Artikel "Semasa" Terkini
Bekalan Air Terputus Dijangka Pulih 12 September
KUALA TERENGGANU, 24 Ogos - Masalah gangguan bekalan air kali kedua yang melibatkan 150,000 penduduk di sekitar Kuala Nerus dan Kuala Terengganu dijangka pulih sepenuhnya dalam tempoh 20 hari lagi.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh, berkata setelah pengesanan dilakukan di dasar sungai pihaknya mendapati kerosakan paip bersaiz 1,200 milimeter (mm) kali ini lebih teruk berbanding yang terdahulu.
Katanya, disebabkan itu ia memerlukan masa dan kepakaran tinggi untuk membaikinya.
"Kalau sebelum ini, paipnya dalam keadaan senget sahaja tapi kali ini paip dalam jajaran yang sama tapi lokasi berlainan dikesan telah patah.
"Kerosakan dipercayai berpunca daripada kejadian luar jangka selepas kerja baikpulih siap pada 12 Ogos lalu dan lokasi paip pecah baharu ini adalah sejauh 24 meter dari lokasi paip pecah asal," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media di pejabat Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (Satu), di sini hari ini.
Tambah beliau, SATU sedang meneliti satu kaedah terbaik dengan mengambil kira pelbagai faktor berkaitan supaya paip yang dibaiki lebih kukuh dan tahan lama.
Justeru itu katanya, kerja-kerja untuk mengaktifkan Loji Bukit Berapit dengan kapasiti 60 juta meter padu yang dijangka dapat beroperasi pada bulan depan berbanding tarikh sebenar pada Mei 2022.
24 Aug 21
3745
Paip Pecah Di Lokasi Berlainan Punca Gangguan Air
KUALA TERENGGANU, 24 Ogos - Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) telah mengesan punca gangguan bekalan air di dasar Sungai Kuala Terengganu yang mendapati paip sama yang pecah pada lokasi berlainan berbanding kejadian pada awal Ogos lalu.
Menurut kenyataan rasmi pengurusannya, kerosakan luar jangkaan tersebut berlaku paip bersaiz 1,200mm yang membekalkan air ke Tangki Utama Berangan dari Loji Kepong menyebabkan 28,700 terjejas bekalan.
“Antara 25 lokasi terlibat di daerah Kuala Nerus adalah keseluruhan Gong Badak, Perindustrian Gong Badak. Alur Jambu, Tok Jembal, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Tepoh, Padang Hangus dan Pagar Ubi.
“Manakala di Kuala Terengganu melibatkan 11 lokasi iaitu Buluh Gading, Kampung Banggol Tuan Muda, Petai Bubus, Paya Datu, Jeram, Kampung Manir, Sebahagian Banggol Peradong, Kampung Manir, Kampung Tualang, Kampung Kebor Air dan Kampung Telok Menara,” katanya menerusi kenyataan media, petang tadi.
Dalam memastikan bekalan asas tidak terputus, pihak SATU telah mula menggerakkan bantuan bekalan air melalui lori tangki bermula hari ini pada jam 12 tengahari ke kawasan yang terjejas.
“Tujuh buah lori tangki digerakkan segera dan akan ditambah dari masa ke semasa. Kedudukan tangki statik dan pengisian air adalah mengikut penjadualan sebelum ini,” katanya lagi.
Terdahulu, setiap wakil rakyat dan pegawai penyelaras di Dewan Undangan Negeri (DUN) terjejas telah dikerah bagi memasang 150 tangki statik bagi meneruskan bekalan air bersih buat penduduk.
Kerajaan negeri turut memperkemaskan langkah susulan dan menambah baik beberapa aspek penyelenggaraan Syarikat Air Terengganu (SATU) antaranya tumpuan utama dalam memastikan pembinaan Loji Bukit Berapit dengan jangkaan paling awal Loji Bukit Berapit siap beroperasi pada 31 Ogos 2021 berkeupayaan 60mld.
24 Aug 21
1296
Dr. Kasemani Dilantik Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu
KUALA TERENGGANU, 23 Ogos – Timbalan Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Terengganu, Dato' Dr. Kasemani Embong dilantik menjadi pengarah kesihatan negeri yang baharu berkuatkuasa hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi hantaran di Facebook beliau memaklumkan, pelantikan Dr Kasemani adalah bagi menggantikan Dato' Dr. Nor Azimi Yunus yang ditukar ke Pahang sebagai Pengarah Kesihatan negeri itu pada 23 Julai lalu.
Sambil mengucapkan tahniah atas pelantikan itu, beliau berkata, Dr Kasemani merupakan Pakar Perubatan Kesihatan Awam, yang berpengalaman luas dalam bidang kesihatan awam dan pengurusan.
"Selamat menjalankan tugas dan amanah. Semoga kecemerlangan Program Perubatan KKM dapat diteruskan," katanya.
Sebelum ini, Dr. Kasemani pernah berkhidmat Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Terengganu, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Hospital Sultanah Nur Zahirah dan Klinik Kesihatan Kuala Telemong, Hulu Terengganu.
23 Aug 21
1444
Lebih 90 Peratus Guru Di Terengganu Sudah Divaksin
KUALA TERENGGANU, 23 Ogos - Lebih 90 peratus warga pendidik di negeri ini selesai menerima dos pertama vaksin Covid-19 dan bersedia untuk memulakan sesi pembelajaran secara bersemuka di sekolah sekiranya diumumkan kelak.
Pengarah Pendidikan negeri, Salim Abd Ghani berkata hampir semua guru menyambut baik Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) seperti yang diarahkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Katanya, Terengganu mempunyai 21,921 guru terdiri daripada 10,175 guru sekolah menengah manakala seramai 11,746 bagj sekolah rendah.
"Namun, saya tidak menafikan ada juga di kalangan guru-guru tersebut yang menolak untuk divaksin namun jumlahnya kecil.
"Pihak jabatan akan mengenalpasti guru guru berkenaan yang berkemungkinan bertindak demikian kerana mempunyai masalah kesihatan," katanya kepada pemberita ketika dihubungi.
Dalam perkembangan sama, Salim berkata, kesemua guru tingkatan lima dan enam di negeri ini termasuk kakitangan sokongan akan selesai menerima suntikan vaksin Covid-19 sebelum sesi persekolahan bersemuka bermula Oktober depan.
23 Aug 21
751
Enam Juruselam Siasat Paip Rosak Di Dasar Sungai
KUALA TERENGGANU, 23 Ogos – Enam juruselam dikerah bagi mengenalpasti punca pengoperasian tidak stabil yang berlaku pada paip di dasar Sungai Terengganu hingga menjejaskan bekalan air di Daerah Kuala Nerus dan sebahagian Kuala Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) telah mengesan tekanan air rendah di jajaran paip ke Tangki Utama Berangan yang berada di paras tidak normal pada hari ini.
“Pasukan Teknikal SATU sedang giat menjalankan langkah-langkah pengesanan di dasar sungai untuk mengetahui keadaan sebenar di jajaran paip tersebut.
“Sebarang penemuan atau perincian kerosakan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
“Kami memohon pengguna di kawasan terlibat untuk bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan,” katanya selepas mesyuarat di ibu Pejabat SATU, sebentar tadi.
Susulan itu, beliau melaporkan bantuan bekalan air melalui lapan lori tangki telah digerakkan hari ini mengikut penjadualan sebelum ini.
“Selain itu, kita telah memohon setiap wakil rakyat dan pegawai penyelaras di Dewan Undangan Negeri (DUN) terjejas bagi mengenalpasti lokasi 150 tangki statik yang ditempatkan bagi memastikan bekalan asas tersebut tidak terputus.
Tambahnya, bantuan bekalan air bersih juga akan disalurkan di peringkat DUN dan pelbagai Badan Bukan Kerajaan (NGO).
23 Aug 21
13403
JPJ Keluarkan 834 Saman Cermin Gelap Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 23 Ogos - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu mengeluarkan 834 saman melibatkan kesalahan pemasangan cermin gelap dalam operasi di seluruh negeri sepanjang Julai lalu.
Pengarah JPJ Terengganu, Zulkarnain Yasin berkata, penggunaan cermin gelap antara enam kesalahan teknikal paling 'popular' di negeri ini.
Menurutnya, lima yang lain ialah tiada lesen kompeten CDL (320 kes), membawa muatan berbahaya (207 kes), nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi ditetapkan (187 kes), kesalahan mengubah suai kenderaan (164 kes) dan tiada lesen GDL (15 kes).
"Bagi tempoh itu juga, sebanyak 27,561 kenderaan diperiksa melibatkan 3,633 buah motosikal, 16, 470 kereta, 2,078 lain-lain kenderaan persendirian, 611 membabitkan bas serta masing-masing 10, 565 kenderaan barangan dan 204 untuk kenderaan lain-kain," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Sementara itu, Zulkarnain memberitahu, JPJ Terengganu merekodkan 115 urusniaga melibatkan bayaran kompaun hanya dalam tempoh empat hari bermula pada 18 Ogos hingga hingga Sabtu selepas tawaran diskaun 70 peratus dibuat sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-64.
"Jumlah urusniaga ini menunjukkan peningkatan berganda jika dibandingkan tempoh 17 hari bermula 1 Ogos lalu sebelum penawaran kompaun yang hanya merekodkan 308 urusniaga," katanya.
Sebelum ini, JPJ menawarkan potongan 70 peratus kepada semua saman yang boleh dikompaun termasuk disenarai hitam sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-64.
Tawaran pengurangan saman itu dibuat bagi meringankan beban rakyat berikutan kemelut ekonomi akibat pandemik Covid-19.
JPJ dalam satu kenyataan menyebut, tawaran potongan itu akan berlangsung hingga 16 September depan.
Potongan pembayaran saman itu bagaimanapun tidak membabitkan kes yang masih dalam sebutan mahkamah, termasuk yang berstatus waran tangkap atau perbicaraan
23 Aug 21
1875
Terengganu Peruntuk RM250,000 Kepada Pengusaha Melon Manis
KUALA TERENGGANU, 22 Ogos - Terengganu memperuntukkan RM250,000 kepada pengusaha fertigasi tanaman Melon Manis Terengganu (MMT) di seluruh negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata insentif yang diberikan kepada 47 pengusaha MMT itu sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri terhadap sektor pertanian yang merupakan salah satu penyumbang kepada ekonomi di Terengganu.
"Kita beri bantuan ini sebagai dorongan kepada mereka untuk terus produktif dalam usaha meningkatkan pengeluaran buah yang menjadi identiti bagi negeri Terengganu.
"Bantuan 'input' dalam bentuk benih, baja, racun, sistem pengairan, EC meter, PH meter, Basilus dan beberapa input lagi bagi memperkasakan industri ini," katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas penyerahan input kepada penerima secara 'drive thru' bagi memperkasakan tanaman Melon Manis Terengganu di TKM Peradong, Manir, hari ini.
Dalam pada itu, Dr Azman berkata, pengeluaran hasil bagi tanaman MMT tidak terjejas sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula fasa pertama pada Mac tahun lalu.
"Aktiviti tanaman melon manis di Terengganu tidak terjejas termasuk di kawasan-kawasan terlibat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) memandangkan sektor ini termasuk dalam sektor 'essential' yang berkeperluan dan dibenarkam beroperasi.
"Jadi tiada berlaku isu lambakan atau buah tidak laku malah hasil pengeluaran bagi tahun ini juga sama seperti tahun lalu iaitu mencecah 500 tan setahun," katanya.
MMT adalah ikon buah di negeri itu yang mempunyai keunikan rasa tersendiri kerana ia lebih manis, rangup dan berlemak berbanding 3,000 varieti melon lain di seluruh dunia.
Lebih istimewa, varieti buah itu yang eksklusif dan hanya terdapat di Terengganu tidak pernah ditanam di Malaysia sebelum ini menjadikannya sentiasa laris di pasaran dalam negara ketika ini dengan harga RM10 untuk sekilogram.
22 Aug 21
666
Pengharaman Jualan Telur Penyu Dikuatkuasa Sepenuhnya Tahun Depan
KUALA TERENGGANU, 22 Ogos - Kerajaan negeri dijangka akan melaksanakan penguatkuasaan pengharaman jualan telur penyu dan tuntung pada tahun 2022.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata pindaan Enakmen Penyu Terengganu 1951 (Pindaan 1987) kini dalam semakan akhir sebelum dibentangkan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), November ini.
Katanya, selepas itu, proses undang-undang akan mengambil masa agak lama tetapi yang penting ia mendapat kelulusan sidang DUN nanti.
"Sebelum ini, larangan hanya melibatkan telur penyu belimbing tetapi spesies lain (agar, karah dan tuntung) dibenarkan menyebabkan ia dijual secara terbuka termasuk di Pasar Payang, Kuala Terengganu.
"Ada pihak pernah bertanya kepada saya tentang penjualan telur penyu di Terengganu tetapi peraturan mengizinkan buat masa ini.
"Oleh sebab itu kita perlu pinda peraturan ini supaya larangan penjualan semua jenis telur penyu dikuatkuasakan segera," katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas penyerahan input kepada 47 pengusaha secara 'drive thru' bagi memperkasakan tanaman Melon Manis Terengganu di TKM Peradong, Manir, hari ini.
Katanya, pihaknya sedar Terengganu satu-satunya negeri yang masih membenarkan penjualan telur penyu di negara ini.
Tambah Dr. Azman, antara pindaan enakmen ialah kadar denda bagi kesalahan bunuh, ganggu penyu dan sebagainya
"Ada kadar denda yang kita cadangkan untuk dinaikkan kerana angka tahun 1987 dah tak praktikal dengan keadaan sekarang kerana hukuman terlalu ringan dan tak mampu untuk mencegah.
"Kita nak supaya peruntukan dalam enekmen ini bersifat pencegahan. Bila hukuman agak tinggi, secara tidak langsung akan menakutkan orang untuk melanggar peraturan ini," jelasnya.
22 Aug 21
835
Pertanian Pacu Pembangunan Rakyat Setiu
KUALA TERENGGANU, 20 Ogos – Kerajaan negeri menyasarkan pembangunan di daerah Setiu melalui sektor pertanian selepas pelbagai faktor tempatan dan projek besar yang sedang dijalankan diambil kira.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim memaklumkan, sasaran tersebut menjadi keutamaan kerana keistimewaan Setiu adalah 70 peratus rakyatnya terlibat dalam sektor perikanan, pertanian, penternakan.
“Berdasarkan faktor sedemikian, menerusi Pelan Strategik Pertanian Negeri 2019-2023, pada tahun ini 73 program dan 13 projek dijalankan dan sebahagian besar bertumpu di sini.
“Antaranya seperti pemilihan Setiu sebagai Gedung Pengeluaran Makanan Negeri Terengganu melihat kepada beberapa faktor antaranya daerah ini masih lagi mempunyai tanah pertanian berskala komersial untuk diusahakan di dalam sesuatu kawasan.
“Kita melihat keperluan rakyat setempat, oleh itu antara dasar yang kita letakkan buat syarikat dan pelabur luar adalah tiga persoalan iaitu apakah tujuan datang di sini?, bagaimana kerajaan negeri boleh bantu dan apa rakyat boleh tukar?,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa siaran langsung Dialog Rakyat Terengganu Peringkat Setiu, di Facebook TVDI, baru-baru ini.
Sementara itu, Dr Azman turut menceritakan pelaburan asing dari Amerika Syarikat melalui McCormick Global Ingredients Malaysia Sdn Bhd yang mampu memberi manfaat secara langsung kepada penggiat tani di sekitar daerah itu.
“Dengan tanah seluas 500 hektar, 100 hektar daripada itu akan digunakan untuk rakyat kita seperti petukaran kemahiran dan teknologi dengan bakal pengeluar komersil yang terbesar lada hitam di Asia Tenggara itu," jelasnya.
Tambahnya lagi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, beliau menyeru agar semua pemain taruh dalam industri tersebut bergerak sebagai satu pasukan.
“Rantaian pembuat dasar, pegawai pelaksana dan rakyat yang mendapat manfaat tidak boleh putus, kita perlu saling melengkapi dan sasaran agar rakyat boleh kebaikan dari inisiatif ini,” katanya lagi.
22 Aug 21
1600
Terengganu Capai 40 Peratus Lengkap Vaksin
KUALA TERENGGANU, 21 Ogos – Kadar pemvaksinan di Terengganu telah mencapai 40 peratus bagi dos kedua dalam kalangan populasi dewasa semalam, menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKVAV).
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak walau bagaimanapun berkata, orang ramai dinasihatkan untuk terus mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) walaupun telah menerima lengkap disuntik.
Ini kerana katanya, individu yang disuntik masih lagi berisiko untuk dijangkiti.
“Yang paling penting, ini bukan nak membimbangkan saudara-saudari, tapi kita tidak kebal, suntikan vaksin kalau dijangkiti hanya mampu mengurangkan kesan gejala (kategori 1 dan 2) dan akan sembuh melalui kuarantin sehingga 14 hari.
“Sentiasa patuh SOP elakkan kawasan yang sesak, sempit dan sembang dengan jarak yang dekat, amalkan 3W (Amalkan Wash, Wear dan Warn) serta sentiasa memakai pelitup muka di kawasan awam yang tertutup. Pemakaian pelitup muka berganda adalah digalakkan,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI.
Terdahulu, Terengganu dijangka beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) September ini, kata Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Sebelum ini, indikator bagi membolehkan peralihan ke Fasa 3, adalah usaha vaksinasi dua dos perlu mencapai kadar 40 peratus, penggunaan Unit Rawatan Rapi (ICU) di tahap selamat, dan kes harian COVID-19 berada di bawah angka 2,000.
21 Aug 21
659