lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Masalah Air Serlah Semangat Kejiranan, Perpaduan Antara kaum
Masalah Air Serlah Semangat Kejiranan, Perpaduan Antara kaum
KUALA NERUS, 8 September – 'Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat', itulah perumpamaan sesuai terhadap semangat perpaduan merentasi kaum di Kampung Pulai Baru dalam mengharungi Insiden Air Berangan 2.0. Pegawai Khas (Hal-Ehwal Bukan Islam), Menteri Besar Terengganu, Dr Balachandran Gopal Krishnan berkata, antara usaha dijalankan dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) kampung tersebut adalah penyediaan telaga tiub air. “Dengan ilham daripada pengerusi JPKK, Lai Liang Qing, sumber air ini telah siap dibina semasa krisis air pertama dengan pihak kami mendapatkan motor bagi kerja menyedut air. “Selain usaha ini, kita konsisten dalam memastikan kebajikan rakyat berbilang bangsa di Terengganu terus dijaga tanpa mengira pinggiran,” katanya selepas kerja pengagihan bantuan air di Kampung Pulai Baru, Tepoh, pagi semalam. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Satiful Bahri Mamat dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim. Menurut Ling Qing, sejumlah 65 rumah terkesan akibat terputus bekalan air pada 23 Ogos lalu. “Namun begitu, inisiatif oleh Team Mobile Tepoh dalam memastikan komuniti sini sentiasa mendapat air daripada tangka statik adalah memuaskan," katanya. Sementara itu, seorang warga emas, Kam Ah Yong, 72, berkata, bantuan air sentiasa disambung oleh JPKK dan pihak ADUN bagi memenuhi keperluan harian bersama isterinya. “Liang Qing juga banyak bantu dalam menaikkan air ke rumah memandangkan saya sudah tua dan kita rumah kami terletak di kawasan berbukit,” katanya yang juga bapa kepada dua orang anak. Jelas Balachandran, pihaknya sentiasa bekerja rapat dengan warga negeri bukan islam dalam menyelesaikan isu keselesaan komuniti bersama pihak berkuasa tempatan. “Antara inisiatif diadakan seperti kerja kebersihan kampung, pelebaran jalan dan sebagainya. “Diharapkan agar suatu hari nanti, Kampung Pulai Baru dapat dijadikan contoh simbol perpaduan di Terengganu,” tambahnya lagi. Dalam perkembangan lain, kerajaan negeri memperuntukkan RM2.5 juta bagi membaik pulih paip dasar sungai Tangki Berangan yang pecah dan patah dalam dua kejadian berasingan dan dijangka tamat pada 12 September depan.
08 Sep 21
900
Pelajar SPM, STPM Terengganu Dijangka Selesai Vaksin Sebelum Oktober
Pelajar SPM, STPM Terengganu Dijangka Selesai Vaksin Sebelum Oktober
KUALA NERUS, 8 September – Kerajaan negeri akan memastikan sektor pendidikan selamat sepenuhnya sebelum dibuka kepada pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dengan melengkapkan proses vaksinasi terhadap golongan terbabit sebelum Oktober. Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, kebanyakan guru dalam negeri sudah lengkap divaksin dan akan diikuti pelajar yang bakal mengambil peperiksaan awam berumur 17 hingga 18 tahun. Katanya, pihaknya turut memberi kemudahan khususnya buat pelajar-pelajar yang ingin menyambung pengajian terutamanya di luar negara pada bulan September walaupun berusia bawah 18 tahun untuk menerima vaksin. “Permohonan khas boleh diteruskan kepada Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) daerah masing-masing ataupun Pusat Pemberian Vaksin (PPV) masing-masing, para pelajar boleh juga hadir bersama ibu bapa,” katanya. Beliau berkata demikian selepas kerja pengagihan bantuan air di di Dewan Serbaguna Tepoh, pagi tadi. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim, ADUN Sura, Wan Hapandi Wan Nik dan Pegawai Khas (Hal-Ehwal Bukan Islam), Menteri Besar Terengganu, Dr Balachandran Gopal Krishnan. Mengulas tentang Prosedur Operasi Standard (SOP) semasa pembukaan sekolah akan datang, Satiful menjelaskan, pihaknya akan berpandukan kepada panduan peringkat Kementerian Pendidikan. “Bagi kawasan terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) masih tidak boleh beroperasi,” katanya lagi. Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, remaja berusia 18 tahun ke bawah bakal menerima suntikan vaksin Covid-19 pada minggu depan bermula dengan di Sarawak. Dalam masa sama, seramai 95,000 pelajar sekolah menengah di negeri ini layak menerima vaksinasi Covid-19 sebagai persediaan menjelang pembukaan sesi persekolahan tidak lama lagi menurut Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Kasemani Embong.  
08 Sep 21
540
Penduduk Lega, Gembira ADUN Wujudkan Dobi Percuma
Penduduk Lega, Gembira ADUN Wujudkan Dobi Percuma
KUALA NERUS, 7 September – Sejak pengoperasian Dobi Layan Diri Percuma Sabtu lalu, rakyat berdekatan mahupun di kawasan luar menyuarakan rasa gembira terhadap inisiatif tersebut kerana dapat meringankan beban mereka ketika masalah Air Berangan 2.0 berlaku. Seorang suri rumah, Rosita Ismail, 37, menyifatkan usaha Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh sebagai langkah tepat dalam memudah dan menjimatkan kos dan masa mencuci pakaian setelah ketiadaan air sejak 28 Ogos lalu. “Sebelum ini saya basuh dengan air telaga sahaja dan memerlukan tenaga lebih untuk selesaikan pakaian keluarga. “Namun begitu, setelah melihat di Facebook bahawa wakil rakyat Tepoh, Hishammuddin Abdul Karim buat dobi percuma, saya terus datang ke sini. “Memang jimat kos jika berbanding ke dobi biasa (RM10 kecuali mesin kering), walaupun lima minit daripada rumah di Kampung Sungai Ikan, tapi dua bakul dapat dibasuh dengan sabun percuma,” katanya ketika ditemubual pemberita di PKM DUN Tepoh, hari ini. Sementara itu, Hishamuddin berkata, sambutan baik dapat dilihat terutamanya pengunjung paling ramai adalah dari kalangan kaum wanita atau suri rumah. “Setiap hari puratanya 20 orang datang membasuh daripada dalam dan luar DUN ini, kita tidak memilih kerana niatnya untuk sama-sama menolong golongan terkesan akibat terputus bekalan air. “Setakat ini, kita menyediakan lapan buah mesin (dua sumbangan PTA First Electrical) dan sabun daripada Dewan Pemuda PAS Negeri dengan kerjasama PASTI. “Melihat kunjungan penduduk memanfaatkan Dobi Layan Diri Percuma ini, kami cukup berbangga dan berpuas hati menyediakan perkhidmatan ini walaupun bukan dalam tempoh yang lama,” jelasnya.
07 Sep 21
670
Hakim Danish Menang Dua Perlumbaan Di Itali
Hakim Danish Menang Dua Perlumbaan Di Itali
KUALA TERENGGANU, 6 September – Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli berjaya menempa nama di liga kejuaraan antarabangsa menerusi kejayaannya dalam Kejuaraan Ohvale Coppa Italia, baru-baru ini. Anak muda daripada Kampung Surau Panjang, Kuala Terengganu itu muncul juara Perlumbaan Pertama dan Kedua kategori GP-2 Junior dalam aksi di Litar Pomposa, Itali. Hakim turut memecahkan rekod peribadi selepas melakukan rekod pusingan baru dengan catatan 1:01.270 s dalam perlumbaan pertama mengalahkan Thomas Bonomi daripada pasukan CMV, manakala tempat ketiga menjadi milik Davide Ferrazi (Dolomiti Corse). Dalam perlumbaan kedua dengan 12 pusingan sama seperti saingan pertama menyaksikan Hakim Danish bangkit dari ketinggalan pada aksi awal untuk menumpaskan Ferrazi, manakala tempat ketiga diraih Lorenzo La Sorsa daripada Settimotoa. "Perasaan saya sungguh gembira dapat berlumba dalam saingan Coppa Italia kerana di sini saya berpeluang untuk menimba pengalaman berharga yang sangat penting dalam karier saya. "Saya juga gembira dapat bergaul dengan pelumba Itali yang bagi saya mereka sangat baik walaupun pertama kali bertemu. Saya gembira berkawan dengan mereka," katanya seperti dilaporkan Harian Metro. Terdahulu, penyertaan sulungnya di European Talent Cup (ETC) disertainya di Litar Catalunya, Jun lalu, anak muda itu turut mampu bersaing di pentas saingan yang dianggap tiga kali ganda lebih sukar berbanding Asia Talent Cup (ATC) Dalam pada itu, penunggang berusia 14 tahun itu menetapkan sasaran tinggi pada ATC di Jepun pada bulan hadapan setelah penampilan sulungnya dalam pertandingan sama meraih dua penamat di tempat ketiga pada Pusingan 1 di Litar Antarabangsa Losail, Qatar. Kredit Foto : Facebook SIC 
06 Sep 21
616
Rangkaian Komunikasi Terbakar Selesai Dibaiki
Rangkaian Komunikasi Terbakar Selesai Dibaiki
KUALA TERENGGANU, 6 September - Kerja-kerja baik pulih rangkaian komunikasi melibatkan kabin komunikasi di Menara Felda Seberang Tayor di daerah Kemaman yang terbakar baru-baru ini telah berjaya dipulihkan sepenuhnya pada Sabtu lepas. Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tan Sri Annuar Musa berkata, ia berjaya dibaik pulih dua hari lebih awal daripada yang dijadualkan. "Ini membolehkan pengguna setempat menikmati semula rangkaian komunikasi dan liputan internet seperti sedia kala. “Penghargaan buat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta semua penyedia perkhidmatan terlibat yang komited melaksanakan kerja-kerja baik pulih di menara komunikasi berkenaan secepat mungkin," katanya di Twitter. Terdahulu MCMC menerusi kenyataan memaklumkan kabin menara komunikasi di Menara Felda Seberang Tayor yang terbakar pada 5.58 petang, 30 Ogos lepas. Menara berkenaan adalah milik Desabina Industries Sdn Bhd yang digunakan pihak Celcom, Digi, Maxis dan U Mobile. Kerosakan peralatan pada menara berkenaan juga telah mengakibatkan gangguan perkhidmatan di beberapa buah menara yang bersambungan iaitu di Felda Air Puteh, Lubuk Lesong, Kampung Paman, Ladang Boustead, Kampung Pasir Gajah, Kampung Lubuk Lesung, Kampung Pasir Semut, Kampung Tebak dan Kampung Teladas
06 Sep 21
455
Sidang DUN Terengganu Dipendekkan Kepada 4 Jam Sehari
Sidang DUN Terengganu Dipendekkan Kepada 4 Jam Sehari
KUALA TERENGGANU, 6 September - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Mesyuarat Pertama Penggal Ke-4 yang dijadual pada 13 hingga 15 September ini akan berlangsung dengan tempoh masa persidangan yang dipendekkan. Yang Dipertuanya, Dato' Yahaya Ali berkata, persidangan DUN berlangsung pada pukul 9.30 pagi sehingga pukul 1.00 tengah hari sahaja dengan peraturan-peraturan yang ditetapkan dalam Prosedur Operasi Standard (SOP). Katanya, walaupun Terengganu sudah berada dalam Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara, namun segala SOP dan syarat–syarat yang dikenakan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu dipatuhi oleh semua pihak termasuk pentadbiran DUN "Selain diwajibkan mengambil dua dos suntikan vaksin, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan para petugas wajib menjalani 'swab test' COVID-19 pada 9 September ini. "Hanya yang didapati negatif sahaja akan dibenarkan hadir pada sidang dewan. "Selain itu, semua 32 ADUN dan para petugas juga akan menjalani ujian pengesanan COVID-19 'RTK-Antigen (Saliva Test)' pada setiap hari semasa persidangan berlangsung," katanya kepada pemberita secara atas talian hari ini. Tambahnya lagi, persidangan akan dimulakan dengan titah perasmian oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang akan dibacakan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Yahaya juga berkata, liputan persidangan juga boleh diikuti melalui siaran secara langsung melalui pelbagai platform kerajaan negeri seperti Portal Rasmi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) dan TV Darul Iman.                
06 Sep 21
320
Pam Air Pulau Bahagia Berjaya Diaktifkan
Pam Air Pulau Bahagia Berjaya Diaktifkan
KUALA TERENGGANU, 6 September - Pam air di muka sauk, Pulau Bahagia ke Loji Baru Bukit Berapit telah berjaya diaktifkan pada petang semalam. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, air telah mula mengalir sekitar pukul 7.00 petang.   "Air yang dipam ini akan dialirkan terus dan akan tiba ke Loji Baru Bukit Berapit dalam masa 12 jam.  "Air ini merupakan air mentah yang belum dirawat,” jelasnya.  Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika lawatan ke Loji Air Pulau Bahagia, semalam. Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti  & Teknologi Hijau, Ir Saiful Azmi. Tambahnya, setelah air mentah daripada muka sauk Pulau Bahagia tiba ke Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Berapit, proses untuk menstabilkan setiap peringkat rawatan air dilakukan bagi menghasilkan air terawat dan selamat digunakan sebelum dapat disalurkan kepada pengguna. Sementara itu, Dr Mamad berkata, pemasangan paip baru dijangka siap pada 12 September ini dan diharap proses pembaikan lancar sekali gus menyelesaikan krisis air di Kuala Nerus dan sebahagian Kuala Terengganu yang berlaku pada 2 Ogos dan 23 Ogos lalu,
06 Sep 21
800
Bantuan RM20,000 Bantu Rakyat Seberang Takir Terjejas Air
Bantuan RM20,000 Bantu Rakyat Seberang Takir Terjejas Air
KUALA NERUS, 6 September - Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim telah menyumbang cek berjumlah RM20,000 kepada Seberang Takir bagi membantu kerja menangani insiden air yang sedang berlaku sejak 23 Ogos lalu. Katanya sumbangan tersebut sebagai kebersamaan dan mengurangkan beban masyarakat terjejas di kawasan tersebut. “Walaupun berlaku di Kuala Nerus, sikap kita di Terengganu ini apa yang berlaku di parlimen lain pun turut diambil perhatian, prihatin oleh semua wakil rakyat. “Gelombang pertama saya turun di Kem Batalion 9 Pasukan Gerakan Am dan gelombang kedua saya juga turun di Seberang Takir ini,” katanya ketika ditemubual pemberita selepas melakukan tinjauan ke Bilik Gerakan Operasi di Dataran Drawbridge, baru-baru ini. Dalam pada itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab menyampaikan rasa terima kasih kepada Ahli Parlimen Kuala Terengganu atas sumbangan yang akan dimanfaatkan sebaik mungkin. “Tidak dinafikan, kita amat memerlukan bantuan daripada semua pihak termasuk kerajaan bagi melicinkan perjalanan kami bagi menyampaikan bekalan air. “Seperti insiden pertama, jumlah mereka yang terjejas hampir 5,000 buah rumah dan semestinya memerlukan kos yang banyak, besar harapan saya untuk memastikan usaha ini berjaya demi kesejahteraan Seberang Takir,” jelasnya.
06 Sep 21
801
COVID-19 : Hotel Primula Ditutup 14 Hari
COVID-19 : Hotel Primula Ditutup 14 Hari
KUALA TERENGGANU, 5 September - Primula Beach Hotel ditutup selama 14 hari bermula hari ini sehingga 18 September depan susulan 29 kes positif COVID-19 dikesan dalam kalangan pekerja. Pengurus Besarnya, Suaibah Harun berkata, arahan penutupan itu dikeluarkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Terengganu (PKDKT) selepas mengambil kira hasil daripada penilaian risiko susulan dari kes pertama Covid-19 yang dilaporkan sebelum ini. "Terdahulu, penutupan salah satu daripada empat dapur termasuk Bayu Restoran hotel berkenaan pada 29 Ogos lalu adalah berdasarkan penilaian risiko yang jangkitan hanya tertumpu di bahagian berkenaan. "Setelah penularan membabitkan bahagian berlainan, pihak PKDKT mengarahkan penutupan keseluruhan premis bermula hari ini sehingga 18 September depan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Tambah Suaibah lagi, pihak hotel sedang bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan untuk melakukan langkah seterusnya bagi mengawal risiko jangkitan serta langkah pembasmian kuman. Sehubungan dengan itu katanya, keseluruhan pekerja seramai 109  akan disaring bermula esok. Menurut beliau, penutupan sementara itu dijalankan mengikut Seksyen 18(1)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) bagi mengelak perebakan penyakit berjangkit.  
05 Sep 21
2987
Kit Ujian COVID-19 : Kerajaan Beri Tempoh Seminggu Kepada Peniaga
Kit Ujian COVID-19 : Kerajaan Beri Tempoh Seminggu Kepada Peniaga
HULU TERENGGANU, 4 September - Kerajaan bersetuju memberi tempoh seminggu kepada peniaga dan pengusaha farmasi untuk menghabiskan stok sedia ada kit ujian kendiri COVID-19 bermula esok. Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna(KPDNHEP), Dato' Rosol Wahid berkata, ia bagi mengelakkan kerugian kepada peniaga-peniaga setelah kerajaan bersetuju menetapkan harga siling kit ujian kendiri pada 5 September 2020. Katanya perkara tersebut telah dimaklumkan lebih awal kepada peniaga dan pengusaha farmasi bagi mengelakkan mereka mengalami kerugian selepas penetapan harga siling. "Kita faham mereka membeli stok sedia ada dengan harga yang tertentu dan jika dijual mengikut harga ditetapkan nanti, ia akan merugikan peniaga-peniaga. "Jadi selepas seminggu, kita akan lakukan pemeriksaan dan tindakan  akan diambil sekiranya masih ada lagi di kalangan mereka yang menjual lebih daripada harga yang sepatutnya," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat projek kelompok ternakan ikan air tawar generasi kedua Felda Bukit Bading di sini hari ini. Tambahnya, tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan ini di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011. Sementara itu, Rosol berkata, sekiranya terdapat kit ujian kendiri palsu dalam pasaran, orang ramai boleh membuat aduan kepada KPDNHEP untuk tindakan. 'Laporan rasmi tidak ada cuma sekadar 'hearsay' ada kit ujian palsu yang dijual dengan harga mahal....jadi kita berharap agar  pengguna yang merasa tertipu tampil membuat laporan...yang penting mereka kena simpan resit pembelian sebagai bukti," katanya Terdahulu, KPDNHEP menetapkan harga runcit maksimum bagi setiap set kit ujian kendiri COVID-19 pada harga RM19.90, manakala harga borong ditetapkan RM16 berkuat kuasa Ahad ini.
04 Sep 21
846