Artikel "Semasa" Terkini
60 Penghantar Makanan Terima Minyak Hitam Percuma
HULU TERENGGANU, 31 Ogos – Seramai 60 orang penghantar makanan bermotosikal tidak melepaskan peluang menukar minyak hitam motosikal percuma secara pandu lalu.
Program anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Penyelaras Parlimen Hulu Terengganu bersempena dengan bulan kemerdekaan ke-64 ini menyasarkan penghantar makanan Food Panda dan Halo Delivery yang beroperasi dalam daerah itu.
Penyelaras Parlimen Hulu Terengganu, Muhyidin Abdul Rashid berkata, inisiatif tersebut bertujuan untuk membantu meringankan beban golongan rider (Penghantar makanan) melalui penyelenggaran ringkas disediakan.
“Pihak kami menghargai jasa dan pengorbanan mereka bekerja dan mengharungi cabaran cuaca untuk berkhidmat kepada masyarakat dan keluarga, oleh sebab itu pihak kami mengadakan program sebegini.
“Pelaksanaan program secara besar-besaran pihak berkuasa masih lagi belum membenarkan, pihak kami hanya mampu menganjurkan usaha ini secara pandu lalu sahaja.
“InsyaAllah program ini akan diteruskan dari masa ke semasa dan berharap agar pandemik Covid-19 ini akan kembali reda," jelasnya selepas Program Tukar Minyak Hitam Percuma Untuk ‘Rider Delivery, pagi tadi.
Menemubual seorang penghantar makanan Food Panda, Mohd Amirul Asyraf Mohd Zamri berkata, dia amat memuji dan berterima kasih kepada pihak penganjur atas kecaknaan terhadap warga kerja tersebut.
“Walaupun kelihatan kecil, namun ia sudah memadai dan sangat bermakna kepada kami yang menerimanya,” katanya.
Sementara itu, Mohd Hanafiah Abdullah, anjuran ringkas tersebut wajar dicontohi dan diteruskan oleh pihak yang berkemampuan bagi meringankan beban terutamanya buat golongan berpendapatan rendah dan kurang berkemampuan.
“Alhamdulillah, ramai daripada rakan rider saya mendapat manfaat secara langsung dalam memudahkan usaha penghantaran makanan harian," tambahnya yang juga seorang penghantar makanan Halo Delivery.
31 Aug 21
338
Pengorbanan 'Frontliners' Dikenang Sebaris Perjuangan Kemerdekaan - MB
KUALA TERENGGANU, 31 Ogos 2021 - Pengorbanan barisan hadapan yang sanggup menggadaikan masa dan nyawa semata-mata demi masyarakat wajar dikenang sebaris dengan pejuang kemerdekaan terdahulu.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Malaysia berdepan dengan 'penjajah baharu' iaitu wabak COVID-19 yang menuntut pengorbanan besar daripada semua pihak untuk membebaskan negara daripada cengkaman ini.
“Kita seharusnya lebih menghayati erti kemerdekaan, lebih-lebih lagi pandemik telah menyebabkan kehidupan kita berubah, kebebasan terbatas, malah menjejaskan ekonomi, pendidikan, kesihatan dan keselamatan orang awam.
“Walaupun berdepan dengan musuh yang berbeza dengan orang terdahulu, namun kita wajar mengambil semangat tidak mengalah mereka dalam membebaskan negara.
“Jika pejuang dahulu menggunakan senjata, namun generasi hari ini perlu berperang dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan mengambil vaksinasi,” katanya melalui perutusan Hari Kebangsaan 2021, yang dimuat naik melalui Facebook (FB), hari ini.
Tambahnya, beliau menyeru semua rakyat agar mematuhi saranan Kerajaan Persekutuan dan Negeri serta mematuhi arahan pihak berkuasa dalam usaha memerangi COVID-19.
“Saat ini juga, kita mestilah memberi keutamaan kepada agenda Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan saling bersatu hati dan bekerjasama sekali gus menjayakannya.
“Akhirnya, marilah kita menyelami maksud sebenar tema Hari Kebangsaan Malaysia ke-64 iaitu ‘Malaysia Prihatin’ yang menuntut kita untuk mengharungi cabaran getir bersama-sama tanpa mengira fahaman politik, agama dan bangsa.
“Selamat menyambut Hari Kebangsaan 2021 kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya rakyat Terengganu,” ucapnya.
31 Aug 21
326
Semarak Merdeka, ADUN Manir Edar Jalur Gemilang
HULU TERENGGANU, 30 Ogos - Semarak Merdeka sempena sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini, Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) ADUN Manir mengedarkan 1,000 bendera Malaysia secara 'Drive Thru' kepada warga setempat, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Ustaz Hilmi Dato' Harun berkata, ia bukan saja untuk menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2021 tetapi juga membangkitkan kesedaran rakyat terhadap jasa dan pengorbanan orang terdahulu berjuang memerdekakan negara.
"Kemerdekaan tanah melayu ini perlu diingati, semangat penentang penjajah oleh para pejuang, negarawan serta ulama' perlu dikenang.
“Rakyat di semua peringkat perlu menunjukkan semangat patriotik dan cintakan negara melalui pengibaran Jalur Gemilang sebagai lambang kebebasan serta kemajuan yang sudah dicapai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika selesai program Semarak Merdeka dan Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat DUN Manir hadapan pejabat PKM di kampung Kubang Lembek.
Dalam pada itu, PKM turut membahagikan jalur gemilang kepada seluruh 23 JPKK di DUN Manir untuk menghiasi premis-premis dan balairaya di tempat masing-masing.
“Walaupun kini kita berada dalam suasana pandemik Covid-19, usaha mengibarkan Jalur Gemilang ini adalah bagi menghargai keprihatinan, kesungguhan dan ketabahan warga Malaysia mengharungi cabaran dan dugaan wabak Covid-19 yang melanda,” jelas Hilmi.
30 Aug 21
535
Masalah Projek Perumahan Mak Kemas Selesai
MARANG, 30 Ogos - Projek perumahan kerajaan terdahulu iaitu program My Beautiful New Home (MyBNHome) di Kampung Mak Kemas kini berada di landasan kemajuan setelah isu kontraktor dan ketiadaan longkang saliran diselesaikan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, pembinaan perumahan yang bermula sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) itu telah sekian lama diselubungi masalah berkaitan pihak kontraktor khususnya soal penyerahan dokumen.
“Oleh itu, melalui portfolio perumahan, kita telah membuat satu perjumpaan dengan kontraktor dan pelbagai agensi kerajaan antaranya Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) yang berperanan sebagai pengurus projek bagi menyelesaikan projek dalam tahun ini.
“Turut terlibat adalah Majlis Daerah Marang yang bertanggungjawab dengan kelulusan pelan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Pejabat Daerah bagi pengurusan tanah dan lain-lain lagi supaya program ini berjalan lancar,” katanya.
Katanya, antara penyelesaian dicapai adalah kelulusan tanah bagi pembinaan sistem longkang untuk pelepasan air 50 unit rumah berkembar setingkat dan pelebaran jalan di kawasan keluar masuk perumahan.
Beliau berkata demikian selepas kerja lawatan Pembangunan Dan Kemudahan Berkaitan Bagi MyBNHome Di Kampung Mak Kemas, petang semalam.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung, Mohd Nor Hamzah dan Pegawai Daerah Marang, Lizan Che Mat.
Mengulas lanjut, Dr Alias menjelaskan tahap kemajuan pembinaan adalah sekitar 50 peratus dengan jangkaan siap sepenuhnya dalam masa enam bulan.
“Jika kontraktor baharu yang dilantik boleh menyiapkan dalam masa hujung tahun ini lebih baik, diharapkan apa dirancang hari ini semua boleh diselesaikan dengan segera,” tambahnya.
30 Aug 21
3446
Slot Janji Temu Dalam Talian JPJ Di Terengganu Ditambah
KUALA TERENGGANU, 30 Ogos - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu menambah jumlah slot janji temu daripada lima kepada tujuh bagi memudahkan orang awam berurusan dengan agensi berkenaan bermula pada Ahad.
Pengarahnya, Zulkarnain Yasin berkata, urus niaga bahagian pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) akan meningkat daripada 299 janji temu menjadi 400 janji temu setiap hari.
Menurutnya, dengan penambahan slot janji temu itu lebih ramai pelanggan akan dilayan sekali gus dapat mengurangkan masa menunggu dalam talian.
“Keputusan untuk tambah slot janji temu ini sehingga mencapai 40 peratus daripada jumlah sedia ada bertujuan untuk memberi kemudahan kepada pelanggan mendapat capaian yang lebih meluas.
"Ini kerana hasil pemantauan yang dilakukan mendapati ramai pelanggang yang membuat janji temu sehingga menyebabkan sebahagian besar slotnya habis hanya dalam masa beberapa minit sahaja," katanya ketika dihubungi pemberita.
Dalam pada itu, Zulkarnain berkata, selain itu pihaknya turut memperkenalkan kemudahan 'Walk in terkawal' bermula Ahad, iaitu dengan hanya membenarkan 10 pelanggan sahaja berurusan untuk setiap satu slot.
Beliau berkata, kemudahan secara 'walk in' juga turut diberikan kepada golongan warga emas, ibu mengandung dan orang kelainan upaya (OKU) bagi mendapatkan pekhidmatan di JPJ Terenganu.
"Bagi kemudahan ini, setiap pelanggan akan diberikan satu kad nombor dan hanya 10 pelanggan sahaja dibenarkan berurusan bagi setiap satu slot yang mula dibuka pada jam 8 pagi sehingga tamat waktu pejabat.
"Sistem ini sama seperti sistem yang dipraktikkan di pasaraya dan juga mereka yang berurusan di dalam bangunan bank-bank ketika ini.
"Penambahan kedua-dua perkhidmatan ini diharap dapat memudahkan orang ramai menyelesaikan urusan pembayaran melalui kedua-dua perkhidmatan ini memandangkan tarikh moratorium akan tamat pada 30 September ini," katanya-SINAR HARIAN
30 Aug 21
771
Abdul Karim Dilantik CEO SATU Bermula 1 September Ini
KUALA TERENGGANU, 30 Ogos -Ketua Perkhidmatan Operasi Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor), Abdul Karim Endut, dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (SATU) baharu berkuat kuasa 1 September ini.
SATU dalam kenyataan berkata, pelantikan Abdul Karim, 51, bagi menggantikan Ir Hj Atemin Sulong yang tamat tempoh perkhidmatan pada 24 Julai 2021.
Abdul Karim yang berkelulusan Ijazah Sarjana Kejuruteraan Bahan (Chemistry-Polymer) dari Universiti Henri Poincare, Perancis itu mempunyai pengalaman lebih 26 tahun dalam Pengurusan Operasi Perkhidmatan Air, Teknikal dan Penyelenggaran Air, Pengagihan dan Pengurusan Loji Rawatan Air.
Beliau juga telah berkhidmat di beberapa syarikat korporat termasuk Konsortium Air Selangor di bawah KDEB Group, Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS), dan ONDEO Services(M), SUEZ Group.
“Terdahulu, sebagai Ketua Perkhidmatan Operasi di Air Selangor beliau mengawal selia perkhidmatan kejuruteraan dan pengurusan aset,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yakin pelantikan Abdul Karim adalah yang terbaik bagi menerajui SATU.
“Saya yakin beliau berupaya menerajui SATU ke arah perubahan pengoperasian dan amalan yang lebih baik serta berkesan lalu mampu menjadikannya sebagai sebuah syarikat korporat terbaik di negeri Terengganu," ujarnya.
30 Aug 21
4239
PM Mahu Kadar Vaksinasi Di Terengganu Melebihi 50 Peratus
KUALA TERENGGANU, 30 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob mahu kadar vaksinasi di Terengganu dan lima negeri lain melebihi 50 peratus pada akhir September ini.
Beliau berkata, Terengganu disenaraikan bersama Perak, Johor, Kelantan, Kedah dan Sabah yang masih mempunyai kadar vaksinasi populasi dewasa lengkap kurang daripada 50 peratus
"Ada enam negeri yang masih belum mencapai 50 peratus iaitu Terengganu (46.2 peratus), Perak (46.5 peratus), Johor (44.9 peratus), Kelantan (43.2 peratus), Kedah (43 peratus) dan Sabah paling kurang iaitu 37.1 peratus," katanya pada sidang akhbar di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, semalam.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri menyatakan bahawa beliau telah berbincang dengan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan KSU Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berhubung perkara tersebut.
"Jadi saya nak (enam negeri berkenaan melebihi daripada 50 peratus kadar vaksinasi) sebelum akhir bulan September, kalau boleh lebih awal lagi.
"Semua enam negeri tadi mesti melebihi 50 peratus," ujarnya.
Tambahnya lagi, beliau juga tidak mahu ada sebarang masalah kelewatan berkaitan dengan penghantaran vaksin.
"Saya sudah berbincang dengan KSU bahawa jika ada vaksin yang kita langgan ada masalah dari segi penghantaran, (maka) tidak perlu tunggu pada vaksin tersebut," jelasnya.
Menurut laporan kumulatif vaksinasi sehingga 29 Ogos oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKVAV), Terengganu kin mencatatkan 80.9 peratus populasi dewasa disuntik sekurang-kurangnya satu dos manakala 46.8 peratus telah selesai divaksin.
30 Aug 21
2542
Terengganu Dijangka Beralih Ke Fasa 3 Akhir Bulan Ini
KUALA TERENGGANU, 29 Ogos – Terengganu dijangka akan beralih ke fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada hujung bulan ini selepas proses vaksinasi hampir mencapai 80 peratus bagi penerima dos pertama dan 45 peratus dos kedua.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, keputusan itu dicapai hasil perbincangan bersama Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan melihat kepada nilai ambang peralihan fasa seterusnya PPN.
“Selewat-lewatnya jangkaan kita akan beralih pada September hadapan,” katanya ketika ditemu bual pemberita, petang tadi.
Namun begitu, Dr Alias mengingatkan kepada seluruh warga negeri agar terus berdisiplin dalam pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan tidak mengambil mudah terhadap kelonggaran tersebut.
“Saya menasihati kepada semua bahawa peralihan fasa ini bukan bermakna tiada risiko virus, anda masih lagi boleh dijangkiti dan menjangkiti, walaupun telah lengkap suntikan. Kelonggaran ini adalah lebih menjurus kepada keperluan ekonomi," jelasnya.
Tambah beliau, hasil vaksinasi di Terengganu menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) berjaya mengurangkan kes serius COVID-19 yang tergolong dalam kategori 3, 4 dan 5, meskipun kes harian kekal tiga angka.
“Kes kategori sederhana dan teruk ini masih di bawah satu peratus, kebanyakkan yang positif adalah mereka yang tiada gelaja atau bergejala ringan,” jelasnya lagi.
29 Aug 21
4903
UAI, Zizan Berganding Dalam Sambutan Ambang Kemerdekaan Esok
KUALA TERENGGANU, 29 Ogos – Pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus dan Pelawak terkenal, Zizan Razak akan kembali bergandingan dalam Program Ambang Kemerdekaan Yang Ke-64 pada malam esok.
Forum secara atas talian pada jam 9.30 malam itu menampilkan gabungan dua ikon kelahiran negeri pada kali kedua sejak penampilan terakhir pada tahun 2012.
Majlis santai tersebut turut disertai Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Kamaruzzaman Abdullah sebagai moderator.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, acara tersebut dianjurkan Kerajaan Negeri bagi menggalakkan aktiviti kecintaan tanah air dalam kalangan masyarakat khususnya kepada warga belia.
“Walaupun berdepan dengan kekangan COVID-19, program-program secara dalam talian bermula malam ini yang akan diuruskan i-MiTS akan diteruskan bagi menerap nilai cakna dan semangat patriotik kepada negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Malam ambang kemerdekaan tersebut kemudiannya akan diisi dengan ucapan daripada pimpinan dan orang awam serta ucapan khas oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan diakhiri dengan gimik kemerdekaan dan bacaan Asmaul Husna.
29 Aug 21
2236
90 Petani, Nelayan Positif COVID-19 Terima Bantuan RM45,000
MARANG, 29 Ogos - Terengganu menyalurkan RM45,000 kepada 90 warga tani dalam pelbagai sektor termasuk peladangan, penternakan dan perikanan yang disahkan positif COVID-19.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim, berkata bantuan tersebut disalurkan melalui Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Perikanan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).
Katanya, setakat hari ini seramai 80 orang di Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Marang telah menerima bantuan tersebut.
"Mereka yang disahkan positif wabak ini mendapat RM500 seorang secara berperingkat.
"Sehingga hari ini, kita dah bagi di Besut, Setiu, Marang dan baki akan menyusul dalam program melabuh unjam," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sampan Nelayan, Bantuan Touch Point(Peralatan Menangkap Ikan), Kerja-Kerja Melabuh Unjam, Bantuan One Off COVID-19 Sektor Pertanian dan Bakul Makanan MAFI di Pengkalan Merchang, di sini hari ini.
Dalam program secara pandu lalu itu, seramai 42 nelayan termasuk wakil di daerah Marang menerima bantuan mengikut kategori masing-masing.
Sementara itu, mengulas tentang masalah kekurangan stok isi ikan yang berlaku ketika ini, beliau berkata pihaknya akan melihat punca berlaku masalah tersebut.
"Kita akan tengok beberapa sumber sebab biasanya isi ikan ini dibawa dari negeri lain dan bukan di Terengganu.
"Untuk isi ikan, kita akan tengok isu ini secara menyeluruh bersama Jabatan Perikanan di mana punca dan masalah kenapa bekalan tidak sampai sehingga menimbulkan kesukaran kepada pengusaha keropok," jelasnya.
29 Aug 21
188