korban ini. “Walaupun tidak dapat balik kampung di musim pandemik ini tapi adanya daging korban ‘fresh’ dari Terengganu dapat mengubat rindu pada kampung halaman yang sekian lama tidak boleh balik. Pemberian ini amat bermakna bagi saya," katanya yang bertugas di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan sejak dua tahun lepas. Bagi Mohd Nor Hairi Jusoh, 38, berkata inisiatif tersebut amat bermakna, walaupun hanya sekilo daging korban tetapi ingatan dari pemimpin yang juga bekas guru yang mengajar dirinya semasa beliau menuntut di SMK Landas. "Saya sangat bersyukur kerana kami diingati dan ini adalah sumbangan pertama yang kami perolehi dari Terengganu dan sedikit sebanyak kami dapat menikmati daging korban seisi keluarga," katanya yang merupakan anggota polis. Manakala seorang usahawan, Mohd Kamaruzaman Kasim, 36, pula menyifatkan sumbangan daging korban itu sangat bermakna. “Asalnya untuk diagihkan kepada yang berada di sekitar Shah Alam sahaja, namun disaat akhir pengagihan, kita berjaya agihkan kepada perantau Ajil yang berada di lembah klang. "Walaupun tak semua, tapi 95 peratus agihan berjaya dilaksanakan dan terima kasih kepada semua yang menjayakannya,"katanya.  
22 Jul 21
744
Penggiat Pelancongan Perlu 'Bersedia' Sebelum Dibenar Beroperasi
Penggiat Pelancongan Perlu 'Bersedia' Sebelum Dibenar Beroperasi
HULU TERENGGANU, 22 Julai - Kerajaan negeri akan memastikan semua pemain industri pelancongan di Terengganu menerima suntikan vaksin COVID-19 sebagai persediaan sekiranya sektor itu dibuka kembali. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata ia sekali gus dapat memberi kenyakinan kepada pelancong untuk melancong dengan selamat ke destinasi pilihan mereka. Menurutnya, program vaksinasi terhadap golongan terbabit melibatkan lebih 5,000 pemain industri pelancongan dan penduduk di Pulau Kapas, Pulau Redang, Pulau Perhentian, Pulau Tenggol dan Tasik Kenyir. "Program vaksinasi kepada penggiat industri pelancongan dijangka selesai sepenuhnya sebelum akhir bulan Ogos bagi mencapai status imuniti berkelompok. "Ia merupakan satu persiapan penting bagi merancakkan semula sektor pelancongan tempatan yang terjejas teruk ekoran pandemik Covid-19," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita di Program Outreach Vaksinasi Sektor Pelancongan di Tasik Kenyir, hari ini. Turut hadir, Ahli Parlimen Hulu Terengganu merangkap Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Dato' Rosol Wahid dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah)  Dato'  Razali Idris. Tambahnya lagi, program outreach vaksinasi pelancongan telahpun bermula di Pulau Kapas dan kini diteruskan Tasik kenyir, Pulau Redang, Pulau Perhentian dan Pulau Tenggol. "Kita amat berharap pembukaan industri pelancongan akan dapat mengimbangi kerugian, sekali gus meningkatkan pendapatan mereka yang terjejas di kawasan pulau berkenaan," katanya.  
22 Jul 21
91
2 Lembu Sado Antara Korban Buat Rakyat Kuala Nerus
2 Lembu Sado Antara Korban Buat Rakyat Kuala Nerus
KUALA NERUS, 22 Julai - Musim perayaan Aidiladha bagi penduduk sekitar Parlimen Kuala Nerus meriah dengan sumbangan dua ekor lembu baka Charolais, dikenali sebagai lembu sado untuk dijadikan korban. Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mengharapkan, bantuan disalurkannya itu mampu memberi keceriaan kepada komuniti setempat meskipun menyambutnya dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). “Melalui program korban ini, daging daripada lembu yang beratnya sekitar 500 kilogram dapat diagihkan kepada lebih kurang 4,000 orang di sekitar parlimen ini. “Kesemua lembu yang dikorban berjumlah 17 ekor adalah sebagai inisiatif menyantuni penduduk dan pelbagai agensi di sini serta menjalani ibadah korban. “Melalui wadah ini, ia dapat memupuk nilai kasih sayang dengan memberi serta berkongsi rezeki kepada semua, sama ada mereka yang kurang berkemampuan, ataupun golongan berada,” katanya ketika ditemubual pemberita. Menurut beliau, tumpuan utamanya adalah usaha meringankan beban penduduk terjejas terutamanya golongan B40 yang perlu diberi perhatian terutamanya semasa musim pandemik. “Kita fokus kepada golongan terkesan teruk, kerana ini adalah sebahagian daripada program bantuan kepada komuniti bagi membantu mereka mengharungi kekangan semasa. “Sebagai contohnya pada Jun lalu, kita telah mengagihkan bakul makanan sekitar lebih kurang 8,000 unit kepada keluarga yang memerlukan,” jelasnya. Tambahnya lagi, bagi mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP), agihan daging korban berkenaan diagihkan secara pandu lalu, di hadapan Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Kuala Nerus.  
21 Jul 21
435
Pasar Besar Dungun Cetus Kluster Baharu, Diarah Tutup
Pasar Besar Dungun Cetus Kluster Baharu, Diarah Tutup
DUNGUN, 21 Julai - Pasar Besar Dungun diarahkan tutup bermula hari ini sehingga 3 Ogos bagi mengekang penularan wabak dan kluster COVID-19. Analisa Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan semalam melaporkan, Kluster Pasar Besar Dungun melibatkan pekerja-pekerja di sebuah pasar awam yang terletak di daerah itu. "Kes indeks bagi kluster ini merupakan Kes No. 905712, perempuan, warganegara Malaysia berumur 42 tahun yang dilaporkan positif COVID-19 pada 17 Julai 2021 hasil saringan individu bergejala. "Sehingga kini, enam kes baharu dikesan manakala jumlah kes positif adalah 51 orang, jumlah saringan yang dijalankan adalah seramai 159 orang sehingga 20 Julai," katanya dalam satu kenyataan. Menurut kenyataan itu lagi, kes mengalami gejala bermula pada 9 Julai 2021. Sementara itu, notis penutupan sementara oleh Majlis Perbandaran Dungun (MPD) itu juga dilaksanakan di premis dan perkhidmatan pengoperasian dan pentadbirannya sehingga 30 Julai.  
21 Jul 21
2641
Kadar Kebolehjangkitan COVID-19 Terengganu Melebihi RT Negara
Kadar Kebolehjangkitan COVID-19 Terengganu Melebihi RT Negara
KUALA TERENGGANU, 22 Julai - Terengganu merekodkan kadar kebolehjangkitan (RT) COVID-19 tertinggi iaitu 1.31 manakala Malaysia terus catat penurunan untuk hari kelima berturut-turut dengan angka terbaharu, 1.09. Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, negeri ini turut mencatatkan sejumlah 171 kes harian virus baharu semalam menjadikan jumlah keseluruhan kes positif 13,158. Menurutnya, selain Terengganu, tiga lagi negeri yang turut merekodkan nilai RT tertinggi adalah Kedah (1.25), Sabah (1.21), Pulau Pinang (1.21) dan Johor (1.20). "Manakala negeri pantai timur lain seperti Pahang (1.19) dan Kelantan (1.18)," katanya menerusi kenyataan di Twitter rasminya, semalam. Katanya, berdasarkan Model SEIR Unjuran dan Pemerhatian Kes Harian Covid-19, nilai RT negara akan meningkat kepada 1.2 dengan kes harian baharu mencapai 13,000 jika berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP). Terdahulu, kadar kebolehjangkitan terendah yang pernah direkodkan tahun ini adalah 0.81 pada 3 Mac lalu manakala yang tertinggi dicatatkan 1.21 pada 23 Mei. Nilai R-naught merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus, iaitu berapa ramai individu yang boleh dijangkiti oleh satu kes positif.
21 Jul 21
660