lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Semarakkan Bulan Kemerdekaan, Kibarkan Jalur Gemilang
Semarakkan Bulan Kemerdekaan, Kibarkan Jalur Gemilang
KUALA TERENGGANU, 29 Ogos – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi menyeru orang ramai untuk mengibarkan Jalur Gemilang bagi menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan ke 64. “Walaupun kita masih lagi berdepan dengan wabak COVID-19, namun kita bersyukur kepada Allah SWT atas nikmat kemerdekaan yang diberikan kepada negara kita.   “Kita mendoakan semoga para pejuang tanah air yang telah berkorban sehingga negara kita mencapai kemerdekaan agar roh mereka dirahmati oleh Allah SWT,” katanya. Beliau berkata ketika ditemu bual pemberita dalam program Kempen Semarak Jalur Gemilang Peringkat DUN Batu Buruk yang diadakan di hadapan pejabat Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Buruk, semalam. Dalam program berkenaan, sebanyak 1600 helai bendera Jalur Gemilang telah diagihkan kepada pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan orang ramai dalam Kempen Semarak Jalur Gemilang Peringkat DUN Batu Buruk. Tambahnya, sambutan Bulan Kebangsaan penting bagi mengingati peristiwa dan pengorbanan pejuang kemerdekaan negara.  “Saya berharap agar generasi pada hari ini dapat mengisi kemerdekaan negara kita supaya terus aman, makmur dan sejahtera sentiasa,”katanya.    
29 Aug 21
75
Talian Hotline Mudahkan Agihan Air Kepada Penduduk Uzur
Talian Hotline Mudahkan Agihan Air Kepada Penduduk Uzur
SETIU, 29 Ogos - Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit mengambil inisiatif menyediakan talian ‘hotline’ bagi memudahkan operasi pengagihkan bekalan air bersih kepada golongan tidak berkemampuan. Pegawai Penyelarasnya, Mohd Shafizi Ismail berkata, pihaknya memfokuskan penghantaran bekalan asas itu buat golongan sasar seperti Orang Kurang Upaya (OKU), menjalani kuarantin, warga emas dan individu uzur. “Mereka ini tidak mampu untuk keluar rumah bagi mengambil air, jadi ini diharapkan mudahkan mereka di lebih 40 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang terkesan. “Bagi golongan dalam kategori tersebut boleh hubungi di talian di 0149650227 (Izzat) atau 01140275425 (Fadil),” jelasnya. Beliau berkata demikian selepas kerja pengagihan bantuan air mineral di Kampung Bukit Chempaka, pagi tadi. Dalam pada itu, Mohd Shafizi turut memaklumkan tiga Unit Daerah Mengundi (UDM) di kawasannya akan menerima bantuan air mineral dalam kotak. Jelasnya, ia sebahagian daripada bantuan segera sebanyak RM1.25 juta seperti mana diumumkan Menteri Besar. “Pagi ini kita menerima lima lori treler bagi kawasan terlibat antaranya Bukit Cempaka, Padang Kemunting dan Darat Batu Rakit, ia akan salurkan pada 12 JPKK pada peringkat ini dengan dua karton setiap rumah. “Selebihnya rumah kita akan agihkan secara berperingkat dengan jumlah lima karton satu rumah, selain itu, pihak kami turut sediakan lebih 100 tangki statik (3 tangki setiap JPKK) dan para petugas disini bergerak pada 9 pagi sehingga lewat 2 pagi,” tambahnya.  
29 Aug 21
213
Bantuan Segera RM1.25 Juta Air Mineral Bermula Hari Ini
Bantuan Segera RM1.25 Juta Air Mineral Bermula Hari Ini
KUALA TERENGGANU, 28 Ogos – Bantuan segera bernilai RM1.25 juta dalam bentuk air minuman kotak telah mula disalurkan hari ini hingga 10 hari akan datang di daerah ini dan Kuala Nerus. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, kira-kira 14 buah lori treler digerakkan di enam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada hari pertama. Katanya, setiap rumah yang terputus bekalan air akan menerima lima kotak air mineral, diagihkan secara berperingkat melalui Pusat Khidmat DUN, Penyelaras dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) masing-masing. “Sebuah lori akan angkut kira-kira 1,400 karton air minuman, jadi keseluruhannya dalam lebih 19,000 karton bagi hari ini, kita jangkakan 100 buah trailer akan terlibat dalam kerja penyaluran ini,” jelasnya. “Usaha ini adalah sebahagian daripada program tanggungjawab sosial (CSR) Kerajaan negeri melalui Syarikat Air Terengganu (SATU) dan Terengganu Incorporated (TI) menyalurkan bantuan segera berjumlah RM2.79 juta. “Diharapkan agar ia dapat beri kemudahan kepada penduduk terlibat,” katanya ketika ditemu bual selepas pelepasan bantuan air minuman di Kampung Losong Feri, pagi tadi. Sementara itu, beliau turut mengulas tentang dua alternatif dalam menyelesaikan Krisis Air Berangan yang sedang giat diusahakan pihaknya. “Pertama, kita baiki paip di dasar sungai, kedua kita mempercepatkan perjalanan mengaktifkan loji air di Bukit Berapit. “Kita sedang menunggu peralatan seperti alat kawalan pam Variable Frequency Drive (VFD) yang berfungsi sebagai mengawal peraliran air kedalam dan luar loji, dijangka alat diimport luar ini akan tiba di pada 31 Ogos. “Manakala bagi kaedah dan masa terperinci bagi kerja pembaikan paip pecah telah diperkemaskan hari ini, kita sedang berlumba-lumba untuk selesaikan,” katanya lagi. Terdahulu, masalah gangguan bekalan air kali kedua yang melibatkan 150,000 penduduk di sekitar Kuala Nerus dan Kuala Terengganu dijangka pulih sepenuhnya pada 12 September.
28 Aug 21
1930
Petugas Amal Berkampung Di Kuala Nerus Agih Air
Petugas Amal Berkampung Di Kuala Nerus Agih Air
KUALA NERUS, 28 Ogos – Para petugas dan sukarelawan daripada pelbagai daerah berkampung di Kuala Nerus bagi membantu memastikan rantaian bekalan air bersih buat penduduk terkesan tidak putus. Penasihat Jabatan Amal Malaysia (Amal) Dungun, Mohd Fadhil Rahmi Zulkifli berkata, pihaknya telah berkampung di daerah tersebut sejak Khamis lalu bersama 14 anggota lain. “Tujuan kami datang adalah untuk memudahkan urusan bagi mereka yang terjejas bekalan asas ini, menerusi empat buah kenderaan kita meronda di kawasan yang telah diagihkan seperti di sekitar Padang Nenas dan Kampung Alor Jambu. “Selain itu, Jabatan Amal daripada daerah Besut dan Marang turut datang berganding bahu dalam inisiatif ini, reaksi orang tempatan cukup bagi memuaskan hati kami. “Ada yang ternanti-nanti dan memanggil kami, rata-rata penduduk sekitar sini telah banyak merakamkan ucapan terima kasih,” katanya ketika ditemu bual semasa kerja pengagihan air di Kampung Alor Jambu, tengah hari tadi. Sementara itu, Sekretariat Bantuan Bekalan Air Pemuda PAS Negeri, Mohd Riduan Abu Bakar menjelaskan, 400 orang sukarelawan Pemuda dan anggota Jabatan Amal sedang giat berkhidmat di enam kawasan terjejas termasuk misi agihan bantuan segera sebanyak RM1.25 juta berbentuk air minuman dalam kotak. “Waktu operasi kita bermula pada 7 pagi sehingga 12 tengah malam, kadangkala kita juga tidak bersengkang mata menyalurkan air pada sehingga 4 pagi bergantung kepada keperluan semasa. “Jutaan terima kasih kepada kerajaan negeri dan semua pihak terlibat dalam penyaluran bekalan asas ini kepada rakyat yang telah banyak bersabar menghadapi musibah ini,” katanya lagi. Baru-baru ini, masalah gangguan bekalan air kali kedua yang melibatkan 29,151 akaun pengguna di sekitar Kuala Nerus dan Kuala Terengganu telah berlaku. Ia dijangka pulih sepenuhnya pada 12 September, menurut Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh.
28 Aug 21
1093
Petugas Bersengkang Mata Agih Bekalan Air
Petugas Bersengkang Mata Agih Bekalan Air
KUALA NERUS, 27 Ogos - Sukarelawan dan petugas yang membantu agihan bekalan air di sekitar Kuala Nerus bersengkang mata bagi memastikan keperluan penduduk terjejas sentiasa dipenuhi. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishammuddin Abdul Karim berkata, proses agihan bekalan air lazimnya berlarutan sehingga jam dua hingga tiga pagi berikutan keadaan tenaga kerja dan jentera yang terhad. "Agihan biasanya lebih rancak pada waktu malam dan ramai penduduk yang ambil inisiatif membantu sehingga kadang-kadang sampai jam empat pagi. "Tepoh adalah kawasan yang paling banyak terjejas dengan lebih 10 ribu akaun pengguna dan tentu sekali kita merasai beban ini. "Sekarang kita ada 10 kenderaan pacuan empat roda dan lapan lori tetapi tetapi masih tak cukup, lebih-lebih lagi sebahagian jentera ini juga 'on-off' kerana halangan kerja," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di pusat agihan bekalan air Padang Air, semalam. Bagaimanapun, jelasnya situasi itu perlu dihadapi dalam memastikan bekalan air sampai kepada pengguna. "Lazimnya dalam tempoh tiga hari proses agihan masih belum stabil, semasa krisis pertama tempoh hari kami mengambil masa lima hari juga untuk stabil. "Krisis air berbeza dengan banjir dan bencana lain. Kalau dalam DUN Tepoh ini hanya tiga penempatan tidak terlibat iaitu Kg Tok Jiring, kampung Padang Air dan sebahagian Felda Belara. Apabila seluruh kawasan terjejas, pemusatan tenaga tak sama dengan banjir, ia memerlukan tenaga yang ramai dan apabila tak ramai, sangat sukar untuk kita bergerak," katanya. Tambahnya, proses agihan bekalan air di sekitar Kuala Nerus akan menerima sokongan tenaga kerja pada hari ini (Jumaat) dengan pertambahan lori tangki.  
27 Aug 21
444
Isu Ekonomi, COVID-19 Perlu Jadi Keutamaan Kabinet Baru
Isu Ekonomi, COVID-19 Perlu Jadi Keutamaan Kabinet Baru
KUALA TERENGGANU, 27 Ogos - Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengharapkan barisan Kabinet ‘Keluarga Malaysia’ yang baru dilantik memberi keutamaan untuk membebaskan negara daripada kemelut kesihatan dan ekonomi akibat pandemik COVID-19. Katanya, beliau yakin kesemua barisan Kabinet itu akan bekerja keras bagi mencapai sasaran sebagaimana yang ditetapkan Perdana Menteri, Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob. "Bagi saya ini adalah Kabinet yang menyeluruh dibentangkan oleh Perdana Menteri. "Kesemua Menteri dan Timbalan Menteri yang dilantik ini bertugas untuk seluruh negara. "Memang kita agak terkilan sedikit kerana tidak ada Menteri daripada Terengganu, tapi dalam masa yang sama saya percaya barisan Menteri dan Timbalan Menteri yang ada ini akan bertugas dengan penuh keadilan untuk seluruh negara tidak kira dari negeri mana," ujarnya kepada pemberita. Mengulas lanjut, beliau berkata, mereka yang dilantik perlu terus bekerja untuk menyelesaikan konflik, pandemik serta krisis ekonomi yang ada dalam negara ini. "Ada gabungan yang lama, ada gabungan yang baru, ada berlaku pertukaran kementerian. "Saya rasa langkah itu diambil untuk memastikan urusan yang berkait dengan ekonomi dan pandemik ini tidak terjejas dan dalam masa yang sama kita ingin keluar daripada apa yang berlaku," ujarnya. Terdahulu, barisan Kabinet yang diumum hari ini juga memperlihatkan banyak muka lama masih dikekalkan dengan 31 menteri dan 33 timbalan menteri. Barisan Kabinet baru ini dijadual akan mengangkat sumpah jawatan pada Isnin depan.
27 Aug 21
285
Ahmad Amzad Ikrar Terus Perkasa MOSTI
Ahmad Amzad Ikrar Terus Perkasa MOSTI
KUALA TERENGGANU, 27 Ogos - Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dato' Ahmad Amzad Hashim dikekalkan sebagai Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi(MOSTI), dalam pembentukan kabinet baru yang diumumkan  Perdana Menteri, Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini. Ahmad Amzad yang dilantik semula dalam Kabinet  berkata beliau akan memberikan khidmat terbaik dalam menunaikan amanah itu. "Seperti disebut oleh Perdana Menteri, Covid-19 dijangka akan terus ada dalam kehidupan kita sebagai Endemik.  "Kerana itu kita kena terus pacu penggunaan 'lowtouch technology' yang mengurangkan sentuhan dan interaksi fizikal dalam sektor sosial dan pekerjaan yang akan terus diberi tumpuan oleh MOSTI. "Ini termasuk beberapa 'roadmap' yang sedang dibangunkan dibawah seliaan saya antaranya Roadmap For Advanced Material seperti composite, graphene, nanotechnology yang perlu dimuktamadkan,"ujarnya ketika dihubungi pemberita. Tambah Ahmad Amzad lagi, beliau berharap supaya Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi 2020-2030 dapat diperkasakan dalam merealisasikan hasrat menjadikan Malaysia negara berpendapatan dan berteknologi tinggi melalui penggunapakaian (adoption) dan penghasilan lebih banyak inovasi teknologi tempatan. Terdahulu, barisan Kabinet yang diumum hari ini juga memperlihatkan banyak muka lama masih dikekalkan dengan 31 menteri dan 33 timbalan menteri. Barisan Kabinet baru ini dijadual akan mengangkat sumpah jawatan pada Isnin depan. Ismail ketika mengumumkan senarai berkenaan berkata, tugas utama kabinet yang dibentuk hari ini adalah untuk menangani Covid-19 dan memulihkan semula ekonomi.        
27 Aug 21
432
600 Penduduk Seberang Tayur Terima Suntikan Program Outreach Vaksinasi Covid-19
600 Penduduk Seberang Tayur Terima Suntikan Program Outreach Vaksinasi Covid-19
KEMAMAN, 27 Ogos - Dalam menyahut seruan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk mencapai ‘herd immunity’ dalam kalangan penduduk Malaysia, Klinik Kesihatan Seberang Tayur dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih telah menganjurkan program Outreach Vaksinasi Covid-19 baru-baru ini. Bertempat di Klinik Kesihatan Seberang Tayur, dicatatkan sebanyak 600 suntikan vaksin berjaya diberikan kepada penduduk di sekitar Seberang Tayur sepanjang dua hari berlangsungnya program tersebut.  Program itu menyasarkan penduduk di kawasan Kampung Seberang Tayur Hulu, Kampung Seberang Tayur Hilir dan Felda Seberang Tayur. Golongan yang disasarkan bagi program tersebut adalah mereka yang berusia 18 tahun ke atas dan merupakan penerima vaksin bagi dos yang pertama. ADUN kawasan Air Putih, Ab Razak Ibrahim ketika ditemuramah berkata, Program Outreach Vaksin Covid-19 amat diperlukan bagi membendung penularan wabak Covid-19 di kawasan ini. "Dengan adanya program seperti ini, sedikit sebanyak dapat memudahkan penduduk setempat khususnya mereka yang tidak mempunyai pengangkutan sendiri untuk mendapatkan suntikan vaksin memandangkan kawasan ini terletak di pedalaman," katanya. "Jutaan terima kasih diucapkan kepada para petugas yang terdiri daripada staf Klinik Kesihatan Seberang Tayur, sukarelawan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Air Putih dan Jabatan Amal Malaysia DUN Air Putih yang telah bertungkus-lumus memastikan program ini berjaya dan berjalan dengan lancar," ujarnya.
26 Aug 21
290
Tujuh Lokaliti Paka Dikenakan PKPD Akibat Kluster Komuniti
Tujuh Lokaliti Paka Dikenakan PKPD Akibat Kluster Komuniti
KUALA TERENGGANU, 27 Ogos - Sebanyak tujuh lokaliti dalam Mukim Paka, daerah Dungun di Terengganu akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) serentak bermula Sabtu ini. Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md. Saad berkata, penguatkuasaan selama tempoh dua minggu sehingga 10 September depan diputuskan setelah meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai penilaian risiko serta jangkitan Covid-19. Lokaliti terlibat ujarnya, ialah Bandar Paka, Gong Gemia, Cacar Baru, Limbong, Kuala Paka, Taman Indah Permai dan Telaga Mas yang membabitkan sejumlah lebih 10,000 penduduk. “Antara punca pelaksanaan PKPD di sini akibat Kluster komuniti iaitu Kampung Limbong melibatkan seorang penduduk tempatan bergejala yang berusia 55 tahun disahkan positif Covid-19 pada 16 Ogos dan menjangkiti 53 orang sehingga semalam," katanya. Menurut laporan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dungun merupakan daerah kedua tertinggi mencatatkan sejumlah 108 kes positif harian Covid-19 semalam, daripada jumlah keseluruhan kes penularan tempatan dalam negeri iaitu 543 kes.
26 Aug 21
1796
Azizulhasni Terima Tawaran Biasiswa PhD Di UMT
Azizulhasni Terima Tawaran Biasiswa PhD Di UMT
KUALA NERUS, 26 Ogos -Jaguh berbasikal trek kebangsaan Datuk Mohd Azizulhasni Awang hari ini secara rasmi dipilih sebagai atlet sukan pertama yang menerima Anugerah Biasiswa Tuanku Canselor UMT bernilai RM72,000 untuk menyambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD). Azizulhasni berkata beliau sangat berbesar hati dengan tawaran menyambung pengajian di universiti itu bagi tempoh tiga tahun pada bila-bila masa, kerana sedar kepentingan akademik untuk masa depannya setelah tidak lagi aktif dalam bidang sukan. "Tawaran untuk sambung belajar memang banyak, namun saya pilih UMT kerana universiti ini terletak di negeri kelahiran saya, ia lebih istimewa," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Naib Canselor UMT Profesor Dr Mazlan Abd Ghaffar di sini hari ini. Pemenang pingat perak pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo itu bagaimanapun berkata buat masa ini fokusnya adalah pada kerjaya dan akan menyambung pengajian apabila telah bersedia. "Buat masa sekarang saya perlu fokus pada karier. Saya akan sambung belajar apabila telah bersedia kerana tawaran biasiswa UMT ini tiada tarikh luput...mungkin bila anak-anak dah besar sambung belajar ke sekolah atau universiti nanti, saya mulakan pengajian PhD. "UMT juga tawarkan peluang untuk saya jadi tenaga pengajar di universiti ini selepas bersara sebagai atlet demi kecemerlangan sains sukan.... insya-Allah saya akan fikirkan, kerana sekarang pun saya minat juga mencurahkan ilmu berkaitan keirin kepada junior serta orang ramai melalui YouTube," katanya. Ketika ini, Azizulhasni sedang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam bidang sains sukan di Universiti Victoria, Melbourne. Sementara itu Mazlan berkata Azizulhasni juga akan menerima Anugerah Sarjana Kehormat pada Istiadat Konvokesyen UMT kali ke-19 yang dijangka berlangsung November depan. "Beliau telah dilantik sebagai Karyawan Tamu Utama UMT sejak November tahun lepas. Tiga penghargaan ini adalah pengiktirafan UMT terhadap jasa dan sumbangan beliau kepada negara selama ini. "Banyak lagi tawaran lain UMT akan menyusul sekiranya beliau pulang ke Terengganu, ibarat sirih pulang ke gagang untuk berkhidmat kepada negeri dan negara sebagai kakitangan tenaga akademik UMT setelah ada PhD nanti," katanya. Azizulhasni yang terkenal dengan gelaran 'The Pocket Rocketman' merangkul pingat perak di peringkat akhir acara keirin lelaki di Veldorum Izu, di Shizuoka, Tokyo, pada 8 Ogos lepas. Semalam, Azizulhasni menerima insentif bernilai RM350,000 daripada Kerajaan Negeri Terengganu iaitu sebuah rumah teres setingkat bernilai RM300,000 di Dungun dan wang tunai RM50,000. -- BERNAMA
26 Aug 21
289