lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Agih Lebih 1 Juta Liter Air Sehari, Minimakan Beban Rakyat
Agih Lebih 1 Juta Liter Air Sehari, Minimakan Beban Rakyat
KUALA NERUS, 5 September - Lebih 1 juta liter air sehari dianggarkan purata harian pengagihan air di kawasan paling terjejas yang dijalankan oleh para petugas di Pusat Gerakan Misi Bantuan Air di Tepoh. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim berkata, angka tersebut berdasarkan kerja harian melalui 15 pacuan empat roda dan tujuh trak air yang berperanan mengisi semula air di 170 tangki statik dan di rumah-rumah terjejas. “Pasukan kami di pusat operasi bertindak sebagai sokongan kepada kerja utama dijalankan Syarikat Air Terengganu (SATU), walaupun tidak melangkaui mereka namun kita masih gerakkan inisiatif konsisten melalui Team Mobile dan hantar bekalan ke kampung-kampung terjejas. “Objektif kami adalah mengurangkan sebaik mungkin beban rakyat, walaupun mustahil untuk menghilangkan rasa terkilan segelintir masyarakat namun operasi harian sehingga lewat 2 pagi tidak terhenti,” katanya ketika ditemu bual pemberita di Dewan Serbaguna Tepoh, semalam. Tambahnya, pihaknya menerima lebih 100 permohonan melalui penyediaan talian hotline bagi memudahkan kerja penghantaran kepada golongan uzur, warga emas dan kuarantin. “Ini antara pelbagai usaha dijalankan pihak kami sejak bermulanya krisis ini, paling penting adalah kami mempermudahkan beban rakyat,” katanya lagi. Untuk pengetahuan, kawasan DUN Tepoh merupakan kawasan paling terjejas dengan jumlah rumah tertinggi sebanyak 10,687 buah diikuti Batu Rakit dengan 8,438 buah. Dalam perkembangan lain, kerajaan negeri memperuntukkan RM2.5 juta bagi membaik pulih paip dasar sungai Tangki Berangan yang pecah dan patah dalam dua kejadian berasingan dan dijangka tamat pada 12 September depan.
04 Sep 21
169
91 Ribu Kotak Air Mineral Telah Diagihkan
91 Ribu Kotak Air Mineral Telah Diagihkan
KUALA NERUS, 4 September – Sehingga semalam, sejumlah 91,000 kotak air mineral menggunakan 65 treler telah selesai dihantar kepada masyarakat yang terjejas di enam Dewan Undangan Negeri (DUN) melibatkan daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu. Pengarah Operasi Khidmat Malaysia Negeri Terengganu, Mohd Riduan Abu Bakar melaporkan, pihaknya telah mencapai kemajuan 60 peratus dalam misi pembahagian bekalan tersebut yang juga sebahagian daripada inisiatif bernilai RM1.25 juta oleh kerajaan negeri. “Insya-Allah, jika pergerakan logisitik berjalan lancar, kerja penghantaran lima karton air di setiap rumah terjejas akan selesai pada Selasa hadapan. “Seramai 800 tenaga bantu daripada luar kawasan terjejas telah hadir bagi membantu menyalurkan bantuan secara berperingkat dengan kerjasama Pusat Khidmat DUN, Penyelaras dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK). “Usaha pengagihan dijalankan bermula fasa pertama (dua kotak) kemudian fasa kedua (tiga kotak),” katanya ketika ditemubual pemberita selepas kerja pengagihan di di Dewan Serbaguna Tepoh, semalam. Tambahnya, 800 sukarelawan dalam kalangan Jabatan Amal dan Pemuda PAS telah berperanan dalam menjadi sokongan kepada usaha pengisian semula tangki statik dan bekalan rumah ke rumah melalui mobilisasi pasukan jentera kenderaan. “Kita telah susun tenaga secara strategik mengikut kawasan, kemudian mereka akan datang dari seluruh kawasan dalam Terengganu menggunakan kenderaan seperti lori dan pacuan empat roda bagi memastikan rantaian agihan berjalan lancar. “Hasil tinjauan kami merasai rintihan dan nadi penduduk sekitar, mereka terharu akan sumbangan pelbagai pihak terutamanya daripada kerajaan negeri, sekurang-kurangnya ia dapat mengurangkan bebanan akibat krisis ini,” katanya lagi. Dalam perkembangan lain, kerajaan negeri memperuntukkan RM2.5 juta bagi membaik pulih paip dasar sungai Tangki Berangan yang pecah dan patah dalam dua kejadian berasingan dan dijangka tamat pada 12 September depan.
04 Sep 21
488
Institusi Hisbah Boleh Dipertimbangkan Untuk Diwujudkan Semula
Institusi Hisbah Boleh Dipertimbangkan Untuk Diwujudkan Semula
Oleh : Rohayati Ripin KUALA TERENGGANU, 4 September – Kerajaan boleh mempertimbang untuk mewujudkan semula institusi hisbah dalam suatu mekanisma yang lebih sesuai di negeri ini. Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, jawatankuasa itu mampu berperanan bagi menyemak dan mengimbang pentadbiran kerajaan negeri untuk jangka masa panjang. “Kita ada satu istilah pada zaman Rasulullah SAW yang disebut sebagai hisbah. Jadi mungkin boleh dilihat dari segi jangka panjang, sistem ini boleh diaturkan di negeri Terengganu.  “Ia tak semestinya sama dengan institusi hisbah yang pernah ditubuhkan sewaktu kerajaan PAS Terengganu berkuasa pada tahun 1999 - 2004. Tak semestinya begitu, nak letakkan di mana itu terpulang,” jelasnya. Beliau berkata demikian sebagai respons pertanyaan daripada moderator dalam satu program Wacana Pembaharuan Institut Parlimen dan DUN di Malaysia anjuran oleh Institut Darul Naim dan Reform, secara atas talian, baru-baru ini Menurutnya, perkara tersebut boleh dibincangkan di peringkat atasan untuk menjadikan perjalanan kerajaan lebih bertanggungjawab dan efisien. “Jadi jawatankuasa hisbah ini diletakkan di mana pun termasuklah nak diletakkan di bawah badan legislatif DUN, boleh memainkan peranan untuk membantu kerajaan supaya menjadi lebih cekap dan bersih,” ujarnya. Sementara itu, beliau juga berharap komposisi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dilantik selain daripada mewakili wanita dan bukan Islam boleh diperluaskan lagi dan ini akan melibatkan pindaan undang-undang tubuh negeri. "Untuk jangka panjang kerajaan boleh mempertimbangkan pelantikan yang lebih luas, bukan sekadar mewakili wanita dan bukan Islam tetapi kelompok-kelompok tertentu yg mewakili pelbagai latar belakang dlm masyarakat supaya DUN berpotensi menambah kepakaran dan pandangan,” tambah Yahaya. Beliau juga berharap dengan pertambahan penduduk dan pengundi di negeri ini kerusi DUN dan Parlimen perlu ditambah. "Kerusi DUN dan Parlimen di negeri ini tidak bertambah selepas 1984. Sudah sampai masanya pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat kajian mendalam untuk menambah bilangan kerusi di negeri ini. "Memandangkan jumlah pengundi setiap kawasan pilihanraya samada DUN dan Parlimen terlalu besar dan tidak sepadan dengan tanggungjawab yang sepatutnya dipikul oleh seorang wakil rakyat," katanya lagi.
03 Sep 21
276
Penduduk Uzur Syukur Tidak Putus-putus Terima Bantuan Air
Penduduk Uzur Syukur Tidak Putus-putus Terima Bantuan Air
KUALA NERUS, 3 September - Wajah redha dan lega jelas terpancar daripada penduduk uzur dan kurang berkemampuan setelah menerima bekalan air sementara dan bantuan air mineral sejak 28 Ogos lalu. Sumbangan tersebut sebahagian daripada inisiatif bernilai RM1.25 juta kepada setiap rumah yang diagihkan secara berperingkat melalui Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN), Penyelaras dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) masing-masing. Salah seorang penduduk tersebut adalah Abd Rahman Said, 56, yang telah dua tahun menghidap strok dan tidak mampu lagi berjalan akibat lumpuh. Isteri kepada tukang rumah tersebut, Noor Azlina Awang, 46, berkata, bantuan air mineral sedikit sebanyak dapat memenuhi keperluan suami bersama seorang anak yang menetap serumah di Kampung Bukit Berangan. “Setakat ini bantuan disampaikan mencukupi buat kami sekeluarga, selain daripada air yang disalurkan petugas Mobile Team Tepoh, kita juga menggunakan air mandi telaga dengan pam elektrik bagi keperluan harian,” katanya. Dia berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPD) selepas menerima bantuan air daripada Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim di rumahnya hari ini. Sementara itu, sepasang suami isteri, Nor Azura dan Muhammad Suhaimi Mahmud turut menyuarakan rasa syukur apabila lima karton bekalan asas tiba buat kegunaan bapa saudaranya, Mansor Awang, 70 yang terlantar akibat strok. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang bersama Tepoh menyampaikan air kepada keluarga Muhammad Suhaimi Mahmud “Alhamdullilah, boleh dikatakan bekalan air setakat ini tidak putus buat kami enam orang sekeluarga hasil bantuan petugas DUN Tepoh dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) setempat. “Buat masa kini, kami bergantung kepada tangka statik yang berdekatan di surau Kampung Bukit Berangan buat kebersihan diri dan sebagainya. “Jika kita lihat situasi sekarang ini, saya masih bersabar, nak buat macam mana, buat masa bekalan air harian kami masih bertahan,” jelas Azura yang juga seorang suri rumah. Warga emas turut diberi perhatian seperti Sudin Awang, yang tidak risau lagi setelah mendapat kelima-lima karton air. “Air minum cukup buat saya bersama anak lelaki di sini, memang tidak perlu bimbang lagi,” katanya yang berusia lingkungan 100-an. Dalam pada itu, Tengku Hassan yang juga ADUN Ladang berkata, pelbagai pihak termasuk wakil rakyat dan sukarelawan telah mengerahkan tenaga bagi meringankan masalah air dihadapi masyarakat di enam DUN terlibat Terbaharu, tiga unit alat Variable Field Drive (VFD) telah tiba di Terengganu bagi mengaktifkan pam untuk mengalirkan air dari Pulau Bahagia ke Loji Baru Bukit Berapit berkapasiti 60mld.
03 Sep 21
857
Gangguan Air Tak Halang Sektor Perindustrian Beroperasi
Gangguan Air Tak Halang Sektor Perindustrian Beroperasi
KUALA NERUS, 3 September - Sektor ekonomi di Kawasan Perindustrian Gong Badak tidak mengalami sebarang kesan teruk akibat Insiden Air Berangan 2.0. Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar berkata, pihak kerajaan bersama pelbagai agensi dan sukarelawan sedang menumpukan segala tenaga serta jentera dalam memastikan bekalan air tidak terputus. “Jika pengusaha sektor komersial tersebut berada dalam situasi kritikal, maka mereka boleh memohon sokongan air daripada Syarikat Air Terengganu (SATU). Boleh dikatakan syarikat beroperasi berkemampuan untuk atasinya dengan sendiri,” katanya. Beliau berkata demikian selepas tinjauan dan kerja bantuan Misi Bantuan Air di Dewan Serbaguna Tepoh, hari ini. Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim dan Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman. Sementara itu, beliau yang juga ADUN Ladang turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada DUN Tepoh bagi membantu kawasan dengan jumlah rumah paling terkesan dalam kalangan enam DUN. “Alhamdullilah, saya bertanya dengan wakil rakyat disini bekalan air minuman sedang diagihkan dalam dua fasa, namun begitu kami dari kawasan Ladang akan bantu bila perlu. “Meskipun ada segelintir masyarakat tertekan, namun kebanyakan mereka berpuas hati, Insya-Allah kerajaan negeri akan teruskan usaha pembahagian air mengikut bilangan rumah tidak mengira latar belakang,” katanya lagi. Terdahulu, Kerajaan negeri memperuntukkan RM2.5 juta bagi membaik pulih paip dasar sungai Tangki Berangan yang pecah dan patah dalam dua kejadian berasingan dan dijangka tamat pada 12 September.
03 Sep 21
256
COVID-19 : Terengganu Catat 16 Jangkitan Varian Delta, Beta
COVID-19 : Terengganu Catat 16 Jangkitan Varian Delta, Beta
KUALA TERENGGANU, 3 September - Sebanyak 16 kes jangkitan melibatkan Variant of Concern (VOC) virus SARS-CoV-2 dilaporkan di negeri Terengganu sehingga semalam. Daripada kes yang dilaporkan, tujuh kes melibatkan varian Delta (B.1.617.2) dan sembilan kes varian Beta (B.1.351) sejak ia mula dikesan akhir Julai lalu. Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, kewujudan varian ini memerlukan tindakan kawalan yang lebih teliti kerana kadar jangkitannya lebih cepat. "Daripada jumlah itu, empat kes VOC direkodkan di Kuala Terengganu, Hulu Terengganu (4), Marang (3), Kemaman (2) dan masing-masing satu kes di Setiu, Dungun dan Besut. "Tindakan kawalan juga dilakukan dengan lebih cepat seperti memastikan pesakit dikuarantin dengan betul serta mengasingkan segera pesakit dan kontak rapat yang dikesan, katanya kepada pemberita. Dr Kasemani berkata, bagi mengurangkan risiko daripada dijangkiti VOC Covid-19, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) menasihatkan orang ramai termasuk individu yang telah menerima vaksinasi supaya terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan. "Elakkan kawasan yang sesak dan sempit serta jangan bersembang dengan jarak yang dekat. "Sentiasa amalkan 3W (wash, wear dan warn). Duduk di rumah dan hanya keluar jika ada urusan penting, katanya mereka yang bergejala perlu ke klinik dengan segera untuk diambil sampel,"ujarnya.
03 Sep 21
2869
Vaksinasi 'Walk-In' Kini Di 14 PPV Di Terengganu Bermula Ahad Ini
Vaksinasi 'Walk-In' Kini Di 14 PPV Di Terengganu Bermula Ahad Ini
KUALA TERENGGANU, 3 September - Rakyat negeri ini yang masih belum menerima vaksinasi Covid-19 boleh berbuat demikian dengan hadir secara 'walk-in' ke semua 14 pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh daerah, bermula Ahad. Jabatan Kesihatan negeri dalam kenyataan berkata, langkah itu bertujuan meningkatkan lagi jumlah penerima sekali gus mencapai imuniti kelompok yang disasarkan. Katanya, bagi daerah ini PPV yang terlibat ialah di Taman Tamadun Islam (TTI) dan Pusat Dagangan Terengganu (TTC) manakala Dewan Al-Muktafi Billah Shah di Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) bagi Kuala Nerus dan Dewan Serbaguna Sungai Tarom (Setiu) di samping Dewan Gong Kemuntung dan Kota Putra Square (Besut). “Di Kemaman pula ialah PPV Dewan Datuk Seri Amar Diraja dan Dewan Sivik Kertih diikuti di Dungun membabitkan Dewan Aspirasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Dewan Dagang Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA). “Bagi daerah Marang ialah di Dewan Majlis Daerah Marang (MDM) dan Dewan Sivik Bukit Payung manakala di Hulu Terengganu pula di PPV Dewan Majlis Daerah di Kuala Berang dan Ajil,” kata kenyataan itu di laman Facebook hari ini. Kenyataan itu berkata, vaksinasi secara walk-in itu bagaimanapun terbuka kepada mereka yang berumur 18 tahun ke atas, pemastautin di Terengganu sahaja, belum mendaftar melalui MySejahtera, belum mendapat janji temu di samping terlepas janji temu. Menurutnya, waktu operasi vaksinasi walk-in bermula dari pukul 9 pagi hingga 4 petang tertakluk kepada slot yang disediakan. Sehingga semalam sebanyak 84.8 peratus daripada populasi negeri sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.  
03 Sep 21
1053
COVID-19 Di Terengganu Dijangka Terus Meningkat
COVID-19 Di Terengganu Dijangka Terus Meningkat
KUALA TERENGGANU, 3 September - Terengganu mencatatkan jangkitan baharu COVID-19 sebanyak 987 kes semalam iaitu angka tertinggi sejak pandemik itu bermula dan dijangka terus meningkat dalam masa dua minggu akan datang. Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Dato' Dr Kasemani Embong berkata peningkatan kes itu disebabkan beberapa faktor termasuk saringan pengesanan kes aktif (ACD) bersasar di beberapa lokaliti di seluruh negeri.  Katanya, daripada jumlah itu, Kuala Terengganu merekodkan kes tertinggi iaitu 266 kes diikuti Marang (171), Besut (166), Kemaman (117), Kuala Nerus (100), Dungun (86), Hulu Terengganu (42) dan Setiu (39). "Selain itu, peningkatan juga kerana kita melakukan saringan wajib kemasukan ke penjara dalam kalangan Orang Kena Tahan (OKT), saringan pekerja dari tapak bina, aktiviti merentas negeri dan juga aktiviti perkumpulan. "Susulan aktiviti pengesanan secara besar-besaran ini, kita menjangka peningkatan kes akan terus berlaku dalam masa dua minggu akan datang," katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini. Dalam pada itu, Dr Kasemani berkata penguatkuasaan akan terus ditingkatkan bagi memastikan amalan norma baharu dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi secara optima. Jelasnya, JKNT akan memastikan aktiviti penguatkuasaan dijalankan di premis tertentu seperti tempat kerja, perniagaan dan tapak bina  "Orang ramai diminta terus patuhi SOP walaupun Terengganu berada di Fasa Dua PPN (Pelan Pemulihan Negara). Sekiranya tiada urusan mustahak, terus kekal berada di rumah,"katanya. Untuk rekod, sehingga semalam, Terengganu mempunyai 6,224 kes positif COVID-19 dan jumlah kumulatif pula ialah sebanyak 34,985 kes.  
03 Sep 21
6550
Kerajaan Negeri Peruntuk RM2.5 Juta Baiki Paip Rosak
Kerajaan Negeri Peruntuk RM2.5 Juta Baiki Paip Rosak
KUALA TERENGGANU, 2 September - Kerajaan negeri memperuntukkan RM2.5 juta bagi membaik pulih paip dasar sungai Tangki Berangan yang pecah dan patah dalam dua kejadian berasingan. Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, usaha kini giat dilaksanakan pihak Syarikat Air Terengganu (SATU) dan dijangka penggantian paip akan dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat seperti dirancang. “Kita menjangkakan penggantian penyambung paip yang ditempah dari Australia dan Itali itu dapat dilaksanakan mengikut jadual asal dengan masalah air tamat seperti ditetapkan pada 12 September,” katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat lokasi paip dasar sungai Tangki Berangan berdekatan Pulau Sekati di sini hari ini. Tambah beliau lagi, alat penyambung paip baharu berkenaan mempunyai daya ketahanan tinggi dan lebih fleksibel daripada yang lama. Terdahulu, gangguan bekalan air yang membabitkan 28,700 akaun pengguna di dua daerah, iaitu Kuala Terengganu dan Kuala Nerus berpunca daripada insiden paip pecah kali kedua di dasar Sungai Terengganu. SATU memaklumkan, pasukan teknikal berjaya mengesan masalah itu pada paip sama bersaiz 1,200 milimeter (mm), namun di tempat berlainan daripada yang sudah dibaiki sebelum ini.
02 Sep 21
771
Kerajaan Tambah Baik Garis Panduan Pengambilan Pasir Sungai
Kerajaan Tambah Baik Garis Panduan Pengambilan Pasir Sungai
KUALA TERENGGANU, 2 September - Kerajaan pusat akan menambah baik Garis Panduan Pengambilan Pasir Sungai (Pindaan 2020) dengan mengambilkira keseimbangan ekosistem dan morfologi sungai.  Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, inisiatif itu akan mewujudkan panduan yang seragam dan lebih inklusif bagi memproses permohonan pengambilan pasir sungai di seluruh Malaysia  Katanya, antara perincian yang akan diberi perhatian ialah penandaan paip di bawah air  supaya orang tahu tentang kewujudan paip utama. "Ini juga termasuk kaedah yang mesti dipatuhi, berapa jarak daripada bangunan dan paip utama untuk korek pasir. "Oleh itu, saya berharap garis panduan itu akan dipatuhi sebab dalam sistem pengambilan pasir ada beberapa perkara yang perlu ditambah baik untuk jangka masa panjang," ujarnya. Beliau berkata demikian di sidang media selepas meninjau operasi pembaikan paip pecah di Jeti Feri Kg Losong, bersebelahan Muzium Negeri, Losong dan lawatan ke Loji Bukit Berapit, di sini hari ini. Justeru itu katanya, KASA akan bekerjasama dengan semua kerajaan negeri bagi memastikan isu berkaitan aktiviti-aktiviti di kawasan sungai seperti perlombongan pasir diberi perhatian sepenuhnya. "Semua pihak perlu mengguna pakai  Garis panduan tersebut telah dipersetujui oleh semua kerajaan negeri semasa Mesyuarat Majlis Sumber Air Negara (MSAN) ke-10 pada 15 Oktober 2015," tambahnya. Sementara itu, mengulas tentang proses pembaikan di dasar sungai, beliau berkata usaha giat dilaksanakan pihak Satu dan dijangka penggantian paip yang menelas kos RM2.5 juta akan dapat dilaksanakan dan dijangka siap pada 12 September.  Menurutnya, kerajaan akan menggunakan paip baharu yang lebih tahan dan berkualiti ditempah dari Australia serta Itali.  
02 Sep 21
782