lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Ismail Sabri Dilantik Sebagai Perdana Menteri Ke-9
Ismail Sabri Dilantik Sebagai Perdana Menteri Ke-9
KUALA TERENGGANU, 20 Ogos - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9. Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin menyatakan, keputusan itu ditetapkan Seri Paduka Baginda selepas Ismail Sabri menerima sokongan majoriti yang mencukupi iaitu seramai 114 Ahli Dewan Rakyat. "Susulan itu, Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima menghadap 114 Ahli Dewan Rakyat semalam, 19 Ogos 2021, untuk mengesahkan kepercayaan mereka ke atas ahli Dewan Rakyat yang telah dicalonkan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri. "Sehubungan dengan itu dan selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda telah berkenan melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9," katanya melalui  kenyataan rasmi di media sosial Istana Negara, hari ini. Tambah beliau, lstiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri pada esok (21 Ogos 2021), jam 2.30 petang, di lstana Negara. Kenyataan itu dikeluarkan pasca Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu yang berlangsung selama dua jam setengah bermula pada jam 2.30 petang tadi. Dalam perbincangan itu, Seri Paduka Baginda telah berkenan mewasalkan kepada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu proses pencalonan bakal Perdana Menteri baharu, susulan daripada peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 16 Ogos lalu. Istana Negara juga telah menerima pencalonan nama-nama bakal Perdana Menteri daripada 220 Ahli-ahli Dewan Rakyat, masing-masing menerusi surat akuan (statutory declaration) pada 18 Ogos 2021 lalu.  
20 Aug 21
181
Kadar Vaksinasi Di Terengganu Meningkat Dua Kali Ganda
Kadar Vaksinasi Di Terengganu Meningkat Dua Kali Ganda
KUALA TERENGGANU, 19 Ogos – Terengganu mencatatkan peningkatan hampir dua kali ganda dalam pemberian dos vaksin harian berbanding minggu lepas, menurut laporan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKVAV). Berdasarkan sumber Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF), jumlah pemberian dos vaksin pada kelmarin adalah sebanyak 28,479 suntikan terdiri daripada 19,825 dos pertama dan 8,654 dos kedua. Ia merupakan kenaikan berbanding sejumlah 10,179 dos pada 9 Ogos lalu, menerusi pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK). Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, Terengganu yang kini mempunyai 25 lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) merupakan negeri ketiga tertinggi dalam suntikan vaksin pertama dibawah Johor (33,092 dos) dan Sabah (30,602 dos). “Kerajaan negeri bersama pelbagai pihak sedang ‘all out’ memastikan PICK diteruskan secepat dan sebaik mungkin melalui pelbagai PPV seperti program ‘Outreach’, Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK). “Jangkaan pada hujung bulan ini, kita akan mencapai 40 peratus (808,400 orang) lengkap vaksinasi bagi populasi dewasa dan mencapai nilai ambang salah satu indikator nilai ambang bagi peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN). “Sekitar Ogos juga, negeri ini akan menerima sebanyak 583,120 dos vaksin yang merupakan lagi berita baik buat masyarakat supaya dapat mencapai kelompok imuniti,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI, petang tadi. Secara keseluruhan, jumlah kumulatif pemberian dos pertama kini mencecah 41.2 peratus daripada jumlah populasi (518,691 dos pertama) manakala 24 peratus telah lengkap suntikan kedua-dua dos.  
19 Aug 21
1611
PKPD Di Mukim Manir Dan Telok Kalong Tamat Esok
PKPD Di Mukim Manir Dan Telok Kalong Tamat Esok
KUALA TERENGGANU, 17 Ogos- Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Mukim Manir,  Kuala Terengganu ditamatkan mengikut jadual, esok. Menurut kenyataan rasmi Majlis Keselamatan Negara (MKN), keputusan itu dibuat selepas penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Terdahulu, pada 5 Ogos lalu, polis menutup lapan jalan utama dan mengenakan satu sekatan jalan raya (SJR) di Mukim Manir bagi mengawal pergerakan keluar dan masuk kenderaan di kawasan PKPD itu. Sementara itu, MKN turut memaklumkan, PKPD yang dikuatkuasakan di dua lokaliti di Bukit Kuang, Mukim Telok Kalong, Kemaman dalam tempoh yang sama iaitu dari 5 Ogos hingga 18 Ogos turut ditamatkan seperti dijadualkan. "Ia melibatkan Taman Rakyat Bestari Fasa 1–4 dan Rumah Awam Kos Rendah 1 dan 2," ujar kenyataan tersebut.
17 Aug 21
319
Kerajaan Perkemas Strategi Hidupkan Kembali Pelancongan Terengganu
Kerajaan Perkemas Strategi Hidupkan Kembali Pelancongan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 17 Ogos – Industri pelancongan dalam negeri ini sedang giat dihidupkan kembali menerusi beberapa strategi seperti pemvaksinan dan mengguna pakai teknologi digital. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, kebanyakan pengusaha pelancongan di pulau peranginan dan Tasik Kenyir mahu membuat persediaan lebih rapi di premis masing-masing dengan mengambil kira pelbagai aspek Prosedur Operasi Standard (SOP). "Ada pemilik premis yang maklumkan kepada saya mereka mahu pelancong yang datang untuk membuat ujian calitan terlebih dahulu sebagai langkah lebih berhati-hati kerana tidak mahu risiko premis ditutup selepas beroperasi kelak. "Begitu juga dengan pemantauan di jeti-jeti pelancongan yang akan dilakukan penguat kuasa di setiap daerah agar pelancong patuh SOP termasuk bilangan individu dalam bot mestilah mengikut kuota dibenarkan sahaja," katanya. Beliau berkata demikian ketika bersiaran langsung di Ruang Bicara terbitan Bernama TV, baru-baru ini. Sementara itu, Ariffin turut menceritakan usaha meningkatkan keyakinan orang ramai melalui inisiatif pemvaksinan agar datang bercuti ke Terengganu dan merancakkan kembali industri pelancongan domestik. “Orang ramai perlu diberi keyakinan bahawa semua penggiat industri telah menerima suntikan dos lengkap dan SOP yang ketat oleh penguat kuasa jabatan dan agensi kerajaan agar aktiviti pelancongan tidak menjadi punca kepada kluster baharu COVID-19. "Selain tumpuan program vaksinasi di pulau-pulau peranginan dan Tasik Kenyir, kita juga dimaklumkan oleh Persatuan Hotel Malaysia Cawangan Terengganu bahawa semua pekerja di hotel yang berdaftar juga sudah ada tarikh janji temu untuk menerima vaksin lengkap dalam masa terdekat,” tambahnya. Selain itu, Ariffin turut berkongsi, strategi kerajaaan negeri yang sedang menguji satu aplikasi teknologi Kecerdasan Buatan (AI) kesihatan dikenali sebagai AI Batuk. "Berdasarkan kajian, kes penularan COVID-19 di Terengganu berpunca daripada aktiviti rentas negeri, jadi kita mahu menggunakan teknologi AI Batuk ini di pintu sempadan negeri agar dapat mengesan tahap kesihatan seseorang individu itu lebih awal. "Sekiranya positif, individu itu perlu membuat rawatan terus ke fasiliti kesihatan berdekatan. "Ini antara usaha kerajaan negeri mengekang penularan virus dari luar Terengganu sekali gus meningkatkan kepercayaan orang ramai untuk melancong ke Terengganu," katanya lagi. Terdahulu, Perdana Menteri (Sementara), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan semua aktiviti pelancongan dalam negeri bagi negeri berada di fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan seterusnya dibenarkan membabitkan aktiviti di homestay dan hotel bermula 10 Ogos lepas.
17 Aug 21
349
Penyu Agar Bertelur Di Pantai Batu Buruk
Penyu Agar Bertelur Di Pantai Batu Buruk
KUALA TERENGGANU, 17 Ogos - Seekor penyu agar  berusia antara  15 hingga 18 tahun dikesan mendarat untuk bertelur berhampiran hotel Primula di Pantai Batu Buruk, di sini, semalam. Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat berkata, penyu berkenaan mula bertelur antara jam 7 petang dan 8.50 malam dengan jumlah telur sebanyak 49 biji. Katanya, telur penyu berkenaan dibawa ke Pusat Konservasi Dan Penerangan Penyu (TCIC) Rantau Abang, Dungun untuk proses pengeraman. "Berat dan saiz penyu tidak dapat ditentukan kerana  ibu penyu telah turun ke laut semasa pegawai tiba ke lokasi. " Namun, penyu dianggarkan berusia antara 15 - 18 tahun dan merupakan penyu muda berdasarkan pada saiz trek dan jumlah telur," ujarnya dalam satu kenyataan. Tambahnya, orang awam dinasihatkan untuk tidak mengganggu penyu semasa ia dalam perjalanan naik ke darat, semasa di darat atau turun semula ke laut.  Jelas beliau lagi, perbuatan tersebut boleh disabitkan kesalahan dibawah Seksyen 12B Enakmen Penyu 1951 (pindaan 1987) dan dikenakan hukuman denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua- duanya sekali jika sabit kesalahan. Sementara itu, Ketua Makmal Penyelidikan Luar, Institut Oseanografi dan Sekitaran Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Mohd Uzair Rusli berkata, kejadian itu memberikan mesej bahawa penyu sebenarnya bersedia untuk bertelur di sepanjang 225 km jajaran pantai dari Kemaman ke Besut, selain pantai-pantai di pulau yang menjadi lokasi popular penyu.  "Penyu agar naik ke pantai Batu Burok ni petanda pantai kita sudah sesuai dengan persarangan penyu kerana ia amat sensitif dan berhati-hati dalam memilih lokasi persarangan. "Berkemungkinan waktu sekarang aktiviti orang awam di pantai amat kurang menjadikan tiada gangguan kepada penyu menjadikannya pilihan untuk bertelur,"ujarnya.  
17 Aug 21
960
Peniaga Kedai Pakaian Lega Premis Boleh Operasi
Peniaga Kedai Pakaian Lega Premis Boleh Operasi
KUALA NERUS, 15 Ogos – Pembukaan lebih banyak sektor perdagangan dan pengedaran yang berkuat kuasa pada semalam bukan sahaja melegakan peniaga bahkan orang ramai. Seorang peniaga pakaian wanita, Husna Syahirah Rosdi, 25, berkata, dia sangat bersyukur apabila dimaklumkan kedai sepertinya boleh beroperasi setelah tiga bulan tidak dapat berniaga seperti biasa. "Sepanjang tidak beroperasi, bayaran sewa juga perlu bayar iaitu sebanyak RM4,500. Oleh itu, saya dan rakan-rakan usahawan lain mengambil kaedah alternatif dengan menjual secara atas talian sahaja sepanjang pandemik bagi menyara diri dan kos perniagaan," katanya. Tambahnya, sambutan pada hari pertama dibuka semalam amat memberangsangkan dengan pelanggan dalam daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus berkunjung di kedainya di KTCC Mall. Sementara itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab ketika dihubungi berkata, hari ini dijangka banyak lagi sektor terlibat dibuka ekoran pengumuman tersebut, baru-baru ini. “Dalam DUN Seberang Takir yang kita dapat kenalpasti beberapa buah kedai yang berdaftar dengan kita untuk Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT) 2021 baru-baru ini,” jelasnya.
17 Aug 21
455
Hospital Pengajar UniSZA Dijangka Siap 30 Oktober Ini
Hospital Pengajar UniSZA Dijangka Siap 30 Oktober Ini
Oleh: Khatijah Alias HULU TERENGGANU, 17 Ogos - Projek pembinaan Hospital Pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang menelan kos sebanyak RM332 juta dijangka siap pada 30 Oktober 2021 ini. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau, Dr Mamad Puteh berkata projek reka dan bina ini telah bermula pada 21 Mac 2016 dan kini telah siap hampir 90 peratus. "Kapasiti hospital ini adalah 200 katil, lengkap dengan peralatan moden seperti CT Scan, angriogram, mammogram dan lain-lain. "Wabak Covid-19 telah meningkatkan kepenggunaan hospital terutamanya bahagian katil dan unit rawatan rapi (ICU), jadi dengan adanya kemudahan hospital ini, dapat menampung kegusaran masyarakat terhadapnya," jelasnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan tapak pada petang semalam. Tambahnya, masih ada beberapa perkara perlu dipertingkatkan berkaitan kerja-kerja 'catch up', penghawa dingin dan lain-lain yang perlu disiapkan segera sebelum akhir Oktober nanti. Turut hadir ke lapangan, Ketua Pengarah Kerja Raya, Dato' Ir Mohamad Zulkefly Sulaiman bersama meninjau persiapan akhir sebelum hospital ini diserahkan kepada pemiliknya.
17 Aug 21
2841
Bidikan Telefon Pintar Popularkan Terengganu Di Mata Dunia
Bidikan Telefon Pintar Popularkan Terengganu Di Mata Dunia
KUALA NERUS, 16 Ogos – Dengan hanya menggunakan kamera telefon pintar, seorang pekerja barista Homs Bar and Cafe, Najmuddin Muif Zulkifli, 26, berjaya memperkenalkan keunikan Terengganu kepada hampir dua juta penonton melalui media sosialnya. Lebih mesra disapa Muif, minatnya sejak dibangku sekolah dalam bidang fotografi  mempopularkan lokasi menarik di Terengganu ke dunia luar melalui video dimuat naik ke Instagram yang meraih 1.8 juta penonton. Antara video montaj yang mencecah hampir 2 juta penonton di Zoo Tok Dir “Video montaj itu mendapat sambutan dan komen daripada Kanada, Thailand, United Kingdom dan banyak lagi bertanyakan dimana terletaknya tempat cantik di Terengganu. “Malah ada juga komen daripada orang dalam negeri yang tidak tahu tempat dalam video itu, antara lokasi penggambaran seperti Bukit Maras, Kampung Tok Dir, Lata Payung dan lain-lain," jelasnya. Katanya yang juga berasal dari Kuala Terengganu, syarikat pencipta Iphone iaitu Apple turut mempamerkan hasil videonya di profil rasmi Instagram dengan tatapan hampir 300 ribu tontonan, Mac lalu. Video Muif disiarkan di profil Instagram Apple Inc “Reaksi netizen secara tidak langsung mempromosikan negeri kita, Terengganu bukan sahaja mempunyai Jambatan Drawbridge dan Pasar Payang, tetapi juga penuh dengan kekayaan alam semula jadi. “Puluhan ribu komen menunjukkan reaksi ‘baru tahu’ dan ingin melawat sini, saya pun tidak sangka hasil tangkapan guna IPhone 12 Pro dan Vivo x60 akan jadi popular. Mengulas lanjut berkenaan hobinya, Muif menyifatkan ia sebagai satu kepuasan buat dirinya dalam usaha mendapatkan hasil foto alam sekitar terbaik. “Untuk peroleh hasil terbaik ia perlukan kegigihan, contohnya, saya pernah keluar sebelum subuh untuk mendapatkan gambar permandangan matahari terbit di pantai sekitar. “Saya juga pernah mendaki Bukit Keluang dan sanggup bermalam diatas untuk mendapatkan imej vista angkasa atau ‘milky way. “Bila komposisi dan cahaya dalam mengambil gambar menjadi, imej ditangkap akan ada faktor ‘Wow’,” jelasnya. Sebelumnya, hasil usaha graduan matematik pengkomputeran mendapat perhatian antarabangsa selepas berjaya memenangi pertandingan foto ‘NatGeoMoments of Joy Contest’ anjuran National Geographic, November tahun lepas. “Mula-mula saya sekadar cuba nasib, tapi dengan hasil tangkapan Hutan Lipur Air Terjun Temurun, gambar saya dipilih antara tiga pemenang dan memenangi 1000 USD (RM 4,112.50),” katanya lagi. Apabila diminta memberi nasihat bagi sesiapa yang ingin berjinak dalam bidang fotografi, Muif menjawab, jika ada minat, buat sahaja. “Walaupun benda itu kita tidak mahir pada mulanya, tetapi terus tambah baik kemahiran itu, bagi saya, hasil berguru dengan jurufoto lain dan belajar sendiri banyak membantu dalam mengasah skil ini,” tambahnya.
16 Aug 21
1122
Agong Lantik Muhyiddin Sebagai Perdana Menteri Caretaker
Agong Lantik Muhyiddin Sebagai Perdana Menteri Caretaker
KUALA LUMPUR, 16 Ogos - Istana Negara hari ini mengumumkan Tan Sri  Muhyiddin Yassin akan kekal sebagai 'caretaker' sehingga perdana menteri baru dilantik, selain menolak kemungkinan untuk mengadakan pilihan raya umum. Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al- Mustaffa Billah berkenan dengan pelantikan itu selepas menerima surat peletakan jawatan Muhyiddin tengah hari tadi. “Ia selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Seri Paduka Baginda hendaklah melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Sementara itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan akan tetap berpegang pada prinsip sebagai Perdana Menteri Caretaker. "Peranan saya ketika ini berbeza dengan jawatan sebelum ini dan mempunyai keterbatasan kuasa. "Saya tak fikir kuasa kedudukan saya membolehkan saya membuat sesuatu, saya berpegang kepada prinsip yang saya hanya buat apa yang harus buat, ikut nasihat Peguam Negara dan Yang di-Pertuan Agong," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan Perutusan Khas, di sini pada Isnin.  
16 Aug 21
323
Muhyiddin Letak Jawatan Perdana Menteri
Muhyiddin Letak Jawatan Perdana Menteri
KUALA LUMPUR, 16 Ogos - Tan Sri Muhyiddin Yasin sebentar tadi meletak jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan. Perkara itu dimaklumkan beliau pada satu sidang media di pejabatnya di Putrajaya, yang turut disiarkan secara langsung di pelbagai platform telekomunikasi, termasuk televisyen dan media sosial. Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas hilang majoriti sokongan Ahli Parlimen dan cadangan kerjasama bipartisan yang dicadangkannya juga tidak mendapat sokongan parti politik. "Jelas, saya kehilangan majoriti dan tidak perlu lagi keabsahan saya ditentukan di Parlimen. Maka hari ini, saya meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan seluruh Jemaah Menteri sebagaimana perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan,"katanya dalam satu perutusan khas, hari ini. Pengumuman itu dibuat selepas beliau menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah di Istana Negara, hari ini, berhubung kedudukannya sebagai ketua kerajaan. Tambah beliau lagi,  dia menyerahkan kepada kebijaksanaan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memilih perdana menteri baru dan membentuk kerajaan dalam kadar segera. Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan di hadapan Al-Sultan Abdullah pada 1 Mac 2020.
16 Aug 21
210