Artikel "Semasa" Terkini
Hotel Primula Kekalkan Tradisi Masak Bubur Asyura
KUALA TERENGGANU, 26 Ogos-Tradisi memasak bubur Asyura yang semakin dilupakan dalam kalangan orang muda terus disemarakkan oleh Primula Beach Hotel meskipun dalam suasana normal baharu.
Majlis yang bermula jam 8 pagi itu melibatkan 20 warga kerja dengan menggunakan resipi istimewa chef hotel yang menggabungkan bahan seperti lengkuas, serai, halia, daging, ayam, beras, santan dan rempah ratus terbaik.
Pengurus Besarnya, Suaibah Harun berkata sebanyak tiga kawah Bubur Asyura disediakan secara bergotong-royong dan ia akan diagihkan kepada masjid dan surau berdekatan serta warga kerja hotel.
"Pengagihan Bubur Asyura ini kepada mereka yang memerlukan, juga bagi mengingatkan kita semua bahawa walaupun keadaan semasa dan ekonomi negara masih tidak sihat namun tiada alasan untuk kita untuk tidak membuat kebaikan.
"Aktiviti sedemikian juga akan terus dikekalkan bagi mengeratkan ukhwah sesama kakitangan di samping memupuk keceriaan dalam program sedemikan sambil beramal," ujarnya ketika ditemui selepas program mengacau Bubur Asyura di Anjung Primula, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Primula Beach Hotel Dato' Mustafa Ali.
Tambah Suaibah, walaupun ia dilakukan secara sederhana, kemeriahan dan keharmonian sesama individu dapat dilihat semasa mereka, menyediakan bahan keperluan dan mengacau bubur asyura secara gotong-royong hinggalah kepada proses agihannya.
Pada masa yang sama katanya, aktiviti tersebut juga memberi pendedahan kepada golongan muda tentang cara menyediakan makanan tradisi itu.
26 Aug 21
437
YDSM Sumbang 8,000 Kit Ujian Kendiri COVID-19 Kepada JKNT
KUALA TERENGGANU, 26 Ogos -Yayasan DiRaja Sultan Mizan(YDSM) menyumbang 8,000-unit kit ujian kendiri Covid – 19 kepada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) dalam menangani pandemik COVID-19 di negeri ini.
Setiausaha kerja YDSM, Mohd Azrul Ismail berkata, sumbangan yang bernilai RM280 ribu mampu meringankan beban serta tanggungjawab petugas barisan hadapan khususnya dari JKNT dalam pelaksanaan setiap ujian COVID-19.
"Ia juga membantu mempercepatkan proses pengasingan kendiri bagi mana-mana individu yang mempunyai kontak dengan individu positif wabak berkenaan selepas mendapat keputusan segera.
"Selain itu, bantuan ini meringankan beban kewangan golongan kurang berkemampuan khususnya golongan asnaf untuk melakukan ujian COVID-19," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Penyerahan sumbangan disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Dato’ Azri Sani Dato’ Mazlan, kepada Pengarah Kesihatan Negeri, Dato’ Dr. Kasemani Embong.
Beliau juga berkata, YDSM turut memperuntukan RM30 ribu sebulan dalam bentuk sumbangan makanan kepada barisan hadapan JKNT di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) bermula Februari lepas.
Dalam pada itu juga, YDSM turut memberikan sumbangan barangan dapur kepada golongan asnaf khususnya kepada penerima bantuan YDSM yang terjejas sumber pendapatannya ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak tahun lepas.
"Sebanyak RM200 ribu telah diperuntukan bagi tujuan ini yang memberi manfaat kepada kira-kira 900 keluarga yang terjejas,"tambahnya dalam kenyataan tersebut.
26 Aug 21
276
Pemohon RMM Perlu Kemaskini Maklumat Sebelum 31 Disember Ini
Oleh: Safwan Syakir
KUALA NERUS, 26 Ogos- Pemohon Rumah Mampu Milik (RMM) Negeri Terengganu diminta mengemaskini maklumat permohonan masing- masing bermula 1 September ini Sehingga 31 Disember depan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, kemaskini boleh dibuat secara atas talian dengan melayari sistem ePerumahan versi III di pautan https://eperumahan.terengganu.gov.my/
Menurut beliau, sistem permohonan RMM Negeri Terengganu (ePerumahan) Versi III telah dilancarkan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar secara maya menerusi siaran langsung Facebook TV Darul Iman (TVDI), semalam.
"Permohonan RMM secara atas talian telah bermula Januari 2014 menerusi sistem permohonan RMM (ePerumahan) kemudian dinaiktaraf ke Versi Il pada tahun 2018 dan sekali lagi melalui proses penambahbaikan termasuk perkakasan server bagi memenuhi kehendak semasa.
"Pendaftaran dan permohonan akan dibuka mulai 1 September ini dan bagi yang telah mendaftar sebelum ini perlu mengemaskinikan maklumat permohonan sebelum akhir tahun ini ," ujarnya kepada pemberita.
Alias berkata, sekiranya gagal berbuat demikian, pemohon perlu membuat pendaftaran dan permohonan baharu.
"Permohonan adalah melalui pilihan projek yang akan diiklankan dari semasa ke semasa bagi mengelakkan lambakan permohonan sepertimana yang wujud sebelum ini," ujarnya.
Tambah beliau, menerusi sistem ePerumahan versi III ini yang telah dinaiktaraf ini akan memudahkan pemohon membuat permohonan RMM jenis A dan B, Skim Pembiayaan Perumahan Terengganu atau i-rahman serta pembelian dan pembinaan RMM atas tanah sendiri.
26 Aug 21
986
Kerajaan Negeri Umum Bantuan Kewangan Buat Usahawan Kecil, Sederhana
KUALA TERENGGANU, 25 Ogos - Kerajaan negeri bakal melancarkan bantuan kewangan patuh syariah kepada usahawan kecil dan sederhana sebagai suntingan untuk kembali bernafas susulan impak ekonomi pandemik COVID-19.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro Dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Abdul Rahman berkata, ia dijangka bakal bermula pada September melihat kepada kebanyakan golongan sasar tersebut tidak mempunyai modal untuk beroperasi kembali.
Katanya, pakej ditawarkan adalah bantuan kewangan tanpa penjamin kepada golongan usahawan dan peniaga kecil, yang diuruskan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu dengan kerjasama Bank Islam Malaysia Berhad.
“Inisiatif dalam perancangan ini adalah tanpa riba (termasuk cas perkhidmatan) sebagai modal pusingan buat usahawan di luar sana.
“Dinamakan sebagai Skim Pembiayaan Mikro Bangkit BIMB-YPU menggunakan dana Sadaqa House, dana-dana yang diperuntukkan itu tidak ada hadnya, cuma suntingan itu bermula serendah RM3,000 sehingga RM20,000.
“Diharapkan agar rakyat khususnya golongan terlibat bersedia untuk membuat permohonan kepada YPU sebaik sahaja ia dijalankan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa siaran langsung Dialog Rakyat Terengganu Peringkat Besut, di Facebook TVDI, baru-baru ini.
Selain itu, Mohd Khuzaini berkata, kontraktor kecil yang memperolehi projek kerajaan badan berkanun, syarikat pautan kerajaan, syarikat tersenarai awam, PBT dan yang tidak mampu memulakan kerja kerana ketiadaan modal yang cukup juga ditawarkan bantuan melalui pakej pemfaktoran.
Katanya, kerajaan sedar ada kontraktor kecil yang mendapat projek tidak mempunyai modal yang cukup dan kerana tiada pilihan, terpaksa meminjam daripada 'along'.
Menyedari hakikat itu, jelasnya, pihaknya bersama YPU dan sebuah syarikat menyediakan skim pembiayaan pemfaktoran kepada kontraktor tersebut.
Tambahnya, untuk tahun pertama, kerajaan melalui YPU akan menyediakan peruntukan sebanyak RM20 juta dan akan dijadikan pusingan untuk kemudahan kontraktor membiayai 80 peratus daripada modal projek mereka.
25 Aug 21
482
Teruja Untuk Ke Masjid, Warga Emas Terima Suntikan Vaksin
KUALA NERUS, 25 Ogos - Teruja untuk mengerjakan solat di masjid, seorang warga emas, Che Ismail Tahir, 101, akhirnya berjaya menerima suntikan vaksin dos pertama Pfizer hari ini.
Che Ismail yang tinggal di Gong Kijang, Bukit Tunggal, berusia lebih satu abad itu dibawa ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sambil ditemani cucu dan dua orang cicit.
Cucunya, Mohd Jailani Harun, 52, berkata, sebelum ini, dia telah mendaftarkan Ismail dalam program imunisasi sejak fasa pertama tetapi pada masa itu datuknya belum bersedia lagi untuk vaksinasi.
"Setelah dipujuk dan diberi penerangan, akhirnya datuk saya faham kepentingan divaksin dan tidak gentar disuntik dengan jarum suntikan.
"Dia juga tidak menolak untuk menerima suntikan vaksin kerana difahamkan warga emas lebih mudah diserang penyakit berbahaya itu.
"Apabila dimaklumkan mana-mana warga emas boleh hadir secara 'walk in' di PPV UniSZA dari facebook dua hari lepas, saya beritahu kepada datuk dan dia sangat teruja kerana nak sangat terima suntikan vaksin ini,"ujarnya ketika ditemui di PPV UniSZA.
Sementara itu, Pengarah PPV Intergrasi UniSZA, Prof Dr Nik Arif Nik Mohamed berkata program pemberian vaksin COVID-19 secara 'walk-in' di Dewan Al Muktafi Billah Shah (DABS), Kampus Gong Badak dibuka buat penduduk Kuala Nerus termasuk individu berumur 18 tahun ke atas.
Katanya lagi, syarat lain termasuk mereka yang terlepas temujanji vaksinasi di UniSZA, belum mendapat temujanji vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera atau belum mendaftarkan diri untuk vaksinasi dalam sistem tersebut.
"Keutamaan diberikan kepada warga emas, wanita hamil dan Orang Kurang Upaya(OKU) selama tiga hari sejak dibuka semalam.
"Kami turut sediakan 400 khemah di luar dewan dan 600 kerusi di dalam dewan bagi menampung kehadiran orang ramai ke sini.
"250 petugas juga sedia menanti kehadiran mereka untuk memberikan perkhidmatan terbaik sepanjang proses vaksinasi berjalan," tambahnya.
25 Aug 21
481
Hotel Primula Tawar Promosi Menarik Sempena Bulan Kemerdekaan
KUALA TERENGGANU, 25 Ogos- Sempena sambutan bulan Kemerdekaan Ke-64 pada tahun ini, Primula Beach Hotel tampil dengan program dan tawaran menarik.
Pengurus Besar Primula Beach Hotel, Suaibah Harun berkata, pelbagai promosi dengan harga yang amat berpatutan ditawarkan kepada orang ramai sehingga penghujung bulan September ini.
"Antaranya promosi jualan bersempena sambutan bulan Kemerdekaan Ke-64 iaitu ‘Mantou with Sambal Udang’, ‘Primula Merdeka Cake’, dan ‘Merdeka Laundry Promotion’, " ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, penjualan promosi tersebut adalah cara terbaik dan selamat dengan mengikuti SOP yang ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia untuk meraikan bulan Kemerdekaan pada tahun ini memandangkan keadaan semasa yang masih lagi tidak stabil dengan penularan wabak pandemik COVID-19.
Sementara itu Suaibah berkata, pihaknya juga akan mengadakan program agihan Jalur Gemilang di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pandu Lalu, Dewan Utama Majlis Daerah Marang.
"Ini merupakan kali ketiga program ini diadakan dimana yang pertama kalinya diadakan di premis Primula Beach Hotel dan yang keduanya di Jambatan Angkat Terengganu.
"Golongan yang dituju dalam program agihan Jalur Gemilang kali ini adalah mereka yang menerima suntikan vaksin sama ada dos pertama mahupun dos kedua secara pandu lalu di PPV tersebut.
Katanya, tujuan program tersebut diadakan adalah untuk menyemarakkan semangat patriotik dan kemerdekaan di kalangan rakyat Malaysia, terutamanya di negeri Terengganu.
Beliau berharap semangat cintakan tanah air akan terus membakar dalam diri seluruh rakyat Malaysia walaupun sambutan pada tahun ini tidak semeriah tahun-tahun sebelumnya.
"Dengan program agihan Jalur Gemilang ini diharap Primula Beach Hotel dapat menyemarakkan semangat kemerdekaan dan terus berjuang melawan COVID-19.
"Cara yang paling mudah untuk memerangi wabak pandemik ini adalah dengan menerima suntikan vaksin secara menyeluruh," ujarnya.
25 Aug 21
680
COVID-19: 1,124 Penduduk Pulau Perhentian Jalani Saringan
KUALA TERENGGANU, 25 Ogos -- Seramai 1,124 penduduk penduduk, pengusaha chalet serta pemilik resort di Pulau Perhentian menjalani ujian saringan besar-besaran, susulan 75 kes positif COVID-19 dikesan, baru-baru ini.
Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Dato' Dr Kasemani Embong berkata proses ujian saringan itu yang melibatkan hampir 70 peratus penduduk pulau dijangka selesai sepenuhnya petang ini.
Katanya, mereka telah menjalani ujian calitan COVID-19 yang dijalankan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu sejak Jumaat lepas untuk mencegah penularan di pulau peranginan terkenal itu.
"Ujian calitan terpaksa dilakukan kerana terdapat 75 kes positif COVID-19 dikesan setakat hari ini. Sekatan pergerakan keluar masuk pulau juga telah dimulakan sejak Jumaat lepas.
"Punca penularan COVID-19 bukanlah jangkitan dari pelancong sebaliknya disebabkan pergerakan penduduk pulau yang berulang alik menjalankan beberapa urusan di tanah besar," katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Dalam perkembangan yang sama , kesemua penduduk pulau yang positif COVID-19 telah dihantar menerima rawatan di Hospital Setiu dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKR) di Kem Wawasan serta Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Mizan Besut dan kesemuanya berada dalam keadaan stabil.
"Mereka yang dikesan sebagai kontak rapat diberikan arahan untuk kuarantin di rumah dengan pengawasan ketat oleh penguatkuasa kesihatan dan Polis Diraja Malaysia," ujarnya.
25 Aug 21
836
113 Tangki Statik Air Bersih Disedia Di Buluh Gading
KUALA NERUS, 25 Ogos - Sebanyak 113 tangki statik air bersih disediakan di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Buluh Gading bagi mengelakkan penduduk di kawasan terbabit terputus bekalan air
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim berkata, tindakan semasa tersebut dilakukan pihaknya dalam menghadapi ketiadaan air kerana kerosakan paip sejak 23 Ogos, baru-baru ini.
“Tangki yang sediakan kadang-kadang jaraknya terlalu jauh dengan rumah penduduk, susulan itu kita tambah lagi jumlahnya supaya ia memudahkan urusan rakyat yang ingin mengambil bekalan asas ini.
“Dengan cara itu, tidaklah terlalu membebankan penduduk ketika ini,” ulas beliau ketika meninjau proses perbekalan air dengan kerjasama BOMBA di hadapan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Buluh Gading.
Beliau juga memaklumkan, tambahan tangki juga dibuat di tempat-tempat pengambilan sumber air agar tempoh masa mengisi air ke dalam lori transit tidak memakan masa terlalu lama.
“Buat masa sekarang, tenaga sepenuh masa agak berkurangan kerana masing-masing bekerja.
“Semasa krisis yang dulu, kawasan kita dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKPD), jadi tenaga kerja agak ramai kerana masing-masing tidak bekerja,” ujar beliau lagi.
Beliau juga melahirkan rasa syukur kerana pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) juga mengambil inisiatif membantu mengangkut air ke kampung masing-masing untuk diagihkan kepada pemduduk yang dikenakan perintah kuarantin, warga emas yang ketiadaan anak di rumah dan juga pesakit kronik.
“Sebanyak 19 JPKK yang terlibat dalam krisis air pada kali ini,” katanya lagi.
25 Aug 21
246
Vaksin 'Walk-in' Buat Penduduk Kuala Nerus Di UniSZA
KUALA NERUS, 24 Ogos - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah melancarkan program pemberian vaksin COVID-19 secara 'walk-in' di Dewan Al Muktafi Billah Shah (DABS), Kampus Gong Badak buat penduduk di daerah ini.
Penyelaras Pusat Pemberian Vaksin (PPV) tersebut, Dr Nik Ahmad Shaifuddin Nik Him berkata, ia dibuka kepada individu berumur 18 tahun ke atas serta tidak mempunyai sejarah alergi teruk.
Katanya, inisiatif tersebut diadakan berdasarkan prinsip ‘first come, first serve’ bermula hari ini sehingga 26 Ogos (khamis) ini dan beroperasi pada waktu 9 pagi sehingga 3 petang.
“Syarat lain termasuk mereka yang terlepas temujanji vaksinasi di UniSZA, belum mendapat temujanji vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera atau belum mendaftarkan diri untuk vaksinasi dalam sistem tersebut.
“Ini tertakluk kepada bekalan vaksin yang kita dapat, nasihat saya bagi komuniti di daerah Kuala Nerus yang ingin disuntik agar membawa pen dan kad pengenalan atau pasport masing-masing," katanya ketika dihubungi UPDI hari ini.
UniSZA merupakan institusi pengajian tinggi (IPT) ketiga di negara ini menubuhkan sejak 13 Jun bagi membantu kerajaan menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
24 Aug 21
865
Bantuan Air Bersih Mula Disalurkan Di Dua Daerah Terjejas
KUALA TERENGGANU, 24 Ogos - Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) sudah mula menyalurkan bantuan bekalan air bersih kepada 28,700 pengguna yang terjejas susulan gangguan bekalan air kali kedua di Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata bagi memastikan penduduk di kawasan terjejas mendapat bekalan air secukupnya, sebanyak 19 lori tangki yang beroperasi 24 jam sehari telah digerakkan, termasuk ke beberapa premis penting seperti pusat hemodialisis dan pusat kuarantin untuk pesakit COVID-19.
"Pembaikian paip pecah kali ini akan mengambil masa lebih kurang 20 hari dengan mengambil kira pelbagai faktor.
"Bagi memastikan orang awam mendapat bekalan air bersih sehingga proses selesai, SATU telah mula agihkan air bersih termasuk penghantaran lori tangki bergerak untuk mengisi air di tangki-tangki statik," ujarnya kepada pemberita di sidang media di pejabat SATU, hari ini.
Selain itu,katanya bagi menampung keperluan semasa dan memudahkan pengambilan air bersih, 200 tangki statik dan 86 pili paip telah disediakan di seluruh kawasan terlibat.
Terdahulu, SATU telah mengesan punca gangguan bekalan air di dasar Sungai Kuala Terengganu yang mendapati paip sama yang pecah pada lokasi berlainan berbanding kejadian pada awal Ogos lalu.
24 Aug 21
545