Artikel "Semasa" Terkini
COVID-19 : Kes Kategori 3, 4, 5 Menurun Hasil Vaksinasi
KUALA TERENGGANU, 4 Ogos - Hasil vaksinasi di Terengganu menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) berjaya mengurangkan kes serius COVID-19 yang tergolong dalam kategori 3, 4 dan 5, meskipun kes harian kekal tiga angka.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, berita baik tersebut menunjukkan majoriti kes harian hanya melibatkan kategori 1 dan 2 iaitu tidak bergejala atau bergejala ringan.
“Ini menggambarkan kesan vaksinasi dalam menangani kes sederhana dan teruk.
“Contohnya, kes kategori 5 yang memerlukan unit rawatan rapi (ICU) dan bantuan pernafasan menurun daripada 0.7 peratus (12 Julai) hingga tiada kes (2 Ogos).
“Bagi kategori 4, pada 12 Julai ia mencatatkan 6.4 peratus kemudian berkurang kepada 0.5 peratus (2 Ogos) daripada jumlah kes harian, sama seperti kategori 3 yang juga mencatatkan hanya 0.5 peratus pada 2 Ogos,” katanya ketika bersiaran secara langsung di TVDI, semalam.
Katanya, secara purata kategori 3 dan 4 adalah kira-kira 2.1 peratus sahaja daripada kes harian yang selebihnya memadai dipulihkan di Pusat Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC).
“Ini satu perkembangan penting, semakin tinggi vaksinasi semakin berkurang kes kritikal ke hospital,” katanya lagi.
Beliau turut menasihati agar seluruh masyarakat yang mendapat temujanji vaksin agar menghadiri sesi yang telah ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Ini bagi mengelakkan agar Pusat Pemberian Vaksin (PPV) kita tidak sesak, jadi ikutilah jadual ditetapkan, jangan temujanji pukul dua, kita datang pagi,” jelasnya.
Menurut laporan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKVAV) sehingga 2 Ogos, Terengganu mencatatkan 28.1 peratus (353,511 orang) yang telah disuntik dos pertama, manakala 17.7 peratus (223,227 orang) telah selesai dua dos suntikan.
04 Aug 21
424
MOVAK Sasar 3,500 Penduduk Luar Bandar Di Hulu Terengganu Divaksinasi
HULU TERENGGANU, 3 Ogos - Pelaksanaan Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) di daerah ini bakal memastikan seramai 3,500 penduduk beberapa kampung di kawasan pedalaman menerima vaksin Covid-19, bulan ini.
Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato' Rosol Wahid berkata, inisiatif digerakkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersama Jabatan Perpaduan Negara itu sekali gus akan membolehkan pihaknya mencapai sasaran 80 peratus imuniti berkelompok menjelang bulan depan.
Katanya, pendekatan suntikan menggunakan bas bergerak amat dialu-alukan bagi meningkatkan lagi kadar vaksinasi di daerah Hulu Terengganu yang masih perlahan.
"Sasaran itu berdasarkan tujuh program MOVAK yang akan diteruskan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Tadok, SK Tapah, SK Tok Randok, SK Getang, SK Kua dan SK Binjai Kertas.
"Berdasarkan rekod, penerima dos pertama vaksin Covid-19 kini mencecah 22 peratus manakala yang sudah lengkap dua dos sebanyak 36 peratus.
"Dengan kemudahan MOVAC, masyarakat di pedalaman tidak lagi berdepan masalah untuk hadir janji temu vaksin berikutan isu jarak dan pengangkutan kerana perkhidmatan ini dibawa ke lokasi kediaman mereka," katanya.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)berkata kepada pemberita selepas meninjau Program MOVAK di Sekolah Kebangsaan Felda Bukit Bading di sini hari ini.
Dalam program julung kali hari ini, seramai 360 penduduk selesai menerima vaksinasi dos pertama berkenaan.
Tambahnya, selepas ini pihak kesihatan akan gunakan perkhidmatan rumah ke rumah bagi mereka yang terlantar untuk vaksinasi.
03 Aug 21
488
Mukim Manir, Dua Lokaliti Kemaman Dikenakan PKPD
KUALA TERENGGANU, 3 Ogos - Dua lokaliti dan satu mukim dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuat kuasa Khamis ini hingga 18 Ogos depan, kata Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Beliau dalam kenyataan mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) hari ini memaklumkan keputusan itu dibuat setelah meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19.
"Dua lokaliti di Bukit Kuang, Mukim Telok Kalong, Kemaman, yang dikenakan PKPD ialah Taman Rakyat Bestari Fasa 1-4 dan Rumah Awam Kos Rendah 1 dan 2.
"Sementara itu, seluruh Mukim Manir, Kuala Terengganu turut dikenakan PKPD sehingga 18 Ogos hadapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob melaporkan dua lokaliti di Mukim Bandi, daerah Kemaman dan 10 lokaliti dalam Mukim Kuala Dungun dilanjutkan sehingga 16 Ogos (Mukim Kuala Dungun) dan 17 Ogos (Mukim Bandi) depan.
Pelaksanaan PKPD ini, jelas Hishammuddin adalah untuk mengawal pergerakan penduduk dan mengurangkan jangkitan dalam komuniti.
Selain itu katanya, PKPD akan memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas penduduk di lokaliti tersebut.
"Prosedur operasi standard (SOP) bagi semua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini. Maklumat lanjut boleh diakses di laman sesawang MKN di www.mkn.gov.my," jelasnya.
03 Aug 21
2247
Kerajaan Negeri Nafi 39 Varian Delta Dikesan Di Kuala Ibai
KUALA TERENGGANU, 3 Ogos - Kerajaan negeri menafikan mesej yang tersebar di media sosial mendakwa kononnya terdapat 39 pesakit COVID-19 varian Delta dikesan di sekitar kawasan perumahan Kuala Ibai.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, dakwaan yang tular menerusi media sosial itu, bukan sahaja tidak benar malah tidak bertanggungjawab.
"Memang kita ada hantar beberapa sampel kepada makmal di Kuala Lumpur dan masih menunggu keputusan 'penjujukan genom' yang dijalankan.
"Ia penting untuk mengenal pasti sama ada masih berlaku jangkitan COVID-19 varian Delta di Terengganu selain dua kes yang dilaporkan sebelum ini. Namun, yang pasti maklumat mengenai 39 pesakit varian Delta itu adalah tidak benar sama sekali.
"Bagaimanapun, masyarakat diminta supaya berhati-hati dan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat bagi mengelakkan apa jua kemungkinan selain memutuskan rantaian penularan Covid-19," katanya ketika dihubungi.
Sejak kelmarin, tular di media sosial termasuk kumpulan WhatsApp yang mendakwa varian Delta sudah merebak di Kuala Terengganu dengan memetik nama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Maklumat yang tular itu mendakwa ujian saringan bersasar Covid-10 akan dilaksanakan terhadap seluruh penduduk Kampung Kuala Ibai dan perumahan Kondo Rakyat malam ini berikutan 39 kes varian delta yang dikesan di lokaliti itu.
Selain menyarankan orang ramai berhati-hati, maklumat itu turut mendakwa Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di kedua-dua lokaliti berkenaan.
Berdasarkan situasi terkini Covid-19, dikeluarkan Jabatan Kesihatan negeri (JKNT) hari ini, Terengganu mencatatkan sebanyak 429 kes.
03 Aug 21
817
Gerobok Rezeki Hotel Primula 'Hadiah' Kecil Buat Yang Memerlukan
KUALA TERENGGANU, 3 Ogos -Prihatin terhadap masyarakat yang terkesan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)dan kehilangan punca pendapatan mendorong Primula Beach Hotel mengambil inisiatif mewujudkan projek Gerobok Rezeki bagi membantu mereka mendapatkan barangan keperluan harian secara percuma.
Pengurus Besarnya, Suaibah Harun, berkata ia bertujuan membantu mereka terutama ketua keluarga yang terputus atau kekurangan bekalan makanan keperluan harian untuk kelangsungan hidup.
Katanya, Gerobok Rezeki beroperasi dengan menerima sejumlah barangan keperluan asas daripada warga kerja Primula Beach Hotel bermula 1 Ogos baru-baru ini.
"Seterusnya, pihak hotel mengumpulkan barangan tersebut dan mengagihkannya ke masjid-masjid dan surau-surau tertentu di sekitar daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Marang.
"Kami juga tidak menetapkan had kapasiti barangan keperluan asas yang perlu disumbangkan dan ia terpulang kepada pihak masjid dan surau untuk menguruskannya," katanya ketika dihubungi.
Menurut beliau, antara barangan keperluan harian yang disediakan termasuklah beras, minyak masak, tepung gandum, gula, ikan sardin, mee segera dan lain-lain.
Jelasnya, pengagihan barangan keperluan asas itu dimulakan ke Surau Tahfiz Darul Ulama Marang, Masjid Jamek Kampung Paloh Kuala Terengganu dan Masjid Kampung Seberang Takir Kuala Nerus .
Justeru itu katanya, beliau berharap program Primula Gerbok Rezeki dapat membantu golongan yang tidak berkemampuan dan membuka peluang buat mereka yang ingin menghulurkan bantuan dengan cara yang mudah.
03 Aug 21
1480
KPDNHEP Cadang Kit Ujian COVID-19 Sebagai Barang Kawalan
HULU TERENGGANU, 3 Ogos - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kini dalam proses menjadikan kit ujian COVID-19 sebagai barang kawalan di negara ini.
Timbalan Menterinya, Dato' Rosol Wahid berkata cadangan itu berdasarkan maklum balas yang diterima dari orang ramai ketika ini, harga kit ujian tersebut agak membebankan terutama pada golongan berpendapatan rendah.
"Kita dapat maklumat harganya RM39.90 setiap satu, tidak ramai yang mampu membelinya jadi ia akan membebankan pengguna sekiranya terpaksa membeli lebih dari satu unit sekiranya mempunyai ahli keluarga ramai.
"Jadi, kita sedang buat advokasi dengan pengilang, pengimport dan penjual untuk dapatkannya pada harga yang munasabah agar pelaksanaan ini tidak merugikan peniaga dan tidak bebankan rakyat.
"Kita harap harganya nanti akan mampu dibeli oleh semua orang....di samping itu peranan kita juga adalah untuk pastikan kit ujian ini tidak ada yang tiruan. Kita bimbang ada yang cuba hasilkan barang tiruan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) di Sekolah Kebangsaan Felda Bukit Bading di sini hari ini.
Seramai 360 penduduk felda tersebut menerima vaksin COVID-19 mereka melalui program tersebut.
Tambahnya lagi, jika sudah diwartakan di bawah Akta Kawalan Harga 1946, tindakan boleh diambil kepada pembekal yang menaikkan harga sewenang-wenangnya.
03 Aug 21
194
70 'Barber' Dapat Bantuan RM200
HULU TERENGGANU, 3 Ogos - Sebanyak RM14,000 telah diperuntukkan oleh Parlimen Hulu Terengganu bagi bantuan kewangan khas untuk tukang gunting rambut yang terjejas teruk sejak penularan pandemik koronavirus (Covid-19).
Ahli Parlimennya, Dato' Rosol Wahid berkata, bantuan berupa wang tunai RM200 tersebut disalurkan kepada 70 tukang gunting rambut yang berdaftar
"Ia bagi membantu mereka berdepan cabaran Covid-19 khususnya ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 apabila perkhidmatan salon dan gunting rambut tidak dibenarkan beroperasi.
"Dan kini mereka telah dibenarkan kembali beroperasi tetapi dalam situasi yang agak sukar jadi kita tolong meringankan beban mereka sebelum perniagaan kembali stabil," ujarnya kepada pemberita selepas agihan bantuan kepada 'barber', semalam.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Tukang Gunting Daerah Hulu Terengganu, Abdul Hafiz Abdullah, 33, berkata sumbangan tersebut merupakan satu penghargaan buat mereka yang hanya bergantung kepada hasil gunting rambut.
Katanya, kebanyakan pengusaha kedai gunting terdiri daripada kalangan belia yang berusia 30 tahun ke bawah di samping mereka yang baharu memasuki alam pekerjaan.
"Secara keseluruhannya tukang gunting rambut adalah golongan berpendapatan harian, dibayar mengikut bilangan orang yang mereka telah gunting rambut.
"Apabila ada pihak yang tampil memberikan bantuan, orang seperti kami amat berasa lega dan menghargainya," ujarnya lagi.
Tambah Abdul Hafiz, dia berharap situasi Covid-19 akan bertambah baik bagi membolehkan rakyat termasuk golongan peniaga dapat memulihkan kembali ekonomi seperti biasa sebelum wabak pandemik melanda.
03 Aug 21
273
PKPD : Jawatankuasa Khas Pelihara Kebajikan PAKR Anak Ikan
BESUT, 3 Ogos - Kerajaan negeri telah menubuhkan satu jawatankuasa khas penyelarasan berperanan memelihara kebajikan penduduk terkesan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Anak Ikan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata, penubuhan tersebut turut berperanan memastikan 722 orang masyarakat berumur mulai satu hingga 80 tahun ke atas tidak tercicir.
“Bantuan sewajarnya akan diagihkan kepada 152 ketua isi rumah (KIR) PAKR Anak Ikan sepanjang PKPD dilaksanakan sehingga 16 Ogos di kawasan tersebut jadi penduduk tidak perlu bimbang.
“Semoga dapat bersabar warga PAKR Anak Ikan Jabi. Tempoh sukar dua minggu ini insya-Allah kita lalui bersama. kebajikan adik kakak semua keutamaan kami,” katanya menerusi Facebook rasminya, petang semalam.
Dalam perkembangan sama, seramai 500 penduduk Kampung Anak Ikan di Besut telah diarahkan menjalani ujian saringan COVID-19 bagi memastikan penularan wabak dikawal.
Kerja saringan selama dua hari bermula Isnin sehingga Selasa itu berikutan kedudukan kampung tersebut berdekatan dengan PAKR Anak Ikan.
“Kira-kira 250 penduduk pada Isnin akan disaring di Dataran Masjid Kampung Anak Ikan manakala selebihnya pada Selasa.
“Saya harap semua penduduk dapat hadir menjalani ujian saringan ini sebagai salah satu langkah pencegahan awal.
“Bagi PAKR Anak Ikan pula, penduduk sudah jalani ujian saringan pada minggu lepas dan setakat ini saya dimaklumkan sebanyak 15 kes positif COVID-19 dikesan,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.
02 Aug 21
263
Mazlan Dilantik Naib Canselor UMT Berkuat Kuasa Esok
PUTRAJAYA, 1 Ogos – Prof Dr. Mazlan Abd. Ghaffar, 59, dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) baharu, berkuat kuasa esok.
Pelantikan beliau adalah bagi menggantikan Datuk Prof. Dr. Nor Aieni Mokhtar yang menerajui UMT selama enam tahun sejak tahun 2015.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dalam satu kenyataan berkata, Mazlan berkelayakan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam bidang Perikanan daripada Universiti Putra Malaysia.
Menurutnya, beliau juga memiliki Ijazah Sarjana Sains (Pesisir Topikal) daripada University Of Newcastle, England dan memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (Biologi dan Ekofisiologi Persekitaran Ikan) pada tahun 2001 daripada University of Wales, United Kingdom.
Bersesuaian dengan portfolio beliau dalam bidang penyelidikan dan inovasi, Mazlan juga katanya telah menggerakkan usaha mempergiatkan aktiviti penyelidikan khususnya di UMT melalui pelbagai pencapaian di peringkat institusi.
“Antara lainnya ialah pengiktirafan AKUATROP sebagai HiCOE kedua di UMT, mengetuai projek khas LRGS hasil kerjasama dengan beberapa buah Universiti Awam iaitu ‘Ocean Climate Change: Potential Risk, Impact and Adaptation Towards Marine and Coastal Ecosystem Services in Malaysia’ dan mewujudkan dana khas penyelidikan UMT berjumlah RM3 juta,” katanya.
Noraini berkata, Mazlan turut serta menubuhkan Bahagian Inovasi dan Pengkomersialan di UMT dengan matlamat utama mengenal pasti penyelidikan berpotensi untuk didaftarkan sebagai harta intelek dan seterusnya dikomersialkan.
“Melalui inisiatif ini, sebanyak 105 harta intelek berjaya dihasilkan yang menyumbang kepada penjanaan pendapatan UMT bagi tahun 2020.
“Beliau juga menganggotai beberapa pertubuhan antarabangsa seperti Ichthyological Society of Japan, Marine Biology Association of United Kingdom, Asean Fisheries Society dan Taiwan Oceanography Society,” katanya.
Sementara itu, Noraini berkata, dengan visi untuk meneraju UMT sebagai universiti berfokus yang cemerlang dengan bidang tujahan utama sains marin, beliau percaya Mazlan mampu menggalas tanggunjawab dan meneruskan kesinambungan kecemerlangan kepimpinan UMT.
Pada masa sama, Noraini turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Nor Aieni atas segala jasa bakti beliau. -K! ONLINE
01 Aug 21
679
Lagi 21 Lokaliti Di Terengganu Dikenakan PKPD
KUALA TERENGGANU, 1 Ogos - Kerajaan hari ini mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 21 lokaliti melibatkan tiga mukim bagi mengawal penularan COVID-19, bermula 3 Ogos hingga 16 Ogos ini.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata mukim yang terlibat ialah Mukim Jabi yang melibatkan lokaliti Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Anak Ikan di Besut.
"Sementara itu, dua mukim di Dungun yang melibatkan sembilan lokaliti di Mukim Kuala Dungun iaitu Kubang Miang, Teratai, Teluk Lipat, Alor Tembesu, Sura Utara, Batu 48, Sura Gate, Bukit Chatak dan Tembesu Akar.
"Manakala di Mukim Sura sebanyak 11 lokaliti terlibat dengan pelaksanaan PKPD iaitu Batu 5, Sura Tengah, Alor Tempoyak, Taman Rakyat Jaya, Taman Delima Batu 6, Balai Besar, Sura Melati, Batu 7, Paya Balai Besar, Pak Sabah dan Sura Lapangan Terbang.
"PKPD di kesemua lokaliti tersebut dilaksanakan setelah kerajaan meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan (KKM) dan menilai risiko serta trend jangkitan COVID-19," katanya dalam kenyataan media mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan PKPD, hari ini.
Pelaksanaan PKPD ini, jelas Hishammuddin adalah untuk mengawal pergerakan penduduk dan mengurangkan jangkitan dalam komuniti.
Selain itu katanya, PKPD akan memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas penduduk di 21 lokaliti tersebut.
"Prosedur operasi standard (SOP) bagi semua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini. Maklumat lanjut boleh diakses di laman sesawang MKN di www.mkn.gov.my," jelasnya.
01 Aug 21
19137