Artikel "Semasa" Terkini
JBPM Bantu Petugas KKM Dalam Pengebumian 151 Jenazah Pesakit COVID-19
KUALA TERENGGANU, 16 Ogos - Sejak pandemik COVID-19 melanda negara, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terlibat secara langsung dalam pengebumian jenazah pesakit COVID-19 di negeri ini.
Pengarahnya, Md Hilman Abd Rashid berkata, sehingga kini pihaknya telah membantu menguruskan 151 pengebumian daripada 178 kes kematian akibat Covid-19 di negeri ini sehingga Ahad.
Beliau berkata, JBPM akan terus memberikan sokongan dan khidmat terbaik membantu para petugas Kementerian Kesihatan sepanjang wabak pandemik ini
Katanya, pihak JPBM telah bekerjasama dengan Pejabat Kesihatan di semua daerah bagi melaksanakan tugas-tugas khas membantu menguruskan pengebumian mangsa Covid-19 di negeri ini.
"Selain tugas hakiki jabatan bomba seperti memadam kebakaran dan kemalangan, urusan pengkebumian jenazah pesakit Covid -19 turut menjadi salah satu tanggungjawab sosial agensi kepada masyarakat.
"Bagi tujuan itu, seramai 10 anggota ditugaskan bagi mengurus pengebumian, manakala tiga anggota ditugaskan untuk melakukan proses disinfeksi kepada anggota terlibat menggunakan Mobile Disinfection Chamber (MoDic)," katanya kepada pemberita.
Md Hilman berkata, risiko yang dihadapi cuba dielakkan dengan mengikuti secara ketat garis panduan pengurusan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.
"Langkah ini bagi memastikan tahap keselamatan anggota terjamin dan tidak berlaku penularan Covid-19 kerana mereka turut berdepan dengan risiko jangkitan wabak itu sepanjang menjalankan tugas," katanya,
Dalam pada itu, beliau berkata, sehingga kini, seramai 203 anggotanya menjalani kuarantin akibat wabak itu di mana 107 daripadanya telah disahkan positif.
16 Aug 21
341
Fasa 2: Lagi 11 Aktiviti Ekonomi Dibenarkan Buka Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 16 Ogos - Sebanyak 11 lagi aktiviti ekonomi di dalam sektor perdagangan dan pengedaran dibenarkan untuk kembali beroperasi di Terengganu serta negeri Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula hari ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memaklumkan kesemua 11 aktiviti ekonomi itu adalah tambahan kepada 11 aktiviti ekonomi yang dibenarkan beroperasi semula di dalam Fasa 1.
Aktiviti-aktiviti ekonomi tersebut adalah seperti berikut :
1. Kedai barang fotografi dan perkhidmatan fotografi
2. Kedai barangan terpakai
3. Kedai bunga dan nurseri
4. Kedai kraftangan dan cenderahati
5. Kedai antik
6. Kedai alat permainan
7. Kedai permaidani
8. Kedai kandungan kreatif dan peralatan industri kreatif
9. Kedai peralatan outdoor (termasuk peralatan perkhemahan, memancing dan lain-lain)
10.Kedai kosmetik, penjagaan kulit dan minyak wangi
11.Kedai tembakau termasuk vape dan rokok elektronik
Namun, Muhyiddin berkata pemilik premis yang tersenarai itu perlu memastikan pelanggan yang memasuki premis menunjukkan sijil digital vaksinasi COVID-19.
Katanya lagi, ia bertujuan bagi membuktikan individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap, serta mengurangkan risiko penularan wabak COVID-19 dalam kalangan masyarakat.
Selain Terengganu, negeri-negeri dalam Fasa 2 PPN buat masa ini ialah ialah Pulau Pinang, Perak, Pahang, Kelantan dan Sabah.
16 Aug 21
3090
Warga Thailand Cetus Penularan, Lokaliti Dikenakan PKPD
KUALA TERENGGANU, 15 Ogos – Satu lokaliti di Besut dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula lusa, ia selepas seorang wanita warga Thailand mencetuskan penularan di kawasan terbabit.
Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, lokaliti tersebut adalah Kampung Bukit Cina dalam Mukim Pasir Akar telah merekodkan 55 kes COVID-19.
“Kes indeks bagi kluster komuniti Bukit Cina ini daripada seorang wanita Thailand yang berusia 64 tahun dan disahkan positif virus itu hasil saringan individu bergejala pada 8 Ogos lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya lagi dalam kenyataan mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN), perlaksanaan PKPD tersebut dijadualkan sehingga 30 Ogos depan.
Sementara itu, PKPD di satu lokaliti iaitu Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Anak Ikan, Jabi ditamatkan mengikut jadual.
Menurut Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Terengganu mencatatkan 534 kes baharu COVID-19 tanpa sebarang kematian direkodkan.
15 Aug 21
1616
PKPD Di 33 Lokaliti Di Dungun Disambung Lagi
KUALA TERENGGANU, 15 Ogos – Sebanyak 33 lokaliti melibatkan dua mukim di daerah Dungun dikenakan pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sehingga 30 Ogos depan.
Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kerajaan membuat keputusan tersebut setelah meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai penilaian risiko serta jangkitan COVID-19.
“Antaranya 19 lokaliti di Mukim Kuala Dungun membabitkan Sungai Buaya, Tanah Lot, Lembah, Padang Jambu, Nibong, Bukit Chatak Tengah, Kg Molek, Bijangga, Sungai Udang, Sungai Penaga, Kubang Miang dan Teratai.
“Ini termasuk juga Teluk Lipat, Alor Tembesu, Sura Utara, Batu 48, Sura Gate, Bukit Chatak dan Tembesu Akar,” katanya dalam kenyataan mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan PKPD hari ini.
Tambahnya, turut terkesan adalah 14 lokaliti di Mukim Sura, Dungun iaitu Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Gong Pasir, Kampung Gong Pasir, Taman Maidam, Batu 5, Sura Tengah, Alor Tempoyak.
“Selain itu, Taman Rakyat Jaya, Taman Delima Batu 6, Balai Besar, Sura Melati, Batu 7, Paya Balai Besar, Pak Sabah dan Sura Lapangan Terbang juga dilanjutkan tempoh PKPD,” Jelasnya.
Terdahulu, pelaksanaan PKPD di kawasan tersebut telah diumumkan sejak 3 Ogos lalu dan sepatutnya dijadualkan berakhir pada esok.
15 Aug 21
1465
Cari Rezeki Sampingan Sehingga Pulau Dibuka Kembali
KUALA NERUS, 15 Ogos- Rata-rata penduduk Kampung Baru Pulau Redang di sini terpaksa menceburi bidang perniagaan baharu selepas sektor pelancongan sedia ada terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.
Mereka terpaksa bekerja demi memastikan kelangsungan hidup di samping bantuan kerajaan dan orang ramai.
Bagi suri rumah, Rosnani Deraman, 46, berkata, dia tidak mahu bergantung kepada bantuan semata-mata apabila gaji suami Mad Nawi Muda, 56 yang bekerja di sebuah resort terpaksa dipotong sebanyak 50 peratus.
Justeru itu katanya, bagi meringankan beban suami, dia mengambil inisiatif membuat kuih- muih untuk dihantar ke gerai makan berhampiran bagi menampung perbelanjaan keluarga.
"Selama ini suami dibayar dengan gaji RM2,000 dan jumlah itu cukup untuk keperluan kami. Namun, pengurusan resort terpaksa memotong gaji dan menggilirkan kedatangan pekerja disebabkan pelancong tidak lagi ramai seperti dahulu.
"Jadi, kami faham situasi itu namun tidak berputus asa sebaliknya cuba mencari rezeki lain dengan menjual kuih pula.
" Secara purata jualan adalah antara RM60 hingga RM80 sehari, cukuplah untuk perbelanjaan sekeluarga," katanya.
Seorang bapa kepada enam anak, Mohd Nazri Yasin, 53 pula terpaksa melakukan pekerjaan lain setelah industri pelancongan yang menjadi sumber rezeki selama ini terhenti sementara akibat pandemik tersebut.
Katanya, dia menjadi seorang nelayan walaupun tidak mahir dalam bidang tersebut setelah diarahkan pengurusan hotel mengambil cuti tanpa gaji antara 10 hingga 14 hari setiap bulan.
"Dulu gaji RM1,500 sekarang hasil tangkapan ikan ni dapatlah RM500 hingga RM750 sebab ada sakit jantung jadi tidak boleh lakukan kerja berat..mujurlah banyak bantuan makanan kering diterima dari pelbagai pihak.
"Saya sangat berharap industri pelancongan akan pulih dalam masa terdekat," ujarnya ketika ditemui pemberita di majlis penyerahan bantuan 'Ganu Eco Charity' di sini.
Sebanyak satu tan metrik barangan keperluan 'Ganu Eco Charity' diserahkan oleh Pertubuhan Forum Udara Bersih Malaysia (MyCAS) dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu yang menyediakan kemudahan logistik melalui kapal penyelidikan RV Discovery ke Pulau Redang.
Presiden MyCAS Dr Noor Zaitun Yahaya berkata suntikan dana sebanyak RM210,000 itu disumbangkan oleh Yayasan Hasanah, iaitu yayasan milik Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) yang memberi manfaat kepada 1,500 penduduk memerlukan.
"Agihan 1,500 pek makanan dan kit kebersihan itu telah diserahkan di Besut, Hulu Terengganu, Dungun, Kuala Nerus dan Pulau Redang adalah lokasi terakhir sumbangan," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Baru Pulau Redang Maarop Ismail berkata bantuan diberi sangat menceriakan penduduk di Pulau Redang.
"Kunjungan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dan wakil agensi kerajaan yang menyantuni penduduk juga membuktikan masih ramai yang prihatin dengan nasib yang melanda penduduk yang rata-rata bergantung dengan sektor pelancongan," jelasnya.
15 Aug 21
477
Paip pecah di Bukit Berangan dibaiki dengan kadar segera
Oleh: Anis Nurhanan
KUALA NERUS, 15 Ogos - Paip air bersaiz 600 mm yang pecah di Jalan Bukit Berangan dibaiki dengan kadar segera oleh pasukan teknikal Syarikat Air Terengganu (SATU).
Paip air tersebut melibatkan Tangki Berangan nombor dua ke sekitar Universiti Malaysia Terengganu dan Kuala Nerus.
Gangguan bekalan air akan berlaku dan menjejaskan sebanyak 4,750 akaun sepanjang proses pemulihan paip dilakukan.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan dan Teknologi Hijau, Dr Mamad Puteh memaklumkan, berlaku keretakan dan kebocoran pada ‘joint’ paip tersebut.
“Kita telah berbincang dengan pihak SATU dan dikatakan masalah ini tidaklah rumit dan proses pembaikian dapat disiapkan dalam tempoh lima hingga enam jam.
“Insya-Allah air akan dapat dialirkan semula pada pukul tiga hingga empat petang setelah selesai kerja-kerja ‘welding’ dilakukan.
"Kerja-kerja memperkukuhkan paip air yang sedia ada tersebut turut dijalankan,” ujar Dr Mamad ketika ditemubual pihak media.
Untuk perkembangan selanjutnya, menurutnya, berlaku peningkatan aras air dalam tangki di Bukit Berangan.
Masalah aliran tekanan air tersebut akan dapat diatasi dalam tempoh dua hingga tiga hari lagi.
“Kita harap aliran tekanannya akan pulih seperti biasa selepas ini,” katanya.
15 Aug 21
817
Hujan Meteor Turun Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 13 Ogos - Pada awal pagi tadi fenomena angkasa luar biasa dikenali sebagai Hujan Meteor Perseid dapat dilihat menyinari ruang angkasa di Terengganu.
Tinjauan Urus Setia Penerangan Darul Iman di Bukit Lubuk Batu, Bukit Payong, mendapati pemandangan tersebut dapat dilihat pada pada jam 12 pagi sehingga Subuh.
Menurut kenyataan Planetarium Negara, hujan meteor itu akan mencapai paras maksimum dengan kadar sebanyak 110 meteor pada setiap jam atau hampir dua meteor dalam seminit bermula pada waktu tersebut.
Hujan Meteor kecil dapat dilihat di kanan pokok.
“Pusat pancaran meteor itu kelazimannya datang dari arah buruj Perseus iaitu terletak di kawasan langit sebelah utara bumi sebelum hujan ini berpecah ke banyak arah lain.
“Fenomena itu telah muncul dalam paras kecil sejak 17 Julai dan akan berterusan sehingga 24 Ogos ini.
“Bagi menyaksikan fenomena ini dengan terang, anda dinasihatkan agar mencari kawasan gelap dan jauh daripada sebarang pencemaran cahaya,” jelasnya.
Untuk pengetahuan, bagi yang terlepas peluang boleh merujuk Facebook dan Youtube Dark Sky Malaysia serta Karnival Sains Sabah melalui siaran langsung mereka.
13 Aug 21
7569
Komuniti Kampung Sambut Baik Pengumuman Air Percuma
KUALA NERUS, 10 Ogos – Setelah diumumkan bahawa mereka terjejas di dua daerah mendapat air percuma selama dua bulan sebaik proses membaik pulih bekalan selesai, tinjauan mendapati rata-rata reaksi positif antaranya daripada Kampung Pak Tijah.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di sini, Zainal Lasim berkata, hampir seribu buah rumah yang terkesan dalam komunitinya sejak gangguan berlaku 2 Ogos lalu.
Katanya, beliau sangat berbesar hati dengan pengecualian bayaran bil air yang diumumkan Menteri Besar Terengganu itu.
“Rata-rata saya temui gembira dengan pengumuman tersebut dan berpuas hati dengan keprihatinan Menteri Besar kita,” katanya ketika ditemubual pemberita, baru-baru ini.
Seorang penduduk, Rohaya Abd. Karim mengucapkan terima kasih terhadap pengecualian tersebut yang dapat meringankan beban keluarganya.
“Sekurang-kurangnya ia dapat melegakan penduduk disini, Alhamdullilah setakat ini bantuan bekalan air bersih dan penyediaan tangki air sedikit sebanyak mengekalkan keperluan asas ini,” ujarnya.
Sementara itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab berkata, pengumuman itu tepat pada waktunya ekoran ada keluhan rakyat mempersoalkan jika bil akan berjalan seperti biasa sedangkan air tidak dapat digunakan.
“Keluhan itu juga banyak diterima oleh Pengerusi JPKK yang terlibat dalam bantuan air rumah ke rumah sekarang.
“Air tak boleh pakai tapi bil macam mana? Harap bil air nanti tak payah la kira dan Alhamdulllilah, jawapan sudah diberi oleh pemimpin negeri,” jelasnya semasa kerja mengagih air rumah ke rumah.
Pada Selasa lalu, pengguna yang terjejas dijangka akan mula mendapat bekalan air secara berperingkat pada jam 12 pagi 14 Ogos ini menurut Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh.
13 Aug 21
568
MB Agih 18 Ribu Liter Air Buat Penduduk Terputus Bekalan
KUALA TERENGGANU, 12 Ogos - Sebanyak 18 ribu liter air bersih telah diagihkan kepada penduduk terputus bekalan air di 19 kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Buluh Gading semalam termasuk kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Sumbangan Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar itu telah disampaikan melalui Setiausaha Politik beliau, Muhyiddin Abd Rashid kepada Ahli Dewan Undangan Negerinya (ADUN), Ridzuan Hashim.
“Sebarang masalah yang perlu tindakan segera boleh rujuk kepada Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) masing-masing.
“Terima kasih atas kesabaran menghadapi musibah ini. Semoga Allah mengganjarkan pahala yang berlipat ganda. Insya-Allah,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Sementara itu, Ridzuan Hashim berkata, bantuan tersebut sedikit sebanyak dapat membantu komunitinya termasuk 15 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang berada dalam PKPD.
“Mewakili seluruh warga kawasannya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Menteri Besar. Usaha ini sangat membantu terutamanya kepada mereka yang tidak bebas keluar untuk mendapatkan bekalan asas ini,” jelasnya.
Terdahulu, kerajaan negeri mengumumkan akan memberi air percuma selama dua bulan kepada pemilik akaun yang terjejas akibat saluran paip pecah di dasar sungai Terengganu.
12 Aug 21
222
Majlis Kahwin Cetus Kluster Baharu Di Besut
KUALA TERENGGANU, 12 Ogos - Sebuah pernikahan baru-baru ini di daerah Besut telah didapati mencetuskan kluster COVID-19, menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Berdasarkan kenyataan rasmi semalam, perkahwinan itu diadakan di Kampung Gelam Mas pada 15 Julai lalu, dan kes positif virus pertama hanya dikesan pada 11 Ogos.
“Kes indeks adalah lelaki berusia 28 tahun yang didapati positif pada 11 Ogos setelah menjalani pemeriksaan kontak rapat.
“Setelah kerja saringan dijalankan ke atas 384 orang yang mempunyai kaitan kepada kluster tersebut, 38 orang diuji positif untuk COVID-19.
Katanya lagi, kumpulan ini adalah antara 31 kluster baharu yang diumumkan oleh kementerian pada hari Rabu.
“Ia juga merupakan salah satu daripada 11 kluster yang dikategorikan sebagai kluster komuniti,” jelasnya lagi.
Berdasarkan situasi terkini COVID-19 sehingga 11 Ogos, Terengganu mencatatkan peningkatan kepada 613 kes positif harian dengan lapan kematian direkodkan.
“Dungun mencatatkan jumlah bilangan kes baharu tertinggi dengan 267 kes,” kata Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT).
12 Aug 21
5483