Artikel "Semasa" Terkini
Kompleks Kastam Terbiar Dibaik Pulih Jadi Kampus KQT
Kerajaan Terengganu sedang membaik pulih Kompleks Kastam Pengkalan Gawi yang terbiar sejak 2015 untuk dijadikan kampus sementara Kolej al-Quran Terengganu (KQT) pada Januari tahun hadapan.
13 Sep 21
262
Persidangan DUN Terengganu Bermula Hari Ini
KUALA TERENGGANU, 13 September - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Mesyuarat Pertama Penggal Ke-4 telah bermula pagi ini dalam Prosedur Operasi Standard (SOP) ketat.
Persidangan telah bermula pada jam 9.30 pagi dengan perutusan titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang dibacakan Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Sidang DUN tersebut diikuti dengan ucapan Yang Dipertuanya, Dato' Yahaya Ali kemudian diteruskan dengan pembentangan kertas-kertas kerja Dan laporan-laporan pada jam 10.30 pagi ini.
Pada hari kedua, pergerakan sidang bermula dengan soalan-soalan yang telah diberi notis (soalan lisan dan bertulis) kemudian Usul Di Bawah Perkara 30 (jika ada). Pada jam 11.00 pagi, Usul Menjunjung Kasih seterusnya Perbahasan Perutusan KDYMM Sultan.
Manakala pada hari terakhir, pengisian melibatkan penggulungan ke atas perutusan KDYMM Sultan, pelantikan Ahli Dewan Negara dan Rang Undang-undang.
Untuk pengetahuan liputan persidangan sehingga 15 September boleh diikuti melalui siaran secara langsung melalui pelbagai platform kerajaan negeri seperti Portal Rasmi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) dan TV Darul Iman.
13 Sep 21
384
Lebih 93 Ribu Remaja Terengganu Layak Divaksin
KUALA TERENGGANU, 12 September – Seramai 93,262 remaja di negeri ini telah dikenalpasti layak untuk diberikan vaksin melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang akan dijalankan di sekolah-sekolah.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, tarikh bagi pelaksanaan vaksinasi tersebut bergantung kepada petanda awalnya iaitu selepas kadar peratusan populasi dewasa lengkap divaksinasi mencapai 80 peratus pada minggu akhir bulan September.
“Keputusan kerajaan untuk melengkapkan pemberian vaksin dewasa terlebih dahulu, jika kita melepasi petanda 80 peratus itu, maka MOSTI akan berkomunikasi dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan melancarkan gerak kerja seawal mungkin.
“Untuk makluman, Terengganu telah berjaya mencapai kadar peratusan vaksinasi lengkap bagi populasi dewasa melebihi 66.73 peratus pada 10 September 2021. Sementara itu, lebih 90.03 peratus daripada populasi dewasa telah menerima sekurang-kurangnya dos satu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas program vaksinasi ‘Outreach’ di Taman Desa Paloh, pagi tadi.
Turut hadir, Pengarah Kesihatan Negeri, Dato' Dr Kasemani Embong dan Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Ariffin Abdullah.
Tambahnya, berdasarkan pembentangan pemantauan pengedaran vaksin COVID-19 semasa Mesyuarat CITF, Terengganu bakal menerima bekalan vaksin sebanyak 643,187 ribu dos sepanjang bulan September ini.
Terdahulu, PICK akan memulakan vaksinasi mengikut keutamaan iaitu remaja (12 hingga 17 tahun) yang mempunyai masalah penyakit kronik, diikuti individu remaja (12 hingga 17 tahun) tanpa masalah perubatan dan berdasarkan penurunan umur, kata Menteri Penyelarasnya Khairy Jamaluddin.
12 Sep 21
417
Kes Positif Hampiri 1000, Kuala Terengganu Tertinggi
KUALA TERENGGANU, 12 September – Terengganu mencatatkan peningkatan kepada 953 kes positif harian COVID-19 dan lima kematian, dengan kes tertinggi dicatatkan di bandar raya Kuala Terengganu.
Menurut laporan disediakan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) sehingga semalam, kes teratas mengikut pecahan daerah diikuti Besut (235 kes) dan Kuala Nerus serta Marang (104 kes).
“Daripada 38 kluster di dalam negeri, kluster komuniti iaitu Selasih Jertih merekodkan bilangan kes baru tertinggi dengan 20 kes positif menjadikan jumlah keseluruhan 149 kes sejak dikesan pada awal bulan ini.
“Sementara itu, kes melibatkan Orang Kena Tahan (OKT) menunjukkan angka 26 kes positif,” katanya menerusi Facebook rasmi JKNT, semalam.
Dalam pada itu, menurut analisa laman web rasmi COVIDNOW oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kadar penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU) dalam negeri mencatatkan 68.9 peratus dengan 43.8 peratus menggunakan alat bantuan pernafasan.
“Manakala, peratusan kapasiti katil di hospital dalam mencecah 80 peratus (termasuk untuk penggunaan kes bukan COVID-19,” katanya lagi.
12 Sep 21
4062
Kerajaan Timbang Salurkan Subsidi Kepada Pengeluar Ayam Utama
HULU TERENGGANU, 11 September - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Kewangan (MOF) bagi membincangkan pemberian subsidi kepada 20 pengusaha ladang ayam utama di negara ini.
Timbalan Menterinya, Dato' Rosol Wahid berkata, ia sebagai usaha kerajaan bagi mengawal kenaikan harga ayam yang kini membebankan para pengguna.
Katanya, terdapat kira-kira 20 pengusaha ternakan ayam terbesar yang kini beroperasi di tiga negeri iaitu Johor, Negeri Sembilan dan Perak yang mengeluarkan 80 peratus ayam untuk pasaran seluruh negara akan terlibat dalam cadangan pemberian subsisi tersebut.
"Kenaikan harga ayam ketika ini dikatakan berpunca daripada peningkatan harga makanan ayam kerana komponennya iaitu soya dan jagung diimport sepenuhnya dari luar negara.
Cadangan subsidi ini dilihat sesuai untuk mengawal kenaikan harga ayam dan ia terbukti sebagaimana kita laksanakan ketika kawal kenaikan harga minyak sawit dalam botol satu ketika dahulu
“Pelaksanaan sistem subsidi ini sesuai untuk mengawal kenaikan harga ayam dan telah terbukti berjaya semasa kita buat untuk mengawal kenaikan harga minyak pada Jun lepas,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat tinjauan ke Pasar Ajil di sini hari ini.
Rosol berkata, harga jualan ayam tertinggi yang direkodkan setakat ini ialah RM11/kg di Pasar Basah Gopeng, Perak.
"Purata harga semasa jualan ayam di pasar basah seluruh negara ialah RM9.00 hingga 10.50 sekilogram," tambahnya.
Dalam pada itu, KPDNHEP turut mengadakan pertemuan dengan wakil persatuan penternak ayam bagi memantau pengeluaran bekalan ayam di seluruh negeri.
"Semalam, pihak KPDNHEP telah adakan perbincangan bersama-sama 20 syarikat penternak ayam utama bagi membincangkan isu kenaikan harga ayam yang agak membebankan orang ramai.
"Kita harap kesemuanya dapat memberikan kerjasama untuk meminimumkan kenaikan harga ayam dan mengelak kenaikan secara mendadak di semua peringkat rantaian pengedaran," ujarnya lagi.
Sementara itu, Rosol berkata,
sepanjang Ops Catut (Pasar) 8.0, penguat kuasa KPDNHEP telah mengeluarkan 12 Surat Pemberitahuan yang meminta peniaga menyemak semula harga jualan ayam dan menurunkan kadar harga jualan.
Tambahnya lagi, sebanyak 63 Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) dan 56 Notis Bertulis (NB) dikeluarkan kepada peniaga untuk siasatan lanjut sekiranya berlaku unsur pencatutan dalam jualan ayam hidup, ayam standard dan ayam super.
11 Sep 21
241
Mantan Exco Terengganu Meninggal Dunia, Hilangnya Permata
KUALA TERENGGANU, 10 September – Mantan Exco Kerajaan Negeri, Dr Abu Bakar Abdullah telah menghembuskan nafas terakhir pada jam 11.28 malam tadi di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kehilangan Almarhum diibaratkan seperti kehilangan sebutir permata yang banyak menyumbang bakti dalam bidang pendidikan buat ummah dan kerajaan pada tahun 1999 sehingga 2004.
“Khabar duka diterima lewat malam tadi, Ustaz Dr Abu Bakar Abdullah telah kembali menemui pencipta. Takziah buat seluruh ahli keluarga,” katanya menerusi Facebook rasminya pagi tadi.
Dalam masa sama, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, antara jasa beliau adalah membangunkan pusat pendidikan bersejarah, Institut Berakan dan juga Maahad Tahfiz wa Tarbiyah, Tok Jiring bersama Allahyarham Dato' Abu Bakar Chik.
“Seorang tokoh ulama yang tidak pernah kenal erti rehat dari medan dakwah dan perjuangan sehingga diuji dengan stroke yang menyebabkan pergerakan Ustaz sangat terbatas beberapa tahun lalu.
“Insya-Allah akan menjadi pahala jariah beliau yang panjang disamping pengajaran dan penulisan ilmu, dakwah dan perjuangan politik Islam yang beliau dokong sehingga ke akhir hayat.
“Beliau gigih menyumbang bakti bersama Dewan Ulamak PAS Pusat dan Dewan Ulamak PAS Terengganu dan berpengalaman panjang menyumbang jasa kepada rakyat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut ADUN Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim memaklumkan menerusi sosial media rasminya, Solat Jenazah buat Almarhum Dr Abu Bakar Abdullah akan diadakan selepas selesai Solat Jumaat di Masjid Jamek Tok Jiring (MTT) dan akan disemadikan di Tanah Perkuburan MTT.
“Manakala, bagi yang berhalangan untuk hadir dan juga keperluan menjaga Prosedur Operasi Standard (SOP), Dewan Ulama' PAS Negeri Terengganu menyarankan agar dapat dilaksanakan Solat Jenazah Ghaib buat Almarhum selepas Solat Asar hari ini,” jelasnya.
10 Sep 21
1067
PKPD Tujuh Lokaliti Di Dungun Dilanjutkan
KUALA TERENGGANU, 10 September - Tujuh lokaliti di Dungun dilanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sehingga 24 September depan.
Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md Saad berkata, pelanjutan tersebut diputuskan setelah meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai penilaian risiko serta jangkitan Covid-19.
“Lokaliti tersebut melibatkan Bandar Paka; Gong Gemia; Cacar Baru, Limbong, Kuala Paka, Taman Indah Permai dan Telaga Mas yang membabitkan sejumlah lebih 10,000 penduduk," katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Terdahulu, pelaksanaan PKPD sejak 28 Ogos itu akibat Kluster komuniti iaitu Kampung Limbong melibatkan seorang penduduk tempatan bergejala yang berusia 55 tahun disahkan positif Covid-19 pada 16 Ogos dan menjangkiti 53 orang akhir bulan itu.
Menurut Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), kluster tersebut hari ini merekodkan satu kes baharu menjadikan keseluruhan kes positif virus itu sebanyak 122 kes sejak Ogos lalu.
“Terengganu mencatatkan peningkatan kes sebanyak 910 kes positif COVID-19 dan 22 kes adalah dari Dungun," katanya menerusi laman Facebook rasmi JKNT.
10 Sep 21
1303
Hasrat Jurutera Kimia Untuk Menemui Bapa Tidak Kesampaian
HULU TERENGGANU, 8 September- "Arwah pernah menyuarakan hasrat untuk pulang menjaga ayah kami yang sakit,"luah kakak Jurutera Kimia yang ditemukan maut dengan kesan kecederaan pada pergelangan tangan di rumah sewanya di Taman Scientex dekat sini, pagi Ahad lepas.
Siti Ayu Megawati Mohd Said, 33, berkata arwah Muhammad Sufian, 28, merupakan anak lelaki tunggal dari tiga beradik dan cukup rapat dengan ayah.
Katanya, arwah juga beberapa kali menyatakan hasrat untuk pulang ke kampung untuk menjaga bapa mereka, Mohd Said Nang, 67, yang kini menghidapi penyakit lelah kronik.
"Kami semua cukup akrab walaupun berjauhan dengan keluarga dan menjadi kebiasaan selepas maghrib, akan berhubung dengan ayah di kampung dengan panggilan video sehingga azan Isyak.
"Agak berbeza sejak dua minggu lalu, setiap malam apabila arwah bercakap dan memberi tazkirah, ia lebih panjang daripada biasa namun, kami tidak menyangka itu adalah petanda dia akan meninggalkan kami," ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di rumah keluarga mangsa di Taman Seri Sentosa, hari ini.
Tambahnya, arwah adiknya juga bersikap pelik apabila mendesaknya pulang bersama-sama ke kampung sehari sebelum hari kejadian menemui ayah mereka.
"Biasa arwah akan pulang setiap bulan menemui ayah tetapi sejak enam bulan kebelakangan ini gagal berbuat demikian akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Saya bersetuju untuk pulang bersamanya pada hari Ahad(hari kejadian) selepas selesaikan urusan dokumen rentas negeri tetapi tidak kesampaian apabila arwah sudah tiada lagi,"jelasnya.
Tambah Siti Ayu Megawati, arwah juga sanggup berhenti kerja jika cutinya tidak diluluskan untuk pulang ke kampung semata-mata ingin menemui ayahnya yang uzur.
Dia berkata, walaupun terkilan dengan insiden yang berlaku, mereka sekeluarga pasrah dan reda dengan pemergian arwah.
Katanya, jenazah adiknya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pulau Kudat, di sini jam 9 malam pada Selasa.
Terdahulu, seorang lelaki ditemukan maut dengan kesan kecederaan pada pergelangan tangan serta kaki kanan, di rumah sewanya di Taman Scientex dekat sini awal pagi Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, siasatan awal mendapati, pada malam sebelumnya lelaki berkenaan dikatakan bertindak menumbuk pintu kaca Masjid Taman Scientex yang berdekatan dengan rumahnya selepas mendapati pintu masjid itu ditutup selepas Isyak.
08 Sep 21
1275
Rumah Ibu Tunggal Hangus Dijilat Api
KUALA NERUS, 8 September – Seorang ibu tunggal bersama dua orang anaknya kini hidup sehelai sepinggang selepas rumah mereka musnah dijilat api.
Mahani Ali, 55, berkata dia menyedari kejadian tersebut semasa sedang menjemur keropok di rumah jiran berdekatan.
"Sekitar jam 9 pagi saya terkejut apabila melihat asap hitam berdekatan kawasan rumah saya di Kampung Gong Pak Jin.
“Ingat ada orang membakar sampah, rupanya api sudah marak di bahagian kayu rumah saya, kemudian saya bergegas menutup segala suis elektrik dan tong gas.
“Dalam masa yang sama, anak terus telefon Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu untuk padamkan api.
“Alhamdullilah tiada orang berada di dalam rumah pada masa kejadian, tapi saya tidak sempat selamatkan barang-barang, hanya motosikal dan kereta sahaja dialihkan,” luahnya ketika ditemubual pemberita semalam.
Melihat situasi menyayat hati ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishammuddin Abdul Karim berkata, pihaknya telah menyediakan rumah sewa dalam kadar segera yang berdekatan keluarga terbabit.
“Terpulang kepada pihak keluarga sama ada mereka ingin tumpang sewa atau kembali ke rumah mereka ini selepas ini.
“Sehingga rumah bantuan dapat disiapkan di bawah kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri, kita telah menyumbang sumbangan tunai dan akan menyokong melalui beberapa barang keperluan harian,” katanya lagi.
Katanya, sehingga semalam, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan JBPM.
08 Sep 21
498
Petronas Sumbang Bekalan Air Buat Kawasan Paling Terjejas
KUALA NERUS, 8 September – Syarikat petroleum nasional, PETRONAS melalui cabang tanggungjawab sosial korporat (CSR) telah menyumbang 310 kotak air mineral bagi membantu penduduk paling terjejas bekalan air sejak 23 Ogos lalu.
Pengurus Kanan Operasi PETRONAS Pantai Timur, Azeman Said berkata, 100 kotak bantuan asas berkapasiti 1.5 liter telah diagihkan kepada rumah terjejas di Kuala Terengganu.
Katanya, 210 kotak lagi diagihkan di daerah Kuala Nerus dengan jumlah akaun paling terkesan di kawasan Tepoh, dan Batu Rakit.
“Manakala 110 kotak lagi diagihkan kepada Badan Kebajikan Komuniti Sepetir Rendang.
“Sumbangan disampaikan bertujuan meringankan bebanan penduduk terkesan mendapatkan bekalan air minuman bersih ekoran gangguan bekalan air semasa Krisis Air Berangan 2.0,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, PETRONAS turut menyumbang kepada penyelesaian masalah air akibat paip pecah menerusi sesi perbincangan bersama pakar minyak dan gas dalam proses pemasangan paip dasar sungai dan laut telah diteruskan dengan secara atas talian pada 27 Ogos lalu.
08 Sep 21
803